Friday, 4 May 2012

PENDIDIKAN BAHASA MELAYU PEMBENTUK NEGARA BANGSA- diselenggarakan oleh Rozali Rajab [ Anne Atoh]

Abstrak Nilai kemanusiaan, kesantunan, lemah lembut dan adat budaya dalam masyarakat kita, yang menjadi kebanggaan serta serta sanjungan masyarakat luar, dewasa ini kian terhakis dan semakin lenyap. Pelbagai isu tentang keruntuhan moral dan kekejaman berlaku dalam masyarakat terutamanya dalam kalangan remaja yang akan menjadi pelapis generasi akan datang. Pelbagai usaha telah diadakan selari dengan usaha pembentukan negara bangsa mencakupi segala aspek nilai berdasarkan cita rasa dan acuan kita sendiri. Lantaran itu, dalam usaha ‘memanusiakan’ manusia, pendidikan Bahasa Melayu merupakan cabang utama yang menjadi pendukung serta tulang belakang ke arah memantapkan usaha murni dalam membentuk satu negara bangsa yang sempurna dengan segala sifat baik dari segi mentaliti dan rohaniah. Kertas kerja ini menjelaskan pendidikan bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam pembentukan negara bangsa. Kejayaan aspirasi negara memerlukan suntikan positif dan kerjasama semua lapisan masyarakat terutamanya golongan pendidik. Dalam keghairahan mengejar kecemerlangan pendidikan, nilai-nilai murni perlu diterapkan dalam pembelajaran dan pengajaran agar seiring dengan kepentingan pendidikan berorientasikan peperiksaan. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah penjamin kecemerlangan insan keseluruhannya. Kajian ini dihasilkan melalui pembacaan buku-buku ilmiah, rujukan perpustakaan, artikel dan sumber Internet. Hasil kajian ini menjelaskan bahawa pendidikan Bahasa Melayu mampu membentuk negara bangsa yang beracuan sendiri sejajar dengan kehendak negara untuk melahirkan bangsa yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. PENDAHULUAN Sejarah telah membuktikan bahawa peristiwa hitam 13 Mei 1969 tercetus akibat konflik dan hilangnya keyakinan rakyat terhadap hubungan antara kaum. Semangat dan kesepakatan yang menjadi inti pati hubungan antara kaum dalam menentang pengganas dan mencapai kemerdekaan telah lenyap dalam sekelip mata. Perpaduan yang menjadi kebanggaan rakyat dan kekuatan negara telah goyah sehingga mencatat peristiwa berdarah tersebut. Implikasi daripada peristiwa itulah pelbagai usaha untuk mewujudkan semangat cinta akan negara serta menghargai perpaduan kaum telah menjadi agenda penting negara. Tentunya usaha-usaha ini memerlukan penglibatan para pemimpin serta rakyat seluruhnya. Sesuai dengan itu,cabaran utama dalam Wawasan 2020 iaitu “membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan”, perlu kita realisasikan agar bangsa majmuk Malaysia kembali gah di persada dunia sebagai bangsa majmuk yang kaya dengan nilai murni dan kemanusiaannya. Dalam usaha mengintegrasikan masyarakat majmuk Malaysia bukanlah satu usaha yang mudah kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada berlainan akar budaya dan bahasa akibat faktor sejarah kolonialismenya dalam masyarakat Malaysia inilah menjadikannya sebuah negara yang unik. Oleh yang demikian, wawasan yang sama untuk membina dan membangunkan negara yang bersatu padu, penuh toleransi dan jelas citranya sebagai satu bangsa Malaysia perlu ada dalam diri setiap rakyat Malaysia. Justeru, penyatuan ini dapat dicapai melalui pendidikan bahasa Melayu sesuai dengan peranan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara kita. Selain itu, bahasa Melayu turut menjadi bahasa ilmu negara sendiri kerana hubungan budaya komunikasi dan nilai dapat dikongsi bersama melalui penggunaan bahasa yang standard dan difahami oleh semua penuturnya. Pembinaan minda negara bangsa dengan nilai kemanusiaan, ketuhanan, kesefahaman, dan peradaban dalam aspek pembangunan minda kelas pertama mengikut acuan sendiri dapat direalisasikan melalui penerapan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Keutuhan mental, sahsiah diri, dan kerohanian dalam dunia globalisasi dapat mencerminkan satu identiti bangsa dan seterusnya menjadi tonggak pembangunan negara sejajar dengan negara maju. Arus globalisasi yang memberi impak terhadap gagasan, budaya, nilai dan jati diri yang menjadi lambang identiti bangsa akan hilang sekiranya Malaysia tidak bersedia menghadapinya malah turut menjadi semakin parah andai kita menerima dengan terlalu mudah segala perubahan yang dibawanya. Tugas dan tanggungjawab berat perlu dialas oleh sistem pendidikan negara dengan menerapkan bahasa Melayu sebagai agen utama dalam membina sebuah negara bangsa yang memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral. Pegangan ini akan melahirkan sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta hidup bersatu padu. Negara Bangsa Menurut Abdul Rahman Embong, “ negara bangsa ialah bangsa yang terdiri daripada semua kaum di Malaysia yang terbentuk dalam sejarah dan mempunyai perasaan sebangsa dengan nama kolektif ( bangsa Malaysia) yang sama serta berkongsi wilayah, ekonomi, budaya dan nasib masa depan bersama dengan rupa bangsa yang sepunya.” Di Malaysia terdapat lebih daripada 60 kelompok yang mendukung kepada pelbagai fahaman, bahasa dan budaya. Kelompok ini terbahagi kepada bumiputera dan bukan bumiputera. Oleh yang demikian, misi utama negara mestilah ke arah penyatuan rakyat dan integrasi nasional serta berasaskan kepada perkongsian nilai dan semangat patriotisme serta diperkuatkan lagi dengan persempadanan wilayah sebagai identiti bangsa. Pembentukan negara bangsa menjadi semakin penting, lebih-lebih lagi pada era globalisasi yang membenarkan pengeluaran dan penerimaan secara bebas dan pantas dari segi maklumat, modal serta manusia. Penyerapan sistem nilai, budaya serta kepercayaan daripada pelbagai bangsa dan negara sering berlaku tanpa penapisan yang sewajarnya. Hasrat dan impian pembentukan negara bangsa dapat digambarkan berdasarkan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam “Melangkah ke Hadapan,1991” : “ .....membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabadian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.” Pembentukan negara bangsa bercirikan tiga aspek utama iaitu: i. masyarakat bersatu padu ii. berkongsi pegangan, ideologi politik. iii. berkeyakinan terhadap sistem pemerintahan dan undang-undang. Dengan bercirikan tiga aspek utama tersebut, diharapkan bahawa bangsa Malaysia dapat mencapai tiga teras 1 Malaysia yang telah digariskan untuk mencapai perpaduan sebagai agenda utama dalam proses pembentukan negara bangsa iaitu: i. prinsip penerimaan ii. prinsip kenegaraan iii. prinsip keadilan sosial. Fokus utama pembinaan negara bangsa ialah: • Memperkasa Bahasa Kebangsaan, • Memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, • Memupuk kecintaan kepada seni, warisan dan budaya negara dan memupuk kefahaman yang jelas terhadapnya. PIPP telah mencadangkan beberapa strategi untuk dilaksanakan, yang antaranya adalah • menggerakkan gelombang baru memperkasakan Bahasa Kebangsaan, • memantapkan pelaksanaan Dasar Buku Negara, • menggalakkan minat membaca, • mewujudkan Bulan Bahasa dan Sastera Negara, • penerapan Islam Hadhari Pendidikan Bahasa Melayu i. sebagai alat komunikasi dan lingua franca Bahasa Melayu bertindak sebagai alat komunikasi dan lingua franca yang penting sejak akhir abad ke 17. Ini telah dibuktikan oleh Francis Valentyn dalam bukunya Aud Nieum II Delu. Beliau mengatakan: “ Bahasa mereka iaitu bahasa Melayu.... bukan sahaja digunakan di pantai Tanah Melayu bahkan juga di seluruh India dan di negeri-negeri sebelah Timur. Bahasa ini adalah bahasa Perancis atau Latin di Eropah ataupun macam bahasa perantaraan di negeri Itali atau Lavant. Oleh sebab banyaknya bahasa ini digunakan maka seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu akan dapat difahami orang baik pun dalam negeri Parsi (Persia) ataupun Filipina.” Merujuk pernyataan tersebut, perkembangan dan kemajuan bahasa Melayu dengan sendirinya menggambarkan kemajuan tamadun Melayu dan identiti negara bangsa yang bukan saja harum malah dihormati di negeri-negeri sebelah Timur. Senario ini sejajar dengan hasrat masa kini yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai pengenalan diri negara bangsa dan bahasa komunikasi rakyat Malaysia. Penerapan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan diharapkan dapat menaik taraf nilai bahasa ke peringkat yang lebih tinggi dan menjadi lingua franca bagi seluruh masyarakat serta mengembalikan zaman kegemilangannya. Keyakinan terhadap fungsi bahasa Melayu perlu ada dalam diri rakyat Malaysia dengan menjadikan bahasa yang dikongsi bersama oleh segenap lapisan masyarakat itu digunakan sepenuhnya dalam perhubungan rasmi dan komunikasi masyarakatnya. Oleh yang demikian, dalam proses pembentukan negara bangsa, institusi pendidikan perlu menggarap aspirasi negara dengan mengadakan pelbagai usaha dan program untuk memperkasakan bahasa Melayu. Dalam mencapai usaha pembentukan negara bangsa, pendidikan bahasa Melayu, terutamanya dalam kandungan sukatan pelajarannya yang merentasi kurikulum, memberi penekanan kepada penggabungjalinan kemahiran berbahasa terutama penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi. ii. alat patriotisme Mengimbas sejarah silam, bahasa Melayu telah pun berperanan untuk menyeru rakyat supaya tidak memberontak terhadap kedaulatan Sriwijaya dan taat setia terhadap pemerintah. Sikap kesetiaan ini dapat dilihat dalam pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Semangat patriotisme dalam kalangan rakyat ketika itu terlalu jitu sehingga sanggup menggadaikan nyawa sebagai galang ganti. Rakyat juga disogokkan dengan pelbagai akibat jika tidak mempunyai kecintaan tersebut. Ini kerana, dengan berbuat demikian, mereka akan termakan sumpah sendiri. Ekoran itu, semangat patriotisme terus ditekankan dalam sistem pendidikan. Melaluinya, negara bangsa yang akan lahir adalah satu bangsa yang mempunyai perasaan cinta akan tanah air yang mendalam berasaskan kesedaran seseorang terhadap kewarganegaraannya serta kesetiaan teragung sehingga sanggup berkorban nyawa demi tanah airnya. Menerusi semangat patriotisme ini, akan lahirlah sebuah bangsa yang kuat, berani, mempunyai ketahanan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan nasional agar mampu menghadapi cabaran seperti yang diinginkan dalam membina negara bangsa. Dalam usaha mencapai misi negara ini, Kementerian Pendidikan Malaysia mendukung tanggungjawab yang besar dengan memperkasakan pendidikan bahasa Melayu dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Antaranya; menggerakkan gelombang baru memperkasakan Bahasa • Kebangsaan, memantapkan pelaksanaan Dasar Buku Negara, • menggalakkan minat membaca, dan• mewujudkan Bulan Bahasa dan sastera Budaya • Program ini diharap dapat menyemaikan perasaan sayang akan negara dan semangat jati diri dalam kalangan generasi muda sekali gus mencerminkan budaya negara bangsa yang menjadi kebanggaan bangsa Malaysia. Dengan demikian, semangat patriotisme dalam kalangan negara bangsa dapat diterapkan khususnya melalui penerapan nilai murni dalam pendidikan bahasa. iii. alat penerapan nilai Penyebatian unsur peradaban memberi kesan yang besar dalam menghasilkan sifat asasi dan keperibadian kebudayaan Melayu setelah kedatangan Islam. Penerapan unsur nilai dalam pendidikan telah diterjemahkan melalui Falsafah Pendidikan Negara 1987 bagi menentukan hala tuju dan membentuk tamadun kehidupan yang ingin dibina iaitu; “.....melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.” Bagi mencapai aspirasi membina bangsa yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara,bahasa Melayu memainkan peranan penting untuk merealisasikannya terutama dalam Pendidikan Bahasa Melayu di sekolah. Reformasi pendidikan ini melibatkan sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( 1983 ) dan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah ( 1988 ). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah ( KBSR) diguna pakai untuk Sekolah Kebangsaan ( SK ) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan( SRJK ) dengan memberi tumpuan kepada pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perhubungan, dan bahasa perpaduan. Penguasaan kemahiran berbahasa ini mencakupi bidang penggunaan tatabahasa bagi membantu murid-murid mengikuti pelajaran dengan lebih mudah serta menguasai kemahiran belajar dan berfikir melalui pembacaan, perbincangan, penulisan dan penggunaan bahasa untuk berkomunikasi (Juriah, Raminah & Sofiah 1990 :89). Pelaksanaan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu diberi penekanan yang lebih menjurus kepada pembinaan negara bangsa yang berinovatif, kreatif, berketerampilan, berpengetahuan luas serta mempunyai jati diri yang melambangkan sahsiah serta kerohanian dan berbudi pekerti yang tinggi melalui Kecapaiannya dapat dilaksanakan melalui penguasaan kecekapan berkomunikasi, kemahiran belajar dan berfikir dengan kesepaduan mata pelajaran lain serta penerapan nilai murni berdasarkan strategi penyerapan dan penggabungjalinan. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu pada tahun 1988 pula memberi tumpuan yang mendalam dan menyeluruh kepada pendidikan bahasa yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk memenuhi hasrat melahirkan insan yang seimbang serta harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kandungannya meliputi kemahiran keempat-empat kemahiran berbahasa serta kecekapan berbahasa yang menjadi subkemahiran bagi setiap kemahiran bahasa. Isi kandungan pelajaran juga turut meliputi pelbagai bidang ilmu pengetahuan, penerapan nilai murni serta bahan pengajaran seperti bahan akhbar, majalah, kamus, bahan ilmu pengetahuan dan sastera. Melalui reformasi sukatan pelajaran bahasa Melayu, pembinaan negara bangsa akan menjadi sebuah agenda negara yang mudah untuk direalisasikan. 40 Prinsip-prinsip KBSM ini jelas dapat dilihat melalui carta di bawah. - kesepaduan Intelek, Rohani, Emosi, Jasmani -Kesinambungan Pendidikan Rendah dan Pendidikan Menengah Prinsip – prinsip KBSM - Penekanan Kepada Nilai-Nilai Murni -penggunaan Bahasa Melayu -Pendidikan Umum -Penggunaan Disiplin Ilmu -pendidikan seumur Hidup Carta 1 : Prinsip-prinsip KBSM Penerapan nilai murni berasaskan agama mencakupi 16 nilai iaitu baik hati, berdikari, berhemah tinggi, hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian, kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional dan semangat bermasyarakat. Kesemua nilai tersebut diterapkan melalui kemahiran asas iaitu mendengar, membaca, menulis dan bertutur dengan mengetengahkan serta menonjolkan aspek-aspek dalam sistem bahasa yang memancarkan rumus-rumus yang bernurani dalam akal manusia sekali gus menjadi pedoman dalam ‘memanusiakan’ bangsa yang diingini dicorakkan. iv. alat perpaduan Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang berbeza, bukan saja dari segi fizikal, bahasa, agama, budaya dan adat resam, malahan terdapat juga pengasingan dari segi pendidikan oleh penjajah British yang masing-masingnya menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah. Justeru, agenda penting dalam pembangunan negara untuk membina sebuah negara yang aman, makmur dan berdaya saing ialah perpaduan erat antara masyarakat majmuk Malaysia. Usaha ke arah perpaduan dan integrasi nasional bermula sejak negara mencapai kemerdekaan melalui Dasar Pendidikan, Rukun negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan Dasar Ekonomi Baru yang menjadi titik tolak kepada konsep 1 Malaysia iaitu sebuah gagasan pemangkin perpaduan yang berteraskan nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat. “ Membentuk sebuah negara bangsa ( bangsa Malaysia) yang bersatu-padu serta menyayangi masa depan yang dikongsi bersama... taat setia dan pengabadian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.” 28 Februari 199, merupakan antara cabaran utama Wawasan 2020. Oleh yang demikian, segala aktiviti pendidikan mestilah menjurus ke arah usaha-usaha memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum atau sukan. Cabaran yang besar ini perlu digalas oleh bahagian pendidikan dalam melahirkan pelajar yang mempunyai berkeyakinan tinggi, jati diri, kukuh, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral bagi melahirkan sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal serta bertolak ansur selain berfikiran dan berbudaya saintifik. Dalam usaha mencapai cita-cita ini, penerapan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah diharap dapat membantu pelajar yang terdiri daripada komuniti yang pelbagai bahasa, agama dan budaya berhubung, berinteraksi serta memahami antara satu sama lain. Kesefahaman ini akan berupaya mewujudkan persahabatan dan kemesraan antara mereka bagi membina asas perpaduan dalam kalangan generasi muda. Kurikulum bercorak kebangsaan pula diterapkan dalam Laporan Razak 1956, yang membolehkan pelajar pelbagai kaum memperoleh orientasi pelajaran yang sama melalui kurikulum yang sama isi kandungannya serta bercorak kebangsaan. Kandungan kurikulum dan buku teks yang bercorak kebangsaan memupuk nilai-nilai murni dan kebudayaan negara. Penekanan penggunaan bahasa Melayu yang merentasi kurikulum, terutamanya dalam prinsip-prinsip KBSM, membolehkan perubahan struktur sosial agar dapat mengurangkan jurang pemisah antara kaum lantas dapat meneroka jalan ke arah perpaduan kaum. v. alat pembudayaan bahasa Melayu sistem pendidikan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memainkan peranan penting menjadikan bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara. Hal ini sekali gus telah mengiktiraf dan mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara selaras dengan yang termaktub dalam Perkara 152 (1) yang memperuntukkan: “Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.” 42 Pemilihan bahasa Melayu dalam masyarakat yang berbilang kaum, fahaman dan budaya sebagai lambang penyatuan mengharapkannya berupaya menjadi dasar identifikasi kebangsaan. Penyata Razak 1956 telah mencadangkan agar penubuhan sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar pendidikan dan seterusnya dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah kebangsaan dan bantuan kerajaan. Peranannya sebagai penyatuan telah dimantapkan lagi melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan, sebagaimana tercatat dalam mukadimah Akta Pendidikan : “…dan untuk merancang perkembangan satu sistem pelajaran iaitu bahasa kebangsaan adalah bahasa penghantar yang sama.” Di samping memenuhi keperluan penyatuan masyarakat majmuk melalui pembelajaran dan pengajaran, bahasa Melayu juga turut memainkan peranan sebagai bahasa kebangsaan untuk dijadikan lambang aspirasi dan semangat kebangsaan serta kemerdekaan. Pengisiannya dapat bertindak sebagai alat komunikasi yang menjadi asas perjuangan kemerdekaan dan penyatuan rakyat berbilang bangsa untuk mencapai kemerdekaan. Dengan demikian, penghayatan semangat patriotisme dalam diri setiap individu bangsa dapat diterap melalui mata pelajaran Bahasa Melayu. Mengimbas kembali kepada fungsinya sebagai bahasa pengantar, maka bahasa kebangsaan juga adalah bahasa rasmi (Asmah Hj Omar 1985: 27). Dalam konteks Malaysia, dari tahun 1957 hingga 1969, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan tetapi dalam urusan rasmi, sistem pemerintahan dan sebagainya, bahasa Inggeris masih digunakan secara bersama dengan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Menyedari kepentingannya, setelah mewajibkan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib di semua sekolah , maka hal ini diteguhkan lagi dalam sistem peperiksaan yang mensyaratkan kelulusan bahasa Melayu untuk mendapatkan kelayakan sijil sejak tahun 1957. Penyeragaman ini secara tidak langsung membolehkan pelajar mengungkapkan buah fikiran menggunakan bahasa yang difahami semua orang serta berketerampilan dalam semua bidang, sekali gus dapat membina sebuah negara bangsa yang berteraskan nilai murni,menguasai ilmu, berkemahiran, dan bersemangat kental dalam mengharungi era globalisasi. vi. alat kecemerlangan bahasa Kecemerlangan bahasa Melayu telah pun terbukti di wilayah alam Melayu. Contohnya, pada tahun 673M, Pendita Cina I Tsing telah mempelajari bahasa Melayu untuk mendalami falsafah agama Buddha. Selain itu, menurut Ibnu Batuttah pada tahun 1343M, dalam kitabnya Rihlah Ibnu Batuttah, beliau menjelaskan bahawa penduduk di Perlak dan Kilu Kari( Kuala Krai) telah pun mempunyai peradaban Melayu. Sejarah tentang kegemilangan Bahasa Melayu juga dapat dilihat pada batu bersurat yang mencatatkan ajaran moral dan agama bagi membina sebuah bangsa yang berkeperibadian tinggi. Sifat keterbukaan bahasa Melayu telah meletakkannya sebagai bahasa yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu terus dijulang dengan menjadikannya sebagai bahasa lambang identiti negara bangsa melalui penekanan terhadap penggunaannya dalam institusi pendidikan dengan memperkenalkan beberapa dasar sebagai landasan ke arah bahasa perhubungan dalam bidang perdagangan, pemerintahan, ilmu pengetahuan, diplomatik dan agama selaras dengan impian bahawa bahasa Melayu akan dikongsi bersama penggunaannya oleh masyarakat dunia. Pencapaian kecemerlangan ini menjadi tanggungjawab bahagian pendidikan dalam melahirkan negara bangsa yang mampu mengangkat taraf bahasa Melayu di samping menerapkan perasaan bangga terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi seharian sekiranya diterjemahkan ke dalam acuan sendiri vii. alat yang melambangkan kesantunan dan peribadi negara bangsa Kesantunan bahasa merupakan bentuk bahasa atau penggunaan bahasa yang bermaksud untuk berlaku sopan kepada pihak yang diajak bercakap bagi tujuan menghormatinya, di samping memperlihatkan kelemahan pada pihak yang bercakap agar dianggap sebagai berbudi bahasa (Teo kok Seong,1996 ). Nilai ini dapat diperoleh dengan memberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang akan melambangkan nilai sosiobudaya masyarakat. Dalam usaha menghayati dan menerapkan bentuk atau strategi komunikasi yang bersopan serta beretika untuk mewujudkan penghayatan nilai serta adab kesopanan dan kesantunan berbahasa, penerapan nilai-nilai komunikasi yang berkesan dalam pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu perlu dititikberatkan agar martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, komunikasi dan perpaduan dapat membentuk negara bangsa yang berkualiti lagi berkeperibadian tinggi. Usaha ini dapat menyemarakkan rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu sebagai budaya santun berbahasa dan menjadi amalan untuk membentuk modal insan yang berkaliber serta berkualiti selari dengan cabaran teknologi demi memenuhi matlamat kemajuan mengikut acuan sendiri. Viii. Sebagai tonggak kebudayaan Melayu Bahasa Melayu adalah asas utama kebudayaan Melayu dan kebudayaan negara, malah bahasa Melayu juga menjadi wahana tamadun di rantau ini yang menjadi himpunan sejarah kegemilangan sebagai negara bangsa Malaysia. Di dalamnya terdapat konsep-konsep, nilai-nilai, norma-norma, proses, dan pelbagai kenangan atau pengalaman yang dijadikan tonggak untuk membentuk jati diri sebuah negara bangsa. Penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian akan membentuk nilai dan mentaliti yang membendung timbulnya keinginan menderhaka terhadap golongan yang lebih tua, misalnya. Hal ini demikian kerana wujudnya konsep-konsep penyerapan nilai-nilai murni. Jika kita lihat beberapa contoh cerita yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu seperti Si Tanggang dan Batu Belah Batu Bertangkup, di sebalik ceritanya, terdapat unsur-unsur penerapan norma dan nilai masyarakat yang dapat dibentuk atau disemai kepada individu melalui aktiviti dan proses pendidikan seperti yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Oleh itu, hal ini juga turut mencakupi budaya masyarakat yang menerima keseluruhan cara hidup merangkumi agama, kepercayaan, sikap aspirasi, dan ilmu pengetahuan di sekolah. Impaknya, pembentukan subsidi individu akan menzahirkan rupa bangsa yang bersedia menerima dan menghadapi perubahan, pembaharuan serta pembentukan negara bangsa yang berdaya maju, bernilai murni serta merelakan pembangunan masyarakat yang sejahtera. Penerapan nilai-nilai inilah yang akan menjadi sebahagian daripada pegangan hidup yang sebati dalam diri negara bangsa yang diingini dicorakkan sekali gus menjadikannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian. Pembentukan jati diri hasil daripada penerapan nilai ini akan menjadi tonggak dan identiti sebenar sebuah masyarakat yang berkeperibadian serta mempunyai budaya hidup yang disegani lagi disanjung oleh masyarakat luar. “Penerapan nilai budiman bertujuan untuk melahirkan manusia Melayu yang halus, berhati mulia, berakal, bijaksana, beradat, beradab, tahu membalas budi, cukup ajar dan sebagainya. Budi dan budiman ialah teras humanisme, moralis dan etika Melayu, yang berpaksikan ketuhanan(ketauhidan) yang mampu meletakkan manusia ke darjat, harkat danmartabat tertinggi…Manusia Melayu yang memiliki nilai dan berorientasikan budi disebut sebagai manusia budiman yang melambangkana total personality, a perfect gentleman. Dari konsep manusia budiman inilah lahir masyarakat budiman. Konsep budi dan budiman inilah teras kemanusiaan Melayu yang bukan self-centred, man-centred, tetapi juga berpaksikan ketuhanan (God-centred).” (Norazit Selat dan Zainal Abidin Borhan 1996:29-31). Penerapan nilai di atas, jika diterapkan dalam sistem pendidikan negara khususnya melalui Pendidikan Bahasa Melayu, pastinya akan dapat mencapai aspirasi negara untuk melahirkan negara bangsa yang beracuan sendiri. Nilai-nilai murni perlu diserapkan dalam diri setiap individu masyarakat majmuk Malaysia sehingga sebati dan menjadi amalan sehariannya. Pelaksanaan penyerapan nilai-nilai murni ini menuntut pemahaman dan penghayatan terutama tentang peranannya dalam kelangsungan hidup bermasyarakat serta nilai-nilai yang ingin diserapkan. Penerapan nilai-nilai ini meliputi semua mata pelajaran supaya menjadi lebih menyeluruh. PENUTUP Tumpuan utama sistem pendidikan haruslah memberi keutamaan penggabungjalinan dalam setiap mata pelajaran ke arah pembentukan rohaniah dengan menerapkan kewujudan Tuhan . Secara tidak langsung, nilai-nilai lain juga akan turut diterapkan. Kebersihan hati dan nurani menjadi paksi ke arah pembentukan jati diri sebenar negara bangsa yang dapat menyerlahkan identiti unggul dan dikagumi masyarakat luar. Malaysia pastinya akan dikenali melalui identiti bangsanya kerana martabatnya yang tinggi Pembentukan negara bangsa memerlukan usaha yang gigih dan kerjasama erat semua pihak. Semangat bersatu padu; cinta dan kesetiaan kepada negara; patriotisme; berorientasi glokal; keharmonian dan toleransi; berbudi bahasa dan beradab serta memahami; menyanjung budaya dan seni bangsa, bukan saja perlu difahami tetapi diamalkan sepenuhnya oleh segenap lapisan masyarakat terutamanya generasi muda. Dalam usaha mencapai hasrat ini, pendidikan Bahasa Melayu perlu memainkan peranannya sebagai pembentuk negara bangsa terutamanya dalam penerapan nilai-nilai murni dan semangat kecintaan terhadap negara. Kementerian Pendidikan seharusnya perlu berusaha keras dalam pembentukan modul pengajaran dan pembelajaran yang benar-benar sesuai untuk diserapkan dalam sistem pendidikan agar acuan yang dihasilkan mengikut citra dan keinginan negara. Penghasilan modul mestilah berdasarkan keadaan sebenar bermula daripada akar umbi masalah dan bukannya berdasarkan teori semata-mata agar berupaya menghadapi kekangan serta seharusnya praktikal untuk dilaksanakan. BIBLIOGRAFI A. Aziz Deraman, (2000). Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abu Bakar Nordin (Ed.). (1994). Reformasi Pendidikan Dalam Menghadapi Cabaran2020. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise. Abdul Rahman Embong, (2001). Negara- Bangsa: Proses dan Perbahasan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Abdullah Sani Yahya, (2003). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distribution Sdn Bhd. Asmah Haji Omar, (1984). Pengajaran Bahasa Malaysia Dalam Konteks Perancangan Bahasa Kebangsaan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Awang Sariyan, (2001). Pendidikan Bahasa Melayu di Malaysia: Pemenuhan Suatu Idealisme. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia. Awang Sariyan, (1989). “ Penyerapan Nilai-nilai Murni dalam Pendidikan Bahasa Malaysia.” Jurnal Dewan Bahasa, 32, 10: 732 – 745. Awang Sariyan,( 2004). Teras Pendidikan Bahasa Melayu Asas Pegangan Guru.Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distribution Sdn Bhd. Hussein Hj. Ahmad, (1993). Pendidikan dan Masyarakat, Selangor Darul Ehsan: Dewan Bahasa dan Pustaka. Juriah Long, (2002). Pendidikan Bahasa Melayu Antara Hasrat dengan Pelaksanaan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Sharifah Mohd Nor, (2000) Keberkesanan Sekolah Satu Perspektif Sosiologi. Serdang: Universiti Purta Malaysia.
MENGHADIRI MESYUARAT SEKOLAH DALAM HOSPITAL DI HOTEL BLUE WAVE,SHAH ALAM.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment