Friday, 10 June 2011

TATABAHASA- SPM

AYAT MUDAH DAN AYAT MAJMUK
A. MAKSUD AYAT:
1. Ayat mudah/ ayat selapis/ ayat pendek/ ayat tunggal.
- ialah ayat yang hanya mempunyai satu subjek dan satu pradikat sahaja.
2. Ayat majmuk/ ayat berlapis/ ayat berkait/ ayat panjang.
- ialah ayat yang mempunyai lebih daripada satu subjek dan/ atau lebih daripada satu pradikat.

B. MENUKARKAN AYAT MUDAH SUPAYA MENJADI AYAT MAJMUK :

Syarat penukaran:

i. Jangan mengubah maksud asal ayat yang diberi.
ii. Jangan mengubah struktur atau susunan ayat. Ayat yang dahulu mesti didahulukan.
iii. Sambung ayat dengan menggunakan kata sendi dan kata hubung.
a. Kata sendi : di, ke, dari, daripada, pada, kepada, demi, untuk, yang dan sebagainya.
b. Kata hubung : dan, tetapi, atau, maka, walaupun, oleh sebab….maka, walaupun ….namun
dan lain-lain.
iv. Perkataan yang sama tidak boleh disebut semula kecuali ‘atau’ digunakan.
v. Pastikan jumlah ayat yang hendak dibuat berdasarkan soalan yang diberi.
vi. Ayat baru boleh dibuat jika sesuatu ayat mudah itu menceritakan perkara yang berlainan daripada perkara yang sebelumnya.
vii. Nomborkan ayat majmuk yang telah dihasilkan.


C. CONTOH MENUKARKAN AYAT MUDAH KEPADA AYAT MAJMUK 1 :
1. Ah Boon pergi ke pasar raya. Ibu Ah Boon pergi ke pasar raya. Mereka membeli gula. Mereka membeli ikan.
Ayat majmuk : Ah Boon dan ibunya pergi ke pasar raya untuk membeli gula dan ikan.
2. Hetty gemuk. Kakak Hetty kurus.
Ayat majmuk : Hetty gemuk tetapi kakaknya kurus.
3. Kaum lelaki digalakkan melabur. Kaum perempuan digalakkan melabur juga.
Ayat majmuk :
1. Baik kaum lelaki mahupun perempuan, mereka digalakkan melabur.
2. Kaum lelaki atau kaum perempuan digalakkan melabur.
4. Dia malas belajar. Dia gagal dalam peperiksaan itu.
Ayat majmuk : Oleh sebab malas maka dia gagal dalam peperiksaan itu.
5. Dia sangat kaya. Dia kedekut.
Ayat majmuk : Walaupun kaya tetapi dia sangat kedekut.

Contoh 1 :
(Tukarkan supaya menjadi 3 ayat majmuk)

Pasar malam itu diadakan di Jalan Tunku Abdul Rahman. Pasar malam itu diadakan pada hari Jumaat. Pasar malam itu menjual pelbagai barang. Barang yang dijual berharga murah. Ramai pengunjung datang ke situ. Mereka datang dari seluruh Kuala Lumpur.Mereka ingin menikmati suasana pasar malam di situ. Pasar malam itu sungguh meriah. Golongan muda tidak melepaskan peluang. Mereka berkunjung ke pasar malam itu. Mereka pergi bersama ibu bapa. Mereka pergi bersama rakan-rakan.

Jawapan :
1. Pasar malam di Jalan Tunku Abdul Rahman yang diadakan pada hari Jumaat itu menjual pelbagai barang dengan harga yang murah.

2. Ramai pengunjung dari seluruh Kuala Lumpur datang ke pasar malam itu untuk menikmati suasana pasar malam yang meriah tersebut.

3. Golongan muda tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pasar malam itu bersama ibu bapa dan rakan-rakan.

Contoh 2 :
(Tukarkan supaya menjadi 3 ayat majmuk)

Kerajaan telah memberi amaran tegas. Amaran itu diberi kepada pemilik kenderaan persendirian. Mereka dikehendaki memasang tali pinggang keselamatan ketiga. Ramai pemilik kenderaan masih engkar. Kerajaan terpaksa mengambil tindakan tegas. Kerajaan menguatkuasakan undang-undang. Pesalah akan ditangkap. Mereka akan didenda RM300. Pemilik kenderaan tersebut akan disaman. Penumpang ketiga itu akan disaman juga. Saman ini dapat dijadikan pengajaran.

Jawapan :
1. Walaupun kerajaan telah memberi amaran tegas kepada pemilik kenderaan persendirian supaya memasang tali pinggang keselamatan ketiga tetapi ramai pemilik tersebut masih engkar.

2. Kerajaan terpaksa mengambil tindakan tegas untuk menguatkuasakan undang-undang dengan menangkap pesalah dan didenda RM300.

3. Baik pemilik kenderaan tersebut mahupun penumpang ketiga itu akan disaman supaya dapat dijadikan pengajaran.

No comments:

Post a Comment