Monday, 14 May 2012

KEPENTINGAN LARAS BAHASA TERHADAP MASYARAKAT - Mohd Ehsaan Abd Rahman [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

ABSTRAK;- Kajian ini merupakan satu kajian mengenai kepentingan laras bahasa terhadap masyarakat di Malaysia. Laras bahasa sangat memainkan peranan penting terhadap masyarakat di Malaysia dalam pelbagai urusan kehidupan. Laras bahasa merupakan penggunaan bahasa mengikut bidang penggunaan sama ada bidang sains,ekonomi,politik,pendidikan dan lain-lain. Laras bahasa membayangkan konteks penggunaan bahasa yang berdasarkan hubungan,bidang dan wahana. Menurut Asmah Hj. Omar (1983) jika sesuatu laras itu diteliti berdasarkan bidang,maka laras tersebut ditandai oleh dua ciri sahaja iaitu istilah-istilah yang mewakili bidang itu dan juga gaya pengungkapannya atau ’phraseology’. Abdullah Hassan (1997) telah membahagikan Laras bahasa kepada beberapa jenis seperti Laras Umum,Laras Undang-undang,Laras Agama,Laras Himbauan, Laras Klasik, Laras Kreatif, Laras Bahasa Kanak-kanak,Laras Teknikal dan Laras Bahasa Iklan. Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa fungsi sosial bahasa menentukan variasi atau laras bahasa yang akan digunakan. Jumlah laras bahasa sesebuah masyarakat atau individu bergantung kepada fungsi bahasa sosial tersebut dalam budaya sesebuah masyarakat. PENGENALAN;- Nik Safiah Karim (1982:629) menyatakan bahawa laras bahasa bermaksud gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras bermaksud sesuatu variasi bahasa yang boleh dipilih daripada sekumpulan variasi yang ada pada bahasa tersebut. Abdullah Hassan (1997:248) menyatakan laras ialah ciri gaya penceritaan yang istimewa digunakan untuk sesuatu jenis bidang. Ciri-ciri istimewa tersebut membolehkan kita segera menjangkakan atau mengetahui apa-apa topik serta tajuk utama sesuatu teks sebaik-baik sahaja kita membaca ayat yang pertama. Malahan laras merupakan unsur bahasa dan bukan unsur makna.Ini bermaksud, makna yang sama boleh diungkapkan menggunakan beberapa laras. Ure dan Ellis (1977) menjelaskan laras merupakan sebagai pola penggunaan bahasa yang lazim digunakan dalam keadaan tertentu. Edward A.S. (1969) pula menyatakan laras sebagai bentuk bahasa yang khusus untuk situasi yang tertentu dan dapat dibezakan daripada bentuk yang digunakan dalam situasi yang lain.Trudgill (1974) pula menganggap laras sebagai satu bentuk bahasa khusus yang wujud daripada keadaan sosial. Hymes dan Gumperz (1980:216) mendefinisikan laras sebagai gaya percakapan dalam situasi tertentu. Jika laras berbeza,maka situasi pun akan turut berbeza dan begitulah sebaliknya. Laras merupakan satu konvensi sosial. Sesuatu laras tertentu digunakan untuk keadaan atau situasi yang tertentu.Kita dapat memperkatakan bahawa dengan memilih laras yang tidak sama untuk situasi yang berlainan, anggota masyarakat dapat menunjukkan bahawa mereka sedar akan situasi-situasi sosial yang berlainan yang wujud di sekitar mereka (Kamaruddin Haji Hussin,1995:5-6). Laras bahasa merupakan penggunaan bahasa yang ditandai oleh ciri-ciri khusus dan setiap laras berbeza mengikut bidang penggunaannya. Bagi menghuraikan hal, aspek, bidang dan peristiwa yang berbeza-beza, masyarakat akan menggunakan pelbagai bentuk bahasa yang berlainan yang dikenali sebagai laras bahasa. Laras bahasa ini dikaitkan dengan kemajuan sesebuah masyarakat. Abdul Hamid Mahmood (2001:13) menyatakan semakin banyak laras bahasa yang terdapat dalam bahasa sesebuah masyarakat itu, masyarakat itu semakin maju. Masyarakat yang maju sudah mempunyai laras bahasa yang cukup lengkap untuk memperkatakan pelbagai konsep ilmu dan hal-hal yang berkaitan dengan kemajuan. Tulisan saya ini mempunyai beberapa objektif,antaranya ialah mendefinisikan maksud laras bahasa menurut beberapa orang tokoh sarjana, membincangkan aspek kajian laras bahasa dan jenis-jenisnya, dan menyatakan kepentingan laras bahasa terhadap masyarakat di Malaysia. Manakala skop kajian meliputi definisi laras bahasa mengikut beberapa orang tokoh sarjana,aspek kajian laras bahasa dan jenis-jenis laras bahasa serta kepentingannya terhadap masyarakat di Malaysia. Sesuatu laras bahasa boleh dianalisis dari segi ciri-ciri Keperihalan (contextual features) dan ciri-ciri Linguistik. Menurut Ure dan Ellis (1977) ciri-ciri keperihalan dapat dibahagikan kepada dua iaitu situasi luaran dan situasi persekitaran. Situasi luaran bermaksud latar belakang sosial dan kebudayaan sesuatu masyarakat bahasa yang merangkumi struktur sosial dan keseluruhan cara hidup yang menentukan perlakuan sesuatu anggota masyarakat. Situasi persekitaran pula mencakupi aspek-aspek yang terlibat secara langsung dalam penggunaan bahasa. Antara aspek-aspek persekitaran yang dapat menghasilkan kemunculan laras bahasa yang berlainan iaitu; Cara penyampaian pula merupakan bentuk perhubungan yang digunakan termasuklah jenis bahasa, peserta yang terlibat dalam sesuatu peristiwa bahasa dan jangka masa penggunaan bahasa itu. Perhubungan sosial merupakan bentuk perhubungan yang berlaku antara penerbit dan pembaca akhbar, buku, majalah atau media yang lain. Perhubungan pula merupakan merupakan perhubungan antara individu secara terus. Dalam perhubungan peribadi iaitu kata ganti diri seperti aku, engkau dan kamu sebagai contohnya digunakan. Sesuatu perkara atau bahan yang diperkatakan menggunakan laras bahasa yang berbeza yang juga bergantung kepada isi yang hendak disampaikan kepada pihak yang lain. Perkara yang dibincangkan berkisar daripada yang umum kepada perkara yang abstrak dan kompleks. Bahasa diperlukan untuk melaksanakan atau mewujudkan peristiwa dan keperluan tertentu. Sebagai contohnya bahasa diperlukan untuk menyatakan maksud atau perasaan, bahasa digunakan dalam upacara yang tertentu seperti pertunangan,perkahwinan. Bahasa juga digunakan dalam memberi arahan, memujuk dan sebagainya. Dalam setiap situasi sosial, terdapat penggunaan bahasa, peserta yang terlibat dan fungsi peristiwa tersebut dalam sesuatu masyarakat. Ciri-ciri linguistik membuat penganalisisan sesuatu laras daripada beberapa dimensi. Dari satu segi, ciri-ciri linguistik dilihat berkait rapat dengan faktor sosial seperti latar belakang orang yang menulis atau bercakap, hubungan penulis dengan pembaca atau pendengar dengan topik yang bicarakan. Dari sudut yang lain pula, sifat-sifat bahasa itu sendiri yang bersifat luwes dan pragmatis yang menyebabkan wujudnya aspek-aspek kehadiran dan ketidakhadiran sesuatu ciri, kekerapan kehadiran dan suasana struktur tertentu. Terdapat faktor-faktor kewujudan laras bahasa. Laras merupakan bentuk bahasa yang wujud akibat situasi sosial yang berlainan. Antaranya ialah bangsa, jantina, status sosial, pendidikan, kerjaya dan disiplin ilmu. Manakala menurut Dell Hymes (1966) kewujudan kepelbagaian laras pula ialah disebabkan oleh pemula, penerima, bentuk mesej, cara penyampaian, jenis bahasa, tajuk dan latar Abdullah Hassan (1997:248) telah membahagikan laras bahasa kepada beberapa jenis, antaranya ialah Laras Umum. Laras ini digunakan untuk menerangkan sesuatu topik kepada pembaca atau pendengar yang bukan pakar dalam bidang tersebut. Ciri-ciri laras umum ialah tidak mengandungi istilah teknikal,menggunakan ayat yang berstruktur mudah dan tidak banyak menggunakan kata atau perkataan pinjaman. Laras umum digunakan dalam semua jenis media seperti radio, televisyen, akhbar, majalah, buletin dan seumpamanya. Sebagai contohnya: SEPANG: Deraian air mata dan tangis sedu menyambut kepulangan pelakon remaja, Salsabila Yunan, 15, yang pulang semalam selepas menghilangkan diri mengikut kekasihnya ke Pulau Lombok, Indonesia, sejak tujuh bulan lalu. Kepulangan Salsabila atau lebih mesra dengan panggilan Bella ke pangkuan keluarga turut membawa hadiah bermakna kerana dia kini mengandung lima bulan, hasil perkahwinan dengan kekasihnya itu sebaik tiba di pulau berkenaan, Ogos lalu. Bagi bapanya, Yunan Mat Ayat, 77, dia hampir putus asa dan tidak menyangka dapat berjumpa semula anak bongsunya itu. “Saya ingat tak dapat jumpa dia lagi kerana kini usia saya sudah tua dan mungkin tak berapa lama lagi akan ‘habis’ (meninggal dunia). Tak dapat diungkap penghargaan kepada semua pihak yang mempertemukan kembali saya dengan anak saya,” katanya ketika ditemui menunggu kepulangan Bella di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, petang semalam. Petikan: Akhbar Harian Metro,24 Februari 2010 Laras Teknikal pula digunakan oleh para pakar untuk berkomunikasi dengan pakar yang lain yang sebidang dengan mereka. Sebagai contohnya seorang arkitek bercakap dengan arkitek yang lain tentang reka bentuk bangunan. Laras Teknikal juga bermakna semua jenis teks dalam semua jenis bidang kepakaran sama ada sains tulen (matematik, kimia dan fizik), teknologi (kejuruteraan, seni bina, perubatan dan elektronik), sains sosial, muzik serta kepakaran yang lain.Ciri-ciri laras teknikal ialah seperti banyak mengandungi istilah khusus dalam bidang tertentu,mengandungi ilustrasi (gambar rajah, jadual, graf, peta dan simbol), struktur ayat mengandungi subjek dan penerang, mengandungi ayat yang mendefinisikan makna istilah, tidak banyak mengandungi unsur bahasa perlambangan dan bunga-bunga bahasa serta tidak mengandungi ayat-ayat yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai makna dan cara. Laras Teknikal digunakan dalam buku teks, jurnal, laporan dan penerbitan persatuan-persatuan profesional. Sebagai contohnya; Enjin Campro DOHC asas dikeluarkan dalam 2 sesaran enjin iaitu 1.6L (S4PH) dan 1.3L (S4PE). Semasa peringkat pembangunannya, enjin ini dipasang pada Proton Waja yang digunakan khas untuk ujian jalan raya. Enjin ini mula digunakan pada Proton Gen-2. Walaupun enjin tersebut kelihatan berkuasa pada kelajuan enjin tinggi, namun pengguna awal Gen-2 mengalami masalah kekurangan kilasan terutamanya untuk mendaki bukit semasa kelajuan enjin sekitar 3,000 ~ 3,500 rpm disebabkan penurunan kilasan pada kelajuan tersebut sebelum meningkat semula ke 148 N-m pada 4,000 rpm. Akibatnya, pemandu terpaksa banyak menukar antara gear 2 dan 3 semasa mendaki bukit. Masalah ini diselesaikan dengan pemetaan semula ECU enjin tersebut pada tahun 2005. Laras Undang-undang pula merupakan sejenis laras teknikal tetapi mempunyai ciri kelainan yang tersendiri iaitu; tidak mengandungi gambar, gambar rajah,jadual, simbol, peta dan lain-lain, struktur ayatnya terdiri daripada prinsip undang-undang diikuti oleh syarat-syarat dan diakhiri dengan keputusan undang-undang dan terdapat bentuk frasa sendi nama yang tidak digunakan dalam teks teknikal yang lain. Laras Undang-undang digunakan oleh pakar perundangan termasuk peguam, hakim dan pendakwa apabila mereka menulis dan bercakap tentang undang-undang. Sebagai contohnya; Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadamkan kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda. Laras Agama pula merupakan apa-apa teks yang diungkapkan menggunakan laras agama yang boleh jadi perkara agama,buku agama atau apa-apa jenis agama. Ciri-ciri Laras Agama ialah;terdapat unsur bahasa klasik terutama pada kosa katanya,terdapat istilah agama yang khusus bagi sesuatu agama dan banyak mengandungi bentuk cerita, kias dan ibarat. Laras Agama digunakan untuk menerangkan apa-apa tajuk bagi tujuan keagamaan. Sebagai contohnya; Tauhid Rububiyyah Yang dimaksudkan dengan Tauhid Rububiyyah iaitu keyakinan atau pandangan bahawa hanya Allah sahajalah yang mempunyai kesanggupan mutlak untuk menciptakan segala sesuatu yang dikehendaki-Nya dengan tidak memerlukan bantuan dari pihak-pihak yang lain.Tauhid atau akidah seperti ini dalam ilmu tauhid dikenali dengan Tauhid Rububiyyah. Justeru itulah maka Allah SWT sentiasa disebut dengan ”Rabbul ’Alamin”. Petikan:3 Sendi Agama Tauhid-Fekah-Tasauf,hlm 3-4 oleh Dr.Amran Kasimin Laras Himbauan ialah sejenis bahasa bujukan. Istilah bujukan dan pujukan merupakan perkara yang berbeza. Bahasa Bujukan berfungsi untuk menghimbau, mengajak, memanggil, meminta, memohon atau menyeru supaya pendengar atau pembaca bersetuju lalu mengambil tindakan untuk melakukan sesuatu. Bahasa Pujukan merupakan bahasa menghibur orang yang merajuk. Namun begitu, keduanya iaitu bujukan dan pujukan merupakan Laras Himbauan. Contoh Laras Himbauan ialah khutbah, kempen, pujukan, rayuan dan doa. Fungsi utama Laras Himbauan ialah untuk mendorong atau menarik perhatian orang supaya melakukan sesuatu perbuatan yang mungkin berbentuk positif ataupun negatif. Laras Himbauan mempunyai ciri-ciri seperti berikut;banyak menggunakan perkataan yang membawa makna ’ajak’ atau ’tegah’, banyak menggunakan contoh, kes dan cerita yang selaras dengan tajuk, menampilkan faedah-faedah sesuatu perbuatan, menampilkan akibat buruk sesuatu perbuatan dan juga bentuk bahasa peribadi yang menggunakan ganti nama orang pertama menjadi ciri utama laras ini. Laras Himbauan terdapat dalam bentuk lisan dan tulisan. Contoh Laras Himbauan dalam bentuk teks bertulis khutbah, ucapan rasmi, doa dan iklan. Oleh hal yang demikian, Laras Bahasa Himbauan merupakan gaya bahasa rasmi dan bukan gaya pertuturan. Sebagai contohnya; Doa selepas solat yang sering dibaca oleh orang-orang yang beragama Islam setelah selesai menunaikan solat sama ada solat wajib atau sunat. Ertinya: “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang segala puji bagi Allah Tuhan Pentadbir seluruh alam. Pujian yang melengkapi nikmat-Nya, dan pujian yang menambahkan kelebihan-Nya, wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala puja-puji sebagaimana patut kerana kebesaran zat-Mu dan agung kekuasaan-Mu” Laras Klasik terdapat dalam karya-karya Melayu lama seperti dalam hikayat dan kitab-kitab kuno. Dengan perkataan lain,laras klasik merupakan bahasa Melayu lama. Antara contoh karya lama ialah Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Laras Klasik mempunyai ciri-ciri seperti; teks asal ditulis dalam tulisan Jawi, tidak menggunakan tanda bacaan dan tidak menggunakan perenggan, banyak menggunakan struktur ayat pasif, terdapat penggunaan kata praklausa atau kata pembuka ayat yang tidak digunakan lagi dalam bahasa moden seperti arakian, hatta, kalakian, empunya dan persetua. Laras Klasik juga mengandungi kosa kata bahasa istana dan juga tidak terdapat imbuhan asing untuk pembinaan istilah sains dan teknikal seperti dalam bahasa Melayu moden, iaitu eka, dwi, mono, bi dan pra. Contoh Laras Klasik seperti; Hatta berapa antaranya maka rangga dan Raden Aria pun datanglah dari benua Keling itu. Maka dipersembahkan oranglah kepada Seri Betara mengatakan Raden Aria dan Rangga sudah datang. Petikan: Kassim Ahmad (1971) Hikayat Hang Tuah,hlm 106 Laras Kreatif atau Laras Sastera digunakan dalam karya kreatif sama ada dalam bentuk prosa (cerpen, novel), puisi (pantun, sajak, gurindam), drama (pentas, radio, televisyen dan filem) dan juga peribahasa. Laras Kreatif mempunyai ciri-ciri sebagaimana berikut; menggunakan struktur ayat aktif dan ayat pasif, menggunakan bentuk dialog (perbualan) sebagai contohnya dalam drama, menggunakan bahasa perlambangan dan kiasan, bersifat kreatif-imaginatif iaitu menggunakan bahasa kiasan,tidak terdapat ciri-ciri khusus bahasa teknikal dan penggunaan ilustrasi seperti rajah, jadual, carta, peta dan gambar. Juga terdapat unsur ambiguiti (ketaksaan) dari segi penggunaan kata dan penggunaan struktur ayat. Laras Klasik juga terdapat penyimpangan (deviasi) dari segi fonologi, morfologi dan sintaksis. Di samping itu juga Laras Klasik menggunakan alat-alat stilistik untuk tujuan menimbulkan kesan contohnya menggunakan unsur imejan. Contoh Laras Kreatif; Dari belahan jendela,saya lihat ada rama-rama yang hinggap di pagar. Dalam sekejap,ia singgah pula di celah pandan yang baru muncul. Kemudian ia terapung-apung. Cantik sekali. Ah, rama-rama. Entah siapa yang akan bertandang! Atau siapa dari masa lalu yang akan datang kembali? Kini sayap itu tersangkut di daun kantan yang panjang. Atau adakah dia yang tiba-tiba muncul? Oh, adakah dia yang menjelma menjadi rama-rama? Petikan:Cerpen Tiba-tiba Ada Mawar dalam Jiwa (Mawar Shafie) Menurut Farid M.Onn (1982) tulisan kreatif dikatakan sebagai: ’’......... tulisan imaginatif yang memerlukan penggunaan atau gaya bahasa yang kreatif dan imaginatif,iaitu bahasa yang memenuhi konsep foregrounding”,mengandungi nilai-nilai estetika yang tinggi sehingga dapat menimbulkan kepuasan dan kenikmatan pendengar dan pembacanya. Bahasa kreatif juga dapat dilihat sebagai mengandungi unsur pengulangan dan pemusatan. Laras bahasa sastera (laras kreatif) harus mempunyai kata-kata yang segar dan bertenaga supaya dapat melukiskan gambaran yang cukup jelas dan hidup kepada pembaca. Sebagai contohnya novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Anuar Ridwan telah melukiskan keadaan pada hari petang di desa sebagai berikut: Terhampar tidak sampai dua batu dari pantai berhutan bakau, desa itu perlahan-lahan menyerahkan warna hijaunya kepada keremangan sore bulan Oktober . Hari-hari di langit utara ber gantungan beberapa tompok awan yang gelap menandai Monsun Timur Laut yang mula bermusim. Contoh yang lain pula seperti; Kuala Semantan Biarpun berabad lagi Engkau tetap akan gemilang Namamu kan lebih harum Menjunjung sekalian nama Nama pahlawan yang hilang Hilang di zaman silam (Puisi ”Kuala Semantan Namamu Kan Tetap Gemilang”Karya Aripin Said) Laras Bahasa Kanak-kanak pula merupakan laras yang dituturkan oleh kanak-kanak. Laras ini digunakan untuk menghasilkan bahan bacaan atau untuk pendengaran kanak-kanak. Bahan-bahan seperti buku dan majalah untuk kanak-kanak serta siaran radio dan televisyen menggunakan laras ini untuk golongan kanak-kanak. Laras Bahasa Kanak-kanak mempunyai ciri-ciri seperti; kosa katanya terdiri daripada kata akar, kata nama konkrit, kata kerja dan kata adjektif. Kosa katanya kurang berbanding dengan kosa kata untuk orang dewasa, bilangan imbuhan yang digunakan terhad, dan imbuhan untuk membentuk kata abstrak tidak terdapat dalam laras ini, struktur ayat yang banyak digunakan ialah struktur ayat aktif bentuk tunggal. Manakala bahasa perlambangan langsung tidak digunakan dan begitu juga dengan bentuk bahasa yang berbunga-bunga. Contoh Laras Bahasa Kanak-kanak; Suatu ketika dulu, ada seekor arnab dan seekor kura-kura berselisih pendapat tentang siapa yang boleh berlari lebih pantas. Kemudian mereka mengambil keputusan untuk menyelesaikan perselisihan itu dengan mengadakan satu perlumbaan. Mereka bersetuju tentang masa dan jalan-jalan yang bakal dilalui dalam perlumbaan itu. Di suatu hari yang sesuai, perlumbaan tersebut pun dimulakan. Arnab lari selaju-lajunya. Kemudian dia berhenti dan mendapati kura-kura tertinggal jauh di belakang. Arnab pun mengambil keputusan untuk berehat sebentar di bawah sebatang pokok di mana dia akhirnya tertidur dengan nyenyak. Kura-kura mengesot dengan tidak berhenti-henti dan akhirnya dia memenangi perlumbaan itu. Arnab terjaga dari tidur tetapi sudah terlambat kerana kura-kura telah sampai ke garisan penamat. Laras bahasa iklan merupakan bentuk bahasa yang digunakan dalam bidang perniagaan dengan tujuan memperkenalkan barang yang hendak diniagakan. Disebabkan kemajuan dalam dunia perniagaan,jenis perniagaan juga pelbagai,persaingan dalam dunia perniagaan banyak menyebabkan perhubungan antara pengguna dan penjual menjadi bertambah sukar,maka pengiklanan barang-barang perniagaan memerlukan laras bahasa perniagaan atau iklan yang betul dan sesuai.Ini untuk memastikan barang-barang yang hendak dijual itu diketahui oleh para pengguna. Laras Bahasa Iklan pula terdapat dalam bentuk lisan dan tulisan. Fungsi utama laras ini untuk memperkenalkan dan menjual barangan atau perkhidmatan yang diiklankan. Laras Bahasa Iklan mempunyai ciri-ciri seperti;terdapat penggunaan unsur grafik dan ilustrasi yang sangat ketara pada iklan yang bercetak,terdapat penggunaan gambar bergerak dan muzik dengan jelas pada laras iklan pandang-dengar iaitu dalam filem dan televisyen,struktur ayatnya pendek dan banyak menggunakan ayat tunggal,menggunakan unsur retorik atau manipulasi bahasa secara berkesan,menggunakan ungkapan istilah dan juga menggunakan pelbagai kaedah untuk memujuk atau menarik perhatian pengguna seperti kaedah umpan,pujukan,kemesraan,gesaan dan doa. Dari sudut penampilan, terdapat dua jenis iklan. Pertama, iklan promosi untuk tujuan penjualan. Laras jenis ini menggunakan pelbagai teknik himbauan, baik pada unsur bahasa mahupun seni grafiknya. Contoh iklan ini ialah iklan yang dicetak pada bungkusan barangan (termasuk kulit buku) dan poster. Kedua ialah iklan pemberitahuan, seperti iklan tender, jawatan kosong dan ucapan takziah. Iklan ini tidak menggunakan seni penampilan yang menonjol. Menurut Asmah Haji Omar,penggunaan bahasa dalam iklan mempunyai matlamat yang tersendiri yang ditujukan kepada golongan pengguna sasaran. Penggunaan bahasa dalam iklan bertujuan membentuk persepsi para pengguna supaya mengubah sikap mereka dan akhirnya mempengaruhi tindakan mereka. Mesej yang hendak disampaikan melalui iklan harus mempunyai pelbagai strategi yang membawa ke arah pengaruh yang positif (Asmah Haji Omar,1988).Contohnya; Terimalah kenyataan. Kalau anda memandu kereta ini, anda tidak akan menjadi lelaki paling hebat di jalan raya. Tapi kalau anda berada di belakang stereng salah sebuah kereta berkelajuan tinggi yang penuh stail, orang sebenarnya iri pada anda. Tapi tidak mengapa, dengan memiliki kereta yang mempunyai enjin 1.8, injap, DOHC dan EF; anda tidak sempat melihat wajah-wajah iri pemandu-pemandu lain. Kereta ini akan meluncurkan anda dari 0 ke 100 km/j dalam tempoh 8.9 saat. Walaupun kereta ini jenis prestasi tetapi ia boleh digelar limousin. Bahagian dalamnya direka mewah. Tempat duduk yang cukup selesa membuat perjalanan jauh sangat menarik dan indah. Model FL.TX3 dengan stail baru. Kalau anda tidak suka menjadi perhatian orang, jangan pandu. Laras bahasa iklan mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri. Antaranya ialah; Kebiasaannya menggunakan perkataan-perkataan yang boleh memujuk pengguna supaya tertarik untuk membeli barangan yang hendak dipasarkan. a. Rumah banglo harga sederhana yang murah khas untuk keselesaan anda seisi keluarga. b. Bedak wangi X sangat istimewa dan sangat sesuai untuk melicinkan kulit anda. c. Tawaran khas untuk anda. Anda mampu dan layak untuk memilikinya. Kaedah mengumpan. Kaedah ini menggunakan bahasa yang boleh menarik dan memikat pengguna supaya cepat- cepat membeli barangan yang hendak dijual tersebut. Contohnya; a) Tawaran Hebat!Separuh harga. Hanya dua minggu sahaja iaitu bermula 1 Mac hingga 14 Mac 2010. b) Tawaran Hebat. Potongan hebat 20%-70%. c) Jualan Penghabisan stok. Kaedah Perbandingan, Kaedah ini bertujuan untuk menunjukkan kelebihan satu-satu barang yang hendak dipasarkan. Contohnya; a) X pembunuh nyamuk lebih handal dan hebat. b) X menjadikan gigi anda lebih putih dan bersih. c) X terkuat dan terhandal di seluruh Malaysia. Kaedah Ajakan, kaedah yang mengajak pengguna membeli dan menggunakan barangan yang hendak dipasarkan; a) Sila ke kedai kami. Masakan Pantai Timur disediakan. b) Sila rasa X. Lazat dan berkhasiat. Kaedah Meyakinkan, Bahasa iklan juga menggunakan kaedah meyakinkan iaitu laras bahasa yang boleh memberi keyakinan iaitu laras bahasa yang boleh memberi keyakinan kepada pengguna terhadap barangan yang hendak dibelinya. Contohnya; a) Syarikat kami mengutamakan cita rasa anda. b) Bank X merupakan bank pilihan anda yang tepat. c) Simpanan X untuk masa depan anda yang gemilang. d) Kami berkhidmat untuk anda dulu kini dan selamanya. KESIMPULAN;- Laras Bahasa sangat penting kepada kita semua dan kepada masyarakat di Malaysia pada amnya. Laras bahasa ialah penggunaan bahasa secara khusus mengikut bidang penggunaannya atau pola penggunaan bahasa yang lazim mengikut keadaan tertentu. Sesuatu laras bahasa boleh diteliti dari segi ciri keperihalan dan ciri linguistik. Abdullah Hassan (1997) telah membahagikan Laras Bahasa kepada beberapa jenis seperti Laras Umum,Laras Undang-undang,Laras Agama, Laras Himbauan, Laras Klasik, Laras Kreatif, Laras Bahasa Kanak-kanak, Laras Teknikal dan Laras Bahasa Iklan. Masyarakat dalam pelbagai taraf sosial dan akademik menggunakan laras bahasa yang berbeza mengikut kesesuaian penggunaannya. Segala urusan dalam kehidupan akan menjadi lancar dengan adanya pelbagai jenis laras bahasa. Penggunaannya perlu disesuaikan agar memenuhi ciri-ciri bagi sesuatu laras bahasa tersebut. Laras bahasa dalam satu bidang ilmu berlainan dengan laras bahasa dalam bidang ilmu yang lain. Seseorang penutur yang menuturkan sesuatu bahasa boleh mempunyai pelbagai jenis variasi bahasa dan boleh memilih dan menggunakannya sesuai dengan laras-laras bahasa yang berlainan dalam bidang-bidang atau disiplin ilmu yang tertentu. BIBLIOGRAFI Abdul Hamid Mahmood. (2001). Menguasai Bahasa Melayu Tinggi. Kuala Lumpur: Affluent Master Sdn.Bhd. Abdullah Hassan. (1997). Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan Esei-esei lain. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.,hlm.248-261. Harian Metro, 24 Februari 2010. Asmah Haji Omar. (1992).Bahasa Iklan Perniagaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamaruddin Haji Husin. (1995) Laras Bahasa. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn.Bhd. Kasmuri Selamat. (2002). 3 Sendi Agama Tauhid-Fekah-Tasauf. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Mhd.Amin Arshad. (2004). Bahasa Melayu Tinggi, Modul BBM 3401.Serdang: PPL Universiti Putra Malaysia. 112 Nik Safiah Karim. (1989). Laras Bahasa.Kuala Lumpur: Nurin Enterprise

No comments:

Post a Comment