Sunday, 6 May 2012

PEMERKASAAN BAHASA MELAYU SEBAGAI PEMBINA NEGARA BANGSA - Talinah bt Jeman [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

ABSTRAK. Pejuang bahasa ada mengatakan bahawa bahasa adalah jiwa bangsa. Jikalau bahasa dipisahkan daripada bangsa, maka akan musnahlah bangsa. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang diketahui umum oleh seluruh rakyat Malaysia. Oleh itu, Bahasa Melayu boleh dikatakan sebagai jiwa bangsa Malaysia. Setelah 52 tahun Malaysia mencapai Kemerdekaan, bahasa Melayu telah digunakan secara meluas dan dijadikan sebagai bahasa pengantar ilmu dan kemajuan. Malah, untuk meletakkan bahasa Melayu pada tahap global, bahasa Melayu perlulah diperluaskan dan dibudayakan penggunaannya sebagai lambang jati diri bangsa Malaysia. Dalam konteks satu negara bangsa Malaysia sendiri, Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai usaha ke arah merealisasikan hasrat pembinaan negara bangsa melalui proses pemerkasaan bahasa Melayu yang mana ianya melibatkan perancangan semula pembangunan bahasa Melayu dalam pelbagai aspek. Justeru kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti peranan dan langkah pemerkasaan Bahasa Melayu dalam sebuah Negara bangsa. Kajian ini akan berfokus dan menghuraikan tentang matlamat pemerkasaan Bahasa Melayu. Dapatan kajian menjelaskan matlamat pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan iaitu bahasa penyatu bangsa Negara, bahasa rasmi sebagai bahasa pengantar pendidikan dan pentadbiran Negara, bahasa ilmu untuk pembentukan masyarakat Negara bangsa, bahasa perpaduan yang dapat menyatukan masyarakat majmuk dan bahasa kemajuan untuk pembina kemajuan negara bangsa. PENDAHULUAN. Bahasa mempunyai pengaruh yang amat kuat dalam masyarakat sebuah negara bangsa. Hal ini dapat dilihat apabila bahasa mempunyai kuasa untuk mendukung, meneruskan serta mengekalkan identiti budaya bagi masyarakat itu. Hal ini antaranya disebabkan bahasa mempunyai wibawa selain merupakan simbol konkrit. Sehubungan dengan itu, bahasa didapati amat sesuai digunakan untuk mewujudkan dan seterusnya mempertahankan sentimen etnik dan nasionalis masyarakat dalam satu bumbung iaitu negara bangsa Malaysia. Bagi masyarakat Malaysia, bahasa Melayu digunakan untuk berinteraksi dan berkomunikasi yang mana ia turut mengungkap kejayaan dan segala macam pencapaian bangsa Malaysia yang boleh diwarisi oleh generasi akan datang. Bahasa Melayu juga membolehkan masyarakat menyimpan sejarah negara. Peranan bahasa Melayu dalam aspek ini adalah untuk mencatatkan fakta, sama ada dalam bentuk rekod sejarah, laporan, tinjauan geografi, perundangan dan pelbagai lagi. Selain itu, bahasa Melayu mempunyai peranan besar dalam mengekalkan identiti budaya masyarakat Malaysia. Bagi masyarakat Malaysia, bahasa Melayu merupakan bahasa yang mengungkapkan kehidupan dan pengalaman bangsa Malaysia. Hal ini kerana bahasa Melayu mempengaruhi cara masyarakat Malaysia mempersepsi sesuatu dan bahasa Melayu juga mempengaruhi proses mental masyarakat Malaysia. Di samping itu, proses pembentukan sebuah negara bangsa sering mengambil kira bahasa sebagai faktor utama dalam perpaduan masyarakat majmuk. Di Malaysia, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa perpaduan. Sesungguhnya, bahasa didapati mendukung peranan dan langkah penting dalam konteks pemerkasaan bahasa Melayu untuk pembinaan sebuah negara bangsa. Oleh itu, objektif kajian ini mengenal pasti peranan bahasa Melayu dan langkah-langkah pemerkasaan bahasa Melayu serta menjelaskan matlamat pemerkasaan sebagai tunggak negara bangsa. Batasan kajian ini akan menghurai langkah, peranan dan matlamat pemerkasaan bahasa Melayu yang ada hubung kait sebagai pembina negara bangsa. KONSEP BAHASA MELAYU DAN KONSEP PEMERKASAAN BAHASA MELAYU Menurut Nik Safiah Karim (2009-11) Konsep bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan lisan antara manusia Melayu dengan penutur-penutur bahasa lain telah terbukti oleh sejarah. Untuk bertahun-tahun lamanya bahasa Melayu berperanan sebagai lingua franca di Kepulauan Melayu. Pemerkasaan, menurut Kamus Dewan, edisi keempat, bermaksud perihal perbuatan, usaha atau tindakan memperkasa sesuatu. Dalam konteks kajian ini memperkasa bahasa Melayu melalui berbagai peranan dan langkah pemerkasaan untuk mencapai matlamat pemerkasaan bahasa dalam negara bangsa, Malaysia. KONSEP PEMBINAAN NEGARA BANGSA Pembinaan negara bangsa amat penting bagi sesebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Ia menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Berdasarkan ungkapan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, (1991) Pembentukan sebuah negara bangsa dalam konteks Malaysia boleh dihuraikan sebagai membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bahagi terhadap bangsa tersebut. Negara bangsa mempunyai beberapa faktor pemangkin dan salah satu daripadanya ialah lingua franca iaitu bahasa yang dikongsi bersama oleh rakyat dalam perhubungan rasmi dan kehidupan bermasyarakat. Dalam konteks negara bangsa Malaysia, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang menjadi alat perpaduan dan juga selaku bahasa perhubungan utama masyarakat PERANAN DAN LANGKAH BAHASA MELAYU DALAM MEMBINA NEGARA BANGSA. Peranan bahasa Melayu dapat dilihat dalam tiga pasca zaman iaitu zaman sebelum kedatangan kolonial, zaman penjajahan dan zaman selepas penjajahan. Pada zaman selepas penjajahan iaitu ke arah kemerdekaan. Peranan Bahasa Melayu pada zaman sebelum kedatangan kolonial bermula sejak awal kurun Masihi lagi, bahasa Melayu telah muncul sebagai bahasa yang berwibawa dan diterima umum di seluruh Kepulauan Melayu. Bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa lingua-franca atau bahasa perhubungan antara pelbagai bangsa, baik bangsa setempat di rantau ini mahupun bangsa yang datang dari rantau lain seperti China, India, Asia Barat dan Eropah. Ini merupakan langkah awal dalam pemerkasaan Bahasa Melayu. Zaman paling penting bagi bahasa Melayu ialah zaman kesultanan Melayu Melaka. Pada masa itu, Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan dan laluan utama di antara dunia Barat dengan dunia Timur. Bahasa Melayu telah digunakan secara meluas sebagai bahasa perdagangan, bahasa perhubungan, bahasa istana, bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang dan bahasa kesusasteraan. Ini menjelaskan kewujudan peranan bahasa dalam bidang komunikasi antara pedagang Melayu dengan pedagang luar dari Tanah Melayu. Peranan Golongan pemerintah Melayu, khususnya golongan istana meletakkan bahasa Melayu pada tahap yang paling tinggi dan ia digunakan sebagai bahasa perhubungan antara golongan istana dengan rakyat jelata. Pada masa itu, golongan yang mendukung dan memartabatkan bahasa Melayu ialah golongan diraja dan pegawai pemerintah. Ianya terbukti melalui surat-menyurat antara orang Barat dengan raja-raja Melayu. Mereka juga bertanggung jawab dalam menaikkan dan meletakkan bahasa Melayu pada tahap kegemilangan dalam usaha membina negara bangsa. Pada zaman penjajahan Belanda dan Inggeris telah menurunkan darjat bahasa Melayu daripada bahasa lingua franca dan bahasa ilmu kepada bahasa vernakular atau setempat. Fungsinya menyempit sebagai bahasa perhubungan harian untuk lingkungan masyarakat Melayu sahaja. Pada zaman penjajahan Inggeris bahasa Melayu telah disetarafkan dengan bahasa keturunan pendatang. Demi kepentingan ekonomi, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa pengantar di sekolah vernakular Melayu. Dasar pecah belah dan perintah Inggeris ini telah melunturkan fungsi bahasa Melayu ketika itu. Menjelang Kemerdekaan pula wujud pejuang yang memperjuangkan semangat nasionalisme berteras kebahasaan. Antaranya golongan cendekiawan yang meniupkan semangat perjuangan melalui bidang bahasa dan persuratan. Langkah pengiktirafan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan secara rasmi selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 merupakan satu langkah yang jitu dalam memperkasa Bahasa Melayu untuk menyatukan rakyat bangsa negara di bawah satu bumbung bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Kerajaan pada masa itu merancang pembinaannya supaya bahasa Melayu berkembang dan memainkan peranan utama sebagai asas pembinaan negara bangsa dan kebudayaan masyarakat. Usaha tegas dilakukan melalui pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi. Pelaksanaan tersebut dapat dilihat dari dua segi iaitu penggunaannya dalam sistem pendidikan negara dan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran kerajaan. Perlu diusahakan langkah agar Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa yang dihormati oleh warganegara Malaysia dan digunakan pada situasi-situasi yang relevan. Ini secara tidak langsung akan menentukan bentuk Bahasa Melayu yang segar dan bertenaga untuk memikul tugas dan cabaran abad ke 21. Bagi menjayakan usaha ini, Kerajaan telah melaksanakan Laporan Razak sejak tahun 1957 dan pada tahun 1961 pula, melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatan Kuasa Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Bagi memungkinkan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa tersebut dijadikan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar ia dapat berkembang menjadi bahasa moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat. Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan agen perpaduan, Penyata Razak telah dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Laporan ini mencadangkan agar bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan Kebangsaan. Langkah ini bagi memastikan rakyat mempelajari bahasa Melayu, Dasar Pelajaran Kebangsaan memberikan nilai ekonomi kepada bahasa tersebut seperti mencadangkan kelulusannya untuk memasuki sektor perkhidmatan awam, mewajibkannya dalam semua peperiksaan yang diawasi oleh Kerajaan dan menjadikannya syarat kelulusan terpenting bagi calon yang memohon biasiswa Kerajaan. Langkah penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem Pendidikan Kebangsaan amat besar ertinya dalam matlamat ke arah proses pembinaan negara bangsa. Konsep negara bangsa yang digunakan ialah negara yang ditandai oleh kewujudan satu bangsa yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Bangsa tersebut dikenali sebagai bangsa Malaysia. Bangsa yang menjadi warganegara atau rakyat negara ini menggunakan bahasa kebangsaan yang sama iaitu bahasa Melayu. Langkah perjuangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan Kebangsaan telah diteruskan oleh pertubuhan guru, penulis, sasterawan, dan wartawan. Langkah pemerkasaan melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956 telah mendesak kerajaan supaya bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah rendah dan menengah kerajaan dan bantuan kerajaan. Pelaksanaannya mencapai kemuncak pada tahun 1983 apabila semua kursus aliran sastera, sains, kejuruteraan, perubatan dan lain-lain kursus dijalankan dalam bahasa Melayu. Pada tahun 1970, Universiti Kebangsaan Malaysia telah dibina dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan memperlihatkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains tulen. Langkah pemantapan pemerkasaan Bahasa Melayu juga telah dibincangkan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelima pada tahun 1998 yang menggariskan Bahasa Melayu dan Pemerkasaan demi keperluan memperkasa bahasa pendidikan, penerangan dan pentadbiran di dalam negara dan di dunia. Maka kerabat kongres bersetuju untuk memperakukan 13 resolusi antaranya memberhentikan perdebatan emosional mengenai sebutan, ejaan, tatabahasa, istilah dan makna yang menjatuhkan maruah Bahasa Melayu, memberhentikan amalan menggunakan bahasa bercampur-campur di kalangan pemimpin, pegawai dan individu serta menggubal dasar pelaksanaan Bahasa Melayu untuk menerajui dan memantau langkah-langkah pelaksanaan Bahasa Melayu dengan memberi kursus kepada agensi-agensi yang melaksanakan dasar-dasar Bahasa Melayu sekarang. Langkah ini terbukti betapa pentingnya keprihatinan Badan Kongres ke arah satu matlamat unggul iaitu untuk pemerkasaan Bahasa Melayu demi wadah negara bangsa Malaysia. Langkah pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan menampakkan penggunaannya dalam pelbagai perisian dan kesantunannya. Orang Melayu meletakkan bahasa sebagai alat perhubungan sosial yang penting. Mereka sangat berhati-hati ketika berkomunikasi dan menggunakan bahasa kiasan ketika menyampaikan sesuatu maksud. Sejak zaman dahulu lagi bangsa Melayu memiliki keperibadian yang istimewa selain terkenal dengan ciri ketimuran seperti lemah-lembut, beradab, dan berbudi bahasa. Bahasa orang Melayu dilihat sebagai lambang kesopanan dan kehalusan budi pekerti penuturnya. Ini secara tidak langsung dapat mencapai matlamat penyatuan kaum melalui kesopanan dan budi bahasa bagi penyatuan rakyat majmuk di negara bangsa ini. Malahan keistimewaan bahasa Melayu pernah diakui sendiri oleh pengkaji budaya Melayu berbangsa Inggeris, Clifford dan Swettenham. Menurut Brown, seperti bahasa Perancis, bahasa Melayu merupakan bahasa diplomatik yang dapat menyelindungi perasaan dan pemikiran benar. Malahan, bahasa Perancis tidak berupaya menandingi kehalusan serta kelembutan yang terdapat dalam bahasa Melayu. Ini secara langsung menunjukkan keunikan bahasa Melayu itu sendiri yang mencerminkan budaya bangsa negara ini. Faktor inilah yang dapat menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia. Justeru, bangsa Melayu bertanggung jawab untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang unggul dalam masyarakat kalangan Malaysia dalam menyerlahkan kesantunan dan kehalusan budi pekerti bangsanya kerana bahasa itu sendiri berperanan sebagai bahasa perpaduan antara pelbagai kaum dan etnik di Malaysia. Selain langkah utama sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa rasmi dalam urusan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak awam. Langkah ini pada tahap idealnya bererti bahawa seluruh jentera pentadbiran dan pengurusan negara bergerak dengan berwahanakan bahasa Melayu. Di samping itu, langkah penggunaan bahasa Melayu secara rasmi turut diperkembangkan lagi di sektor swasta dan korporat dari segi penyampaian maklumat dalam bentuk iklan, pengumuman, arahan dan sebagainya terutama untuk dipamerkan di tempat-tempat umum atau melalui media massa. MATLAMAT PEMERKASAAN BAHASA MELAYU DALAM MEMBINA NEGARA BANGSA Gerakan menentang penjajah dan membebaskan tanah air yang dipelopori golongan nasionalisme iaitu gerakan pelajar, kesatuan, dan tokoh. Keupayaan bahasa Melayu menjadi faktor timbulnya semangat Kebangsaan untuk mencapai Kemerdekaan atas asas-asas bersifat kebahasaan. Golongan nasionalisme ini antaranya Abdul Hadi Haji Hasan, Arun Akreditasi, dan Abdullah Sidek serta yang lainnya yang menjadi guru, sasterawan dan wartawan yang kental dengan semangat Kebangsaannya. Penubuhan KMM, iaitu kesatuan politik yang turut berlandaskan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu dalam pembinaan negara bangsa. Bahasa Melayu juga telah dijadikan pemangkin dalam usaha mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua negeri dan kedudukan istimewa orang Melayu adalah satu tonggak matlamat mempertahankan bahasa dan negara bangsa tempat kita bernaung. Penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem Pendidikan Kebangsaan ini amat besar ertinya dalam matlamat ke arah proses pembinaan negara bangsa. Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama ternyata telah menghasilkan kesan positif kepada pembinaan suatu rupa bangsa yang bersatu padu dan memiliki aspirasi, hala tuju dan sikap kenegaraan yang sama. Kejayaan ini adalah dasar penting dalam asas kestabilan politik, sosial dan ekonomi dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan kesejahteraan negara bangsa. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan telah termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967, Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen. Termeterainya bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi, maka rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik serta berbeza budaya, agama, bahasa cuba disatukan melalui satu bahasa iaitu Bahasa Melayu. Ini antara perancangan sosial oleh pemimpin negara untuk menyatukan masyarakat majmuk dan penyampaian bahasa rasmi untuk menyampaikan pendidikan dan mentadbir negara. Bahasa Melayu adalah teras maruah bangsa negara. Pemerkasaan Bahasa Melayu juga adalah bermatlamatkan sebagai alat perpaduan dalam negara bangsa. Di Malaysia, perpaduan kaum amat penting untuk menyatukan masyarakat majmuk. Istilah Bahasa Malaysia sesudah peristiwa 13 Mei 1969, semata-mata untuk mengelakkan salah faham keturunan lain di negara ini tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Upaya perencanaan bahasa Melayu sebagai tonggak pembina negara bangsa Malaysia turut diperkuatkan dengan penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan pihak berkuasa awam. Penetapan ini bererti bahawa seluruh jentera pentadbiran dan pengurusan negara bergerak berwahanakan bahasa Melayu. Matlamat Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 22 Jun 1956 amat besar ertinya dalam sejarah dan proses pembinaan negara kita apabila kita memahami peranan bahasa dan persuratan dalam mengisi erti kemerdekaan. DBP mempunyai matlamat untuk mengisi erti bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga mengisi erti bahasa pengantar ilmu yang diperuntukkan di dalam Akta Pelajaran 1961. Berdasarkan Seksyen 5 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1956 [Akta 213] dan diperluas melalui Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan) 1995 [Akta A930] untuk membina dan memperkaya bahasa Kebangsaan, memperkembang bakat sastera, mencetak dan menerbitkan bahan bacaan dalam bahasa Kebangsaan dan menggalakkan penggunaan bahasa Kebangsaan yang betul. Dalam proses kecendekiaan bahasa Melayu, matlamat DBP sebagai penggerak utama dan sokongan daripada institusi pendidikan tinggi di negara ini dalam pembinaan bahasa dan bangsa Melayu amat penting. Sehubungan dengan itu dua program besar iaitu pembinaan dan pengembangan bahasa dapat merealisasikan peranan DBP seperti yang tersebut di atas. Pembinaan bahasa merangkumi usaha-usaha dalam memantapkan bahasa Melayu dari sudut sistemnya secara menyeluruh seperti ejaan, sebutan, tatabahasa, istilah, kosa kata dan laras bahasa. Matlamat Pemantapan sistem bahasa Melayu dapat dilihat sebagai persediaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang cekap untuk menjadi daya pengungkap hal-ehwal ilmu, teknologi, dan segala bidang yang berkait dengan hal-hal kehidupan dalam penyesuaiannya selari dengan pembangunan negara bangsa. Justeru, sebagai satu matlamat ke arah pelengkap kepada fungsi memaju dan mengembangkan bahasa kebangsaan, DBP telah meningkatkan usaha dalam memperkaya karya dalam pelbagai bidang ilmu dan profesional dalam bahasa Melayu. Penerbitan karya ilmiah, ensiklopedia, monograf, jurnal, majalah dan buku umum serta sastera merupakan salah satu usaha yang menjadi keutamaan DBP dalam rangka memenuhi fungsi kebahasaannya. Selain penubuhan DBP, dalam bidang pendidikan pula, Akta Pelajaran 1961 telah dirangka berasaskan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang mana penekanan matlamat utama adalah terhadap penggunaan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan telah dibuat. Penyata Razak 1956 menyatakan, tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur. Akta Pelajaran 1996 telah menegaskan kepentingan dan matlamat bahasa Kebangsaan dengan memperuntukkan penggunaannya sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan dan ia hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib di semua sekolah. Bahasa Melayu digunakan sebagai penyampai bahasa ilmu di semua sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi. Dalam konteks pembinaan negara bangsa, bahasa Melayu mengambil langkah drastik untuk memantapkan dan mempraktikkan pembakuan bahasanya dari segi ejaan dan istilah dalam pelbagai bidang. Dengan adanya semangat gigih dan usaha semua pihak, bahasa Melayu akan mencapai matlamat untuk menghasilkan generasi bangsa Malaysia yang berjati diri, cemerlang dalam semua lapangan agar menjadi bangsa dan negara yang gemilang dan terbilang di persada dunia. Namun begitu, terdapat beberapa kekangan di dalam memperkasa Bahasa Melayu khususnya dari segi tahap dan mutu penggunaannya. Kekangan-kekangan tersebut adalah seperti kecenderungan dan kelaziman menggunakan bahasa rojak, penggunaan bahasa Inggeris di dalam majlis-majlis rasmi masih diutamakan oleh sesetengah pihak, penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor swasta masih pada tahap minimum, jumlah penerbitan buku dalam bahasa kebangsaan terutama judul umum dan ilmiah masih sedikit, dan kadar penterjemahan buku ilmiah dalam bahasa asing kepada bahasa Melayu sangat rendah. Bagi mengatasi isu-isu tersebut, dan untuk memperhebat serta memperkasa bahasa Melayu, Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan (JKIMBK) telah diwujudkan. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan bersama oleh Y.B Menteri Pelajaran, Y.B Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dan Y.B Menteri Penerangan. Jawatankuasa ini telah mewujudkan enam buah jawatankuasa kecil khusus bagi membantu JKIMBK melunaskan tujuan asas memperkasa bahasa Kebangsaan. Di samping itu, usaha yang lebih mantap bagi memperkasa bahasa Melayu perlu digerakkan dengan mewujudkan sasaran yang jelas, pendekatan yang menyeluruh dan koordinasi antara badan penggerak utama bahasa. Usaha ke arah matlamat ini amat penting untuk memupuk perasaan cintakan bahasa Kebangsaan kerana ia merupakan identiti unik bangsa Malaysia. Selain itu, usaha ini juga bertujuan untuk memperkukuh Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu. PENUTUP. Proses pembentukan sebuah negara bangsa sering mengambil kira bahasa sebagai faktor utama dalam perpaduan masyarakat majmuk. Di Malaysia, bahasa yang dipilih sebagai bahasa perpaduan ialah bahasa Melayu. Malahan, penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat besar ertinya dalam proses pembinaan negara ini sebagai sebuah negara bangsa. Bahasa Melayu sebagai tonggak pembinaan dan pengekalan sebuah negara bangsa Malaysia telah menelusur sejarah paling panjang bahasa Melayu yang gemilang yang kini sudah memasuki alaf ketiga. Asas-asas sejarah gemilang bahasa Melayu dalam beberapa fasa perkembangan tamadun Melayu dipertalikan dengan upaya kita menjadikannya salah satu asas penting dalam proses pembinaan negara bangsa iaitu dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di negara ini. BIBLIOGRAFI A. Aziz Deraman. (2000). Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdul Hamid Mahmood. (1991). Tinjauan Pelaksanaan Dasar Bahasa Dalam Sistem Pendidikan Negara Di Peringkat Sekolah. City Reprographic Services. Asmah Hj. Omar. (1992). Kajian dan Perkembangan Bahasa Melayu: Dewan Bahasa dan Pustaka. Asmah Hj Omar. (1984). Pengajaran Bahasa Malaysia Dalam konteks Perancangan Bahasa Kebangsaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Awang Sariyan (1984).Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya:Fajar Bakti. Hashim Hj. Musa. (2005). Bahasa dan Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Mohd. Arof Ishak. (2009). Tamadun Alam Melayu.Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Melayu. Muhammad Yusoff Hashim. (1992). Pensejarahan Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim (1986). Bahasa Melayu Persoalan & Pergolakan. Kuala Lumpur: Gateaway Publishing House Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment