Tuesday, 15 May 2012

PEMBENTUKAN BANGSA MELALUI BAHASA DAN BUDAYA MELAYU-Mahanum Mahmud [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak;-
Sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat lazimnya memerlukan bahasa dan budaya sebagai lambang kedaulatannya. Pengiktirafan dan penerimaan lambang berkenaan, oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, agama, dan budaya amat penting dari segi pembentukan negara bangsa. Sesungguhnya, bahasa dan budaya merupakan wahana simbolik semangat kebangsaan yang paling berkesan. Antara faktor yang dapat membina identiti sesuatu bangsa ialah bahasa dan budaya. Bahasa memang menunjukkan bangsa. Bahasa kebangsaan dan budayanya merupakan salah satu ciri utama yang membezakan sesuatu bangsa dengan bangsa lain, dan sebuah negara dengan negara lain. Sebagai negara yang berdaulat dan merdeka, sesebuah negara memerlukan bahasa kebangsaan dan kebudayaan yang unik, sebagai alat dan pemangkin untuk membentuk jati diri dan keperibadian sebagai negara bangsa. Namun demikian, dunia globalisasi kini telah memberi kesan kepada bahasa dan budaya ilmu masyarakat yang ada pada hari ini. Dalam hubungan ini, bahasa Melayu perlu bangkit demi menghadapi cabaran budaya ilmu yang secara dominannya sering dikuasai oleh bahasa asing. Oleh hal demikian, sebagai negara bangsa perlulah menggunakan bahasa Melayu sendiri kerana bahasa bukan sekadar lambang, tetapi ialah cerminan jati diri. Sesungguhnya bahasa menunjukkan bangsa.
PENGENALAN;-
Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum. Perbezaan mereka adalah dari segi etnik, budaya, agama dan juga bahasa. Oleh yang demikian, pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan negara ini telah membuat perancangan sosial untuk menyatukan mereka. Dalam perancangan ini, pendidikan serba sedikit telah dimanipulasikan bagi melahirkan bangsa Malaysia. Pendidikan ini pula disampaikan melalui bahasa kebangsaan dan diselitkan dengan budaya masyarakatnya yang unik. Tujuan ini telah tercatat di dalam Penyata Razak (1956), yang mahu ’budak-budak ini hendaklah belajar perkara yang sama melalui bahasa kebangsaan yang sama’ untuk melahirkan bangsa yang bersatu dan ’menganggap bahawa Persekutuan Tanah Melayu ini sebagai negara mereka’. Bahasa kebangsaan ialah bahasa rasmi yang digunakan dalam pelbagai urusan pentadbiran dan juga sebagai bahasa pengantar sistem pendidikan negara. Oleh kerana bahasa kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu, maka pada bahasa Melayu itulah terletaknya teras maruah bangsa Malaysia. Objektif kajian ini adalah untuk membincangkan peranan bahasa dan budaya Melayu dalam pembentukan bangsa Malaysia dan mengenal pasti kesan dunia globalisasi terhadap bahasa dan budaya Melayu. Dalam kajian ini, perbincangan akan berkaitan tentang bahasa Melayu dan budaya Melayu dalam negara Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Oleh yang demikian, kajian ini akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang berkaitan untuk membincangkan peranan bahasa dan budaya Melayu dalam pembentukan bangsa Malaysia. Di samping itu kajian ini juga untuk mengenal pasti kesan dunia globalisasi terhadap bahasa dan budaya Melayu.
PERANAN BAHASA DAN BUDAYA MELAYU DALAM MEMBENTUK BANGSA MALAYSIA;-
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan telah mula menunjukkan ciri-ciri bangsa Malaysia yang dibina. Menurut Abdullah Hassan (1997:24), sistem pendidikan melalui bahasa Melayu telah membina generasi muda yang menggunakan bahasa Melayu dengan fasih. Rakyat bukan Melayu yang menuturkan bahasa Melayu dengan fasih ini dapat menunjukkan ciri bangsa Malaysia. Seorang pengkaji telah menggambarkan situasi ini dengan kaum Cina di Indonesia. Menurut beliau, kaum Cina di Indonesia menganggap dirinya berbangsa Indonesia apabila mereka dapat menuturkan bahasa Indonesia dengan fasih. Pendidikan melalui bahasa Melayu ini juga telah menghasilkan generasi bukan Melayu yang mudah menerima identiti Malaysia. Ada rakyat bukan Melayu yang menggunakan samping dan songkok untuk menghadiri sesuatu upacara seperti perkahwinan, majlis penerimaan anugerah, dan lain-lain. Begitu juga dengan sambutan perayaan, kaum lain menjadi lebih terbuka untuk menikmati perayaan antara kaum, makanan antara kaum, dan lain-lain. Ini merupakan suatu ciri yang merentas kaum ataupun sudah menjadi ciri ‘kemalaysiaan’. Melalui sistem pilihan raya juga dapat dilihat pertumbuhan yang sihat dalam membentuk bangsa Malaysia. Pada peringkat awal sistem pilihan raya dijalankan, setiap kaum cenderung untuk mengundi calon daripada kaumnya sahaja. Namun begitu, kini pengundi muda telah menunjukkan suatu perkembangan baru apabila pengundi bukan Melayu mula memilih calon UMNO. Ini menunjukkan sudah timbul perkembangan yang positif dalam pembentukan bangsa Malaysia, tanpa mengira kaum, bahasa, budaya dan agama lagi. Hasil yang signifikan daripada pembinaan bangsa ialah pendidikan melalui bahasa Melayu telah berjaya mendemokrasikan ilmu dan memajukan rakyat. Ini menjadikan kaum Melayu yang dahulunya tersisih daripada perkembangan ekonomi negara dapat sama-sama menikmati kejayaan ekonomi tersebut. Mereka tidak lagi merasa dalam keadaan yang merugikan. Oleh sebab itu mereka menjadi lebih terbuka dan menerima konsep bangsa Malaysia.
Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan;-
Sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat lazimnya memerlukan bahasa, lagu negara, atau bendera sebagai lambang kemerdekaan dan kedaulatannya. Pengiktirafan dan penerimaan lambang kebangsaan berkenaan oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, agama, dan budaya di negara berkenaan amat penting dari segi pembentukan negara bangsa. Negara berkenaan perlu menyemai dan mengukuhkan nilai kolektif yang menjadi hak dan ikon bersama. Sesungguhnya, bahasa kebangsaan merupakan wahana simbolik semangat kebangsaan yang paling berkesan. Bukan sebarang bahasa boleh diangkat sebagai bahasa kebangsaan. Terdapat tiga ciri yang perlu ada pada setiap bahasa kebangsaan. Pertama, perlunya bahasa itu berkecuali dari segi politik; kedua, ia hendaklah ada kaitan dengan pelbagai bahasa di rantau itu; dan ketiga, terdapat bilangan ketara penutur supaya mereka dapat menjadi penutur contoh kepada orang lain untuk mempelajarinya. Negara sebagai kesatuan geopolitik, tidak selalu menandakan ciri-ciri kesatuan sosiobudaya. Justeru, bahasa kebangsaan bertindak sebagai alat pemersatuan, selain untuk menimbulkan kesedaran tentang identiti di peringkat kebangsaan. Oleh hal demikian, kepentingan bahasa kebangsaan telah mulai disedari oleh Perdana Menteri pertama. Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa “adalah wajar bagi kita sebuah negara membangun berhasrat mempunyai bahasa kita sendiri. Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian - apa yang boleh saya ungkapkan sebagai negara yang tidak mempunyai jiwa dan roh.” Negara yang tidak mempunyai bahasa kebangsaan ialah negara yang ketiadaan jiwa dan roh. Negara itu pasti akan berhadapan dengan masalah untuk menyatukan penduduknya. Dengan bahasa, nilai dan kepentingan yang berbeza, rakyat akan mudah saling bercakaran. Pergolakan sosial akan berlaku, dan ini akhirnya akan memudaratkan negara itu dari segi politik, sosial dan ekonomi. Sebaliknya, dengan adanya bahasa kebangsaan sebagai lingua franca, rakyat pelbagai etnik akan dapat disatukan. Ringkasnya, bahasa kebangsaan dapat menyerap mesra ke dalam seluruh pelosok kehidupan masyarakat, berbanding dengan dialek etnik atau bahasa asing. Bahasa kebangsaan akan dapat dijadikan sebagai alat komunikasi utama, selain sebagai wadah yang mendukung perkembangan ilmu dan pemikiran bangsa dalam segala bidang. Bahasa merupakan ciri yang menentukan identiti seseorang pada peringkat negara dan antarabangsa. Kata-kata ‘bahasa jiwa bangsa’ bukan sekadar slogan, tetapi ciri utama yang menentukan jati diri ‘kebangsaan’ sesuatu bangsa itu. Ternyata, bahasa kebangsaan merupakan alat penting untuk membentuk dan mengembangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa. Itulah sebabnya, amat penting bagi mana-mana negara untuk memajukan bahasa kebangsaannya, dengan menjadikannya sebagai agenda utama pembangunan negara, sebagaimana ia memajukan lapangan lain seperti sains, teknologi, pertanian dan ekonomi. Sebagai masyarakat multietnik, masyarakat dalam sesebuah negara adalah terbahagi mengikut ideologi, kepercayaan, agama, bahasa dan seumpamanya. Dalam keadaan yang demikian, peranan bahasa kebangsaan sebagai alat untuk menyatukan pelbagai suku kaum amat dituntut. Melalui bahasa kebangsaan sesebuah negara dapat membina keperibadian dan tamadun mengikut acuannya sendiri - sesuai dengan aspirasi, latar sejarah dan budaya rakyatnya. Sesuatu bangsa perlu memajukan bangsa dan tamadunnya melalui bahasanya sendiri. Sesuatu negara perlu memajukan bangsanya bukannya mengikut acuan orang lain, sebaliknya hendaklah memajukannya mengikut acuan yang sesuai dengan aspirasi, budaya, dan nilai. Dalam hubungan ini, ia perlu menggunakan bahasa kebangsaan sendiri kerana bahasa bukan sekadar lambang, tetapi ialah cerminan jati diri, kerana sesungguhnya bahasa menunjukkan bangsa. Akhirnya, kemajuan bangsa bergantung pada acuannya sendiri, dan kemajuan bahasa kebangsaan juga bergantung pada sejauh mana ia digunakan dalam seluruh kehidupan negara berkenaan. Sesungguhnya, tidak ada bangsa dan tamadun di dunia ini yang dimajukan melalui bahasa asing, melainkan melalui bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan. Bahasa tidak akan mungkin maju atau tumbuh sendiri, melainkan kita sebagai pemegang amanah bangsa berusaha gigih untuk membinanya. Tidak mungkin bagi mana-mana bahasa kebangsaan mencapai tahap kemajuan yang seterusnya jika bangsa itu bersikap alpa dan tidak bersungguh-sungguh. Sebab yang jelas, selain membina bahasa itu dari segi korpus dan taraf, sesuatu bangsa perlu berusaha memperluas penggunaannya dalam negara, sekali gus menebarkan sempadan penggunaannya di luar negara. Kalau bahasa itu lemah, mundur dan tidak berkembang, kelalaian dan kecuaian bangsa itulah yang menyebabkannya dalam keadaan demikian. Bahasa kebangsaan ialah lambang kebanggaan kebangsaan dan lambang identiti nasional, maka rakyat negara berkenaan menyemai sikap bahasa yang positif dan menjunjung bahasa itu sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Bahasa sebagai tunjang penting kebudayaan dan tamadun bangsa sekali gus memperlihatkan tahap kemajuan sesuatu negara. Bagi negara ini, bahasa Melayu merupakan wahana komunikasi dan bahasa kebangsaan yang mutlak dan paling efektif bagi rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan ialah pendorong dan pemangkin lambang pemersatuan, serta berperanan sebagai wadah untuk membina peradaban moden sesuatu bangsa.
Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Ilmu;- Bahasa kebangsaan juga dapat menjadi bahasa ilmu, bahasa tamadun tinggi, bahasa berprestij, bahasa global, dan bahasa abad ini dan masa depan jika kita mempunyai keyakinan, dengan memberikan pengiktirafan yang wajar kepadanya. Mana-mana negara tidak harus menjadi pemuja, pengagum dan pentaksub nilai dan bahasa asing. Bahasa asing lain tidak mungkin dapat mengambil alih fungsi bahasa kebangsaan, bahasa pengungkap dan perakam peradaban bangsa, iaitu bahasa yang akan merakamkan nilai budaya, sosial dan moral bersama yang tercipta di negara berkenaan. Secara luarannya, bahasa Melayu mempunyai ciri-ciri fizikal yang sempurna kerana ia sudah mempunyai sistem ejaan, sebutan, nahu, kamus, ensiklopedia, dan rujukan. Menurut Mangantar Simanjuntak (1997:54), bahasa yang sempurna ciri-ciri fizikalnya dapat melaksanakan fungsi-fungsi yang tinggi. Ia digunakan dalam bidang diplomatik, perdagangan, kebudayaan, agama dan lain-lain. Sebenarnya, menurut pakar-pakar bahasa, bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa ilmu, bahasa intelektual, bahasa sastera pada peringkat nasional, bahkan bahasa supranasional. Bahasa kebangsaan yang matang juga dapat mengungkapkan ilmu yang tinggi seperti falsafah, sains, seni dan sastera. Jika dilihat sebelum tahun 1955, bahasa Melayu hanya digunakan di sekolah rendah dan di Maktab Perguruan Sultan Idris. Kemudian ia mula digunakan di peringkat pengajian menengah. Selepas itu bahasa Melayu digunakan pula di pusat pengajian tinggi. Seterusnya hingga kini, universiti-universiti kerajaan telah menjalankan pengajarannya dalam bahasa Melayu. Menurut Abdul Hamid Mahmood (2002:79), apabila dikatakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, ia merujuk kepada peranan bahasa itu sebagai pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti sains, teknologi, ekonomi, kejuruteraan di samping sastera dan agama. Dengan perkataan lainnya, bahasa Melayu harus boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baharu dalam aneka ilmu moden, contohnya dalam bidang kejuruteraan, bahasa Melayu harus mempunyai laras-laras bahasa yang khusus untuk menerangkan hal-hal tentang kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan elektronik dan kejuruteraan kimia. Begitu juga dalam bidang perubatan, bahasa Melayu perlu mempunyai laras bahasa untuk memperkatakan hal-hal dengan tepat tentang bidang anatomi, biokimia, fisiologi, patologi, pediatrik dan sebagainya. Laras-laras saintifik ini berbeza pula dengan laras sains sosial dan kemanusiaan seperti laras kesusasteraan, laras sejarah, laras seni dan sebagainya (Nik Safiah Karim, 1986:6). Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu harus mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan bahasa yang sesuai untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran yang kompleks dan abstrak. Contohnya apabila memperkatakan konsep ekonomi, maka perlulah bahasa Melayu itu mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan laras bahasa yang cukup dan sesuai untuk menyatakan konsep dan pemikiran tentang hal-hal perdagangan antarabangsa, pengurusan perakaunan dan sebagainya. Oleh hal demikian, bahasa Melayu seharusnya setanding dengan bahasa Inggeris dalam menyatakan konsep dan pemikiran ilmu moden. Bahasa Melayu perlu duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jepun dan bahasa Jerman yang sudah lama berperanan sebagai bahasa ilmu moden dengan jayanya.
Berbudaya Melalui Bahasa;-
Gaya hidup sesebuah masyarakat dapat digambarkan dengan budaya masing-masing. Sekiranya baik budaya yang dicerminkan pada masa kini, maka baiklah budaya pada masa akan datang. Tetapi jika sebaliknya yang terjadi, ia akan memberi kesan yang amat besar kepada pembangunan budaya, bangsa dan negara. Menurut Robiah Kulop Hamzah (1993:13), budaya ialah cara hidup yang menjadi sendi sesuatu bangsa. Budaya tidak dapat dibentuk dalam waktu sehari atau dalam masa sekelip mata tetapi memerlukan masa yang sangat panjang. Oleh itu pembentukan budaya cemerlang untuk masyarakat akan datang perlu bermula dari sekarang. Setiap golongan atau lapisan masyarakat perlu bertanggungjawab dalam membina, membentuk dan merealisasikan budaya yang cemerlang. Antara budaya cemerlang yang harus dipupuk ialah melalui bahasa. Berbahasa dengan baik menjadi asas yang berkesan untuk pelbagai aktiviti atau situasi yang ditemui sama ada secara formal atau tidak formal. Dalam situasi sosial, berbahasa mengikut budaya adalah cara yang dapat menggambarkan keyakinan, kematangan, kecekapan, kesopansantunan dan kemesraan seseorang individu dalam menghasilkan interaksi yang berkesan, efektif dan menarik. Menurut Awang Sariyan (2007:54), antara interaksi berkesan yang harus dikuasai dalam budaya berbahasa ialah budaya menyapa, mengucapkan selamat, mengucapkan terima kasih, menolak pelawaan, memberi atau membalas pujian dan sebagainya. Apabila setiap anggota masyarakat menggunakan ciri-ciri budaya dengan lebih berkeyakinan, maka hubungan antara kaum di negara ini akan menjadi lebih harmoni dan maju. Dengan memahami dan menghormati sesuatu budaya, masyarakat akan saling menghargai antara satu sama lain. Semua budaya disusupi sepenuhnya oleh bahasa ibunda atau bahasa etnik yang dituturkan oleh ahli-ahlinya. Kesemua perundangan, pendidikan, adat istiadat, peribahasa dan apa jua yang berkaitan serta diamalkan dalam sesebuah masyarakat, wujud dalam bahasa ibunda masyarakat berkenaan, dan ini semua dapat diungkapkan dalam keadaan asalnya hanya dalam bahasa ibunda masyarakat berkenaan. Bahasa Melayu Menjamin Kehidupan Budaya Bangsa Malaysia;- Bahasa ialah alat pengucapan dalam budaya negara ini. Melalui bahasa Melayu kita menggambarkan nilai-nilai, konsep-konsep budaya bangsa Malaysia. Dalam bahasa itu terkandung nilai-nilai budaya atau pandangan dunia bangsa Melayu. Abdullah Hassan (1997:45), telah menyebutkan bahawa, dilihat satu contoh yang nyata apabila Israel kembali ke negara asalnya, pemimpinnya menghidupkan bahasa asal mereka iaitu Hebrew. Ia bertujuan bagi mengembalikan jati diri orang Israel. Setiap kanak-kanak akan diajarkan bahasa tersebut. Dengan demikian mereka telah menghidupkan kembali bangsa Israel, jati dirinya, budayanya, agamanya, sistem politiknya, dan sistem pendidikannya. Dengan mengembalikan semula bahasa mereka, bangsanya telah hidup semula sebagai bangsa yang bermaruah. Ini semua telah dihidupkan kembali melalui bahasa Hebrew, bahasa kebangsaan Israel. Berdasarkan bukti sejarah, dapat dilihat hilangnya bahasa maka hilanglah bangsa. Sebagai contoh, hilangnya bahasa Hawai, telah mengakibatkan pupusnya bangsa Hawai. Kini usaha menghidupkan semula bahasa Hawai menghadapi kesukaran kerana bangsa Hawai juga sudah tidak tulen lagi. Berbeza dengan bangsa Israel, jati dirinya sangat kukuh. Apabila terpaksa merantau ke luar negara asalnya, mereka tetap mengekalkan jati diri. Apabila pulang ke negara asal, mereka masih belum kehilangan jati dirinya yang penting, bahasa, nilai-nilai, dan pandangan dunianya. Kehidupan budaya sesuatu bangsa itu hanya melalui bahasanya. Pada bahasa itulah terletaknya maruah bangsa. Usaha-usaha pemantapan budaya, amalan agama, moral dan nilai hendaklah melalui bahasa Melayu. Dari segi ini, bahasa kebangsaan memainkan peranan besar sebagai wahana utama dalam pembentukan kebudayaan, peradaban dan tamadun bangsa. Bahasa bukan lagi sekadar sebagai alat komunikasi dan hubungan sosial, tetapi sebagai alat yang membentuk, merakamkan, membina dan menyampaikan fikiran bangsa dari satu generasi ke satu generasi. Menurut Asmah Haji Omar (1985:67), kemerdekaan sistem politik sesuatu bangsa juga terletak pada bahasanya sendiri. Bahasa asing akan membelenggu sistem politik sesuatu bangsa kepada bahasanya. Negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris akan meminjam konsep-konsep dan proses-proses politik bangsa Inggeris. Oleh sebab itu kemerdekaan sistem politik dan amalannya, bergantung kepada bahasa masing-masing. Pada masa itulah terletaknya maruah sesuatu bangsa. Bahasa Melayu juga akan menjamin hidupnya sistem politik Malaysia, dan maruah bangsa Malaysia.
KESAN DUNIA GLOBALISASI TERHADAP BAHASA DAN BUDAYA;-
Antara kesan dunia globalisasi yang paling buruk ialah kemusnahan yang berlaku pada budaya, yang turut merangkumi bahasa di dalamnya. Sehubungan dengan itu, dunia globalisasi disebut juga sebagai era pengklonan budaya atau lebih jelas lagi sebagai pengklonan budaya Barat. Ini bermakna budaya di dunia sama ada elemen-elemennya yang tertentu atau beberapa domain yang penting, telah berubah menjadi serupa dengan amalan Barat. Kamisah Ariffin (2005:61), pernah menyatakan bahawa kesan dunia globalisasi pada bahasa secara khususnya, boleh dikaitkan dengan kemusnahan dan kepupusan yang lebih cepat. Ini berbanding dengan kadar sebelum wujudnya dunia globalisasi, yang disebut-sebut sebagai bermula pada sekitar 1989, iaitu selepas tamatnya Perang Dingin. Pada kelazimannya, bahasa yang mengalami kemusnahan didapati pupus antara dua hingga empat generasi atau antara 50 hingga 100 tahun. Tetapi kini dalam dunia globalisasi, kadar kepupusan ini berlaku pada tahap yang amat menakutkan. Sesuatu bahasa yang musnah itu didapati pupus hanya dalam satu hingga dua generasi, atau antara 25 hingga 50 tahun sahaja. Kadar sepantas ini tidak berlaku sebelum wujudnya dunia globalisasi.
Kemusnahan Atau Kepupusan Bahasa;-
Menurut Teo Kok Seong (2006:102), kemusnahan atau kepupusan bahasa boleh wujud sekurang-kurangnya dalam tiga bentuk. Pertama ialah bentuk yang ekstrem iaitu kematian bahasa. Bahasa boleh dianggap ‘mati’ dengan kematian penutur natifnya yang terakhir. Pada masa kini, kematian bahasa lazimnya berlaku pada bangsa atau masyarakat primitif, yang bahasanya tidak pernah atau tidak sempat didokumentasikan oleh mana-mana pihak, untuk apa-apa tujuan. Bentuk kedua ialah kehilangan bahasa, iaitu lenyapnya kebolehan berbahasa dengan berkesan. Kehilangan bahasa boleh berlaku dalam dua tahap; individu dan masyarakat. Apabila ia berlaku pada tahap masyarakat, iaitu ahli-ahli dalam sesebuah masyarakat itu, rata-rata tidak lagi fasih menggunakan bahasa ibunda mereka sepenuhnya, sama ada secara lisan atau tulisan, ini merupakan satu tanda yang amat buruk bahawa masyarakat berkenaan sedang mengalami kehilangan bahasa. Penggunaan bahasa Melayu ‘Rojak’ di kalangan masyarakat Melayu yang berleluasa, adalah kes kehilangan bahasa. Bentuk ketiga ialah peralihan bahasa, iaitu keadaan yang memperlihatkan berlakunya peralihan penggunaan, khususnya daripada satu bahasa yang kurang berprestij kepada satu bahasa yang lebih berprestij, dalam bidang-bidang penting; pendidikan, pentadbiran, perundangan dan penyiaran. Sebagai contoh, pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kini adalah satu kes peralihan bahasa.
Peralihan Bahasa;-
Kurangnya keupayaan bahasa Melayu untuk membolehkan Malaysia ‘belajar sebanyak mungkin dari dunia Barat’, dengan pantas, dan supaya Malaysia tidak ketinggalan ‘dalam arus globalisasi’ tidak dapat dinafikan merupakan antara sebab utama berlakunya peralihan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris di Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan sains dan teknologi. Dengan berlakunya peralihan bahasa ini, ia turut menyebabkan wujudnya kekeliruan linguistik dalam kalangan rakyat Malaysia, yang kini menganggap bahawa bahasa Melayu tidak penting lagi, justeru statusnya selaku bahasa kebangsaan mulai tidak diendahkan lagi oleh ramai pihak. Ini dapat dilihat dalam beberapa majlis rasmi negara yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa lain, dan tidak menggunakan bahasa Melayu, dalam kapasitinya sebagai bahasa rasmi negara. Contohnya, terdapat pemimpin-pemimpin syarikat swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika membuat pelancaran model-model terbaru mereka. Menurut Awang Sariyan (1991:70), bahasa Inggeris sering dianggap dan diyakini sebagai bahasa yang paling cekap untuk pengurusan perdagangan dan perhubungan politik. Ia juga dianggap sebagai bahasa globalisasi yang dapat menjadikan sesebuah negara itu antarabangsa. Sesungguhnya anggapan demikian adalah tidak benar. Bahasa Melayu telah memiliki segala ciri dan keupayaan untuk mengendalikan komunikasi ‘moden’ dengan baik dan berkesan. Hal ini meliputi teknologi tinggi seperti dalam bidang penerbangan, teknologi maklumat dan komunikasi. Maka bahasa Melayu telah mampu mengungkap komunikasi moden dan dibina mengikut lunas-lunas ilmiah dalam ilmu perancangan bahasa.
Kesan Peralihan Bahasa;-
Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar ilmu untuk pendidikan sains dan teknologi, sesungguhnya boleh membawa kepada perubahan politik, sosial dan budaya di Malaysia. Kamisah Ariffin (2005:75), menyatakan bahawa pertimbangan politik untuk beralih daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris untuk pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran; sains dan matematik, melalui nasionalisme baharu mulai 2003, yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris, pada kadar yang lebih besar, tidak dapat dinafikan mempunyai kesan besar dalam sistem sosial dan budaya Malaysia. Pertentangan antara nilai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu utama, pada satu masa dahulu, dengan bahasa Inggeris yang baru bertindak sebagai bahasa pengantar bersama menjadi lebih penting, pada masa kini, dari segi sosial dan budaya, boleh memusnahkan khazanah budaya yang terkandung dalam bahasa Melayu. Sesungguhnya, khazanah budaya inilah yang menjadi pati kepada bangsa atau masyarakat Melayu, yang dimanifestasikan melalui beberapa bentuk yang penting, iaitu jati diri. Penyaluran daripada satu generasi kepada generasi yang lain, sudah tentu boleh memastikan bukan sahaja khazanah budaya Melayu, terus diwarisi dalam bentuk yang utuh, tetapi jati diri Melayu yang tidak terhakis, dapat juga terus dipertahankan. Menurut Awang Sariyan (1991:83), penggunaan bahasa Melayu dalam kegiatan budaya tinggi, sebagai contoh dalam bidang pendidikan, contohnya untuk pengajaran dan pembelajaran sains dan teknologi, adalah penting, khususnya dari segi demografi, yang diteliti dari tahap kegiatan kebahasaan yang terlibat. Bahasa Melayu yang digunakan dengan cara begini, sudah tentu berjaya menikmati lebih banyak jaringan dan pengaruh komunikasi, selain kualiti komunikasi yang lebih luas pula, daripada penggunaannya dalam kegiatan budaya rendah, seperti membeli ikan di pasar atau menghitung durian di dusun. Menurut Nik Safiah Karim (1986:81), penggunaan bahasa Melayu untuk komunikasi dalam dunia globalisasi, bukan sahaja dapat memperluas jaringan dan pengaruh, serta mempertingkat kualiti bahasa Melayu, dari dimensi komunikasi, tetapi yang lebih penting dalam dunia globalisasi, yang banyak memperlihatkan kepupusan jati diri sesuatu bangsa atau masyarakat itu, ialah bahasa Melayu sebenarnya dapat menjamin penerusan jati diri bangsa atau masyarakat Melayu. Ini kerana bahasa Melayu itu secara indeksnya, dikaitkan dengan objek-objek khas Melayu, sistem nilai, aspirasi, hubungan kekeluargaan, flora dan fauna dan lain-lain, yang dikenali oleh bangsa atau masyarakat Melayu, dan diidentifikasikan dengan bangsa atau masyarakat Melayu sahaja. Sesungguhnya semua ini membentuk tradisi, warisan dan peradaban yang bersifat distingtif Melayu. Menurut Raminah Sabran dan Rahim Syam (1986:43), pertalian antara bahasa Melayu dengan budaya Melayu (Malaysia), dalam bentuk-bentuk amalan sosial, kunikan dan keaslian cara hidup sejati bangsa atau masyarakat Melayu, adalah antara ciri kehidupan yang boleh musnah, apabila bangsa atau masyarakat Melayu kehilangan bahasa Melayu, dan mengambil bahasa lain sebagai penggantinya. Apabila ini berlaku, bangsa atau masyarakat Melayu boleh menjadi sebuah kelompok yang tidak mempunyai arah dari segi linguistik, untuk satu atau beberapa generasi, iaitu mereka kurang pasti tentang bahasa mana yang perlu digunakan atau bahasa mana yang lebih penting. Untuk tempoh satu atau beberapa generasi ini, pertalian unik dan sejati antara bahasa Melayu dengan budaya Melayu, yang wujud semenjak sekian lamanya, boleh menjadi terhakis sehingga hilang akhirnya. Apabila ini berlaku, budaya Melayu akan menjadi satu cara hidup yang sudah berubah. Cara hidup yang sudah berubah ini, akibat penggantian bahasa Melayu dengan bahasa lain, misalnya bahasa Inggeris, tidak lagi memungkinkan bangsa atau masyarakat Melayu, menikmati keunikan dan keaslian cara hidup yang asal itu, buat selama-lamanya, yang berlatarkan konteks sosial dan budaya yang asal itu. Sehubungan dengan ini, bahasa Melayu juga tidak dapat dinafikan sebagai simbol kepada bangsa atau masyarakat Melayu, semenjak sekian lamanya. Menurut Nik Safiah Karim (1986:84), di dalam bahasa Melayu, sesungguhnya tersimpan catatan sejarah, nukilan persuratan, cerita pahlawan serta pejuang, asuhan puluhan generasi nenek moyang, kisah lampau serta aspirasi untuk masa depan, bangsa atau masyarakat Melayu. Semua ini boleh hilang apabila bangsa atau masyarakat Melayu kehilangan kaitan simbolik yang semula jadi ini, dengan sejarah dan masa lampau, serta pencapaian dan kemajuan bangsa atau masyarakat Melayu. Dengan perkataan lain yang lebih mudah, identiti Melayu boleh berubah buat selama-lamanya, walaupun tidak terhakis sepenuhnya. Bahasa Inggeris yang menggantikan bahasa Melayu, dalam komunikasi dunia globalisasi, boleh pasti dalam satu atau beberapa generasi, berjaya membentuk pertalian baharu antara bahasa Inggeris dengan budaya Melayu. Apabila ini berlaku, pertalian bahasa Inggeris; budaya Melayu ini didapati tidak sesimbolik pertalian bahasa Melayu dengan budaya Melayu, yang telah terhakis itu. Lebih penting lagi ialah pertalian baharu ini tidak boleh dijadikan kekuatan kepada jati diri bangsa atau masyarakat Melayu. Inilah akibatnya sekiranya bangsa atau masyarakat Melayu kehilangan bahasa Melayu, melalui apa-apa cara jua, sama ada bahasa Melayu ‘Rojak’ ataupun peralihan bahasa, yang menggunakan bahasa Inggeris untuk menggantikan bahasa Melayu, sebagai bahasa pengantar ilmu, untuk pendidikan sains dan matematik. Kehilangan bahasa Melayu sesungguhnya adalah kehilangan sebahagian besar budaya bangsa atau masyarakat Melayu, dan segala khazanah budayanya. Sehubungan dengan ini, bangsa atau masyarakat bukan Melayu juga perlu ikut memastikan bahawa bahasa Melayu, khususnya dalam kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, tidak musnah. Bangsa atau masyarakat bukan Melayu tidak boleh membiarkan bahasa Melayu musnah, walaupun ia bukannya bahasa etnik mereka. Ini antaranya adalah kerana Malaysia yang lokos dengan kemusnahan budaya Melayu adalah persekitaran yang tidak boleh menguntungkan sesiapa pun. Tidak dapat dinafikan bahawa banyak hal menarik dan menyeronokkan dalam kehidupan rakyat Malaysia terkandung di dalamnya; bahasa Melayu sebagai bahasa negara, jati diri bangsa Melayu sebagai kelompok dominan, dan budaya Melayu selaku teras kebudayaan kebangsaan. Dan apabila bahasa Melayu musnah dan akhirnya pupus, semua rakyat Malaysia akan kehilangan pelbagai keseronokan itu, antaranya bahasa Melayu pasar, pantun Melayu, peribahasa Melayu dan sebagainya.
KESIMPULAN;-
Berasaskan modal linguistik yang dimiliki oleh bahasa Melayu, ia sebenarnya mampu menjadi wahana pembentukan bangsa, selain menjadi wahana budaya dan tamadun moden, yang tidak seharusnya berpaksikan sains dan teknologi sahaja, tetapi perlu diimbangi dengan pendidikan sains kemasyarakatan, bagi Malaysia. Lebih-lebih lagi dalam konteks pembangunan dan kemajuan Malaysia yang berasaskan acuan sendiri, bahasa Melayu perlu dilibatkan sepenuhnya. Bahasa Melayu bukan sekali-kali sebagai satu sistem bebas atau entiti yang abstrak. Seperti yang diperlihatkan dalam kajian ini, ia sesuatu yang konkrit, iaitu bahasa Melayu ialah hasil daripada sejarah perkembangan bangsa atau masyarakat Melayu, semenjak sekian lamanya, dan digunakan oleh bangsa atau masyarakat Melayu, untuk mengungkap serta menyalurkan identiti Melayu dan khazanah budaya Melayu, selain menyampaikan pemikiran Melayu. Dalam konteks ini bahasa Melayu bukan sahaja merupakan realiti sosial kepada bangsa atau masyarakat Melayu, tetapi yang lebih penting lagi, ia juga merupakan realiti yang boleh menghubungkaitkan bangsa atau masyarakat Melayu, dengan emosi, aspirasi dan nilai-nilai Melayu. Sehubungan dengan ini, kehilangan bahasa Melayu boleh menyebabkan kepupusan, iaitu lenyap buat selama-lamanya, hubung kait secara langsung dan penting dalam hal ini, dengan warisan Melayu pada masa lampau. Bukan sahaja banyak kenangan dan pengetahuan turut hilang, tetapi ia turut menyebabkan kehilangan kebolehan menggunakan bahasa Melayu yang boleh mencerminkan sistem linguistiknya yang utuh, selain mencerminkan pelbagai orientasi budaya Melayu, melalui penggunaan pelbagai kategori nahu dan leksikonnya. Dalam konteks ini, tidak ada bahasa lain yang boleh mengungkap dan mengendalikan hal-hal Melayu dengan baik dan berkesan, kecuali bahasa Melayu itu sendiri.
BIBLIOGRAFI;-
Abdul Hamid Mahmood. (2002). Guru dan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Media Printext Abdullah Hassan. (1997). Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu dan Esei-esei Lain. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti. Asmah Haji Omar (1985). Perancangan Bahasa Dengan Rujukan Khusus Kepada Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Awang Sariyan. (1991). Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti. Awang Sariyan (2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamisah Ariffin et. al. (2005). Pendidikan Bahasa di Malaysia: Isu, Amalan dan Cabaran. Shah Alam: Universiti Teknologi MARA Mangantar Simanjuntak. (1987). Pengantar Psikolinguistik Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim. (1986). Bahasa Melayu: Persoalan dan Pergolakan. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House. Raminah Sabran dan Rahim Syam (1986). Kajian Bahasa; Untuk Pelatih Maktab Perguruan. Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti Teo Kok Seong. ‘Bahasa Melayu dan Komunikasi Dalam Dunia Globalisasi’ dalam Jurnal Bahasa, halaman 100 – 117, 2006. ______________, (1997). Kamus Linguistik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. _______________, (2000). Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. _______________. (2009). Bahasa Kebangsaan Lambang Jati Diri Bangsa. Diperoleh Januari 28, 2010 daripada http://jeniri-amir.com

No comments:

Post a Comment

Post a Comment