Sunday, 12 June 2011

CABARAN BAHASA MELAYU

CABARAN BAHASA MELAYU DALAM MENGHADAPI ABAD KE-21
Rozali bin Rajab
Abstrak
Pada masa ini, Bahasa Melayu menghadapi cabaran yang sengit terutamanya dalam abad ke-21. Pada dasarnya bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara iaitu perkara 152 yang menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu. Jadi, pada abad ke-21, bahasa Melayu yang diperkasakan dan dimartabatkan di negara ini terpaksa menghadapi saingan dengan penggunaan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa global. Persaingan yang paling hebat dan mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini ialah pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Oleh yang demikian, tumpuan kertas kerja ini ialah membincangkan cabaran pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, cabaran bahasa Melayu dalam kemajuan teknologi maklumat, cabaran bahasa Melayu terhadap sikap penuturnya dan cabaran bahasa Melayu dalam penggunaan bahasa Melayu. Jadi, pelbagai seminar atau pembentangan telah dijalankan, kegusaran bahasa Melayu terus membimbangkan pada setiap insan yang mencintai bahasa Melayu. Melalui kertas kerja ini, perbincangan akan ditumpukan kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu dalam abad ke-21 supaya cabaran-cabaran tersebut tidak membantut perkembangan bahasa Melayu pada masa akan datang. Justeru, cabaran- cabaran ini tidak akan mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan di Malaysia pada abad ke-21. Isu-isu akan dibincangkan secara satu persatu supaya jelas tentang cabaran-cabaran tersebut.

PENDAHULUAN

Sebelum mengorak melangkah untuk membicarakan cabaran-cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21, penulis ingin mengajak sekalian dahulu berkenaan bahasa Melayu. Menurut Prof. Dato’ Awang Had Salleh, dalam Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia menegaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa ibunda kepada orang-orang keturunan Melayu. Jadi, Perkara 152 Perlembagaan Malaysia telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan ini hendaklah digunakan di dalam urusan rasmi dalam semua bidang. Walaupun terdapat pelbagai halangan, penggunaan Bahasa Kebangsaan tetap berjalan dengan lancar. Untuk memenuhi kehendak tersebut, pada peringkat awal, Bahasa Kebangsaan telah diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran di sekolah rendah atau menengah, khususnya sekolah yang bahasa pengantarnya bukan bahasa Melayu.. Pada peringkat yang terkemudian, apabila kedudukan Bahasa Kebangsaan ini sudah cukup matang dan stabil, barulah wujud pula keperluan untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat dan memupuk keperibadian Malaysia, maka istilah Bahasa Malaysia telah digunakan.

Manakala cabaran pula ialah sesuatu iaitu unsur, atau faktor yang mencabar,menguji, kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. (Kamus Dewan Edisi Ke-4, 2005). Oleh itu cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21 bermaksud mencabar kemampuan bahasa Melayu dalam menuju abad ke-21 atau dipanggil era globalisasi. Jadi, abad ke-21 atau lebih dikenali sebagai era globalisasi merupakan satu zaman yang penuh dengan cabaran terutama kedudukan bahasa Melayu di negara ini.

Persoalannya, apakah cabaran bahasa Melayu mempunyai kemampuan dalam abad ke-21. Adakah cabaran-cabaran itu menidakkan kedudukan bahasa Melayu di negara ini? Oleh yang demikian, harapan kita terhadap bahasa Melayu terlalu besar.

Bahasa Melayu harus berupaya menggambarkan kelahiran fikiran, kreativiti dan aktiviti besar bangsa Malaysia. Cabaran-cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21, perlu ditangani dengan berhati-hati supaya bahasa Melayu terus hidup dan mampu bersaing di peringkat antara bangsa.
Kajian ini akan membincangkan cabaran dalam memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan perbincangan tertumpu kepada cabaran bahasa Melayu dalam kemajuan teknologi maklumat, cabaran bahasa Melayu terhadap sikap penutur cabaran bahasa Melayu dalam penggunaannya.

Skop perbincangan kertas kerja ini menumpukan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu dalam abad ke-21. Oleh yang demikian, penulisan kertas kerja ini membataskan tentang cabaran bahasa Melayu dalam menghadapi abad ke-21.

CABARAN BAHASA MELAYU DALAM MENGHADAPI ABAD KE-21

Untuk memastikan kesinambungan kewujudannya dan kegemilangannya di persada dunia dalam abad ke-21 , bahasa Melayu terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, sama ada dalam konteks nasional atau antarabangsa. Cabaran-cabaran ini memperlihatkan bahawa bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu iaitu bahasa Melayu dalam sejarahnya telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa antarabangsa sejak zaman Empayar Srivijaya pada abad ke-7 Masihi sehingga abad ke-19 Masihi. apabila bahasa Melayu menjadi lingua franca dirantau ini. Malahan bahasa Melayu telah menjadi bahasa perdagangan dan bahasa perhubungan antarabangsa. Kegemilangan bahasa Melayu telah menjadi kenyataan pada masa itu apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan bahasa persuratan bagi pusat- pusat pemerintahan seluruh rantau berkenaan.

Namun, permulaan abad ke-20 merupakan era penjajahan Barat ke atas Kepulauan-kepulauan Melayu iaitu Inggeris bagi Semenanjung Tanah Melayu dan utara Borneo,Belanda bagi kepulauan Sumatera, Jawa,selatan Borneo,Sulawesi ,Meluku, Madura dan Bali, dan Sepanyol bagi kepulauan Filipina.[Prof.Dr.Hashim Hj. Musa,2009].Keadaan yang sedemikian telah menyebabkan bahasa Melayu telah menghadapi cabaran iaitu bermulalah kemerosotan kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau ini. Dalam konteks ini, pihak penjajah telah memaksa menggunakan bahasa mereka sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan terhadap jajahan takluk mereka. Setelah sekian lama, kemerdekaan tercapai barulah bahasa Melayu telah dikembalikan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan lingua franca di rantau ini.

Setelah 52 tahun Malaysia merdeka dan 32 tahun pelaksanaan sepenuhnya dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan, bahasa Melayu telah menghadapi cabaran yang tidak diduga apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996 diluluskan, maka semua IPTS dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Keadaan belum reda, satu cabaran telah muncul iaitu pada tahun 2003, penggunaan bahasa Inggeris bagi semua matematik dan sains dalam semua peringkat. Namun, pejuang-pejuang bahasa bersatu tenaga untuk memastikan bahasa Melayu mendapat tempat di negara ini seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara, Perkara 152. Akhirnya, tahun 2012 penggunaan bahasa Inggeris dalam sains dan matematik dihapuskan.
Munculnya abad ke-21, telah menjadikan bahasa Melayu semakin mendapat persaingan sengit atau cabaran daripada bahasa Inggeris. Jadi, dalam kertas kerja ini membincangkan empat cabaran yang bahasa Melayu hadapi pada abad ke-21.

Cabaran Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi

Oleh yang demikian, pemerkasaan bermaksud menjadikan sesuatu itu berwibawa, dominan, kuat, hebat, terkenal, berdaulat, dominan, dan sebagainya.[Kamus Dewan Edisi Ke-4,2005] Justeru, pemerkasaan bahasa Melayu bermaksud menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang hebat, terkenal, berdaulat dan dominan di dunia ; hebat dari segi kandungan ilmunya, keintelektualannya, keluasan penggunaannya, nilai ekonominya dan keterbacaannya.[Prof,Dr, Hashim Hj.Musa,2009] Pada masa ini, sistem pendidikan negara berpengantarkan bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Negara iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Dalam abad ke-21, bahasa Melayu telah menghadapi cabaran apabila pada tahun 2003, sains dan matematik dalam semua peringkat diajar dalam bahasa Inggeris. Senario ini telah memberi impak kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini. Pejuang-pejuang bahasa telah bersatu hati untuk mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu, Seminar-seminar, pembentangan kertas kerja dan sebagainya telah diadakan bukan sahaja di dalam negara malahan di luar negara. Tidak cukup dengan itu, badan NGO dan bukan NGO turut bersama-sama untuk memastikan bahasa Melayu perlu dikembalikan dalam mata pelajaran sains dan matematik.

Pada tahun 2010,, Tan Sri Muhiyidin Yasin,Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pada tahun 2012, mata pelajaran Sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Melayu. Langkah ini, telah menjadikan bahasa Melayu kembali dominan dan diperkasa.

Kejayaan sesuatu bangsa bukanlah berdasarkan bahasa Inggeris, tetapi kefahaman sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa ibunda. Justeru, ada yang menganggap bahawa orang Melayu atau negara ini tidak akan maju jikalau orang Melayu tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Perlu diingati, negara Jepun, Korea Selatan dan banyak negara lain masih menggunakan bahasa ibunda dalam semua bidang. Pemerkasaan bahasa ibunda mereka, telah menjadikan negara mereka maju malah lebih maju daripada negara barat.
Selain itu, masyarakat sudah mula menunjukkan pentingnya peneguhan dan penegasan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Maksudnya, masyarakat sudah sedar betapa pentingnya bahasa Melayu dan kini wujudnya generasi yang mahu mempelajari dan mahir menggunakan bahasa Melayu. Menurut Dr. Nik Safiah Karim[1993], Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia telah berjaya, terutamanya jika dilihat dari perspektif penggunaannya dalam jentera pentadbiran, dalam sistem pendidikan, dan dalam beberapa domain utama kehidupan sehari-hari masyarakat Malaysia. Kita boleh berbangga dengan kejayaan tersebut. Namun cabaran yang lain timbul pula, iaitu dalam bentuk penggemblengan usaha daripada pelbagai pihak yang masih diperlukan untuk melestarikan (mengekalkan atau menetapkan) sekali gus mempertingkatkan mutu bahasa yang digunakan. Dalam kata lain, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan bahasa Melayu terus diperkasakan agar cabaran abad ke-21 tidak meminggirkan bahasa Melayu sama ada dalam sistem pendidikan atau pentadbiran.

Cabaran Bahasa Melayu Dalam Kemajuan Teknologi Maklumat

Pada masa ini, bidang teknologi maklumat amat penting. Jadi, Malaysia telah mendapat impak yang besar terutama dari segi penggunaan bahasa teknologi maklumat. Sedia maklum, bahasa teknologi maklumat yang paling dominan di dunia ialah bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Oleh itu, kita seharusnya mempelajari bahasa teknologi maklumat supaya perbendaharaan kata berkenaan teknologi maklumat dalam bahasa Melayu diperkaya. Jadi, bahasa Inggeris tetap dipelajari kerana ilmunya. Kita haruslah berfikiran positif dan memandang ke hadapan. Semua negara mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selain bahasa ibunda. negara Korea Selatan, dan Jepun merupakan sebuah negara yang maju dalam bidang sains dan teknologi, namun mereka tetap mempertahankan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris tetap dipelajari.

Menurut Kamal Shukri Abdullah Sani,[2007;50] bahawa Jepun tidak berganjak daripada menggunakan bahasanya dari peringkat tadika sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi dalam semua bidang mata pelajaran. Bahasa Inggeris hanya dipelajari mulai di peringkat menengah dan bukan di peringkat rendah. Peluang mempelajari bahasa lain seperti Jerman, Sepanyol, Portugis, Rusia,Mandarin dan lain-lain turut disediakan sama ada di institusi pendidikan, rancangan televisyen dan lain-lain. Walau bagaimanapun bahasa Jepun tetap diutamakan dan dijunjung tinggi martabat dan maruahnya.

Oleh yang demikian, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektronik sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer peribadi, telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Seterusnya kemunculan Internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video.

Permasalahan ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu di rantau Nusantara ini. Apatah lagi, negara Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini. Adakah kita mampu menghadapi cabaran ini dan menidakkan penggunaan teknologi maklumat dalam arus pembangunan negara. Bagaimana dengan Jepun.? Negara mereka maju dalam teknologi maklumat, namun bahasa ibunda tetap terjaga dan terpelihara. Perkara ini perlu kita renung dan fikir bersama.

Oleh yang demikian, penekanan terhadap ICT pada era globalisasi dan liberalisasi bermakna penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia. Era ICT telah menunjukkan bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat dan seterusnya diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris. Perubahan persekitaran ini menimbulkan persoalan sama ada mampukan bahasa Melayu digunakan di dalam era ICT sebagai bahasa perantaraan alternatif untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bahasanya? Mampukah penggiat-penggiat bahasa Melayu menggunakan ICT sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian dan aplikasi untuk pembangunan bahasa Melayu?

Sebagai satu pandangan umum, masyarakat perlu memperlihatkan sikap terbuka dan kesediaan untuk menghadapi cabaran perkembangan yang pesat dalam ICT dengan pengaruh bahasa asing khususnya bahasa Inggeris. Perlu diakui bahawa bahasa Melayu masih lagi ‘muda’ atau setahun jagung dari sudut peristilahan sains dan teknologi berbanding dengan bahasa Inggeris. Usaha supaya bahasa Melayu diterima dalam era siber hanya akan terlaksana jika masyarakat bahasanya mempelajari pengalaman dan kejayaan yang telah dicapai oleh bahasa Inggeris. Dengan cara dan langkah ini, kita percaya perkembangan bahasa Melayu akan terus bersemarak seandainya kita bersikap terbuka. Dengan adanya ilmu sains dan teknologi maklumat dalam bahasa Inggeris, kita boleh menterjemahkan ke dalam bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu.

Secara langsung, bahasa Melayu dalam sains dan teknologi maklumat akan terus meningkat dan berkembang. Mengikut pendapat Prof. Dr. Hashim Hj. Musa, dalam buku Sosiolinguistik Lanjutan, [ 2009; 61]bahawa penguasaan ilmu, sains dan teknologi yang tinggi, kemahiran dan kepakaran secara meluas dalam kalangan rakyat jelata, merupakan faktor utama dalam pembangunan Sumber Daya Tenaga Manusia sesebuah negara secara menyeluruh, yang menjadi faktor utama pula kepada pembangunan dan kemajuan negara itu. Penyampaian dan pemahaman ilmu pengetahuan, sains, teknologi dan kepakaran serta kemahiran dengan cara yang paling berkesan adalah dengan perantaraan bahasa kebangsaan rakyat jelata itu sendiri.

Oleh yang demikian, walaupun cabaran dalam teknologi maklumat begitu hebat, bahasa Melayu perlu seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Hal ini disebabkan, pelbagai maklumat yang terkandung dalam pelbagai jenis teknologi maklumat yang sedia ada harus terdapat dalam bahasa Melayu ini, benar-benar sesuai dengan hasrat untuk menyejagatkan bahasa Melayu, dan teknologi maklumat itu sendiri merupakan saluran yang cukup penting canggih, cekap dan pantas untuk tujuan tersebut. Oleh itu, bahasa Melayu bukannya perlu bersaing dengan teknologi maklumat, sebaliknya ia patut bersepadunya dengannya. Dengan cara ini, bahasa Melayu mampu mengaplikasikan sumber ilmu itu untuk menjanakan maklumat pelbagai bidang dalam dunia serba teknikal ini.

Cabaran Bahasa Melayu Terhadap Sikap Penuturnya

Dalam abad ke-21, sikap penutur atau masyarakat amat penting dalam penggunaan bahasa ibunda. Sekiranya sikap penutur tiada kesungguhan atau perasaan malu menebal dalam diri penutur kerana menggunakan bahasa ibunda, sudah pasti bahasa ibunda akan terkubur. Oleh yang demikian, bagi bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya. Jadi , abad ke-21 telah memperlihatkan kelemahan terhadap sikap penutur yang tidak mengambil berat terhadap bahasa kebangsaan mereka. Hal ini disebabkan mereka sudah terdidik dalam bahasa Inggeris dan lebih selesa bercakap bahasa Inggeris. Akibatnya, mereka yang tidak mahu menggunakannya telah membentuk satu sikap tidak ‘kisah’ terhadap bahasa ibunda. Peristilahan dan tutur kata tidak dilakukan kerana tidak mengikuti perkembangan bahasa Melayu. Apabila disuruh memberi pendapat dan idea, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Begitulah apabila ada seminar atau pembentangan walaupun di dalam dewan ada seorang bukan rakyat Malaysia, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Justeru, permasalahan ini iaitu sikap penutur merupakan satu cabaran yang perlu ditangani secara berhati-hati pada abad ke-21 agar bahasa Melayu tidak dipandang rendah oleh masyarakat sendiri. Nik Safiah Karim dalam buku Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang Jasa Asraf, memperkatakan, bahawa bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya. Yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat kepentingan dan kesesuaian bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Jadi, yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat kepentingannya dan kesesuaian bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.

Abad ke-21 memang membawa cabaran kepada bahasa Melayu dari segi persaingan dengan bahasa Inggeris tetapi tidaklah keadaan ini menjadi satu cabaran besar sehingga menggugat kedudukan bahasa Melayu. Oleh yang demikian sikap rakyat Malaysia mesti yakin dengan keupayaan dan kemampuan bahasa kebangsaan. Kita seharusnya berasa bangga dengan bahasa Melayu kerana kekal sehingga sekarang dan bangga terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi. Kemudian sesuaikan dengan keadaan apabila hendak menggunakan bahasa Inggeris. Ironisnya, langkah ini tidak akan timbul keadaan bahasa Melayu tergugat oleh bahasa Inggeris.

Cabaran Bahasa Melayu Dalam Penggunaan Bahasa Melayu

Belakangan ini, pada abad ke-21 beberapa gejala yang amat membimbangkan berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pengaruh media elektronik telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari segi pertuturan,ayat, istilah, bahasa rojak dan sebagainya. Kerosakan penggunaan bahasa Melayu yang paling teruk berlaku ialah golongan remaja. Pada abad ke-21, sudah menjadi satu trend atau ikutan kepada golongan remaja dalam penggunaan bahasa Melayu. Senario ini cukup membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan segera, sudah pasti keindahan bahasa Melayu tidak kedengaran atau berkumandang lagi.

Berbalik kepada penggunaan bahasa Melayu, kebanyakan pengacara majlis atau program di televisyen dan radio dalam pengendalian sesuatu program, sudah menjadi kewajiban untuk mencampuradukkan bahasa mereka. Dalam mengendalikan sesuatu program atau rancangan, pengacara pada peringkat awal menggunakan bahasa Melayu. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku iaitu dalam pertengahan program hingga akhir, pengacara mencampuradukkan penyampaian bahasa Melayu dan bahasa Inggeris walaupun programnya lebih kepada berbahasa Melayu dan penontonnya majoritinya berbangsa Melayu.

Memang tidak dapat dinafikan, rakyat di negara kita mahir dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Terdapat pelbagai bentuk dan cara dalam pertuturan mereka. Mengikut Nik Safiah Karim, [2004], ada kalanya dua bahasa ini berselang-seli ,iaitu satu ayat dalam satu bahasa diikuti oleh ayat dalam bahasa kedua. Sebagai contoh ialah “ Saya mengambil keputusan untuk pergi, then I thought I should consult my father.” Begitulah dengan penggunaan perkataan yang lain iaitu “ Dalam hal ini you paling best.” “How are you today..harap OKlah.”Keadaan ini sudah menjadi kebiasaan mana-mana rancangan atau program televisyen pada abad ke-21. Sekiranya permasalahan ini tidak dibendung, sudah tentu memberi impak atau cabaran yang besar kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini.

Manakala golongan remaja pula, penggunaan bahasa Melayu mereka cukup membahayakan dan boleh merosakkan nilai bahasa Melayu. Hal ini disebabkan kecanggihan teknologi maklumat pada abad ke-21 iaitu penggunaan telefon bimbit. Untuk menghantar sms kepada rakan-rakan, mereka menggunakan bahasa rojak dan berlakulah kerancuan bahasa. Menurut Prof Dr. Hashim Hj. Musa, kerancuan bahasa ialah penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya sama ada dari segi sintaksis, morfologi, fonologi, kosa kata, istilah dan sebagainya, yang mengakibatkan kekacauan dan ketidaktekalan dari segi pembentukan ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan istilah. Di sini , terdapat beberapa perkataan yang sering disalahgunakan semasa menghantar sms.
Misalnya, perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), w’lam (wa’alaikumsalam), dowang (mereka), tipon (telefon) dan persal (mengapa). Pengubahsuaian juga telah dibuat kepada kata gantinama seperti sayer (saya), dier (dia) dan nko (engkau). Begitu juga dengan kata tanya telah diubah suai seperti biler (bila), camner (bagaimana) dan maner (mana). Kerancuan bahasa Melayu abad ke-21 merupakan satu cabaran yang boleh merosakkan keteraturan,kehalusan dan keintelektualan bahasa Melayu, kerana menjejas sistem dan peraturannya yang menyebabkan kecelaruan dan ketidaktekalannya. Hal ini akan merosakkan martabat dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu tinggi, yang akhirnya akan menurunkan maruahnya dan disisihkan sedikit demi sedikit oleh pengguna bahasanya.

KESIMPULAN

Mampukah bahasa Melayu menghadapi cabaran pada abad ke-21? Daripada perbincangan di atas, kita telah membincangkan cabaran bahasa Melayu sebelum dan selepas kemerdekaan secara ringkas.. Pada peringkat ini, bahasa Melayu terus berkembang tanpa menghadapi masalah. Namun, semasa penjajahan Inggeris perkembangan bahasa Melayu terus malap dan tidak bermaya. Pejuang-pejuang bahasa yang mencintai bahasa, terus berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu. Selepas kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan universiti.

Walau bagaimanapun pada abad ke-21, bahasa Melayu mula dipersoalkan dan ada pihak-pihak tertentu ingin mengembalikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di negara ini. Oleh yang demikian, cabaran-cabaran seperti cabaran pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, cabaran bahasa Melayu dalam kemajuan teknologi maklumat , cabaran bahasa Melayu terhadap sikap penuturnya dan cabaran bahasa Melayu dalam penggunaan bahasa Melayu menjadi isu perbincangan dalam abad ke-21. Cabaran-cabaran ini terpaksa dilalui secara berhati-hati agar permasalahan yang sedikit akan memberi impak yang besar terhadap bahasa Melayu. Pada masa ini, pengaruh bahasa Inggeris begitu kuat dan dikenali sebagai bahasa antarabangsa.Untuk berhubung pada peringkat antarabangsa, bahasa Inggeris menjadi keutamaan.

Justeru, jalan terbaik untuk menghadapi cabaran ini ialah sikap kita terhadap bahasa Melayu. Walaupun kita menghadapi pelbagai cabaran, bahasa kedua perlu kita pelajari. Sebab saya berkata demikian, bahasa Inggeris amat diperlukan untuk kita berhubung di peringkat antarabangsa. Namun , tidaklah keadaan ini menjadi satu cabaran besar sehingga menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa berdaulat seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Negara. Paling penting rakyat Malaysia mempunyai sikap atau jati diri yang betul terhadap bahasa kebangsaan. Seandainya rakyat Malaysia mempunyai perasaan bangga terhadap bahasanya, jikalau rakyat Malaysia tahu bila hendak menggunakan bahasa Inggeris dan bilakah pula keadaan penggunaan bahasa kebangsaannya, maka tidak akan timbul persaingan dan tidak akan timbul keadaan bahasa Melayu dalam dilema itu, kita mesti mengetahui tempat penggunaannya supaya permasalahan tidak timbul.

Dengan langkah yang sedemikian, nescaya permasalahan dan cabaran-cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21 dapat diatasi. Paling penting, masyarakat Malaysia perlu mempunyai sikap bangga diri terhadap bahasa ibunda kerana pada suatu masa dahulu bahasa Melayu merupakan bahasa yang telah diterima di peringkat antarabangsa iaitu zaman Empayar Srivijaya. Pada hari ini, bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang dianggarkan hampir 250 juta dan bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi untuk empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura. Hal ini ditambah lagi bahawa bahasa Melayu pernah berkumandang buat kali pertama di Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB].Oleh itu, semangat dan jiwa seumpama ini perlu diikuti,dicontohi dan diteladani oleh masyarakat Malaysia, pemimpin-pemimpin dan ilmuwan. Saya percaya dengan langkah yang sedemikian, membolehkan bahasa Melayu menongkah arus pada abad ke-21 dan martabat bahasa Melayu akan kembali di landasan yang kita ingini.

BIBLIOGRAFI

Awang Sariyan. [Penyelenggara]. (2004). Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang Jasa Asraf. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Darwis Harahap[ Penyelenggara] (2004) . Mutiara Budi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Rosnah Haji Ahmad. (2001). Bahasa Melayu An Introduction To Malay Language And Culture, Kuala Lumpur: Golden Books Centre.
Abdul Rashid Melebek & Amat Juhari Moain. (2006). Sejarah
Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd
Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu, Apa Sudah Jadi?
Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.
David, Wade. (1999). “Vanishing Culture” dalam National Geographic
Jil.196 , No.2 hlm 62-89,
Nik Safiah Karim. (2004). Bahasa Melayu Sedekad Lalu: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain (1982). Pembinaan Bahasa Melayu Perancangan Bahasa Di Malaysia. Kuala Lumpur: Deawan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan [Penyusun] (2002). Prosiding Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu IV. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Had Salleh. (1981). Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Hj. Musa. (2009). BBM 5203 Sosiolinguistik Lanjutan. Serdang: Universiti Putra Malaysia..

2 comments:

  1. teima kasih untuk maklumat ini:)

    ReplyDelete
  2. mohon kongsi ilmu

    ReplyDelete