Monday, 28 May 2012

BUDAYA DAN BAHASA MELAYU: PERANCANGAN KORPUS UNTUK PEMANTAPAN BAHASA MELAYU DALAM KONTEKS NEGARA BANGSA-David Anak Endawi [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Kertas kajian ini menghuraikan perancangan bahasa Melayu dalam aspek perancangan korpus. Perancangan korpus Bahasa Melayu bertujuan memantapkan dan memperkemas sistem bahasa Melayu supaya berupaya menangani peranan dan cabaran yang dilaluinya sebagai bahasa yang didaulatkan dan juga selaku bahasa perhubungan utama masyarakat Malaysia. Perancangan korpus bahasa ialah pembangunan bahasa atau kodifikasi bahasa. Matlamat utama kajian ini ialah melihat dari aspek perancangan menyeluruh korpus bahasa Melayu. DBP sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab secara langsung dalam usaha untuk membangun dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan akan memantapkan lagi bagi memperlengkapkan korpus Bahasa Melayu. Perancangan ini turut memuatkan bahan korpus bahasa Melayu dan bidang yang terkini iaitu Pangkalan Data korpus DBP. Di bahagian akhir dibincangkan beberapa aspek penelitian bahasa yang dilaksanakan dengan menggunakan korpus yang dapat mencerminkan penggunaan sebenar bahasa Melayu.
PENGENALAN
Perancangan bahasa dalam aspek korpus menurut Kamus Dewan edisi keempat, ialah perihal melakukan perbuatan, tindakan dan usaha. Sementara bahasa ialah alat komunikasi atau sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Korpus pula merujuk kepada himpunan makalah (tulisan) mengenai sesuatu perkara tertentu atau kumpulan bahan untuk kajian. Perancangan korpus bahasa (Language Corpus Planning) Heinz Kloss, bererti penjuruteraan atau perekayasaan yang dijalankan terhadap bahan bahasa, atau matan bahasa seperti ejaan, peristilahan tatabahasa, perkamusan dan lain-lain. Dalam perekayasaan itu bahan-bahan bahasa yang ada diatur dan dirancang untuk ditingkatkan mutunya, dipesiskan dan dijitukan pengertian dan konsepnya, dibanyakkan jumlahnya (seperti pada istilah), dibaiki kecekapannya, ditinggikan kemampuannya, dilengkapkan aturannya dan lain-lain. Apa yang dirancang? Soalan ini telah menjadi perbincangan ahli bahasa sejak dulu lagi hingga kini dalam aspek perancangan bahasa. Menurut David Crystal, 1994 (An encyclopedic dictionary of language and languages),perancangan bahasa ialah usaha yang disengajakan atau bersungguh-sungguh untuk mempengaruhi perlakuan orang lain tentang pemerolehan, struktur atau penentuan fungsi bahasa. Secara biasanya ia melibatkan pembinaan matlamat, objektif dan strategi untuk merubah cara bagaimana bahasa digunakan. Pada peringkat kerajaan perancangan bahasa melibatkan penubuhan dasar bahasa. Perancangan bahasa selalunya dikaitkan dengan konteks dunia ketiga, iaitu sebagai alat untuk membina bahasa kebangsaannya yang baku dalam proses pemodenan dan pembangunan bahasa. Dalam konteks Negara Bangsa pula, Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi moden. Sebenarnya perancangan bahasa bukannya fenomena moden dan terhad kepada dunia ketiga sahaja. Perancangan bahasa dibahagikan kepada tiga dimensi kecil.
(i) Perancangan korpus,
(ii) Perancangan status atau taraf bahasa (status planning), dan
(iii) Perancangan pemerolehan bahasa (acquisition planning).
Justeru kajian ini akan menghuraikan perancangan bahasa Melayu dalam aspek perancangan korpus. Seterusnya kajian ini juga akan menghuraikan jenis-jenis bahan bahasa yang dirancang dalam bahasa Melayu, iaitu perancangan aksara atau tulisan, sistem ejaan, semua aspek tatabahasa, peristilahan, sebutan, ungkapan, kosa kata dan perkamusan. Menerusi kajian ini, perbincangan terhad kepada perancangan bahasa Melayu dari aspek korpus bahasa di negara kita dalam usaha pemantapan serta pelaksanaan bagi semua bidang dalam konteks pembinaan negara bangsa.
PERANCANGAN BAHAN KORPUS BAHASA MELAYU
Terdapat sekurang-kurangnya sebelas jenis bahan bahasa yang dirancang dalam bahasa Melayu, iaitu:
a. Perancangan Aksara atau tulisan
b. Perancangan Sistem ejaan
c. Perancangan Tatabahasa yang mengandungi:
i. Fonologi
ii. Morfologi
iii. sintaksis
iv. semantik
d. Perancangan Peristilahan
e. Perancangan Sebutan
f. Perancangan Ungkapan
g. Perancangan Kosa kata dan perkamusan
h. Perancangan Laras
i. Perancangan Wacana
j. Perancangan Kesusasteraan, dan
k. Perancangan Pengajaran bahasa
Perancangan Aksara atau tulisan
Bahasa Melayu di pentas sejarah sejak abad ke-4 Masihi, iaitu apabila orang Melayu mula menggunakan tulisan. Prasasti berbahasa Melayu yang pertama ialah yang terdapat di Dong Yen Chau di Vietnam. Sebelum itu tiada rekod orang Melayu menggunakan tulisan. Tulisan yang digunakan ialah tulisan Pallava, iaitu tulisan India. Dengan itu orang Melayu pada masa itu telah memilih tulisan Pallava untuk tulisannya kerana mereka tidak dapat mencipta tulisannya sendiri. Apabila orang Melayu menulis dengan tulisan ini terdapat lambang-lambang fonem India yang dimasukkan ke dalam bahasa Melayu seperti dh, bh, kh, sy,v, ch dalam bahasa Melayu seperti bhumi, chuti, syuka-syitta dan lain-lain. Fonem-fonem tersebut sangat asing bagi bahasa Melayu maka dengan itu berlaku perubahan pada sebutan padaan : bhumi menjadi bumi, chuti menjadi menjadi cuti, syuka-syitta menjadi sukacita dan lain-lain. Ini bermakna orang Melayu pada masa itu telah mengubah unsur pengaruh yang datang kepada kehendak-kehendak bahasa Melayu sendiri. Apabila orang Melayu memeluk Islam, mereka mengambil tulisan Islam (Arab) untuk mempelajari ajaran Islam terutamanya tentang bacaan-bacaan al-Quran yang mesti dilakukan dalam bahasa Arab dan tidak dalam bahasa lain. Kemudian orang Melayu telah meminjam tulisan tersebut untuk bahasa Melayu. Proses pengambilan itu mengambil masa yang agak lama. Apabila tulisan Arab ini diterima oleh orang Melayu didapati bahawa fonem-fonem Melayu tidak dapat dipadankan lambangnya dengan huruf-huruf tulisan Arab, maka mereka telah mereka cipta huruf-huruf sendiri sebagai tambahan kepada huruf-huruf Arab. Bagi mengelakkan kekeliruan dan kesukaran, orang Melayu telah memilih satu cara, iaitu meminjam “rumah” huruf Arab dan kemudian membubuh titik yang jumlahnya berlainan dengan yang ada dalam bahasa Arab. Ini merupakan satu perancangan yang menarik. Dengan mencipta huruf-huruf baru orang Melayu dapat menulis kata-kata bahasa Melayu dengan tulisan Jawi dengan lebih baik. Itu sebabnya sampai sekarang ini tulisan Jawi masih dapat dipertahankan oleh orang Melayu, iaitu lebih daripada 700 tahun : 702H hingga 1418H. Huruf-huruf untuk fonem-fonem Arab yang dipinjam oleh orang Melayu juga dicipta, iaitu:
Fonem Arab Melayu
kh kh kh
gh gh gh
Apabila datang orang Barat pada tahun 1511, mereka telah membawa tulisan rumi. Mereka juga telah menggunakan tulisan mereka untuk bahasa Melayu seperti Duarte Barbosa (1516), Antonio Pigafetta (1522), de Houtman (1598), Thomas Bawrey (1701) dan lain-lain. Oleh sebab tulisan rumi begitu gencar, maka orang Melayu terpaksa menerima juga tulisan ini. Namun mereka tidak menerima keseluruhan apa yang disuguhkan oleh orang Barat. Beberapa lambang dan dwigraf yang perlu diperkenalkan untuk fonem-fonem Melayu. Dengan bantuan orang Barat sendiri orang Melayu mula mencipta lambang-lambang bagi fonem-fonem Melayu tertentu. Contohnya seperti berikut :
Fonem Lambang dalam tulisan rumi Lambang sekarang
c ch c
ng ng
ny ny
Perancangan Sistem Ejaan
Sistem ejaan adalah mengikut jenis huruf yang dipakai. Sistem ejaan huruf Pallava adalah seperti sistem ejaan huruf Jawa yang juga berasal dari India. Dalam tulisan Jawa, huruf-huruf digabungkan untuk membentuk bunyi perkataan yang dieja. Misalnya dalam aksara Jawa ada 20 huruf, iaitu :
Ho No Co Ro Ko
Do To So Wo Lo
Mo Go Bo Tho Ngo
Po Dho Jo Yo Nyo
Dalam sistem ejaan Jawi ada empat tahap pengejaannya. Mula-mula mengikut cara Arab, iaitu dengan menggunakan tanda-tanda baris seperti berikut :
(maka) (itu) (pada)
(jika) (hati) (kepada)
Kaedah ini menyulitkan proses penulisan kerana terlalu banyak tanda diakritik. Oleh itu mula ditiadakan diakritik seperti dalam tahap kedua. Tahap kedua masih mengikut cara Arab, iaitu dengan cara mengekalkan huruf-huruf Arab tetapi menggugurkan tanda-tanda baris seperti di bawah :
(ada) (dia) (daripada)
Kaedah ini banyak menimbulkan kekeliruan, oleh itu dibentuk sistem ejaan tahap ketiga. Tahap ketiga dibentuk mengikut satu cara baru sesuai dengan pemikiran dan bahasa Melayu. Sepertimana yang telah kita maklumi dalam bahasa Melayu kebanyakan kata-katanya mempunyai dua suku kata. Oleh itu setiap suku kata ada bunyi vokal. Oleh itu bagi tahap ketiga ini orang Melayu mula menggunakan huruf saksi pada suku kata pertama yang dieja. Bagi suku kata kedua tidak diberi huruf paksi. Contoh ejaan adalah seperti berikut :
(buaya) (laki) (bagi)
(paya) (lagi) (sugi)
Sistem yang digunakan dalam tahap ketiga ini masih juga menimbulkan kekeliruan walaupun tidak banyak seperti dalam tahap kedua. Oleh itu dibentuk ejaan tahap keempat. Tahap keempat adalah yang paling sempurna kerana kedua-dua suku kata diberi huruf saksi. Contoh ejaannya adalah seperti berikut:
(paya)
(lagi) (sugi)
(kerja)
(serta) (muara)
Dalam amalan orang Melayu tidak ada sistem yang diikuti, melainkan dicampuradukkan atau tangkap muat sahaja. Oleh itu Za’ba telah menyusun buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi pada tahun 1938 berserta dengan Pedoman Ejaan Jawinya. Setelah adanya pedoman-pedoman ejaan Jawi ini pun orang Melayu masih bersimpang siur dalam mengeja Jawi. Oleh itu pada tahun 1984 diadakan Konvensyen Tulisan Jawi di Terengganu. Hasilnya buku Pedoman Ejaan Jawi pada tahun 1986 dan Daftar Ejaan Jawi pada tahun 1988 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sistem Ejaan Rumi
Pada zaman permulaan, sistem ejaan ini adalah mengikut kaedah yang diperkenalkan oleh orang-orang Barat sendiri sebab tulisan rumi adalah tulisan mereka. Namun sistem-sistem ejaan rumi itu tidak sama kerana ia disusun oleh penulis daripada bangsa Barat yang berlainan. Perkembangannya adalah seperti berikut :
(a) Duarte Barbosa (Portugis) 1516
(b) Antonio Pigafetta (Itali) 1522
(c) De Houtman (Belanda) 1598
(d) Thomas Bawrey (Inggeris) 1701
(e) William Marsden (Inggeris) 1812
(f) R.J Wilkinson (Inggeris) 1902-1904
(g) Van Ophuijsen (Belanda) 1901-1909
Sistem ejaan di atas adalah berlain-lainan kerana berlainan bangsa dan bahasa. Selain itu terdapat kelainan lantaran berbeza orangnya walaupun sama bangsa seperti de Houtman dan van Ophuijsen (Belanda). Hal ini berlaku kerana belum ada pembakuan ejaan. Pada zaman penjajahan Inggeris, usaha untuk menyusun dan membakukan ejaan Rumi telah dijalankan. Wilkinson bersama teman-temannya diberi tugas menyusun dan mengatur sistem ejaan bahasa Melayu atas perintah kerajaan Inggeris. Sistem ejaan ini dijadikan sistem ejaan baku oleh kerajaan Inggeris. Ia digunakan secara rasmi pada tahun 1906. Oleh sebab ejaan ini menimbulkan sebutan yang janggal, maka Za’ba telah mengubahsuainya pada tahun 1933 yang dikenali sebagai Ejaan Sekolah. Semasa Perang Dunia Kedua, di bawah pemerintahan Jepun satu bentuk ejaan baru telah direka cipta yang dikenali sebagai Ejaan Fajar Asia kerana akhbar Fajar Asia yang menggunakan sistem ejaan tersebut. Hasil kerjasama Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia dari tahun 1972 hingga 1975, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan buku panduan ejaan rumi yang berjudul Pedoman Umum Ejaan baharu Bahasa Malaysia. Berdasarkan buku tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia pada tahun 1981, dan kemudian dibaiki pada tahun 1988.
Perancangan Tatabahasa
Pada masa dahulu orang Melayu tidak pernah menulis buku tentang tatabahasanya sendiri. Orang Melayu bukan setakat tidak menulis tatabahasanya bahkan mempelajari tatabahasa Melayu secara formal pun tidak pernah dilakukan. Orang-orang Barat seperti de Houtman, Shellabear dan lain-lain menulis buku tatabahasa Melayu yang menjadi sebahagian kamus mereka, iaitu Kamus Melayu-Asing atau Asing- Melayu. Penulisan-penulisan tentang bahasa Melayu oleh orang Barat mengikut pendekatan di Barat. Pada awal penulisan buku tatabahasa Melayu oleh penulis seperti Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad (1858) berjudul Bustan al-Katibin, Muhammad Ibrahim bin Abdullah Munsyi (1878) berjudul Pemimpin Johor dan Raja Muhammad Tahir bin Mursyid Riau (1915) berjudul Rencana Melayu masih mengikut kaedah tatabahasa Arab termasuk istilah-istilahnya. Selepas itu baru banyak buku bahasa Melayu diterbitkan. Ada dua orang pengarang yang agak menonjol iaitu Haji Muhammad Said Sulaiman dan Za’ba. Haji Muhammad Said Sulaiman telah mengarang beberapa buah buku bahasa untuk membakukannya supaya menjadi ikutan kepada orang lain seperti Buku Katan Melayu (Kamus Melayu) dan lain-lain. Beliau juga meminta para pembaca untuk membantunya dengan memberi maklumat-maklumat yang berguna kepada perkembangan bahasa Melayu. Pendekatan yang beliau pilih ialah sebahagiannya mengikut tatabahasa Inggeris. Namun istilah-istilah Melayu yang kebanyakannya ciptaan beliau sendiri seperti pendepan, pendian,jalan basa, gugus katan, dan lain-lain. Za’ba telah menyusun buku Pelita Bahasa Melayu, sebuah buku tatabahasa Melayu yang dikarang mengikut kaedahnya sendiri. Beliau menguasai bahasa bahasa Inggeris dan bahasa Arab dengan baik Beliau cukup mahir tentang bahasa Melayu kerana beliau banyak membaca buku-buku Melayu terutama buku-buku Melayu klasik. Daripada penguasaan tiga bahasa ini beliau telah dapat menyusun satu kaedah tatabahasa yang bersifat Melayu jati. Pelita Bahasa Melayu telah menjadi pegangan utama untuk bahasa Melayu selama kira-kira 46 tahun. Banyak pihak yang merujuk kepada buku ini apabila mereka menghadapi kesulitan tentang tatabahasa Melayu atau yang ingin mempelajari bahasa Melayu. Walaupun begitu perubahan tetap berlaku kerana bahasa adalah bersifat dinamik. Selain itu ilmu-ilmu baru pun bermunculan seperti linguistik moden, sosiolinguistik, psikolinguistik, neurolinguistik dan lain-lain. Teori-teori baru tentang bahasa bermunculan seperti tatabahasa struktural, transformasi generatif, tatabahasa senasional, wacana dan pelbagai lagi. Pengaruh dari Indonesia juga tidak kurang pentingnya seperti buku-buku karangan Hussain Munaf, Madong Lubis, Sutan Takdir Alisjahbana (Tatabahasa Baru Bahasa Indonesia) dan lain-lain. Dengan itu mula timbul buku tatabahasa hasil karangan penulis seperti Asmah Hj. Omar bersama Rama Subiah (An Introduction to Malay Grammar ), Arbak Othman (Tatabahasa Bahasa Malaysia) dan banyak lagi yang disusun oleh penulis lain. Dewan Bahasa dan Pustaka diberi tugas merancang, membina dan mengembangkan bahasa Melayu telah membuat perancangan tentang tatabahasa Melayu. Akhirnya sebuah buku tatabahasa diterbitkan pada tahun 1986 berjudul Tatabahasa Dewan. Buku ini telah menjadi pegangan utama dan menjadi rujukan tentang tatabahasa Melayu. Perancangan istilah Pada mulanya istilah dalam Bahasa Melayu terbentuk secara alamiah, iaitu mengikut keperluan pada masa itu. Ini berlaku setelah dalam bahasa Melayu mula berkembang ilmu-ilmu pengetahuan terutama dalam bidang agama dan pemerintahan. Agama yang terlibat ialah agama Hindu dan Buddha. Contoh istilah-istilah adalah seperti tuhan, sembahyang, puasa, dosa, pahala, raja, maharaja, permaisuri dan lain-lain. Kemudian apabila datang agama Islam muncul pula istilah-istilah Islam. Sebahagian kata istilah diambil daripada bahasa Melayu dalam zaman Hindu seperti sembahyang, puasa, dosa, pahala dan lain-lain tetapi diberi konsep Islam. Mana-mana yang tidak ada kata istilahnya dalam bahasa Melayu, kata-kata Arab pula yang diterima pakai terutama yang berkaitan dengan konsep- konsep baru seperti Allah, rasul, malaikat, nabi dan lain-lain. Walaupun banyak kata istilah yang diterima masuk tetapi ia berjalan secara evolusi, berperingkat-peringkat dan tidak berlaku secara mendadak. Apalagi dalam pengajaran Islam ia disampaikan secara bertahap dari yang diketahui kepada yang belum diketahui, daripada yang mudah kepada yang susah, daripada yang ringkas kepada yang rencam. Tetapi pada abad yang lalu telah berlaku satu perubahan. Pada masa itu pengaruh Barat semakin bertambah kuat, bukan sahaja penjajahannya tetapi juga kebudayaan, teknologi, tamadun, dan pemerintahan barat serta yang lain-lain. Pada tahun 1885 Maharaja Johor-Temenggung Abu Bakar telah diiktiraf sebagai Sultan Johor. Bagi memodenkan negeri Johor baginda telah mengambil cara dan kaedah pemerintahan Barat, namun menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa pemerintahan. Ini satu cabaran baru kerana istilahnya berlainan dan belum ada contohnya dalam bahasa Melayu. Pada tahun 1888 pegawai-pegawai kanan Johor terpaksa menubuhkan Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa bagi mempelajari bahasa Melayu dan mengajarkannya kepada orang lain yang belum mengetahui atau belum lancar bahasa Melayunya. Daripada pengetahuan mereka tentang bahasa Melayu, beberapa banyak istilah pentadbiran telah digubal, iaitu dengan menterjemahkan atau membentuk kata baru seperti setiausaha (secretary), jawatankuasa (committee), pejabat (office), pegawai (officer) dan lain-lain. Pada tahun 1950-an, pengajaran ilmu-ilmu moden termasuk ilmu sains dan teknologi dipertingkatkan di sekolah-sekolah di Malaya. Keadaan ini memaksa agar dicipta istilah-istilah dengan lebih cepat dan pantas. Untuk mengelakkan berlaku kekacauan dan juga untuk mempercepatkan penggubalan istilah, Dewan Bahasa dan Pustaka telah membentuk jawatankuasa-jawatankuasa kecil istilah bagi menggubal istilah secara cepat dan terancang. Pada tahun 1970-an, semakin banyak istilah diperlukan kerana pada tahun 1970 sekolah aliran Inggeris sudah mula ditukar ke aliran kebangsaan. Bagi mengurangkan kekeliruan dan kecelaruan sebuah pedoman umum yang lengkap dan pedoman khusus telah disusun. Pada tahun 1975, buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu telah diterbitkan. Berdasarkan pedoman ini beberapa banyak istilah telah digubal dalam pelbagai bidang
Perancangan Sebutan Baku
Sejak dari dahulu sebutan bahasa Melayu telah diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Perkembangan bahasa Melayu dari Campa di Funan (abad ke-4), ke Sriwijaya dan Syailendra (abad ke-7 hingga ke-12 ), kemudian ke Pasai-Samudera (abad ke-13 dan ke-14). Selepas itu ke Melaka (abad ke-15), Johor (abad ke-16 dan ke-17), Johor Riau (abad ke-18 dan ke-19) dan akhir sekali Johor dan Semenanjung (abad ke-20) serta Riau dan Indonesia (abad ke-20). Perkembangan bahasa Melayu berlaku secara alamiah. Perkembangan bahasa ini termasuklah sebutannya. Sebutan bahasa Melayu Melaka diwariskan kepada bahasa Melayu Johor, kemudian dari Johor ke Johor-Riau. Bahasa Melayu Johor berkembang tetapi tidak terlalu pesat kerana penutur bahasa Melayu adalah penduduk majoriti. Bahasa Melayu tidak banyak berubah kecuali pertambahan kosa kata dan beberapa segi bahasa yang lain dalam jumlah yang kecil. Dengan itu sebutannya masih kekal. Sebutan ini masih kekal dan diamalkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sampai kini. Selepas terbentuk negara Malaysia banyak penduduk di Sabah dan Sarawak dan juga penduduk bukan Melayu di Semenanjung menggunakan bahasa Melayu. Ditambah pula dengan pengaruh kuat unsur bahasa yang datang dari Indonesia melalui media cetak dan elektronik. Akhirnya timbul pelbagai sebutan yang berbeza. Ini memaksa pihak kerajaan bertindak bagi menyeragamkan sebutan bahasa Melayu. Supaya mudah dicerna dan mudah dijalankan, sebutan bahasa Melayu dibuat dengan cara mengikut bagaimana kata-kata itu dieja. Pada pertengahan tahun 1980-an, satu usaha telah dijalankan bagi melahirkan sebutan baku terutama dalam suasana dan majlis rasmi. Bagi mengukuhkan rancangan ini sebuah buku panduan sebutan baku yang berjudul Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu diterbitkan pada tahun 1988. Selepas itu diterbitkan pula Daftar Sebutan Baku. Pada masa ini, TV3 telah menggunakan sebutan baku, demikian juga beberapa badan dan institusi lain.
Perancangan Kosa Kata dan Perkamusan
Kosa kata Melayu telah lama wujud iaitu sejak wujudnya bahasa Melayu. Namun demikian dalam perjalanan sejarahnya yang panjang beberapa banyak kata asing yang dimasukkan ke dalam bahasa Melayu. Ia dimulai daripada bahasa Sanskrit kemudian bahasa-bahasa asing lain selain bahasa-bahasa suku bangsa yang wujud di Asia Tenggara. Apabila Islam sampai ke alam Melayu kata-kata bahasa Arab, Farsi, Hindi dan Turki masuk ke dalam bahasa Melayu. Kemudian apabila orang Barat datang ke Asia Tenggara yang dimulai oleh orang-orang Portugis dan selepas itu diikuti oleh Belanda, Inggeris, Perancis, Sepanyol dan lain-lain, bahasa Melayu semakin banyak menerima kata pinjaman. Keadaan semakin meningkat lebih pesat ketika berlaku ledakan perkembangan ilmu sains dan teknologi. Bagi mengelakkan kekeliruan dan untuk menyeragamkan pengertian, kata-kata asli dan kata-kata pinjaman telah dikumpulkan dalam bentuk kamus. Sebelum wujud kamus, daftar kata telah disusun. Tetapi penyusunan ini dilakukan oleh orang-orang asing seperti orang Cina dan orang Barat. Daftar kata telah wujud sejak 1403, iaitu Daftar Kata Cina-Melayu: kemudian Daftar Kata Itali-Melayu yang diusahakan oleh Antonio Pigafettan(1522), selepas daftar kata Belanda – Melayu, Melayu-Belanda oleh de Houtman. Pada tahun 1923 baru terbit kamus dalam Bahasa Melayu. Kamus ini diusahakan oleh orang asing yang ingin mempelajari bahasa dan budaya Melayu. Dengan itu kamus Melayu yang mula –mula disusun adalah dalam bentuk kamus dwibahasa, kemudian kamus tribahasa dan akhir sekali kamus pelbagai bahasa. Kamus ekabahasa Melayu yang pertama disusun oleh Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad berjudul Kitab Pengetahuan Bahasa (1858), diikuti oleh Saiyid Mahmud bin Saiyid Abdul Kadir berjudul Kamus Mahmudiah (1893). Kemudian pada tahun 1936 Haji Muhammad Said Sulaiman telah menerbitkan Buku Katan Melayu yang mengandungi kira-kira 10,000 kata entri. Kemudian terbit pula Kamus Melayu oleh Haji Syamsuddin Mohd Yunus. Selepas Perang Dunia Kedua terbit Kamus Zaman Atom (Ahmadi Asmara), Kamus Politik (Muhamad Hanif), Kamus Am Bahasa Melayu ( Mohd Shah et.al.). Setelah itu barulah terbit Kamus Dewan (1970) yang disusun oleh T. Iskandar. Kamus ini diterbitkan mengikut perancangan yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain kamus ini, Dewan Bahasa dan Pustaka juga menerbitkan kamus yang lain, iaitu Kamus Pelajar, Kamus Dwibahasa, dan pelbagai kamus istilah. Di luar Dewan Bahasa dan Pustaka ada lagi kamus diterbitkan seperti Kamus Sinonim dan Kamus Besar Bahasa Melayu yang dikarang oleh Zainal Abidin Safarwan.
Perancangan Ungkapan
Ungkapan bererti rangkai kata atau frasa, klausa dan juga ayat yang telah tersimpul dan mempunyai pengertian dan konotasi tertentu. Ruang lingkup ungkapan dalam tulisan ini termasuklah peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan, pepatah-petitih, kata-kata pujangga, hadis Melayu, perbilangan, gurindam, seloka, tamsil, ibarat dan lain-lain. Ungkapan-ungkapan yang tersebar dalam bahasa Melayu telah digunakan oleh pelbagai pihak tetapi tidak ada penyelarasan. Ini menyulitkan para pengguna yang datang kemudian. Oleh itu beberapa usaha telah dilakukan untuk mengumpulkannya dan memberikan maknanya sekali, supaya menjadi panduan kepada orang-orang yang datang kemudian. Usaha pertama telah dilakukan oleh Shellabear dan Munsyi Sulaiman Mohd Noor yang menerbitkan Kitab Kiliran Budi (1960). Kemudian baru terbit Kamus Pepatah Melayu oleh Syamsuddin Mohd Yunus (1920), Tikaman Bahasa oleh Muhammad Adnan bin Ariffin (1953), Mastika Bahasa, dan kemudian terbit buku-buku yang lain. Kamus yang menjadi kamus baku dalam bidang ini ialah Kamus Simpulan Bahasa (1966) dan Kamus Bahasa Melayu (1975) oleh Abdullah Hussain.
Perancangan Laras Bahasa
Laras Bahasa bererti satu kelainan dalam bahasa yang digunakan untuk tujuan tertentu sebagai lawan kepada dialek daerah atau dialek sosial. Laras bahasa lebih tertumpu kepada bahan-bahan subjek tertentu seperti bidang sains dan teknologi (medan wacana), ke media tertentu seperti pesanan dalam rakaman pita (moda wacana), atau ke peringkat keformalan (gaya wacana) dengan bahasa yang khas (Hartmann dan Stork, 1976). Sebagaimana yang dipaparkan di atas, laras bahasa adalah kelainan atau bahasa yang khas yang digunakan untuk bidang-bidang tertentu. Dalam perancangan bahasa bidang ini sangat penting kerana bahasa semakin bertambah rencam, ilmu-ilmu pengetahuan, sains dan teknologi bertambah jumlahnya dan semakin canggih pula sifatnya. Ini semua memerlukan istilah yang banyak dan khas, ungkapan-ungkapan yang tepat dan padat. Oleh itu ia perlu dirancang dengan teliti. Dalam perancangan laras bahasa, semua keperluan di atas perlu disediakan dengan baik- istilah-istilah dan ungkapan-ungkapan, supaya laras bahasa tadi dapat digunakan dengan berkesan, sama ada yang menyampaikan ilmu mahu pun yang menerima ilmu; atau yang menyampaikan maklumat dalam bidang tertentu dan yang menerima maklumat dalam bidang tertentu. Dengan itu jumlah laras adalah banyak iaitu sesuai dengan jumlah bidang tadi seperti laras sains, laras sastera, laras teknologi, laras pertanian, dan lain-lain.
Perancangan Wacana
Wacana atau diskursus ialah teks yang membentuk suatu unit yang agak lengkap. Ia biasanya terhad kepada ujaran-ujaran yang secara terus menerus oleh seseorang penutur untuk menyampaikan mesej (Hartmann dan Stork, 1976). Dalam mencari sesuatu perturutan ujaran maka boleh dibuat analisis wacana. Analisis wacana ialah analisis linguistik terhadap satu rangkuman bahasa yang lebih panjang daripada sebuah ayat dengan tujuan untuk mendapatkan perturutan ujaran dengan persekitaran yang serupa dan untuk ketetapan-ketetapan dalam taburannya. Terdapat tiga jenis wacana, iaitu :
(a) Medan wacana (field of discourse)
(b) Moda Wacana (Mode of discourse), dan
(c) Gaya wacana (style of discourse dan manner of discourse) Medan wacana merupakan tajuk atau mauduk atau topik yang dibicarakan. Dalam setiap percakapan sudah pasti ada tajuk atau topik yang dibicarakan seperti masalah jerebu dan wawasan 2020. Moda wacana ialah cara sesuatu tajuk itu diperkatakan atau dibicarakan atau ditulis seperti melalui surat bertulis, bahan-bahan bercetak, media elektronik, E-mail dan lain-lain. Gaya wacana ialah peringkat keformalan, iaitu sama ada yang rasmi atau tak rasmi, yang biasa, yang santai, dan lain-lain. Mengikut pendapat Martin Joos terdapat lima gaya, iaitu :
(i) Gaya akrab atau intimate. Di sini gayanya tidak formal dan tidak rasmi. Ia tidak ada basa-basi, kerana bercakap dengan teman-teman yang rapat dan akrab serta setaraf. Dalam perbualan biasa untuk gaya ini boleh menggunakan kata “ aku” dan “engkau”. Tidak lagi encik, tuan dan saya.
(ii) Gaya santai (casual), iaitu gaya yang digunakan dalam pertemuan- pertemuan yang biasa yang tidak rasmi tetapi hubungannya tidak akrab dan setaraf.
(iii) Gaya perundingan (consultative), iaitu gaya yang digunakan untuk memberi nasihat dan bimbingan serta kaunseling.
(iv) Gaya rasmi atau formal, iaitu gaya yang digunakan dalam majlis- majlis rasmi seperti dalam majlis mesyuarat, konvokesyen, persidangan agung dan seumpamanya.
(v) Gaya yang terbeku (frozen), iaitu gaya yang telah tersebati dan kaku dan tidak bolehdiubah-ubah seperti dalam majlis istiadat menyembah raja dengan kata-kata: “Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun” dan lain-lain. Atau kata-kata yang dimestikan dalam rukun khutbah Jumaat yang tidak berubah dari sejak zaman Nabi s.a.w hingga kini. Dalam perancangan wacana ini, dalam bahasa Melayu telah diatur dengan teliti seperti penggandaan panduan menulis surat kiriman yang telah lama wujud dalam bahasa Melayu. Demikian juga peraturan-peraturan dalam pertuturan untuk melamar, merisik, meminang, akad nikah dan lain-lain. Selain itu terdapat juga peraturan-peraturan serta ucapan-ucapan untuk menghadap raja, mengangkat sembah dan menjunjung duli. Kesemua ini dirancang untuk diikuti dan dipatuhi oleh anggota masyarakat Melayu dan sekarang Malaysia.
Perancangan Kesusasteraan
Dasar kata kesusasteraan ialah susastera. Susastera terbahagi kepada dua, iaitu “su” yang bererti baik, bagus dan indah: dan “sastera”, iaitu bahasa yang digunakan dalam buku. Kesusasteraan pula bererti hasil seni yang berbentuk karya tulisan dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Kaedah-kaedah untuk melahirkan karya seni sastera yang tinggi mutunya perlu dirancang dan dibentuk untuk menghasilkan karya-karya kesusasteraan yang unggul dan bermutu tinggi. Kekayaan ilmu dalam bidang linguistik dan bahasa terutama sekali tentang tatabahasa, kosa kata dan ungkapan, sangat diperlukan kerana ia yang menjadi alat utama dalam menghasilkan karya sastera yang baik. Selain itu penguasaan tentang ilmu kesusasteraan dan ilmu alat yang lain seperti dari sudut logik, ritma, irama, aliterasi, asonansi, rentak bunyi dan nada, kata-kata yang sinonim dan antonim, serta yang lain-lain perlu ada. Dalam hal ini telah disusun pelbagai kaedah dalam penulisan cerpen,sajak, novel dan drama serta panduan dan pedoman penulisan kreatif yang telah disusun oleh para pakarnya. Oleh sebab dunia ini merupakan sebuah kampung sahaja pada masa kini – natijah daripada perkembangan alat komunikasi dan teknologi maklumat, maka banyak panduan dan pedoman yang boleh dicari, diambil atau diperoleh dari pelbagai sumber di seluruh dunia, untuk digunakan dalam pembinaan dan pengembangan kesusasteraan Melayu.
Perancangan Pengajaran Bahasa
Pengajaran bahasa adalah satu kaedah untuk mengenalkan sesuatu bahasa melalui teori dan amalan pendidikan. Pengajaran bahasa ini terbahagi kepada dua, iaitu pengajaran bahasa pertama dan bahasa kedua. Pengajaran bahasa pertama dilakukan kepada pelajar-pelajar yang telah mengetahui bahasa ibundanya. Sedangkan pengajaran bahasa kedua dilakukan kepada pelajar-pelajar yang ingin mempelajari bahasa lain yang bukan bahasa ibundanya. Pengajaran bahasa pertama adalah untuk pengayaan bagi tujuan untuk penulisan kreatif. Sedangkan pengajaran bahasa kedua adalah untuk kemahiran, iaitu mereka dapat memahami apa yang dibaca dan didengar serta dapat menyampaikan maklumat yang dikehendaki kepada orang lain dengan jelas dan nyata melalui bahasa kedua yang dipelajari. Kaedah pengajaran bahasa ini telah dirancang di negara kita sejak dahulu lagi seperti pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dan kedua di Maktab Perguruan Bahasa (Institut Bahasa sekarang). Di Universiti Putra Malaysia, khususnya di Fakulti Pengajian Pendidikan telah diperkenalkan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa kedua sejak tahun 1981 juga di peringkat ijazah.
PERANCANGAN PANGKALAN DATA KORPUS, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Di Dewan Bahasa dan Pustaka, usaha awal pemanfaatan himpunan teks dalam penelitian bahasa melibatkan pembangunan pangkalan data pada tahun 1983 di bawah projek Analisis Teks Secara Komputer (Zaiton Ab. Rahman 1987). Projek ini menyasarkan data teks sebesar dua juta kata melalui teknik pensampelan a’ la korpus Brown. Namun, tatkala saiznya belum pun mencecah setengah juta, kriteria pensampelan diabaikan dan teks lengkap mula dikumpulkan untuk mengambil kira keperluan perkamusan dan kajian bahasa yang memerlukan konteks yang lebih luas dan wacana yang utuh.
Objektif dan Tujuan Pembinaan Pangkalan Data Korpus
Objektif pembinaan pangkalan data korpus yang digariskan dalam Sasaran Kerja Utama DPB 2001-2005 adalah pengumpulan sebanyak 30 juta kata, lalu menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 120 juta kata pada tahun 2005. Data korpus ini terdiri daripada teks tulisan yang merangkumi teks Melayu lama (hikayat dan kitab) dan teks moden yang diambil terutamanya daripada sumber buku, akhbar, dan majalah. Korpus lisan masih dalam perancangan kerana penandaan yang diperlukan untuk korpus lisan jauh lebih rumit daripada korpus tulisan dan tidak tertangankan buat masa itu. Tujuan utama pembinaan pangkalan data korpus ini adalah untuk menyediakan suatu prasarana penelitian yang objektif dan autentik sifatnya kepada para penyelidik bahasa Melayu supaya dapatan yang diperoleh daripada kajian berdasarkan korpus ini dapat mencerminkan peri laku tipikal kata dan frasa bahasa Melayu dalam persekitaran penggunaannya yang sebenarnya dan dapat pula dijadikan asas untuk penyusunan kamus, tatabahasa dan buku-buku bahasa yang lain. Pangkalan data ini juga akan disediakan dengan kemudahan capaian melalui Internet dan World Wide Web (WWW) supaya lebih ramai penyelidik di dalam dan di luar negara dapat memanfaatkannya. Kini kiraan mutakhir data teks yang terkumpul dalam pangkalan data DBP sudah pun melebihi 100 juta kata. Angka yang besar ini tidak memberi erti apa-apa andainya tidak diteliti dan dikaji. Langkah awal yang perlu dilakukan adalah meneliti dan menghuraikan data yang besar ini supaya apa-apa kajian yang dilakukan dan sebarang dapatan bukan sahaja sahih dalam batas cakupan data yang dikaji tetapi boleh ditentuluarkan untuk mewakili penggunaan sebenar bahasa Melayu. Reka Bentuk Awal : Pangkalan Data Teks Pangkalan data korpus DBP pada awalnya direka bentuk sebagai arkib teks ( juga dikenali sebagai pangkalan data teks) dan di DBP sendiri arkib ini sering kali disalahertikan sebagai ‘korpus’ atau ‘pangkalan data korpus’. Konsep ‘arkib’, ‘koleksi teks’, ‘korpus’, ‘korpus komputer’, ‘sub-korpus’ dan ‘kutipan’ dibezakan berdasarkan takrifan yang terdapat dalam “Preliminary Recommendations on Corpus Typology” EAG-TCWG-CTYP/P (Sinclair, 1996) seperti berikut:
(i) Korpus ialah kumpulan cebisan bahasa (atau teks lengkap) yang dipilih dan disusun mengikut kriteria linguistik yang eksplisit untuk digunakan sebagai sampel sesuatu bahasa;
(ii) Korpus komputer ialah korpus yang diberi penanda , kod dan diformatkan secara piawai serta dapat dicapai dan diproses dengan 256 komputer;
(iii) Subkorpus merupakan bahagian daripada korpus yang lebih besar dan mempunyai semua ciri korpus atau boleh juga merupakan “…a dynamic selection from a corpus during on-line analysis.” (Atkins et al., 1992); (iv) Koleksi dan arkib merujuk kepada set atau kumpulan teks yang tidak perlu
dipilih atau disusun mengikut kriteria linguistik dan lantaran itu berbeza daripada korpus;
(v) Kutipan (citation) ialah contoh sesuatu kata dalam konteks penggunaannya dan kumpulan kutipan ini tidak boleh dianggap sebagai korpus melainkan sekadar himpunan kutipan sahaja. Berbeza dengan arkib teks yang lain (sebagai contoh Oxford Text Archive atau Guteberg Project), pangkalan data teks DPB dilengkapi sistem untuk memproses teks yang dipilih. Teks boleh diproses untuk memperagakan barisan konkordans dan boleh dianalisis untuk mempamerkan maklumat statistik seperti kekerapan kata dan jumlah kata. Ada dua sebab mengapa reka bentuk ini terpilih dengan sendirinya. Pertama, atas tujuan kepraktisan. Teks digital perlu dikumpulkan dengan banyak dalam waktu yang sesingkat mungkin supaya himpunan teks tersebut boleh segera dimanfaatkan untuk kerja perkamusan. Lantaran itu, pengumpulannya pada peringkat awal pembinaan adalah lebih bersifat optimistik. Mana-mana teks terbitan DBP (buku, majalah, kertas kerja) yang sudah tersedia dalam bentuk digital akan dimasukkan dalam pangkalan data dan mana-mana teks digital yang ada pada penerbit lain dibekalkan secara gratis atau dibeli (seperti data akhbar) secara pukal. Data selebihnya ditaip semula atau diimbas dan dibaca pruf supaya keandalan teks itu melebihi 95%. Dengan demikian, semua teks digital bahasa Melayu layak diarkibkan tanpa perlu ada kriteria pemilihan khusus. Teks ini disimpan dalam pangkalan data yang berasingan. Pangkalan kecil ini diberikan nama berdasarkan jenis terbitan (buku, majalah, akhbar, efemera), jenis teks (teks lama atau tradisional, terjemahan) atau genre (drama, puisi). Pemecahan pangkalan ini didorong oleh batas perkakasan dan keperluan untuk mengasingkan teks berdasarkan wadah terbitan. Data yang besar dalam sesuatu pangkalan tidak mampu diproses oleh sistem dan perlu dipecahkan kepada sub-pangkalan. Sebagai contoh, data buku perlu disimpan dalam sub-pangkalan db1,db2, db3 … dan seterusnya kerana jika disatukan maka pemprosesan dan keseluruhan sistem akan ‘tergantung’. Atas sebab kekurangan ini dan kekurangan lain maka satu sistem baru sedang dibina di bawah projek pembinaan Sistem Bahasa Melayu Bersepadu. Sebab yang kedua ialah konsep dan kriteria korpus bahasa Melayu yang seimbang dan representatif belum dapat dijelaskan pada waktu itu: ‘Seimbang’yang bagaimana dan ‘representatif’ bagi apa ? Lantaran itu, sebagai dasar DBP memberikan pengguna pangkalan data teks itu kebebasan untuk mentakrifkan sendiri kriteria berpandukan skop kajian masing-masing. Dengan demikian apa yang dinamakan Pangkalan Data Korpus DBP itu sebenarnya belum lagi sepenuhnya ‘korpus’ tetapi masih merupakan sebuah arkib atau pangkalan teks. Namun demikian, daripada pangkalan ini, teks-teks dapat dipilih berdasarkan kriteria linguistik tertentu untuk dijadikan korpus oleh peneliti dan diproses untuk kegunaan peneliti itu sendiri. Reka bentuk pangkalan DBP yang sedia ada memberikan keluwesan kepada para penyelidik untuk mentakrifkan kriteria korpus penelitian masing-masing tanpa dikekang dan dipaksa menerima kriteria DBP. Reka Bentuk Semasa : Pangkalan Data Korpus Bahasa Melayu DBP Daripada pangkalan data yang sedia ada ini nanti teks-teks akan disarikan berdasarkan kriteria yang dikenal pasti untuk dijadikan pangkalan korpus bahasa Melayu yang ‘seimbang’ dan ‘representatif’ bagi penelitian penggunaan sebenar bahasa Melayu. Kajian yang dijalankan di bawah projek Nahu Praktis Bahasa Melayu ini merupakan langkah awal dalam penyediaan suatu himpunan data teks yang pelbagai dan mewakili genre serta sumber utama penghasilan bahasa Melayu tulisan. Kajian ini akan membantu penyelidik untuk memahami profil dan peri laku kata dan bentuk kata dalam korpus yang sederhana besar dan ini akan membawa kepada pembinaan pangkalan data korpus bahasa Melayu DBP yang seimbang dan representatif.
KESIMPULAN
Dari perbincangan-perbincangan di atas kita dapat membuat kesimpulan bahawa dalam Bahasa Melayu telah ada satu perancangan yang menyeluruh yang merangkumi sebelas jenis iaitu :
(a) Perancangan pemilihan aksara atau huruf dari Pallava, ke Jawi dan Rumi.
(b) Perancangan dalam menyusun sistem ejaan Jawi dari pengaruh Arab ke Melayu, dan sistem ejaan rumi dari pengaruh- pengaruh bahasa Barat ke Melayu.
(c) Perancangan tatabahasa Melayu yang telah melalui pelbagai pendekatan, iaitu tradisional, struktural, transformasi generatif, dan wacana serta yang lain-lain. Dalam perancangan ini banyak perkara telah disentuh, iaitu :
(i) Fonologi;
(ii) Morfologi;
(iii) Sintaksis;
(iv) Semantik.
(d) Perancangan penggubalan istilah yang dijalankan secara alamiah pada masa dahulu hingga kepada yang dirancang secara intensif seperti yang wujud pada masa kita ini.
(e) Perancangan sebutan baku yang bermula pada tahun 1956
(Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-3), tetapi baru dilaksanakan di sekolah pada tahun 1988.
(f) Perancangan ungkapan, iaitu membakukan ungkapan-ungkapan yang telah wujud dengan membukukannya seperti ungkapan-ungkapan dalam bentuk peribahasa dan simpulan bahasa.
(g) Perancangan pengadaan kosa kata dan perkamusan yang dimulai dengan daftar kata kepada kamus dwibahasa, dan sekarang kamus ekabahasa dalam bahasa Melayu.
(h) Perancangan laras bahasa untuk mengayakan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu, di samping untuk memodenkan dan mengintelektualkan bahasa Melayu.
(i) Perancangan wacana bahasa, iaitu yang disesuaikan dengan medan atau lapangannya, moda atau media penyampaiannya dan gaya mengikut keadaan dan suasananya.
(j) Perancangan kesusasteraan bagi menghasilkan karya kesusasteraan yang unggul dalam pelbagai genre seperti sajak, cerpen, novel dan drama.
(k) Perancangan pengajaran bahasa, iaitu bahasa pertama untuk pengayaan dan penulisan kreatif, dan bahasa kedua untuk kemahiran dalam kefahaman, penulisan, penuturan dan pengungkapan fikiran. Kertas kerja ini juga menguraikan secara ringkas perancangan, pembinaan, dan pemanfaatan teks yang sedia terkumpul dan tersimpan dalam pangkalan data Dewan Bahasa dan Pustaka. Usaha kumpulan penyelidik DBP untuk memanfaatkan sebahagian daripada data ini dalam kajian tatabahasa merupakan langkah yang wajar dilaksanakan dan diharap akan menjadi perintis kepada kajian-kajian lain. Semua kajian perancangan yang dilakukan akan memberikan perspektif dan wawasan (insight) yang berguna dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu dalam aspek korpus di Malaysia.
BIBLIOGRAFI
Abd. Ghafar Md. Din (2003). Prinsip dan Amalan Pengajaran. Selangor. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Abdul Hamid Mahmood (1990). “Penguasaan Bahasa Melayu Baku di kalangan pelajar-pelajar” dalam Jurnal Dewan Bahasa 34:4, hlm.243- 252. Abdullah Hassan (1997). Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan Esei-Esei lain. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Abdullah Hassan (1987). 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia.Kuala Lumpur: DBP
Abdullah Hassan (1983). Isu-isu pembelajaran dan pengajaran Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hassan & Ainon Mohd (1994). Bahasa Melayu untuk
Maktab Perguruan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
Ahmad Mahmood Musanif (2004). Modul BBM3410 Bahasa dalam Multimedia. Selangor. UPM.
Ahmad Mahmood Musanif (2004). Modul BBM3206 Semantik Selangor UPM.
Arbak Othman (2007). Modul BBM5201 Pembangunan Bahasa Melayu. Selangor. UPM.
Asmah Haji Omar (1978). Perancangan Bahasa dengan Rujukan Khusus kepada Perancangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : DBP.
Awang Sariyan (2009). Ceritera Tentang Kejayaan : Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. http://www.dbp.gov.my. Diakses pada 28 Januari 2009
Awang Sariyan (1996). Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur : DBP. Che Ibrahim Salleh (2007). Modul BBM3201 Pengantar Lingustik Am. Selangor. UPM
Chin Lee Yim (2009). Analisis-ik,-ikal,-is dalam bahasa Melayu berdasarkan data korpus. http://www.dbp.gov.my. Diakses pada 18 Januari 2009. DBP (2008). Apakah itu Pangkalan Data Korpus. http://www.dbp. gov.my. Diakses pada 26 Februari 2009.
Hashim Hj. Musa (2007). Modul BBM5203 Sosiolinguistik Lanjutan. Selangor. UPM.
Hassan Ahmad (2006). Bahasa Melayu Selepas 50 Tahun. Dalam Majalah Siswa, hlm 38-39.
Ibrahim Ahmad (2007). Modal Insan dan Perancangan Bahasa.
Dalam Majalah Siswa, hlm 20- 21. Institut Kefahaman Islam, 2005. Bahasa Kiasan: Perlu ke arah membina peradadan Melayu. http://www.gov.my. Diakses pada 18 Januari 2009.
Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1999).
Bahasa Kebangsaan (A) ( Untuk Warganegara Malaysia ). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: DBP. Kementerian Pelajaran Malaysia (1988). Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: DBP.
Korpus : Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas. http://ms.wikipedia. org./wiki/korpus.Diakses pada 28 Januari 2009.
Mhd.Amin Arshad (2004). Modul BBM3401 Bahasa Melayu Tinggi. Selangor. UPM.
Noor Aina Dani, 2007. Teori dan Realiti Perubahan Bahasa: Daripada Bahasa Ibunda kepada Bahasa Melayu. Dalam Jurnal e-Penyelidikan Bahasa. http://www.kaedahpenyelidikanbahasa.com Diakses pada 28 Februari 2009. Raminah Hj. Sabran & Rahim Syam (1985). Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia. Kuala
Lumpur : Fajar Bakti Sdn Bhd.
Rusli Abdul Ghani, Norhafizah Mohamed Husin & Chin Lee Yim (2009) Pangkalan Data Korpus DBP : Perancangan, Pembinaan dan Pemanfaatan. http://www.dbp.gov.my. Diakses pada 18 Januari 2009
Rusli Abdul Ghani & Chin Lee Yim (2009). Pengkomputeran
Bahasa Melayu : Kegiatan, kerjasama dan kemajuan.http://www.dbp.gov.my. Diakses pada 18 Januari 2009
Rusli Abdul Ghani & Norhafizah Mohamed Husin (2009). Yang Selari dan Yang Setanding : Peranan Korpus dalam Penterjemahan. http:// www.dbp.gov.my. Diakses pada 18 Januari 2009
Rusli Abdul Ghani & Zaiton Darois (2009). Istilah Sains dalam Teks Bacaan Umum. http://www.dbp.gov.my. Diakses pada 18 Januari 2009.
Zaharin Yussof (1996).Cintailah Bahasa Kita : Suatu
Tanggapan Linguistik Berkomputer. Syarahan di Dewan Budaya USM Pulau Pinang pada 01 Mac 1996. http:// www.usm.gov.my. Diakses pada 28 Januari 2009.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment