Friday, 18 May 2012

PEMERKASAAN BAHASA MELAYU CABARAN DALAM PELAKSANAANNYA -Zurihan Yusoff [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Menjelang tahun 2020 Malaysia perlu mengorak langkah untuk menukarkan status negara membangun kepada negara maju. Selaras dengan pembangunan dan arus pemodenan maka bahasa Melayu seharusnya diberi peranan yang sewajarnya. Sejajar dengan status negara maju pada tahun 2020 sepatutnya bahasa Melayu patut diperkasakan supaya bertepatan dengan istilah “Maju bangsa maju negara”. Pemerkasaan bahasa Melayu wujud apabila pelaksanaannya yang merangkumi bidang sosiopendidikan, sosioekonomi dan sosiopolitik. Ia meliputi zaman Melaka, zaman penjajahan barat, pramerdeka dan pasca-merdeka. Pemerkasaan ini perlu melibatkan individu, pertubuhan-pertubuhan kerajaan dan swasta. Terdapat pelbagai cabaran yang perlu diatasi agar pemerkasaan bahasa Melayu menjadi realiti. Ini selari dengan pekembangan teknologi semasa yang menjadikan manusia semakin bijak menilai serta menganalisis. Seterusnya, kertas kerja ini juga terdapat beberapa cadangan supaya bahasa Melayu diperkasakan lagi dan bersesuaian dengan zaman sains teknologi.
PENDAHULUAN
Menurut (Ismail Bin Deraman, 2007) pemerkasaan bahasa Melayu ialah peningkatan usaha bagi pemahaman dan penghayatan masyarakat terhadap Dasar Bahasa Kebangsaan dan Perlaksanan Dasar Bahasa tersebut. Peningkatan usaha pembinaan aspek-aspek yang memperteguhkan sistem dalaman bahasa Melayu yang memungkinkannya digunakan dan dikembangkan dalam pelbagai kehidupan moden kini dan alaf depan. Jelas bahawa pemerkasaan bahasa Melayu ialah usaha-usaha yang berterusan untuk memantapkan penggunaannya di Malaysia. Pemerkasaan bermaksud perihal perbuatan, usaha dan tindakan. Oleh itu, pemerkasaan bahasa Melayu ialah usaha yang berani serta tindakan jitu perlu diambil untuk memastikan ianya diterima oleh semua kaum tanpa kompromi. Bukan hanya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kelas ke-2 di Malaysia. Kertas kerja ini akan membincangkan pemerkasaan bahasa Melayu sebelum dan selepas merdeka di samping mengenal pasti usaha-usaha dan cabaran-cabaran yang dihadapi untuk melaksanakan bahasa Melayu zaman pramerdeka dan pasca-merdeka serta zaman teknologi maklumat. Kajian terbatas dari sudut menganalisis usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan. Usaha-usaha yang dibincangkan adalah pada zaman pramerdeka dan pascamerdeka untuk memperkasa bahasa Melayu.
Bahasa Melayu Zaman Kesultanan Melaka
Bahasa Melayu telah menjadi bahasa penting semasa keagungan Melaka. Pada abad ke-15 bahasa Melayu telah menjadi lingua-franca digunakan oleh para pedagang seperti China, India, Gujerat dan sebagainya. Mereka perlu bertutur bahasa Melayu untuk memudahkan urusan perdagangan. Bahasa Melayu juga telah menjadi bahasa pengantar untuk agama Hindu dan agama Islam. Menurut (Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain, 1992) bahasa Melayu memang telah memainkan peranan yang penting dalam zaman-zaman sebelum kedatangan Barat ke rantau kepulauan Melayu ini. Bahasa tersebut telah menjadi pengantar agama Hindu dan agama Islam, dan ini yang menyebabkan bahasa Melayu itu berubah dari segi bentuk dan semantik. Pada ketika ini, bahasa Melayu telah menerima pengaruh bahasa Sanskerit tetapi selepas kedatangan Islam dipengaruhi pula bahasa Arab. Banyak perkataan-perkataan Arab yang diambil ke dalam bahasa Melayu terutamanya yang digunakan oleh ulama-ulama pada zaman itu. Ia juga digunakan oleh ulama untuk menterjemah kitab-kitab, hadis dan al-Quran ke dalam bahasa Melayu supaya lebih mudah masyarakat memahaminya.
Bahasa Melayu Zaman Penjajahan Barat
Zaman penjajahan barat terutamanya British, bahasa Melayu telah mendapat saingan daripada bahasa Inggeris. Menurut (Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain, 1992) Dalam tempoh seratus tahun British dapat menjajah Semenanjung Tanah Melayu. Akhirnya, berbagai-bagai perubahan telah berlaku dari segi politik, sosial dan kebudayaan. Di samping membawa masuk orang Cina dan orang India, British juga telah membawa pendidikan sekular moden bersama mereka. Kemasukan British ini telah meninggalkan kesan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu telah mendapat saingan daripada bahasa-bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Cina dan India. British telah membentuk orang Cina dengan bahasa Cina manakala India dengan bahasa Indianya. Ini terbukti terdapat sekolah empat aliran iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan India. Usaha untuk memperkasa bahasa Melayu tidak begitu menonjol pada zaman British kecuali Abdullah Abdul Kadir Munsyi. Beliau telah mengkritik orang Melayu yang tidak mahu belajar bahasanya sendiri. Menurutnya (Abdullah Abdul Kadir Munsyi, 1964) Ada-lah suatu hairan lagi terchengang aku sebab melihatkan dan memikirkan hal orang Melayu itu, belum sedar akan dirinya,ia tinggal dalam bodoh-nya itu, oleh sebab ia tiada mahu balajar bahasa-nya sendiri, dan tiada mahu menaroh tempat belajar bahasa-nya itu; maka mustahil pada ‘akal, ada-kah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandaisendiri-nya? Bukan-kah segala bangsa yang lain di dunia ini masing-masing ada belajar bahasa-nya, melainkan orang Melayu? Pemikiran beliau tentang kepentingan bahasa sangat mengagumkan. Menurut beliau pemerkasaan bahasa Melayu perlu untuk mewujudkan bangsa Melayu yang maju dan bertamadun. Tambahnya lagi setiap bangsa memperkasa bahasa sendiri kecuali orang Melayu. Ini merupakan kritikan pertama yang menjadi ikon kepada pejuang-pejuang bahasa selepas itu untuk memperkasa bahasa Melayu.
Pemerkasaan Bahasa Melayu Pra- Merdeka Kesedaran orang Melayu kepada bahasanya menyebabkan mereka bertindak memperkasa bahasa Melayu. Tindakan mereka terbahagi kepada dua kategori iaitu individu dan pertubuhan. Individu terdiri daripada wartawan dan guru yang giat menulis dalam akhbar. Mereka lebih menitikberatkan tentang keelokan bahasa Melayu dan penulisan. Sehubungan itu, sekitar tahun 1906-1940 pokok perbincangan berasaskan agama, ekonomi dan pelajaran. Seterusnya, perbincangan melibatkan peristilahan, tatabahasa dan perkamusan. Manakala pertubuhan pula dimulakan dengan penubuhan Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB) pada tahun 1888 di Johor. Selepas itu, wujud pula Persahabatan Sahabat Pena manakala pada tahun 1949 tertubuh pula Sahabat Pena yang bertujuan untuk memperkembangkan bahasa dan sastera Melayu. Pada tahun1950 penubuhan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Usaha ASAS 50 lebih pro-aktif berbanding sebelum ini. Terbukti apabila tindakannya untuk menyatukan serta memajukan penulisan dan memperbaiki bahasa dalam sastera Melayu bagi memperkayakan lagi bahasa Melayu. Pada tahun 1951, Jawatankuasa berkenaan dengan pelajaran Melayu atau dikenali sebagai jawatankuasa Barnes telah ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk mengkaji masalah dan membuat cadangan bagi menegakkan pentingnya bahasa Melayu dalam pendidikan orang-orang Melayu di Tanah Melayu. Menurut Laporan Barnes telah mengusulkan supaya pelajaran di peringkat rendah selama enam tahun hendaklah dijalankan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Keputusan ini telah memartabatkan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa Inggeris. Usaha memperkasa bahasa Melayu secara dinamis bermula dengan beberapa kongres bahasa dan persuratan Melayu telah diadakan anjuran pertubuhan-pertubuhan Melayu. Pada tahun 1952 telah berlangsung Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I di Sea View Hotel, Singapura, anjuran pertubuhan-pertubuhan dari Singapura dan Semenanjung yang menjadi kerabatnya. Kongres ini dipelopori oleh Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). ASAS 50 mencadangkan supaya tulisan Rumi dirasmikan pemakaiannya dalam bahasa Melayu. Namun begitu, kongres telah memutuskan supaya tulisan Rumi dan Jawi diguna pakai dalam persuratan Melayu pada ketika itu. Kongres juga bersetuju supaya pertubuhan-pertubuhan Melayu di Tanah Melayu, Singapura dan Borneo Utara bersatu. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-2 yang diadakan pada tahun 1954 di Dewan Sekolah King George V, Seremban. Kongres kali ke-2 telah merasmikan penggunaan tulisan Rumi dalam persuratan Melayu tetapi tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa yang akan menentukan. Ia juga menyentuh isu penyeragaman bahasa dan ejaan bahasa Melayu di Tanah Melayu dan Indonesia. Seterusnya, perlu ada usaha menyusun sebuah kamus yang lengkap. Pada tahun 1956, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 yang diadakan di Pejabat Kerajaan Johor Bahru. Ia dirasmikan oleh YAB Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu. ASAS 50 telah menuntut beberapa perkara untuk kepentingan bahasa Melayu bersama-sama sebuah memorandum supaya diadakan Balai Pustaka (istilah dan penerbitan), Penyatuan Bahasa (bahasa Melayu dan bahasa Indonesia), Perkembangan Bahasa Melayu Sekarang dan Akan Datang dan Peranan Bahasa Melayu di Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah. Pada tahun 1956, ASAS 50 telah menghantar sebuah lagi memorandum kepada kerajaan tentang Laporan Pelajaran 1956. Memorandum itu menyentuh tentang peranan bahasa Melayu dalam pendidikan supaya dijadikan bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah dan tinggi. Kelestarian daripada cadangan tersebut ASAS 50 merasakan perlu diwujudkan Maktab Perguruan Bahasa Melayu untuk menampung kekurangan guru bahasa Melayu. ASAS 50 juga mencadangkan agar bahasa Melayu diberi nilai ekonomi. Keutamaan berikan kepada kelulusan bahasa Melayu untuk mendapatkan pekerjaan. Menurut (Prof. Dr. Asmah Haji Omar, 1984) Sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tidak pernah melangkau lebih jauh dari darjah VI sekolah rendah, sehingga tahun 1956. Bahasa Melayu hanyalah bahasa pengantar di peringkat rendah sahaja. Pelajar-pelajar Melayu yang ingin meneruskan pengajian di peringkat universiti perlu melalui pendidikan menengah yang bahasa pengantarnya bahasa Inggeris.
Pemerkasaan Bahasa Melayu Pascamerdeka
Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kedudukan bahasa Melayu telah mengalami perubahan. Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dalam perlembagaan Tanah Melayu. Menurut (Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Zain, 1992) Apabila Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, maka termaktublah dalam Perlembagaannya Perkara 152, yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen dengan syarat bahawa tiada siapa pun boleh dilarang daripada menggunakan ( kecuali untuk maksud rasmi ), mempelajari atau mengajarkan apa-apa bahasa lain. Di samping itu dinyatakan juga bahawa Kerajaan, baik Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan negeri, berhak memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum dalam Semenanjung Tanah Melayu. Namun begitu, dalam masa sepuluh tahun selepas merdeka bahasa Inggeris boleh diguna pakai untuk tujuan rasmi kerajaan persekutuan serta negeri sama ada di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Ia juga masih digunakan lagi untuk bahasa perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. Menurut (Awang Sariyan, 1988) dalam tahun-tahun lima dan enam puluhan merupakan zaman memperkenalkan bahasa Melayu kepada masyarakat, dan tahap permulaan di dalam proses pemupukannya. Pada tahap ini masalah besar yang dihadapi ialah untuk meyakinkan rakyat terhadap keupayaan bahasa Melayu untuk mengambil alih bahasa Inggeris, serta menjalankan tugas-tugasnya dengan cekap dan berkesan. Dekad pertama selepas merdeka bahasa Melayu hanyalah sebagai alat untuk mendapat sokongan daripada orang Melayu yang merupakan penduduk terbesar Tanah Melayu. Ia juga dijadikan sebagai alat perpaduan antara kaum lain yang terdapat di Tanah Melayu ketika itu seperti Cina dan India. Bahasa Melayu pada masa itu tidak dapat berkembang berbanding bahasa Inggeris kerana penuturnya terdiri dari orang Melayu yang sosioekonominya sangat rendah. Bahasa Melayu hanya layak sebagai bahasa pasar sahaja. Golongan elit dan berpendidikan barat lebih banyak bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu di rumah dan pejabat. Menurut (Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Zain, 1992) hal ini ketara sekali kerana kemiskinan berlaku di daerah-daerah luar Bandar yang sebahagian besar penduduknya terdiri daripada orang Melayu. Sewaktu tercapainya kemerdekaan, mereka mendapati diri mereka ketinggalan jauh di belakang dari segi ekonomi dan sosial. Dalam kedua-dua bidang tersebut mereka bergantung kepada golongan mendatang dan golongan berpendidikan sekular barat. Keadaan mereka bertambah buruk apabila ekonomi menjadi bertambah rancak. Imej bahasa Melayu pada masa itu semakin teruk disebabkan faktor tersebut. Bahasa Melayu menjadi bahasa kelas kedua di tanah air sendiri. Perbezaan yang sangat ketara berbanding bahasa-bahasa lain di Tanah Melayu. Senario inilah yang menyebabkan bangkitnya sentimen untuk memajukan bahasa Melayu oleh individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan orang Melayu pasca- merdeka. Para pejuang bahasa Melayu pada era pasca-merdeka terutamanya tahun lima dan enam puluhan telah menghadapi pelbagai rintangan. Mereka terpaksa bersaing dengan golongan Melayu dan bukan Melayu yang terus memperjuangkan bahasa Inggeris serta bahasa Cina dan Tamil. Individu-individu yang terlibat memperjuangkan bahasa Melayu terdiri daripada pegawai kerajaan, guru, penulis, peguam dan pensyarah di universiti. Seterusnya, pertubuhan-pertubuhan yang terlibat ialah parti politik, kesatuan guru, pertubuhan pelajar, persatuan penulis, akhbar dan majalah. Satu pertubuhan khas telah dibentuk untuk mendesak kerajaan supaya melaksanakan dasar bahasa ialah Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK). Pertubuhan ini ditubuhkan pada tahun 1964 yang bertujuan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan meyakinkan kerajaan bahawa boleh menggantikan bahasa Inggeris dalam pentadbiran. Ketidakyakinan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal kerana ia kekurangan istilah yang boleh digunakan berbanding bahasa Inggeris. Tuduhan ini tidak berasas kerana bahasa Inggeris sendiri berkembang disebabkan banyak meminjam istilah daripada bahasa yang terdapat di Eropah. Usaha- usaha yang dilakukan oleh BBBK ialah mengadakan siaran penerangan dan ceramah. Selain daripada itu, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), Persatuan Pelajar-pelajar Maktab Perguruan Bahasa (PPMPB) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) juga telah bergiat secara aktif untuk memartabatkan bahasa Melayu pada tahun 60-an. Mereka berjuang dalam bentuk tuntutan, protes dan tunjuk perasaan. PPMPB telah mengadakan tunjuk perasaan menuntut supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di Maktab Perguruan Bahasa. PENA pula berusaha berjuang dalam lapangan bahasa dan kesusasteraan serta ilmu pengetahuan tanpa unsur politik. Motif mereka sama iaitu tidak berlaku penyelewengan bahasa Bahasa dalam sistem pelajaran kebangsaan. Menurut (Awang Sariyan, 1988) dalam tahun-tahun tujuh puluhan. Zaman ini adalah zaman penggunaan dan pemupukan bahasa Melayu yang intensif, sebagai akibat pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan yang tegas. Pada awal-awal tujuh puluhan bahasa Melayu mula digunakan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah, sebagai bahasa pentadbiran agensi-agensi kerajaan dan sebagai bahasa perhubungan awam. Bahasa Melayu telah mengambil alih peranan bahasa Inggeris yang mendominasi dalam urusan rasmi kerajaan Tanah Melayu. Bahasa Melayu mula digunakan oleh para pemimpin negara semasa berucap, di parlimen, surat-menyurat rasmi, di bilik-bilik darjah dan dewan kuliah. Menurut (Asmah Haji Omar, 1984) untuk mencapai matlamat ini, yakni menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pelajaran di negara ini, peralihan dari bahasa pengantar bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu untuk berbagai-bagai mata pelajaran dimulakan dalam tahun 1968, dan mata pelajaran yang mula-mula mengalami pertukaran bahasa pengantar itu adalah mata pelajaran yang dianggap penting, iaitu, Sains dan Matematik, yang kemudiannya diikuti oleh Sejarah dan Geografi. Selepas peristiwa 13 Mei 1969 kerajaan dengan tegas melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Ketegasan kerajaan melaksanakan dasar ini mendapat sokongan daripada PBMUM. Ketegasan kerajaan serta sokongan daripada orang ramai seperti kesatuan guru, persatuan pelajar, penulis, belia dan ibu bapa mengakibatkan tertubuhnya Universiti Kebangsaan pada tahun 1970. Universiti Kebangsaan telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ia memberi peluang kepada anak-anak Melayu yang sekolah aliran kebangsaan melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi dan bahasa pengantarnya bahasa Melayu. Seterusnya, ia menjadi ikutan kepada universiti-universiti lain seperti Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Sains Malaysia. Dalam tahun 80 dan 90-an pemerkasaan bahasa Melayu telah sampai kemuncaknya apabila ia diterima oleh semua murid dan pelajar. Menjelang tahun 1983 bahasa pengantar di tahun satu hingga tahun pertama universiti menggunakan bahasa Melayu. Bagi memantapkan lagi bahasa Melayu di Malaysia, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-IV diadakan pada Disember 1984 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Isu-isu yang dibangkitkan dalam kongres ini ialah peristilahan, perkamusan, penterjemahan, kesusasteraan, percetakan dan kefungsian. Penubuhan Biro Terjemahan adalah perlu untuk melakukan penterjemahan ilmu ke dalam bahasa Melayu. Bagi meningkatkan imej bahasa Melayu perlu memperbanyak penulisan dalam bahasa Melayu supaya ia boleh dikategorikan sebagai bahasa ilmu. Kefungsian bahasa Melayu haruslah merangkumi bidang intelektual, kesenian, kebudayaan dan ilmu pengetahuan. Keperluan-keperluan bagi memastikan bahawa bahasa Melayu dapat bersaing dalam Era Teknologi Maklumat dan Pembangunan Teknologi. Berkat usaha gigih pencinta-pencinta bahasa pasca-merdeka, pemerkasaan bahasa Melayu telah berkembang sehingga penghujung abad ke 20. Bahasa Melayu telah digunakan secara meluas di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti. Ia selaras dengan Dasar Pendidikan Negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Namun begitu, pada abad ke-21 bahasa Melayu seakan terpinggir ekoran daripada perubahan pemikiran pemimpin negara yang ingin melihat Malaysia maju menjelang tahun 2020. Bahasa Melayu tidak lagi relevan dengan zaman sains dan teknologi. Bahasa Inggeris telah mengambil tempat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia. Pada tahun 2003 kerajaan telah memperkenalkan Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Alasan penukaran ini berlaku kerana bahasa Melayu kekurangan istilah yang tepat untuk mata pelajaran Sains dan Matematik. Perlaksanaan ini menyebabkan hanya tinggal 19 mata pelajaran yang diajar dalam bahasa Melayu berbanding 47 mata pelajaran dalam bahasa 142 Inggeris di peringkat menengah atas (SPM). PPSMI ini membuktikan orang Melayu sendiri telah menyingkirkan bahasa ibundanya sendiri yang digunakan sejak 50 tahun lalu sebagai bahasa ilmu dan perpaduan. Kita sanggup gadaikan maruah bahasa sendiri demi mengejar kemajuan sedangkan kita boleh berfikir bagaimana cara untuk memperkasa bahasa Melayu setaraf bahasa Inggeris. Polemik ini seharusnya perlu diungkai dengan kajian terhadap negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran sama ada Berjaya atau sebaliknya sebelum dilaksanakan. Persidangan berbentuk meja bulat perlu dibuat sebelum pelaksanaan PPSMI. Bukan hanya kepentingan segelintir golongan maka maruah bahasa dan bangsa Melayu perlu digadaikan.
Cabaran-cabaran pada masa kini
Perlunya kerajaan pada masa kini berfikiran positif terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa yang dinamis dan maju. Alasan ketiadaan istilah yang bersesuaian tidak relevan kerana bahasa Melayu bukan sahaja dituturkan di Malaysia sahaja tetapi seluruh Nusantara. Para pemimpin perlu bercakap bahasa Melayu yang betul bukannya dicampur aduk dengan bahasa Inggeris ketika pengucapan umum di media massa. Kerojakkan bahasa ini menyebabkan rakyat terikut-ikut rentak percakapan mereka. Bahasa Melayu telah dilacurkan oleh bangsanya sendiri tanpa disedari. Selain itu, mereka yang berpengaruh perlu menunjukkan sikap sayang kepada bahasa ibunda seperti artis dan selebriti tempatan. Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang dihormati perlu diguna pakai pada situasi-situasi tertentu serta relevan. Ketirisan berbahasa Melayu tidak akan berlaku bagi memikul tugas serta cabaran pada abad ke 21 yang lebih mencabar. Pada abad ke 21 tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris juga penting sebagai bahasa antarabangsa untuk kita berhubung dengan dunia luar. Namun begitu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diberikan tempat yang sewajarnya bukan dianaktirikan. Kini bahasa Inggeris telah diberi nilai ekonomi yang begitu tinggi di Malaysia. Bagi mendapatkan pekerjaan serta jawatan yang baik di sektor swasta khususnya, rakyat perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Boleh berkomunikasi dan berhujah dalam bahasa Inggeris sebaik mungkin. Kita perlu melihat negara Jepun dan Korea yang maju tetapi tidak pernah mengabaikan bahasa mereka sendiri. Mereka tidak perlu menguasai bahasa Inggeris kerana buku-buku bahasa Inggeris telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun dengan cepat dan kemas.
CADANGAN
Rakyat Malaysia sebagai penutur bahasa Melayu perlu mempunyai jati diri yang kuat serta yakin dengan bahasa sendiri. Wujudkan semangat cinta dan kasih kepada bahasa sendiri tanpa berbelah bagi. Percakapan seharian hendaklah menggunakan bahasa yang betul bukan dicampuri aduk dengan bahasa lain. Beberapa langkah perlu diambil supaya bangsa lain yang terdapat di Malaysia ini tertarik menggunakan bahasa Melayu:
i. Mewujudkan sekolah kebangsaan sahaja dan hapuskan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Bahasa mereka juga diajar tetapi sebagai mata pelajaran elektif sahaja. Ini akan memberikan mereka peluang untuk belajar dan bercakap secara formal ketika berada di sekolah.Terbukti dasar ini telah berjaya mewujudkan satu negara, satu bangsa dan satu bahasa oleh sesetengah negara di dunia seperti Thailand dan Indonesia. Semua bangsa yang berada di negara tersebut dapat bertutur bahasa ibunda dengan baik sekali tanpa mengabaikan bahasa kaum mereka.
ii. Menghapuskan secara total penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik. Pihak kerajaan sepatutnya mengkaji secara mendalam sebelum PPSMI ini diperkenalkan. Penggunaan bahasa Inggeris telah membunuh minat pelajar dan menghalang pemerkasaan bahasa Melayu terutamanya dalam bidang sains dan teknologi terutamanya di luar bandar. Kekurangan istilah dalam bahasa Melayu bukanlah alasan yang logik kerana kita boleh mencipta dan mengambil istilah daripada pelbagai sumber untuk dijadikan sebagai bahasa kita. Tindakan kerajaan menggunakan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik amat mengecewakan orang Melayu meminggirkan bahasanya sendiri. Ia seolah-olah bahasa Melayu sangat mundur dan tidak bersesuaian lagi dengan kemajuan pada zaman moden ini.
iii. Penggunaan sepenuhnya bahasa Melayu untuk pengiklanan serta papan tanda dan nama kedai di kawasan bandar, lebuh raya dan pekan. Papan tanda pengiklanan yang diperlihatkan kepada umum mestilah bahasa Melayu tanpa dimasukkan bahasa lain. Manakala daripada segi tatabahasa perlulah dirujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum iklan tersebut dikeluarkan untuk tatapan umum. Bahasa yang tidak mengikut standard sebenar bahasa Melayu perlu diturunkan atau dinapuskan
iv. Peranan media-massa juga perlu untuk memperkasa bahasa Melayu. Pihak penyiaran sama ada radio atau televisyen seperti TV1, TV2, TV3, TV7, TV8 dan TV9 mestilah menggunakan bahasa Melayu lebih berbanding bahasa lain. Mereka juga perlu mengurangkan kebanjiran filem-filem dan drama-drama dari luar seperti Indonesia, Amerika Syarikat dan Mexico. Banyakkan rancangan-rancangan tempatan yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
v. Meningkatkan lagi usaha penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa Melayu supaya pengaliran ilmu lebih dinamis dan sistematik. Institut Terjemahan Negara perlu memainkan peranan lebih pro-aktif. Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama universiti-universiti tempatan juga perlu menerbitkan lebih banyak buku-buku versi bahasa Melayu sama ada untuk rujukan di perpustakaan dan bacaan umum. Oleh hal demikian, kerajaan mestilah menyediakan dana yang mencukupi untuk tujuan ini. Negara kita mampu mengadakan projek-projek mega yang menjangkau berbilion ringgit. Tidak mustahil untuk tujuan ini yang tidak sebesar projek mega itu dapat kerajaan laksanakan demi melihat bahasa Melayu maju ke hadapan seiring bahasa lain di dunia. Setelah lebih 50 tahun merdeka kita tidak perlu menunding jari kepada kelemahan bahasa Melayu semata-mata tanpa berusaha untuk mempertingkatnya daripada semasa ke semasa seiring dengan kemajuan sains dan teknologi.
vi. Menghapuskan penggunaan dwi bahasa dalam borang permohonan kerja terutamanya di sektor swasta. Penggunaan dwi bahasa ini tidak perlu kerana semua warganegara Malaysia telah memahami bahasa Melayu dengan baik sekali. Ini terbukti pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu adalah wajib di sekolah rendah dan menengah. Jangka masa pendidikan secara formal ini berlangsung selama enam hingga sebelas tahun. Mustahil dalam jangka masa tersebut sesorang itu tidak memahami istilah atau perkataan bahasa Melayu. Bagi pekerja asing yang ingin bekerja di Malaysia perlulah mempelajari bahasa Melayu selama enam bulan sebelum datang ke sini.
vii. Mengadakan seminar bahasa Melayu serta kepentingannya. Seminar ini akan dapat memperkemaskan lagi bahasa bagi mengurangkan berlakunya percemaran bahasa dalam percakapan harian serta penulisan. Menurut (Awang Sariyan, 1988) Gejala pencemaran bahasa bukan perkara baru bagi bahasa Malaysia. Misalnya, meluasnya pengaruh bahasa pertuturan atau bahasa pasar yang kurang teratur dalam tulisan sudah sejak sekian lama berlaku. Tambahan pula zaman sains dan teknologi sekarang manusia suka kepada sesuatu yang cepat dan ringkas misalnya, Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
PENUTUP
Jelaslah bahawa bahasa Melayu perlu diperkasakan daripada semasa ke semasa mengikut peredaran zaman sesuai dengan kemajuan sains dan teknologi. Bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa antarabangsa sebagaimana pada zaman kesultanan Melaka. Ia telah mencapai kemuncak sebagai bahasa perhubungan anatara para pedagang atau dikenali sebagai lingua-franca. Kritikan Munsyi Abdullah dan kemerdekaan negara pada tahun 1957 telah menjadi wadah perjuangan orang Melayu memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta setaraf dengan bahasa lain di dunia. Klimaks perjuangan mereka terdahulu dengan tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan diikuti oleh universiti-universiti lain. Namun begitu, persaingan yang kuat dengan bahasa asing terutama bahasa Inggeris menjadikan bahasa Melayu dipandang rendah oleh orang Melayu sendiri. Mereka berpendapat bahasa Inggeris lebih mantap untuk mengejar kemajuan sesebuah negara. Justeru, mata pelajaran Sains dan Matematik telah ditukarkan kepada bahasa Inggeris seolah-olah bahasa Melayu dipinggirkan oleh bangsanya sendiri. Tindakan ini membantutkan pemerkasaan bahasa Melayu di Malaysia. Pejuang-pejuang bahasa Inggeris telah dibenarkan mengemukakan pendapat kepada umum sedangkan pejuang-pejuang bahasa Melayu tidak ditonjolkan. Oleh itu, beberapa cadangan telah dikemukakan supaya pemerkasaan bahasa Melayu dapat dikembalikan ke tempat asalnya sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan.
BIBLIOGRAFI
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007). Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi (1964). Hikayat Abdullah I, Pustaka Antara: Kuala Lumpur.
Awang Sariyan. (1988). Isu-isu Bahasa Malaysia. Fajar Bakti: Kuala Lumpur.
Mahzan Arshad (2007). Memperkasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Malaysia di Sekolah” Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.Dlm Masalah Pendidikan Jilid 30 (1). http://www.googlescholar.com Diakses pada 15 Februari 2010.
Asmah Haji Omar. (1984). Pengajaran Bahasa Malaysia Dalam Konteks Perancangan Bahasa Kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Abdullah Hassan (2007). Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I-IV (1952-2002). Persatuan Penterjemah Malaysia, Kuala Lumpur.
Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain .(1992). Pembinaan Bahasa Melayu Perancangan Bahasa di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

5 comments:

  1. penulisan dan perkongsian yang baik. tahniah

    ReplyDelete
  2. Mohon kebenaran untuk saya jadikan bahan kajian

    ReplyDelete
  3. Mohon kebenaran untuk saya jadikan sebagai bahan kajian

    ReplyDelete
  4. Mohon kebenaran untuk saya jadikan sebagai bahan kajian

    ReplyDelete
  5. mohon kebenaran untuk saya jadikan sebagai bahan kajian

    ReplyDelete