Thursday, 24 May 2012

BAHASA DAN BUDAYA MELAYU DALAM KONTEKS GAGASAN SATU MALAYSIA-Razmah bt Bashri diselenggarakan oleh Rozali Rajab.

Abstrak
Bahasa dan budaya merupakan elemen penting dalam sesebuah negara bangsa untuk mencapai pembangunan negara yang mapan. Bagi negara Malaysia, bahasa dan budaya Melayu merupakan medium yang menjadi wadah untuk merealisasikan Gagasan Satu Malaysia. Secara empirikalnya, peranan bahasa dan budaya Melayu dapat dimantapkan untuk tujuan perpaduan kaum dan pembangunan negara sejajar dengan Konsep Gagasan Satu Malaysia. Aspirasi memantapkan bahasa dan budaya Melayu memerlukan iltizam dan komitmen yang jitu daripada pelbagai pihak. Hasrat tersebut akan dapat direalisasikan jika semua kaum bersatu hati tanpa prejudis walaupun dalam kalangan masyarakat majmuk. Banyak usaha yang telah dilaksanakan dan dirancang sama ada oleh pihak kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, NGO dan tokoh-tokoh bahasa yang terlibat dalam memantapkan bahasa dan budaya Melayu untuk merealisasikan aspirasi Gagasan Satu Malaysia . Dalam kertas kerja ini, fokus perbincangan menjurus pada peranan bahasa dan budaya dalam konteks Gagasan Satu Malaysia. Selain itu, dalam kertas kerja ini juga akan dijelaskan tentang usaha-usaha yang telah dilaksanakan untuk memantapkan bahasa dan budaya Melayu sebagai wadah untuk mencapai matlamat Gagasan Satu Malaysia seperti yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Bin Abd Razak. Dapatan kajian yang telah diperoleh menyatakan bahawa Perpaduan kaum di Malaysia dapat diwujudkan melalui peranan dan usaha pemantapan bahasa dan budaya Melayu sejajar dengan konteks Gagasan Satu Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
PENDAHULUAN
Bahasa dan budaya Melayu merupakan wadah perpaduan kaum di Malaysia. Pelbagai usaha dan inisiatif diambil untuk tujuan tersebut oleh pihak kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) , dan tokoh-tokoh bahasa untuk merealisasikan impian ini akan menjadi realiti. Malah, pelbagai slogan seperti Bahasa Jiwa Bangsa, Cintailah Bahasa Kita, Satu Bangsa Satu Malaysia, Budi Bahasa Budaya kita, dan seumpamanya sering diuar-uarkan untuk mengangkat peranan bahasa dan budaya Melayu sejajar dengan Gagasan Satu Malaysia. Para pemimpin negara juga turut sama berjuang untuk merealisasikan sebuah negara bangsa yang aman dan harmoni serta makmur seperti yang dimanifestasikan dalam Wawasan 2020 oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Bin Mohammed.Ungkapan Gagasan Satu Malaysia yang telah dirintis Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, untuk mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia melalui peranan bahasa dan budaya Melayu. Elemen yang diterapkan dalam konteks Gagasan Satu Malaysia yang cuba ditonjolkan ialah cara rakyat Malaysia berfikir, berdiri, dan bertindak sebagai bangsa Malaysia, iaitu “One People”. Untuk merealisasikan Gagasan Satu Malaysia memerlukan kesepakatan, kefahaman, dan keadilan sama ada daripada kalangan pemimpin mahupun rakyat Malaysia. Oleh itu, usaha-usaha memantapkan bahasa dan budaya Melayu harus dipikul bersama tanpa ada prasangka dan sentimen perkauman yang wujud sebagai rakyat yang memiliki jati diri, kesetiaan, dan ketaatan kepada negara sebagai bangsa Malaysia. Antara objektif kertas kerja ini ditulis adalah untuk menghuraikan secara terperinci tentang peranan bahasa dan budaya di Malaysia dalam konteks Gagasan Satu Malaysia. Selain itu, kertas kerja ini akan menjelaskan secara tentang usaha-usaha yang telah dilaksanakan untuk memantapkan bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia sejajar dengan Konsep Gagasan Satu Malaysia. Dalam membatas kajian kertas kerja ini, saya akan menjelaskan dan menghuraikan tentang bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia dalam konteks Gagasan Satu Malaysia yang memberi fokus pada peranan dan usaha pemantapan bahasa Melayu dalam merealisasikan Gagasan Satu Malaysia serta peranan dan usaha memantapkan budaya Melayu dalam merealisasikan Gagasan Satu Malaysia. Peranan Dan Usaha Pemantapan Bahasa Melayu Dalam Merealisasikan Gagasan Satu Malaysia Umum mengetahui bahawa bahasa merupakan medium komunikasi manusia yang sangat penting dalam masyarakat. Bahasa yang dituturkan secara tidak langsung akan mencerminkan citra budaya, cara berfikir, tindak tanduk dan jati diri penutur sesuatu bangsa. Justeru, bahasa dan budaya sesuatu bangsa tidak akan dapat dipisahkan kerana peranannya dalam masyarakat saling melengkapi antara satu sama lain. Dalam konteks Gagasan Satu Malaysia peranan bahasa Melayu begitu sinonim sebagai wahana perpaduan kaum. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, perpaduan didefinisikan sebagai penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan, dan perihal berpadu (bergabung menjadi satu, sepakat dan lain-lain). Oleh itu, peranan bahasa Melayu bukan setakat menjadi alat komunikasi semata-mata, bahkan bahasa juga berperanan membentuk jati diri dan memupuk semangat kekitaan dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam konteks Gagasan Satu Malaysia, bahasa Melayu merupakan wadah perpaduan kaum di Malaysia melalui nilai-nilai murni seperti bertoleransi, kejujuran dan keikhlasan tanpa memilih agama, warna kulit, bahasa dan budaya. Di Malaysia, bangsa Cina, India, Bajau, Kadazan, Melanau, Iban dan kaum-kaum lain akan memilih bahasa sukuan menjadi alat perpaduan. Namun, dalam soal kebangsaan bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan sebagai wadah perpaduan nasional. Proses ini akan melahirkan masyarakat Malaysia yang memiliki jati diri, menanamkan perasaan cinta akan tanah air, dan berbangga sebagai rakyat Malaysia dalam satu komuniti sejajar dengan matlamat Gagasan Satu Malaysia. Tuntutan Perkara 152, dalam Perlembagaan Persekutuan termaktub bahawa peranan bahasa Melayu adalah sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang harus dihormati dan disanjung tinggi. Walau bagaimanapun, tidak bermakna kaum-kaum lain seperti Cina, India, dan etnik lain di Sabah dan Sarawak akan disekat atau dihalang menggunakan bahasa masing-masing. Tanggungjawab mempelajari bahasa Melayu sebagai lambang kesetiaan, ketaatan, dan jati diri terhadap negara adalah menjadi kewajiban dan kemestian. Unsur-unsur diskriminasi tidak akan wujud kerana hak setiap bahasa kaum-kaum lain di Malaysia terus dipelihara mengikut Perlembagaan Malaysia (1972: 116-7). Bukti yang nyata sehingga kini bahasa kaum-kaum lain seperti bahasa Cina dan bahasa India masih lagi diaplikasikan di sekolah-sekolah sebagai bahasa pengantar mahupun sebagai bahasa komunikasi. Namun begitu, kebebasan ini tidak menjadi penghalang pada kemajuan dan pemantapan bahasa Melayu di Malaysia. Selain itu, bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa pertuturan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi di Malaysia. Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa perhubungan di seluruh Kepulauan Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka antara abad ke-13 sehingga abad ke-19 lagi . Ketika zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka abad ke-15, bahasa Melayu telah berperanan sebagai lingua-franca dalam urusan rasmi terutama dalam urusan pentadbiran dan. Para pedagang yang datang ke Melaka menggunakan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi dalam urusan perdagangan dalam masyarakat ketika itu. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu mempunyai keistimewaan dan ciri-ciri yang begitu dinamik, fleksibel, dan ekonomik. Kosa kata yang luas dan mudah difahami antara sebab bahasa Melayu menjadi pilihan sebagai bahasa pertuturan ketika itu. Maka tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi pilihan sebagai wadah komunikasi rasmi negara serantau iaitu di Singapura, Indonesia, dan negara Brunei Darussalam kerana keistimewaan yang ada padanya. Selain itu, jumlah penutur bahasa Melayu begitu ramai, iaitu meliputi negara Singapura, Indonesia, Brunei, Sebahagian Filipina, Selatan Thai dan Malaysia menyebabkan bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa rasmi kepulauan Melayu. Menurut kajian, bahasa Melayu kini sudah berada pada kedudukan ke empat terbesar di dunia dalam bahasa/keluarga bahasa utama dunia. Sebanyak 250 juta penutur setia bahasa Melayu yang masih lagi tetap menuturkan bahasa Melayu sehingga kini. Abdullah Hassan berpendapat bahawa bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia sehingga kini kerana berdasarkan peratusan bilangan penduduk di Malaysia ketika itu menunjukkan bahawa orang Melayu adalah bilangan paling ramai. Penutur dalam kalangan kaum Melayu iaitu sebanyak 45%, Kaum Cina 36% , Kaum India 8% dan bakinya 10% terdiri daripada kaum-kaum lain yang dianggap masyarakat minoriti. Bahasa Melayu juga mampu mendukung peranannya dalam pelbagai bidang ilmu seperti bidang politik, ekonomi, dan sosial. Hal ini dapat dibuktikan apabila bahasa Melayu menjadi pilihan dalam urusan pentadbiran, pendidikan, perbankan, dalam persidangan di mahkamah, persidangan politik di Parlimen, keagamaan, iklan serta filem. Usaha pembinaan dan penyeragaman bahasa dari aspek korpus bahasa dan penerbitan banyak kamus seperti kamus dwibahasa yang dapat membantu masyarakat memantapkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia. Contohnya, bahasa Melayu digunakan dalam borang urusan perbankan di bank Bumiputera sejak operasi bank itu ditubuhkan. Hal ini bermakna bahawa bahasa Melayu memiliki nilai ekonomi yang harus dibanggakan dan pertahankan. Namun, untuk merealisasikan Gagasan Satu Malaysia dalam urusan perbankan, borang-borang yang berkaitan dengan urusan kewangan telah ditambah dengan bahasa Cina di samping bahasa Melayu di bank Bumiputera. Hal ini demikian kerana mereka yang berurusan di bank bukan sahaja daripada kalangan orang Melayu malah kaum-kaum lain turut berurusan di sana. Pada prinsipnya, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia yang berperanan sebagai bahasa perhubungan rasmi, bahasa komunikasi pelbagai kaum, malah fungsinya dapat menyatukan dan mempertemukan para ilmuan, karyawan, sasterawan, ahli-ahli korporat dan juga saintis di Malaysia. Oleh sebab itu, bahasa Melayu diperkembangkan dan dimantapkan untuk memenuhi tuntutan semasa seperti sebagai wadah perpaduan, pembangunan dan kemajuan negara. Di samping itu, bahasa Melayu juga turut berperanan penting dalam bidang pendidikan di Malaysia. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama adalah untuk memperkukuh asas perpaduan kaum di Malaysia. Selain itu, pewartaan Akta Pendidikan 1961 (pindaan 1996), menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi. Pelaksanaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah telah dilakukan secara berperingkat-peringkat untuk menggantikan bahasa Inggeris. Selaras dengan hasrat memantapkan Bahasa Malaysia, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan transformasi kurikulum bahasa Malaysia di peringkat sekolah menengah dan rendah. Transformasi ini lebih menumpukan pada penguasaan asas kemahiran berbahasa meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa dalam kalangan pelajar di seluruh Malaysia. Hal ini bermakna bahawa pelajar-pelajar sekolah tanpa mengira bangsa akan menerima perubahan tersebut untuk memantapkan lagi peranan bahasa Melayu. Demikian juga isu program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI ) turut ditangani untuk tujuan pemantapan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Namun begitu, tidak bermakna penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan terus diketepikan. Bahasa Inggeris terus digunakan dalam bidang pendidikan dan sebagai bahasa kedua di negara. Inilah matlamat Gagasan Satu Malaysia yang telah diilhamkan oleh perdana menteri untuk memperkukuh perpaduan kaum di Malaysia melalui transformasi pendidikan yang berfokus pada pemantapan bahasa Melayu. Usaha memantapkan bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan kaum sejajar dengan Gagasan Satu Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah melaksanakan sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan satu kurikulum kebangsaan untuk semua jenis sekolah dan satu sistem penilaian dan peperiksaan yang seragam. Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menjadikan agenda memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) menjadi salah satu teras dasar pelaksanaan RMKe-9 bagi merealisasikan matlamat menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) sebagai tempat memupuk perpaduan kaum selain sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dalam bidang akademik dan bukan akademik. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, usaha yang dilakukan oleh KPM bagi tujuan memupuk perpaduan kaum melalui bahasa Melayu selari dengan konsep Satu Malaysia ialah dengan menerapkan nilai jati diri, budi bahasa dan seni budaya dilaksanakan secara sisipan dalam tajuk-tajuk mata pelajaran yang bersesuaian. Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah memperkenalkan mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan pada tahun 2003 di peringkat rendah dan menengah yang bertujuan memberi kesedaran kepada para pelajar tentang hak dan tanggungjawab mereka serta menyedarkan mereka betapa peri pentingnya semangat patriotisme, kesejahteraan, kesatuan, dan keharmonian antara kaum di Malaysia yang hidup berbilang bangsa dan kaum. Menurut Tan Sri Lee Lam Thye sebagai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara sejak Jun 2005 menyatakan bahawa dalam pengisian Program Latihan Khidmat Negara, bahasa kebangsaan tetap diaplikasikan sebagai bahasa pengantar di dalam kelas mahupun aktiviti di luar kelas. Usaha ini dapat memantapkan lagi peranan bahasa Melayu sejajar dengan Gagasan Satu Malaysia dalam apa juga program yang dianjurkan oleh kerajaan dalam kalangan warga pelajar di Malaysia. Sekali gus akan dapat memupuk integrasi serta mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan peserta yang datang dari pelbagai pelosok negara yang berbeza dari segi agama, kaum, budaya, dan bahasa. Penggunaan bahasa Melayu sahaja yang akan dapat menghubungkan mereka dalam apa juga aktiviti yang dilakukan. Hal ini kerana mereka terdiri daripada rakyat Malaysia yang memiliki nilai-nilai jati diri sebagai warganegara Malaysia dan sewajarnya mereka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan. Selain itu, para peserta Program Latihan Khidmat Negara juga secara tidak langsung akan dapat mempelajari sesuatu perkara yang baharu kerana mereka didedahkan dengan nilai-nilai positif seperti nilai perpaduan, kerjasama, persefahaman, membina kepercayaan, dan persahabatan sebagai bangsa Malaysia. Sebenarnya banyak usaha yang telah dilaksanakan dan dirancang oleh pihak kerajaan, Dewan Bahasa Dan Pustaka, dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memantapkan bahasa Melayu. Umum mengetahui bahawa peranan yang dipertanggungjawabkan terhadap Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memantapkan bahasa Melayu di Malaysia bukanlah tugas yang mudah. Langkah proaktif yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Pelajaran, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Penerangan komunikasi dan Kebudayaan dan NGO harus diberi pujian dan dihargai. Usaha ini merupakan manifestasi yang akan menyumbang pada matlamat mewujudkan perpaduan kaum dapat dikecapi sejajar dengan gagasan Satu Malaysia. Rentetan itu, kebanyakan program yang telah dianjurkan bertujuan menzahirkan matlamat perpaduan kaum melalui medium bahasa Melayu di Malaysia berlandaskan konsep Gagasan Satu Malaysia. Selain itu, antara usaha memantapkan bahasa Melayu yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah Pelancaran Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera baru-baru ini bagi menyediakan satu saluran rasmi sumbangan kepada penggiat bahasa dan sastera melaksanakan program yang berkaitan dengan kedua-dua bidang tersebut. Usaha ini adalah hasil idea gabungan persatuan penulis dan NGO yang bertujuan membantu kumpulan penulis dan penggiat bahasa serta sastera dalam usaha membangunkan bahasa Melayu selaras dengan kepentingannya seperti mana yang termaktub dalam Perkara 152. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf di Balai Budaya Tun Syed Nasir Ismail, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 Februari 2010. Sebenarnya, usaha-usaha yang dilakukan oleh Dewan, Bahasa dan Pustaka, sejak dahulu lagi membuktikan bahawa untuk mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia sejajar dengan gagasan “Satu Malaysia’ yang memerlukan kerjasama yang padu daripada semua lapisan masyarakat. Penglibatan pelbagai kaum dapat mencepatkan usaha memperjuangkan memantapkan bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan kaum di Malaysia akan menjadi realiti. Di samping itu, Dewan Bahasa dan Pustaka juga telah memperkenalkan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) pada tahun 1999 dan telah diteruskan sehingga kini dengan pelbagai aktiviti bahasa yang dijalankan bertujuan untuk membina jati diri dan memperteguh perpaduan kaum di Malaysia. Bulan September setiap tahun merupakan bulan BBSN dan aktiviti pelancarannya akan dijalankan di negeri yang telah dipilih oleh Jawatankuasa Induk. Selain itu, objektif Bulan Bahasa dan Sastera Negara ditubuhkan adalah untuk mengembalikan semangat kecintaan dan memperkukuh keyakinan masyarakat Malaysia akan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi sosial dan perpaduan kaum. Tambahan pula, kini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengangkat bulan Bahasa dan Sastera Negara sebagai program teras pertama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ( PIPP ), untuk menyokong Dewan Bahasa dan Pustaka dalam usaha membina negara bangsa melalui pendidikan. Sesungguhnya, program-program yang anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka hanya akan berjaya jika semua kaum di Malaysia turut memainkan peranan masing-masing dan tidak menganggap program ini hanya untuk orang Melayu semata-mata. Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka juga turut melaksanakan seminar yang bertajuk “Seminar Bahasa Kebangsaan dan Masyarakat Cina” yang telah diadakan pada 8 Jun 2009 yang lalu. Di samping itu, satu forum telah dilaksanakan yang bertemakan “Perpaduan Melalui Bahasa Kebangsaan” yang telah diadakan pada 8 Jun 2009 lalu antara lain bertujuan untuk menghargai dan menilai peranan masyarakat Cina yang turut sama berjuang memperkasakan bahasa kebangsaan di Malaysia. Waimma, sedar atau tidak sejarah telah membuktikan bahawa peranan masyarakat Cina memang wujud sejak dahulu lagi. Terbitnya buku pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dan komunikasi dalam masyarakat Cina pada tahun 1403 Masihi dan Kamus Cina-Melayu Sederhana (1849-1947) membuktikan usaha pemantapan bahasa Melayu terus dilaksanakan. Dalam usaha memantapkan peranan bahasa Melayu, sokongan daripada kaum India tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Kini, generasi muda dalam kalangan kaum India dikatakan sudah ramai yang berkecimpung dalam menghasilkan karya berbentuk penulisan buku, artikel, cerpen, sajak, esei, dan penterjemahan buku-buku dalam bahasa Melayu. Penglibatan generasi muda dalam kalangan kaum India membuktikan bahawa mereka juga berperanan dalam usaha memantapkan bahasa Melayu sejajar dengan Gagasan Satu Malaysia. Malah, ada dalam kalangan penulis daripada kalangan kaum India juga yang dikatakan berjaya menghayati, menjiwai, dan menggambarkan budaya masyarakat Melayu di Malaysia. Secara realistik, peranan penulis-penulis kaum India mampu memantapkan bahasa Melayu dalam karya yang dihasilkan sebaris dan sehebat dengan penulis berbangsa Melayu. Antaranya, Saroja Theavy , Uthaya Sankar SB , Raja Rajeswari ( penulis awal 80-an dan 90-an ), dan ramai lagi. Begitu juga di Sabah dan Sarawak, walaupun terdiri daripada kumpulan etnik yang begitu banyak namun bahasa dan budaya Melayu tetap digunakan sebagai wahana komunikasi sama ada secara rasmi mahupun digunakan seharian-harian. Sebagai contoh dalam urusan perniagaan di tamu ( pekan minggu ) kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak tetap menggunakan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi untuk mencapai kesefahaman dan kesepakatan, sejajar dengan matlamat Gagasan Satu Malaysia. Hal ini akan dapat membantu proses pemantapan bahasa Melayu tanpa mengira latar belakang sosial masyarakat itu. Apa yang penting matlamatnya adalah untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang bersatu padu, hidup harmoni, dan saling hormati menghormati dalam satu negara bangsa yang progresif dan mapan. Peranan dan usaha memantapkan budaya dalam konteks Gagasan Satu Malaysia Apabila memperkatakan tentang bahasa sebagai wadah komunikasi sudah pasti akan dikaitkan dengan citra budaya bangsa tersebut. Sejak dahulu lagi ramai pengkaji bahasa dan budaya Melayu menyatakan bahawa bahasa merupakan suara budaya dalam sesuatu masyarakat. Di Malaysia, kepelbagaian budaya yang dapat dilihat dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa. Bagi Orang Melayu budaya yang dimiliki begitu unik dan menjadi tarikan kepada kaum lain di Malaysia sejak zaman kesultanan Melayu Melaka. Antaranya, keunikan budaya Melayu dalam adat perkahwinan, cara berpakaian, makanan, adab kesopanan seperti budi bahasa, toleransi, dan lain-lain lagi. Pendek kata, terdapat beberapa budaya Melayu yang turut disimilasi oleh kaum lain dalam kehidupan seharian kerana sikap keterbukaan dan toleransi yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Malaysia telah sejak dahulu lagi. Selain itu, dalam usaha memantapkan budaya Melayu Kementerian Pelajaran Malaysia juga turut memperkenalkan Konsep Sekolah Wawasan sebagai salah satu alternatif untuk memupuk nilai-nilai murni dan budaya Melayu dalam kalangan pelajar. Pelajar-pelajar dari Sekolah Wawasan akan berkongsi semua kemudahan asas seperti padang, kantin, dewan, dan padang. Hal ini akan turut membantu proses perpaduan kaum dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum. Persefahaman antara pelajar dari Sekolah Wawasan dapat dipupuk melalui nilai-nilai murni seterusnya dapat menyatupadukan rakyat Malaysia sejak di bangku sekolah lagi. Pelbagai usaha dilakukan untuk tujuan mengekalkan budaya Melayu seterusnya merealisasikan aspirasi Gagasan Satu Malaysia, akhir-akhir ini oleh kerajaan Malaysia. Antaranya, Program “rumah terbuka” yang bertujuan mengumpul pelbagai kaum untuk merayakannya perayaan secara bersama bersesuaian dengan tuntutan Gagasan Satu Malaysia. Langkah kerajaan mengisytiharkan cuti umum pada hari dan tarikh perayaan-perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidil Fitri, Deepavali, dan lain-lain perayaan sangat relevan dengan konsep tersebut. Hal ini secara tidak langsung akan memberi ruang kepada masyarakat Malaysia turut sama meluangkan masa merayakan dan mengamalkan kunjung-mengunjungi untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Di samping itu, akan dapat mencitrakan semangat kekitaan yang terjalin dan dapat mengenali budaya kaum-kaum lain dengan lebih mendalam. Sikap keterbukaan rakyat Malaysia dalam menjayakan dan mengadakan rumah terbuka dapat menjalinkan perpaduan kaum melalui amalan kunjung mengunjungi antara satu sama lain serta dapat membuktikan bahawa kaum-kaum di Malaysia saling memahami, bertolak ansur, dan seterusnya mengiktiraf kepelbagaian budaya yang ada. Selain itu, rumah terbuka yang dianjurkan menjadi medan pertemuan yang dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan dan persahabatan yang terjalin. Amalan rumah terbuka dan saling kunjung mengunjungi juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan kepelbagaian corak budaya dan keunikan budaya dalam kalangan kaum-kaum di Malaysia. Kepelbagaian corak budaya dan keunikan ini dapat dicitrakan melalui makanan, pakaian, budaya, adat, dan seumpamanya. Waimma sedar atau tidak bukan semua orang mempunyai kesempatan atau masa untuk kunjung mengunjungi. Langkah kerajaan mengadakan “Perayaan Satu Malaysia” dan cuti umum yang diberikan seharusnya dimanfaatkan oleh semua kaum untuk memanifestasikan perpaduan kaum melalui peranan budaya sejajar dengan konsep Satu Malaysia. Diharapkan kepelbagaian perayaan yang diraikan bersama ini menjadi pemangkin kepada matlamat perpaduan kaum di Malaysia. Di samping itu, akan mewujudkan satu “tradisi” bagi semua kaum merayakan perayaan-perayaan di Malaysia secara bersama dan seterusnya akan menjadi warisan generasi akan datang. Persefahaman antara kaum di Malaysia dapat dijalinkan melalui perayaan-perayaan yang diadakan di Malaysia Sikap “keterbukaan” rakyat Malaysia sejak dahulu sebenarnya turut membantu mewujudkan masyarakat yang aman damai, saling memahami dan harmoni seperti yang telah dimanifestasikan dalam Wawasan 2020. Dalam usaha memantapkan budaya Melayu, media massa juga berperanan sebagai medium yang dapat membantu merealisasikan Gagasan Satu Malaysia. Generasi muda dalam masyarakat Malaysia perlu didedahkan dan digalakkan menggunakan laman sosial sebagai medium mengenali dengan kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia. Kini golongan muda lebih mudah didekati melalui media massa seperti melalui program-program televisyen, laman sesawang, dan radio. Peluang ini harus dimanfaatkan bagi tujuan membudayakan golongan muda di Malaysia mengenali seterusnya mengamalkan budaya Melayu seperti berbudi bahasa, hormat menghormati, berintegriti, bertolak ansur dan seumpamanya untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang memiliki nilai-nilai murni. Hal ini kerana isu-isu yang berkaitan dengan budaya akan cepat tersebar melalui peranan media komunikasi seperti dari laman sesawang, televisyen, radio, akhbar, dalam filem, dan seumpamanya. Sehubungan dengan itu, media massa dapat membantu mencepatkan lagi peranannya sebagai medan masyarakat di Malaysia mahupun masyarakat asing mendekati serta mempelajari budaya Melayu. Selain itu, filem juga merupakan mekanisme yang amat berkesan dijadikan medium dalam memantapkan budaya Melayu. Walaupun filem-filem di Malaysia memainkan peranan untuk menghiburkan, dan memberikan keseronokan tetapi secara tidak langsung memaparkan rencah kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Hal ini sangat relevan dengan konsep Gagasan Satu Malaysia, filem bukan sahaja berperanan sebagai medan hiburan malahan memberi pengajaran akan nilai-nilai murni yang harus dipupuk dalam masyarakat agar dapat mewujudkan perpaduan kaum yang aman dan harmoni. Dalam konteks perpaduan kaum, antara filem Melayu yang memaparkan konsep Gagasan Satu Malaysia telah digambarkan dalam filem Bujang Lapok hasil arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, isu pendidikan diketengahkan dalam jalan ceritanya untuk membentuk masyarakat berilmu pengetahuan. Saban hari juga kita sering disajikan dengan drama-drama yang mengetengahkan konsep Gagasan Satu Malaysia yang ditayangkan menerusi saluran-saluran televisyen bagi tujuan memupuk perpaduan kaum di Malaysia. Lazimnya, isu-isu yang disampaikan begitu berkesan tanpa menyentuh sensitiviti masyarakat tertentu. Isu yang digarapkan dalam jalan ceritanya adalah bertujuan memberi pengajaran dan menerapkan nilai-nilai budaya dalam masyarakat. Filem Anak Mami The Movie arahan Profesor Madya A.Razak Mohaideen yang memperlihatkan tentang integrasi kaum. Selain itu, filem Sepet, Gubra, dan Talentime arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad turut memaparkan konsep Gagasan Satu Malaysia yang menuntut perpaduan kaum di Malaysia. Peranan watak-watak daripada bangsa Melayu, India, dan Cina dalam filem tersebut membuktikan bahawa melalui filem keharmonian, penyatuan, dan keutuhan masyarakat Malaysia dapat direalisasikan dengan peranan bahasa dan budaya Melayu. Dalam iklan Alkisah Janda Beranak Tujuh terbitan Petronas pada tahun 2003 bertemakan tentang kekeluargaan sebelum menyambut Aidil Fitri. Nilai-nilai murni seperti hidup harmoni, tolong menolong, dan toleransi yang diamalkan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dipaparkan dalam iklan ini bersesuaian dengan Gagasan Satu Malaysia. Sebenarnya, budaya Melayu memiliki kekuatan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu, hidup aman damai, dan saling hormat menghormati dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa di Malaysia. Apa yang dipaparkan dalam iklan dan filem sudah cukup membuktikan bahawa bangsa Melayu mampu bersatu bukan sahaja dalam kalangan masyarakatnya malah perpaduan itu boleh diwujudkan dalam kalangan kaum-kaum lain di Malaysia. Untuk merealisasikan konsep Gagasan Satu Malaysia, kerajaan turut memperkenalkan konsep “Merakyatkan Seni, Warisan dan Budaya Bangsa” dalam masyarakat Malaysia yang hidup berbilang kaum dengan menjadikan budaya Melayu sebagai wahananya. Matlamatnya adalah untuk membentuk jati diri masyarakat Bangsa Malaysia yang maju mengikut acuan sendiri. Kementerian Pendidikan Malaysia memainkan peranan memastikan pelajar-pelajar dapat menghayati, menghargai dan menyayangi seni, warisan dan budaya yang akan membentuk identiti unik Bangsa Malaysia sama ada dalam kurikulum atau kokurikulum. Penglibatan pelajar dalam bidang kokurikulum di sekolah akan dapat memupuk perpaduan kaum melalui aktiviti-aktiviti yang telah dirancang. Antara aktiviti yang didedahkan kepada pelajar ialah seperti tarian, muzik, bangsawan, teater, kraf, tulisan Jawi, pantun, syair, gurindam, permainan tradisional dan sukan rakyat, seni mempertahankan diri,dan seumpamanya. Selain itu juga para pelajar juga dilibatkan dalam unit-unit pakaian seragam seperti persatuan pengakap, persatuan puteri Islam Malaysia, Persatuan Kadet Remaja,dan lain-lain bertujuan memupuk perpaduan kaum sejajar dengan konsep Gagasan Satu Malaysia. Di samping itu, Pendidikan Muzik telah dijadikan mata pelajaran wajib di semua sekolah rendah untuk mencapai matlamat perpaduan kaum dalam kalangan para pelajar sekolah. Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik diperkenalkan dengan hasrat murni kerajaan untuk menyatupadukan kaum di Malaysia yang dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Di samping itu, para pelajar daripada pelbagai kaum akan diperkenalkan dengan aktiviti-aktiviti muzik secara berkumpulan seperti pasukan kompang, pasukan koir, gamelan, caklempong, pancaragam , orkestra bertali dan lain-lain lagi. Para pelajar akan dibahagikan dalam kumpulan pelbagai kaum dan dididik bekerja dalam kumpulan masing-masing. Hal ini kerana lebih 27 juta orang penduduk Malaysia yang berbilang kaum sudah tentu juga memiliki keunikan dan kepelbagaian kesenian. Bertitik tolak dari itu, variasi dalam kesenian seperti seni tarian, muzik, dan seumpamanya yang dimiliki oleh para pelajar tentu mampu mewujudkan keharmonian dan perpaduan kaum . Hal ini kerana keunikan yang terpancar dalam kepelbagaian warisan budaya kaum-kaum di Malaysia dapat dikongsi bersama dan secara tidak langsung akan menyatupadukan para pelajar sejajar dengan Gagasan satu Malaysia. Selain itu, aktiviti-aktiviti pengukuhan akan didedahkan kepada semua pelajar untuk merakyatkan seni budaya melalui seni tarian, puisi dan lagu serta festival kebudayaan tanpa mengira bangsa atau kaum. Buktinya, dalam RMKe-9, Kementerian Pelajaran Malaysia akan menubuhkan Sekolah Seni yang bertujuan membolehkan pelajar yang mempunyai minat dan bakat dalam kesenian untuk mempelajarinya secara lebih mendalam. Langkah ini diharap akan dapat memupuk jiwa para pelajar menghargai budaya masing-masing untuk merealisasikan Gagasan Satu Malaysia. Kesenian dan warisan bangsa diharap agar dapat dipertahankan, dibangunkan dan diperkembangkan dengan lebih meluas melalui penubuhan Sekolah Seni untuk generasi yang akan datang malah untuk pengetahuan bangsa-bangsa lain di seluruh dunia mengenali akan keindahan dan keunikan budaya dan bahasa Melayu yang boleh dikongsi oleh kaum-kaum lain. Usaha Kementerian Pelajaran Malaysia membudayakan semula tulisan Jawi melalui program j-QAF yang diperkenalkan pada tahun 2004 amat bertepatan dengan Gagasan Satu Malaysia. Dalam lipatan sejarah telah tercatat bahawa tulisan Jawi pernah digunakan sebagai tulisan rasmi dalam urusan pentadbiran, keagamaan dan budaya semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama KeKKWa untuk menghidupkan semula akhbar Utusan Melayu dengan menggunakan tulisan jawi amat dihargai. Langkah ini akan menyumbang kepada pengisian dalam akhbar tersebut untuk menyemarakkan program penjiwaan dan pembudayaan Jawi dalam masyarakat Malaysia bersesuaian dengan gagasan Satu Malaysia. Program ini sekurang-kurangnya turut menjadi tatapan bangsa asing untuk sama-sama mempelajari tulisan jawi. Tulisan jawi yang diangkat semula martabatnya telah disenaraikan sebagai warisan negara di bawah Akta Kementerian Kesenian dan Warisan pada tahun 2005. Tuntasnya peranan bahasa dan budaya Melayu bukan sahaja berperanan sebagai pemersatuan kaum malah dalam konteks yang lebih luas dapat mencerminkan keperibadian bangsa Melayu yang memiliki nilai-nilai murni seperti kesopanan kesantunan, berhemah tinggi, berbudi bahasa dan seumpamanya.
KESIMPULAN Bahasa dan budaya Melayu perlu dimantapkan untuk merealisasikan Gagasan Satu Malaysia seperti yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Abd Razak untuk mewujudkan perpaduan kaum berlandaskan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. Oleh itu perasaan hormat menghormati, sikap saling mempercayai antara kaum dan bertoleransi perlu disemai tanpa ada rasa curiga sesama sendiri. Semua kaum perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan yang dilakukan perlulah mengutamakan kepentingan negara terlebih dahulu, daripada melebihi kepentingan kaum masing-masing. Oleh itu, masyarakat Malaysia perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati dan dikongsi secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Apa yang paling penting adalah nilai-nilai murni yang ada dalam budaya masyarakat Malaysia akan dapat menyatupadukan rakyat Malaysia demi mencapai sebuah negara bangsa yang mapan dan progresif melalui kelestarian bahasa dan budaya Melayu. Apa yang diharapkan apa juga cabaran yang mendatang tidak mungkin akan memusnahkan ikatan persaudaraan kita sebagai satu bangsa iaitu Rakyat Malaysia. Keharmonian yang telah diwarisi daripada nenek moyang kita harus dipertahankan dan disemai dalam jiwa untuk generasi akan datang. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita berganding bahu mendukung hasrat murni perdana menteri untuk merealisasikan Gagasan Satu Malaysia melalui peranan bahasa dan budaya Melayu di Malaysia.
BIBLIOGRAFI
Abdullah Hassan .(1987). Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Abdullah Hassan . (1997). Bahasa Melayu Sebagai bahasa Ilmu dan Esei-Esei Lain. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.
Aliah Abdul Rahim. Bulan Bahasa dan Sastera Negara. 26 Februari 2010. Diperoleh daripada http://www.dbp.gov. my/klikdbp12okt8.pdf 26.
Asmah Haji Omar .(1984). Pengajaran bahasa Malaysia Dalam Konteks Perancangan Bahasa Kebangsaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Asmah Haji Omar (1985). Perancangan bahasa Dengan Rujukan Khusus Kepada Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Awang Sariyan . (1984) . Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti
A.Aziz Deraman. (2009). Bahasa Sebagai Wadah Perpaduan Bangsa. Dewan Bahasa. Jld 9 hal 6-10. Bahan maklumat – Konsep 1 Malaysia (Penjelasan mengenai Lapan Nilai) 21 Januari 2010 http://pmr.penerangan.gov.my
Amat Juhari Moain. Ph.D. ( 2000). Sosiolinguistik. Selangor Darul Ehsan: Universiti Putra Malaysia
Hashim Musa. (2009). Sosiolinguistik Lanjutan. Selangor Darul Ehsan: Universiti Putra Malaysia
Mohd Taib Osman. (2005). Budaya dan bahasa Melayu: Masalah dan Harapan. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Pelancaran Tabung Pembangunan bahasa dan sastera.
Berita Harian. Diperoleh daripada http://www.bharian.com.my/ tuesday/20100215233032/Article/index_html pada 16.02.2010.
Ismail Hussein, Aziz Deraman dan Abd Rahman Al Ahmadi. (1989). Tamadun Melayu Jilid 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Dewan (Edisi Keempat) (2005) . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Nik Safiah Karim.(1986). Bahasa Melayu Persoalan dan Pergolakan. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House Sdn Bhd.
Othman Puteh. (1997). Teks Cerminan Nilai Budaya Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 203
Awang Sariyan. (2008). Memartabatkan Bahasa Melayu. Diperoleh daripada file:///G:/awgsryan.htm pada 31 Jan 2010.
Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain. (1982). Pembinaan bahasa Melayu- Perancangan bahasa di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ritah Yahyah & Nurhamizah Hashim. (2009). Bahasa Kebangsaan adalah salah satu elemen penting untuk memupuk perpaduan. Dewan Bahasa, Jld 9 hal 62-6, Mac.
Shahulnizam Azamuddin. (2009). Satu Bahasa, Satu Malaysia. Dewan Masyarakat. Jld. 47 hal 2-3, Mac.

2 comments:

  1. terima kasih atas perkongsian. sgt membantu. :)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum cikgu,
    Boleh cikgu terangkan perbezaan diantara budaya konteks tinggi dan budaya konteks rendah serta contoh-contohnya. Terima kasih.

    ReplyDelete