Friday, 25 May 2012

PERANAN BAHASA KEBANGSAAN SEBAGAI LAMBANG JATI DIRI BANGSA-Yusmariza bt Mohd Yusoff [diselenggarakan oleh Rozali Rajab[

Abstrak
Tidak ada tamadun yang dibangunkan tanpa menggunakan bahasa ibundanya sendiri. Di Tanah Melayu ini, mungkinkah tamadun Melayu terus terbina…? Jati diri adalah elemen yang mendasari citra dan imej sesebuah bangsa. Jati diri merangkumi adat, agama, bahasa dan budaya. Ibarat rumah dengan 4 tiang yang kukuh, bayangkan apa yang bakal terjadi jika salah satu tiangnya ditumbangkan? Tidak ada tolak ansur dalam soal jati diri sehingga memungkinkan bahasa Melayu ditolak ke tepi dan digantikan oleh bahasa asing. Dalam catatan sejarah, bahasa Melayu yang sarat dengan nilai jati diri bangsa Melayu telah menjadi lingua franca atau bahasa perhubungan pelbagai bangsa rantau ini terutamanya pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka. Setelah negara mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan pula. Bahasa kebangsaan adalah bahasa utama sesebuah negara yang berdaulat dan lazimnya digunakan sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Apabila bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan, maka bahasa itu telah menjadi milik semua kaum dan rakyat di negara ini. Bahasa Melayu dipilih kerana bahasa itu merupakan bahasa yang diterima, difahami dan digunakan oleh rakyat Malaysia sebagai alat komunikasi serta peranannya yang dapat merentasi pelbagai aspek kehidupan yang lain. Bersandarkan hakikat tersebut, justeru kertas kerja ini akan membincangkan tentang `peranan bahasa Kebangsaan sebagai lambang jati diri bangsa’ kerana bahasa melambangkan jiwa bangsa dan bahasa menunjukkan bangsa. Tidak akan maju sesuatu bangsa itu tanpa bahasanya.
PENGENALAN
Orang tua-tua sering mengungkapkan, “Bahasa Jiwa bangsa”, “Hilang bahasa, lenyaplah bangsa, “Bahasa Teras Budaya, dan Budaya Cerminan Bangsa”. Begitulah suatu penyataan yang cukup sentimental tentang nilai dan harga diri sesuatu bahasa.. Negara yang merdeka dan berdaulat lazimnya memerlukan bahasa, lagu, negara atau bendera sebagai lambang kemerdekaan dan kedaulatannya. Penerimaan dan pengiktirafan lambang kebangsaan berkenaan oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya di negara berkenaan amat penting dari segi pembentukan negara bangsa. Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, sesebuah negara memerlukan bahasa Kebangsaan sebagai alat dan pemangkin untuk membentuk jati diri dan keperibadian sebagai negara bangsa. Sesungguhnya bahasa kebangsaan bertindak sebagai alat pemersatu selain menimbulkan kesedaran tentang identiti di peringkat kebangsaan. Alexis de Tocqueville menyatakan bahawa “ikatan bahasa mungkin merupakan ikatan yang paling teguh dan paling tahan lama yang dapat menyatukan manusia”. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama menyatakan bahawa “adalah wajar bagi sesebuah negara membangun berhasrat mempunyai bahasa sendiri. Jika bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan, negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian – apa yang boleh saya ungkapkan, sebagai negara yang tidak mempunyai jiwa dan roh”. Tanpa jiwa dan roh, tentulah sesuatu bangsa dan negara itu akan lesu dan seterusnya mati kerana pasti akan berhadapan dengan masalah untuk menyatukan penduduknya. Bukan sebarang bahasa yang dapat diangkat sebagai bahasa kebangsaan. Nida E.A menghuraikan tiga ciri yang perlu dimiliki oleh setiap bahasa kebangsaan. Yang pertama, perlunya bahasa itu berkecuali dari segi politik. Yang kedua, bahasa itu hendaklah mempunyai perkaitan dengan pelbagai bahasa di rantau itu dan yang ketiga, terdapat bilangan penutur yang ketara supaya mereka dapat menjadi penutur contoh kepada orang lain untuk mempelajarinya. Sebaliknya dengan adanya bahasa kebangsaan sebagai lingua franca, rakyat pelbagai etnik dapat disatukan, penduduk pelbagai daerah dapat diikat serta kota dan desa dapat dijambatani. Singkatnya bahasa kebangsaan dapat menyerap mesra ke dalam seluruh pelosok kehidupan masyarakat berbanding dengan dialek etnik atau bahasa asing. Objektif kertas kerja ini ialah menghuraikan peranan bahasa Melayu sebagai pembentukan negara pascamerdeka serta menerangkan peranan bahasa kebangsaan sebagai lambang jati diri bangsa serta langkah-langkah memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kertas kerja ini menjurus kepada perbincangan bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan peranannya sebagai jati diri bangsa. Penulis membincangkan tentang peranan bahasa Melayu pascamerdeka, setelah negara mencapai kemerdekaan serta langkah-langkah memperkasa bahasa Melayu sebagai lambang jati diri bangsa.
Peranan Bahasa Melayu Dalam Pembinaan Negara Pascamerdeka
Peranan bahasa Melayu dalam pembinaan negara pascamerdeka telah pun bermula paling lewat sejak abad ke-7 Masihi iaitu dengan kemunculan kerajaan Sriwijaya. Kerajaan Sriwijaya telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan bahasa pengajian agama(Buddha). Peranan bahasa Melayu semakin kukuh, kian jelas dan meluas peranannya dengan kemunculan kesultanan Melayu di segenap rantau. Kepulauan Melayu seperti kerajaan Melaka, Pasai, Acheh, dan Patani. Menurut catatan Marco Polo, Kesultanan Melaka yang diasaskan pada awal abad ke-15 merupakan kerajaan yang paling berpengaruh dan luas jajahan takluknya serta luas pula hubungannya dengan kuasa-kuasa dan bangsa asing. Peranan bahasa Melayu ketika itu meliputi seluruh aspek tamadunnya.
Bahasa Dalam Sistem Pentadbiran
Bahasa Melayu juga berjaya merentas segala bidang kehidupan utama iaitu berfungsi sebagai tunjang kehidupan tamadun yang lain seperti pentadbiran yang meluas terutama dalam zaman pemerintahan Sriwijaya. Dalam zaman kerajaan Sriwijaya, bahasa Melayu mula digunakan sebagai bahasa pentadbiran, termasuklah di wilayah-wilayah jajahannya yang sampai di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu yang dikenal sebagai Segenting Kera. Bahasa Melayu ketika ini menjadi jati diri dan citra kepulauan Melayu. Di peringkat antarabangsa pula, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa utama dalam warkah dan perutusan serta perjanjian dengan kuasa-kuasa dan pihak-pihak asing. Dalam zaman Kesultanan Melayu pula, bahasa Melayu bertambah kukuh sebagai bahasa pentadbirannya yang kian canggih. Dengan kata lainnya, bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan diplomatik. Bahasa Melayu menjadi bahasa supra iaitu bahasa yang mencapai tahap penyebaran dan penggunaan yang luas. Selain merentas etnik di peringkat wilayah, negara, bahasa Melayu juga merentas batas geopolitik.
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Sebagai bahasa ilmu pula, Bahasa Melayu menjadi wasilah pengungkapan dan pengembangan ilmu yang cukup luas cakupannya. Bahasa Melayu begitu kaya dengan ilmu dan menjadi bahasa pengembangan ilmu dalam masyarakatnya sejak berabad-abad bermula dengan benih awalnya sebagai bahasa pengajian agama Buddha dalam zaman pra-Islam iaitu pada zaman kerajaan Sriwijaya pada abad ke-7. Apabila Islam datang ke alam Melayu, tradisi ilmu menjadi mercu tanda utama kebudayaan Melayu dalam zaman kesultanan Melayu di seluruh kepulauan Melayu. Pusat kebudayaan Melayu seperti Pasai, Melaka, Terengganu, Acheh dan Johor-Riau merupakan pusat kebudayaan Melayu yang cemerlang dengan tradisi ilmu. Bahasa Melayu dengan bantuan tulisan jawi yang dipadankan dengan aksara Arab telah menjadi pengungkap yang berkesan dalam segala bidang ilmu yang dibawa oleh pendakwah Islam khususnya ilmu yang berkaitan dengan agama Islam seperti akidah, fiqah dan tasawuf selaras proses pengislaman yang sedang pesat berlangsung pada waktu itu. Dalam bidang sastera, pada zaman kesultanan Melayulah bahasa Melayu benar-benar menjadi bahasa sastera yang subur, meliputi pelbagai bentuk prosa dan puisi. Peranan bahasa dan kesusasteraan Melayu menjadi kian penting. Islam menjadikannya sebagai bahasa umum yang diolah dan diperkenalkan penyatuannya melalui tulisan jawi yang merupakan tulisan antarabangsa yang praktik dan senang dipelajari. Ribuan manuskrip dan hasil persuratan Melayu sejak awal kedatangan Islam tertulis dalam tulisan ini. Kita dapat membicarakan tokoh-tokoh seperti Syeikh Abdur-Rauf Singkel, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Muhammad Zain bin Al-Faqih Jalaluddin dari Acheh dan banyak lagi tokoh lain. Daripada karangan mereka, kita dapat mengkaji pemikiran dan kebudayaan bangsa Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama perkembangan Islam di seluruh Kepulauan Melayu dan Asia Tenggara. Di samping itu, bahasa Melayu telah menjadi bahasa undang-undang bagi hampir setiap kesultanan Melayu; antaranya yang amat masyhur ialah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Malahan hampir setiap kerajaan Melayu pada waktu itu mempunyai kitab undang-undangnya sendiri, seperti Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Siak dan Undang-undang Johor. Demikian juga teks yang diukir pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 itu dengan jelas membuktikan kewujudan wacana undang-undang dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu kemudian diperkaya bukan sahaja dengan kitab atau hasil yang bersifat agama, tetapi juga kemudiannya roman, hikayat, ilmu falsafah, sejarah dan disiplin ilmu-ilmu yang lain. Usahlah kita lupakan pula daya pengungkapan bahasa Melayu dalam bidang ilmu lain seperti persenjataan, perubatan dan astronomi. Bahasa Melayu Sebagai Pengikat Perpaduan dan Persefahaman Peranan bahasa ini sebagai bahasa pengikat perpaduan dan persefahaman dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik yang ada di Kepulauan Melayu yang ratusan jumlah tidak dapat disangkal lagi. Lebih daripada itu, bahasa Melayu telah diterima oleh bangsa-bangsa lain yang datang bermastautin di rantau ini. Kewujudan Baba Cina di negeri-negeri yang dahulu dikenal sebagai Negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang dan Singapura), dengan ciri jati dirinya amat rapat dengan kebudayaan Melayu. Penggunaan bahasa Melayu kreol Baba Cina, membuktikan bahawa bahasa Melayu secara alamiah dapat menjadi wasilah perpaduan dan persefahaman antara bangsa yang berlainan. Selain kaum Baba Cina, di Melaka terdapat kaum Ceti India yang juga mengasimilasikan jati dirinya dengan budaya Melayu, termasuk dalam hal penggunaan bahasa Melayu kreol Ceti. Dengan peranannya yang merentas etnik atau supraetnik dan juga merentas bangsa itu, bahasa Melayu memang telah benar-benar menjadi asas pembinaan negara dan jati diri masyarakat yang bermastautin di negara ini.
Peranan Bahasa Kebangsaan Sebagai Lambang Jati Diri Bangsa Selepas Merdeka
Sejarah perjuangan bangsa mulai awal abad ke-20 menunjukkan cita-cita mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa utama dalam sistem pendidikan negara. Apabila perjuangan memerdekakan negara digerakkan, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu turut menjadi agenda utama. Bahasa Melayu telah dirancang menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara kerana bahasa adalah bidang utama kekuatan bangsa dan alat pengucapan budaya. Bahasa yang mampu berkembang menangani perubahan keperluan dan tuntutan baru peradaban manusia akan mampu pula membina tamadun umatnya dan seterusnya melambangkan jati diri sesuatu bangsa itu. Ungkapan “bahasa jiwa bangsa” bukan sekadar slogan, tetapi ciri utama yang menentukan jati diri “kebangsaan” sesuatu bangsa. Melalui bahasa kebangsaan, sesebuah negara dapat membina keperibadian dan tamadun mengikut acuannya sendiri sesuai dengan aspirasi, latar sejarah dan budaya rakyatnya. Bahasa asing lain tidak mungkin dapat mengambil alih fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengungkap dan perakam peradaban bangsa dan jati diri sesuatu masyarakat itu.
Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Ilmu
Bahasa Melayu telah dirancang menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib 960 sehingga dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian diperkukuh dalam Akta Pendidikan 1996. Bukti kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi pula ditandai dengan tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 dengan penglibatan rakyat (melalui pungutan derma ke segenap negeri oleh jawatankuasa penaja yang dipengerusikan oleh Tun Syed Nasir Ismail). Asas penubuhan UKM adalah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu di pusat pengajian tinggi, 13 tahun lebih awal daripada perancangan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa pengajian tinggi pada tahun 1983. Penglibatan ratusan ilmuwan dalam pelbagai bidang (sains tabii dan sains kemanusiaan), sejumlah lebih sejuta istilah ilmu dan bidang teknikal dalam kira-kira 300 bidang dan subbidang telah digubal terutamanya melalui mekanisme yang diselaraskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1956 dan secara lebih aktif sejak tahun 1972. Wacana ilmiah dalam bentuk buku dan jurnal ilmiah dalam bahasa Melayu telah diterbitkan oleh DBP, penerbit universiti serta penerbit swasta. Penyampaian pelbagai mata pelajaran di sekolah dan pelbagai kuliah di institusi pengajian tinggi dapat disampaikan dalam bahasa kebangsaan oleh guru dan pensyarah dengan baik. Lulusan sistem pendidikan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah menjadi penggerak pembangunan dalam pelbagai sektor. Prasyarat utama pembentukan bangsa dan tamadun yang luhur ialah keutuhan ilmu yang dimiliki oleh bangsa itu; dan prasyarat keutuhan ilmu bangsa sebahagian besar ditentukan oleh keberkesanan penyampaian ilmu itu kepada masyarakat, iaitu dengan menggunakan bahasanya sendiri, sekalipun bahasa-bahasa asing tetap diperlukan sebagai bahasa sumber ilmu. Sebagai bahasa ilmu dan bahasa utama sistem pendidikan negara, bahasa kebangsaan tentu sahaja berperanan membentuk jati diri bangsa Malaysia dengan berkesan melalui kesatuan sistem nilai, pemikiran dan sikap suatu bangsa Malaysia.
Lambang Kehalusan Dan Kesantunan Bahasa
Bahasa yang bertamadun harus mengungkapkan bahasa yang berbentuk halus atau dikenali sebagai eufemia. Dalam hal ini, tanpa diragukan bahawa Bahasa Melayu melambangkan kehalusan kesopanan dan tingkah laku penuturnya. Seseorang yang menjiwai bahasanya sering menuturkan bahasa dengan sopan agar dianggap berbudi bahasa dan tidak dianggap biadab . Ketinggian nilai budi bahasa dalam masyarakat Melayu dapat dilihat daripada pelbagai ungkapan dalam persuratan Melayu lama seperti pantun, syair, peribahasa dan kiasan. Kiasan Melayu merupakan bahasa sindiran yang halus dan sarat dengan pengajarannya. Oleh hal yang demikian, kiasan Melayu berfungsi sebagai lambang kesopanan dan kehalusan budi pekerti masyarakat yang mendukungnya. Ketajaman kiasan Melayu menjadi faktor penting dalam komunikasi orang Melayu, malah kiasan itu dilihat mampu memberikan kesan atau mesej yang kekal dalam diri individu. Kehalusan dan kesantunan bahasa melambangkan kandungan pemikiran, sikap dan tingkah laku penutur yang dipengaruhi masa dan ruang. Meminjam puisi Usman Awang (1988), antara lainnya mengungkap, Melayu itu maknanya bijaksana; Jika menipu pun bersopan; Kurang ajarnya tetap santun; Dajalnya cukup selamba; Budi bahasa jangan dikira; Beraninya cukup benar; Tunduk bila bersalah; Lembutnya cukup jantan; Berkelahi cara Melayu; Menikam dengan pantun; Menyanggah dengan senyum; Marahnya dalam tertawa; Merendah bukan menyembah; Meninggi bukan melonjak. Begitu unik dan istimewa bangsa Melayu, sekalipun bertarung mereka masih boleh berpantun walaupun dalam bentuk yang sungguh sinikal. Menghayati bahasa sebagai jati diri bangsa bermakna kita menghayati setiap aspek bahasa yang dapat mencerminkan identiti atau jati diri bangsa itu sendiri. Penggunaan bahasa Melayu tinggi seperti kiasan dan bidalan menyerlahkan betapa luasnya renungan dan pemikiran bangsa Melayu dulu ketika menyusun peraturan hidup sehingga sebahagian besar daripada hasil renungan dan fikiran mereka itu masih dapat digunakan hingga sekarang. Selain daripada itu, kehalusan bahasa Melayu itu dapat dilihat melalui penggunaan kata sapaan dan kata panggilan, kata gelaran dan rujukan hormat serta kata ganti nama yang disesuaikan dengan konteks dan situasi. Contohnya melalui penggunaan kata panggilan dalam keluarga, akan terpancar kesantunan yang diamalkan oleh keluarga Melayu sejak dahulu lagi. Kata kekeluargaan turut diwakili oleh perkataan seperti Long, Ngah, Anjang, Cik, Busu yang memperlihatkan urutan mengikut kelahiran. Demikian dengan kata panggilan dalam bentuk formal juga perlu diketahui supaya penuturnya tahu menggunakannya dalam konteks yang sesuai. Antara contoh penggunaan kata panggilan adalah seperti tuan, puan, saudara dan saudari. Penggunaan kata rujuk hormat perlulah sesuai dengan sasarannya dan mengikut taraf sosial seseorang. Antara padanan rujukan hormat termasuklah Yang Mulia, Yang Berhormat Mulia, Yang Amat Mulia dan sebagainya. Dalam bahasa Melayu, kata sapaan digunakan berdasarkan kedudukan, usia, pangkat dan keakraban lawan bicara agar komunikasi dapat berlangsung dengan tertib dalam pemilihan dan penggunaan kata yang sesuai berdasarkan situasi dan konteks. Justeru terbuktilah bahawa bahasa ialah nadi atau nyawa masyarakat yang menggunakan bahasa itu. Bertitik tolak dari sini, lahirlah ungkapan “Bahasa Sebagai Jati Diri Bangsa”.
Bahasa Sebagai Alat Komunikasi Sosial dan Wadah Perpaduan
Dari segi sosiobudaya, bahasa Melayu telah mampu memainkan peranannya yang lebih bererti dalam konteks fungsi interaksional untuk menjalin dan mengukuhkan hubungan sosial pelbagai kelompok dan kaum di negara ini. Inilah bahasa yang menjadi rantai emas pengikat jiwa dan raga, emosi dan fikiran rakyat pelbagai kaum. Bahasa Melayu memiliki ciri sebagai alat komunikasi sosial bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia perlu sedar bahawa tanpa bahasa tersebut, sukar bagi mereka mencapai kesejahteraan sosial dan ekonomi. Jadi setiap rakyat yang mengaku dirinya sebagai rakyat Malaysia sewajarnya cinta, hormat dan bangga akan bahasa Melayu. Sebagai alat untuk memungkinkan penyatuan pelbagai kaum dengan latar belakang sosiobudaya dan bahasa masing-masing, bahasa Melayu memungkinkan pelbagai suku kaum dari pelbagai wilayah dan daerah di Malaysia mencapai keserasian hidup sebagai bangsa yang bersatu padu dengan tidak perlu meninggalkan identiti dan bahasa sukuan masing-masing. Dengan bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kesatuan dan pemersatuan, rakyat menyedari betapa pentingnya meletakkan kepentingan nasional melebihi kepentingan kaum dan kelompok yang sempit. Bahasa Melayu telah terbukti keberkesanannya sebagai alat perhubungan antara daerah, wilayah dan budaya hingga kesalahfahaman dapat dihindarkan. Bahasa Melayu tetap akan berperanan sebagai wahana komunikasi yang mutlak untuk masyarakat pelbagai kaum, tanpa mengira taraf sosial dan latar belakang. Bahasa Melayu sebagai bahasa watan telah mampu merapatkan dan menimbus pelbagai jurang. Bahasa itu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi wahana pengikat sosial, merentas dinding kaum, geografi dan status penduduk. Bahasa lain tidak mungkin akan dapat mengambil alih peranan tersebut. Bahasa Melayu telah mengelakkan salah faham, prejudis dan persepsi negatif dalam masyarakat majmuk apabila menjadi alat perhubungan antara penduduk dari pelbagai daerah, negeri dan wilayah. Pergaulan yang berkesan memerlukan bahasa yang mudah dikuasai oleh kebanyakan rakyat, praktis dan mampu mengungkap fikiran dan emosi dengan berkesan. Bahasa Melayu telah dan akan terus berperanan sebagai watak utama di pentas kehidupan sosial, rasmi dan tidak rasmi rakyat Malaysia. Itulah watak yang dapat menjiwai dan menentukan kemantapan dan kekukuhan hubungan sosial dalam rangka integrasi nasional yang tulen di Malaysia dan lambang kepada jati diri bangsa Malaysia.
Beberapa Langkah Memperkasa Bahasa Kebangsaan
Sejarah gemilang bahasa Melayu sebagai bahasa yang merentas ranah utama kehidupan bertamadun tinggi itu perlu diupayakan kesinambungannya pada zaman ini untuk melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa jati diri. Walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran telah dilaksanakan untuk memenuhi konsep bahasa rasmi dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, namun peratusan penggunaan dan mutunya dalam sesetengah bidang urusan rasmi (seperti surat, laporan, perjanjian dan minit mesyuarat) masih belum cukup memuaskan. Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang undang-undang pun memperlihatkan pasang surutnya walaupun ada kesungguhan badan kehakiman dan Majlis peguam melaksanakan bahasa Melayu dalam dokumen dan perbicaraan di mahkamah. Kesan penjajahan Inggeris dan Belanda yang memfaraidkan alam Melayu kepada batas geopolitik milik mereka dan kemudian merdeka atas nama dan bentuk entiti-entiti politik yang berlainan telah memberikan kesan yang buruk kepada taraf supra bagi bahasa Melayu. Hasil kerjasama kebahasaan serantau melalui Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) dan kemudian Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia(MABBIM) sejak tahun 1972, secara beransur-ansur telah berhasil merapatkan jurang komunikasi antara bahasa Melayu di Malaysia dengan variannya di Indonesia. Kemudian melalui Majlis Antarabangsa bahasa Melayu (MABM) yang sempat beroperasi dalam tempoh 2000-2004, telah wujud persefahaman untuk menerima konsep bahasa Melayu/ Indonesia sebagai bahasa yang dikaji, diajarkan dan dikembangkan di luar dunia Melayu (di Eropah, Amerika, Oceania, Timur Jauh dan wilayah lain) Sekalipun tidak menegaskan satu ragam yang meleburkan mana-mana varian itu, pendedahan padanan antara dua varian bahasa Melayu itu cukup banyak membantu pemahaman pelajar asing terhadap bahasa Melayu supra yang tersebar di alam Melayu dan di wilayah lain di dunia. Tahap supra yang turut dititik beratkan ialah usaha membina kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa yang bersifat antar terjemah dengan bahasa-bahasa moden lain, khusus melalui kegiatan terjemahan karya ilmu dan teknikal selain karya sastera. Dengan banyaknya karya ilmu dan teknikal yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, secara langsung bahasa Melayu kian kukuh dalam daya pengungkapan dan hal ehwal ilmu dan teknikal yang sejagat sifatnya. Demikian juga bahasa Melayu perlu berperanan dengan lebih luas dalam bidang diplomasi yang memerlukan perancangan yang rapi dan berani demi kegemilangan bahasa Melayu pada masa hadapan. Protokol negara tertentu seperti Jepun, Republik Rakyat China dan Korea mewajibkan pemimpin berucap dalam bahasa Kebangsaan di majlis rasmi antarabangsa, dengan menyediakan jurubahasa atau terjemahan selari. Hal ini perlu menjadi contoh negara kita sekiranya kita bercita-cita meningkatkan bahasa Melayu ke tahap supra. Oleh sebab itu kita mestilah mendisiplinkan diri dan mempunyai ‘kesombongan berbahasa’ dengan mengutamakan bahasa kebangsaan dalam konteks rasmi dan keduanya, menggunakan bahasa dengan baik dan betul. Kita tidak mungkin dapat memindahkan maklumat dengan baik apabila menggunakan bahasa Melayu rendah. Menggunakan bahasa Melayu yang rosak menunjukkan jati diri yang rosak. Para pemimpin dan ketua-ketua kerajaan sering hilang ‘kesombongan berbahasa’ dengan menggunakan bahasa Inggeris (yang kadang kala memalukan) dalam majlis rasmi tanpa keperluan. Tidak menggunakan bahasa Melayu menunjukkan tidak ada jati diri Melayu dalam diri. Disiplinkan diri dan gunakan bahasa Melayu tinggi, iaitu bahasa persuratan. Apabila kita tidak malu menggunakan bahasa Melayu dan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, barulah kita boleh mengaku memiliki jati diri yang tulen sebagai orang Melayu.
KESIMPULAN
Kita perlu merintis semula keagungan sendiri dengan meletakkan bahasa Melayu sebagai jurucakap dan jurubicara dalam semua urusan menjangkau sempadan urusan antarabangsa dan multinasional. Kita harus mempertingkat kemampuan sendiri dengan perbendaharaan ilmu. Buktikan kepada dunia bahawa bangsa Malaysia bukanlah calang-calang bangsa. Kita memiliki jati diri, tamadun dan kemajuan. Kita seharusnya bersama-sama membuka kembali lembar-lembar sejarah yang telah mengangkat kekuatan bangsa kita. Kita kembali ke permulaan yang betul. Justeru kita perlu terus mengangkat bahasa kita menjadi bahasa perantara dalam semua urusan. Sektor-sektor yang berprestij seperti bidang pengetahuan tinggi, teknologi, kebudayaan dan perhubungan antarabangsa haruslah dikendalikan dalam bahasa Melayu. Menelusuri bicara terakhir, diharapkan seluruh warga Malaysia meletakkan kedaulatan bahasa kebangsaan pada kedudukan paling utama. Semua peringkat sama ada pemimpin, ilmuwan, hartawan dan marhaen harus berasa bangga terhadap kegemilangan budaya kita dan berbicara sepenuhnya dalam bahasa kebangsaan. Kekuatan imej bangsa, jati diri dan tamadun kita sebenarnya berada dalam genggaman kita sendiri. Nadi bangsa Melayu terletak pada bahasa dan kebudayaannya. Segala keistimewaan bangsa Melayu ada tersemat dalam falsafah, pemikiran, kebudayaan dan sebagainya kerana bahasa itu lambang jati diri bangsa. Bahasa Dijunjung, Bangsa Disanjung.
BIBLIOGRAFI
Awang Sariyan. (2010, Februari). Bahasa Berbudaya: Apakah Ertinya? Dewan Bahasa.
Mohd Yusuf Haji Othman. (1994, April). Unsur-unsur Pembinaan Tamadun Manusia Cemerlang. Risalah.
Fauzilahyatun Mustafa. (Februari 2010). Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan Kita. Pelita Bahasa.
Jeniri Amir. (2008, Ogos). Bahasa Kebangsaan Lambang Jati Diri bangsa. Pelita Bahasa.
Kassim Ahmad. (1994, Mac). Masa Depan Bangsa Melayu. 214 Dewan Masyarakat .
Siti Shamsiah bt Mohd Supi. (2005). Budi Bahasa Cermin Peradaban Bangsa. http://www.ikim.gov.my
Nik Rosila Nik Yaacob. (1998, Jun). Mampukah Melahirkan Generasi Berjiwa Malaysia? Dewan Masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment