Thursday, 31 May 2012

BAHASA MELAYU DALAM ERA TEKNOLOGI MAKLUMAT DAPAT MEREALISASIKAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA MALAYSIA-Mahani Hj Matzin[diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Sekitar tahun 1980-an dan 1990-an ialah tahun yang dikuasai oleh perkembangan pesat teknologi maklumat (TM) dan sehingga ke hari ini TM begitu pesat berkembang dan teknologinya semakin canggih. Kepantasan perkembangan teknologi maklumat kini menawarkan kecekapan khidmat bahasa daripada segala aspek pembinaan dan penyelidikan kepada pengembangan dan peluasan. Justeru, tidak hairanlah usaha pemanfaatan infrateknologi tersebut telah dijelajah oleh setiap negara di dunia untuk meningkatkan martabat bahasa masing-masing di samping melestarikan kewibawaan bahasa mereka ke pelosok dunia dan juga sebagai satu usaha ke arah pembentukan sebuah negara bangsa berdaulat, aman dan harmoni. Sehubungan itu, kertas kerja ini adalah untuk menjelaskan makna era teknologi maklumat dan negara bangsa serta menerangkan implikasi terhadap budaya manusia dan negara bangsa. Selain daripada itu, beberapa langkah dan cadangan diberikan iaitu cara bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dapat merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa. Antaranya dengan cara menyelesaikan dasar negara terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi maklumat, peranan dan sumbangan serta tindakan perancang bahasa, para sarjana,ilmuan dan pemikir bahasa Melayu dalam menghadapi cabaran pada zaman teknologi maklumat ini. Dalam usaha merealisasikan impian agar bahasa Melayu mencapai taraf sebagai bahasa maju dan mantap pada persada antarabangsa serta dalam era globalisasi, maka semua pihak sebagai penutur jati bahasa Melayu seharusnya bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia setanding dengan bahasa Inggeris. Selain daripada itu, kita juga seharusnya memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat untuk menyemarakkan usaha ke arah pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia yang berdaulat dan harmoni menerusi penggunaan sepenuhnya bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat.
PENGENALAN
Proses pembentukan sebuah negara bangsa sering mengambil kira bahasa sebagai faktor utama dalam perpaduan masyarakat majmuk. Justeru, bahasa memainkan banyak peranan penting dalam memastikan keharmonian dan kemajuan sesebuah negara. Di Malaysia, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa perpaduan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bahasa Melayu menduduki tempat keempat sebagai bahasa dunia yang terpenting. Tempat pertama bahasa Inggeris, kedua Sepanyol, tempat ketiga bahasa Mandarin. Sebagai bahasa keempat di dunia yang mencapai angka lebih 250 juta penutur, semestinya bahasa ini wajar dimartabatkan sebagai bahasa yang penting. Justeru, di Malaysia, semenjak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pelbagai usaha telah dilakukan terutamanya oleh golongan pencinta bahasa dan budaya Melayu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan berdaulat. Namun begitu, usaha-usaha tersebut telah banyak mendapat cabaran ekoran daripada arus modenisasi dan globalisasi yang memanggil masyarakat bersaing dalam rantau sejagat. Menurut Ahmad Adam (1996), walaupun sistem pendidikan dan pentadbiran negara kebanyakannya mengutamakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan bahasa rasmi, pandangan umum cendekiawan khasnya berpendapat bahawa bahasa Melayu tidak digunakan secara meluas sebagaimana yang diharapkan dalam pembentukan negara bangsa. Ekoran itu, pelbagai usaha telah dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pejuang-pejuang bahasa Melayu di negara ini dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat bagi memperkasa bahasa Melayu dalam merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia yang berdaulat. Justeru, kertas kerja ini akan membincangkan kedudukan bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembentukan negara bangsa Malaysia. Dalam hal ini, perbincangan akan menjurus kepada langkah-langkah atau cadangan bagaimana bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dapat merealisasikan pembentukan negara bangsa Malaysia. Dalam kajian ini, beberapa pembatasan dibuat bagi menentukan ianya menepati apa yang dikehendaki. Fokus utama kajian ini ialah menjelaskan makna era teknologi maklumat dan konsep negara bangsa. Di samping itu, kajian ini turut menjelaskan implikasi teknologi maklumat terhadap budaya manusia dan pembentukan negara bangsa. Seterusnya, kajian ini menyatakan langkah atau cadangan bagaimana bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dapat merealisasikan pembentukan negara bangsa Malaysia. Definisi Era Teknologi Maklumat dan Negara Bangsa Pada tahun 1960-an Marshall McLuban telah meramalkan bahawa dunia akan menjadi ‘kampung sejagat’ atau global village. Proses ‘pengampungan dunia’ ini kini lebih dikenali dan popular diistilahkan sebagai ‘pengglobalan’ atau ‘globalisasi’. Banyak kuasa atau faktor yang bertanggungjawab menggerakkan proses ini. McLuhan memikirkan faktor komunikasi dapat merentas sempadan dunia dengan kelajuan yang semakin pantas. Kini, kuasa atau faktor yang sama sudah mencapai tahap perkembangan yang lebih canggih lagi iaitu dalam bentuk yang disebut sebagai teknologi maklumat (TM). Justeru, dewasa ini seluruh dunia telah dikatakan sudah dirempuh, ditembusi, diasak dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai jenis maklumat yang disebarkan secara elektronik melalui ruang siber. Sehubungan itu, setiap negara di dunia telah memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat sebagai satu usaha untuk memartabatkan bahasa masing-masing di samping melestarikan kewibawaan bahasa mereka agar dikenali dan diketahui oleh masyarakat dunia. Fenomena ini tidak terkecuali berlaku di negara kita Malaysia. Peluang ini telah dimanfaatkan dan diusahakan oleh pengkaji-pengkaji bahasa, para sarjana, ilmuan dan cerdik pandai teknologi maklumat di negara kita. Bagi merealisasikan hasrat untuk membentuk sebuah negara bangsa yang maju dan berdaulat, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ialah satu-satunya bahasa yang berkeupayaan untuk menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa dunia menerusi kecanggihan teknologi maklumat. Menurut Kamus Dewan (1994: 924), negara bangsa didefinisikan sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembinaan negara bangsa pula merupakan satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’ dalam kalangan penduduk sesebuah negara (INTAN, 1980). Dengan kata lain bererti mewujudkan sentimen satu bangsa dan satu negara serta melahirkan keperibadian bangsa (Faizal Othman, 1993). Rustam Sani (1993) pula menyatakan negara bangsa ialah sebuah komuniti politik yang bersifat simbolik. Penduduknya terangkum di dalam sebuah wilayah yang mempunyai simbol-simbol kewibawaannya yang simbolik. Simbol-simbol tersebut telah dijadikan asas untuk memupuk nilai-nilai patriotisme, kebanggaan dan jati diri negara bangsa dalam kalangan warganya. Antara simbol tersebut ialah institusi perlembagaan, ideologi negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain yang dapat membentuk kesepaduan dalam kalangan warganya. Emerson pula menafsirkan negara bangsa sebagai rasa diri sebagai satu bangsa menghasilkan penciptaan satu deria matlamat yang sama dan jati diri yang sama. Faktor mempercepat jati diri yang sama ialah wilayah, bahasa, tradisi sejarah yang sama dan saling hubungan negara dan bangsa. Tidak dinafikan, terdapat banyak tafsiran tentang makna negara bangsa. Namun, menurut Abdul Rahman Embong (2001:12), persoalan negara bangsa secara konseptual menjadi permasalahan penting disebabkan terdapat beberapa kekeliruan tentangnya. Ini kerana ada pihak yang menganilisis perkara tersebut secara legalitis dengan menghubungkannya dengan konsep ‘warganegara’ dan ada pula yang melihatnya berdasarkan konsep ras yang dihujahkan sebagai sukar untuk terbentuk. Ringkasnya, negara bangsa merupakan satu keadaan iaitu keseluruhan rakyatnya sudah menerima satu ‘pandangan dunia’ (weltanschauung) politik yang sama. Institusi perlembagaan, ideologi negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain pula merupakan simbol-simbol yang dapat digunakan bagi membentuk kesepaduan dan jati diri dalam kalangan rakyat di dalam negara bangsa itu. Jelaslah bahawa pembinaan negara bangsa sangatlah kompleks untuk dilaksanakan tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan di Malaysia. Penghayatan, pemahaman dan kepekaan daripada masyarakat secara keseluruhan adalah amat diperlukan bagi menjaya dan mewujudkan negara bangsa yang unggul ini.
Pembentukan Negara Bangsa
Dalam usaha menuju ke arah membentuk sebuah negara bangsa Malaysia, terdapat tiga faktor yang mendominasi perbincangan iaitu faktor politik, ekonomi, dan sosial. Mengikut Ranjit (1996), faktor politik dilihat dari sudut penggabungan parti politik pelbagai kaum melalui Parti Perikatan dan Barisan Nasional (BN). Kerjasama dan pakatan politik pelbagai kaum dalam BN telah menghasilkan kestabilan politik dan keamanan di dalam negeri. Faktor politik juga merupakan ciri asas ke arah mempercepat agenda pembinaan negara bangsa ini. Kestabilan politik menjadi prasyarat kepada pembangunan dan kepesatan ekonomi sesebuah negara. Secara umumnya, terdapat perbezaan persepsi antara individu dalam melihat faktor ini. Perbezaan persepsi ini berlaku kerana dalam masyarakat majmuk yang dicirikan oleh kewujudan berbagai-bagai unsur perbezaan menghasilkan kehendak yang berbeza dalam melihat sesuatu isu. Seterusnya, keadaan ini menghasilkan perbezaan falsafah dalam rupa pembinaan negara bangsa dan cara-cara mencapainya. Melalui kajian dan penulisan, didapati perbezaan persepsi tentang negara bangsa melalui faktor politik wujud berdasarkan kaum dan wilayah. Dari segi faktor ekonomi, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan perkara yang sering dikaitkan dengan pembinaan negara bangsa Malaysia. Selepas merdeka, keadaan ekonomi rakyat Malaysia pada masa itu ialah diidentifikasikan dengan sesuatu kumpulan etnik. Secara umumnya, jika terdapat kumpulan etnik yang diidentitikan sebagai menguasai sesuatu bidang, ianya pasti menimbulkan perasaan cemburu dan syak wasangka dan ini pastinya mencacatkan proses pembinaan negara bangsa. Pudarnya pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi secara tidak langsung menguatkan lagi hubungan perpaduan antara kaum di Malaysia. Faktor sosial yang mempengaruhi pembinaan negara bangsa Malaysia pula merangkumi peranan-peranan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan. Melalui perkara-perkara ini banyak perbincangan yang dapat dibuat bagi menghasilkan satu identiti nasional negara bangsa Malaysia yang dibentuk. Pembinaan negara bangsa merupakan suatu proses mewujudkan semangat kenegaraan atau perasaan kekitaan. Melalui takrifan ini, faktor sosial merupakan faktor penting untuk mewujudkannya. Kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia menyukarkan pembentukan satu identiti nasional, namun titik pertemuan antara kepelbagaian kaum ini masih tidak mustahil dapat dilaksanakan. Oleh itu, persepsi-persepsi yang lahir daripada masyarakat mampu membantu mencari titik persamaan dan pertemuan dalam melahirkan negara bangsa yang stabil. Agenda pembinaan negara bangsa menjadi lebih penting kepada negara ini kerana mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Di Malaysia, setiap kaum mempunyai persepsi atau tanggapan tersendiri terhadap kaum lain dan ianya masih lagi dipisahkan dengan panggilan bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India dan bangsa bangsa lain. Walaupun hubungan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia bertambah baik, namun pemisahan sosial masih wujud. Ini pastinya akan memperkukuh sentimen perkauman. Pendekatan yang dapat merapatkan jurang akan meningkatkan sikap penerimaan yang lebih terbuka dan saling mempercayai antara kaum. Sekiranya setiap generasi muda dan golongan cerdik pandai di negara ini bersefahaman dan dapat melepaskan diri daripada kongkongan prasangka dan perasaan perkauman, barulah mereka dapat dipertanggungjawabkan untuk membentuk dan menggalakkan orang lain berbuat demikian. Ini sekali gus dapat memberi kesan kepada pembinaan negara bangsa Malaysia. Antara isu dan cabaran yang paling sukar ditangani dalam proses pembinaan satu negara bangsa Malaysia ialah bagaimana menyatukan masyarakat dari segi wilayah-wilayah yang terpisah oleh faktor-faktor geografi. Proses mengintegrasi Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia dengan mewujudkan kerjasama dan keharmonian hidup akan mempercepat pembentukan negara bangsa. Secara umumnya, wilayah-wilayah ini mempunyai persepsi dan cadangan masing-masing terhadap identiti negara bangsa Malaysia yang akan dibentuk. Persefahaman, kerjasama dan toleransi antara wilayah adalah penting bagi mewujudkan identiti negara bangsa Malaysia ini. Peranan Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat dan Cabarannya Teknologi dan bahasa wajar digerakkan seiring untuk mempercepat layaran bahasa, memperhebat seruan kepentingan khazanah linguistik kita untuk menyahut laungan keperluan zaman yang kian meningkat serta tuntutan realiti antarabangsa yang dikelilingi oleh era maya. Sudah tentu kita tidak dibelakangkan oleh keengganan mengejar teknologi dan kejakunan multimedia serta ilmu ini tepat disalurkan dalam bahasa Melayu untuk membentuk hasil saluran bahasa yang lebih cekap, pantas, dan saujana. Sehubungan itu, ini bermakna tanpa bahasa, komputer hanya alat iaitu gabungan televisyen dan mesin taip sahaja, tidak lebih daripada itu. Dengan adanya bahasa dalam konteks ini, bahasa komputer, bahasa mampu melakukan perkara yang menakjubkan yang tidak pernah terfikirkan oleh kita. Justeru, bahasa memainkan peranan yang penting dalam penghasilan perisian, pengoperasian komputer supaya ianya dapat berfungsi sebelum kita dapat menggunakan perkakasan komputer sebagai pengguna teknologi maklumat ini. Menurut Chin Lee Yim (2004), beliau menyatakan menakluki bidang pengkomputeran bahasa merupakan langkah yang rasional bijak untuk menghasilkan aplikasi dan produk inti yang dapat meninggikan sumbangan penyelidikan dan kajian bahasa, di samping meningkatkan penyebaran dan mengangkat martabat bahasa Melayu dalam ruangan maya dengan menggabungkan khasiat teknologi ke dalam niat perjuangan bahasa Melayu. Implikasi Teknologi Maklumat (TM) terhadap Budaya Manusia dan Negara Bangsa Jika kita fikirkan secara teliti, terdapat beberapa implikasi teknologi maklumat terhadap budaya manusia dan negara bangsa sama ada implikasi positif atau negatif. Seluruh dunia dikatakan sedang dirempuh, ditembusi, diasak dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai jenis maklumat yang disebarkan secara elektronik melalui ruang siber. Terdapat tiga implikasi teknologi maklumat terhadap budaya manusia dan negara bangsa. Antaranya ialah dunia kini sudah tidak ada sempadan, proses penyeragaman dan proses penjajahan baharu berlaku. Implikasi pertama dan utama daripada TM yang lebih bersifat globalisasi ialah dunia dikatakan tidak ada bersempadan lagi. Memandangkan maklumat disebarkan melalui ruang siber, tidak melalui ruang bumi atau ruang geografi atau melalui media cetak semata-mata, maka orang mula mempercayai bahawa sempadan negara bangsa yang selama ini dikawal oleh dasar politik, dasar budaya dan dasar maklumat masing-masing, sukar dikawal lagi. Maklumat yang disebarkan di Internet yang kini merupakan sistem atau cabang lebuh raya elektronik yang terbesar dikatakan sukar ditapis atau dikawal oleh kerajaan. Manusia di mana-mana sahaja berpeluang menggunakan dan menyebarkan sebarang maklumat untuk kepentingan mereka, sama ada dengan tujuan yang baik mahu pun yang tidak baik, tanpa kawalan daripada mana-mana pihak, terutama pihak berkuasa kerajaan yang mengamalkan dasar kawalan maklumat yang konservatif. Kesan kedua ialah berlakunya proses ‘homogenisation’ atau proses ‘penyeragaman’ budaya kepenggunaan dan nilai manusia. Kini dipercayai bahawa minda dan kelakuan manusia di seluruh dunia sedang dibentuk menurut peraturan dan sistem nilai yang sama, yang disebut ‘peraturan dan sistem nilai sistem global’. Sebagai contoh mudah ialah manusia kini di mana-mana sahaja akan menggunakan teknologi dan bahan maklumat yang sama, menyerap nilai-nilai atau acuan demokrasi dan peraturan ekonomi yang sama, menonton serta menghayati hiburan yang sama, mendengar atau membaca berita dunia yang sama, menggunakan bahasa global yang sama, iaitu bahasa Inggeris yang pengaruhnya sebagai bahasa penyebar utama teknologi maklumat global semakin merebak dan sukar dikawal. Kesan ketiga ialah berlakunya proses penjajahan baharu yang dipercayai digerakkan secara sedar atau tidak oleh kuasa-kuasa ekonomi dunia seperti Kumpulan Negara G7, Tabung Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia serta saudagar-saudagar gergasi TM. Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah menganggap proses globalisasi itu sebagai proses penjajahan baharu. Negara bangsa terutama yang sedang membangun selalu dipaksa oleh kuasa-kuasa global yang monolitik supaya mematuhi nilai, sistem dan peraturan yang sama menurut kehendak atau acuan, kepentingan dan agenda mereka. Menurut Aziz Deraman (2001:13), negara Barat kini telah menggunakan TM untuk menjajah negara kita. Globalisasi dianggap sebagai proses penjajahan baharu dan TM menjadi alat penjajahan yang paling berkesan. Pada tahun 1997 dan 1998, dunia mengalami kemerosotan ekonomi termasuklah beberapa buah negara Asia Timur dan beberapa buah negara ASEAN termasuklah negara kita sendiri terkena tempiasnya. Permasalahan ini cuba diaturkan semula oleh IMF menurut kehendak, peraturan dan fatwa pertubuhan itu sehingga negara yang mengalami krisis itu tidak dibenarkan memikirkan cara-cara yang lain, cara sendiri untuk membetulkan kelemahan dan memulihkan keadaan ekonomi sesuai dengan kepentingan bangsa dan negara sendiri. Namun, negara kita selamat daripada taktik ini kerana pemimpin ekonomi negara kita bijak menyelesaikan masalah kemelesetan ekonomi pada masa itu dan kita tidak terlibat sebagai pemiutang kepada IMF. Menurut Hassan Ahmad (1998:691), dalam sistem global kemajuan manusia atau bangsa dalam bidang apa pun sangat bergantung kepada dua faktor; pertama tahap kemajuan ilmu yang ada pada bangsa itu dan kedua disiplin atau nilai budaya bangsa itu. Negara atau bangsa yang tidak maju atau tidak kuat dari segi dua faktor ini akan mudah menjadi mangsa kepada kuasa-kuasa global. Walaupun kita menyangka bahawa bangsa-bangsa di dunia ini dapat hidup dan maju melalui cara yang disebut sebagai penggabungan strategik dengan negara yang maju, namun sebenarnya proses ini tidak berlaku. Malah negara yang ilmu pengetahuannya tidak maju dan tidak kuat budayanya akan terus menjadi mangsa monopoli dan kuasa negara pengembang ilmu dan pengeluar TM. Berdasarkan kenyataan itu, perkara yang dapat dihayati dan diambil ikhtibar daripada senario ini, iaitu kita sebagai penduduk dan pemimpin-pemimpin negara dari negara membangun harus berhati-hati dalam mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah sosial, politik dan ekonomi negara agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa dunia yang sentiasa menindas negara-negara kecil dan membangun ini. Jika kita lemah dalam penerokaan ilmu dan kurang disiplin atau nilai budaya bangsa, maka dengan mudah kita menjadi mangsa kejahatan kuasa-kuasa besar itu. Menurut Hassan Ahmad lagi (1998: 691), Keadaan dan kelemahan inilah yang digunakan oleh negara perusahaan TM untuk terus mewujudkan budaya konsumerisme di seluruh dunia dengan menggunakan dan menjual teknologi dan maklumat sebagai produk perdagangan kepada sebanyak mungkin negara pengguna tanpa memikirkan faedahnya dari segi kemajuan tamadun manusia sejagat, misalnya alat memupuk kerjasama dan persefahaman tamadun atau budaya dan agama. Yang terjadi kini, kemajuan dan kecanggihan teknologi telah disalahgunakan ke arah negatif dan bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan. Sebagai contoh, teknologi satelit yang digunakan untuk membolehkan pengguna televisyen di seluruh dunia misalnya untuk menonton rancangan yang berfaedah telah dipaparkan tayangan filem hiburan yang berbentuk keganasan, seks, peperangan, pembunuhan dan sebagainya yang dihasilkan di luar negara selain daripada berita CNN. Saluran televisyen 24 jam semakin banyak. Orang di mana-mana sahaja termasuk di negara miskin dan yang menghadapi krisis ekonomi, krisis sosial dan krisis budaya terus digalakkan malah diasak oleh saudagar TM dan televisyen kabel supaya membeli dan menggunakan produk mereka. Penggunaan internet kini semakin popular dalam kalangan masyarakat di negara kita khususnya. Begitu juga di seluruh pelosok dunia. Walaupun perkhidmatan Internet banyak faedahnya, namun keburukannya juga semakin banyak. Internet sudah menjadi ‘tong sampah’ dan ‘tong najis’ global, tempat orang menjual dan menyebarkan maklumat bermutu rendah, maklumat yang salah, maklumat yang karut. Perbuatan ‘spam’ iaitu perbuatan menghubungi e-mel orang lain dengan tujuan untuk mengutuk, memaki, mencarut dan menyebabkan maklumat palsu semakin menjadi-jadi. Terkini, penggunaan facebook juga telah menjadi semakin popular dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat di negara kita. Terdapat sesetengah pengguna yang menyalahgunakan facebook untuk memasukkan maklumat palsu dan berunsur fitnah. Sebagai contohnya, seorang siswa dituduh mengugut menggunakan bom petrol dalam facebook. Menurut Bernama (15 Januari 2010), tulisan ungkapan siswa itu “Ke nak aku baling bom petrol di sana plak?... harga boleh runding...” telah menyebabkan pelajar berkenaan ditahan dan kesnya akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Isu ini lanjutan daripada kes pembakaran gereja di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati pada pukul 12.30 tengah malam pada 8 Januari 2010 yang lepas. Tulisan dalam facebook itu telah mengheret seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana dituduh menggunakan aplikasi dalam Internet untuk membuat komen yang boleh mengancam keselamatan orang lain. Ternyata kecanggihan TM telah disalahgunakan untuk perkara yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara serta membantutkan usaha kearah pembentukan negara bangsa.
Langkah dan Cadangan Cara Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat Dapat Merealisasikan Pembentukan Negara Bangsa
Sejak tahun 1990an, bahasa Melayu mengalami pelbagai cabaran. Ketika bahasa menikmati zaman pertumbuhan dan perkembangan yang pesat ekoran daripada pelbagai langkah pragmatik sebelumnya, termasuklah menjadikannya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, kini bahasa itu berdepan dengan cabaran dari luar dan dalam. Fungsinya sebagai bahasa perpaduan juga turut terjejas apabila sebilangan generasi muda kini lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia berbanding bahasa Melayu semasa berkomunikasi dalam lingkungan masyarakat. Jika ini berlarutan tanpa ada usaha untuk mencantas kelemahan dan cabaran ini, maka usaha ke arah pembentukan negara bangsa Malaysia akan terbantut. Jika kita dapat mengatasi cabaran ini maka tidak mustahil hasrat untuk membentuk sebuah negarabangsa Malaysia yang teguh dan kukuh dapat direalisasikan. Pelbagai usaha dan cara untuk mencapai hasrat untuk pembentukan negara bangsa Malaysia. Dalam usaha ini, bahasa memainkan peranan yang penting khususnya sebagai alat perpaduan kaum di negara kita. Justeru, menerusi era TM, banyak cendekiawan ICT (Information, Communication and Technology) dan badan-badan berkanun khususnya DBP telah berusaha memartabatkan bahasa Melayu menerusi ICT sebagai alat untuk merealisasikan hasrat ke arah pembentukan negara bangsa. Menerusi laman-laman web, isu-isu perpaduan dan keharmonian negara telah cuba diserapkan agar generasi sekarang tidak kira golongan dewasa dan kanak-kanak dapat menerima hasrat kerajaan untuk mencapai pembentukan negara bangsa Malaysia yang berdaulat dan harmoni. Merealisasikan hasrat ke arah pembentukan negara bangsa Malaysia bukanlah semudah mengungkapkannya. Hasrat tersebut mestilah diusahakan oleh masyarakat dari peringkat atasan hinggalah peringkat bawah. Justeru, pelbagai langkah dan cadangan perlu diutarakan untuk merealisasikan hasrat tersebut.
i) Menyelesaikan Dasar Negara terhadap Bahasa Melayu sebagai Bahasa Teknologi Maklumat Walau bagaimanapun cabaran yang datang, kita perlu kuat mengatasinya terutamanya dalam menyelesaikan dasar-dasar negara terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa TM. Justeru, dalam mengahadapi cabaran TM global yang semakin bercorak komersial dan propaganda itu dan mungkin boleh memusnahkan budaya dan sistem nilai bangsa kita. Oleh itu, kita memerlukan suatu dasar TM negara yang dapat mengimbangi maklumat global itu. Dasar yang dapat memperkenalkan tamadun Malaysia ke seluruh dunia melalui lebuh raya maklumat global, dasar yang dapat melibatkan rakyat Malaysia dalam proses kemajuan TM di negara ini. Bekas mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim, yang pernah menjadi Pengerusi Majlis Teknologi Maklumat Negara, dalam ucapannya merasmikan Persidangan Teknologi Maklumat Kebangsaan atau INFOTECH 98 Malaysia, anjuran persatuan Industri Komputer Malaysia (PIKOM) di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 21 April 1998 berkata bahawa “teknologi maklumat perlu didedahkan kepada masyarakat secara meluas untuk mengurangkan jurang perbezaan antara masyarakat bandar dengan masyarakat desa”. Beliau seterusnya berkata bahawa melalui agenda IT (TM), Malaysia menggunakan pendekatan dan kaedah yang membolehkan teknologi itu difahami oleh masyarakat. TM mesti menjadi suatu budaya masyarakat. Ini ialah dasar TM yang baik bagi kita. Kita tidak mahu TM menjadi hak milik golongan elitis sahaja atau dikembangkan semata-mata sebagai produk ekonomi dan perdagangan dan melupakan peranan TM sebagai alat pembina budaya, pembina negara bangsa atau tamadun tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Persoalan yang timbul di sini dan perlu diselesaikan ialah bagaimanakah dasar TM negara yang hendak memupuk budaya TM di negara ini dapat difahami dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara keseluruhan sekiranya bahasa Melayu yang difahami oleh majoriti rakyat negara ini tidak digunakan sebagai bahasa utama TM? Bahasa Inggeris hari ini dilihat lebih utama daripada bahasa Melayu. Hampir semua perisian (software) komputer yang kita gunakan adalah dalam bahasa Inggeris. Ini kerana perisian komputer tersebut dibuat di luar negara terutama di Barat. Namun demikian, ini tidak bererti bahawa maklumat yang disampaikan melalui program elektronik itu tidak boleh dibuat dalam bahasa Melayu. Di negara lain, misalnya di Jepun atau di Perancis, walaupun perisian komputer misalnya ‘operating system’ ataupun ‘word-processor’ dibuat di negara berbahasa Inggeris, namun pengguna komputer di Jepun atau di Perancis menggunakan perisian yang sama dalam versi bahasa kebangsaan masing-masing. Justeru, usaha ini seharusnya dijadikan contoh yang baik untuk diikuti. Apatah lagi dalam usaha ke arah pembentukan negara bangsa kerana negara Jepun ialah sebuah negara yang telah berjaya membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan sentiasa maju ke hadapan. Sehubungan itu, untuk tujuan dasar atau agenda TM negara seperti yang dijelaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu, maka bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan yang difahami dan digunakan oleh majoriti penduduk Malaysia, hendaklah dijadikan bahasa TM yang utama di Malaysia. Kerajaan hendaklah mengarahkan pihak-pihak pembekal perkhidmatan Internet seperti Syarikat Telekom Malaysia, CELCOM, DIGI dan badan-badan kerajaan yang membuka laman jaringan atau laman web dalam Internet supaya menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan maklumat masing-masing. Kita boleh mengimport perkakasan komputer dan program Internet yang dibuat dalam bahasa Inggeris tetapi mengapakah maklumat yang merupakan bahan yang kita ciptakan sendiri mesti disebarkan di dalam negara ini melalui komputer dan Internet dalam bahasa Inggeris? Jikalau kita menganggap bahawa maklumat itu penting dan perlu disebarkan ke seluruh dunia melalui Internet maka terjemahan dalam bahasa Inggeris dapat dilakukan. Sehubungan itu, kerajaan hendaklah memainkan peranan dengan membudayakan projek Koridor Raya Multimedia (KRM) berdasarkan kepentingan dan acuan Malaysia. Antara lain, ini bererti KRM itu hendaklah memasukkan komponen bahasa Melayu ke dalam sistem itu, sekurang-kurangnya dalam pengurusannya dan dalam maklumat Malaysia yang disediakan. Walaupun bangsa Malaysia patut berfikir global tetapi kita mesti bertindak berdasarkan kepentingan ruang kebangsaan sendiri. Kita tidak mahu kawasan kebangsaan kita ‘dijual’ kepada kuasa-kuasa TM dan ekonomi global. Budaya dan bahasa kebangsaan negara memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempertahankan sempadan kebangsaan kita dan keharmonian negara bangsa kita.
ii) Peranan, Sumbangan dan Tindakan Pejuang dan Perancang Bahasa dalam Menghadapi Cabaran Zaman Teknologi Maklumat
Meraih kejayaan bukanlah semudah mengungkapkannya tanpa melalui rintangan dan cabaran. Oleh itu, dalam usaha merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan maju, maka semua peringkat masyarakat harus memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing. Dalam era TM kini, cabaran yang kita hadapi semakin besar apabila bahasa Inggeris telah mendominasi bahasa dalam TM. Justeru, untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia, rakyat di negara ini seharusnya memainkan peranan masing-masing, terutamanya menggunakan bahasa Melayu dengan betul tanpa mencelarukan bahasa tersebut. Dalam menghadapi cabaran baharu era TM dan seterusnya, bahasa Melayu perlu dikembangkan menjadi bahasa sumber ilmu, bahasa sumber pemodenan, bahasa sumber maklumat, bahasa sumber pengetahuan, bahasa sumber sains dan teknologi, bahasa sumber kewangan dan yang lebih penting lagi bahasa sumber perpaduan dan keharmonian. Bagi mencapai hasrat tersebut, lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam TM perlu dihasilkan. Impian itu hanya boleh tercapai dengan adanya lebih banyak pengarang, penyelidik, guru, penerbit dan institusi penyelidikan. Selain itu, sebahagian bahan itu mestilah berbentuk digital untuk memenuhi keperluan semasa pengguna terutama generasi muda yang membesar di depan komputer, Internet, pangkalan data dan portal. Tanggungjawab memperkembang, mempertahankan dan memodenkan bahasa kebangsaan yang berat ini tidak dapat dipikul oleh DBP, Kementerian Pelajaran atau Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja. Pendek kata, semua pencinta dan pejuang bahasa kebangsaan mesti melibatkan diri secara aktif. Setelah sekian lama kita leka dan lena dibuai mimpi buruk, seharusnya kini kita sedar dan bangun mengambil peluang dengan kecanggihan TM untuk dimanfaatkan khasnya dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang bertamadun dan berdaulat. Jika kita tidak menggunakan peluang yang ada ini maka kita akan karam dalam arus globalisasi yang juga digelorakan oleh bahasa Inggeris, selain kuasa ICT (Information, Communication and Technology). Memandangkan semakin banyak rakyat Malaysia kini sudah berpendidikan tinggi, maka seharusnya golongan ini tahu melakukan kerja dengan lebih bijak, kreatif, inovatif dan produktif dan seharusnya mereka ini dapat mencontohi jejak langkah sarjana dan institusi di England, Amerika Syarikat dan Australia, misalnya dalam memperkembang bahasa Inggeris. Usaha ini sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan dengan bantuan TM. Daripada projek penyelidikan bahasa Inggeris seperti Technology Enhanced Language Learning (TELL) dan Computer Assisted Language Learning (CALL) yang dilakukan di England, Amerika Syarikat dan Australia, kini sudah ada mesin data bahasa terbaca yang boleh diperoleh dalam CD-ROM, Internet dan pakej elektronik yang lain tentang bahasa Inggeris. Sebenarnya peluang untuk melakukannya kini terbuka luas apatah lagi semakin banyak alat bantuan tersedia di hadapan kita. Kecenderungan dan minat kita terhadap bahasa Melayu sudah meningkat ekoran peningkatan penekanan negara asing terhadap pasaran ekonomi di Alam Melayu. Menurut Ding Choo Ming (2006), cabaran kepada bahasa Melayu pada masa depan terletak kepada kita sama ada boleh mengembangkannya menjadi bahasa sumber ilmu, bahasa sumber ekonomi, bahasa sumber teknologi dan bahasa sumber pemodenan yang boleh diharapkan untuk membuka pintu gerbang ilmu, mencari mutiara maklumat dan menaiki mahligai pendidikan yang lebih tinggi untuk dapat menikmati rasa pemodenan, sekali gus peningkatan taraf hidup. Menurut beliau lagi, perjalanan itu bukan sahaja panjang, tetapi juga berliku-liku dan penuh ranjau. Segala-galanya menuntut peningkatan intelektual rakyat Malaysia dan pengintelektualan bahasa Melayu. Untuk melaksanakannya, lebih banyak buku dan pengarang diperlukan untuk menghasilkan lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam bidang IT. Sehubungan itu, portal www.malaycivilization.com yang dibina khas di ATMA (Institut Tamadun dan Alam Melayu) itu cumalah satu tapak kecil dalam langkah besar kita untuk menyebarkan bahan berbahasa Melayu di ruang siber. Berdasarkan kenyataan tersebut, ini merupakan satu petanda bahawa pintu untuk memperkembang bahasa Melayu sudah bertambah baik dan semakin menjadi lebih menarik. Usaha ATMA memperkasa bahasa Melayu, maju dan terus maju apabila berjaya menghasilkan Kamus Peribahasa Melayu Digital dan telah dimasukkan ke dalam Internet. Menurut Ding Choo Ming dan Arba’eyah Abdul Rahman (2002:48), ATMA sudah memasukkan Kamus Peribahasa Melayu, Digital dalam internet http://www.atma.ukm.my pada pertengahan Mac 2002. Kamus ini merupakan kamus digital peribahasa Melayu yang pertama dalam erti kata yang sebenarnya kerana membolehkan pencarian peribahasa Melayu mengikut makna dan kategori, sedangkan kamus peribahasa Melayu yang lain cuma menyenaraikan peribahasa Melayu dengan maknanya. Ini merupakan perkembangan baharu dan sangat berfaedah kepada pelajar-pelajar untuk merujuk tentang peribahasa Melayu secara mudah secara online. Selain daripada usaha ATMA, DBP juga banyak memainkan peranan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat, antaranya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa siber. Menurut Zamri Mohamod (2001:9), usaha ke arah mensiberkan istilah bahasa Melayu dalam teknologi maklumat sedang dan terus dilakukan oleh pihak yang terlibat, seperti DBP, Perbadanan Multimedia Super Koridor (MSC), Kementerian Pendidikan, Institusi Pendidikan Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta(IPTS), ahli akademik, pencinta bahasa, dan orang perseorangan. Menurut Chin Lee Yim pula (2004:20), DBP juga telah menyertai Persatuan Perangkaian Bahasa Sejagat (Universal Networking Language) dengan hasrat untuk memperkasa usaha penyediaan prasarana bahasa yang lebih mantap. Di samping itu, penghasilan produk teknologi bahasa turut diperkasa melalui pelbagai program dan fungsi. Gerbang KaryaNet http://www.karyanet.com.my/ merupakan medan penerbitan elektronik yang luas dimanfaatkan. Ini bermakna ianya boleh dimanfaatkan oleh pengguna untuk memperoleh maklumat bahan penerbitan dan pelbagai rujukan serta khidmat bahasa.Selain itu, Microsoft yang gagah dengan perisian Microsoft Office kini turut mengusahakan Pengguna Perisian Antara Muka Microsoft dalam bahasa Melayu dengan usaha sama DBP. Namun begitu, menurut Marlyna Maros (2001:49), kemajuan dan pencapaian negara bangsa yang bersatu padu dan berteknologi tinggi perlulah diiringi dengan pencapaian dalam mengekalkan dan memajukan bahasa Melayu kerana bahasa inilah yang diyakini sepenuhnya oleh masyarakat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan negara ini, maka kita perlu bertanggungjawab untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul terutama semasa melayari Internet dan menulis komen dalam blog dan laman web. Ini penting kerana kita sebagai rakyat Malaysia apatah lagi sebagai penutur jati bahasa Melayu mestilah menjadi contoh kepada generasi muda sebagai pengguna bahasa yang baik dan mempunyai jatidiri.
KESIMPULAN
Dalam mencapai hasrat dan cita-cita serta merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan harmoni bukanlah suatu yang mudah digapai jika tidak ada gandingan bahu daripada semua lapisan masyarakat Malaysia. Bahasa Melayu merupakan salah satu agen bagi merealisasikan hasrat ke arah pembentukan negara bangsa. Menerusi TM yang serba canggih menerusi ruang siber, Internet, globalisasi dan liberalisasi, kita boleh menggunakan bahasa Melayu untuk memupuk nilai-nilai murni dan semangat kekitaan rakyat Malaysia ke arah sebuah negara bangsa yang disanjung tinggi. Dengan paparan dan tersebarnya identiti negara Malaysia yang berimej bersih, aman dan harmoni di dalam negara dan luar negara maka kita akan mudah menyatukan hati rakyat Malaysia dalam membentuk negara bangsa seperti negara Jepun, Portugal dan Iceland yang sudah diiktiraf dunia sebagai negara yang boleh dikelaskan sebagai negarabangsa tanpa dipertikaikan. Selain daripada itu, hasrat kerajaan dalam pembentukan sebuah negara bangsa berdaulat haruslah didukung oleh semua lapisan masyarakat. Sudah tentu dengan pemanfaatan kaedah dan kemajuan teknologi yang bestari, tidak mustahil bahasa kita mampu menjadi bahasa antarabangsa dan bahasa teknologi serta menjadi bahasa perpaduan yang mendukung ke arah pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan harmoni.
BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Embong. (2001). Negara bangsa: Proses dan perbahasan. Bangi: Penebit UKM.
Abdullah Yusoff. (2002). Pemerkasaan bahasa melalui data korpus berkomputer. Dewan Bahasa, Jun (hlm. 24-30).
Ahmad Adam. (1996). Isu bahasa dan pembentukan bangsa dalam manifesto budaya. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Aziz Deraman (2001). Bahasa Melayu dalam endidikan teknologi maklumat. Dewan Bahasa, April (hlm. 12-17).
Chin Lee Yim. (2004). Kesejagatan bahasa Melayu melalui teknologi. Dewan Bahasa, Mac 2004 (hlm 18-20).
Ding Choo Ming & Arba’eyah Abdul Rahman. (2002). Daripada Kamus Peribahasa Melayu Digital ATMA kepada Perkamusan Bahasa Berkomputer. Dewan Bahasa, Julai (hlm.48-54).
Faizal Othman. (1993). Pendekatan bina bangsa dalam pengukuhan tenaga manusia bagi Wawasan 2020. Dlm. Kamaruddin Jaafar & Hazami Habib.(ed.), Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar. 309
Hassan Ahmad (1998). Bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat. Kertas kerja yang dibentangkan semasa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-5.
Institut Tadbiran Awam (INTAN). (1980). Negara kita: Sejarah, pentadbiran dan dasar-dasar pembangunan. Kuala Lumpur: INTAN.
Jeniri Amir. (2009). Bahasa negara dan bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Marlyna Maros. (2001). Bahasa Melayu dalam pembentukan negara bangsa: Antara hasrat dengan hakikat. Dewan Bahasa, Julai (hlm 43-49).
Nor Adnan. (2001). Bahasa Melayu dalam pembangunan perisian. Dewan Bahasa, (hlm. 9-15).
Ranjit Singh. (1996). Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur: Federal Publications.
Rustam A. Sani. (1993). Melayu baru danb Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Zamri Mohamod. (2001). Bahasa Melayu sebagai bahasa siber.Dewan Bahasa, Jun (hlm 9-13).

Wednesday, 30 May 2012

KEBANJIRAN WARGA ASING MENDATANGKAN KEBURUKAN.

Penulis terpanggil untuk memberikan pendapat dalam kolum “Mengapa Malaysia Dibanjiri Warga Asing” dalam Dewan Masyarakat keluaran April 2010.
Pembangunan yang pesat di negara ini telah membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor. Bidang perindustrian dan perkilangan merupakan sektor yang memerlukan jumlah pekerja yang banyak. Memandangkan rakyat tempatan tidak berminat dalam sektor berkenaan kerana gaji yang ditawarkan sedikit atau pihak berkenaan ingin mengurangkan kos, maka pekerja asing menjadi tumpuan mereka. Tidak dapat dinafikan pekerja asing telah membantu masyarakat Malaysia dalam melengkapkan visi dan misi pembangunan negara. Namun begitu, kebanjiran pekerja asing juga menyebabkan negara ini mengalami kerugian. Pelbagai masalah timbul disebabkan kebanjiran pekerja asing. Antaranya ialah masalah tempat tinggal. Segelintir majikan menyediakan tempat tinggal kepada pekerjanya, manakala sebahagiannya tidak. Ini menyebabkan penempatan setinggan kian bertambah dan menimbulkan suasana pemandangan yang jelek. Sekiranya pelancong asing melihat pemandangan yang kotor serta kedaifan dan kemiskinan warga asing yang mendiami kawasan tersebut, pastinya mereka beranggapan bahawa Malaysia sebuah negara miskin dan mengamalkan budaya hidup yang tidak sihat. Situasi seumpama ini mendatangkan kesan yang negatif dari sudut kehadiran pelancong, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata dunia. Kehadiran pekerja asing di negara kita juga antara penyebab kadar jenayah semakin meningkat. Perkara sebegini pasti mendatangkan kebimbangan dan kerisauan masyarakat kerana keselamatan mereka tergugat. Kes kecurian, pergaduhan dan pembunuhan sering berlaku akhir-akhir ini. Kegiatan pelacuran dan perdagangan manusia juga semakin meningkat. Selain itu, negara kita menanggung kerugian lebih daripada RM4 bilion melalui aliran keluar mata wang secara besar-besaran oleh pekerja asing yang menghantar wang kepada keluarga mereka. Hal ini menjejaskan imbangan pembayaran negara dan membantutkan perkembangan ekonomi negara. Manakala dari segi putaran modal pula, negara mengalami kerugian kerana kebanyakan wang yang dikeluarkan dalam bentuk gaji tidak digunakan untuk dibelanjakan di negara ini. Pihak hospital juga turut menanggung kerugian kerana ramai antara pekerja asing tidak melunaskan bil tuntutan yang dikenakan ke atas mereka. Sebagai contoh, pada 2006, pihak hospital di seluruh negara mengalami kerugian sebanyak RM6.75 juta bil hospital yang belum dibayar oleh pekerja asing. Manakala pada 2007, jumlahnya semakin meningkat kepada RM7.17 juta. Kesimpulannya, walaupun kita tidak mampu untuk mengawal jumlah kemasukan pendatang asing, namun tindakan yang tegas dan bijaksana harus diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani kebanjiran warga asing ini, agar memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya terus terpelihara.
Muhammad Zahid Mohd. Zain Pasir Mas, Kelantan.

KESALAHAN BAHASA DALAM KALANGAN MASYARAKAT MAJMUK-Siti Sabariah bt Kasmiran [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Isu kesalahan berbahasa tiada kesudahannya. Banyak persoalan berhubung kait terutama dalam konteks negara bangsa yang pelbagai latar belakang, kebudayaan, bahasa dan agama. Usaha untuk memupuk perpaduan diterapkan terutamanya dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi utama. Namun di sebalik usaha yang dijalankan, wujud isu lain yang perlu diambil perhatian iaitu masalah berbahasa dalam kalangan Masyarakat Malaysia. Objektif kajian untuk membincangkan kesalahan bahasa, menghurai faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kesalahan bahasa dan mengenal pasti cara mengatasi masalah tersebut. Masyarakat majmuk di negara ini menjadi rujukan utama kajian. Oleh itu, kaedah pemerhatian dan pembacaan bahan ilmiah digunakan. Walaupun fenomena masalah yang dikaji amat luas tetapi kajian hanya tertumpu kepada kesalahan bahasa yang wujud dalam sebuah negara yang pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan di Malaysia. Kajian akan merujuk kepada faktor-faktor yang menyebabkan kesalahan penggunaan bahasa dari segi pertuturan dan penulisan. Hasil kajian yang dijalankan akan dapat mengetahui tentang kesalahan bahasa ketika pertuturan atau kesalahan mengeja dalam penulisan. Kesalahan ini terjadi akibat faktor dialek , pengaruh media, pengaruh bahasa lain, pencemuhan dan bahasa slanga. Selain itu, kesalahan bahasa juga boleh wujud disebabkan oleh keanekaan latar belakang, kurang pemahaman aspek tatabahasa dan faktor laras iklan.
PENGENALAN
Kesalahan bahasa merupakan kombinasi dua perkataan “kesalahan” dan “bahasa”. Kesalahan merujuk perbuatan salah atau kesilapan. Perkataan bahasa pula, bermakna sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Menurut seorang sarjana Jerman, Wilhem Von Humbodt, bahasa ialah satu sintesis daripada bunyi yang dibentuk oleh “lautform” bentuk luaran dan fikiran yang dibentuk oleh “idenform” bentuk dalaman. Hasilnya, pelbagai ragam ujaran yang tidak terbatas jumlahnya dapat diterbitkan. Sementara itu, seorang lagi sarjana linguistik Amerika, John B. Carol, mentakrifkan bahasa sebagai satu sistem berstruktur daripada bunyi vokal dan urutan bunyi yang dipakai sewenang-wenangnya atau yang digunakan untuk berkomunikasi oleh sekumpulan manusia. Hasilnya, bahasa dapat dirumuskan sebagai satu struktur yang unik daripada bunyi ucapan yang dipilih dan disusun secara sewenang-wenangnya untuk digunakan oleh sesuatu masyarakat sebagai pelat berkomunikasi. Pada keseluruhannya bahasa adalah alat untuk berkomunikasi dan terdiri daripada kalimah. Bahasa mempunyai ciri unik. Antara ciri-cirinya:
a. Bahasa mempunyai bunyi yang dihasilkan oleh alat artikulasi iaitu mulut, hidung dan paru-paru.
b. Bahasa mempunyai sistem. Bahasa mempunyai susunan bunyi, perkataan, nahu ataupun sintaksis yang tertentu.
c. Bahasa mempunyai bentuk tertentu seperti ayat, rangkai kata, perkataan,imbuhan dan lain-lain.
d. Bahasa mempunyai makna yang ditugaskan untuk menyatakan sesuatu.
e. Bahasa itu berubah.
f. Bahasa arbitrari yang mempunyai hubungan antara bunyi yang dilafazkan dengan benda yang dimaksudkan.
g. Bahasa itu linear.
George (1973), berpendapat bahawa kesalahan bahasa ialah “….an unwanted form which a particular course designer or teacher does not want”. Menurutnya kesalahan bahasa adalah mengikut pertimbangan cita rasa seseorang guru. Penggunaan bahasa tidak formal dalam penggunaan formal mengakibatkan kesalahan bahasa. Kesalahan bahasa bererti kesilapan yang berlaku sama ada melalui pertuturan atau tulisan. Nak Safiah Karim (1980:10) berpendapat, kesalahan bahasa bererti penggunaan bahasa yang melanggar peraturan-peraturan bahasa yang dipersetujui, sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat. Nik Safiah Karim dalam Dewan Bahasa, turut menyatakan terdapat tiga peranan utama yang dimainkan oleh bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan yang berjaya direalisasikan dengan beberapa dasar yang digubal oleh kerajaan. Begitu juga sebagai bahasa ilmu yang mampu bersaing dengan bahasa Inggeris. Namun fungsinya sebagai bahasa perhubungan dengan penggunaan bahasa rojak (salah satu kesilapan bahasa) mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu. Selain itu banyak kesalahan bahasa juga wujud kerana kurangnya pengetahuan tentang bahasa Melayu dan pengaruh bahasa kaum lain di Malaysia. Budaya merujuk kepada peraturan yang dikongsi bersama. Budaya Melayu adalah satu set nilai, kepercayaan dan sikap yang dikongsi bersama oleh kebanyakan ahli bangsa Malaysia. Budaya Melayu mempengaruhi banyak aspek kehidupan bangsa Malaysia. Perkongsian paling nyata adalah penggunaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu merupakan aset penting bagi memupuk kesatuan dalam konteks masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Bahasa penting dalam menghapuskan polarisasi etnik dengan memupuk penyatuan menyeluruh dengan nilai persefahaman yang dipersetujui bersama. Oleh itu, bahasa Melayu merupakan platform dalam memupuk agenda ini dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia meskipun wujud sifat kepelbagaian budaya dan kaum. Seirama dengan pemakaiannya yang semakin meluas, kesalahan-kesalahan penggunaan bahasa oleh bangsa Malaysia merupakan fakta yang menonjol. Kesilapan yang dianggap pencemaran bahasa akan serta-merta mengingatkan semua pihak kepada pencemaran udara dan alam sekitar yang menjadi fenomena zaman moden yang menakutkan. Bangsa Malaysia terdiri daripada berbilang kaum yang masing-masing mempunyai bahasa ibunda yang berlainan. Rakyat berbilang kaum ini telah mengalami sistem persekolahan dan bahasa penghantar yang berlainan. Dialek daerah berlainan di Malaysia juga memerlukan proses standardisasi kerana turut menjadi punca kesilapan penggunaan bahasa. Sejauh mana kita bergerak ke arah Negara cemerlang, gemilang dan terbilang, harus ada usaha supaya bahasa Melayu kekal berdaulat sebagai bahasa yang mampu bergerak seiring dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi tetapi entitinya harus ada supaya bahasa Melayu terus bersaing dan disegani di mata masyarakat dunia.
Kesalahan Bahasa Secara Umum
Bahasa Melayu atau disebut bahasa Malaysia di dalam buku Pendidikan Negara Bangsa Malaysia oleh Ishak Saat dinyatakan sebagai bahasa penyatuan. “Bahasa jiwa Bangsa” berperanan penting membentuk jati diri dan identiti sesebuah bangsa. Bangsa yang dimaksudkan adalah bangsa Malaysia. Usaha memartabatkan bahasa Melayu juga perlu diperkasa semaksimum mungkin bagi menjayakan gagasan “satu bahasa, satu bangsa, satu Malaysia”. Semua pihak daripada pucuk pimpinan sehinggalah ke akar umbi perlu menggembleng tenaga untuk menjayakan matlamat ini. Sehubungan itu kesalahan bahasa yang terjadi perlu diperbetulkan. Sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi (kebangsaan) dalam perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka, dengan sendirinya bahasa Melayu menjadi milik orang Melayu, orang Cina, orang India dan semua penduduk warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Maka, untuk berkomunikasi dengan berkesan, kita perlu memilih bahasa yang diketahui oleh semua pihak. Kesalahan sering timbul ketika komunikasi berlangsung antara bangsa yang berlainan. Yang pertama kesalahan penggunaan kata. kesalahan penggunaan kata menimbulkan rasa kurang senang tetapi tidak menjejaskan makna kerana kebanyakan kita dapat memahami maksud yang hendak disampaikan. Kesalahan seperti ini kerap terjadi kerana kurang pemahaman tentang tatabahasa.
Contoh 1. “Baru” dengan “baharu”.
1a. Ayah baru sampai dari kampung.
1b. Baju baru yang dibelinya berwarna kuning.
Penggunaan ejaan baru dalam ayat 1a betul yang merujuk kepada masa. Tetapi baru pada ayat 1b salah kerana ayat merujuk kepada benda. Sepatutnya dieja baharu.
Contoh 2. Penggunaan “di” sebagai kata sendi dan imbuhan
2a. Buku itu disimpan di dalam almari.
2b. Negeri Melaka telah berkembang maju di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.
2c. Sila letakkan borang di dalam kotak ini.
Kata sendi di ditulis berpisah daripada Kata Nama yang mengikutnya. Dalam hal ini. Ayat 2a betul tetapi penggunaan di dalam ayat 2b salah. Bagi ayat 2c penggunaan di dijadikan kata imbuhan dan dirapatkan adalah salah tetapi yang dikesalkan ayat 2c menjadi label yang dipaparkan di salah sebuah pejabat imigresen di negara kita. Hanya di yang berfungsi sebagai kata imbuhan perlu dirapatkan. Kedua, kesalahan frasa. Kesalahan frasa kerap berlaku kerana melanggar Hukum D-M, iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan. Contohnya Chan Restoran sepatutnya Restoran Chan. Frasa terbitan sering kedengaran menerusi radio, televisyen dan surat khabar. Contohnya Johor leads by 2-0. Ayat tersebut diterjemahkan menjadi Selangor mendahului 2-0 dan membawa maksud yang tidak jelas. Sepatutnya, pasukan Selangor mendahului pasukan lain dengan mata 2-0. Ketiga kesalahan ayat. Kesalahan ayat turut berlaku terutama ayat tergantung. Walaupun maksud yang ingin disampaikan mungkin dapat difahami tetapi ayatnya tidak lengkap.
Contoh 3. Tidak lebih dan tidak kurang.
Contoh 4. Lebih penerbangan. Lebih pilihan.
Contoh 5. Hanya satu calitan.
Contoh 6. Alimah guru.
Ayat lengkap mesti mengandungi subjek yang bersifat frasa nama dan predikat. Predikat ialah kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek. Contoh 6 adalah ayat tunggal yang lengkap kerana Alimah adalah subjek dan guru adalah predikat. Ini berbeza dengan contoh ayat 3, 4 dan 5.
Kesalahan Bahasa Dalam Kalangan Masyarakat Majmuk
Corder 1973 berpendapat bahawa sebab terjadi kesalahan bahasa ialah kerana terdapat banyak peraturan yang ada pada sesuatu bahasa iaitu formal dan tidak formal. Kadang-kadang, jika tidak berhati-hati, dalam masa menggunakan bahasa formal seseorang akan terbawa-bawa dengan bentuk yang tidak formal. Penggunaan bentuk bahasa yang tidak formal adalah dianggap kesalahan bahasa. Malah sesuatu bahasa lazimnya mempunyai dialek-dialek. Penggunaan dialek adalah tidak formal. Oleh itu jika dialek dicampuradukkan dengan bahasa formal atau standard maka terjadilah kesalahan bahasa. Sharma (1981), berpendapat bahawa kesalahan bahasa dibahagikan kepada 3 kategori. Pertama kesalahan bahasa disebabkan faktor lupa, gangguan emosi, kelalaian dan kurang latihan. Kedua, kesalahan bahasa berpunca daripada kekacauan atau kekeliruan kerana wujudnya faktor-faktor kelainan bentuk dalam penggunaan sesuatu bahasa formal (bahasa persuratan, bahasa akademik dan bahasa kesusasteraan) dan tidak formal (dialek dan bahasa pasar). Ketiga kesalahan bahasa khas bagi penggunaan bahasa kedua iaitu bahasa yang dikuasai terkemudian daripada perolehan bahasa pertama iaitu bahasa ibunda. Kesalahan umum memang luas jika diperkatakan tetapi kesalahan disebabkan pengaruh masyarakat bangsa Malaysia berlaku disebabkan banyak faktor. Faktor-faktor yang mengundang kesilapan dalam penggunaan bahasa antaranya:
i. Faktor dialek
ii. Faktor pengaruh media
iii. Faktor pengaruh bahasa lain
iv. Faktor pencemuhan
v. Faktor bahasa slanga
vi. Faktor keanekaan latar belakang
vii. Faktor kurang pemahaman tatabahasa
viii. Faktor pengaruh bahasa iklan
Faktor pertama pengaruh dialek. Dialek menurut Hartmab dan Stork (1972), ialah sejenis kelainan bahasa yang berbeza daripada segi sebutan, tatabahasa dan kosa kata daripada bahasa standard. Pengaruh bahasa dialek begitu menebal mempengaruhi sistem bunyi. Bahasa dialek itu mempengaruhi penulisan terutamanya murid-murid di pantai timur. Bahasa dialek sebenarnya ialah tradisi lisan tempatan. Apabila murid-murid bertutur menggunakan bahasa dialek, maka bukan ayat lengkap yang dipertuturkan tetapi frasa dan klausa atau struktur ayat yang hanya difahami oleh penutur asal dari daerah dialek yang sama. Berikut ialah beberapa contoh ayat yang biasa digunakan oleh penutur di Terengganu.
Contoh 7. Ali menangkap ikang.
Contoh 8. Adik melukis bulang.
Contoh ayat 7 dan 8 adalah ayat lengkap tetapi penggunaan perkataan ikan dan bulan dieja mengikut sebutan dialek yang menyebabkan kesalahan ejaan.
Contoh 9. Ambo suka makan di kedai bersih. Demo lagu mano? Ayat betul: Saya suka makan di kedai bersih? Awak macam mana?
Contoh 10. Cakna pendidikan Kelantan tersohor. Di dalam Kamus Dewan perkataan cakna bermaksud ambil berat atau ambil tahu tetapi jarang digunakan dan menjadikan ayat tersebut janggal bagi masyarakat negeri lain. Ayat tersebut boleh diperbaiki menjadi “Ibu bapa harus cakna pelajaran anak supaya Kelantan tersohor dalam bidang pendidikan”.
Contoh 11. Maghi pakat gi jale. Maksud ayat: Jom kita pergi melancong.
Contoh 12. Sudoh slaluh. Ayat tersebut bermaksud siap dengan segera.
Contoh ayat 9 hingga 12 adalah salah jika dinilai daripada sudut penggunaan perkataan yang dientrikan dalam kamus. Papan tanda dan kain rentang yang dipamerkan membuktikan bahawa bahasa dialek ini diterima pakai di negeri atau daerah tertentu. Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah kita perlu mengorbankan kedaulatan bahasa Melayu demi menaikkan taraf bahasa daerah? Umum mengetahui terdapat banyak bahasa dialek tetapi hanya bahasa Melayu Baku ditetapkan untuk dijadikan bentuk bahasa rasmi. Bahasa dialek memberi maksud berbeza yang sukar ditafsirkan.
Contoh 13. Sudah banyak kali saya bilang sama dia.
Contoh 14. Mama saya belum pulang lagi.
Contoh 15. Saya akan pulang jam tiga.
Perkataan bilang dalam ayat 13 bermaksud memberitahu. Mama dalam ayat 14 merujuk kepada ibu atau emak di sabah tetapi tidak diterima dalam bahasa Melayu kerana kata mama sebenarnya mengikut Kamus Dewan ialah bahasa percakapan bagi kata ibu. Kata jam di dalam ayat 15, merujuk Kamus Dewan edisi keempat adalah sejenis alat untuk menunjukkan waktu. Kata jam biasanya diganti dengan pukul yang lebih jelas merujuk kepada waktu. Dalam bahasa Melayu, kata jamban membawa makna tempat membuang air atau tandas tetapi dalam dialek Pahang membawa maksud tempat mandi atau basuh kain. Di Kelantan dan Terengganu dialeknya lebih sukar difahami. Contohnya kata bidas bererti memantul menurut Kamus Dewan tetapi membawa maksud lastik mengikut fahaman dialek masyarakat di negeri tersebut. Kata bahang yang bermaksud hawa panas akan berubah maksud menjadi bahagian, hal dan kepunyaan mengikut maksud dialek Perak. Rumusan daripada contoh di atas dapat disimpulkan bahawa pengguna kata dialek mendukung maksudnya sendiri yang tidak difahami oleh masyarakat luar lingkungannya dan membawa maksud berbeza daripada maksud yang terdapat di dalam Kamus Dewan. Ini menimbulkan banyak kekeliruan dan kesalahan penggunaan kata bahasa Melayu. Faktor kedua, pengaruh media. Memang tidak dapat dinafikan bahawa media elektronik seperti radio dan televisyen, memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa terutamanya kanak-kanak. Melalui radio dan televisyen, mereka mempelajari aspek bahasa seperti sebutan, perbendaharaan kata, intonasi dan sebagainya. Bunyi vokal dan konsonan dalam perkataan perlu dibunyikan dengan betul kerana jika tidak, akan timbul masalah. Di dalam bahasa Melayu banyak perkataan yang akan bertukar maksud jika salah sebutannya. Misalnya tempoh dengan tempuh, dadah dengan dada, marah dengan mara, belot dengan belut, masakan dengan masakkan, mengubah dengan menggubah atau tumbuk dengan tembok. Salah sebutan akan merubah maksud yang ingin disampaikan. Hal ini terjadi terutamanya bagi penutur bukan Melayu. Selain itu, terdapat juga kesalahan pengulangan kata jamak seperti mereka menjadi mereka-mereka atau para penulis menjadi para penulis-penulis. Kesalahan bahasa yang dilakukan oleh media turut menjadi ikutan khususnya bagi mereka yang tidak mendalami tatabahasa. Kadangkala pengguna bahasa Melayu, termasuk pelajar masih meyakini tatabahasa dan ejaan yang digunakan oleh media meskipun salah. Contohnya:
Contoh 16. Van yang mereka naiki telah terbabas.
Contoh 17. Alya melaporkan dari Johor.
Contoh 18. Lain-lain perkara akan dibincangkan kemudian.
Contoh 19.Usaha memperluaskan jalan sedang dijalankan.
Contoh 20. Bagaimanapun ada perkara yang tidak jelas yang mana ramai orang tidak mengetahuinya.
Bagi ayat 16 dianggap tidak menepati struktur ayat pasif kata ganti nama diri ketiga. Kesalahan di dalam ayat 17, Kata kerja transitif hendaklah diikuti oleh objek. Bagi ayat 18 berlaku kesalahan hukum D-M. Bagi ayat 19, berlaku kesalahan kerana penggunaan apitan memper….. kan pada kata adjektif. Ayat 20 yang tertulis pada akhbar Harian Metro 23 Januari , yang mana adalah terjemahan terus which dalam bahasa Inggeris. Pihak media massa sepatutnya lebih prihatin mengelak daripada melakukan kesalahan bahasa. Media perlu memainkan peranan mengetengahkan sesuatu kosa kata baharu dan menggunakan ayat yang betul untuk dimanfaatkan oleh pengguna. Faktor ketiga, pengaruh bahasa lain. Kesalahan bahasa turut berpunca daripada pengaruh bahasa Inggeris. Hal ini berlaku kerana sesetengah anggota masyarakat yang menguasai bahasa Inggeris kadangkala cenderung untuk menggunakan bahasa Melayu menurut peraturan bahasa Inggeris. Sebagai contoh penggunaan di mana (where) dan yang mana (which) sebagai kata hubung dalam ayat begitu meluas seolah-olah diterima dalam bahasa Melayu. Malah golongan intelektual dan individu yang dianggap berpengetahuan dalam bahasa Melayu turut mengamalkan kesalahan tersebut. Demikian juga penggunaan frasa yang tidak mematuhi hukum D-M, misalnya lain-lain hal dan mini maraton. Pengaruh bahasa Inggeris juga sering dicampur aduk dalam bahasa Melayu sedangkan istilah tersebut telah sedia ada dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, ori (asli atau tulen), live (langsung atau terus), breakfast (sarapan), lunch (makan tengah hari) dan dinner (makan malam). Kita bangga jika bangsa Malaysia boleh berbahasa Inggeris tetapi janganlah menggunakan bahasa rojak sesuka hati yang merosakkan imej bahasa kebangsaan. Sesetengah orang pula sukar menyebut sesuatu perkataan berdasarkan sebutan yang diseragamkan, terutamanya bagi perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, masih banyak orang menyebut perkataan tertentu seperti sebutan Inggeris walaupun dieja dalam bahasa Melayu. Misalnya, struktur (structure), aktif (active),dan psikologi (psychology). Amalan demikian akan menjadi ikutan generasi baharu. Kesalahan ejaan pasti berlaku jika salah sebutan. Misalnya, agenda dieja ajenda, unit dieja yunit dan teknologi dieja teknoloji. Penguasaan bahasa Inggeris memang perlu dalam era globalisasi. Namun mengagung-agungkan bahasa Inggeris akan menyukarkan usaha untuk mengatasi masalah kesalahan bahasa yang kerap berlaku. Penggunaan bahasa campuran atau rojak dalam pelbagai situasi termasuklah situasi rasmi menyebabkan kekeliruan. Selain pengaruh bahasa Inggeris, kesalahan bahasa juga sering berlaku akibat pengaruh bahasa Cina dan India. Antara ayat yang sering kita dengar seperti:
Contoh 21. Jangan takut menderma dara (darah).
Contoh 22. Ramai pelajar sekarang yang ditangkap menghisap dada (dadah).
Contoh 23. Jangan mara-mara (marah-marah), nanti cepat tua.
Contoh 24. Saya mahu membeli telo (telur).
Penggunaan kata lain seperti senarai disebut senarai, cendekiawan disebut can-dia-kawan dan pengarah disebut pen-ga-rah. Pada kain rentang dan papan tanda gambar 2,4 dan 5 terdapat kesilapan ejaan seperti salapan (sarapan), negera (nagara) dan memjual (menjual). Kesalahan ejaan sebegini kerap berlaku kerana dieja mengikut bahasa Cina. Campur aduk penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu juga dapat dilihat. Contohnya bagi perkataan tingkat 2 dan floor 2, plumber paip air & tandas dan lori sewa 24 hour dalam gambar 1, 3 dan 6. Faktor keempat, pencemuhan. Pencemuhan menggunakan bahasa kasar dan lucah semakin mendapat tempat terutama dalam kalangan muda-mudi tanpa mengira kaum. Penggunaan bahasa ini sering kedengaran melalui lagu terutama muzik rap. Lagu adalah cabang seni. Penggunaan perkataan lucah bukan sahaja mencemarkan bahasa dan bangsa Melayu tetapi membunuh nilai seni budaya. Apabila berlaku perkara yang tidak diingini, luahan nama Allah sering kedengaran. Bahasa kesat biasanya digunakan untuk meluahkan emosi berang atau ingin bergurau. Kehalusan budaya bangsa akan lenyap jika budaya seperti ini yang dijunjung. Kesedaran terhadap hala tuju bahasa amat penting dan kehadiran unsur tertentu perlu dihindari demi memartabatkan bahasa dan mempertahankan tamadun budaya bangsa Malaysia. Faktor kelima, bahasa slanga. Bahasa slanga adalah kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan cepat berubah. Misalnya bahasa pelajar di universiti dan golongan muda mempunyai slanga tersendiri semasa bertutur dan ada kalanya kita sebagai golongan dewasa tidak memahami apa-apa yang diperkatakan oleh mereka. Penggunaan bahasa slanga atau frasa seperti very fantastic di saluran Astro, jika dibiarkan tanpa teguran akan menjadi sebati dengan bahasa Melayu. Ini akan mengancam bahasa kerana bermula dengan perkataan slanga lama kelamaan diterima oleh semua masyarakat. Contoh lain perkataan gay, sekitar 1960-an digunakan tanpa sebarang masalah. Namun begitu sekarang perkataan itu akan membawa erti yang agak negatif iaitu orang yang homoseksual. Sistem pesanan ringkas (SMS) yang banyak meringkaskan perkataan hakikatnya merosakkan bahasa jika tidak dipantau penggunaannya dan dipraktikkan dalam situasi formal. Perkataan yang digunakan juga sama seperti bahasa slanga yang sering berubah mengikut peredaran zaman. Dahulu kita menggunakan perkataan kekasih, kini pelbagai perkataan baharu digunakan seperti makwe, cewek dan awek. Namun maksudnya masih sama. Ko pula digunakan untuk awak dan gua untuk saya.. Faktor keenam keanekaan latar belakang. Keanekaan latar belakang ialah warisan kita yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan kebudayaan. Ini merupakan keunikan bangsa Malaysia tetapi jika dilihat dari satu sudut yang lain, hal tersebut merupakan masalah dan cabaran untuk memastikan semua bangsa dapat menguasai dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dengan betul. Di peringkat awal iaitu melalui pembelajaran di sekolah dapat dikesan kesalahan berlaku dalam semua bidang kemahiran bahasa dan aspek bahasa. Gangguan bahasa ibunda berlaku kerana penggunaan bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Jawa, bahasa Inggeris dan lain-lain sejak kecil. Gangguan sistem bunyi bahasa ibunda mereka boleh menyebabkan kesukaran dalam aspek sebutan dan intonasi bahasa Melayu yang dipelajari sebagai bahasa kedua. Masalah ini pernah dibicarakan oleh Jack C Richards (1980) sebagai “masalah antara bahasa” atau interlanguage problems. Bagi kaum Cina, masalah sebutan dan intonasi berlaku apabila bertutur dalam bahasa Melayu. Masalah ini boleh didengar di kelas, kedai, di pasar atau 288 melalui media elektronik seperti radio atau televisyen. Yang berikut adalah sebahagian contoh kesalahan sebutan yang kerap dilakukan oleh penutur Cina.
BIL PERKATAAN BAHASA MELAYU SEBUTAN SALAH
1. Banyak Manyak
2. Cakap Ciakap
3. Dahulu Lulu
4. Duit Luit
5. Dengan Degan
6. Lebih Lebeh
7. Sudah Suda
8. Semua Suma
9. Sedang Sidang
10. Zaman J aman
Kesalahan penutur kaum India akibat pengaruh bahasa ibunda agak berbeza dengan kaum Cina. Contoh-contoh di bawah adalah antara kesalahan sebutan yang biasa dituturkan oleh bangsa Malaysia berketurunan Cina dan India. Namun tidak dinafikan, sistem pendidikan mampu mengubah fenomena ini dan ramai di kalangan bangsa lain di negara ini mampu bertutur bahasa Melayu dengan lancar dan betul.
BIL PERKATAAN BAHASA MELAYU SEBUTAN SALAH
1. Apa Appa
2. Boleh Bole
3. Darah Dara
4. Enam Annam
5. Getah Keta 6
. Hisap Isap
7. Murah Mura
8. Puluh Pulu
9. Pergi Pigi
10. Sendiri Sindri
Selain aspek sebutan, aspek intonasi juga merupakan masalah kerana dilagukan mengikut intonasi bahasa ibunda Cina dan India. D.A.Wilkins (1981:24) menegaskan bahawa: Peranan guru amat penting sebagai ejen pengajar yang paling berpengaruh dan merupakan model atau sumber teladan yang akan ditiru oleh murid-murid. Guru bahasa Melayu terutamanya tidak boleh bersikap seperti ketam dan menyuruh murid-muridnya berjalan betul, sedangkan guru sendiri berjalan senget. Sekiranya guru bahasa Melayu sendiri menghadapi masalah ketika bertutur atau mengajar, mereka perlu mengatasinya dengan segera. Faktor ketujuh, kurang pengetahuan bahasa Melayu. Faktor ini jika dinilai terjadi kepada semua bangsa Malaysia. Kurangnya pemahaman bahasa Melayu menyebabkan banyak kesalahan bahasa yang dilakukan. Salah satu kesalahan yang berlaku adalah penggunaan kata tunjuk itu dan ini. Menurut Prof. Slametmuljana, dalam percakapan bahasa yang kurang teratur, kata tunjuk ditempatkan di depan kata yang ditunjuk seperti:
Contoh 25. Ini kereta Honda City.
Contoh 26. Itu hari saya sudah pulang ke kampung.
Penggunaan kata tunjuk seperti contoh ayat 25 dan 26 adalah seperti ayat berunsur bahasa basahan dan kolokial. Dalam aspek penulisan, amalan kelewahan amat jelas. “Leweh” menurut Kamus Dewan 2004 bermakna terlalu banyak hingga berlimpah-limpah. Dalam konteks bahasa, amalan kelewahan dapat diertikan sebagai penggunaan kata, frasa ataupun ungkapan secara berlebihan dalam penulisan dan jika digunakan tidak menambah maksud, malah merosakkan kelancaran dan kepersisan sesuatu ayat. Selain itu. penggunaannya tidak pula menjadikan bahasa itu indah ataupun melancarkan proses komunikasi. Kelewahan juga terjadi kerana pengguna bahasa tidak tahu atau tidak berfikir dahulu ketika hendak menggunakan bahasa.
Contoh 27. Hadiah percuma itu diberi kepada semua peserta.
Contoh 28. Nelayan yang menangkap ikan telah ditangkap kerana memasuki perairan negara jiran.
Penggunaan kata hadiah tidak perlu diikuti dengan kata percuma kerana sesuatu hadiah adalah percuma. Dalam ayat 28 pula, penggunaan kata nelayan cukup menjelaskan tugas menangkap ikan. Jadi ungkapan yang menangkap ikan tidak diperlukan dan dianggap kelewahan dan mubazir. Contoh lain penggunaan frasa pada masa ini (kini), penghuni yang tinggal di (penghuni) dan sekolah tempat kami belajar (sekolah kami). Frasa yang ditulis panjang hanya perlu ditulis seperti di dalam kurungan supaya menjadi ayat yang tepat. Dalam hal kelewahan, Yeop Johari Yaakob (1987) menggolongkan ulangan kata sebelum penanda jamak sebagai amalan mubazir. Umpamanya, semua pegawai-pegawai, sebilangan besar kakitangan-kakitangan kerajaan dan pokok-pokok itu tinggi-tinggi belaka, ditakrifkan sebagai mubazir. Amalan ini dikelaskan sebagai kesalahan bahasa yang harus diberhentikan oleh pengguna bahasa Melayu demi kebakuan dan ketulenan bahasa Melayu. Selain itu kelewahan lain seperti menjamakkan kata bilangan seperti banyak kereta-kereta sepatutnya banyak kereta atau kereta-kereta. Kelewahan imbuhan adjektif memper….. –kan dan diper ….;kan berlaku kerana kecenderungan untuk menggandingkan kedua-dua imbuhan dengan kata dasar yang terdiri daripada kata adjektif seperti memperkemaskan sepatutnya memperkemas atau mengemaskan dan dipertingkatkan sepatutnya dipertingkatkan atau ditingkatkan. Kelewahan apitan memper….-i, mengikut Tatabahasa Dewan edisi baharu hanya ada empat bentuk sahaja yang wajar iaitu memperingati, memperkawani, memperisteri dan mempersuami. Bentuk memperisteri dan mempersuami sebenarnya mengalami pengguguran i kerana sebenarnya berbentuk memperisterii dan mempersuamii. Faktor usia juga menjadi salah satu sebab berlakunya kesalahan bahasa. Kurangnya pemahaman yang sudah menjadi kebiasaan menyebabkan golongan ini kekok mengubah sesuatu yang telah sebati. Komunikasi mereka terganggu sekiranya mencuba untuk menggunakan bahasa baharu yang betul tetapi dianggap asing. Masalahnya, kesalahan bahasa yang digunakan ini akan menjadi ikutan orang lain yang mendengarnya. Kesalahan bahasa yang agak luas penggunaannya akan berterusan. Malah sesetengah pelajar menyedari kesalahan tersebut, tetapi masih melakukannya kerana terpengaruh oleh penggunaan bentuk lazim orang tua mereka. Antara contoh kesalahan bahasa termasuklah yang berikut:
i. Ramai murid-murid sekolah……………
ii. Semua pekerja-pekerja kilang……………..
iii. Di saat-saat akhir ………….
iv. Kedua ibu bapa……………..
v. Demi untuk negara……………..
vi. Senarai nama-nama calon
vii. …………….……dari masa ke semasa……………..
vii …..adalah merupakan…………….
Semua pihak tidak menyangkal kepentingan tatabahasa dan sistem ejaan sesuatu bahasa, tetapi penguasaan bahasa Melayu di negara ini masih kurang memuaskan. Jika dilihat dengan teliti aspek tatabahasa bahasa Melayu memang sukar dikuasai dan perlu dipelajari oleh semua lapisan masyarakat. Faktor kelapan, laras iklan. Iklan berfungsi untuk mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan kepada pengguna. Penguasaan bahasa merupakan komponen penting dalam sesebuah iklan kerana tanpa bahasa sesebuah iklan tidak mungkin terhasil. Penggunaan bahasa dalam iklan memberi pengaruh yang besar kepada pengguna dan sebagai pengguna kita sepatutnya berupaya memahami tugas penulis iklan di ruangan sempit. Contohnya slogan “ sehingga menjilat jari”. Umum mengetahui slogan tersebut digunakan oleh ‘Kentucky Fried Chicken” sebagai usaha melariskan jualan. Penghargaan seharusnya diberi kepada penulis yang kreatif dan berusaha menggunakan bahasa Melayu. Gaya penulisan iklan menitikberatkan bahasa yang betul dan gramatis. Namun ramai penulis yang gagal memastikan ayat yang ditulis betul tatabahasanya. Salah guna bahasa iklan berlaku kononnya untuk menyesuaikan bahasa yang digunakan masyarakat semasa bertutur iaitu mengikut kesesuaian taburan demografinya. Contohnya menyerapkan bahasa slanga golongan remaja dalam iklan. Bahasa Melayu standard dan formal dianggap kaku dan ini berbeza dengan kehendak DBP. Iklan bertujuan untuk memudahkan pemahaman dan ayat yang tergantung dalam iklan hanyalah taktik untuk menarik perhatian masyarakat. DBP sepatutnya dapat bekerjasama dengan pihak pengiklanan untuk memastikan bukan sahaja keuntungan yang terhasil tetapi juga dapat memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang pengiklanan.
Cara Mengatasi Masalah Kesalahan Bahasa
Dalam usaha mempercepat penguasaan bahasa Melayu di kalangan bangsa Malaysia, Kementerian Pelajaran harus melentur buluh dari rebungnya dengan memperkasakan sekolah kebangsaan di negara ini. Cara ini dapat menggalakkan ibu bapa agar menghantar anak masing-masing ke sekolah kebangsaan untuk memantapkan penguasaan bahasa dan seterusnya mewujudkan integrasi antara murid daripada pelbagai kaum. Di dalam dunia pekerjaan dan dunia sosial, kemahiran berbahasa menentukan kejayaan seseorang. Sekeping ijazah tidak bernilai tanpa kecekapan berbahasa. Profesion perguruan berperanan mengajar bahasa khususnya aspek sebutan dan ejaan yang saling berkait dengan betul. Aspek kesantunan berbahasa harus diterapkan. Amalan dan nilai budi bahasa perlu dikekalkan walaupun terdapat pengaruh barat.
Yang merah itu saga,
Yang kurik itu kendi;
Yang indah itu bahasa,
Yang elok itu budi
Orang berbudi, kita berbahasa,
Orang memberi, kita merasa.
Corak pembelajaran ilmu sebagai proses menghafal untuk mengambil peperiksaan perlu diubah. Sebaliknya dilaksanakan sebagai proses memahami apa yang dipelajari. Seseorang yang faham dalam bahasa akan dapat menggunakan bahasa dengan baik, tersusun dan lengkap. Pelajar khususnya diberi peluang mengungkap ilmu yang diterima dan menggunakan bahasa sebagai saluran pernyataan buah fikiran dan ilmu pengetahuan melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Pihak media massa dan dunia pengiklanan harus lebih prihatin dan memberi penekanan kepada penggunaan bahasa Melayu yang betul. Pakar-pakar sosiobudaya pula perlu membuat kajian menstandardisasikan aspek budaya selaras dengan perkembangan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sekarang. Ungkapan “bahasa jiwa bangsa” dan “bahasa menunjukkan bangsa”, menunjukkan hubungan erat di antara bahasa dengan kebudayaan dan tingkah laku bangsa Malaysia. Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu tidak perlu diragui. Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional pada bila-bila masa pasti boleh diminta pandangan tentang sesuatu isu bahasa. GAPENA pernah mengeluarkan penyataan cadangan agar bahasa Melayu wajib diambil oleh pelajar sebagai syarat memasuki institusi pengajian tinggi awam. Sebagaimana syarat yang ditetapkan untuk bahasa Inggeris melalui Malaysian University English Test. Sebagai rakyat, kita seharusnya menyokong usaha pejuang bahasa untuk mempertahankan kedaulatan bahasa. Kesalahan bahasa dapat dikurangkan dan dihapuskan jika mendapat kerjasama semua pihak. Perancang bahasa perlu memperbaiki atau merancang unsur-unsur bahasa untuk meningkatkan keefisienan, mengurangkan sebarang perbezaan yang menghalang fungsi bahasa sebagai bahasa kebangsaan . Sistem ejaan perlu diperbaiki dan menstandardkan sebutan kata-kata pinjaman. Proses penciptaan istilah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka harus diteruskan untuk membolehkan pengungkapan konsep-konsep teknikal dan sains dilakukan. Usaha DBP amat jelas dengan penghasilan buku panduan tatabahasa seperti buku Tatabahasa Dewan. Penghasilan buku ini diharap dapat membantu memperbaiki penggunaan tatabahasa di kalangan pengguna bahasa Melayu. DBP juga melakukan penyelaras bentuk ejaan melalui sidang yang dianggotai oleh negara seperti Indonesia dan Brunei. Kesalahan penggunaan bahasa sebenarnya hanya akan selesai jika masyarakat dapat menerima hakikat bahasa Melayu adalah bahasa Malaysia iaitu bahasa kepunyaan semua warganegara yang menjadi cerminan bangsa Malaysia. Tanpa keinginan dan kesungguhan yang luhur selari dengan dasar perlembagaan segala usaha tidak akan berhasil.
KESIMPULAN
Hasil perbincangan dapat dirumuskan bahawa kesalahan bahasa di kalangan bangsa Malaysia memang tidak dapat disangkal. Semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus menerima hakikat kesilapan bahasa berlaku kerana kesilapan bangsa Malaysia sendiri yang kurang menghargai dan menghayati konsep satu bangsa satu bahasa. Kesalahan bahasa tidak sepatutnya berlaku kerana bahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai bahasa Kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1968, Akta Pelajaran 1961 dan 1996. Semua bangsa Malaysia sepatutnya perlu mempelajari, menguasai dan menggunakan bahasa Melayu dengan lancar dan betul jika mereka benar-benar bangsa Malaysia. Langkah kerajaan mendaulatkan bahasa Melayu diharap dapat memastikan bahasa Melayu digunakan secara meluas oleh bangsa Malaysiaseterusnya dapat mengurangkan kesalahan bahasa dalam pertuturan dan penulisan. Antara langkah yang diambil termasuklah:
I. Mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam segala bentuk urusan rasmi.
II. Mewajibkan bahasa Melayu dijadikan bahasa Penghantar di semua sekolah kebangsaan dan institusi pengajian tinggi awam.
III. Menyeru pihak swasta menggunakan bahasa Melayu sewaktu berurusan dengan pelanggan. Selain itu, sebarang borang bahasa Inggeris disertakan terjemahan bahasa Melayu.
IV. Iklan perniagaan mesti menggunakan bahasa kebangsaan.
V. Para pemimpin kerajaan pelbagai kaum diwajibkan menyampaikan ucapan dalam bahasa Kebangsaan dalam majlis yang melibatkan warga tempatan.
Kegemilangan bahasa Melayu mesti dikembalikan seperti kedudukan bahasa Melayu zaman lampau, seperti yang pernah diterangkan oleh William Marsdern. Menurutnya, “bahasa Melayu yang dianggap berasal dari semenanjung Tanah Melayu telah berkembang melalui kepulauan-kepulauan timur dan menjadi lingua franca di dunia bahagian tersebut, dituturkan di mana-mana di sepanjang pantai Sumatera dan digunakan tanpa campuran apa-apa di negara kepulauan Minangkabau dan tanah jajahannya dan difahami ke setiap bahagian pulau”. Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk hanya dapat disatukan melalui bahasa. Hasrat ini tercatat dalam Perlembagaan. Yang menjadi penghalang dan menimbulkan masalah kesalahan penggunaan bahasa hanyalah sikap masyarakat yang mengetepikan bahasa Melayu. Segala usaha telah dilakukan untuk mengurangkan kesalahan penggunaan bahasa. Faktor yang menjadi penyebab kesalahan bahasa seperti faktor dialek, faktor media, faktor bahasa slanga dan faktor kurang pemahaman dapat diatasi jika seseorang itu berusaha untuk mengubahnya. Langkah mengatasi masalah kesalahan bahasa hanya dendangan kosong jika bangsa Malaysia tidak mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa sendiri. Malah usaha mengangkat bahasa Melayu melalui Hari Pejuang Bahasa disambut julung-julung kalinya pada 15 Februari 2010 bertukar menjadi medan melontarkan kritikan pedas kepada golongan yang menganggap bahasa Melayu adalah bahasa kolot yang menyekat pembangunan. Kritikan daripada ahli panel seperti Datuk Dr Hassan Ahmad, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan dan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah di Dewan Bahasa dan Pustaka membuktikan ramai bangsa Malaysia tidak menghargai bahasa sendiri iaitu bahasa Melayu.
BIBLIOGRAFI
Abd Aziz Abd Talib. (2000). Pedagogi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Abdullah Hassan. (1987). Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hassan, Hasnah Ibrahim & Mashudi Kader. (1987).
Kesalahan Bahasa Dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Noor & Muhammad Azaham. (2000). Takkan Melayu Hilang Di Dunia. Kelana Jaya: Pelanduk Publications.
Mhd. Amin Arshad. (2000). Bahasa Slanga: Pembentukan dan Ciri-cirinya. Selangor: Jabatan Bahasa Melayu.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa & Abdul
Hamid Mahmood. (2004). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Noor Azilawati Mohd Sabda. (2007). Integrasi Dalam Pembinaan Bangsa. Melaka:Associated Educational Distributors (M) Sdn Bhd.
Raja Mukhtaruddin bin Raja Mohd Dain. (1985). Konsep Melayu, Agama, Budaya dan Bahasa. Petaling Jaya: Agensi Penerbitan Nusantara.
S. Nathesan. (1995). Beberapa Persoalan Penggunaan Bahasa Melayu Dan Penyelesaiannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
S. Nathesan. (1995). Makna Dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zanaria Syukor. (2006). Perpaduan Masyarakat Berbilang Kaum. Subang Jaya Selangor: Penerbit Pinang Sdn Bhd.
KELAB BADMINTON SMKP PRESINT 9[1]
KEJOHANAN TERTUTUP BADMINTON SMK PUTRAJAYA PRESINT 9[1]
BORANG PENYERTAAN
TEMPAT ; DEWAN SMKP PRESINT 9[1]
YURAN PENDAFTARAN ; BERGU –RM 10.00
ACARA; LELAKI DAN PEREMPUAN [15 DAN 18 TAHUN]
**SEMUA PELAJAR SMKPP9[1],BOLEH MENYERTAI PERTANDINGAN TERTUTUP KECUALI TINGKATAN 5]
BIL NAMA TING L/P BAYARAN
1.
2.
SYARAT-SYARAT DAN PERATURAN PERTANDINGAN
1.Kejohanan ini untuk pelajar SMKPP9[1]
2.Hadiah akan diberikan kepada Johan dan Naib Johan serta sagu hati[tempat ke-3 dan ke-4]
3.Dalam pusingan awal, kiraan 30 mata akan digunakan. Mulai pusingan separuh akhir ,kiraan 21 mata akan digunakan.
4.Pemain-pemain dikehendaki melaporkan diri 30 minit sebelum perlawanan dimulakan.
5.Borang penyertaan mesti disertakan bersama bayaran wang tunai kepada Cikgu Rozali.[bayar di sekolah]
6.Borang penyertaan perlu dilengkapkan dan email kepada lizaro08@yahoo.com
MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA.

PENGALAMAN DI BUKIT BROGA,SEMENYIH.

Sudah lama diri ini mencari sedikit masa untuk menikmati keindahan ciptaan Allah yang terbentang luas,namun halangan-halangan itu tetap menjelma.Tarikh 28/5/12,hari isnin ,7 rejab,merupakan tarikh yang cukup terpahat di hati ini selama-lamanya.Saya,Ustad al-Sidiq Izudin,Ustad Taufik dan Ustad [dah lupa nama] janji dimenterai untuk dipertemukan pada jam 5 pagi disebuah rumah berwarna kuning di desa putra.Deruan motor ustad-ustad,memecah kesunyian pagi.Bunyi katak dan cengkerik tidak kedengaran.Mungkin takut dengan ustad.
Setelah berkumpul,motor ditinggalkan di banglo kuning,toyota rush menjadi mangsa kembara malam. Pada malam itu,perjalanan begitu sunyi,tiada kenderaan.Cukup gelap.Jalan berliku-liku,menambahkan keinginan untuk pendakian.Dalam kegelapan malam,jalan berliku-liku kedengaran azan subuh berkumandang.Kenderaan belok ke masjid[ berhampiran pekan Semenyih] ,untuk mengerjakan solat dan berdoa kepada Allah semoga perjalanan dan pendakian berjalan lancar.Selesai sahaja solat, toyota rush berderum ke arah Bukit Broga.Toyota rush masuk ke ladang kelapa sawit untuk berehat kerana sudah lama menjalankan tugas terhadap tuannya.Rupa-rupanya, sudah ramai yang memulakan pendakian walaupun jam baru 6.30 pagi. Kami memulakan pendakian dengan penuh bersemangat.Dua orang ustad, telah ke depan.Mereka cukup pantas dan berhati waja. Saya dan ustad Izudin berada di belakang.Mula-mulanya,ustad tidak mahu meneruskan pendakian,namun kata-kata semangat orang lama,ustad terus mendaki hinggalah tercapai hajatnya. Di puncak Bukit Broga,angin bertiup perlahan untuk menyambut kehadiran kami.Seketika di puncak,kami melihat keindahan alam ciptaan Allah.Cukup tenang dan menakjubkan...matahari terbit mencantikan pemandangan pada itu.Kami berehat........sebelum kami meninggalkan Bukit Broga. FOTO-FOTO SEMASA BERADA DI BUKIT BROGA.
KUINGIN MENDAKI LAGI UNTUK MENIKMATI KEINDAHAN ALLAH,KALAU BOLEH BERSAMA ANAK-ANAK MURIDKU DAN KITA BOLEH MENGAJAR BM DI PUNCAK BUKIT BROGA...PECAH REKOD!!! ANAK-ANAK MURIDKU YANG INGIN BERSAMA, SILA MAKLUM KEPADA CIKGU.

Tuesday, 29 May 2012

PERANAN MEDIA MASSA DALAM MEMPERKASAKAN BAHASA DAN BUDAYA MELAYU DALAM KONTEKS NEGARA BANGSA-Haris Fadilah Ahmad[diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Peranan media massa dalam membangunkan negara dan jati diri bangsa Melayu sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Ia boleh dilihat sejak era sebelum kemerdekaan lagi di mana semangat nasionalisme ditiup oleh media massa khasnya akhbar berbahasa Melayu untuk membangkitkan semangat menentang penjajah. Bermula dari era tersebut media massa memainkan peranannya yang terbaik dalam membantu kerajaan untuk membangunkan negara ini di atas fungsinya sebagai pemerhati, penghubung, pentafsir dan penghibur. Sehubungan itu, kertas kerja ini adalah untuk menjelaskan peranan media massa di negara ini dalam usaha memartabatkan budaya dan bahasa Melayu. Di samping itu, kertas kerja ini juga akan membincangkan masalah penggunaan bahasa termasuk kesalahan tatabahasa dalam kalangan pengamal media yang membantutkan usaha kerajaan memantapkan penggunaan bahasa Melayu menerusi saluran berkenaan. Dalam usaha merealisasikan impian agar bahasa Melayu mencapai taraf sebagai bahasa maju dan mantap pada persada antarabangsa serta cabaran era globalisasi, maka pihak pengamal media seharusnya bertanggungjawab dalam kerangka memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia setanding dengan bahasa Inggeris. Selain daripada itu, kita juga seharusnya memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu bagi pembentukan jati diri orang Melayu sehingga boleh bertahan sepanjang zaman..
PENGENALAN
Penubuhan akhbar Utusan Melayu (UM) oleh pemimpin-pemimpin Melayu pada era sebelum kemerdekaan khas untuk menjadi penghubung, pentafsir dan pemerhati di antara golongan nasionalis dengan rakyat. Ketika rakyat menghadapi saat-saat genting itu, UM ini juga memaparkan cerita ringan seperti ulasan filem dan pelakon sebagai hiburan untuk menenangkan rakyat. Setelah mencapai kemerdekaan, zaman mula berubah dan penekanan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, iaitu untuk membangunkan negara ini. Di sini peranan media massa seperti UM sekali lagi diperlukan. Agenda-agenda pembangunan disalurkan melalui media massa bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang jelas. Media digerakkan sepenuhnya umpamanya Radio Televisyen Malaysia (RTM) menubuhkan Bahagian Pembangunan dan Pertanian pada tahun 1948, khususnya untuk mewujudkan kesedaran kepada rakyat tentang pembangunan. Ketika negara sedang rancak membangun, secara tiba-tiba ia terhenti seketika apabila tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 yang membabitkan rusuhan kaum. Senario itu menyebabkan rakyat hidup dalam keadaan yang tegang dan memerlukan kerajaan bertindak dengan segera. Peranan media sekali lagi diperlukan untuk memberikan tafsiran dasar kerajaan kepada rakyat selepas Perdana Menteri ketika Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengurangkan jurang antara kaum bagi mengelakkan berlakunya pertumpahan darah berulang semula. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan Perikatan yang kemudiannya menjadi kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Ketegasan ini telah mendorongkan pihak swasta mematuhi DBK dan DPK. Pada tahun 1971 kerajaan telah mengadakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Salah satu konsep kebudayaan kebangsaan ialah:
``Kebudayaan Kebangsaan Malaysia haruslah berasaskan kebudayaan asli rakyat rantau ini’’
Kebudayaan asli rakyat rantau ini semestinya meliputi bahasa Melayu. Selain daripada soal bahasa, pendidikan dan kebudayaan. Kebanyakan rakyat Malaysia juga telah menerima Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan harapan ia akan menyumbang ke arah perpaduan kebangsaan. Pada tahun 1970-an telah terbayang kemungkinan munculnya bangsa Malaysia. Bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara telah memainkan peranannya. Dalam pada itu juga sejajar dengan Dasar Pendidikan Negara, peranan media massa juga dituntut membantu kerajaan untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Hal ini kerana bahan bacaan, iaitu akhbar dan majalah menjadi penting sebagai bahan rujukan pengetahuan dalam kalangan pelajar. Apatah lagi, peranan media massa juga amat penting menggunakan bahasa Melayu sebagai wadah mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini. Sejak daripada itu peranan media menjadi semakin penting dalam pembangunan negara bagi menyampaikan maklumat dan menyedarkan rakyat supaya bekerjasama dengan kerajaan. Oleh yang demikian, hubungan di antara media dan kerajaan di negara ini amat rapat maka tidak hairan jika kita melihat akhbar terkenal di negara ini seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan The Star di sebaliknya dikuasai oleh parti pemerintah. Biarpun dimiliki oleh parti seperti UMNO dan MCA, media cetak masih bebas untuk menjalankan fungsinya sebagai pemerhati dalam setiap agenda pembangunan yang dilakukan. Misalnya, pada tahun 2009, Utusan Malaysia antara media yang menyuntik sikap kesedaran pembaca agar mendesak kerajaan supaya menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik. Dengan kata lain, peranan akhbar perdana itu untuk mengangkatkan kembali martabat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Utusan Melayu (UM) terus melaporkan tindakan pemikir Melayu dan golongan penulis agar kerajaan menamatkan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik berasaskan bahasa Inggeris (PPSMI). Laporan berbentuk desakan dan cadangan pemikir berkenaan berhasil menyedarkan kuasa politik untuk menamatkan PPSMI pada tahun 2012. Justeru itu, dalam kehidupan masyarakat yang sentiasa mengejar arus pembangunan, media massa memainkan peranan yang cukup penting untuk merealisasikan impian masyarakat ke arah kehidupan yang lebih moden dan sejajar dengan Wawasan 2020. Media massa dikatakan mampu mendidik rakyat serta mampu menentukan arah kehidupan masyarakat Malaysia. Sebagaimana yang telah diketahui, media massa merupakan penyebar saluran maklumat yang utama di Malaysia. Kepentingannya sebagai saluran maklumat yang unggul terbukti dengan wujudnya ‘Teknologi Maklumat dan Komunikasi’’ (ICT). Internet digunakan dengan meluas kerana kebolehannya memberikan maklumat yang cepat dan padat walaupun maklumat itu belum lagi dipastikan kesahihannya. Selain itu, maklumat juga dapat diperoleh menerusi cabang-cabang media massa yang lain seperti televisyen, radio, akhbar, majalah dan sebagainya. Bertitik tolak dari situlah, media massa mampu meningkatkan taraf sosial seseorang individu melalui penerimaan maklumat terkini dan penggunaan peralatan moden dan terkini. Justeru itu, media massa dapat menentukan arah kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih tinggi dan pemodenan negara dapat dilaksanakan. Justeru, kajian ini akan membincangkan peranan dan fungsi media melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai memenuhi hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai lingua franca di negara ini dalam konteks negara bangsa dalam cabaran era globalisasi. Sehubungan itu, kajian ini akan membincangkan kesalahan penggunaan bahasa dalam kalangan pengamal media perdana di negara ini yang menyebabkan adanya wujud perbezaan penggunaan perkataan dan ayat-ayat sehingga menimbulkan kecelaruan pembaca. Hal ini menimbulkan kesan terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pembaca khususnya pelajar. Perbincangan ini juga akan melihat kesan-kesan kepada khalayak pembaca yang menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan harian dan pembelajaran di sekolah. Kajian ini juga akan memusatkan saranan kepada pengamal media untuk mengembalikan penggunaan bahasa Melayu di landasan yang betul menerusi pelbagai genre penulisan agar boleh dimanfaatkan oleh pembaca. Akhir sekali, kajian ini juga akan menjuruskan kepada peranan kuasa politik dan dasar kerajaan termasuk swasta kembali menguatkuasakan peraturan dan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan untuk mengukuhkan jati diri bangsa Melayu. Dalam kajian ini, beberapa pembatasan dibuat iaitu kelemahan penggunaan tatabahasa dalam kalangan pengamal media massa di negara ini dan kesannya terhadap orang ramai serta implikasi terhadap pembentukan negara bangsa. Fokus utama kajian ini ialah menjelaskan fungsi media massa dan konsep negara bangsa. Di samping itu, kajian ini turut menjelaskan langkah atau cadangan bagaimana bahasa Melayu boleh dimantapkan oleh pengamal media dalam kerangka merealisasikan pembentukan negara bangsa Malaysia.
Definisi Komunikasi Massa
Menurut Kamus Dewan, komunikasi bermaksud perhubungan secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, televisyen, telefon dan lain-lain lagi manakala komunikasi massa bererti komunikasi atau perhubungan dengan atau yang sampai kepada orang ramai amnya. Manakala, menurut Wikipedia, komunikasi adalah satu proses untuk menyampaikan maklumat dari seseorang kepada individu lain dan ramai sarjana komunikasi memperakui definisi tersebut dan Model Lasswell ‘siapa berkata apa kepada siapa melalui saluran mana dengan kesan apa’. Istilah “komunikasi” atau “communication” sebenarnya berasal dari Bahasa Latin iaitu “communicatus” yang bererti “berbagi” atau “menjadi milik bersama”. Komunikasi menurut kamus bahasa pula ialah mengacu pada suatu upaya yang bertujuan untuk mencapai kesepakatan. Berelson & Steiner mentafsirkan komunikasi sebagai suatu proses penyampaian informasi, gagasan, emosi, keahlian dan lain-lain melalui penggunaan simbol-simbol seperti kata-kata,gambar,angka-angka dan lain-lain. Komunikasi massa boleh ditafsirkan ialah proses penyampaian maklumat kepada massa iaitu kumpulan yang lebih besar agar maklumat tersebut dapat dikongsi secara bersama di antara sumber dan penerima.
Fungsi Media Massa
Media massa mempunyai fungsinya yang tersendiri biar apa pun pentafsiran yang diberikan terhadap sesuatu media. Lazimnya setiap media tersebut mempunyai sasaran khalayaknya yang tersendiri dan oleh itu fungsi yang dimainkannya agak berbeza malah kadang kala ada yang melihatnya dari perspektif yang negatif. Sebagai contoh, majalah hiburan seperti URTV dan Hai, ia memaparkan kehidupan seharian artis dan ada di antara gambar yang disiarkannya agak keterlaluan. Bagi mereka yang gemarkan media berkenaan akan menganggapnya sebagai hiburan biasa tetapi bagi golongan tertentu mereka melihatnya dari perspektif yang berbeza dan menganggapnya sebagai keterlaluan serta lari dari budaya dan hukum agama sendiri. Secara amnya, para sarjana komunikasi bersetuju bahawa media massa mempunyai empat peranan utama iaitu pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur. Keempat-empat peranan ini boleh dilihat dengan jelas berdasarkan sasaran setiap media terbabit dan pengisiannya, adakah ia memberikan manfaat kepada khalayak. Pun begitu setiap fungsi terbabit mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Khalayak sewajarnya dapat menilai di antara baik dan buruk suatu media bagi memastikan mereka memperoleh maklumat yang sebenarnya. Seperti apa yang dikatakan oleh John R Wenburg dan William Wilmot, ‘komunikasi adalah suatu usaha untuk memperoleh makna’. Ia juga sejajar dengan Donald Byker dan Loren J. Anderson yang mentafsirkan komunikasi adalah satu proses perkongsian maklumat antara dua individu atau lebih.
Konsep Budaya dan Bahasa
Para pengkaji bahasa dan budaya bersependapat dalam menyatakan bahasa dan budaya itu tidak boleh dipisahkan. Bahasa itu merupakan lambang-lambang dalam budaya, dan pembinaan bahasa itu sangat dipengaruhi budaya. Dengan perkataan lain boleh dikatakan bahasa itu menyatakan budaya bagi sesuatu masyarakat. Dan seterusnya bahasa itu juga yang menjadi lambang jati diri bagi sesuatu masyarakat atau bangsa itu. Bahasa Jiwa Bangsa. Bahasa dalam konteks budaya memperlihatkan hubungan penggunaan bahasa dan tingkah laku terhadap bahasa dalam rangkaian sosiobudaya. Pengkaji kemanusiaan melihat peranan bahasa dalam proses kreativiti kesusasteraan sebagai medium melahirkan dan membentuk diri. Menurut Theodorson dan Theodorson (1983) menyatakan budaya merupakan cara hidup sesuatu kelompok atau kumpulan sosial, iaitu seluruh persekitaran yang dibina oleh manusia termasuk hasil kehidupan kumpulan atau kelompok yang dibahagikan kepada budaya kebendaan. Manakala, Edward B. Taylor (1983) menjelaskan kebudayaan juga dikatakan keseluruhan kompleks yang mengandung pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat resam, dan kebolehan lain serta perlakuan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Bahasa sebagai unsur budaya diperkuatkan menerusi hipotesis Sapir-Whorf yang menyatakan struktur bahasa yang dituturkan memberikan kesan kepada bagaimana kita membuat tanggapan tentang dunia di sekeliling kita. Jelaslah tanggapan atau fikiran serta tindakan seseorang bergantung kepada struktur kosa kata bahasanya, iaitu alat yang digunakannya untuk berfikir dan menanggapi sesuatu. Menurut Puteri Roslina Abdul Wahid (2005), bahasa ialah cermin budaya, penghubung dengan masa silam, dan penjelmaan keseluruhannya yang dikatakan manusia insani. Hal ini melahirkan motivasi untuk menganalisis bahasa. Bahasa merupakan ciri utama bagi medium pertukaran budaya yang mencerminkan dan mempengaruhi kewujudan sosial. Oleh itu, usaha mempelajari bahasa dan konteks sosialnya akan memberikan pemahaman yang lebih tentang masyarakat itu sendiri. Yang dimaksudkan dengan masyarakat bahasa ialah masyarakat yang didasarkan kepada penggunaan bahasa tertentu. Jadi yang menjadi ukuran untuk menunjukkan kepada masyarakat ialah bahasa yang digunakan oleh anggota masyarakat dalam kehidupan mereka (Khaidir Anwar, 1984). Struktur dan bentuk masyarakat akan mempengaruhi penggunaan bahasa sama ada masyarakat yang berdwibahasa, multibahasa dan mono bahasa. Bahasa mempunyai banyak fungsi dalam perkembangan budaya berdasarkan keperluan semasa. Hartmann dan Stork (1976) mengatakan bahawa bahasa digunakan untuk menggambarkan sesuatu (fungsi representasi), untuk menyampaikan maklumat antara anggota masyarakat (komunikatif), untuk menjadi pendengar penyambut (fungsi apelatif), untuk menyatakan dan mengujarkan perasaan (fungsi ekspresif) atau memberikan penaakulan intelektual (fungsi kognitif). Seorang tokoh bahasa, P.W.J Nababan (1984) yang menyenaraikan empat fungsi bahasa, iaitu fungsi kebudayaan, fungsi kemasyarakatan, fungsi perseorangan, dan fungsi pendidikan. Dari segi fungsi kebudayaan, bahasa merupakan sarana untuk mengembangkan sesuatu kebudayaan atau ciri (trait) sesuatu budaya bangsa yang dapat dikembangkan, disebarluaskan dan dibiakkan. Bahasa merupakan alat untuk melestarikan budaya dari satu tahap ke satu tahap yang lain. Selain itu, bahasa juga merupakan penginventori ciri budaya. Bahasa itu bukan sahaja sebagai alat komunikasi yang penting dalam kehidupan manusia, malahan bahasa itu juga yang menjadi alat bagi manusia berfikir. Pemikiran manusia dibatasi penguasaan bahasanya. Begitu juga seseorang itu membina impian berasaskan kemampuannya dalam pengalaman berbahasa. Oleh itu, fungsi pendidikan pula dilihat dari segi budayanya ialah penggunaan bahasa untuk mengenali dan menghargai sesuatu sistem nilai dan cara hidup atau budaya sesebuah masyarakat. Aziz Deraman (2004), menyatakan budaya sebagai hasil kreativiti akal atau mental manusia tidak mungkin dapat dikembangkan, baik pada peringkat konsep apabila munculnya sesuatu idea ataupun pada peringkat penyebarannya kepada masyarakat. Hal ini adalah kerana sesuatu konsep yang berkaitan dengan budaya dirumuskan oleh akal dengan menggunakan bahasa. Penguasaan bahasa itu dapat dilakukan dengan amat berkesan apabila kita dapat memahami budaya bagi bahasa itu. Dalam memahami konsep budaya, pembinaan konsep itu adalah ditentukan oleh masyarakat dan dapat dinyatakan melalui bahasa. Asas pembinaan budaya itu ialah sistem nilai dan world-view. Dan nilai-nilai sosial dan world-view yang dibina itu turut mempengaruhi pemikiran anggota masyarakat. Pemikiran itu dinyatakan dalam konteks bahasa, sebagai alat komunikasi dan alat membina lambang-lambang budaya. Bahasa dan budaya mempunyai kaitan yang amat rapat kerana penggunaan bahasa yang indah dan menarik melambangkan budaya yang sedemikian juga, dan sebaliknya penggunaan bahasa rojak akan menggambarkan betapa cacamarbanya budaya sesuatu bangsa tersebut.
Konsep dan Fungsi Bahasa
Bahasa adalah sesuatu yang dituturkan atau satu sistem bunyi dan simbol yang dicantumkan dan bunyi tersebut keluar melalui alat pertuturan manusia secara automatik dalam sesebuah masyarakat dan bersifat arbitrari. Edward Sapir (1915) mengatakan bahawa bahasa ialah suatu sistem lambang pertuturan yang digunakan oleh manusia secara arbitrari untuk menyampaikan perasaan dan fikiran. Sementara itu, Ferdinad de Saussure (1915), menyatakan bahawa bahasa terdiri daripada dua unsur, iaitu pertuturan (parole) dan penulisan (langue). Kedua-duanya mempunyai sistem dan norma-norma yang tersendiri. Bloomfield (1935) dalam bukunya Language menyatakan bahawa apa-apa yang dipertuturkan itu ialah bahasa. Bloomfield lebih menekankan pertuturan atau lisan. Sebagai kesimpulan dapatlah dikatakan bahawa bahasa merupakan suatu sistem lambang yang terdiri daripada deretan bunyi-bunyi yang diucapkan oleh alat-alat artikulasi manusia. Dari segi makna, bahasa dipersetujui oleh sekumpulan penutur dan digunakan sebagai alat untuk berkomunikasi. Dengan adanya bahasa orang dapat bergaul dalam kelompok atau masyarakatnya. Inilah fungsi bahasa yang terpenting (Tan Ta Seng 1966: 256). Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa bahasa adalah alat perhubungan fikiran. Selain itu bahasa berfungsi sebagai alat untuk menyatakan suruhan atau larangan. Semasa berkomunikasi manusia memerlukan bantuan orang lain. Bantuan bukan sahaja berbentuk pertolongan fizikal tetapi mungkin juga buah fikiran dan bahasa dapat digunakan untuk menyuruh, meminta atau melarang. Sehubungan itu, M.A.K Halliday (1973) menyenaraikan tujuh fungsi bahasa, iaitu instrumental, penentu, interaksi, peribadi, heuristik, imaginatif dan perlambangan. Fungsi instrumental adalah sifat yang dimiliki bahasa, iaitu untuk menghasilkan sesuatu seperti yang telah dibincangkan. Fungsi alat merupakan fungsi bahasa yang asasi. Bahasa menentukan gerak-geri atau tindak-tanduk orang yang dilawan bercakap juga. Fungsi ini samalah seperti fungsi suruhan dan larangan. Bagi Halliday, fungsi berkenaan diistilahkan sebagai fungsi penentu. Bahasa ada kaitannya juga dengan sifat-sifat keindividuan seseorang. Hal ini demikian kerana bahasa yang digunakan berhubung erat dengan peribadi penggunanya. Fungsi ini disebut sebagai fungsi peribadi. Fungsi heuristik pula memberikan penekanan kepada proses manusia mempelajari dan memahami alam sekelilingnya. Dengan kata lain, melalui bahasa seseorang itu meluaskan pandangan hidupnya dan pemahamannya terhadap alam sekitar. Apabila fungsi bahasa diluaskan kepada soal-soal yang tidak melingkari diri fizikal individu, fungsi demikian disebut sebagai fungsi imaginatif. Melalui fungsi ini, segala potensi bahasa dieksploitasi untuk menimbulkan kesan emosi melalui perkataan, ayat, bunyi, rentak dan irama. Halliday juga menjelaskan fungsi bahasa adalah dari segi perlambangan. Melalui bahasa, seseorang dapat mengungkapkan mesej yang mempunyai hubungan khusus dengan ``processes, person, objects, abstractions, qualities, states and realtions of the real world around him.’’. Berasaskan fungsi demikian, makna bahasa haruslah mencapai kepersisan, iaitu memerlukan taraf ketepatan dan kejelasan yang tinggi. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa bahasa mempunyai peranan yang besar dalam masyarakat. Tanpa bahasa manusia tidak dapat membina tamadun yang tinggi.
Konsep “Melayu’’
Telah diperlihatkan bahawa sehingga abad yang ke-13, “Melayu’’ belum lagi wujud sebagai suatu istilah yang bersifat nama kolektif. Hakikatnya yang jelas ialah “Melayu’’ wujud sejak abad ketujuh lagi telah menjadi nama kepada sebuah tempat atau kerajaan yang lokasinya di Jambi, Indonesia sekarang. Asmah Haji Omar (1985: 39-42) menyatakan bahawa Melayu sebagai satu istilah ynag digunakan dalam pengertian yang luas dan juga dalam pengertian yang sempit. Maksud luas ialah “Melayu’’ merujuk kepada bangsa-bangsa atau penutur-penutur bahasa Austronesia yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu dan kawasan secara tradisional disebut gugusan pulau-pulau Melayu, yang kini pulau-pulau meliputi Negara Indonesia. UNESCO dalam tahun 1972 menggunakan istilah “Melayu’’ untuk merujuk kepada suku bangsa di Semenanjung termasuk orang Melayu di Thailand, Indonesia, Filipina, Malaysia dan Madagascar. Asmah selanjutnya menyatakan bahawa dalam konteks Linguistik Bandingan, konsep ``Melayu’’ oleh UNESCO itu sama dengan konsep “Indonesia’’ dalam pengelompokan bahasa-bahasa Austronesia. Omar Amir Hussin (1962) menjelaskan bahawa istilah “Melayu’’ berasal daripada perkataan Farsi iaitu “Mulaye’’. Istilah ini merujuk kepada golongan sarjana orang Farsi. Menurut Omar, perjalanan sejarah orang Farsi di Sumatera menyebabkan bahasa tempatan yang disebut sebagai bahasa Kavi bertukar nama menjadi “Mulaye’’ yang kemudiannya ditukarkan oleh penduduk menjadi “bahasa Melayu’’ Sarjana bahasa, Winstedt (1969) dalam esei mengenai Singapura Lama yakin bahawa istilah “Melayu’’ berasal daripada dua perkataan Tamil yang bermaksud ``pekan-bukit’’. Selain Jambi, menurut Winstedt, Singapura Lama atau Temasik juga dikenali sebagai “Melayu’’. Keyakinan tokoh berkenaan berasaskan tidak aneh beberapa tempat yang berlainan mempunyai nama yang serupa. Penggunaan istilah “Melayu’’ yang lebih am adalah bagi merujuk kepada suku bangsa yang berbahasa Melayu, dan mereka ini mendiami Semenanjung Tanah Melayu, pantai timur Sumatera, Brunei dan beberapa tempat lain berdekatan. Di Malaysia, perkataan “Melayu’’ dibataskan dan mempunyai implikasi agama Islam. Dalam perlembagaan Malaysia, orang Melayu antara lain ditakrifkan sebagai orang yang bertutur dalam bahasa Melayu, menganut agama Islam dan mengamalkan cara-cara hidup Melayu.
Konsep Negara Bangsa
Pembinaan negara bangsa amat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina Negara Bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Ia menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Terdapat banyak takrif mengenai negara bangsa. Bermula daripada revolusi Perancis hingga ke alaf kini, takrif berkenaan telah melalui peringkat perkembangan mengikut keadaan setempat dan dipengaruhi oleh keadaan global. Secara amnya, takrif tersebut berdasarkan perkembangan politik, budaya, komposisi etnik sesebuah negara (Delbruck J, 1997). Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (1991) menyatakan aspirasi untuk membentuk sebuah Negara Bangsa dalam konteks Malaysia boleh dihuraikan seperti berikut:
“...membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.” (Tun Dr. Mahathir Mohamad Melangkah Ke Hadapan, 1991)
Manakala Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menjelaskan dalam sebuah negara bangsa, rakyatnya berkongsi identiti, lambang, kebudayaan, nilai dan semangat yang menjadi ciri dan hasrat negara bangsa tersebut.
“ Warga glokal yang kita hasratkan ialah warga yang berakar nasional dan berakal internasional, maksudnya di samping kita hebat dalam negara, kita juga berperanan di arena antarabangsa. Akar kita berpaksi di kota dan desa, namun akal kita menerjah ke serata dunia. Warga glokal bertunjangkan budaya Malaysia dan ajaran Agama yang suci. Dimensi baru kita menuntut kita melonjak ke hadapan dengan memperkukuh daya saing bangsa untuk menjadi antara yang terbaik di pentas dunia. Kita semakin bersinar dalam dunia yang serba mencabar. Kita inginkan Malaysia sebagai contoh, menjadi jenama antarabangsa. Kejayaan inilah menjadi asas untuk menjana warga glokal seterusnya.” (Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul RazakPerhimpunan Agung UMNO, 2005)
Menurut Viotti and Kauppi (2001), menjelaskan negara bangsa adalah satu ‘set orang dengan identiti yang sama yang telah membentuk negara politik sendiri atau biasanya berhajat sedemikian’. Maksud negara geografi itu ialah rujukan adalah lebih bercirikan satu kumpulan yang mempunyai asal yang sama dari segi etnik, bahasa, agama, atau sejarah, secara betul atau salahnya. Istilah ini menjadi sinonim dengan negara geografi dengan negara bangsa tanpa kedaulatan (iaitu negara bangsa tanpa negara politik) bertujuan menanggap diri mereka sebagai sama taraf dengan negara berdaulat. Bagi golongan nasionalisme mungkin menganggap satu negara bangsa atau geografi dibahagikan kepada beberapa negara politik. Negara bangsa ialah satu konsep atau bentuk kenegaraan yang memperoleh pengesahan politiknya dengan menjadi sebuah entiti berdaulat bagi satu-satu bangsa sebagai sebuah (unit) wilayah yang berdaulat. Negara (atau negeri) ialah entiti politik dan geopolitik, manakala “bangsa” ialah entiti budaya dan/atau etnik. Istilah “negara bangsa” menandakan bahawa kedua-duanya (negara dan bangsa) sebagai sama, dan ini membezakannya dengan bentuk kenegaraan yang lain, yang telah wujud sebelumnya. Kelemahan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media Cetak Hampir keseluruhan pengamal media yang terdiri daripada wartawan,penyunting, pengarang, dan pereka letak termasuk mereka yang mengusahakan sesebuah penerbitan melalaikan tanggung jawab dalam melaksanakan bahasa Melayu yang betul. Antara kelemahan yang kerap ditemui dalam media cetak seperti akhbar dan majalah iaitu terjemahan berita dan rencana dalam bahasa Inggeris agak lemah malah sesuka hati sahaja tanpa merujuk istilah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Misalnya, perkataan final sepatutnya diterjemahkan peringkat akhir, mastermind sepatutnya dalang, turnover sepatutnya pusing ganti, business sewajarnya diterjemahkan dalam kosa kata bahasa Melayu, iaitu perniagaan dan banyak lagi kesalahan lain yang membabitkan kerja penterjemahan bahasa asing. Begitu juga dengan penggunaan istilah berasaskan bidang Sains dan Teknologi yang tidak tepat dan jarang merujuk istilah yang diselaraskan oleh DBP. Menurut Asiah Sarji, kesilapan berkenaan berpunca wartawan dan petugas unit berita tidak memahami prinsip terjemahan, tidak menguasai bahasa asal terjemahan itu dengan memuaskan. Sebagai hasilnya, terbentuklah ayat-ayat yang janggal, panjang berbelit-belit dan sukar difahami. Sering juga berlaku kelainan dari segi makna asalnya. Kajian ini juga mengesan berlakunya ketidaksamaan dalam penggunaan satu-satu istilah serta ejaan dalam terbitan-terbitan media am iaitu akhbar. Misalnya, penggunaan perkataan “di kalangan’’ dan “dalam kalangan’’ yang berbeza antara akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian. Penggunaan “di kalangan’’ masih wujud dalam akhbar Utusan Malaysia. Akhbar yang dikatakan menunjang bahasa dan budaya Melayu termasuk legitimasi perjuangan parti UMNO sejak tahun 1948. Manakala, akhbar Berita Harian dan Sinar Harian mematuhi sistem tatabahasa Melayu iaitu menggunakan frasa “dalam kalangan’’ menerusi penulisan beritanya. Paling menghairankan kenapa kesalahan itu tidak diperbetulkan oleh ketua pengarang walhal pernah ditegur oleh pakar bahasa. Begitu juga akhbar Utusan Malaysia sering meninggalkan pemakaian perkataan `penjodoh bilangan’ dalam ayat-ayat beritanya. Kesalahan ini tidak berlaku dalam akhbar perdana berbahasa Melayu lain. Ketidakseragaman penggunaan perkataan dan frasa tertentu antara akhbar perdana berbahasa Melayu di negara ini boleh dipertikaikan dan mengelirukan kelompok pembaca khususnya para pelajar mengenai penggunaan tatabahasa. Namun begitu, perkembangan bahasa Melayu pada zaman moden banyak sekali dipengaruhi oleh media visual iaitu televisyen. Suatu ketika dulu penggunaan bahasa baku di TV3 menjadi ikutan pendengar dan sesetengah wartawan/penyiar menjadi idola bagi peminat bahasa baku.Namun penggunaan bahasa baku tidak lama ke udara oleh penyiar berkenaan malah bahasa baku turut ‘dikuburkan’ oleh perancang kurikulum bahasa Melayu sendiri di Kementerian Pelajaran. Hal ini disebabkan perubahan dasar bahasa Melayu berkait rapat dengan kuasa dan konteks suasana yang mempengaruhi dasar tersebut. Hari ini, kita kerap melihat dan mendengar apabila menonton rancangan berita dan ulasan sukan, para penyiar/wartawan lebih suka menggunakan perkataan slanga yang tidak sepatutnya disebut dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Misalnya, menerusi paparan Berita Sukan di sebuah televisyen swasta, pengulas/wartawan berkenaan menggunakan perkataan ‘kamceng’ dalam ulasan berita berkenaan. “Kekalahan memalukan pasukan bola sepak Kedah berpunca pengurus dan jurulatih pasukan itu tidak `kamceng’ lagi untuk melahirkan pasukan mantap tahun ini.’’ Begitulah juga kita menemui paparan iklan sesuatu barangan dan hebahan tertentu yang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan bercampur aduk dengan bahasa Inggeris. Keadaan inilah yang menyebabkan bahasa Melayu masih menjadi bahasa rojak kerana pengamal media mengambil sikap sambil lewa dan mengutamakan bahasa Inggeris. Kesan-kesan Kesalahan Penggunaan bahasa Melayu di Media Massa. Media akhbar, radio dan televisyen antara saluran yang diikuti oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini. Selain menyumbang pengetahuan mengenai sesuatu bidang, media berkenaan dapat menerapkan nilai murni dan pendidikan kepada pembaca dan penonton. Hal ini tidak terkecuali iaitu mendidik orang ramai menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Apabila pengamal media berkenaan masih lemah bahasa Melayu dan tidak bertanggungjawab dengan mengabaikan pelaksanaan bahasa berkenaan dalam penerbitan masing-masing mungkin berlakunya penerusan dalam menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul pada masa akan datang. Selain itu, sekiranya penerbit-penerbit media cetak di Malaysia tidak menghiraukan tanggungjawab pembinaan dan penggunaan bahasa Melayu yang betul sebagai salah satu tanggungjawab yang utama, maka harapan untuk melihat perkembangan penggunaan bahasa ini pada masa depan adalah malap. Tidak hairanlah sekiranya kajian seperti ini masih memaparkan perkara yang sama dalam tempoh 20 atau 30 tahun yang akan datang. Saranan Memantapkan Penggunaan Bahasa Melayu di Media Massa Bagi memenuhi aspirasi kerajaan mengembangkan bahasa Melayu membabitkan peranan media massa, mereka yang berada dalam dunia penerbitan sewajarnya bersikap lebih rasional untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu agar berada di landasan yang betul. Sewajarnya, pengamal media berkenaan mempunyai kepakaran bahasa Melayu termasuk aspek tatabahasa dan linguistik untuk membantu pelaksanaan bahasa Melayu yang lebih mantap dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Begitu juga, pengamal media massa di negara ini termasuk bidang pengiklanan sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan DBP sebagai agensi yang bertanggungjawab menyusun korpus bahasa dan istilah tertentu bertujuan membantu menyelesaikan masalah berhubung kesalahan tatabahasa dalam medium masing-masing. Sehubungan itu pengamal media berkenaan menerusi persatuan dan syarikat masing-masing perlu mengadakan latihan, perbincangan dan berbengkel dari masa ke semasa dalam usaha untuk mengesan kelemahan dan menilai penggunaan bahasa Malaysia yang betul.
Media Elektronik
Pengamal media elektronik khususnya dalam kalangan swasta perlu lebih yakin dan bersedia membantu memantapkan penggunaan bahasa Melayu. Elakkan sikap suka mengaut keuntungan menerusi siaran tertentu dan mengabaikan penggunaan bahasa Melayu, sebaliknya kembali semula menjadi saluran penting mendidik penonton menggunakan bahasa yang betul. Syarikat Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan stesen swasta lain disarankan supaya menambahkan jumlah rancangan terbitan berbahasa Melayu untuk tujuan mendidik penonton menggunakan bahasa ibunda dengan betul dan menjadi asas pembangunan negara bangsa. Begitu juga, siaran radio tempatan sewajarnya beridentitikan bahasa Melayu. Dalam hal ini, radio Klasik Nasional sepatutnya diubah menjadi Nasional Klasik, manakala Hot FM, Suria FM, Muzik FM perlu menjadi entiti yang mencerminkan Melayu dan konteks negara bangsa. Para penyiar radio dan televisyen juga seharusnya memainkan peranan dalam penyebaran bahasa Melayu yang betul. Mereka bukan sahaja menjadi contoh kepada para pelajar tetapi juga kepada pendengar asing yang mengikuti rancangan radio dengan harapan mereka dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Oleh itu, pihak media sewajarnya menunjukkan contoh yang baik kerana mereka boleh berperanan sebagai “duta bahasa” kepada warga asing yang menjadikan akhbar dan radio sebagai sumber rujukan mereka.
Media Cetak
Memandangkan bahawa media cetak seperti akhbar dan majalah mendapat tempat dalam kalangan pembaca di negara ini yang ingin mengetahui isu tertentu, sewajarnyalah media berkenaan menjadi saluran penting untuk mendidik pembaca menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Menerusi pembacaan bukan sahaja dapat mengetahui isi-isi berbentuk pengetahuan tertentu tetapi semua akhbar dan majalah boleh memantapkan kemahiran penggunaan bahasa Melayu. Dalam hubungan ini, semua tenaga produksi penerbitan berkenaan mempunyai pengetahuan dan cekap menggunakan tatabahasa dalam penulisan masing-masing. Hindarkan daripada menggunakan bahasa rojak dan menyimpang daripada tatabahasa sehingga boleh merosakkan bahasa Melayu sendiri. Di samping itu, perlu ada keseragaman penggunaan perkataan, istilah dan frasa dalam semua penerbitan berbahasa Melayu agar pembaca tidak menjadi keliru. Misalnya, penggunaan perkataan “di kalangan’’ dan “dalam kalangan’’. Penyeragaman ejaan, perkataan, istilah dan korpus bahasa perlulah perlu diselaraskan oleh pengamal media cetak di negara ini dengan merujuk kepada DBP jika berlaku kekeliruan.
Kuasa Politik
Kuasa politik memainkan peranan penting dalam menentukan dasar bahasa negara. Orang Melayu mempunyai kuasa politik tetapi tidak mempunyai tenaga (kudrat) untuk mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pengantarabangsaan ilmu bukanlah semata-mata didominasi bahasa Inggeris. Malah, negara Korea, China dan Jepun yang maju tetapi berjaya mempertahankan jati diri bahasa mereka. Hal ini boleh menjadi tauladan bagi semua pihak di negara ini. Kuasa politik kini dalam tangan bangsa Melayu dan bangsa Melayulah yang perlu memeriksa diri mereka sama ada ciri yang dikatakan jati diri Melayu itu semakin pupus atau masih kuat berdiri mendepani arus globalisasi hari ini. Puteri Roslina Abdul Wahid, (2005), menjelaskan yang menjadi kekeliruan golongan tertentu yang mempunyai kuasa ini ialah penggunaan bahasa Inggeris begitu meluas dalam sektor swasta menyebabkan kita harus mengubah Dasar Pendidikan Negara agar tidak ketinggalan menimba ilmu. Namun hakikatnya, penerokaan ilmu boleh dilaksanakan dalam bahasa apa-apa pun tetapi penyampaian ilmu itu perlulah dilakukan dalam bahasa ibunda kerana pembudayaan ilmu dalam bahasa Melayu lebih telus dan mudah difahami. Begitu jugalah kuasa politik boleh menentukan dasar peranan media massa di negara ini lebih berkesan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Kuasa politik dan kerajaan yang memerintah hari ini boleh mewajarkan satu bentuk Media Baru iaitu mewajibkan semua penerbitan memaparkan maklumat dalam bahasa Melayu menerusi penerbitan masing-masing selain menggunakan bahasa ibunda. Kita masih tidak terlambat untuk membentuk negara bangsa menerusi bahasa Melayu.
KESIMPULAN
Dalam mencapai hasrat serta merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa peranan media massa amat penting untuk mendidik masyarakat memahami pengetahuan menggunakan bahasa Melayu. Walaupun diberi kebebasan menyuarakan perspektif mendukung akhbar masing-masing mahupun parti politik di negara ini, media massa memainkan peranan besar untuk memantapkan bahasa Melayu dalam era globalisasi. Dalam hal ini, medialah berfungsi mendidik masyarakat di negara ini menggunakan bahasa Melayu yang betul. Sejarah telah membuktikan bagaimana media massa khususnya akhbar berbahasa Melayu meniupkan semangat patriotisme dalam kalangan orang Melayu sendiri sehingga berupaya menghalau penjajah dari negara ini. Begitu juga, media massa sebelum dan pasca merdeka menjadi asas pembangunan serta kekuatan bahasa dan sastera Melayu sehingga dikenali di rantau Asia Tenggara, Afrika Selatan dan menganjur hingga ke Madagaskar. Dalam pada itu, kerajaan menerusi kuasa politik wajar memantapkan dasar penguatkuasaan dan penggunaan bahasa Melayu di semua sektor termasuk pendidikan di mana media massa menjadi pengantara yang dapat membina intelektual dan budaya bangsa.
BIBLIOGRAFI
Abdul Jumain Abu Samah. (1993). “Melayu’’ Sebagai Istilah Yang Merujuk Kepada nama Bahasa dan Bangsa’’. Dlm Jurnal Dewan Bahasa, Februari 1993: 100-107.
Ajid Che Kob. (1980). “Bahasa dan Kebudayaan: satu Tinjauan Hubungannya’’ dlm. Jurnal Dewan Bahasa, 24: 12 Disember hlm. 34-41.
Asmah Haji Omar. (1985). Perancangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bloomfield, L. (1967). Language: George Allen & Unwin Ltd: London.
Griffin, EM. (2003). A First Look at Communication Theory, 5th Edition. USA: McGraw-Hill
Haris Md Jadi, (1991). “Bahasa Kebangsaan dan proses Pembinaan Negara’’. Dlm. Jurnal Dewan Bahasa, Mei 1991.
Hartmann, R.R.K.,Stork, F.C. (1976). Dictionary of Language and Linguistics. London: Applied Science Publisher.
Ismail Dahaman (2001). “Permasalahan Dalam Pembangunan Bahasa Melayu sebagai Asas Pembangunan Negara Bangsa Malaysia, Dlm. Jurnal Dewan Bahasa, Julai 2001.
Khaidir Anwar. (1984). Fungsi dan Peranan Bahasa. Jakarta: Penerbit Gadjah Mada.
Littlejohn, Stephen W. (2002). Theories of Human Communication. USA: Wadsworth Group
Nababan, P.W.J. (1984). Sosiolinguistik. Jakarta: Gramedia.
Raminah Sabran & Rahim Syam. (1986). Kajian Bahasa Untuk Pelatih Maktab Perguruan. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Paul Viotti dan Mark Kauppi (2001). International Relations Theory: Realism, Pluralism, Globalism. New York: Macmillan Publishing)
Puteri Roslina Abdul Wahid, (2005). ``Bahasa Melayu dalam Konteks Budaya dan Kuasa’’. Dlm. Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, DBP, 2 Disember 2005.
Tan Sa Seng. (1966). “Bahasa Sebagai Alat Perhubungan Fikiran’’ dlm. Jurnal Dewan Bahasa, 10: 6 Jun hlm. 252-256
Taylor, Edward Burnett. (1958). The Origins of Culture. New York: Harper & Row.
Theodorson dan Theodorson. (1983). Sociolingustics. Cambridge: Cambridge University Press.
Tun Dr. Mahathir Mohamad. (1991). ``Melangkah ke hadapan’’ . Teks asal “Malaysia: The Way Forward’’ yang disampaikan majlis sempena persidangan pertama Majlis Perdagangan Malaysia di Kuala Lumpur, pada 28 Febuari 1991.
Ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung UMNO pada 19 Julai 2005
http://en.wikipedia.org/wiki/Communication
http://ms.wikipedia.org/wiki/Komunikasi