Monday, 9 May 2011

ANALISIS KAJIAN YANG TELAH DIBUAT OLEH PENGKAJI-PENGKAJI BAHASA OLEH BARAT.

0 PENGENALAN :
Pada dasarnya, Bahasa Melayu seperti bahasa-bahasa yang lain di dunia bersifat hidup, berkembang dan mengalami perubahan. Bahasa Melayu telah melalui 5 zaman sejak zaman purba dahulu hingga kini. Penyelidikan tentang bahasa dan bangsa Melayu mula-mula sekali telah dijalankan oleh barat sehinggalah beberapa lama sehinggalah muncul para penyelidik tempatan. Sebelum membincangkan lebih terperinci berkenaan penulis-penulis atau pengkaji-pengkaji barat,terlebih dahulu meninjau sejarah bahasa Melayu yang telah melalui 5 zaman.
Bahasa Melayu dengan jumlah penuturnya yang menghampiri 300 juta orang, kini menduduki tempat keempat sebagai bahasa yang terbesar jumlah penuturnya di dunia. Daerah penyebarannya meliputi negara-negara yang terletak di rantau yang dikenal sebagai Kepulauan Melayu dan juga di beberapa kawasan lain di luar Kepulauan Melayu. Di Kepulauan Melayu atau alam Melayu, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di di tiga buah negara yang berdaulat , iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam meskipun Indonesia menggunakan,istilah bahasa Indonesia Singapura yang sekalipun penduduk Melayunya hanya kira-kira 14 peratus mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan salah satu bahasa rasminya.
Apabila kita berada di gugusan kepulauan Melayu yakni meliputi Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Brunei kita tidak akan menghadapi sebarang kesukaran tersesat jalan jika tahu berbahasa Melayu. Bahasa Melayu difahami oleh hampir keseluruhan umat manusia di nusantara ini kecuali segelintir yang bengap dan tidakketahuan..
Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang penggunaannya sangat meluas dan bilangan penutur pun sangat besar. Sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa itu sebenarnya merupakan salah satu bahasa yang bermartabat dan digunakan untuk menyatukan pelbagai bangsa, terutama di Asia Tenggara. Dari segi sejarah, bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia. Apabila diperhatikan filum bahasa, maka bahasa Melayu berasal daripada filum Austrik/Austris, lalu daripada rumpunnya, maka bahasa Melayu merupakan rumpun bahasa Austronesia. Beberapa orang pakar sejarah bahasa menyebutnya sebagai rumpun bahasa Melayu-Polinesia.
1
Bahasa Melayu berkembang menjadi pelbagai dialek dan subdialek. Sebenarnya, bahasa Melayu, sejak awal lagi, telah tersebar di beberapa buah daerah di Asia Tenggara. Bahasa Melayu yang tersebar ini berkembang secara bertahap-tahap, iaitu dari satu zaman ke satu zaman. Mengikut Amat Juhari Moain dalam Sejarah Bahasa Melayu, perkembangan bahasa Melayu terbahagi kepada lima zaman, iaitu zaman bahasa Melayu purba, zaman bahasa Melayu kuno, zaman bahasa Melayu klasik, zaman bahasa Melayu peralihan atau pramoden, dan zaman bahasa Melayu moden.
Setiap zaman tersebut mempunyai ciri dan fungsi tersendiri. Banyak kata serta gubahan sastera yang menandai setiap zaman tersebut. Peninggalan bahasa sejak zaman dahulu lebih banyak ditemukan dalam bentuk peninggalan artifak, sama ada tulisan yang ditulis di atas kayu, batu, ataupun daun, seperti daun lontar. Setelah wujudnya mesin cetak, barulah peninggalan bahasa dapat ditemukan dalam bentuk tulisan yang lebih kemas di atas kertas.

2.0 _SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU.
Menurut Amat Juhari Moain (2006:27) , terdapat 5 zaman perkembangan bahasa Melayu.Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu tersebar dan berkembang secara bertahap –tahap iaitu dari zaman ke zaman.Lima zaman tersebut ialah zaman bahasa Melayu Purba, Melayu Kuno, Melayu Klasik, Melayu Pramoden dan Melayu Moden. Secara analoginya, berdasarkan pengklasifikasi zaman-zaman perkembangan telah membuktikan bahawa bahasa Melayu berkembang dan mempunyai sejarah penyebarannya. Sebelum menghuraikan dan membincangkan persamaan dan perbezaan serta kekuatan dan kelemahan hasil kajian mereka, kita perlu meninjau secara terperinci 5 tahap berkenaan. Dengan cara ini, barulah kita dapat melihat hasil kajian penulis – penulis barat
tentang perkembangan bahasa Melayu yang hakikatnya bahasa Melayu telah menduduki tempat
keempat sebagai bahasa terbanyak penuturnya di dunia, iaitu berjumlah hampir 300 juta orang.

2
2.1 Zaman Bahasa Melayu Purba
Bahasa Melayu Purba ialah bahasa Melayu yang wujud pada zaman prasejarah.Bahasa ini dikatakan sedemikian kerana tidak ada sejarah bertulis pada masa itu.
Manakala menurut Asmah Haji Omar, Bahasa Melayu Purba dipercayai dituturkan oleh kelompok Melayu Deutro. Mereka menggunakan bahasa ini dalam bentuk lisan. Oleh itu Bahasa Melayu Purba tidak wujud dalam bentuk tulisan.
2.2 Zaman Bahasa Melayu Kuno
Menurut Abdul Rashid dan Amat Juhari Moain, (2006 : 27), bahasa Melayu Kuno bermula pada abad ke-4 Masihi. Bahasa Melayu Kuno dikatakan bermula pada abad ke-4 Masihi kerana terdapat beberapa bukti yang telah ditemui di Dong Yen Chau di Teluk Tourane Vietnam yang diperkirakan bertarikh pada abad ke-4 Masihi. Bahan bukti yang ditemui ialah sebuah prasasti.
Berdasarkan maklumat bahawa bahasa Melayu, bahasa Melayu Kuno wujud setelah menerima pengaruh daripada India. Bahasa Melayu Kuno mencapai kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Mereka yang bertutur bahasa Melayu Kuno merangkumi Semenanjung Tanah Melayu , Kepulauan Riau dan Sumatera. Bahasa Melayu Kuno diterima ramai kerana terdapat beberapa ciri yang boleh diterima oleh orang ramai. Antaranya ialah bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa Melayu Kuno juga dikatakan tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat. Sehubungan itu, bahasa Melayu Kuno juga mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding bahasa Jawa.
Terdapat juga teori yang mengatakan bahawa berlakunya perkembangan bahasa Melayu iaitu bahasa Melayu Purba menjadi bahasa Melayu Kuno adalah melalui aktiviti perdagangan.Buktinya ialah pada abad pertama, barulah pedagang dari India belayar ke timur menuju Tiongkok dan pedagang Tiongkok pula belayar ke barat menuju India. Pelayaran dua hala ini mengharuskan mereka melalui
3
Selat Melaka. Lama-kelamaan pelabuhan yang ada di Kepulauan Melayu ini bukan sahaja sebagai tempat persinggahan tetapi menjadi tempat perdagangan pedagang India dan Tiongkok seperti yang telah dirintis lebih awal oleh pedagang Arab.
Di samping itu juga para mubaligh terutama mubaligh India turut datang ke Kepulauan Melayu ini untuk menyebarkan agama Hindu. Kedatangan para pedagang dan penyebar agama ini mengakibatkan bahasa Melayu Purba mendapat pengaruh baru. Bahasa Melayu Purba ini kemudian dinamai sebagai bahasa Melayu Kuno.
2.2.1 Pengaruh Bahasa Sanskrit dan Hindu dalam Bahasa Melayu Kuno.
Bahasa Melayu Kuno banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Hal ini adalah kerana kebanyakan masyarakat Melayu ketika itu beragama Hindu dan Bahasa Sanskrit telah menjadi bahasa bangsawan dan mempunyai hierarki yang tinggi. Selain itu, sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan juga antara penyebab bahasa asing seperti sanskrit diterima. Hal ini boleh dibuktikan daripada pengaruh tulisan atau aksara Pallava dan Devanagari yang datang dari India, kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, rangkai-rangkai kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, dan fonem-fonem Sanskrit.
Kesan daripada bahasa sanskrit ini menyebabkan penambahan kosa kata Bahasa Melayu Kuno. Contoh contoh perkataan yang diambil daripada Bahasa Sanskrit adalah seperti syukasyitta, athava, karana, tatakala dan sebagainya. Bahasa Melayu Kuno tidak mempunyai pengaruh Parsi atau Arab.
2.3 Penggunaan Bahasa Melayu Kuno
Berdasarkan bahan bukti sejarah yang ditemui, terdapat beberapa batu bersurat yang menggunakan bahasa Melayu Kuno. Batu bersurat telah ditemui di sekitar Sumatera dan Jawa yang memperlihatkan penggunaan Bahasa Melayu kuno pada abad ke-7. Tulisan yang digunakan ialah aksara (alphabet) Pallawa iaitu sejenis tulisan yang berasal dari selatan India. Antara batu bersurat tersebut ialah batu bersurat Kedukan Bukit di Palembang, bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan
4
dengan 683 Masihi. Tulisan yang terdapat pada Batu Bersurat ini menggunakan huruf Palava.
Batu Bersurat Talang Tuwo , bertarikh 606 Tahun Saka, bersamaan dengan 684 M dan batu, Jawa Tengah yang bertarikh 832 Masihi ditulis dalam huruf Nagiri.Ringkasnya, penemuan batu bersurat ini membuktikan bahawa bahasa Melayu Kuno wujud dan digunakan oleh masyarakat.
2.3.1 Ciri-Ciri Bahasa Melayu Kuno
Bahasa Melayu Kuno mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Beberapa kajian telah dijalankan pada bahan bukti iaitu batu bersurat. Tulisan yang terdapat pada batu bersurat tersebut telah dikaji dari aspek bahasanya.
Berdasarkan kajian tersebut, bahasa Melayu jelas memperlihatkan pengaruh bahasa Sanskrit, terutama dari segi kata-kata pinjaman. Hal ini terjadi kerana pada waktu itu bahasa Melayu tidak mempunyai kata-kata yang sesuai untuk memperkatakan perkara-perkara dan konsep-konsep baru yang dibawa dari kebudayaan asing. Oleh itu bahasa Melayu terpaksa meminjam daripada bahasa masyarakat yang membawa konsep-konsep baru itu. Contoh contoh perkataan yang diambil daripada bahasa Sanskrit adalah seperti syukasyitta, athava, karana, tatakala dan sebagainya.
Bahasa Melayu itu kebanyakannya ditulis oleh raja. Oleh itu dapat dibuat kesimpulan bahawa bahasa Melayu kuno telah menjadi bahasa rasmi dan bahasa untuk urusan pemerintahan di istana.Bahasa Melayu kuno juga telah tersebar luas dan berfungsi sebagai lingua franca.Selain itu bahasa Melayu kuno juga bersifat kosmopolitan, keranan menerima pengaruh dari luar terutama pengaruh bahasa Sanskrit.
2.4 Definisi Bahasa Melayu Klasik
Terdapat beberapa definisi yang telah diutarakan oleh pengkaji bahasa .Antaranya ialah Asmah Hj.Omar ,’bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”. Menurut Ismail Hussein, “pembahagian yang dibuat oleh adalah atas pertimbangan sejarah
5
perkembangan bahasa Melayu. Hal ini dapat dibahagikan mengikut zaman politik Srivijaya, Majapahit, Melaka, dan sebagainya, pengaruh kebudayaan seperti Hindu, Islam, dan Barat atau mengikut zaman tulisan yang digunakan seperti tulisan Melayu Kuno yang diambil dari India, tulisan Arab, dan akhir sekali tulisan Latin. Contohnya pada zaman politik Srivijaya, masyarakatnya yang beragama Hindu dan Buddha, menggunakan tulisan yang dibawa dari India, sasteranya dipenuhi oleh cerita-cerita sastera India dan bahasa Melayunya, dengan pinjaman kata-kata Sanskrit.
2.4.1 Sejarah Bahasa Melayu Klasik
Bagi sesetengah individu telah mengatakan bahawa perkembangan bahasa Melayu Klasik mempunyai perkaitan dengan perkembangan karya sastera. Perkembangan kesusasteraan memberikan gambaran tentang sejarah silam sesuatu bangsa dari segi kebudayaan,dan keperibadian bangsa .
Dalam masa yang sama bahasa Melayu Klasik digunakan oleh pengarang untuk tujuan menghasilkan sesebuah karya dalam bidang kesusasteraan, ketatanegaraan, kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan. Seiring dengan kemunculan bahasa Melayu Klasik, pengaruh Hindu dilihat mula hilang sedikit demi sedikit sehinggalah ke abad ke-15.Bahasa Melayu Klasik mula berkembang pada abad ke -13 dan ke -14. Buktinya ialah penemuan beberapa buah prasasti. Ketika itu juga bahasa Melayu Klasik telah digunakan sebagai lingua –franca iaitu zaman kerajaan Melayu Melaka. Penggunaan bahasa Melayu Klasik ini jelas dalam aktiviit perdagangan dan penyebaran agama Islam.
Bukti tentang penyebaran agama islam menggunakan bahasa Melayu Klasik adalah penghasilan kitab-kitab agama. Antara kitab yang dihasilkan ialah Furu’ Al-Masa’il oleh Syed Muhammad Daud Al-Fatani,dan Sabil Al-Muhtadin oleh Syed Muhammad Arsyad Al-Banjari .Kandungan kitab-kitab ini adalah mengenai agama seperti al- Hadith, feqah, tafsir al-quran, tasawuf, di samping sejarah, hikayat, hal ehwal haiwan, perdukunan, perubatan Melayu, bintang dua belas, pentadbiran dan pemerintahan, falsafah dan pengembaraan.
Secara analoginya bahasa Melayu Klasik meluas dalam kalangan orang bukan Melayu
6
dari kelompok Asia, juga dalam kelompok orang Eropah dan Asia Barat yang datang ke Asia Tenggara.
2.4.2 Permulaan Zaman Bahasa Melayu Klasik
Pada abad ke -13, pengaruh agama Islam menjadi makin dominan di Nusantara. Perkembangan agama Islam membawa bersama-samanya bahasa Arab. Zaman ini memperlihatkan kemasukan perkataan Arab dan tulisan Jawi yang menggunakan huruf-huruf Arab. Secara ringkasnya evolusi tahap kedua berlaku kepada bahasa Melayu. Bahasa Melayu berkembang dengan pesat melalui peminjaman perkataan Arab dan Parsi. Di samping itu, bahasa Melayu juga mula berkembang dengan bahasa-bahasa dari Barat seperti Portugis, Inggeris, dan Belanda.
Menurut Ismail Hussein, bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan ke-14. Namun, beliau menyebutnya sebagai zaman peralihan di seluruh kepulauan Melayu dengan kedatangan agama Islam. Bukti konkrit tentang bertapaknya Islam di Nusantara dari sudut sejarah diperoleh pada tahun 1292 M sewaktu Marco Polo melawat Sumatera Utara dan catatannya tentang pengislaman Pasai.
Pada zaman peralihan dalam abad ke-13 dan ke-14 telah dijumpai beberapa prasasti dalam bahasa Melayu yang ditulis menggunakan huruf India tetapi bahasanya sudah terdapat pengaruh bahasa Arab. Di sini bermulanya bahasa Melayu klasik. Dalam masa yang sama bahasa Melayu Klasik boleh ditandai dengan kemunculan dan keagungan kerajaan Melayu Melaka. Bahasa Melayu menjadi medium dalam pemerintahan, perhubungan, perdagangan, dan penyebaran agama Islam.
Ketika itu juga bahasa Melayu mendapat tulisan baru, iaitu tulisan Jawi, iaitu dengan meminjam dan menyesuaikan abjad bahasa Arab. Sebelumnya, pada tahap bahasa Melayu
Kuno, bahasa Melayu menggunakan dua jenis tulisan, iaitu tulisan rencong dan lampung yang tidak terpengaruh oleh tulisan dari India walaupun bahasa Sanskrit sudah bertapak di Nusantara.Tulisan yang disesuaikan dengan tulisan Pallava dan Nagiri seperti yang terdapat pada batu-batu bersurat antara abad ke-7 hingga abad ke-14.
7
2.4.3 Perkembangan Bahasa Melayu Klasik
Kedatangan pengaruh agama Islam dan bahasa Arab,telah menyebabkan bahasa Melayu melangkah setapak lagi dengan satu lagi tulisan, iaitu tulisan Jawi. Bahasa Melayu Klasik mula pada abad ke-16 sampai pula pengaruh dari Barat dengan kedatangan penjajah dari Eropah seperti Portugis, Belanda, dan Inggeris. Sekali lagi bahasa Melayu bertembung dengan bahasa dan kebudayaan yang baru yang turut mempengaruhi bahasa Melayu.
Amat Juhari Moain, tulisan rumi mula digunakan dengan penggunaan yang pertama dalam bahasa Melayu oleh David Barbosa pada tahun 1516 Masihi setelah Melaka ditawan oleh Portugis, kemudian pada tahun 1521 Masihi seorang pengembara Itali, Antonio Pigfafetta membuat catatan perkataan Melayu dalam tulisan rumi dengan padanannya dalam bahasa Itali.
Dengan senario itu, bahasa Melayu Klasik mencakup zaman antara abad ke-14 hingga abad ke-19, dengan abad ke-12 dan ke-13 sebagai zaman peralihan antara tahap bahasa Melayu Kuno dengan tahap bahasa Melayu klasik. Bahasa Melayu klasik dapat disimpulkan sebagai bahasa yang digunakan dalam kesusasteraan, pemerintahan dan undang-undang, agama, sejarah, perdagangan, dan perhubungan iaitu budaya dan kemasyarakatan.
Ringkasnya, kosa kata daripada bahasa Arab banyak digunakan. Penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat dalam beberapa buah karya seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Misa Melayu, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Negeri Johor dan banyak lagi karya yang ditulis dalam tulisan Jawi.
2.4.4 Zaman Kegemilangan Bahasa Melayu Klasik
Berdasarkan bahan yang di akses, didapati ada tiga zaman kegemilangan bahasa Melayu Klasik. Antaranya ialah zaman kerajaan Melaka, Acheh dan zaman kerajaan Johor –Riau. Ketika zaman tersebut terdapat beberapa orang tokoh penulis. Buktinya ialah pada zaman kerajaan Acheh. Antara tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh
8
Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
2.4.5 Ciri-Ciri Bahasa Melayu Klasik
Oleh itu, bahasa Melayu Klasik, telah menyatakan beberapa ciri-ciri bahasa Melayu Klasik. Namun demikian cirri-ciri yang dinyatakan adalah lebih mencirikan bahasa Melayu Klasik dari aspek perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan. Antara ciri –ciri tersebut ialah ayat yang panjang, berulang, dan berbelit-belit. Ayat yang digunakan kebanyakkannya ialah ayat pasif dan songsang.Ketika itu juga banyak menggunakan laras bahasa istana.
Manakala terdapat perbezaan dalam mengklasifikasi ciri-ciri bahasa Melayu Klasik Jadi, telah membahagikan ciri tersebut kepada beberapa aspek iaitu aspek sistem tulisan,kosa kata dan tatabahasa.
Dalam bahasa Melayu Klasik terdapat penggunaan kata pangkal ayat yang agak klise atau usang. Penggunaan kata pangkal ayat ini agak meluas. Contoh kata pangkal adalah seperti "syahadan", "maka", "alkisah", "hatta", "arakian", "kata sahibul hikayat", "maka, tatkala" dan "adapun. Kata-kata seperti itu bukan sahaja digunakan untuk memulakan sesuatu perenggan, malah digunakan juga pada awal ayat-ayat dalam perenggan. Penulisan dalam bahasa Melayu moden tidak memperlihatkan penggunaan kata pangkal ayat yang sedemikian.
Manakala dari aspek struktur ayat pula, bahasa Melayu Klasik agak berbeza dengan bahasa Melayu Kuno kerana struktur ayatnya panjang-panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit.Terdapat juga gabungan beberapa ayat tunggal yang dicantumkan dengan menggunakan kata-kata hubung yang tertentu, terutamanya "dan" dan "atau" ataupun dengan menggunakan tanda koma dan tanda koma
bertitik sahaja. Contoh ayat bahasa Melayu Klasik seperti ayat berikut; “Maka apabila dibawalah akan mereka itu ke penghadapan Tajul Muluk, demi terpandang akan anak si peladang itu, mesralah ke dalam hatinya, diberinya wang yang tiada berhisab banyaknya serta disuruh perbela akan dia baik-baik”.
9
Dalam bahasa Melayu Klasik juga, terdapat perubahan dari aspek bentuk ayat yang digunakan. Bentuk ayat yang lebih lumrah digunakan, ialah bentuk ayat pasif, iaitu bentuk ayat yang lebih mengutamakan objek pelaku atau subjek. Sebagai contoh, “Hatta datanglah kepada suatu hari maka Hamzah dan Umar Umayyah dibawanya oleh Khoja Abdul Mutalib kepada mualim ……”
Selain itu, dalam bahasa Melayu Klasik juga banyak menggunakan partikel “pun”dan “lah”.Contoh perkataan yang digandingkan dengan partikel ialah seperti “adapun, bertitahlah,dan berebutlah”. Manakala contoh penggunaan partikel dalam ayat pula ialah seperti berikut ““Maka Bendahara pun hairanlah kalam raja seperti dikhatankan orang rupanya” dalam Sejarah Melayu.
Sehubungan itu terdapat pengaruh daripada beberapa bahasa lain dalam bahasa Melayu Klasik kerana di kepulauan Melayu ketika itu bahasa Arab dan Sanskrit bertapak kukuh lantaran aktiviti perdagangan dan penyebaran agama islam.Contoh penggunaan bahasa Arab ialah “Allah Taala, makhdum, mualim daulat, wallahualam, takzim. Bagi bahasa Sanskrit pula ialah “dosa,pahala,dan raja” . Bahasa Melayu Klasik juga menerima fonem Arab seperti ‘kh’, ‘dz’, dan ‘sy’. Contoh perkataan seperti “khamis, zakat, syarat”.
Justeru, bahasa Melayu klasik lebih bersifat "bahasa istana". Hal ini amat ketara dari segi penggunaan perkataan dan sistem panggilannya. Contohnya ialah ‘sembah, beta, titah, berangkat, dan gering.” Penggunaan ini adalah disebabkan kebanyakan hasil penulisan bahasa Melayu klasik adalah dalam bentuk karya sastera, yang menceritakan kisah dan peristiwa yang dialami oleh kalangan raja di istana.
Bahasa melayu Klasik juga lebih banyak menggunakan kiasan dan perbandingan serta penggunaan laras bahasa puisi, seperti pantun, syair, seloka dan gurindam dalam karya prosa. Buktinya ialah terdapat banyak dalam hikayat-hikayat Melayu lama. Mungkin disebabkan oleh sifat sastera Melayu klasik itu sendiri, yang pada asalnya dalam bentuk lisan dan penggunaan unsur-unsur tersebut dikatakan dapat menghidupkan suasana penceritaan.
10
2.5 Zaman Bahasa Melayu Pramoden
Menurut Amat Juhari dan Abdul Rashid Melebek, bahasa Melayu Pramoden bermula pada abad ke -19. Buktinya ialah kedatangan pendatang luar ke Asia Tenggara untuk menguasai Asia Tenggara.Pendatang bangsa barat ini bukan sahaja menguasai ekonomi, tetapi politik. Bagi mengukuhkan kedudukan di tanah Melayu, mereka telah mengkaji bahasa dan budaya pribumi. Hasil kajian ini telah mewujudkan pusat-pusat pengajian tentang bahasa, sastera dan budaya pribumi terutama Melayu. Manuskrip-manuskrip Melayu dan bahan-bahan tinggalan sejarah,budaya dan sastera Melayu telah dikumpulkan di perpustakaan- perpustakaan barat ini.
Dalam masa yang sama,perkataan-perkataan daripada bahasa barat seperti Inggeris dan Belanda mula meresap ke dalam bahasa Melayu. Proses ini berlaku secara sedikit demi sedikit. Kesan penyerapan bahasa ini telah mengakibatkan kegiatan penulisan Melayu mula menggusur dari istana-istana raja seperti dalam zaman bahasa melayu Klasik ke dalam masyarakat umum.Dengan kata lain, kegiatan penulisan dalam bahasa Melayu sudah mula memasyarakat dan merakyat.
Zaman bahasa Melayu Pramoden ini juga, terdapat banyak hasil penulisan seperti buku “Sejarah Melayu, Taj al- Salatin, Hikayat Abdullah dan lain-lain.Selain itu, zaman ini turut mencetak banyak kitab –kitab agama di Asia Tenggara. Abdul Rashid Melebek juga mengatakan bahawa berlakunya beberapa peristiwa pada abad ke -19. Antaranya ialah pertembungan budaya Melayu dengan Barat, perkembangan teknologi cetak ,serta perkembangan perhubungan yang lebih mudah telah menjadikan bahasa Melayu terdedah kepada pengaruh Barat.Oleh yang demikian,perkembangan ini bagaikan wahana yang menyebabkan bahasa Melayu diresapi oleh unsur-unsur Barat sehingga berlaku beberapa perubahan pada bahasa Melayu.
2.6 Zaman Bahasa Melayu Moden
Berdasarkan Amat Juhari dan Abdul Rashid Melebek telah menyatakan bahawa zaman bahasa Melayu Moden telah mula pada abad ke-19 iaitu setelah kedatangan penjajah Eropah seperti
11
Portugis, Belanda dan Inggeris. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Namun semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Buktinya ialah dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Selain itu, dalam Laporan Razak 1956 juga telah mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.
Manakala menurut Amat Juhari bahasa Melayu berubah sedikit demi sedikit untuk menuju ke bentuk yang baharu iaitu bahasa Melayu Moden.Peluang ini cerah apabila mencecah ke abad ke-20. Buktinya ialah negeri-negeri dan kesultanan melayu tetap menggunakan bahasa Melayu dalam urusan pemerintahan negerinya terutamanya yang berkaitan dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam. Ketika itu juga sekolah-sekolah Melayu juga dibuka dengan lebih banyak lagi sama ada dalam pemerintahan Inggeris mahupun yang dalam pemerintahan Belanda.
Sehubungan itu, dari aspek media perkembangan bahasa Melayu pula, seperti syarikat percetakan telah banyak didirikan. Maka banyak buku,majalah, jurnal dan akhbar berbahasa Melayu yang dicetak di tanah jajahan Inggeris dan Belanda di Asia Tenggara. Situasi ini telah menyebabkan bahasa Melayu secara langsung menjadi bahasa perantaraan di Asia Tenggara.
Pada tahun 1957, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan dan salah satu bahasa rasmi negara Malaya Merdeka. Manakala pada tahun 1967, bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi tunggal bagi negara Malaysia.Bagi meningkatkan penggunaan bahasa Melayu banyak akhbar, buku, majalah dan jurnal berbahasa Melayu diterbitkan sama ada di Malaysia, Indonesia dan Singapura terutamanya selepas Perang Dunai Kedua.
12
Lantaran itu, pelbagai usaha telah dijalankan bagi memajukan bahasa serta menigkatkan kemampuannya dalam menghadapi zaman moden. Antara langkah yang dijalankan untuk memodenkan bahasa Melayu ialah perancangan korpus bahasa Melayu.Perancangan korpus ini telah diterajui oleh Pakatan Belajar –Mengajar Pengetahuan Bahasa. Mereka memulakan perancangan korpus bahasa iaitu dengan menyusun panduan ejaan,kamus,tatabahasa ,tanda-tanda bacaan,surat kiriman,dan peristilahan.
Sejurus selepas itu muncullah badan perancangan daripada persatuan dan lembaga yang dikelolakan oleh kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan adanya usaha-usaha ini maka dapat diatur dan dibakukan sistem ejaan,peristilahan ,tatabahasa,perkamusan,sebutan ,laras dan lain –lain yang berkaitan dengan bahasa Melayu.Bagi mengukuhkan usaha-usaha ini maka berbagai-bagai kongres dan seminar tentang bahasa dan sastera Melayu telah diadakan.Contohnya ialah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu dimulai pada tahun 1952 hingga 1984 iaitu Kongres yang keempat.
Secara analoginya, dengan adanya kegiatan-kegiatan seumpama di atas ini, maka bahasa Melayu terus melonjak naik kemampuannya sehingga menjadi bahasa moden yang digunakan sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi, dan tulisan ilmiah.
3.0 ANALISIS KAJIAN YANG TELAH DIBUAT PENGKAJI-PENGKAJI BAHASA OLEH BARAT.
Penyelidikan tentang bahasa dan bangsa Melayu mula-mula sekali telah dijalankan oleh barat sehinggalah beberapa lama sehinggalah muncul para penyelidik tempatan. Walau bagaimanapun, di sini akan diperturunkan sekurang- kurangnya lima penulis barat yang telah mengkaji tentang perkembangan bahasa Melayu di rantau ini.Terdapat ramai tokoh-tokoh dari Barat yang telah menjalankan penyelidikan tentang bahasa dan bangsa Melayu. Namun dalam tugasan ini hanya merangkumi kajian yang telah dibuat oleh lima orang tokoh iaitu R.J Wilkinson, R.O Winstedt, Thomas Bowrey, W. E. Maxwell dan Hugh Clifford. Tokoh-tokoh ini telah menjadi penyumbang yang besar dalam bidang pengkajian bahasa Melayu.

13
3.1 LATAR BELAKANG PENGKAJI PENULIS BARAT.
3.1.1 Hugh Clifford
Bagi Hugh Clifford atau lebih dikenali di Tanah Melayu sebagai Sir Hugh Clifford telah mengembara ke Tanah melayu pada tahun 1887 iaitu ketika berumur 17 tahun. Setelah berada lama dan bergaul dengan masyarakat Melayu, beliau mula faham dan fasih berbahasa Melayu. Oleh itu, beliau telah berminat untuk mengkaji asal usul bahasa Melayu.
Jadi , Hugh Clifford telah dilahirkan pada 5 Mac 1866 di Ugbrooke Park Devon, London. Beliau telah memasuki tentera setelah dipilih oleh sepupunya Sir Frederick Weld yang menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk menjadi kadet bagi perkhidmatan di Perak, Selangor dan Sungai Ujung bersama 11 orang kadet-kadet yang lain. Tugas yang pertama di British Malaya ialah sebagai Setiausaha kepada Residen Perak Sir Hugh Low. Walau bagaimanapun , setelah lancar bahasa Melayu, Clifford telah dilantik menjadi pemungut hasil tanah di Kuala Kangsar pada bulan Mac 1885. Apabila British mencampuri urusan di Pahang, Clifford dihantar sebagai wakil British di Pekan tanpa mempunyai kuasa yang luas. Clifford dipertanggungjawabkan untuk mendesak sultan mewujudkan sistem residen di Pahang.
Pada tahun 1895, Clifford yang tidak berapa sihat telah ditugaskan sebagai Superintendent di Ulu Pahang di bawah pengawasan residen Inggeris pertama di Pahang iaitu J.P Rodger. Clifford telah menamatkan tugasnya pada tahun 1929 sebagai Gabenor dan Pesuruhjaya Tinggi Malaya kerana kesihatan tidak mengizinkan beliau memanjangkan khidmatnya. Beliau telah meninggal dunia pada 18 Disember 1941 di saat-saat Tanah Melayu diserang oleh tentera Jepun.
3.1.2 William Edward Maxwell
Bagi William Edward Maxwell atau dikenali juga dengan W.E Maxwell merupakan seorang
pegawai British yang popular di Tanah Melayu. Beliau diberi gelaran ‘Sir’ sewaktu berkhidmat sebagai pegawai British di Tanah Melayu. Semasa pentadbirannya, beliau sentiasa berusaha mewujudkan hubungan baik dengan penduduk di Tanah Melayu. Sir W.E Maxwell telah mempelajari
14
bahasa Melayu selama 16 tahun sewaktu berkhidmat sebagai pegawai British di Pulau Pinang, Melaka dan Perak. Hasil dari pengalaman beliau bertutur dalam bahasa Melayu dengan penduduk tempatan memberi peluang kepadanya untuk menambah pengetahuan dalam bahasa Melayu.
Beliau juga turut membandingkan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Sanskrit bahasa Arab, bahasa Jawa, bahasa Sumatera dan bahasa-bahasa lain di Nusantara. Kesan daripada hubungannya dengan orang Melayu dan usahanya mengkaji tentang pelbagai dialek dalam bahasa Melayu, telah menjadikan beliau seorang pegawai British yang mahir bertutur dalam bahasa Melayu. Ini telah memberi idea kepadanya untuk menerbitkan buku tatabahasa Bahasa Melayu yang berjudul A Manual of Malay Language. Hasil tulisannya telah menjadi sumber rujukan kepada para pelajar, pegawai British yang berkhidmat di Tanah Melayu dan juga pengkaji-pengkaji bahasa.
3.1.3 Thomas Bowrey
Manakala Thomas Bowrey adalah seorang tokoh yang menghasilkan buku perkamusan Melayu dan buku tatabahasa melayu. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1669 di Bristol, St Phillips, Gloucestershire London, England dan telah menyertai syarikat Hindia Timur Inggeris ke Asia Tenggara selama 19 tahun dan menghasilkan beberapa karya. Selama beliau tinggal di Teluk Benggal dan Kepulauan-kepulauan di Asia Tenggara, beliau telah menghasilkan kamus dwibahasa yang pertama pada lewat kurun ke-17. Kamus itu ditulis ketika dalam perjalanan pulang ke England pada tahun 1688, dan kemudiannya diterbitkan oleh ‘The Sam London’ pada tahun 1701. Kamus ini bertajuk A Dictionary of English and Malayo-Malayo and English (1701). Beliau juga mengkaji tatabahasa Melayu semasa berada di Kepulauan Melayu dan walaupun amat ringkas dalam bahasa Inggeris yang terkandung dalam kamus tersebut. Kamus ini dicetak oleh The Sam London ketika beliau berumur 32 tahun iaitu daripada 13 tahun barulah kamus beliau dikeluarkan dan merupakan kamus pertama dwibahasa Melayu dihasilkan.

15

3.1.4. R.O Winstedt
Bagi Richard Olaf Winstedt dilahirkan pada 2 Ogos 1878 di Kota Oxford, England. Ayahnya berasal dari Sweden dan telah menjadi rakyat Britain. Beliau mendapat pendidikan di Magdalen College School dan di New College, Oxford di mana beliau telah menerima satu MA. Beliau juga telah berkahwin dengan Sarah Castell, daripada sebuah keluarga yang telah lama menetap di Kota Oxford. Mengikut Bastin (1964:1) Winstedt cepat dan rajin membaca, tetapi sering mengalami penyakit beguk dan tidak dapat menyertai sukan. Oleh itu beliau memilih hidup yang alternatif yang wujud dalam buku dan dunia intelektual.
Mengikut Sheppard (Winstedt, 1969) anak muda ini telah memilih kursus metafizika di Oxford dan pernah mengikuti kursus Undang-undang selama setahun di universiti yang sama. Tetapi beliau ternyata tertawan dengan karya-karya Robert Luois Stevenson pada akhir tahun ketiga di New College. Oleh hal demikian, jika dilihat dari suatu sudut beliau tidak mempunyai pengkhususan dalam bidang antropologi, sastera ataupun bahasa yang merupakan bidang yang diceburinya ketika di Tanah Melayu.
Winstedt juga telah menduduki peperiksaan Gabungan Perkhidmatan dalam negeri India dan Tanah Jajahan adalah untuk menjadi pegawai kolonial di India, tetapi kerana kecuaiannya telah tersalah membaca soalan peperiksaan menyebabkan markahnya agak rendah dan beliau telah dihantar untuk berkhidmat di Tanah Melayu iaitu di negeri Perak pada tahun 1902 sebagai pegawai pelatih. Melalui pengaruh R.J Wilkinson, Winstedt akhirnya telah dipindahkan ke Kuala Pilah, ini memberinya peluang untuk mempelajari sistem marrilenial. Dalam 1913 beliau telah dilantik Pegawai Daerah dalam kuala Pilah, dan dalam 1916 telah dilantik berkhidmat di Jabatan Pendidikan. Pada tahun 1920an, Winstedt menerima DLittnya daripada Oxford. Beliau juga berkhidmat sebagai Presiden pertama, di Raffles College Singapura pada tahun 1921 hingga 1931. Sepanjang jawatan sebagai presiden dia juga telah berkhidmat sebagai setiausaha bagi pesuruhjaya tinggi, pada tahun 1923;bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, dan anggota majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat, 1924 hingga 1931; dan sebagai anggota FMS Federal council, 1927 hingga 1931.
Setelah pencen daripada Perkhidmatan Awam Melayu, beliau telah dilantik sebagai pensyarah,
16
pembaca dan kemudian sebagai Honorary Fellow dalam kajian bahasa Melayu di School Oriental Studies, di mana beliau juga berkhidmat sebagai ahli Badan Pentadbiran pada 1939 hingga 1959. Di samping itu beliau dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Penasihat Pejabat Tanah jajahan Mengenai Pendidikan, 1936 hingga 1939. Kemudian beliau juga telah dilantik sebagai presiden di Royal Asiatic society pada tahun 1947. Beliau juga turut berkhidmat di British Academy dan menjadi ahli kehormat bagi Southeast Asia Institute, Royal Batavian Society, dan di Kon Institut Voor TaalLanden Volkenkunde. Beliau telah meninggal dunia pada 2 Jun 1966.
3.1.5 R.J Wilkinson
Manakala R.J Wilkinson tiba di Tanah Melayu pada tahun 1889 dan bertugas sebagai pegawai pentadbiran kolonial. Beliau telah didorong oleh Sir William Maxwell, gabenor negeri Selangor dan W. Skeat seorang penulis buku tentang ilmu ghaib. R.J Wilkinson telah menjadi setiausaha Strait Branch of the Royal Asiatic Society. Pada masa itu politik wakil-wakil Kerajaan Inggeris bertujuan memerintah dan mendalangi para ‘Raja’ tempatan dan menggunakan bahasa Melayu dengan fasih adalah menjadi syarat utama untuk menjayakan pentadbiran. Beliau juga telah terpesona oleh Kamus Melayu-Perancis Abbe Favre dan terkejut akan tahap pengetahuannya.
Pada tahun 1895 M, R.J Wilkinson menyusun kamus Inggeris-Melayu. Menurut Harun Aminurrashid, kamus ini sangat berguna dan bersemangat dalam penyiasatan bahasa Melayunya. Tidak lama selepas itu, Wilkinson menyusun Kamus Jawi-Melayu-Inggeris yang diterbitkan pada tahun 1902M. Wilkinson bertugas sebagai nazir sekolah di Jabatan Pelajaran di Negeri-negeri Bersekutu (Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan). Beliau telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Ejaan. Sejak itulah terkenalnya Ejaan Wilkinson, iaitu ejaan yang terdapat di dalam kamus tersebut. Semasa berada di Dinding, Perak, Wilkinson berpeluang memperbaiki seluruh leksikon tentang fauna dan flora. Beliau telah mendapat kehormatan dengan namanya diberikan kepada sejenis tupai (tupai ferruginea Wilkinson). Pada tahun 1903M, beliau telah dilantik menjadi setiausaha Sir Ernest Birch yang memberi kesempatan kepada beliau untuk menerbitkan bukunya Paper on Malay subjects dan menyelesaikan hampir keseluruhan draf kamusnya. Jawatan-jawatan
17
selanjutnya yang dipegang oleh beliau adalah di Sierra Leone pada tahun 1915, kemudian di Smyne pada tahun 1922.
Dr. C. Hooykaas dalam bukunya ‘Perintis Sastera’ mengatakan bahawa Pantun Melayu yang dikumpulkan oleh R.J Wilkinson dan R.O Winstedt (Malay Literature Series 12), mengandungi sejumlah lebih kurang 1,500 rangkap pantun, lebih 10% daripadanya adalah seloka. Weltanschauung atau pandangan hidup orang Melayu boleh juga wujud dalam pantun tersebut.
4.0 Analisis Sumbangan Dan Peranan Pengkaji Barat Dalam Perkembangan Bahasa Melayu
Oleh itu kelima-lima tokoh ini telah memainkan peranan yang penting dalam perkembangan bahasa Melayu khususnya dalam sistem ejaan. Sistem ejaan ini telah menjadi panduan dalam pengajaran dan penulisan buku-buku teks di sekolah-sekolah pada masa itu. Pertamanya kita lihat sumbangan R.J Wilkinson yang telahh menyusun kamus dwibahasa iaitu A Malay-English Dictionary pada tahun 1901. Merupakan kamus dwibahasa yang terawal pada abad ke-20 dengan tiga bahagian iaitu bahagian I, II dan III. Kata kemasukan kamus ini ditulis dalam ejaan jawi dengan aturan huruf Rumi serta keterangan data dalam bahasa Inggeris (Abdul Rashid Daing Melebek:176).Wilkinson telah melakukan tiga kali semakan iaitu:




Kamus setebal 1300 halaman merupakan karya leksikografi yang paling terperinci tentang bahasa Melayu hingga sekarang. Kamus ini diulang cetak oleh Penerbit Macmillan di London pada tahun 1959. Wilkinson telah mengumpulkan sebanyak 15 ribu frasa dan ungkapan daripada Hikayat Abdullah untuk mendapatkan kosa kata kamus ini. Beliau juga telah menggunakan 3 naskhah karya berbentuk hikayat seperti Hikayat Iskandar Dzulkarnain, Hikayat Koris dan Hikayat Bestammam. Tiha cerita rakyat yang digunakan untuk menambahkan kosa kata ialah seperti Sang Samba, Parang Putting
18
dan Putra Jaya Pati serta satu roman panji.
Kamus ini sehingga sekarang merupakan kamus yang paling lengkap tentang bahasa Melayu abad ke-19. Wilkinson banyak berbincang dengan ahli leksikografi Belanda seperti Klinkert, Pijnappel dan Von Dewall serta individu berbangsa Melayu bernama Zainal Abedin Haji Ghani, yang banyak memberi idea dan input untuk menyusun kamus ini. Kekayaan maklumatnya adalah luar biasa, terutama sekali mengenai Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Kandungannya mengandungi istilah berkenaan dengan bidang teknik (pelayaran, kraftangan), budaya, zoologi dan botani.
Kamus Wilkinson ini bermutu kerana beliau telah benar-benar mengkaji kesusasteraan Melayu Klasik abad ke-17. Kamus ini disertakan dengan lampiran, bukti-bukti dan banyak contoh berserta rujukan yang terperinci. Wilkinson tidak hanya menggunakan sumber-sumber sastera sahaja tetapi juga merujuk buku-buku tentang batu permata, kraftangan kayu, teka-teki dan ubi kayu. Semua rujukan ini dimasukkan ke dalam senarai terperinci yang terdapat pada akhir jilid kedua kamusnya.
Jumlah kata masukan kamus Wilkinson terdapat sekitar 32 000 perkataan termasuk 17% merupakan rujukan. Ia adalah dua atau tiga kali ganda jumlah yang ada pada kamus lain. Berikut adalah perbandingan kadar asal perkataan (tidak termasuk rujukan) dengan kamus-kamus yang wujud sekarang.




Terdapat 53% kata masukan lain tanpa diberi bahasa asalnya, yang boleh dianggap sebagai perkataan bahasa Nusantara, terutamanya bahasa Melayu. Kata masukan tentang zoologi dan botani merupakan 18% daripada 53% kata masukan tersebut.
Berdasarkan perbandingan dengan kamus-kamus yang ada sekarang, kadar perkataan yang berasal dari bahasa Arab adalah lebih tinggi dan kadar perkataan yang berasal dari bahasa Eropah adalah agak rendah. Di kalangan bahasa-bahasa Sumatera, bahasa Minangkabau yang mendapat
19
tempat utama, satu kedudukan yang diwarisi secara berturut-turut oleh kamus-kamus yang lain. Para sarjana menyifatkan kamus ini sebagai kamus bahasa Melayu dwibahasa yang terbesar sebagai ensiklopedia Melayu Klasik (Abdul Rashid Daeng Melebek:178).
Kamus dwibahasa Inggeris-Melayu setebal 152 halaman yang disusun oleh Sir Richard Winstedt dari University Of London merupakan edisi ketiga yang dicetak pada tahun 1952. Cetakan pertama pada tahun 1949 dan cetakan kedua pada tahun 1951. Semuanya dicetak oleh Kelly, Walsh di Singapura. Menurut pengakuan penyusunnya dalam pendahuluan edisi pertama yang ditulis di Kuala Pilah pada tahun 1913, kamus ini disusun berdasarkan hasil yang dikumpulkan oleh Wilkinson dalam Kamus Malay-English , dengan persetujuan penyusunnya sendiri. Wilkinson telah menyerahkan semua bahan yang belum diterbitkan lagi yang dikumpulkan selama 10 tahun sebelumnya untuk dimasukkan ke dalam kamus ini. Winstedt telah menambahkan beberapa ratus perkataan baharu, memperluaskan makna sebanyak mungkin dan memberi takrifan dengan lebih terperinci bagi setiap kata masukan.
Sistem pengejaan yang digunakan ialah sistem pengejaan yang terdapat dalam Kamus Kechil Tuan Wilkinson kecuali ejaan beberapa perkataan kesusasteraan Arab yang didasarkan kepada pengejaan yang lebih saintifik iaitu berdasarkan Kamus Besar Tuan Wilkinson. Perkataan dialek ditandakan dengan tahi bintang (*) tetapi bagi kaya dialek yang sudah diketahui umum, kata-kata tersebut ditandai huruf awal negeri berkenaan, misalnya K bagi negeri Kedah. Kata-kata sastera ditandai dengan tanda (+).
Dalam keluaran edisi yang kedua, penyusun kamus telah memperbaiki kesalahan ejaan dan kesalahan lain yang terdapat dalam edisi pertama. Banyak penambahan perkataan dan frasa baharu yang diperoleh daripada J.I Humprey, J.E Nathan, M.C Hay, C Boden Kloss dan H.C Robinson.
Satu lagi sumbangan Wilkinson adalah Kamus Jawi-Melayu-Inggeris ketika beliau berkhidmat sebagai pegawai Inggeris di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 hingga ke awal abad ke-20. Kamus Melayu Tulisan Jawi ini telah disusun oleh Wilkinson dalam tahun 1902 dan diterbitkan pada tahun 1903. Huruf Arab dengan huruf Jawi Melayu digunakan dalam kamus ini. Dengan itu, huruf Jawi
20
Melayu digunakan sepenuhnya selain huruf-huruf dari aksara bahasa Arab. Oleh yang demikian, huruf-huruf yang digunakan oleh Wilkinson sama dengan huruf-huruf jawi yang digunakan sekarang, kecuali huruf yang baru dicipta dalam Konvensyen Tulisan jawi di Terengganu
Oleh yang demikian, di bawah kata masukan A, terdapat juga U, E, I, dan O. Ini berlaku kerana alif ( £ ) mewakili semua vokal.


Sepintas, agak sukar menggunakan kamus ini bagi pengguna sekarang kerana urutan abjadnya yang berbeza. Sebenarnya, tidaklah susah kerana kamus ini menyediakan indeks menurut abjad yang kita kenali sekarang ini. Bahagian akhir kamus ini pula menyediakan nama burung, ular, dan pokok berserta nama saintifiknya dalam bahasa Latin.
4.1 Sumbangan R.O Winstedt Dalam Perkembangan Bahasa Melayu
Sewaktu bekerja di Kuala Pilah, beliau telah menghasilkan dua buah buku yang berjudul Colloquial (Malay: A simple Grammar with Consorvations) dan sebuah kamus yang dianggap sangat penting dalam perkembangan bahasa Melayu iaitu A Dictionary of Colloquial Malay-English and English Malay pada tahun 1920. Kamus Winstedt ini dianggap baik kerana mengandungi banyak maklumat tentang geografi tempatan. Di samping itu, beliau juga banyak memasukkan kata-kata bahasa Indonesia. Menurut Jurnal Australian Journal of Politics and History, “Winstedt adalah cendekiawan British pertama untuk membuat satu kajian yang sistematik mengenai bahasa Melayu untuk tujuan-tujuan bersejarah, malah mengaplikasikan pendekatan sainstifik dalam tulisannya mengenai Sejarah Melayu”.
Dengan kata lain, kamus Winstedt ini banyak menunjukkan persamaan antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Menjelang abad ke-20, Winstedt juga telah menghasilkan buku tatabahasa melayu yang berjudul Malay Grammar iaitu pada tahun 1913. Namun begitu, pada tahun 1958 Winstedt telah menghasilkan An Unabridget English-Malay Dictionary diikuti dengan kamus bahasa
21
Melayu pada tahun 1960.
Winstedt juga turut memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan orang Melayu khususnya, beliau sangat berminat untuk mendidik orang Melayu. Atas cadangannya Sultan Idris Training College (S.I.T.C) telah ditubuhkan pada 1922. Pada tahun 1997, Kerajaan Malaysia telah menaik tarafkan Maktab Perguruan Sultan Idris kepada Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Manakala Winstedt pula telah dianugerahkan Order of British Empire, Order of St. Michael and St. George oleh kerajaan British. Dari segi kerjaya R.O Winstedt juga telah berkhidmat di Pejabat Karang Mengarang yang telah ditubuhkan di Maktab Perguruan sultan Idris (MPSI) pada tahun 1924. Winstedt dan O.T Dussek telah dilantik menjadi penasihat. Antara tahun 1924-1957, Pejabat Karang Mengarang di bawah nasihat Winstedt telah berjaya menerbitkan 85 buah buku bacaan sekolah di bawah Malay School Series.
Di samping itu, Winstedt juga banyak menghasilkan buku-buku mengenai kesusasteraan Melayu sepanjang perkhidmatannya sebagai pegawai British di Tanah melayu. Pada tahap awal penulisannya dalam bidang sastera bermula pada tahun 1907 iaitu lima tahun sejak beliau menetap di Perak. Atas galakan Wilkinson, Winstedt telah berjaya menghasilkan esei yang berjudul “The Literature of Malay Folklore.Beginning: Fables, Farcical Tales, Romance”. Wan Abdullah Sabary misalnya telah menggolongkan esei ini dalam siri Papers of Malays Subject yang agak khusus ditujukan pada pegawai kolonial Inggeris untuk mengenali Tanah Melayu. Selanjutnya pada tahap kedua beliau telah menerbitkan A History of Classical Malay Literature diikuti dengan “Father Civet” pada tahun 1908 dan diikuti dengan “Musang Berjanggut” setahun selepas itu. Inti ceritanya yang didengar berpuluh-puluh zaman telah dihidupkan kembali oleh Winstedt dalam bahasa yang sesuai dengan zaman itu.
Sebagai perkembangan pada tahun 1910, Winstedt sendiri telah merumikan “Hikayat Seri Rama” dan setahun selepas itu beliau menghasilkan esei yang berjudul “Awang Sulung Merah Muda”, iaitu sebuah sastera rakyat yang dituturkan oleh Pawang Ana, seorang penglipur lara keturunan Temusai. Diikuti dengan esei berjudul “Hikayat Anggun CHe Tunggal” yang dihasilkan pada 1914.
22
Beliau juga turut menghasilkan esei yang berjudul “Misa Melayu” pada tahun 1919 dan diikuti dengan “Shaman, Saiva and Sufi.A Study of the evolution of Malay magic” pada tahun 1925. Selain itu, dalam bidang kesusasteraan Melayu Winstedt juga menghasilkan karyanya yang berjudul “A Malay History of Riau and Johore”,etc. (Malay text of the Tuhfat Al-Nafis) pada tahun 1932. Pada tahun yang sama juga beliau telah menerbitkan karyanya yang berjudul “A History of Johore”, iaitu mengenai salasilah Kerajaan Johor. Sumbangannya dalam bidang sastera tidak terbatas malah pada tahun 1934, beliau sekali lagi menghasilkan sebuah tulisan yang berjudul “A History of Perak” dan diikuti dengan “A History of Malaya”. Pada tahun 1938, beliau telah menghasilkan karya yang berjudul “The Date, Autorship, Content and Some New MSS.Of Malay Romance of Alexander The Great” diikuti dengan “The Malay Annals or Sejarah Melayu;(with An Outline of the Malay Annals...). Manakala pada tahun 1940, beliau menghasilkan karya yang berjudul “Valentjin copy of The Sejarah Melayu”.
Pada tahun 1941 pula, beliau menghasilkan karya yang berjudul “The Panji Tales” dan “A Literary Device Common to homer and the East”. Diikuti pula pada tahun 1943 dengan karya yang berjudul “Nature in Malay Literature and Folk Verse”. Manakala pada tahun 1944 pula beliau menghasilkan “An Undersribed Malay Version of the Ramayana”. Sumbangannya dalam bidang bahasa dan sastera amat besar dengan kemunculan “The Malays:A Cultural History” pada tahun 1947. Pada tahun yang sama juga Winstedt juga telah menghasilkan karyanya yang berjudul “Notes On Malay subjects”.
Sumbangannya dalam bahasa Melayu tidak terhenti di sini sahaja. Pada tahun 1949, beliau telah menghasilkan “A Panji Tale From Kelantan” dan “Malay Annals Again, Goa and the King Of Singapore”. Pada tahun 1961, beliau telah menghasilkan satu lagi tulisannya yang berjudul “Modern Malay Poetry”.
4.2 Sumbangan Thomas Bowrey Dalam Perkembangan Bahasa Melayu
Sumbangan Thomas Bowrey dalam bahasa Melayu adalah amat besar terutamanya di dalam bidang perkamusan. Beliau adalah tokoh pertama yang menghasilkan perkamusan Melayu Inggeris
23
dan telah berkembang dengan pesat penggunaannya sehingga kini. Kamus beliau telah diterbitkan pada tahun 1701 oleh The Sam London yang bertajuk A Dictionary of English and Malayo-Malayo and English (1701).
Pada bahagian pendahuluan kamus ini, Thomas Bowrey telah menulis bahawa,”..di mana-mana sahaja di kepulauan-kepulauan ini..., bahasa Melayu telah diterima dan secara umumnya digunakan di semua pelabuhan di kepulauan-kepulauan itu,” dan beliau juga menulis bahawa “... hanya untuk perdagangan di kebanyakan tempat di mana bahasa Melayu digunakan.” Kamus beliau ini mengandungi senarai-senarai perkataan yang wujud dalam bahasa Inggeris-Melayu dan juga dalam Melayu-Inggeris. Sebagai tambahan beliau juga ada memasukkan seperti berikut:



Kamus ini menerangkan dua bahagian iaitu:
a) Sebahagian aspek-aspek semulajadi dalam morfologi kata kerja Melayu terutamanya yang berkaitan dengan imbuhan pasif dan transitif me- dan ber- dan bandingkan dengan fungsi-fungsi ayat moden kini yang boleh dijumpai di dalam buku Tatabahasa Dewan (1994).
b) Penerapan semulajadi ke atas bentuk asas sintetik bahasa Melayu dan perbandingannya dengan yang ada pada masa kini.
Pada bahagian morfologi, adalah difahamkan bahawa beberapa fungsi kepada imbuhan ber- adalah amat hampir dengan imbuhan aktif meng-. Ini adalah bertentangan dengan tatabahasa moden pada buku Tatabahasa Dewan (1994). Sebagai penanda pasif, ia kelihatan seperti mempunyai versi bahasa Melayu berbanding dengan imbuhan pasif pada bahasa Melayu lewat kurun ke-17. Sebagai bentuk asas di dalam sintaksis (syntax), ia akan melaporkan tentang penerapan ke atas ayat-ayat komplimen, persaudaraan dan bentuk-bentuk struktur interrogatif. Teori morphological tradisional akan digunakan untuk menerangkan morfologi itu. Sementara itu, teori ‘X’ daripada “Principle and Parameters of
24
Culicover” (1997) akan digunakan untuk pembentukan tentang sintatik.
Sejarah perkembangan bahasa Melayu amatlah membanggakan kita. Perubahan ejaan kerap berlaku sejak dari tahun 1701, iaitu Ejaan Rumi Thomas Bowrey. Sistem ini menjadi begitu popular di kalangan guru dan murid sekolah sehingga ia terkenal juga sebagai ejaan sekolah. Sistem ini digunakan sehinggalah berlaku perubahan sistem ejaan baharu bahasa Melayu. Sistem ejaan Rumi yang dilaksanakan pada tahun 1972 itu adalah hasil kesepakatan majlis Bahasa Indonesia-Malaysia, bagi pihak kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia.
4.3 Sumbangan William Edward Maxwell
Sir William Edward Maxwell telah memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan bahasa Melayu. Hasil karyanya yang paling popular ialah Buku Tatabahasa Bahasa Melayu iaitu ‘A Manual of Malay Languages With an Introductary Sketch of the Sanskrit Element in Malay’. Karyanya ini merupakan buku tatabahasa bahasa Melayu moden pertama diterbitkan. Ianya diterbitkan dalam abad yang ke-17.
Dalam karyanya ini, beliau menyatakan bahawa, bahasa Melayu mempunyai struktur dan binaan yang sama. Namun sebutan yang sama hanya dapat didengar di daerah yang sama tetapi sebutan akan berlainan di daerah atau negeri yang berlainan walaupun mempunyai maksud yang sama. Beliau juga menjelaskan bahawa perkataan ‘saya’ dan ‘awak’ mempunyai sebutan yang berlainan di daerah atau negeri yang berlainan. Beliau telah menulis tentang pembentukan kata, penggolongan kata, pembinaan ayat dan kamus dwi bahasa. Beliau juga merumuskan tentang pengaruh bahasa lain di Nusantara yang dibawa ke dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, dialek Kedah banyak dipengaruhi oleh bahasa Pattani. Selain itu, bahasa Melayu juga banyak dipengaruhi oleh bahasa Arab, bahasa Sanskrit, bahasa Jawa, bahasa Sumatera dan bahasa di kepulauan Melayu yang lain.
Maxwell turut mengklasifikasikan bahasa Melayu kepada beberapa bahagian iaitu bahasa dalam, bahasa bangsawan, bahasa dagang dan bahasa campuran atau kacukan. Dari aspek penulisan pula, Maxwell menyatakan bahawa penulisan dalam bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh bahasa
25
Arab. Contohnya, antara karya penulisan bahasa Arab yang diterjemah dalam bahasa Melayu iaitu ‘Kisah 1001 Malam’. Beliau juga menyatakan, orang Melayu lebih baik dalam aspek pertuturan berbanding aspek penulisan. Penulisan dalam bahasa Jawi banyak digunakan pada masa itu.
Buku Tatabahasa ‘A Manual of Malay Languages’, hasil karangan Maxwell mengandungi lima bahagian atau bab. Setiap bab di dalam buku ini ditulis dalam susunan yang sempurna pada zamannya. Kamus dwibahasa yang ditulis ini sangat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di kalangan penutur bahasa tersebut.
4.4 Kekuatan Hugh Clifford Dalam Perkembangan Bahasa Melayu
Hugh Clifford merupakan salah seorang pengkaji barat yang mengkaji bahasa Melayu di pelusuk Nusantara. Antara hasil kajian beliau ialah dalam bidang penyelidikan asal usul Bahasa Melayu. Beliau juga telah membandingkan bahasa Melayu kuno dengan bahasa Melayu Klasik dan membuat kesimpulan bahasa kedua-dua bahasa tersebut mempunyai persamaan dari segi cara sebutan dan bentuk ejaan hampir sama. Dengan beberapa penemuan yang dikaji oleh beliau telah banyak membantu bahasa Melayu berkembang pesat di seluruh Tanah Melayu.
Selain itu, Sir Hugh Clifford juga turut memberi takrifan terhadap perkataan-perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu. Beliau berpendapat bahawa pawang dirujukkan kepada mereka yang melakukan kerja-kerja magis atau ghaib, khusus untuk mencari bahan galian, mengenali tumbuh-tumbuhan, memperoleh ikan atau perkara yang berkaitan dengan alam. Manakala tugas bomoh pula adalah semata-mata untuk penyembuhan penyakit yang menyerang manusia. Walaupun demikian fungsi kedua-duanya itu boleh ditukarganti penggunaannya.
Sumbangan paling besar, Hugh Clifford terhadap bahasa Melayu ialah beliau dan F. Swettenham (1894) telah menyusun kamus Inggeris-Melayu yang berjudul A Dictionary of the Malay Languages. Kamus tersebut telah disusun dari abjad A hingga G setebal 509 halaman. Selain itu, Hugh Clifford juga telah banyak mempelajari budaya dan adat-adat Melayu dan mempraktikkannya dalam kehidupannya. Hal ini boleh dilihat apabila beliau banyak bergaul dengan masyarakat Melayu di
26
samping menjalankan tugas sebagai Residen British di Pahang. Seterusnya, Hugh Clifford melibatkan diri dalam bidang masyarakat melayu. Novel-novel dan cerita-cerita tersebut ditulis berdasarkan pemerhatiannya semasa menjalankan tugas di Tanah Melayu.
5.0 Analisis Kelemahan – Kelemahan Pengkaji Barat
Walaupun begitu besar sumbangan para pengkaji Barat ini, namun mereka juga tidak lari daripada melakukan kelemahan dalam kajian mereka. Contohnya R.J Wilkinson yang berpegang teguh kepada ejaan pengaruh Arab tahap kedua, dan ejaan pengaruh Melayu tahap pertama yang diberi istilah oleh Za’ba sebagai ‘ejaan tua’. Timbul kekeliruan dalam kamus ini hingga orang Melayu yang mahir bahasanya pun agak sukar membezakan kata-kata yang diejanya. Terdapat perkataan yang sama ejaannya tetapi berlainan sebutan dan maknanya. Terdapat perkataan dalam kamus ini yang telah ada ejaan Melayunya tetapi masih dikekalkan ejaan pengaruh Arabnya.
Langkah yang dibuat oleh Wilkinson yang mengekalkan ejaan Jawi yang asli mempunyai motif yang tertentu. Beliau sengaja mengekalkan ejaan pengaruh Arab kedua dan pengaruh Melayu tahap pertama, untuk menggambarkan kepada para pengguna kamus bahawa tulisan Jawi yang digunakan untuk bahasa Melayu tidak sesuai kerana banyak yang mengelirukan. Hal ini beliau perlu tanamkan ke dalam hati orang Melayu, supaya mudah orang Melayu menerima tulisan rumi untuk bahasa Melayu yang beliau sedang susun pada masa itu dan diterbitkan setahun selepas terbitnya kamus ini, iaitu pada tahun 1904.
Usaha Wilkinson ini diteruskan oleh R.O Winstedt dalam tulisan-tulisannya. Beliau tetap terus menggunakan ejaan tua, dan usaha ini dipertahankan terus oleh keraninya seorang Melayu yang bernama Daeng Abd. Hamid. Ejaan yang digunakan oleh Wilkinson yang boleh mengelirukan para pembaca bukunya adalah kerana beliau menggunakan sistem ejaan tua. Terdapat beratus-ratus kata yang sama ejaan untuk beberapa kata yang berlainan sebutan dan makna (homograf). Boleh dikatakan setiap halaman bukunya yang tebal itu mengandungi kata-kata yang berbentuk homograf. Ada kata yang sama ejaan tetapi mengandungi dua kata yang berbeza sebutan dan makna seperti:
27


Terdapat juga kata yang sama ejaan yang mengandungi banyak kata yang berbeza sebutan dan makna. Contoh homograf yang lain:



Bukti-bukti yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa pengekalan ejaan pengaruh Arab memang sengaja ditonjolkan dengan menggunakan alasan untuk memelihara “keaslian dan kemurnian” ejaan Jawi Melayu. Di sebalik alasan itu ialah supaya orang Melayu akan sentiasa terkeliru dengan sistem Jawi yang ada. Lama-kelamaan mereka akan benci terhadap tulisan sendiri dan berpindah ke tulisan Rumi yang sedang diperluaskan penggunaannya oleh penjajah pada masa itu. Pada masa yang sama Wilkinson telah ditugaskan untuk menyusun sistem ejaan rumi Melayu.
Ejaan Jawi yang mengelirukan ini dipertahankan terus oleh orang Inggeris yang lain termasuk orang melayu yang bekerja di bawah mereka. Apabila sistem ejaan Rumi Melayu telah mula mantap, buku kamus Wilkinson tidak lagi memasukkan versi tulisan Jawinya, melainkan hanya versi yang rumi sahaja. Ini terbukti daripada kamusnya yang dicetak selepas tahun 1932. Alasan yang diberikan ialah ejaan Jawinya telah ada pada buku yang telah lama. Inilah taktik halus yang digunakan oleh orang Barat untuk memisahkan orang Melayu daripada tulisan kesayangannya, iaitu tulisan Jawi. Usaha ini terbukti kejayaannya apabila anak-anak Melayu sekarang termasuk di negeri-negeri yang kuat latar belakang sekolah agama tradisionalnya seperti di Kelantan dan Kedah, banyak yang tidak tahu membaca Jawi.
Seperti para pengkaji sebelumnya, Winstedt juga begitu kontroversial kerana beberapa sudut pandangannya yang boleh disebut ‘imperialistik’ yang diterapkan dalam berbagai-bagai buku karyanya
28
tentang bahasa Melayu, sastera dan budaya Melayu. Satu kenyataan yang cukup jelas menggambarkan
niat sebenar kerajaan Inggeris memberi pendidikan kepada orang Melayu ialah kenyataan George Maxwell dalam Annual Report bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1920 (Azmah Abdul Manaf:279).
Tujuan kerajaan bukanlah hendak mengadakan segelintir pemuda yang berpendidikan baik, tidak juga sebilangan budak yang kurang terdidik, melainkan ialah untuk membaiki keadaan bilangan terbesar penduduk dan menjadikan anak Melayu atau petani seorang nelayan atau petani yang lebih cerdik daripada bapanya.Serta menjadikan ia mengerti, menerusi pelajarannya, bahawa peluangnya dalam hidup ini adalah sesuai dengan cara hidup sekelilingnya.
Begitu juga dengan Thomas Bowerey yang menyusun kamus Inggeris - Melayu pada tahun 1701 M dengan mengemukakan sedikit peraturan nahu. Kamus ini ditulis oleh pedagang yang datang ke Nusantara, yang mencatat semua perkataan yang diingatinya (daripada bahasa lisan) sehingga berlaku banyak kesalahan ejaan. Contoh ayat yang dikemukakan juga banyak yang tidak berterima (tidak gramatis).
6.0 Kesimpulan
Dengan penerangan dan huraian di atas dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan bahasa Melayu sudah sejak lama memiliki tradisi nahunya. Oleh sebab kajian awal bahasa Melayu dilakukan oleh bukan penutur ibunda bahasa Melayu iaitu orang lain dan bahasa Melayu itu sendiri telah dipengaruhi oleh nahu bahasa Arab dan bahasa Inggeris, maka penyusunan nahunya juga tidak terlepas daripada pengaruh kedua-dua bahasa ini. Walau bagaimanapun, beberapa orang penulis tempatan telah berusaha menulis nahu yang lebih bersifat Melayu, namun kerana rujukan awal dan pengetahuan nahu yang diterima berasal daripada bahasa asing, maka pengaruh tersebut masih tidak dapat dilepaskan. Sementelahan pula, hampir semua buku nahu bertitik tolak daripada falsafah Yunani dan dikembangkan oleh penulis nahu bahasa Inggeris. Oleh yang demikian, penulis-penulis terkemudian dalam menghasilkan buku-buku terpaksa merujuk pada buku-buku yang terdahulu.
Selain itu, kedatangan barat juga telah merintis kepada kewujudan pelbagai teori tentang asal
29
usul bahasa Melayu yang menjadi polemik besar dalam kalangan tokoh barat seperti William Marsden, John Crawford, Wilhelm Von Humbolt, Johan Casper Kern dan sebagainya yang mempunyai alasan tersendiri tentang kewujudan bahasa Melayu. Oleh itu dapatlah ditegaskan bahawa penjajahan Barat ke Tanah Melayu jika dilihat pada suatu sudut sebenarnya membawa banyak manfaat khususnya dalam pengembangan bahasa Melayu. Pelbagai hasil kajian yang dibuat oleh mereka sebenarnya dapat digunakan untuk mengukur setakat mana kemajuan bangsa Melayu pada ketika itu.














30
BIBLIOGRAFI
Abdul Rashid Daing Melebek dan Amat Juhari Moain [2006], Sejarah Bahasa Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abdul Rashid Daing Melebek [2010], Sejarah Penyelidikan Barat Tentang Bahasa dan Bangsa Melayu, Shah Alam,Selangor: Maya Press Sdn. Bhd
Ismail Jusoh dan Mat Nor Hussin [2008], Perancangan Bahasa, FBMK ; UPM
Abdul Chaer [2007], Kajian Bahasa: Struktur Internal, Pemakaian dan Pemelajaran,Jakarta: PT Rineka Cipta
Kamus Dewan Edisi Ke-4, [2007], Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka

No comments:

Post a Comment

Post a Comment