Saturday, 2 June 2012
“NILAI DALAM BUDAYA MASYARAKAT MELAYU”- Muada bin Ojihi [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]
Abstrak
Bahasa dan budaya Melayu sebagai asas kepada pembentukan tamadun Malaysia. Oleh itu kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti nilai-nilai budaya masyarakat Melayu yang berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam. Aspek nilai-nilai yang dikaji boleh dilihat dalam kehidupan masyarakat Melayu. Kajian ini memilih nilai budaya masyarakat Melayu dalam asas pembentukan negara bangsa kerana terdapat unsur-unsur nilai yang penting. Walaupun negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan, namun kajian ini menitikberatkan nilai budaya masyarakat Melayu. Dalam dunia sekarang, nilai-nilai ini seakan-akan tercabar dengan kehadiran pelbagai pengaruh dari luar. Perubahan demi perubahan memberi kesan yang amat mendalam dalam nilai-nilai budaya masyarakat Melayu. Hasil kajian ini didapati daripada pelbagai bahan ilmiah dan rujukan yang berkaitan dengan nilai budaya masyarakat Melayu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa asas kepada pembentukan negara bangsa Malaysia adalah pengaruh agama Islam. Kedatangan agama Islam ke Alam Melayu menjadikan bahasa dan budaya Melayu menjadi semakin penting. Secara khusus, Islam dan adat Melayu menjadi salah satu struktur terpenting kemelayuan dalam tamadun Malaysia. Nilai bahasa dan budaya masyarakat Melayu perlu dipelihara dan dikembangkan untuk membentuk dan meneruskan masyarakat Malaysia yang harmoni dan sejahtera.
PENGENALAN
Pada saat perhatian hampir semua orang tertumpu pada globalisasi, dunia tanpa sempadan, dasar langit terbuka, ledakan maklumat, pencapaian taraf negara maju sepenuhnya menjelang 2020 dan segala agenda besar lain yang merangsang cita manusia, terasa ironis juganya bangsa apabila kita masih perlu berbicara tentang nasib dan martabat bahasa dan budaya Melayu. Dasar-dasar kenegaraan, termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan, seharusnya tidak menjadi ‘barang tawar-menawar’ lagi, sesudah puluhan tahun dasar itu membuktikan hasilnya, baik dalam pemenuhan fungsi perlambangannya sebagai tanda kewujudan bangsa dan negara yang berdaulat, sebagai bahasa perpaduan, sebagai bahasa pendidikan. Namun, justeru kerana soal martabat bahasa dan budaya Melayu sebagai salah satu tonggak tamadun bangsa dan negara masih terus-menerus menjadi atau dijadikan isu, maka ada kewajarannya kita terus membicarakannya. Bahasa mencakup banyak perkara, antaranya sistem komunikasi, alat berfikir, dan pemangkin untuk pembinaan ummah. Bahasa juga merujuk kepada pengetahuan yang dimiliki oleh penutur bahasa ibunda, yang membolehkan mereka berkomunikasi, mengungkapkan rasa, cita dan makna, serta dapat melaksanakan fungsi bahasa yang lain. Ini menunjukkan bahawa bahasa amat penting bagi kehidupan di alam ini.
Nilai budaya merupakan nilai- nilai yang disepakati dan tertanam dalam suatu masyarakat, lingkup organisasi, lingkungan masyarakat, yang mengakar pada suatu kebiasaan, kepercayaan (believe), simbol-simbol, dengan karakteristik tertentu yang dapat dibedakan satu dan lainnya sebagai acuan prilaku dan tanggapan atas apa yang akan terjadi atau sedang terjadi.
Nilai budaya akan tampak pada simbol-simbol, slogan, moto, visi misi, atau sesuatu yang nampak sebagai acuan pokok moto suatu lingkungan atau organisasi. Ada tiga hal yang terkait dengan nilai-nilai budaya ini iaitu :
1. Simbol-simbol, slogan atau yang lainnya yang kelihatan kasat mata (jelas)
2. Sikap, tindak laku, gerak gerik yang muncul akibat slogan, moto tersebut
3. Kepercayaan yang tertanam (believe system) yang mengakar dan menjadi kerangka acuan dalam bertindak dan berperilaku (tidak terlihat).
Nilai budaya mencakup tradisi lisan, bahasa, festival budaya, ritus dan kepercayaan, muzik dan lagu-lagu, seni pertunjukan, pengubatan tradisional, literatur, makanan tradisional serta olah raga dan permainan tradisional. Budaya sesuatu masyarakat akan membezakan dengan masyarakat yang lain. Setiap masyarakat mempunyai nilai budaya yang tersendiri. Namun, terdapat banyak persamaan dari segi tujuan atau motif utamanya. Oleh itu, budaya masyarakat Melayu yang penuh dengan nilai-nilai yang tinggi dan tertib telah menjadi tonggak utama pembangunan negara Malaysia sebagai negara Islam dan demokrasi berparlimen.
Justeru, menerusi kajian ini akan menjelaskan nilai peradaban masyarakat Melayu berteraskan nilai-nilai agama Islam dalam pembinaan negara bangsa. Kajian ini juga akan menghuraikan asas-asas nilai-nilai budaya masyarakat Melayu yang kini berhadapan dengan pengaruh luar dalam era globalisasi serta permasalahan yang dihadapi oleh bangsa Melayu dalam konteks negara bangsa.
Kajian ini akan menumpukan kepada nilai-nilai murni yang terdapat dalam budaya masyarakat Melayu. Nilai murni masyarakat Melayu perlu ditittikberatkan kerana asas kepada perkembangan kebudayaan masyarakat Melayu di negara ini. Asas kepada nilai-nilai budaya masyarakat Melayu dikaitkan dengan kedatangan Islam ke Alam Melayu yang telah membentuk budaya Melayu.
Sejarah Ringkas Masyarakat Melayu
Konsep Melayu yang digunakan dalam konteks yang lebih luas sebagai penduduk asal di alam Melayu ini adalah berasaskan kepada idea yang dapat dikesan kepada sejarah peradaban Melayu itu sendiri. Dengan kepelbagaian kelompok sosial dan sub budaya yang membina masyarakat dan budaya Melayu yang lebih luas itu telah memberikan kekuatan yang menyatakan kekayaan khazanah budaya Melayu.
Istilah Melayu merujuk kepada tiga pengertian atau dimensi yang berbeza, iaitu ras (genetik atau biologi), kebudayaan dan bahasa. Ras Melayu merujuk kepada sekumpulan manusia yang memiliki ciri-ciri genetik yang sama dan yang berasal dari alam Melayu.
Kebudayaan Melayu merujuk kepada pegangan dan amalan yang didasarkan kepada agama Islam dan adat resam masyarakat Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa yang dituturkan di seluruh Kepulauan Melayu. Ia merangkumi subkeluarga seperti bahasa Jawa, Sunda, Madura, Acheh, Minangkabau, Sasak, Melanau, Iban, Bajau, Murut, Bugis dan Sulu. Selepas kedatangan Islam bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa terpenting di dunia (Osman Bakar, Azizan Baharudin, dan Zaid Ahmad, 2009: 63-64).
Masyarakat Melayu sudah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 5,000 tahun dahulu. Amalan bermesyuarah dalam masyarakat Melayu diamalkan bersesuaian dengan cara kehidupan masyarakat yang menekankan nilai kesaksamaan antara ahli-ahlinya. Amalan ini lazimnya diamalkan dalam kalangan masyarakat desa manakala masyarakat bangsawan dan istana, raja atau sultan berkuasa mutlak. Selain daripada kemunculan nilai-nilai yang dibentuk sendiri dalam budaya Melayu, nilai-nilai baru juga diterima daripada interaksi dengan masyarakat luar.
Perkembangan masyarakat Melayu selalu dikaitkan dengan kerajaan-kerajaan awal Melayu seperti Kerajaan Lembah Bujang (Kedah Tua), Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Majapahit, Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Kesultanan Johor dan seterusnya. Nilai-nilai masyarakat Melayu tergambar dalam setiap perkembangan kerajaan-kerajaan Melayu. Kedatangan agama Hindu, Buddha dan Islam telah memantapkan lagi nilai-nilai yang sedia ada.
Pandangan Semesta Alam Masyarakat Melayu
Bagi mengkaji nilai dalam budaya masyarakat Melayu, adalah penting untuk melihat secara ringkas pengaruh-pengaruh yang membentuk budaya masyarakat Melayu. Sebelum kedatangan Islam, agama Hindu atau Buddha telah bertapak
di dalam kehidupan masyarakat di Kepulauan Melayu. Pengaruh agama Hindu atau Buddha telah memberi kesan yang amat dalam dan kuat terutama sekali dalam sistem politik, sosial, ekonomi dan pemikiran masyarakat Melayu.
Kedatangan Islam dikatakan telah memantapkan keseluruhan Pandangan Semesta Melayu.
Pandangan dunia Melayu (Malay World view) dilihat dari pelbagai aspek iaitu merangkumi pandangan terhadap: (Nadiah Abdul Rahman dan Priscilla Law Nguik Hung, Tamadun Islam dan Asia, 2008: 57)
a) Alam nyata yang meliputi pandangan dan cerapan (persepsi) terhadap objek alam seperti laut, sungai, hutan dan gunung.
b) Alam ghaib yang meliputi makhluk ghaib, alam selepas mati dan konsepsi kuasa atau tenaga dalam alam seperti semangat, nyawa dan roh.
c) Sesama manusia yang meliputi pandangan terhadap orang lain dalam rangka hubungan kita-mereka (we-they)
Dalam budaya masyarakat Melayu, pelbagai upacara agama dilakukan yang menggambarkan interaksi manusia dengan kuasa ghaib. Penggunaan pelbagai lambang seperti bulan bintang juga melambangkan hubungan manusia dengan agama Islam. Cerita penglipur lara juga tidak hilang dalam budaya masyarakat Melayu. Amalan berpantun, pepatah, perbilangan dan sebagainya menggambarkan kebudayaan Melayu yang tinggi nilainya.
Sebelum kedatangan agama Islam, masyarakat Melayu mengamalkan kepercayaan animisme dan dinamisme. Animisme adalah percaya kepada setiap benda ada jiwa, roh dan semangat. Dinamisme pula, kepercayaan kepada tenaga yang ada dalam roh, jiwa dan semangat dalam diri manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan atau benda-benda yang boleh mendatangkan kesan baik dan buruk.
Kedatangan Hindu atau Buddha telah menjadikan upacara keagamaan masyarakat Melayu lebih rapi dan formal. Kesan yang jelas sekali ialah pemisahan golongan raja, para bangsawan, golongan agama dan rakyat jelata. Dan ini telah menular dalam budaya masyarakat Melayu.
Kedatangan agama Islam telah memberi jawapan terhadap kejadian alam, memantapkan keseluruhan pandangan semesta Melayu dan tertumpu kepada Tuhan (God-Centered) (Nadiah Abdul Rahman dan Priscilla Law Nguik Hung, Tamadun Islam dan Asia, 2008: 60)
Budaya masyarakat Melayu terbina dengan semulajadi sejak awal lagi. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh agama Hindu atau Buddha dan agama Islam telah mengukuhkan lagi sistem kepercayaan, kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu.
314 Pengaruh Agama Islam Dalam Masyarakat Melayu
Kedatangan Islam telah banyak mencorakkan suasana masyarakat Melayu. Kesan dan pengaruh kedatangan Islam dalam kebudayaan Melayu dapat dilihat dalam pelbagai aspek seperti, akidah, politik, sosial, undang-undang, ekonomi, kesenian, bahasa dan sastera serta pendidikan. Nilai-nilai keislaman dalam budaya Melayu amat jelas sekali. Agama Islam telah mengubah bentuk kepercayaan, corak hidup dan pandangan semesta masyarakat Melayu. Kepercayaan kepada dewa dan animisme bertukar keada kepercayaan kepada Allah S.W.T dan rasul-Nya. Walaupun Islam telah bertapak kuat alam kehidupan masyarakat Melayu, ini tidak bermakna kepercayaan animisme dan Hindu-Buddha berjaya dikikis sepenuhnya daripada kehidupan masyarakat Melayu. Masih terdapat banyak petunjuk yang menggambarkan masyarakat Melayu terpengaruh dengan unsur-unsur sebelum kedatangan Islam.
Proses Sosialisasi dan Pembudayaan dalam masyarakat Melayu
Sosialisasi merujuk kepada proses mempelajari aspek-aspek kemasyarakatan atau perkara-perkara yang diamalkan dalam masyarakat supaya seseorang itu dapat berfungsi dalam masyarakatnya. Pembudayaan (enculturation) merujuk kepada proses penerapan unsur-unsur budaya supaya seseorang bertindak dalam lingkungan peraturan, norma dan nilai masyarakatnya. (Nadiah bt Abdul Rahman dan Priscilla law Nguik Hung, 2008:70).
Kedua-duanya bertujuan mengekalkan kesinambungan budaya Melayu. Keutamaan orang Melayu dalam proses sosialisasi dan pembudayaan ialah pembentukan jati-diri serta peribadi Melayu yang baik, berakhlak dan berbudi. Proses ini telah menanam nilai budaya yang kuat dalam masyarakat Melayu. Antara agen yang penting dalam proses ini ialah keluarga, kelompok, sekolah sekular dan agama, maktab-maktab dan universiti-universiti.
Pembentukan budaya masyarakat Melayu mempunyai asas yang kukuh. Asas utama ialah agama Islam. Masyarakat Melayu akan mengazankan (membacakan kalimah azan) kepada bayi lelaki dan mengqamatkan bayi perempuan (membacakan kalimah qamat). Budaya ini telah dilakukan sejak kedatangan Islam ke Alam Melayu sejak dahulu lagi. Tujuannya ialah untuk memperdengarkan seruan azan, kalimah syahadah dan untuk meniupkan roh dan semangat Islam kepada bayi.
Asas kedua pula ialah mengamalkan dan mengekalkan adat turun menurun. Ini adalah amalan yang dilakukan sekian lama atas pengaruh Islam dan Arab. Konsep adat memancarkan hubungan mendalam serta bermakna antara manusia dengan alam sekitarnya, termasuk alam tabii, alam sosial dan alam ghaib. Gabungan Islam dan adat terdapat dalam semua upacara kitaran hidup masyarakat Melayu seperti mencukur rambut, turun tanah atau mencecah tanah, membela mulut serta berkhatan. Antara unsur-unsur Islam yang diterapkan secara berterusan ialah kanak-kanak diajar konsep dosa, pahala, haram dan halal. Begitu juga dengan kanak-kanak diajar sembahyang, berpuasa dan mengaji al-Quran. Kesemua ini telah membentuk nilai budaya masyarakat Melayu yang tinggi sehingga kini.
Terdapat beberapa daya kreativiti budaya masyarakat Melayu yang dapat dilihat melalui penggubalan peribahasa dan kata perbilangan yang bertujuan sebagai panduan, teladan dan sempadan dalam proses sosialisasi. Contohnya:
i. Seperti ayam mematuk anaknya
ii. Tatkala rebung hendak dilentur jangan dinantikan menjadi aur
iii. Bapa borek anak rintik
iv. Seperti ketam mengajar anak berjalan lurus
v. Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari
Pemikiran Masyarakat Melayu
Pemikiran adalah perilaku penyelesaian masalah. Manusia mula berfikir sebagai daya usaha untuk penyesuaian diri dengan alam sekeliling. Kenyataan ini amat relevan dalam konteks pemikiran Melayu tradisional. (Che Ibrahim Salleh, Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu, 2008: 35).
Masyarakat Melayu mengalami perubahan alam pemikiran secara evolusi bermula dengan pegangan kepada konsep kepercayaan Paganisme, Animisme, Hindu, Buddha, Islam, dan sekularisme. Dalam hal ini, pegangan masyarakat Melayu turut dipengaruhi oleh konsep-konsep kepercayaan tersebut. Perubahan ini menunjukkan alam pemikiran Melayu terbuka. Seandainya proses penyesuaian tidak dilakukan, mungkin berlaku pertentangan dan konflik budaya akan menyebabkan berlakunya permusuhan dan penolakan terhadap konsep yang cuba diterapkan. Kedatangan Islam ke alam Melayu telah membawa unsur rasionalisme dan intelektualisme ke dalam penghidupan masyarakat Melayu. Perubahan yang jelas sekali ialah mengubah kepercayaan masyarakat Melayu dari kepercayaan yang mempersekutukan Allah kepada agama mentauhidkan Allah.
Islam sebagai agama sejagat yang merangkumi keseluruhan cara hidup, sudah tentu membawa perubahan keseluruhan pemikiran masyarakat Melayu. Demikianlah hubungan Islam dengan masyarakat Melayu ketika awal kedatangannya sehingga meninggalkan kesan dalam jiwa bangsa Melayu. Kini Islam dan Melayu sudah menjadi suatu sinonim yang tidak dapat dipisahkan. Masyarakat Melayu dalam ilmu pengetahuan tidak lagi terkongkong di istana dan kalangan golongan bangsawan, seperti zaman Hindu-Buddha, tetapi disebarkan juga dalam kalangan rakyat jelata melalui pendidikan dan pengajaran di masjid, surau, madrasah dan pesantren. Penumpuan ilmu pengetahuan dan persuratan bukan lagi menekankan aspek estetik, romantik, ketakjuban, daya khayalan dan imaginasi, tetapi kepada yang lebih rasional, akali dan intelektual, cetusan dan dorongan secara langsung daripada al-Quran dan hadis yang menekankan kewarasan, kerasionalan berasaskan akal budi dan ilmu yang sahih dan nyata. Proses ini telah membentuk alam pemikiran masyarakat Melayu termasuk budayanya.
Asas Nilai Pembentukan Kebudayaan Melayu
Memandangkan kebudayaan mencakupi segala bidang kehidupan manusia, adalah penting untuk membincangkan secara ringkas aspek sosial, politik, adat dan istiadat, serta ekonomi. Aspek ini hampir menerangkan kebudayaan masyarkat Melayu sehingga kini. Aspek sosial meliputi kepercayaan dan agama sejak pra-sejarah hingga kedatangan Islam, struktur masyarakat, perhubungan dan kedudukan wanita dalam masyarakat.
Aspek budaya politik termasuklah konsep raja dan kerajaan yang melibatkan asal keturunan raja, kebesaran, taat setia rakyat dan penubuhan sesebuah kerajaan atau negeri serta sistem pemerintahan. Aspek kebudayaan juga menyentuh adat istiadat yang merupakan undang-undang dan peraturan seperti pertabalan, perkahwinan dan kematian. Disini bentuk serta perlaksanaan adat istiadat akan dititikberatkan. Aspek ekonomi merujuk kepada ekonomi tradisional yang sering dikaitkan dengan orang Melayu seperti ekonomi sara diri (secukup hidup). Pendedahan dan penyesuaian masyarakat Melayu dengan budaya baru dari luar telah mengubah nilai budaya mereka. Namun bukan semua yang mengalami perubahan. Aspek kepercayaan animisme masih lagi dikekalkan. Pembentukan jati diri dan peribadi Melayu yang baik, beragama, berakhlak dan berbudi menjadi keutamaan dalam proses sosialisasi dan pembudayaan.
Akidah Islam
Nilai-nilai yang menjadi asas kepada tamadun Melayu berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam. Kesemua nilai tersebut berkait rapat dengan konsep iman yang terdapat dalam agama Islam. Nilai asas ini boleh dilihat dalam ungkapan-ungkapan Melayu seperti peribahasa, perumpamaan dan pepatah-pepatih. Terdapat pelbagai perkara yang boleh dibuat untuk menunjukkan nilai-nilai budaya masyarakat Melayu.
Pengaruh kedatangan Islam ke dalam masyarakat Melayu banyak mengubah budaya Melayu. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T merupakan perkara yang paling penting dalam agama Islam. Ia melibatkan asas pegangan hidup, pemikiran atau falsafah kepada kehidupan manusia di dunia ini. Mentaati segala yang dituntut dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah S.W.T. adalah sebahagian daripada cara bagaimana orang Melayu mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan. Dalam hal ini, pandangan semesta masyarakat Melayu berunsurkan tradisional disesuaikan dengan dasar-dasar akidah Islam.
Ketaatan kepada Sultan dan Menghormati Pemimpin
Sejarah masyarakat Melayu berkait rapat dengan kesultanan Melayu. Masyarakat Melayu taat setia kepada Sultan atau Raja sejak turun-menurun yang diikuti dan diajar oleh orang Melayu sehingga ke hari ini. Ini membuktikkan bahawa budaya masyarakat Melayu amat menghormati pemimpin. Nilai ketaatan dan kesetiaan kepada Sultan atau Raja telah menjadi sebahagian budaya orang Melayu. Nilai inilah yang membentuk budaya masyarakat Melayu menjadi orang yang berdisiplin. Dalam agama Islam pemimpin adalah khalifah Allah S.W.T. di muka bumi.
Dalam pepatah Melayu:
Ada raja adat berdiri, Tiada raja adat mati
Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah
Biar mati anak, jangan mati adat dan,
raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.
Berpegang Teguh kepada Adat Resam
Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuk pantang-larang dan adat isitadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-menurun. Antara adat istiadat yang masih diamalkan seperti adat istiadat menyambut kelahiran, perkahwinan dan kematian. Orang Melayu memahami kedaulatan hukum-hukum adat sejak dahulu lagi dan mematuhinya. Dalam pepatah Melayu ada menegaskan, adat dikelek dan hukum dijunjung.
Terdapat beberapa upacara “rites de passage” gabungan unsur Islam dan adat diadakan pada hampir setiap tahap kitaran hidup. Contohnya, sebelum seseorang itu dilahirkan lagi, berbagai-bagai pantang larang diikuti. Ibu yang mengandung dilarang melakukan perbuatan yang buruk atau keji. Dengan berbuat demikian, dipercayai anak yang bakal dilahirkan sedikit sebanyak mewarisi perangai kedua-dua ibu bapaya (yang dilakukan semasa ibu mengandungkannya).
Memuliakan yang Tua
Dalam masyarakat Melayu, menghormati dan memuliakan orang yang tua adalah satu nilai yang jelaskan sekali berlaku. Nilai ini berkaitan dengan pemahaman masyarakat Melayu bahawa orang yang lebih berusia mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding orang-orang muda. Pengalaman adalah sesuatu yang sentiasa dipandang penting dalam masyarakat Melayu. Golongan muda digalakkan merantau untuk mencari pengalaman lain. Dalam konteks Islam, Baginda S.A.W. tidak mengiktiraf umat yang tidak menghormati orang yang tua dan menyayangi orang yang orang muda. Menghormati dan mendengar nasihat orang tua, orang muda tidak akan melakukan kesilapan dan kesalahan dalam hidup mereka. Apa yang penting ialah kerjasama antara orang muda dengan orang tua harus dipupuk untuk menjamin keharmonian masyarakat sekeliling.
Saling Menghormati
Salah satu nilai budaya orang Melayu tidak memandang rendah kepada orang lain. Orang Melayu saling menghormati orang lain dan bersikap rendah diri. Orang Melayu digalakkan memberi penghormatan terlebih dahulu kepada orang lain. Orang yang tidak membalas penghormatan yang diberi akan dipandang rendah.
Meraikan Tetamu
Meraikan tetamu merupakan satu nilai yang penting dalam masyarakat Melyu. Mengikut ajaran agama Islam, tetamu hendaklah dilindungi, dimuliakan dan dilayan dengan sebaik mungkin, malah tuan rumah disunatkan berkorban dan tidak mementingkan diri sendiri demi menjaga dan menghormati tetamu. Oleh yang demikian, tetamu sentiasa dipandang baik oleh orang Melayu dan diraikan dengan sebaik-baiknya.
Bertimbang Rasa
Orang Melayu sentiasa mengutamakan perasaan orang lain dalam pelbagai keadaan. Sikap bertimbang rasa menjadikan masyarakat Melayu tidak mementingkan perasaannya semata-mata. Pemikiran ini memerlukan kita tidak mengikut perasaan sahaja, ia memerlukan pertimbangan perasaan orang lain. Nilai bertimbang rasa ini adalah salah sifat terpuji dalam Islam. Dalam masyarakat Melayu kini, orang muda haruslah meminta kepada orang tua sesuatu yang termampu dan tidak melampau. Begitu juga, dengan permintaan terhadap rakan-rakan, seharusnya rasional dan wajar. Setiap permintaan dan kelakuan harus ada timbang rasa. Budaya inilah yang akan menaikkan masyarakat Melayu.
Bersopan Santun atau Berbudi Pekerti
Nilai ini membentuk masyarakat Melayu yang penyabar dan penyayang, bersopan santun dan berbudi pekerti adalah sebahagian daripada nilai-nilai tamadun Melayu yang berkaitan dengan beradab (atau civilized). Masyarakat Melayu menganggap bahawa orang yang beradab sebagai halus (atau refined) budi pekertinya, manakala yang tidak beradab dianggap kasar. Sesuai dengan penegasan Nabi S.A.W. bahawa: Baginda diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Islam menganjurkan pengikutnya sentiasa bercakap benar dan melarang pembohongan. Begitu juga di bidang penulisan, terutama dalam konteks laporan berita, isi karya yang dihasilkan mestilah benar dan tidak mengandungi penyelewengan. Ia harus membantu dalam meninggikan pemikiran masyarakat. Dalam berpakaian, selain bersih, Islam juga menekankan pentingnya menutup aurat. Namun, sesetengah orang Melayu/Islam ‘moden’ gemar mengamalkan budaya dedah. Pendidikan moral memang sesuai untuk membentuk masyarakat lain yang sopan. Tetapi, masyarakat Melayu dan Islam amnya amat perlukan pendidikan Islam.
Untuk membina masyarakat sopan, kita harus mulakan dari institusi keluarga. Ibubapa memainkan peranan penting kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik anak-anak bangsa menjadi orang berguna. Tugas utama mereka ialah memastikan keharmonian keluarga dan tidak bercerai-berai. Sekitaran yang harmoni dapat merangsang perkembangan mental dan rohani anak-anak mereka.
Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Misalnya, mereka tidak harus bertengkar di hadapan anak-anak kerana ini akan menjejas jiwa anak-anak mereka. Banyak masalah sosial yang melanda masyarakat berpunca daripada kelalaian ibu bapa mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Oleh itu, ibubapa Melayu/Islam perlu menilai kembali pegangan hidup mereka demi mengekalkan citra sopan Melayu.
Bekerja bersungguh-sungguh
Masyarakat Melayu mementingkan nilai bekerja bersungguh-sungguh. Nilai ini juga sebahagian daripada ajaran agama Islam yang menuntut pekerjaan halal dan kesungguhan bekerja. Mengikut pemikiran ini, hasil pekerjaan kita akan menjadi sebahagian daripada darah daging kita dan juga ahli keluarga kita. Apabila kita melakukan perkerjaan yang haram atau tidak melakukan pekerjaan kita dengan sempurna, perkara yang tidak elok akan menjadi sebahagian daripada diri kita sendiri dan ahli keluarga.
Ia mampu untuk membuatkan kita menjadi orang yang tidak elok. Rasulullah S.A.W. menegaskan bahawa Allah S.W.T. amat menyukai mukmin yang tekun dan teliti apabila menunaikan satu-satu pekerjaan yang diamanahkan. Terdapat pemimpin Negara kita yang mengutamakan nilai bekerja bersungguh-sungguh. Antaranya, Perdana Menteri Malaysia Kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau sentiasa mengingatkan masyarakat agar menerapkan nilai ini dalam kerjaya.
Bergotong-royong
Salah satu nilai budaya masyarakat orang Melayu ialah melakukan sesuatu perkerjaan dengan bergotong-royong kehidupan secara berkumpalan. Gotong-royong diamalkan dalam aktiviti seperti kenduri-kendara, menanam dan menuai padi, membersihkan rumah ibadat dan tanah perkuburan. Masyarakat Melayu kini, masih lagi giat bergotong-royong dalam melaksanakan apa sahaja untuk kepentingan masyarakat sekeliling. Antara sifat masyarakat Melayu ialah dalam membersihkan masjid, surau dan sebagainya. Dalam membersihkan masjid, amalan ini dilakukan sejak awal kedatangan Islam di Alam Melayu. Sifat ini menggambarkan budaya Melayu sentiasa bersatu padu dalam apa jua cabaran dan halangan.
Bermesyuarah dan Bermuafakat
Nilai masyarakat Melayu iaitu bermesyuarah ataupun bermuafakat adalah cara bagaimana masyarakat Melayu cuba mencapai persetujuan ramai. Orang Melayu selalu menyebut “Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat”. Orang ramai diberi peluang untuk menyuarakan pendapat mereka dan persetujuan dicapai dengan mengambil kira semua pendapat. Sesuai dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran :
“Supaya sentiasa bermesyuarat dalam semua urusan hidup mereka”
(surah
al-Syura, ayat 38)
Mengutamakan Ikatan Kekeluargaan dan Hubungan Silaturahim
Dalam budaya masyarakat Melayu adalah satu perkara penting yang harus diketahui oleh masyarakat kini iaitu mengutamakan ikatan kekeluargaan dan hubungan silaturahim. Ini dapat dilihat daripada amalan gelaran dalam keluarga seperti, datuk, nenek, along, angah, pak cik dan mak cik. Apa yang paling jelas sekali ialah cara bagaimana mengikat hubungan silaturahim orang Melayu. Orang Melayu bersifat bekerjasama dalam mengadakan kenduri kendara dan saling ziarah menziarahi. Amalan ini amat berkesan dalam memupuk ikatan kekeluargaan malah dalam persahabatan.
KESIMPULAN
Nilai bahasa dan budaya adalah amat penting dalam pembentukan negara bangsa. Adalah penting untuk mempertahankan nilai-nilai yang dimiliki oleh masyarakat setempat. Sebagai sebuah negara bangsa yang masyarakatnya berbilang kaum dan agama seharusnya memiliki pelbagai nilai dan norma. Hal ini dapat diperhatikan dalam perlakuan-perlakuan harian masyarakat setempat. Bahasa dan budaya Melayu merupakan asas bagi pembentukan tamadun Malaysia hingga kini.
Masyarakat Melayu amat menitikberatkan perlakuan seseorang dalam meletakkan kedudukannya dalam masyarakat. Seperti yang telah dibincangkan dalam kajian ini, pengaruh agama Islam terhadap masyarakat Melayu amat mendalam sekali. Sehingga membentuk sebuah masyarakat yang memiliki nilai-nilai yang jelas dalam kehidupan harian. Kedatangan agama Islam ke Alam Melayu telah menaikkan martabat bahasa dan budaya masyarakat Melayu sehingga kini. Nilai utama Islam yang berasaskan akidah telah membentuk nilai ketaatan dan keimanan kepada Allah S.W.T. sehingga membentuk nilai-nilai baru dalam budaya Melayu.
Dalam membina peradaban bangsa Malaysia menjelang 2020, apa yang pasti ialah budaya dan nilai luhur yang wujud dalam agama Islam dan budaya orang Melayu perlu diperkasakan dan dijadikan sebagai teras kepada pembentukan dan pembinaan bangsa Malaysia dan Negara Malaysia. Ini kerana Melayu pernah membuktikan kepada dunia bahawa mereka pernah mengecapi zaman kegemilangan lantaran berpegang teguh dan menghayati sepenuhnya agama Islam.
Dalam konteks negara bangsa, adalah amat penting bagi masyarakat kini menilai dan menghayati kembali nilai-nilai dalam budaya Melayu yang telah menjadi asas dalam pembentukan tamadun Malaysia. Sebagai sebuah negara yang majmuk, seharusnya kerjasama dan toleransi amat penting untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian. Penerapan nilai bahasa dan budaya Melayu perlu dilaksanakan oleh semua pihak dan pelbagai bidang. Walaupun amat dititikberatkan dalam pendidikan Islam dan Moral dalam pembelajaran, namun institusi lain juga harus menerapkan nilai-nilai tersebut. Semua pihak haruslah berganding bahu bagi mengekalkan nilai-nilai budaya yang selama ini menjadi asas bagi keharmonian dan ketamadunan negara Malaysia.
Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang Keenam haruslah diiringi dengan penerapaan nilai-nilai budaya Melayu. Begitu juga dengan nilai-nilai budaya masyarakat yang lain. Saling menghormati dan terbuka akan meningkatkan lagi keharmonian masyarakat Malaysia. Oleh yang demikian, adalah satu kepentingan untuk memupuk nilai- nilai budaya masyarakat Melayu kepada masyarakat zaman sekarang supaya dapat mengekalkan kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia. Untuk mengulangi zaman kegemilangan Melayu ketika dahulu, generasi hari ini perlu kembali memahami dan menghayati agama Islam dalam erti kata yang sebenar kerana Islam adalah dinamik dan progresif.
BIBLIOGRAFI
A.Aziz Deraman. (2005). Asas Pemikiran Kebudayaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Rahman Al-Ahmadi. (2003). Tamadun Rumpun Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, kesenian dan Warisan Malaysia.
Ahmad Zaki Abd. Latif et al. (2009). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Shah Alam: Oxford Fajar.
Anwar Ridhwan. (2005). Minda Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azhar Hj. Mad. Aros. (2004). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Shah Alam: Kertas 1 dan 2. Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Che Ibrahim Salleh. (2008). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Universiti Putra Malaysia. Serdang.
Dr. Zaid Ahmad et al. (2006). Hubungan Etnik Di Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar.
Haron Daud. (1989). Sejarah Melayu, Satu Kajian Daripada
Aspek Persejarahan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ishak Bin Saat. (2006). Sejarah Sosiobudaya Melayu. Karisma Publications Sdn. Bhd. Shah Alam.
Mohd Aris Haji Othman. (1985). Identiti Etnik Melayu, Siri Kemasyarakatan Fajar Bakti. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Petaling Jaya.
Mohd Taib Othman. (2004). Budaya dan Bahasa Melayu, Masalah dan Harapan. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Mohd Taib Osman dan Wan Kadir Yusoff. (1983). Kajian Budaya dan Masyarakat di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nadiah Abdul Rahman dan Priscilla Law Nguik Hung. (2008). Tamadun Islam dan Asia. Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Mc Graw Hill Education.
Osman Bakar et al. (2009). Modul Pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Robiah Sidin dan Juriah Long. (1998). Nilai Budaya Masyarakat Desa, Kajian Etnografi di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Pahang. Jilid 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shamsul Amri baharuddin. (2007). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi MARA.
Wan Hashim Wan Teh dan Ismail Hamid. (1998). Nilai Budaya Masyarakat Desa, Kajian Etnografi di Wang Kelian, Perlis. Jilid 1.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Abdul Kadir. (2010). Pembangunan Industri Budaya dan Identiti Melayu (Malaysia-Indonesia). ccm.um.edu.my(02/02/2010)
Worawit Baru @ Haji Ahmad Idris. (2004). Pemikiran Melayu: Tradisi dan Kesinambungan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Labels:
KAJIAN ILMIAH
Thursday, 31 May 2012
BAHASA MELAYU DALAM ERA TEKNOLOGI MAKLUMAT DAPAT MEREALISASIKAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA MALAYSIA-Mahani Hj Matzin[diselenggarakan oleh Rozali Rajab]
Abstrak
Sekitar tahun 1980-an dan 1990-an ialah tahun yang dikuasai oleh perkembangan pesat teknologi maklumat (TM) dan sehingga ke hari ini TM begitu pesat berkembang dan teknologinya semakin canggih. Kepantasan perkembangan teknologi maklumat kini menawarkan kecekapan khidmat bahasa daripada segala aspek pembinaan dan penyelidikan kepada pengembangan dan peluasan. Justeru, tidak hairanlah usaha pemanfaatan infrateknologi tersebut telah dijelajah oleh setiap negara di dunia untuk meningkatkan martabat bahasa masing-masing di samping melestarikan kewibawaan bahasa mereka ke pelosok dunia dan juga sebagai satu usaha ke arah pembentukan sebuah negara bangsa berdaulat, aman dan harmoni. Sehubungan itu, kertas kerja ini adalah untuk menjelaskan makna era teknologi maklumat dan negara bangsa serta menerangkan implikasi terhadap budaya manusia dan negara bangsa. Selain daripada itu, beberapa langkah dan cadangan diberikan iaitu cara bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dapat merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa. Antaranya dengan cara menyelesaikan dasar negara terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi maklumat, peranan dan sumbangan serta tindakan perancang bahasa, para sarjana,ilmuan dan pemikir bahasa Melayu dalam menghadapi cabaran pada zaman teknologi maklumat ini. Dalam usaha merealisasikan impian agar bahasa Melayu mencapai taraf sebagai bahasa maju dan mantap pada persada antarabangsa serta dalam era globalisasi, maka semua pihak sebagai penutur jati bahasa Melayu seharusnya bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia setanding dengan bahasa Inggeris. Selain daripada itu, kita juga seharusnya memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat untuk menyemarakkan usaha ke arah pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia yang berdaulat dan harmoni menerusi penggunaan sepenuhnya bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat.
PENGENALAN
Proses pembentukan sebuah negara bangsa sering mengambil kira bahasa sebagai faktor utama dalam perpaduan masyarakat majmuk. Justeru, bahasa memainkan banyak peranan penting dalam memastikan keharmonian dan kemajuan sesebuah negara. Di Malaysia, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa perpaduan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bahasa Melayu menduduki tempat keempat sebagai bahasa dunia yang terpenting. Tempat pertama bahasa Inggeris, kedua Sepanyol, tempat ketiga bahasa Mandarin. Sebagai bahasa keempat di dunia yang mencapai angka lebih 250 juta penutur, semestinya bahasa ini wajar dimartabatkan sebagai bahasa yang penting. Justeru, di Malaysia, semenjak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pelbagai usaha telah dilakukan terutamanya oleh golongan pencinta bahasa dan budaya Melayu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan berdaulat. Namun begitu, usaha-usaha tersebut telah banyak mendapat cabaran ekoran daripada arus modenisasi dan globalisasi yang memanggil masyarakat bersaing dalam rantau sejagat.
Menurut Ahmad Adam (1996), walaupun sistem pendidikan dan pentadbiran negara kebanyakannya mengutamakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan bahasa rasmi, pandangan umum cendekiawan khasnya berpendapat bahawa bahasa Melayu tidak digunakan secara meluas sebagaimana yang diharapkan dalam pembentukan negara bangsa. Ekoran itu, pelbagai usaha telah dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pejuang-pejuang bahasa Melayu di negara ini dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat bagi memperkasa bahasa Melayu dalam merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia yang berdaulat.
Justeru, kertas kerja ini akan membincangkan kedudukan bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembentukan negara bangsa Malaysia. Dalam hal ini, perbincangan akan menjurus kepada langkah-langkah atau cadangan bagaimana bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dapat merealisasikan pembentukan negara bangsa Malaysia.
Dalam kajian ini, beberapa pembatasan dibuat bagi menentukan ianya menepati apa yang dikehendaki. Fokus utama kajian ini ialah menjelaskan makna era teknologi maklumat dan konsep negara bangsa. Di samping itu, kajian ini turut menjelaskan implikasi teknologi maklumat terhadap budaya manusia dan pembentukan negara bangsa. Seterusnya, kajian ini menyatakan langkah atau cadangan bagaimana bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dapat merealisasikan pembentukan negara bangsa Malaysia.
Definisi Era Teknologi Maklumat dan Negara Bangsa
Pada tahun 1960-an Marshall McLuban telah meramalkan bahawa dunia akan menjadi ‘kampung sejagat’ atau global village. Proses ‘pengampungan dunia’ ini kini lebih dikenali dan popular diistilahkan sebagai ‘pengglobalan’ atau ‘globalisasi’. Banyak kuasa atau faktor yang bertanggungjawab menggerakkan proses ini. McLuhan memikirkan faktor komunikasi dapat merentas sempadan dunia dengan kelajuan yang semakin pantas. Kini, kuasa atau faktor yang sama sudah mencapai tahap perkembangan yang lebih canggih lagi iaitu dalam bentuk yang disebut sebagai teknologi maklumat (TM). Justeru, dewasa ini seluruh dunia telah dikatakan sudah dirempuh, ditembusi, diasak dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai jenis maklumat yang disebarkan secara elektronik melalui ruang siber.
Sehubungan itu, setiap negara di dunia telah memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat sebagai satu usaha untuk memartabatkan bahasa masing-masing di samping melestarikan kewibawaan bahasa mereka agar dikenali dan diketahui oleh masyarakat dunia. Fenomena ini tidak terkecuali berlaku di negara kita Malaysia. Peluang ini telah dimanfaatkan dan diusahakan oleh pengkaji-pengkaji bahasa, para sarjana, ilmuan dan cerdik pandai teknologi maklumat di negara kita. Bagi merealisasikan hasrat untuk membentuk sebuah negara bangsa yang maju dan berdaulat, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ialah satu-satunya bahasa yang berkeupayaan untuk menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa dunia menerusi kecanggihan teknologi maklumat.
Menurut Kamus Dewan (1994: 924), negara bangsa didefinisikan sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembinaan negara bangsa pula merupakan satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’ dalam kalangan penduduk sesebuah negara (INTAN, 1980). Dengan kata lain bererti mewujudkan sentimen satu bangsa dan satu negara serta melahirkan keperibadian bangsa (Faizal Othman, 1993).
Rustam Sani (1993) pula menyatakan negara bangsa ialah sebuah komuniti politik yang bersifat simbolik. Penduduknya terangkum di dalam sebuah wilayah yang mempunyai simbol-simbol kewibawaannya yang simbolik. Simbol-simbol tersebut telah dijadikan asas untuk memupuk nilai-nilai patriotisme, kebanggaan dan jati diri negara bangsa dalam kalangan warganya. Antara simbol tersebut ialah institusi perlembagaan, ideologi negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain yang dapat membentuk kesepaduan dalam kalangan warganya. Emerson pula menafsirkan negara bangsa sebagai rasa diri sebagai satu bangsa menghasilkan penciptaan satu deria matlamat yang sama dan jati diri yang sama. Faktor mempercepat jati diri yang sama ialah wilayah, bahasa, tradisi sejarah yang sama dan saling hubungan negara dan bangsa. Tidak dinafikan, terdapat banyak tafsiran tentang makna negara bangsa. Namun, menurut Abdul Rahman Embong (2001:12), persoalan negara bangsa secara konseptual menjadi permasalahan penting disebabkan terdapat beberapa kekeliruan tentangnya. Ini kerana ada pihak yang menganilisis perkara tersebut secara legalitis dengan menghubungkannya dengan konsep ‘warganegara’ dan ada pula yang melihatnya berdasarkan konsep ras yang dihujahkan sebagai sukar untuk terbentuk.
Ringkasnya, negara bangsa merupakan satu keadaan iaitu keseluruhan rakyatnya sudah menerima satu ‘pandangan dunia’ (weltanschauung) politik yang sama. Institusi perlembagaan, ideologi negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain pula merupakan simbol-simbol yang dapat digunakan bagi membentuk kesepaduan dan jati diri dalam kalangan rakyat di dalam negara bangsa itu. Jelaslah bahawa pembinaan negara bangsa sangatlah kompleks untuk dilaksanakan tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan di Malaysia. Penghayatan, pemahaman dan kepekaan daripada masyarakat secara keseluruhan adalah amat diperlukan bagi menjaya dan mewujudkan negara bangsa yang unggul ini.
Pembentukan Negara Bangsa
Dalam usaha menuju ke arah membentuk sebuah negara bangsa Malaysia, terdapat tiga faktor yang mendominasi perbincangan iaitu faktor politik, ekonomi, dan sosial. Mengikut Ranjit (1996), faktor politik dilihat dari sudut penggabungan parti politik pelbagai kaum melalui Parti Perikatan dan Barisan Nasional (BN). Kerjasama dan pakatan politik pelbagai kaum dalam BN telah menghasilkan kestabilan politik dan keamanan di dalam negeri. Faktor politik juga merupakan ciri asas ke arah mempercepat agenda pembinaan negara bangsa ini.
Kestabilan politik menjadi prasyarat kepada pembangunan dan kepesatan ekonomi sesebuah negara. Secara umumnya, terdapat perbezaan persepsi antara individu dalam melihat faktor ini. Perbezaan persepsi ini berlaku kerana dalam masyarakat majmuk yang dicirikan oleh kewujudan berbagai-bagai unsur perbezaan menghasilkan kehendak yang berbeza dalam melihat sesuatu isu. Seterusnya, keadaan ini menghasilkan perbezaan falsafah dalam rupa pembinaan negara bangsa dan cara-cara mencapainya. Melalui kajian dan penulisan, didapati perbezaan persepsi tentang negara bangsa melalui faktor politik wujud berdasarkan kaum dan wilayah.
Dari segi faktor ekonomi, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan perkara yang sering dikaitkan dengan pembinaan negara bangsa Malaysia. Selepas merdeka, keadaan ekonomi rakyat Malaysia pada masa itu ialah diidentifikasikan dengan sesuatu kumpulan etnik. Secara umumnya, jika terdapat kumpulan etnik yang diidentitikan sebagai menguasai sesuatu bidang, ianya pasti menimbulkan perasaan cemburu dan syak wasangka dan ini pastinya mencacatkan proses pembinaan negara bangsa. Pudarnya pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi secara tidak langsung menguatkan lagi hubungan perpaduan antara kaum di Malaysia.
Faktor sosial yang mempengaruhi pembinaan negara bangsa Malaysia pula merangkumi peranan-peranan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan. Melalui perkara-perkara ini banyak perbincangan yang dapat dibuat bagi menghasilkan satu identiti nasional negara bangsa Malaysia yang dibentuk. Pembinaan negara bangsa merupakan suatu proses mewujudkan semangat kenegaraan atau perasaan kekitaan. Melalui takrifan ini, faktor sosial merupakan faktor penting untuk mewujudkannya. Kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia menyukarkan pembentukan satu identiti nasional, namun titik pertemuan antara kepelbagaian kaum ini masih tidak mustahil dapat dilaksanakan. Oleh itu, persepsi-persepsi yang lahir daripada masyarakat mampu membantu mencari titik persamaan dan pertemuan dalam melahirkan negara bangsa yang stabil.
Agenda pembinaan negara bangsa menjadi lebih penting kepada negara ini kerana mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Di Malaysia, setiap kaum mempunyai persepsi atau tanggapan tersendiri terhadap kaum lain dan ianya masih lagi dipisahkan dengan panggilan bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India dan bangsa bangsa lain. Walaupun hubungan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia bertambah baik, namun pemisahan sosial masih wujud. Ini pastinya akan memperkukuh sentimen perkauman. Pendekatan yang dapat merapatkan jurang akan meningkatkan sikap penerimaan yang lebih terbuka dan saling mempercayai antara kaum. Sekiranya setiap generasi muda dan golongan cerdik pandai di negara ini bersefahaman dan dapat melepaskan diri daripada kongkongan prasangka dan perasaan perkauman, barulah mereka dapat dipertanggungjawabkan untuk membentuk dan menggalakkan orang lain berbuat demikian. Ini sekali gus dapat memberi kesan kepada pembinaan negara bangsa Malaysia.
Antara isu dan cabaran yang paling sukar ditangani dalam proses pembinaan satu negara bangsa Malaysia ialah bagaimana menyatukan masyarakat dari segi wilayah-wilayah yang terpisah oleh faktor-faktor geografi. Proses mengintegrasi Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia dengan mewujudkan kerjasama dan keharmonian hidup akan mempercepat pembentukan negara bangsa. Secara umumnya, wilayah-wilayah ini mempunyai persepsi dan cadangan masing-masing terhadap identiti negara bangsa Malaysia yang akan dibentuk. Persefahaman, kerjasama dan toleransi antara wilayah adalah penting bagi mewujudkan identiti negara bangsa Malaysia ini.
Peranan Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat dan Cabarannya
Teknologi dan bahasa wajar digerakkan seiring untuk mempercepat layaran bahasa, memperhebat seruan kepentingan khazanah linguistik kita untuk menyahut laungan keperluan zaman yang kian meningkat serta tuntutan realiti antarabangsa yang dikelilingi oleh era maya. Sudah tentu kita tidak dibelakangkan oleh keengganan mengejar teknologi dan kejakunan multimedia serta ilmu ini tepat disalurkan dalam bahasa Melayu untuk membentuk hasil saluran bahasa yang lebih cekap, pantas, dan saujana.
Sehubungan itu, ini bermakna tanpa bahasa, komputer hanya alat iaitu gabungan televisyen dan mesin taip sahaja, tidak lebih daripada itu. Dengan adanya bahasa dalam konteks ini, bahasa komputer, bahasa mampu melakukan perkara yang menakjubkan yang tidak pernah terfikirkan oleh kita. Justeru, bahasa memainkan peranan yang penting dalam penghasilan perisian, pengoperasian komputer supaya ianya dapat berfungsi sebelum kita dapat menggunakan perkakasan komputer sebagai pengguna teknologi maklumat ini.
Menurut Chin Lee Yim (2004), beliau menyatakan menakluki bidang pengkomputeran bahasa merupakan langkah yang rasional bijak untuk menghasilkan aplikasi dan produk inti yang dapat meninggikan sumbangan penyelidikan dan kajian bahasa, di samping meningkatkan penyebaran dan mengangkat martabat bahasa Melayu dalam ruangan maya dengan menggabungkan khasiat teknologi ke dalam niat perjuangan bahasa Melayu.
Implikasi Teknologi Maklumat (TM) terhadap Budaya Manusia dan Negara Bangsa
Jika kita fikirkan secara teliti, terdapat beberapa implikasi teknologi maklumat terhadap budaya manusia dan negara bangsa sama ada implikasi positif atau negatif. Seluruh dunia dikatakan sedang dirempuh, ditembusi, diasak dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai jenis maklumat yang disebarkan secara elektronik melalui ruang siber. Terdapat tiga implikasi teknologi maklumat terhadap budaya manusia dan negara bangsa. Antaranya ialah dunia kini sudah tidak ada sempadan, proses penyeragaman dan proses penjajahan baharu berlaku.
Implikasi pertama dan utama daripada TM yang lebih bersifat globalisasi ialah dunia dikatakan tidak ada bersempadan lagi. Memandangkan maklumat disebarkan melalui ruang siber, tidak melalui ruang bumi atau ruang geografi atau melalui media cetak semata-mata, maka orang mula mempercayai bahawa sempadan negara bangsa yang selama ini dikawal oleh dasar politik, dasar budaya dan dasar maklumat masing-masing, sukar dikawal lagi. Maklumat yang disebarkan di Internet yang kini merupakan sistem atau cabang lebuh raya elektronik yang terbesar dikatakan sukar ditapis atau dikawal oleh kerajaan. Manusia di mana-mana sahaja berpeluang menggunakan dan menyebarkan sebarang maklumat untuk kepentingan mereka, sama ada dengan tujuan yang baik mahu pun yang tidak baik, tanpa kawalan daripada mana-mana pihak, terutama pihak berkuasa kerajaan yang mengamalkan dasar kawalan maklumat yang konservatif.
Kesan kedua ialah berlakunya proses ‘homogenisation’ atau proses ‘penyeragaman’ budaya kepenggunaan dan nilai manusia. Kini dipercayai bahawa minda dan kelakuan manusia di seluruh dunia sedang dibentuk menurut peraturan dan sistem nilai yang sama, yang disebut ‘peraturan dan sistem nilai sistem global’. Sebagai contoh mudah ialah manusia kini di mana-mana sahaja akan menggunakan teknologi dan bahan maklumat yang sama, menyerap nilai-nilai atau acuan demokrasi dan peraturan ekonomi yang sama, menonton serta menghayati hiburan yang sama, mendengar atau membaca berita dunia yang sama, menggunakan bahasa global yang sama, iaitu bahasa Inggeris yang pengaruhnya sebagai bahasa penyebar utama teknologi maklumat global semakin merebak dan sukar dikawal.
Kesan ketiga ialah berlakunya proses penjajahan baharu yang dipercayai digerakkan secara sedar atau tidak oleh kuasa-kuasa ekonomi dunia seperti Kumpulan Negara G7, Tabung Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia serta saudagar-saudagar gergasi TM. Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah menganggap proses globalisasi itu sebagai proses penjajahan baharu. Negara bangsa terutama yang sedang membangun selalu dipaksa oleh kuasa-kuasa global yang monolitik supaya mematuhi nilai, sistem dan peraturan yang sama menurut kehendak atau acuan, kepentingan dan agenda mereka.
Menurut Aziz Deraman (2001:13), negara Barat kini telah menggunakan TM untuk menjajah negara kita. Globalisasi dianggap sebagai proses penjajahan baharu dan TM menjadi alat penjajahan yang paling berkesan. Pada tahun 1997 dan 1998, dunia mengalami kemerosotan ekonomi termasuklah beberapa buah negara Asia Timur dan beberapa buah negara ASEAN termasuklah negara kita sendiri terkena tempiasnya. Permasalahan ini cuba diaturkan semula oleh IMF menurut kehendak, peraturan dan fatwa pertubuhan itu sehingga negara yang mengalami krisis itu tidak dibenarkan memikirkan cara-cara yang lain, cara sendiri untuk membetulkan kelemahan dan memulihkan keadaan ekonomi sesuai dengan kepentingan bangsa dan negara sendiri. Namun, negara kita selamat daripada taktik ini kerana pemimpin ekonomi negara kita bijak menyelesaikan masalah kemelesetan ekonomi pada masa itu dan kita tidak terlibat sebagai pemiutang kepada IMF.
Menurut Hassan Ahmad (1998:691), dalam sistem global kemajuan manusia atau bangsa dalam bidang apa pun sangat bergantung kepada dua faktor; pertama tahap kemajuan ilmu yang ada pada bangsa itu dan kedua disiplin atau nilai budaya bangsa itu. Negara atau bangsa yang tidak maju atau tidak kuat dari segi dua faktor ini akan mudah menjadi mangsa kepada kuasa-kuasa global. Walaupun kita menyangka bahawa bangsa-bangsa di dunia ini dapat hidup dan maju melalui cara yang disebut sebagai penggabungan strategik dengan negara yang maju, namun sebenarnya proses ini tidak berlaku. Malah negara yang ilmu pengetahuannya tidak maju dan tidak kuat budayanya akan terus menjadi mangsa monopoli dan kuasa negara pengembang ilmu dan pengeluar TM.
Berdasarkan kenyataan itu, perkara yang dapat dihayati dan diambil ikhtibar daripada senario ini, iaitu kita sebagai penduduk dan pemimpin-pemimpin negara dari negara membangun harus berhati-hati dalam mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah sosial, politik dan ekonomi negara agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa dunia yang sentiasa menindas negara-negara kecil dan membangun ini.
Jika kita lemah dalam penerokaan ilmu dan kurang disiplin atau nilai budaya bangsa, maka dengan mudah kita menjadi mangsa kejahatan kuasa-kuasa besar itu. Menurut Hassan Ahmad lagi (1998: 691), Keadaan dan kelemahan inilah yang digunakan oleh negara perusahaan TM untuk terus mewujudkan budaya konsumerisme di seluruh dunia dengan menggunakan dan menjual teknologi dan maklumat sebagai produk perdagangan kepada sebanyak mungkin negara pengguna tanpa memikirkan faedahnya dari segi kemajuan tamadun manusia sejagat, misalnya alat memupuk kerjasama dan persefahaman tamadun atau budaya dan agama.
Yang terjadi kini, kemajuan dan kecanggihan teknologi telah disalahgunakan ke arah negatif dan bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan. Sebagai contoh, teknologi satelit yang digunakan untuk membolehkan pengguna televisyen di seluruh dunia misalnya untuk menonton rancangan yang berfaedah telah dipaparkan tayangan filem hiburan yang berbentuk keganasan, seks, peperangan, pembunuhan dan sebagainya yang dihasilkan di luar negara selain daripada berita CNN. Saluran televisyen 24 jam semakin banyak. Orang di mana-mana sahaja termasuk di negara miskin dan yang menghadapi krisis ekonomi, krisis sosial dan krisis budaya terus digalakkan malah diasak oleh saudagar TM dan televisyen kabel supaya membeli dan menggunakan produk mereka.
Penggunaan internet kini semakin popular dalam kalangan masyarakat di negara kita khususnya. Begitu juga di seluruh pelosok dunia. Walaupun perkhidmatan Internet banyak faedahnya, namun keburukannya juga semakin banyak. Internet sudah menjadi ‘tong sampah’ dan ‘tong najis’ global, tempat orang menjual dan menyebarkan maklumat bermutu rendah, maklumat yang salah, maklumat yang karut. Perbuatan ‘spam’ iaitu perbuatan menghubungi e-mel orang lain dengan tujuan untuk mengutuk, memaki, mencarut dan menyebabkan maklumat palsu semakin menjadi-jadi.
Terkini, penggunaan facebook juga telah menjadi semakin popular dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat di negara kita. Terdapat sesetengah pengguna yang menyalahgunakan facebook untuk memasukkan maklumat palsu dan berunsur fitnah. Sebagai contohnya, seorang siswa dituduh mengugut menggunakan bom petrol dalam facebook. Menurut Bernama (15 Januari 2010), tulisan ungkapan siswa itu “Ke nak aku baling bom petrol di sana plak?... harga boleh runding...” telah menyebabkan pelajar berkenaan ditahan dan kesnya akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Isu ini lanjutan daripada kes pembakaran gereja di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati pada pukul 12.30 tengah malam pada 8 Januari 2010 yang lepas. Tulisan dalam facebook itu telah mengheret seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana dituduh menggunakan aplikasi
dalam Internet untuk membuat komen yang boleh mengancam keselamatan orang lain. Ternyata kecanggihan TM telah disalahgunakan untuk perkara yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara serta membantutkan usaha kearah pembentukan negara bangsa.
Langkah dan Cadangan Cara Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat Dapat Merealisasikan Pembentukan Negara Bangsa
Sejak tahun 1990an, bahasa Melayu mengalami pelbagai cabaran. Ketika bahasa menikmati zaman pertumbuhan dan perkembangan yang pesat ekoran daripada pelbagai langkah pragmatik sebelumnya, termasuklah menjadikannya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, kini bahasa itu berdepan dengan cabaran dari luar dan dalam. Fungsinya sebagai bahasa perpaduan juga turut terjejas apabila sebilangan generasi muda kini lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia berbanding bahasa Melayu semasa berkomunikasi dalam lingkungan masyarakat. Jika ini berlarutan tanpa ada usaha untuk mencantas kelemahan dan cabaran ini, maka usaha ke arah pembentukan negara bangsa Malaysia akan terbantut. Jika kita dapat mengatasi cabaran ini maka tidak mustahil hasrat untuk membentuk sebuah negarabangsa Malaysia yang teguh dan kukuh dapat direalisasikan.
Pelbagai usaha dan cara untuk mencapai hasrat untuk pembentukan negara bangsa Malaysia. Dalam usaha ini, bahasa memainkan peranan yang penting khususnya sebagai alat perpaduan kaum di negara kita. Justeru, menerusi era TM, banyak cendekiawan ICT (Information, Communication and Technology) dan badan-badan berkanun khususnya DBP telah berusaha memartabatkan bahasa Melayu menerusi ICT sebagai alat untuk merealisasikan hasrat ke arah pembentukan negara bangsa. Menerusi laman-laman web, isu-isu perpaduan dan keharmonian negara telah cuba diserapkan agar generasi sekarang tidak kira golongan dewasa dan kanak-kanak dapat menerima hasrat kerajaan untuk mencapai pembentukan negara bangsa Malaysia yang berdaulat dan harmoni.
Merealisasikan hasrat ke arah pembentukan negara bangsa Malaysia bukanlah semudah mengungkapkannya. Hasrat tersebut mestilah diusahakan oleh masyarakat dari peringkat atasan hinggalah peringkat bawah. Justeru, pelbagai langkah dan cadangan perlu diutarakan untuk merealisasikan hasrat tersebut.
i) Menyelesaikan Dasar Negara terhadap Bahasa Melayu sebagai Bahasa Teknologi Maklumat
Walau bagaimanapun cabaran yang datang, kita perlu kuat mengatasinya terutamanya dalam menyelesaikan dasar-dasar negara terhadap bahasa
Melayu sebagai bahasa TM. Justeru, dalam mengahadapi cabaran TM global yang semakin bercorak komersial dan propaganda itu dan mungkin boleh memusnahkan budaya dan sistem nilai bangsa kita. Oleh itu, kita memerlukan suatu dasar TM negara yang dapat mengimbangi maklumat global itu. Dasar yang dapat memperkenalkan tamadun Malaysia ke seluruh dunia melalui lebuh raya maklumat global, dasar yang dapat melibatkan rakyat Malaysia dalam proses kemajuan TM di negara ini. Bekas mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim, yang pernah menjadi Pengerusi Majlis Teknologi Maklumat Negara, dalam ucapannya merasmikan Persidangan Teknologi Maklumat Kebangsaan atau INFOTECH 98 Malaysia, anjuran persatuan Industri Komputer Malaysia (PIKOM) di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 21 April 1998 berkata bahawa “teknologi maklumat perlu didedahkan kepada masyarakat secara meluas untuk mengurangkan jurang perbezaan antara masyarakat bandar dengan masyarakat desa”. Beliau seterusnya berkata bahawa melalui agenda IT (TM), Malaysia menggunakan pendekatan dan kaedah yang membolehkan teknologi itu difahami oleh masyarakat. TM mesti menjadi suatu budaya masyarakat. Ini ialah dasar TM yang baik bagi kita. Kita tidak mahu TM menjadi hak milik golongan elitis sahaja atau dikembangkan semata-mata sebagai produk ekonomi dan perdagangan dan melupakan peranan TM sebagai alat pembina budaya, pembina negara bangsa atau tamadun tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Persoalan yang timbul di sini dan perlu diselesaikan ialah bagaimanakah dasar TM negara yang hendak memupuk budaya TM di negara ini dapat difahami dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara keseluruhan sekiranya bahasa Melayu yang difahami oleh majoriti rakyat negara ini tidak digunakan sebagai bahasa utama TM? Bahasa Inggeris hari ini dilihat lebih utama daripada bahasa Melayu. Hampir semua perisian (software) komputer yang kita gunakan adalah dalam bahasa Inggeris. Ini kerana perisian komputer tersebut dibuat di luar negara terutama di Barat. Namun demikian, ini tidak bererti bahawa maklumat yang disampaikan melalui program elektronik itu tidak boleh dibuat dalam bahasa Melayu. Di negara lain, misalnya di Jepun atau di Perancis, walaupun perisian komputer misalnya ‘operating system’ ataupun ‘word-processor’ dibuat di negara berbahasa Inggeris, namun pengguna komputer di Jepun atau di Perancis menggunakan perisian yang sama dalam versi bahasa kebangsaan masing-masing. Justeru, usaha ini seharusnya dijadikan contoh yang baik untuk diikuti. Apatah lagi dalam usaha ke arah pembentukan negara bangsa kerana negara Jepun ialah sebuah negara yang telah berjaya membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan sentiasa maju ke hadapan.
Sehubungan itu, untuk tujuan dasar atau agenda TM negara seperti yang dijelaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu, maka bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan yang difahami dan digunakan oleh majoriti penduduk Malaysia, hendaklah dijadikan bahasa TM yang utama di Malaysia.
Kerajaan hendaklah mengarahkan pihak-pihak pembekal perkhidmatan Internet seperti Syarikat Telekom Malaysia, CELCOM, DIGI dan badan-badan kerajaan yang membuka laman jaringan atau laman web dalam Internet supaya menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan maklumat masing-masing. Kita boleh mengimport perkakasan komputer dan program Internet yang dibuat dalam bahasa Inggeris tetapi mengapakah maklumat yang merupakan bahan yang kita ciptakan sendiri mesti disebarkan di dalam negara ini melalui komputer dan Internet dalam bahasa Inggeris? Jikalau kita menganggap bahawa maklumat itu penting dan perlu disebarkan ke seluruh dunia melalui Internet maka terjemahan dalam bahasa Inggeris dapat dilakukan.
Sehubungan itu, kerajaan hendaklah memainkan peranan dengan membudayakan projek Koridor Raya Multimedia (KRM) berdasarkan kepentingan dan acuan Malaysia. Antara lain, ini bererti KRM itu hendaklah memasukkan komponen bahasa Melayu ke dalam sistem itu, sekurang-kurangnya dalam pengurusannya dan dalam maklumat Malaysia yang disediakan. Walaupun bangsa Malaysia patut berfikir global tetapi kita mesti bertindak berdasarkan kepentingan ruang kebangsaan sendiri. Kita tidak mahu kawasan kebangsaan kita ‘dijual’ kepada kuasa-kuasa TM dan ekonomi global. Budaya dan bahasa kebangsaan negara memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempertahankan sempadan kebangsaan kita dan keharmonian negara bangsa kita.
ii) Peranan, Sumbangan dan Tindakan Pejuang dan Perancang Bahasa dalam Menghadapi Cabaran Zaman Teknologi Maklumat
Meraih kejayaan bukanlah semudah mengungkapkannya tanpa melalui rintangan dan cabaran. Oleh itu, dalam usaha merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan maju, maka semua peringkat masyarakat harus memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing. Dalam era TM kini, cabaran yang kita hadapi semakin besar apabila bahasa Inggeris telah mendominasi bahasa dalam TM. Justeru, untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia, rakyat di negara ini seharusnya memainkan peranan masing-masing, terutamanya menggunakan bahasa Melayu dengan betul tanpa mencelarukan bahasa tersebut.
Dalam menghadapi cabaran baharu era TM dan seterusnya, bahasa Melayu perlu dikembangkan menjadi bahasa sumber ilmu, bahasa sumber pemodenan, bahasa sumber maklumat, bahasa sumber pengetahuan, bahasa sumber sains dan teknologi, bahasa sumber kewangan dan yang lebih penting lagi bahasa sumber perpaduan dan keharmonian. Bagi mencapai hasrat tersebut, lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam TM perlu dihasilkan. Impian itu hanya boleh tercapai dengan adanya lebih banyak pengarang, penyelidik, guru, penerbit dan institusi penyelidikan. Selain itu, sebahagian bahan itu mestilah berbentuk digital untuk memenuhi keperluan semasa pengguna terutama generasi muda yang membesar di depan komputer, Internet, pangkalan data dan portal. Tanggungjawab memperkembang, mempertahankan dan memodenkan bahasa kebangsaan yang berat ini tidak dapat dipikul oleh DBP, Kementerian Pelajaran atau Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja. Pendek kata, semua pencinta dan pejuang bahasa kebangsaan mesti melibatkan diri secara aktif.
Setelah sekian lama kita leka dan lena dibuai mimpi buruk, seharusnya kini kita sedar dan bangun mengambil peluang dengan kecanggihan TM untuk dimanfaatkan khasnya dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang bertamadun dan berdaulat. Jika kita tidak menggunakan peluang yang ada ini maka kita akan karam dalam arus globalisasi yang juga digelorakan oleh bahasa Inggeris, selain kuasa ICT (Information, Communication and Technology). Memandangkan semakin banyak rakyat Malaysia kini sudah berpendidikan tinggi, maka seharusnya golongan ini tahu melakukan kerja dengan lebih bijak, kreatif, inovatif dan produktif dan seharusnya mereka ini dapat mencontohi jejak langkah sarjana dan institusi di England, Amerika Syarikat dan Australia, misalnya dalam memperkembang bahasa Inggeris. Usaha ini sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan dengan bantuan TM. Daripada projek penyelidikan bahasa Inggeris seperti Technology Enhanced Language Learning (TELL) dan Computer Assisted Language Learning (CALL) yang dilakukan di England, Amerika Syarikat dan Australia, kini sudah ada mesin data bahasa terbaca yang boleh diperoleh dalam CD-ROM, Internet dan pakej elektronik yang lain tentang bahasa Inggeris.
Sebenarnya peluang untuk melakukannya kini terbuka luas apatah lagi semakin banyak alat bantuan tersedia di hadapan kita. Kecenderungan dan minat kita terhadap bahasa Melayu sudah meningkat ekoran peningkatan penekanan negara asing terhadap pasaran ekonomi di Alam Melayu. Menurut Ding Choo Ming (2006), cabaran kepada bahasa Melayu pada masa depan terletak kepada kita sama ada boleh mengembangkannya menjadi bahasa sumber ilmu, bahasa sumber ekonomi, bahasa sumber teknologi dan bahasa sumber pemodenan yang boleh diharapkan untuk membuka pintu gerbang ilmu, mencari mutiara maklumat dan menaiki mahligai pendidikan yang lebih tinggi untuk dapat menikmati rasa pemodenan, sekali gus peningkatan taraf hidup.
Menurut beliau lagi, perjalanan itu bukan sahaja panjang, tetapi juga berliku-liku dan penuh ranjau. Segala-galanya menuntut peningkatan intelektual rakyat Malaysia dan pengintelektualan bahasa Melayu. Untuk melaksanakannya, lebih banyak buku dan pengarang diperlukan untuk menghasilkan lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam bidang IT. Sehubungan itu, portal www.malaycivilization.com yang dibina khas di ATMA (Institut Tamadun dan Alam Melayu) itu cumalah satu tapak kecil dalam langkah besar kita untuk menyebarkan bahan berbahasa Melayu di ruang siber. Berdasarkan kenyataan
tersebut, ini merupakan satu petanda bahawa pintu untuk memperkembang bahasa Melayu sudah bertambah baik dan semakin menjadi lebih menarik.
Usaha ATMA memperkasa bahasa Melayu, maju dan terus maju apabila berjaya menghasilkan Kamus Peribahasa Melayu Digital dan telah dimasukkan ke dalam Internet. Menurut Ding Choo Ming dan Arba’eyah Abdul Rahman (2002:48), ATMA sudah memasukkan Kamus Peribahasa Melayu, Digital dalam internet http://www.atma.ukm.my pada pertengahan Mac 2002. Kamus ini merupakan kamus digital peribahasa Melayu yang pertama dalam erti kata yang sebenarnya kerana membolehkan pencarian peribahasa Melayu mengikut makna dan kategori, sedangkan kamus peribahasa Melayu yang lain cuma menyenaraikan peribahasa Melayu dengan maknanya. Ini merupakan perkembangan baharu dan sangat berfaedah kepada pelajar-pelajar untuk merujuk tentang peribahasa Melayu secara mudah secara online.
Selain daripada usaha ATMA, DBP juga banyak memainkan peranan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat, antaranya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa siber. Menurut Zamri Mohamod (2001:9), usaha ke arah mensiberkan istilah bahasa Melayu dalam teknologi maklumat sedang dan terus dilakukan oleh pihak yang terlibat, seperti DBP, Perbadanan Multimedia Super Koridor (MSC), Kementerian Pendidikan, Institusi Pendidikan Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta(IPTS), ahli akademik, pencinta bahasa, dan orang perseorangan.
Menurut Chin Lee Yim pula (2004:20), DBP juga telah menyertai Persatuan Perangkaian Bahasa Sejagat (Universal Networking Language) dengan hasrat untuk memperkasa usaha penyediaan prasarana bahasa yang lebih mantap. Di samping itu, penghasilan produk teknologi bahasa turut diperkasa melalui pelbagai program dan fungsi. Gerbang KaryaNet http://www.karyanet.com.my/ merupakan medan penerbitan elektronik yang luas dimanfaatkan. Ini bermakna ianya boleh dimanfaatkan oleh pengguna untuk memperoleh maklumat bahan penerbitan dan pelbagai rujukan serta khidmat bahasa.Selain itu, Microsoft yang gagah dengan perisian Microsoft Office kini turut mengusahakan Pengguna Perisian Antara Muka Microsoft dalam bahasa Melayu dengan usaha sama DBP.
Namun begitu, menurut Marlyna Maros (2001:49), kemajuan dan pencapaian negara bangsa yang bersatu padu dan berteknologi tinggi perlulah diiringi dengan pencapaian dalam mengekalkan dan memajukan bahasa Melayu kerana bahasa inilah yang diyakini sepenuhnya oleh masyarakat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan negara ini, maka kita perlu bertanggungjawab untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul terutama semasa melayari Internet dan menulis komen dalam blog dan laman web. Ini penting kerana kita sebagai rakyat Malaysia apatah lagi sebagai penutur jati bahasa Melayu mestilah menjadi contoh kepada generasi muda sebagai pengguna bahasa yang baik dan mempunyai jatidiri.
KESIMPULAN
Dalam mencapai hasrat dan cita-cita serta merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan harmoni bukanlah suatu yang mudah digapai jika tidak ada gandingan bahu daripada semua lapisan masyarakat Malaysia. Bahasa Melayu merupakan salah satu agen bagi merealisasikan hasrat ke arah pembentukan negara bangsa. Menerusi TM yang serba canggih menerusi ruang siber, Internet, globalisasi dan liberalisasi, kita boleh menggunakan bahasa Melayu untuk memupuk nilai-nilai murni dan semangat kekitaan rakyat Malaysia ke arah sebuah negara bangsa yang disanjung tinggi. Dengan paparan dan tersebarnya identiti negara Malaysia yang berimej bersih, aman dan harmoni di dalam negara dan luar negara maka kita akan mudah menyatukan hati rakyat Malaysia dalam membentuk negara bangsa seperti negara Jepun, Portugal dan Iceland yang sudah diiktiraf dunia sebagai negara yang boleh dikelaskan sebagai negarabangsa tanpa dipertikaikan.
Selain daripada itu, hasrat kerajaan dalam pembentukan sebuah negara bangsa berdaulat haruslah didukung oleh semua lapisan masyarakat. Sudah tentu dengan pemanfaatan kaedah dan kemajuan teknologi yang bestari, tidak mustahil bahasa kita mampu menjadi bahasa antarabangsa dan bahasa teknologi serta menjadi bahasa perpaduan yang mendukung ke arah pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan harmoni.
BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Embong. (2001). Negara bangsa: Proses dan perbahasan. Bangi: Penebit UKM.
Abdullah Yusoff. (2002). Pemerkasaan bahasa melalui data korpus berkomputer. Dewan Bahasa, Jun (hlm. 24-30).
Ahmad Adam. (1996). Isu bahasa dan pembentukan bangsa dalam manifesto budaya. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Aziz Deraman (2001). Bahasa Melayu dalam endidikan teknologi maklumat. Dewan Bahasa, April (hlm. 12-17).
Chin Lee Yim. (2004). Kesejagatan bahasa Melayu melalui teknologi. Dewan Bahasa, Mac 2004 (hlm 18-20).
Ding Choo Ming & Arba’eyah Abdul Rahman. (2002). Daripada Kamus Peribahasa Melayu Digital ATMA kepada Perkamusan Bahasa Berkomputer. Dewan Bahasa, Julai (hlm.48-54).
Faizal Othman. (1993). Pendekatan bina bangsa dalam pengukuhan tenaga manusia bagi Wawasan 2020. Dlm. Kamaruddin Jaafar & Hazami Habib.(ed.), Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.
309
Hassan Ahmad (1998). Bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat. Kertas kerja yang dibentangkan semasa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-5.
Institut Tadbiran Awam (INTAN). (1980). Negara kita: Sejarah, pentadbiran dan dasar-dasar pembangunan. Kuala Lumpur: INTAN.
Jeniri Amir. (2009). Bahasa negara dan bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Marlyna Maros. (2001). Bahasa Melayu dalam pembentukan negara bangsa: Antara hasrat dengan hakikat. Dewan Bahasa, Julai (hlm 43-49).
Nor Adnan. (2001). Bahasa Melayu dalam pembangunan perisian. Dewan Bahasa, (hlm. 9-15).
Ranjit Singh. (1996). Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur: Federal Publications.
Rustam A. Sani. (1993). Melayu baru danb Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Zamri Mohamod. (2001). Bahasa Melayu sebagai bahasa siber.Dewan Bahasa, Jun (hlm 9-13).
Labels:
KAJIAN ILMIAH
Wednesday, 30 May 2012
KEBANJIRAN WARGA ASING MENDATANGKAN KEBURUKAN.
Penulis terpanggil untuk memberikan pendapat dalam kolum “Mengapa Malaysia Dibanjiri Warga Asing” dalam Dewan Masyarakat keluaran April 2010.
Pembangunan yang pesat di negara ini telah membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor. Bidang perindustrian dan perkilangan merupakan sektor yang memerlukan jumlah pekerja yang banyak. Memandangkan rakyat tempatan tidak berminat dalam sektor berkenaan kerana gaji yang ditawarkan sedikit atau pihak berkenaan ingin mengurangkan kos, maka pekerja asing menjadi tumpuan mereka.
Tidak dapat dinafikan pekerja asing telah membantu masyarakat Malaysia dalam melengkapkan visi dan misi pembangunan negara. Namun begitu, kebanjiran pekerja asing juga menyebabkan negara ini mengalami kerugian. Pelbagai masalah timbul disebabkan kebanjiran pekerja asing. Antaranya ialah masalah tempat tinggal. Segelintir majikan menyediakan tempat tinggal kepada pekerjanya, manakala sebahagiannya tidak. Ini menyebabkan penempatan setinggan kian bertambah dan menimbulkan suasana pemandangan yang jelek.
Sekiranya pelancong asing melihat pemandangan yang kotor serta kedaifan dan kemiskinan warga asing yang mendiami kawasan tersebut, pastinya mereka beranggapan bahawa Malaysia sebuah negara miskin dan mengamalkan budaya hidup yang tidak sihat. Situasi seumpama ini mendatangkan kesan yang negatif dari sudut kehadiran pelancong, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata dunia.
Kehadiran pekerja asing di negara kita juga antara penyebab kadar jenayah semakin meningkat. Perkara sebegini pasti mendatangkan kebimbangan dan kerisauan masyarakat kerana keselamatan mereka tergugat. Kes kecurian, pergaduhan dan pembunuhan sering berlaku akhir-akhir ini. Kegiatan pelacuran dan perdagangan manusia juga semakin meningkat.
Selain itu, negara kita menanggung kerugian lebih daripada RM4 bilion melalui aliran keluar mata wang secara besar-besaran oleh pekerja asing yang menghantar wang kepada keluarga mereka. Hal ini menjejaskan imbangan pembayaran negara dan membantutkan perkembangan ekonomi negara. Manakala dari segi putaran modal pula, negara mengalami kerugian kerana kebanyakan wang yang dikeluarkan dalam bentuk gaji tidak digunakan untuk dibelanjakan di negara ini. Pihak hospital juga turut menanggung kerugian kerana ramai antara pekerja asing tidak melunaskan bil tuntutan yang dikenakan ke atas mereka. Sebagai contoh, pada 2006, pihak hospital di seluruh negara mengalami kerugian sebanyak RM6.75 juta bil hospital yang belum dibayar oleh pekerja asing. Manakala pada 2007, jumlahnya semakin meningkat kepada RM7.17 juta.
Kesimpulannya, walaupun kita tidak mampu untuk mengawal jumlah kemasukan pendatang asing, namun tindakan yang tegas dan bijaksana harus diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani kebanjiran warga asing ini, agar memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya terus terpelihara.
Muhammad Zahid Mohd. Zain
Pasir Mas, Kelantan.
KESALAHAN BAHASA DALAM KALANGAN MASYARAKAT MAJMUK-Siti Sabariah bt Kasmiran [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]
Abstrak
Isu kesalahan berbahasa tiada kesudahannya. Banyak persoalan berhubung kait terutama dalam konteks negara bangsa yang pelbagai latar belakang, kebudayaan, bahasa dan agama. Usaha untuk memupuk perpaduan diterapkan terutamanya dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi utama. Namun di sebalik usaha yang dijalankan, wujud isu lain yang perlu diambil perhatian iaitu masalah berbahasa dalam kalangan Masyarakat Malaysia. Objektif kajian untuk membincangkan kesalahan bahasa, menghurai faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kesalahan bahasa dan mengenal pasti cara mengatasi masalah tersebut. Masyarakat majmuk di negara ini menjadi rujukan utama kajian. Oleh itu, kaedah pemerhatian dan pembacaan bahan ilmiah digunakan. Walaupun fenomena masalah yang dikaji amat luas tetapi kajian hanya tertumpu kepada kesalahan bahasa yang wujud dalam sebuah negara yang pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan di Malaysia. Kajian akan merujuk kepada faktor-faktor yang menyebabkan kesalahan penggunaan bahasa dari segi pertuturan dan penulisan. Hasil kajian yang dijalankan akan dapat mengetahui tentang kesalahan bahasa ketika pertuturan atau kesalahan mengeja dalam penulisan. Kesalahan ini terjadi akibat faktor dialek , pengaruh media, pengaruh bahasa lain, pencemuhan dan bahasa slanga. Selain itu, kesalahan bahasa juga boleh wujud disebabkan oleh keanekaan latar belakang, kurang pemahaman aspek tatabahasa dan faktor laras iklan.
PENGENALAN
Kesalahan bahasa merupakan kombinasi dua perkataan “kesalahan” dan “bahasa”. Kesalahan merujuk perbuatan salah atau kesilapan. Perkataan bahasa pula, bermakna sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.
Menurut seorang sarjana Jerman, Wilhem Von Humbodt, bahasa ialah satu sintesis daripada bunyi yang dibentuk oleh “lautform” bentuk luaran dan fikiran yang dibentuk oleh “idenform” bentuk dalaman. Hasilnya, pelbagai ragam ujaran yang tidak terbatas jumlahnya dapat diterbitkan. Sementara itu, seorang lagi sarjana linguistik Amerika, John B. Carol, mentakrifkan bahasa sebagai satu sistem berstruktur daripada bunyi vokal dan urutan bunyi yang dipakai sewenang-wenangnya atau yang digunakan untuk berkomunikasi oleh sekumpulan manusia.
Hasilnya, bahasa dapat dirumuskan sebagai satu struktur yang unik daripada bunyi ucapan yang dipilih dan disusun secara sewenang-wenangnya untuk digunakan oleh sesuatu masyarakat sebagai pelat berkomunikasi. Pada keseluruhannya bahasa adalah alat untuk berkomunikasi dan terdiri daripada kalimah. Bahasa mempunyai ciri unik. Antara ciri-cirinya:
a. Bahasa mempunyai bunyi yang dihasilkan oleh alat artikulasi iaitu mulut, hidung dan paru-paru.
b. Bahasa mempunyai sistem. Bahasa mempunyai susunan bunyi, perkataan, nahu ataupun sintaksis yang tertentu.
c. Bahasa mempunyai bentuk tertentu seperti ayat, rangkai kata, perkataan,imbuhan dan lain-lain.
d. Bahasa mempunyai makna yang ditugaskan untuk menyatakan sesuatu.
e. Bahasa itu berubah.
f. Bahasa arbitrari yang mempunyai hubungan antara bunyi yang dilafazkan dengan benda yang dimaksudkan.
g. Bahasa itu linear.
George (1973), berpendapat bahawa kesalahan bahasa ialah “….an unwanted form which a particular course designer or teacher does not want”. Menurutnya kesalahan bahasa adalah mengikut pertimbangan cita rasa seseorang guru. Penggunaan bahasa tidak formal dalam penggunaan formal mengakibatkan kesalahan bahasa.
Kesalahan bahasa bererti kesilapan yang berlaku sama ada melalui pertuturan atau tulisan. Nak Safiah Karim (1980:10) berpendapat, kesalahan bahasa bererti penggunaan bahasa yang melanggar peraturan-peraturan bahasa yang dipersetujui, sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat. Nik Safiah Karim dalam Dewan Bahasa, turut menyatakan terdapat tiga peranan utama yang dimainkan oleh bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan yang berjaya direalisasikan dengan beberapa dasar yang digubal oleh kerajaan. Begitu juga sebagai bahasa ilmu yang mampu bersaing dengan bahasa Inggeris. Namun fungsinya sebagai bahasa perhubungan dengan penggunaan bahasa rojak (salah satu kesilapan bahasa) mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu. Selain itu banyak kesalahan bahasa juga wujud kerana kurangnya pengetahuan tentang bahasa Melayu dan pengaruh bahasa kaum lain di Malaysia.
Budaya merujuk kepada peraturan yang dikongsi bersama. Budaya Melayu adalah satu set nilai, kepercayaan dan sikap yang dikongsi bersama oleh kebanyakan ahli bangsa Malaysia. Budaya Melayu mempengaruhi banyak aspek kehidupan bangsa Malaysia. Perkongsian paling nyata adalah penggunaan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu merupakan aset penting bagi memupuk kesatuan dalam konteks masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Bahasa penting dalam menghapuskan polarisasi etnik dengan memupuk penyatuan menyeluruh dengan nilai persefahaman yang dipersetujui bersama. Oleh itu, bahasa Melayu merupakan platform dalam memupuk agenda ini dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia meskipun wujud sifat kepelbagaian budaya dan kaum.
Seirama dengan pemakaiannya yang semakin meluas, kesalahan-kesalahan penggunaan bahasa oleh bangsa Malaysia merupakan fakta yang menonjol. Kesilapan yang dianggap pencemaran bahasa akan serta-merta mengingatkan semua pihak kepada pencemaran udara dan alam sekitar yang menjadi fenomena zaman moden yang menakutkan. Bangsa Malaysia terdiri daripada berbilang kaum yang masing-masing mempunyai bahasa ibunda yang berlainan. Rakyat berbilang kaum ini telah mengalami sistem persekolahan dan bahasa penghantar yang berlainan.
Dialek daerah berlainan di Malaysia juga memerlukan proses standardisasi kerana turut menjadi punca kesilapan penggunaan bahasa. Sejauh mana kita bergerak ke arah Negara cemerlang, gemilang dan terbilang, harus ada usaha supaya bahasa Melayu kekal berdaulat sebagai bahasa yang mampu bergerak seiring dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi tetapi entitinya harus ada supaya bahasa Melayu terus bersaing dan disegani di mata masyarakat dunia.
Kesalahan Bahasa Secara Umum
Bahasa Melayu atau disebut bahasa Malaysia di dalam buku Pendidikan Negara Bangsa Malaysia oleh Ishak Saat dinyatakan sebagai bahasa penyatuan. “Bahasa jiwa Bangsa” berperanan penting membentuk jati diri dan identiti sesebuah bangsa. Bangsa yang dimaksudkan adalah bangsa Malaysia.
Usaha memartabatkan bahasa Melayu juga perlu diperkasa semaksimum mungkin bagi menjayakan gagasan “satu bahasa, satu bangsa, satu Malaysia”. Semua pihak daripada pucuk pimpinan sehinggalah ke akar umbi perlu menggembleng tenaga untuk menjayakan matlamat ini.
Sehubungan itu kesalahan bahasa yang terjadi perlu diperbetulkan. Sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi (kebangsaan) dalam perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka, dengan sendirinya bahasa Melayu menjadi milik orang Melayu, orang Cina, orang India dan semua penduduk warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Maka, untuk berkomunikasi dengan berkesan, kita perlu memilih bahasa yang diketahui oleh semua pihak. Kesalahan sering timbul ketika komunikasi berlangsung antara bangsa yang berlainan.
Yang pertama kesalahan penggunaan kata. kesalahan penggunaan kata menimbulkan rasa kurang senang tetapi tidak menjejaskan makna kerana kebanyakan kita dapat memahami maksud yang hendak disampaikan. Kesalahan seperti ini kerap terjadi kerana kurang pemahaman tentang tatabahasa.
Contoh 1. “Baru” dengan “baharu”.
1a. Ayah baru sampai dari kampung.
1b. Baju baru yang dibelinya berwarna kuning.
Penggunaan ejaan baru dalam ayat 1a betul yang merujuk kepada masa. Tetapi baru pada ayat 1b salah kerana ayat merujuk kepada benda. Sepatutnya dieja baharu.
Contoh 2. Penggunaan “di” sebagai kata sendi dan imbuhan
2a. Buku itu disimpan di dalam almari.
2b. Negeri Melaka telah berkembang maju di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.
2c. Sila letakkan borang di dalam kotak ini.
Kata sendi di ditulis berpisah daripada Kata Nama yang mengikutnya. Dalam hal ini. Ayat 2a betul tetapi penggunaan di dalam ayat 2b salah. Bagi ayat 2c penggunaan di dijadikan kata imbuhan dan dirapatkan adalah salah tetapi yang dikesalkan ayat 2c menjadi label yang dipaparkan di salah sebuah pejabat imigresen di negara kita. Hanya di yang berfungsi sebagai kata imbuhan perlu dirapatkan.
Kedua, kesalahan frasa. Kesalahan frasa kerap berlaku kerana melanggar Hukum D-M, iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan. Contohnya Chan Restoran sepatutnya Restoran Chan. Frasa terbitan sering kedengaran menerusi radio, televisyen dan surat khabar. Contohnya Johor leads by 2-0. Ayat tersebut diterjemahkan menjadi Selangor mendahului 2-0 dan membawa maksud yang tidak jelas. Sepatutnya, pasukan Selangor mendahului pasukan lain dengan mata 2-0.
Ketiga kesalahan ayat. Kesalahan ayat turut berlaku terutama ayat tergantung. Walaupun maksud yang ingin disampaikan mungkin dapat difahami tetapi ayatnya tidak lengkap.
Contoh 3. Tidak lebih dan tidak kurang.
Contoh 4. Lebih penerbangan. Lebih pilihan.
Contoh 5. Hanya satu calitan.
Contoh 6. Alimah guru.
Ayat lengkap mesti mengandungi subjek yang bersifat frasa nama dan predikat. Predikat ialah kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek. Contoh 6 adalah ayat tunggal yang lengkap kerana Alimah adalah subjek dan guru adalah predikat. Ini berbeza dengan contoh ayat 3, 4 dan 5.
Kesalahan Bahasa Dalam Kalangan Masyarakat Majmuk
Corder 1973 berpendapat bahawa sebab terjadi kesalahan bahasa ialah kerana terdapat banyak peraturan yang ada pada sesuatu bahasa iaitu formal dan tidak formal. Kadang-kadang, jika tidak berhati-hati, dalam masa menggunakan bahasa formal seseorang akan terbawa-bawa dengan bentuk yang tidak formal. Penggunaan bentuk bahasa yang tidak formal adalah dianggap kesalahan bahasa. Malah sesuatu bahasa lazimnya mempunyai dialek-dialek. Penggunaan dialek adalah tidak formal. Oleh itu jika dialek dicampuradukkan dengan bahasa formal atau standard maka terjadilah kesalahan bahasa.
Sharma (1981), berpendapat bahawa kesalahan bahasa dibahagikan kepada 3 kategori. Pertama kesalahan bahasa disebabkan faktor lupa, gangguan emosi, kelalaian dan kurang latihan. Kedua, kesalahan bahasa berpunca daripada kekacauan atau kekeliruan kerana wujudnya faktor-faktor kelainan bentuk dalam penggunaan sesuatu bahasa formal (bahasa persuratan, bahasa akademik dan bahasa kesusasteraan) dan tidak formal (dialek dan bahasa pasar). Ketiga kesalahan bahasa khas bagi penggunaan bahasa kedua iaitu bahasa yang dikuasai terkemudian daripada perolehan bahasa pertama iaitu bahasa ibunda.
Kesalahan umum memang luas jika diperkatakan tetapi kesalahan disebabkan pengaruh masyarakat bangsa Malaysia berlaku disebabkan banyak faktor. Faktor-faktor yang mengundang kesilapan dalam penggunaan bahasa antaranya:
i. Faktor dialek
ii. Faktor pengaruh media
iii. Faktor pengaruh bahasa lain
iv. Faktor pencemuhan
v. Faktor bahasa slanga
vi. Faktor keanekaan latar belakang
vii. Faktor kurang pemahaman tatabahasa
viii. Faktor pengaruh bahasa iklan
Faktor pertama pengaruh dialek. Dialek menurut Hartmab dan Stork (1972), ialah sejenis kelainan bahasa yang berbeza daripada segi sebutan, tatabahasa dan kosa kata daripada bahasa standard. Pengaruh bahasa dialek begitu menebal mempengaruhi sistem bunyi. Bahasa dialek itu mempengaruhi penulisan terutamanya murid-murid di pantai timur. Bahasa dialek sebenarnya ialah tradisi lisan tempatan. Apabila murid-murid bertutur menggunakan bahasa dialek, maka bukan ayat lengkap yang dipertuturkan tetapi frasa dan klausa atau struktur ayat yang hanya difahami oleh penutur asal dari daerah dialek yang sama.
Berikut ialah beberapa contoh ayat yang biasa digunakan oleh penutur di Terengganu.
Contoh 7. Ali menangkap ikang.
Contoh 8. Adik melukis bulang.
Contoh ayat 7 dan 8 adalah ayat lengkap tetapi penggunaan perkataan ikan dan bulan dieja mengikut sebutan dialek yang menyebabkan kesalahan ejaan.
Contoh 9. Ambo suka makan di kedai bersih. Demo lagu mano? Ayat betul: Saya suka makan di kedai bersih? Awak macam mana?
Contoh 10. Cakna pendidikan Kelantan tersohor.
Di dalam Kamus Dewan perkataan cakna bermaksud ambil berat atau ambil tahu tetapi jarang digunakan dan menjadikan ayat tersebut janggal bagi masyarakat negeri lain. Ayat tersebut boleh diperbaiki menjadi “Ibu bapa harus cakna pelajaran anak supaya Kelantan tersohor dalam bidang pendidikan”.
Contoh 11. Maghi pakat gi jale. Maksud ayat: Jom kita pergi melancong.
Contoh 12. Sudoh slaluh. Ayat tersebut bermaksud siap dengan segera.
Contoh ayat 9 hingga 12 adalah salah jika dinilai daripada sudut penggunaan perkataan yang dientrikan dalam kamus. Papan tanda dan kain rentang yang dipamerkan membuktikan bahawa bahasa dialek ini diterima pakai di negeri atau daerah tertentu. Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah kita perlu mengorbankan kedaulatan bahasa Melayu demi menaikkan taraf bahasa daerah?
Umum mengetahui terdapat banyak bahasa dialek tetapi hanya bahasa Melayu Baku ditetapkan untuk dijadikan bentuk bahasa rasmi. Bahasa dialek memberi maksud berbeza yang sukar ditafsirkan.
Contoh 13. Sudah banyak kali saya bilang sama dia.
Contoh 14. Mama saya belum pulang lagi.
Contoh 15. Saya akan pulang jam tiga.
Perkataan bilang dalam ayat 13 bermaksud memberitahu. Mama dalam ayat 14 merujuk kepada ibu atau emak di sabah tetapi tidak diterima dalam bahasa Melayu kerana kata mama sebenarnya mengikut Kamus Dewan ialah bahasa percakapan bagi kata ibu. Kata jam di dalam ayat 15, merujuk Kamus Dewan edisi keempat adalah sejenis alat untuk menunjukkan waktu. Kata jam biasanya diganti dengan pukul yang lebih jelas merujuk kepada waktu.
Dalam bahasa Melayu, kata jamban membawa makna tempat membuang air atau tandas tetapi dalam dialek Pahang membawa maksud tempat mandi atau basuh kain. Di Kelantan dan Terengganu dialeknya lebih sukar difahami. Contohnya kata bidas bererti memantul menurut Kamus Dewan tetapi membawa maksud lastik mengikut fahaman dialek masyarakat di negeri tersebut. Kata bahang yang bermaksud hawa panas akan berubah maksud menjadi bahagian, hal dan kepunyaan mengikut maksud dialek Perak.
Rumusan daripada contoh di atas dapat disimpulkan bahawa pengguna kata dialek mendukung maksudnya sendiri yang tidak difahami oleh masyarakat luar lingkungannya dan membawa maksud berbeza daripada maksud yang terdapat di dalam Kamus Dewan. Ini menimbulkan banyak kekeliruan dan kesalahan penggunaan kata bahasa Melayu.
Faktor kedua, pengaruh media. Memang tidak dapat dinafikan bahawa media elektronik seperti radio dan televisyen, memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa terutamanya kanak-kanak. Melalui radio dan televisyen, mereka mempelajari aspek bahasa seperti sebutan, perbendaharaan kata, intonasi dan sebagainya. Bunyi vokal dan konsonan dalam perkataan perlu dibunyikan dengan betul kerana jika tidak, akan timbul masalah. Di dalam bahasa Melayu banyak perkataan yang akan bertukar maksud jika salah sebutannya. Misalnya tempoh dengan tempuh, dadah dengan dada, marah dengan mara, belot dengan belut, masakan dengan masakkan, mengubah dengan menggubah atau tumbuk dengan tembok. Salah sebutan akan merubah maksud yang ingin disampaikan. Hal ini terjadi terutamanya bagi penutur bukan Melayu. Selain itu, terdapat juga kesalahan pengulangan kata jamak seperti mereka menjadi mereka-mereka atau para penulis menjadi para penulis-penulis.
Kesalahan bahasa yang dilakukan oleh media turut menjadi ikutan khususnya bagi mereka yang tidak mendalami tatabahasa. Kadangkala pengguna bahasa Melayu, termasuk pelajar masih meyakini tatabahasa dan ejaan yang digunakan oleh media meskipun salah. Contohnya:
Contoh 16. Van yang mereka naiki telah terbabas.
Contoh 17. Alya melaporkan dari Johor.
Contoh 18. Lain-lain perkara akan dibincangkan kemudian.
Contoh 19.Usaha memperluaskan jalan sedang dijalankan.
Contoh 20. Bagaimanapun ada perkara yang tidak jelas yang mana ramai orang tidak mengetahuinya.
Bagi ayat 16 dianggap tidak menepati struktur ayat pasif kata ganti nama diri ketiga. Kesalahan di dalam ayat 17, Kata kerja transitif hendaklah diikuti oleh objek. Bagi ayat 18 berlaku kesalahan hukum D-M. Bagi ayat 19, berlaku kesalahan kerana penggunaan apitan memper….. kan pada kata adjektif. Ayat 20 yang tertulis pada akhbar Harian Metro 23 Januari , yang mana adalah terjemahan terus which dalam bahasa Inggeris.
Pihak media massa sepatutnya lebih prihatin mengelak daripada melakukan kesalahan bahasa. Media perlu memainkan peranan mengetengahkan sesuatu kosa kata baharu dan menggunakan ayat yang betul untuk dimanfaatkan oleh pengguna.
Faktor ketiga, pengaruh bahasa lain. Kesalahan bahasa turut berpunca daripada pengaruh bahasa Inggeris. Hal ini berlaku kerana sesetengah anggota masyarakat yang menguasai bahasa Inggeris kadangkala cenderung untuk menggunakan bahasa Melayu menurut peraturan bahasa Inggeris. Sebagai contoh penggunaan di mana (where) dan yang mana (which) sebagai kata hubung dalam ayat begitu meluas seolah-olah diterima dalam bahasa Melayu. Malah golongan intelektual dan individu yang dianggap berpengetahuan dalam bahasa Melayu turut mengamalkan kesalahan tersebut. Demikian juga penggunaan frasa yang tidak mematuhi hukum D-M, misalnya lain-lain hal dan mini maraton.
Pengaruh bahasa Inggeris juga sering dicampur aduk dalam bahasa Melayu sedangkan istilah tersebut telah sedia ada dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, ori (asli atau tulen), live (langsung atau terus), breakfast (sarapan), lunch (makan tengah hari) dan dinner (makan malam). Kita bangga jika bangsa Malaysia boleh berbahasa Inggeris tetapi janganlah menggunakan bahasa rojak sesuka hati yang merosakkan imej bahasa kebangsaan.
Sesetengah orang pula sukar menyebut sesuatu perkataan berdasarkan sebutan yang diseragamkan, terutamanya bagi perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, masih banyak orang menyebut perkataan tertentu seperti sebutan Inggeris walaupun dieja dalam bahasa Melayu. Misalnya, struktur (structure), aktif (active),dan psikologi (psychology). Amalan demikian akan menjadi ikutan generasi baharu. Kesalahan ejaan pasti berlaku jika salah sebutan. Misalnya, agenda dieja ajenda, unit dieja yunit dan teknologi dieja teknoloji.
Penguasaan bahasa Inggeris memang perlu dalam era globalisasi. Namun mengagung-agungkan bahasa Inggeris akan menyukarkan usaha untuk mengatasi masalah kesalahan bahasa yang kerap berlaku. Penggunaan bahasa campuran atau rojak dalam pelbagai situasi termasuklah situasi rasmi menyebabkan kekeliruan.
Selain pengaruh bahasa Inggeris, kesalahan bahasa juga sering berlaku akibat pengaruh bahasa Cina dan India. Antara ayat yang sering kita dengar seperti:
Contoh 21. Jangan takut menderma dara (darah).
Contoh 22. Ramai pelajar sekarang yang ditangkap menghisap dada (dadah).
Contoh 23. Jangan mara-mara (marah-marah), nanti cepat tua.
Contoh 24. Saya mahu membeli telo (telur).
Penggunaan kata lain seperti senarai disebut senarai, cendekiawan disebut can-dia-kawan dan pengarah disebut pen-ga-rah.
Pada kain rentang dan papan tanda gambar 2,4 dan 5 terdapat kesilapan ejaan seperti salapan (sarapan), negera (nagara) dan memjual (menjual). Kesalahan ejaan sebegini kerap berlaku kerana dieja mengikut bahasa Cina. Campur aduk penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu juga dapat dilihat. Contohnya bagi perkataan tingkat 2 dan floor 2, plumber paip air & tandas dan lori sewa 24 hour dalam gambar 1, 3 dan 6.
Faktor keempat, pencemuhan. Pencemuhan menggunakan bahasa kasar dan lucah semakin mendapat tempat terutama dalam kalangan muda-mudi tanpa mengira kaum. Penggunaan bahasa ini sering kedengaran melalui lagu terutama muzik rap. Lagu adalah cabang seni. Penggunaan perkataan lucah bukan sahaja mencemarkan bahasa dan bangsa Melayu tetapi membunuh nilai seni budaya. Apabila berlaku perkara yang tidak diingini, luahan nama Allah sering kedengaran. Bahasa kesat biasanya digunakan untuk meluahkan emosi berang atau ingin bergurau. Kehalusan budaya bangsa akan lenyap jika budaya seperti ini yang dijunjung. Kesedaran terhadap hala tuju bahasa amat penting dan kehadiran unsur tertentu perlu dihindari demi memartabatkan bahasa dan mempertahankan tamadun budaya bangsa Malaysia.
Faktor kelima, bahasa slanga. Bahasa slanga adalah kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan cepat berubah. Misalnya bahasa pelajar di universiti dan golongan muda mempunyai slanga tersendiri semasa bertutur dan ada kalanya kita sebagai golongan dewasa tidak memahami apa-apa yang diperkatakan oleh mereka. Penggunaan bahasa slanga atau frasa seperti very fantastic di saluran Astro, jika dibiarkan tanpa teguran akan menjadi sebati dengan bahasa Melayu. Ini akan mengancam bahasa kerana bermula dengan perkataan slanga lama kelamaan diterima oleh semua masyarakat. Contoh lain perkataan gay, sekitar 1960-an digunakan tanpa sebarang masalah. Namun begitu sekarang perkataan itu akan membawa erti yang agak negatif iaitu orang yang homoseksual.
Sistem pesanan ringkas (SMS) yang banyak meringkaskan perkataan hakikatnya merosakkan bahasa jika tidak dipantau penggunaannya dan dipraktikkan dalam situasi formal. Perkataan yang digunakan juga sama seperti bahasa slanga yang sering berubah mengikut peredaran zaman. Dahulu kita menggunakan perkataan kekasih, kini pelbagai perkataan baharu digunakan seperti makwe, cewek dan awek. Namun maksudnya masih sama. Ko pula digunakan untuk awak dan gua untuk saya..
Faktor keenam keanekaan latar belakang. Keanekaan latar belakang ialah warisan kita yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan kebudayaan. Ini merupakan keunikan bangsa Malaysia tetapi jika dilihat dari satu sudut yang lain, hal tersebut merupakan masalah dan cabaran untuk memastikan semua bangsa dapat menguasai dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dengan betul.
Di peringkat awal iaitu melalui pembelajaran di sekolah dapat dikesan kesalahan berlaku dalam semua bidang kemahiran bahasa dan aspek bahasa. Gangguan bahasa ibunda berlaku kerana penggunaan bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Jawa, bahasa Inggeris dan lain-lain sejak kecil. Gangguan sistem bunyi bahasa ibunda mereka boleh menyebabkan kesukaran dalam aspek sebutan dan intonasi bahasa Melayu yang dipelajari sebagai bahasa kedua. Masalah ini pernah dibicarakan oleh Jack C Richards (1980) sebagai “masalah antara bahasa” atau interlanguage problems.
Bagi kaum Cina, masalah sebutan dan intonasi berlaku apabila bertutur dalam bahasa Melayu. Masalah ini boleh didengar di kelas, kedai, di pasar atau
288 melalui media elektronik seperti radio atau televisyen. Yang berikut adalah sebahagian contoh kesalahan sebutan yang kerap dilakukan oleh penutur Cina.
BIL PERKATAAN BAHASA MELAYU SEBUTAN SALAH
1. Banyak Manyak
2. Cakap Ciakap
3. Dahulu Lulu
4. Duit Luit
5. Dengan Degan
6. Lebih Lebeh
7. Sudah Suda
8. Semua Suma
9. Sedang Sidang
10. Zaman J aman
Kesalahan penutur kaum India akibat pengaruh bahasa ibunda agak berbeza dengan kaum Cina. Contoh-contoh di bawah adalah antara kesalahan sebutan yang biasa dituturkan oleh bangsa Malaysia berketurunan Cina dan India. Namun tidak dinafikan, sistem pendidikan mampu mengubah fenomena ini dan ramai di kalangan bangsa lain di negara ini mampu bertutur bahasa Melayu dengan lancar dan betul.
BIL PERKATAAN BAHASA MELAYU SEBUTAN SALAH
1. Apa Appa
2. Boleh Bole
3. Darah Dara
4. Enam Annam
5. Getah Keta
6. Hisap Isap
7. Murah Mura
8. Puluh Pulu
9. Pergi Pigi
10. Sendiri Sindri
Selain aspek sebutan, aspek intonasi juga merupakan masalah kerana dilagukan mengikut intonasi bahasa ibunda Cina dan India. D.A.Wilkins (1981:24) menegaskan bahawa: Peranan guru amat penting sebagai ejen pengajar yang paling berpengaruh dan merupakan model atau sumber teladan yang akan ditiru oleh murid-murid. Guru bahasa Melayu terutamanya tidak boleh bersikap seperti ketam dan menyuruh murid-muridnya berjalan betul, sedangkan guru sendiri berjalan senget. Sekiranya guru bahasa Melayu sendiri menghadapi masalah ketika bertutur atau mengajar, mereka perlu mengatasinya dengan segera.
Faktor ketujuh, kurang pengetahuan bahasa Melayu. Faktor ini jika dinilai terjadi kepada semua bangsa Malaysia. Kurangnya pemahaman bahasa Melayu menyebabkan banyak kesalahan bahasa yang dilakukan. Salah satu kesalahan yang berlaku adalah penggunaan kata tunjuk itu dan ini. Menurut Prof. Slametmuljana, dalam percakapan bahasa yang kurang teratur, kata tunjuk ditempatkan di depan kata yang ditunjuk seperti:
Contoh 25. Ini kereta Honda City.
Contoh 26. Itu hari saya sudah pulang ke kampung.
Penggunaan kata tunjuk seperti contoh ayat 25 dan 26 adalah seperti ayat berunsur bahasa basahan dan kolokial.
Dalam aspek penulisan, amalan kelewahan amat jelas. “Leweh” menurut Kamus Dewan 2004 bermakna terlalu banyak hingga berlimpah-limpah. Dalam konteks bahasa, amalan kelewahan dapat diertikan sebagai penggunaan kata, frasa ataupun ungkapan secara berlebihan dalam penulisan dan jika digunakan tidak menambah maksud, malah merosakkan kelancaran dan kepersisan sesuatu ayat. Selain itu. penggunaannya tidak pula menjadikan bahasa itu indah ataupun melancarkan proses komunikasi. Kelewahan juga terjadi kerana pengguna bahasa tidak tahu atau tidak berfikir dahulu ketika hendak menggunakan bahasa.
Contoh 27. Hadiah percuma itu diberi kepada semua peserta.
Contoh 28. Nelayan yang menangkap ikan telah ditangkap kerana memasuki perairan negara jiran.
Penggunaan kata hadiah tidak perlu diikuti dengan kata percuma kerana sesuatu hadiah adalah percuma. Dalam ayat 28 pula, penggunaan kata nelayan cukup menjelaskan tugas menangkap ikan. Jadi ungkapan yang menangkap ikan tidak diperlukan dan dianggap kelewahan dan mubazir. Contoh lain penggunaan frasa pada masa ini (kini), penghuni yang tinggal di (penghuni) dan sekolah tempat kami belajar (sekolah kami). Frasa yang ditulis panjang hanya perlu ditulis seperti di dalam kurungan supaya menjadi ayat yang tepat.
Dalam hal kelewahan, Yeop Johari Yaakob (1987) menggolongkan ulangan kata sebelum penanda jamak sebagai amalan mubazir. Umpamanya, semua pegawai-pegawai, sebilangan besar kakitangan-kakitangan kerajaan dan pokok-pokok itu tinggi-tinggi belaka, ditakrifkan sebagai mubazir. Amalan ini dikelaskan sebagai kesalahan bahasa yang harus diberhentikan oleh pengguna bahasa Melayu demi kebakuan dan ketulenan bahasa Melayu.
Selain itu kelewahan lain seperti menjamakkan kata bilangan seperti banyak kereta-kereta sepatutnya banyak kereta atau kereta-kereta. Kelewahan imbuhan adjektif memper….. –kan dan diper ….;kan berlaku kerana kecenderungan untuk menggandingkan kedua-dua imbuhan dengan kata dasar yang terdiri daripada kata adjektif seperti memperkemaskan sepatutnya memperkemas atau mengemaskan dan dipertingkatkan sepatutnya dipertingkatkan atau ditingkatkan. Kelewahan apitan memper….-i, mengikut
Tatabahasa Dewan edisi baharu hanya ada empat bentuk sahaja yang wajar iaitu memperingati, memperkawani, memperisteri dan mempersuami. Bentuk memperisteri dan mempersuami sebenarnya mengalami pengguguran i kerana sebenarnya berbentuk memperisterii dan mempersuamii.
Faktor usia juga menjadi salah satu sebab berlakunya kesalahan bahasa. Kurangnya pemahaman yang sudah menjadi kebiasaan menyebabkan golongan ini kekok mengubah sesuatu yang telah sebati. Komunikasi mereka terganggu sekiranya mencuba untuk menggunakan bahasa baharu yang betul tetapi dianggap asing. Masalahnya, kesalahan bahasa yang digunakan ini akan menjadi ikutan orang lain yang mendengarnya. Kesalahan bahasa yang agak luas penggunaannya akan berterusan. Malah sesetengah pelajar menyedari kesalahan tersebut, tetapi masih melakukannya kerana terpengaruh oleh penggunaan bentuk lazim orang tua mereka. Antara contoh kesalahan bahasa termasuklah yang berikut:
i. Ramai murid-murid sekolah……………
ii. Semua pekerja-pekerja kilang……………..
iii. Di saat-saat akhir ………….
iv. Kedua ibu bapa……………..
v. Demi untuk negara……………..
vi. Senarai nama-nama calon
vii. …………….……dari masa ke semasa……………..
vii …..adalah merupakan…………….
Semua pihak tidak menyangkal kepentingan tatabahasa dan sistem ejaan sesuatu bahasa, tetapi penguasaan bahasa Melayu di negara ini masih kurang memuaskan. Jika dilihat dengan teliti aspek tatabahasa bahasa Melayu memang sukar dikuasai dan perlu dipelajari oleh semua lapisan masyarakat.
Faktor kelapan, laras iklan. Iklan berfungsi untuk mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan kepada pengguna. Penguasaan bahasa merupakan komponen penting dalam sesebuah iklan kerana tanpa bahasa sesebuah iklan tidak mungkin terhasil. Penggunaan bahasa dalam iklan memberi pengaruh yang besar kepada pengguna dan sebagai pengguna kita sepatutnya berupaya memahami tugas penulis iklan di ruangan sempit. Contohnya slogan “ sehingga menjilat jari”. Umum mengetahui slogan tersebut digunakan oleh ‘Kentucky Fried Chicken” sebagai usaha melariskan jualan. Penghargaan seharusnya diberi kepada penulis yang kreatif dan berusaha menggunakan bahasa Melayu.
Gaya penulisan iklan menitikberatkan bahasa yang betul dan gramatis. Namun ramai penulis yang gagal memastikan ayat yang ditulis betul tatabahasanya. Salah guna bahasa iklan berlaku kononnya untuk menyesuaikan bahasa yang digunakan masyarakat semasa bertutur iaitu mengikut kesesuaian taburan demografinya. Contohnya menyerapkan bahasa slanga golongan remaja dalam iklan. Bahasa Melayu standard dan formal dianggap kaku dan ini berbeza dengan kehendak DBP. Iklan bertujuan untuk memudahkan pemahaman dan ayat yang tergantung dalam iklan hanyalah taktik untuk menarik perhatian masyarakat. DBP sepatutnya dapat bekerjasama dengan pihak pengiklanan untuk memastikan bukan sahaja keuntungan yang terhasil tetapi juga dapat memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang pengiklanan.
Cara Mengatasi Masalah Kesalahan Bahasa
Dalam usaha mempercepat penguasaan bahasa Melayu di kalangan bangsa Malaysia, Kementerian Pelajaran harus melentur buluh dari rebungnya dengan memperkasakan sekolah kebangsaan di negara ini. Cara ini dapat menggalakkan ibu bapa agar menghantar anak masing-masing ke sekolah kebangsaan untuk memantapkan penguasaan bahasa dan seterusnya mewujudkan integrasi antara murid daripada pelbagai kaum.
Di dalam dunia pekerjaan dan dunia sosial, kemahiran berbahasa menentukan kejayaan seseorang. Sekeping ijazah tidak bernilai tanpa kecekapan berbahasa. Profesion perguruan berperanan mengajar bahasa khususnya aspek sebutan dan ejaan yang saling berkait dengan betul. Aspek kesantunan berbahasa harus diterapkan. Amalan dan nilai budi bahasa perlu dikekalkan walaupun terdapat pengaruh barat.
Yang merah itu saga,
Yang kurik itu kendi;
Yang indah itu bahasa,
Yang elok itu budi
Orang berbudi, kita berbahasa,
Orang memberi, kita merasa.
Corak pembelajaran ilmu sebagai proses menghafal untuk mengambil peperiksaan perlu diubah. Sebaliknya dilaksanakan sebagai proses memahami apa yang dipelajari. Seseorang yang faham dalam bahasa akan dapat menggunakan bahasa dengan baik, tersusun dan lengkap. Pelajar khususnya diberi peluang mengungkap ilmu yang diterima dan menggunakan bahasa sebagai saluran pernyataan buah fikiran dan ilmu pengetahuan melalui proses pengajaran dan pembelajaran.
Pihak media massa dan dunia pengiklanan harus lebih prihatin dan memberi penekanan kepada penggunaan bahasa Melayu yang betul. Pakar-pakar sosiobudaya pula perlu membuat kajian menstandardisasikan aspek budaya selaras dengan perkembangan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sekarang. Ungkapan “bahasa jiwa bangsa” dan “bahasa menunjukkan bangsa”, menunjukkan hubungan erat di antara bahasa dengan kebudayaan dan tingkah laku bangsa Malaysia.
Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu tidak perlu diragui. Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional pada bila-bila masa pasti boleh diminta pandangan tentang sesuatu isu bahasa. GAPENA pernah mengeluarkan penyataan cadangan agar bahasa Melayu wajib diambil oleh pelajar sebagai syarat memasuki institusi pengajian tinggi awam. Sebagaimana syarat yang ditetapkan untuk bahasa Inggeris melalui Malaysian University English Test. Sebagai rakyat, kita seharusnya menyokong usaha pejuang bahasa untuk mempertahankan kedaulatan bahasa.
Kesalahan bahasa dapat dikurangkan dan dihapuskan jika mendapat kerjasama semua pihak. Perancang bahasa perlu memperbaiki atau merancang unsur-unsur bahasa untuk meningkatkan keefisienan, mengurangkan sebarang perbezaan yang menghalang fungsi bahasa sebagai bahasa kebangsaan . Sistem ejaan perlu diperbaiki dan menstandardkan sebutan kata-kata pinjaman. Proses penciptaan istilah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka harus diteruskan untuk membolehkan pengungkapan konsep-konsep teknikal dan sains dilakukan. Usaha DBP amat jelas dengan penghasilan buku panduan tatabahasa seperti buku Tatabahasa Dewan. Penghasilan buku ini diharap dapat membantu memperbaiki penggunaan tatabahasa di kalangan pengguna bahasa Melayu.
DBP juga melakukan penyelaras bentuk ejaan melalui sidang yang dianggotai oleh negara seperti Indonesia dan Brunei. Kesalahan penggunaan bahasa sebenarnya hanya akan selesai jika masyarakat dapat menerima hakikat bahasa Melayu adalah bahasa Malaysia iaitu bahasa kepunyaan semua warganegara yang menjadi cerminan bangsa Malaysia. Tanpa keinginan dan kesungguhan yang luhur selari dengan dasar perlembagaan segala usaha tidak akan berhasil.
KESIMPULAN
Hasil perbincangan dapat dirumuskan bahawa kesalahan bahasa di kalangan bangsa Malaysia memang tidak dapat disangkal. Semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus menerima hakikat kesilapan bahasa berlaku kerana kesilapan bangsa Malaysia sendiri yang kurang menghargai dan menghayati konsep satu bangsa satu bahasa. Kesalahan bahasa tidak sepatutnya berlaku kerana bahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai bahasa Kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1968, Akta Pelajaran 1961 dan 1996. Semua bangsa Malaysia sepatutnya perlu mempelajari, menguasai dan menggunakan bahasa Melayu dengan lancar dan betul jika mereka benar-benar bangsa Malaysia.
Langkah kerajaan mendaulatkan bahasa Melayu diharap dapat memastikan bahasa Melayu digunakan secara meluas oleh bangsa Malaysiaseterusnya dapat mengurangkan kesalahan bahasa dalam pertuturan dan penulisan. Antara langkah yang diambil termasuklah:
I. Mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam segala bentuk urusan rasmi.
II. Mewajibkan bahasa Melayu dijadikan bahasa Penghantar di semua sekolah kebangsaan dan institusi pengajian tinggi awam.
III. Menyeru pihak swasta menggunakan bahasa Melayu sewaktu berurusan dengan pelanggan. Selain itu, sebarang borang bahasa Inggeris disertakan terjemahan bahasa Melayu.
IV. Iklan perniagaan mesti menggunakan bahasa kebangsaan.
V. Para pemimpin kerajaan pelbagai kaum diwajibkan menyampaikan ucapan dalam bahasa Kebangsaan dalam majlis yang melibatkan warga tempatan.
Kegemilangan bahasa Melayu mesti dikembalikan seperti kedudukan bahasa Melayu zaman lampau, seperti yang pernah diterangkan oleh William Marsdern. Menurutnya, “bahasa Melayu yang dianggap berasal dari semenanjung Tanah Melayu telah berkembang melalui kepulauan-kepulauan timur dan menjadi lingua franca di dunia bahagian tersebut, dituturkan di mana-mana di sepanjang pantai Sumatera dan digunakan tanpa campuran apa-apa di negara kepulauan Minangkabau dan tanah jajahannya dan difahami ke setiap bahagian pulau”.
Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk hanya dapat disatukan melalui bahasa. Hasrat ini tercatat dalam Perlembagaan. Yang menjadi penghalang dan menimbulkan masalah kesalahan penggunaan bahasa hanyalah sikap masyarakat yang mengetepikan bahasa Melayu. Segala usaha telah dilakukan untuk mengurangkan kesalahan penggunaan bahasa. Faktor yang menjadi penyebab kesalahan bahasa seperti faktor dialek, faktor media, faktor bahasa slanga dan faktor kurang pemahaman dapat diatasi jika seseorang itu berusaha untuk mengubahnya. Langkah mengatasi masalah kesalahan bahasa hanya dendangan kosong jika bangsa Malaysia tidak mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa sendiri. Malah usaha mengangkat bahasa Melayu melalui Hari Pejuang Bahasa disambut julung-julung kalinya pada 15 Februari 2010 bertukar menjadi medan melontarkan kritikan pedas kepada golongan yang menganggap bahasa Melayu adalah bahasa kolot yang menyekat pembangunan. Kritikan daripada ahli panel seperti Datuk Dr Hassan Ahmad, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan dan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah di Dewan Bahasa dan Pustaka membuktikan ramai bangsa Malaysia tidak menghargai bahasa sendiri iaitu bahasa Melayu.
BIBLIOGRAFI
Abd Aziz Abd Talib. (2000). Pedagogi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Abdullah Hassan. (1987). Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hassan, Hasnah Ibrahim & Mashudi Kader. (1987). Kesalahan Bahasa Dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Noor & Muhammad Azaham. (2000). Takkan Melayu Hilang Di Dunia. Kelana Jaya: Pelanduk Publications.
Mhd. Amin Arshad. (2000). Bahasa Slanga: Pembentukan dan Ciri-cirinya. Selangor: Jabatan Bahasa Melayu.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa & Abdul Hamid Mahmood. (2004). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Noor Azilawati Mohd Sabda. (2007). Integrasi Dalam Pembinaan Bangsa. Melaka:Associated Educational Distributors (M) Sdn Bhd.
Raja Mukhtaruddin bin Raja Mohd Dain. (1985). Konsep Melayu, Agama, Budaya dan Bahasa. Petaling Jaya: Agensi Penerbitan Nusantara.
S. Nathesan. (1995). Beberapa Persoalan Penggunaan Bahasa Melayu Dan Penyelesaiannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
S. Nathesan. (1995). Makna Dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zanaria Syukor. (2006). Perpaduan Masyarakat Berbilang Kaum. Subang Jaya Selangor: Penerbit Pinang Sdn Bhd.
Labels:
KAJIAN ILMIAH
Subscribe to:
Posts (Atom)