Thursday, 7 June 2012

BAHASA DAN BUDAYA MELAYU: PEMBAKUAN BAHASA-Zanurhani bt Abdullah [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Pembakuan bahasa merupakan satu usaha yang berterusan yang dilakukan oleh pihak kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, pakar-pakar bahasa, pendidik, dan lain-lain untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mencerminkan keintelektualan dan kemajuan sesuatu bangsa tersebut. Oleh itu, dalam kertas kerja ini menjelaskan mengenai aspek-aspek pembakuan bahasa Melayu dalam perancangan korpus bahasa di Malaysia dan menghuraikan perkaitan antara pembakuan bahasa dan bahasa Melayu tinggi sebagai bahasa wahana ilmu. Bahasa Melayu tinggi ialah ragam bahasa Melayu yang digunakan sebagai pengantar ilmu, bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, bahasa Melayu baku atau standard. Oleh yang demikian, untuk memenuhi peranan bahasa Melayu sebagai sarana budaya tinggi, iaitu sebagai bahasa untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran yang keintelektualan dan maju, terdapat juga gejala kerancuan bahasa Melayu di kalangan masyarakat di Malaysia. Kerancuan bahasa ini menyebabkan kesan-kesan yang negatif yang boleh menyebabkan kemerosotan mutu bahasa Melayu baku dalam tulisan dan pengucapan (lisan). Hasil dapatan ini menunjukkan bahawa pembakuan bahasa memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan bahasa Melayu supaya menjadi bahasa ilmu iaitu bahasa yang menyalurkan ilmu dan buah fikiran moden.
PENGENALAN
Perancangan bahasa merupakan salah satu aspek penting dalam pembinaan negara malahan menjadi salah satu komponen teras yang menjadi jiwa dan unsur dalaman peribadi atau identiti negara. Perancangan bahasa di Malaysia berlandaskan Dasar Bahasa Kebangsaan. Dasar ini meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, seperti yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Dengan adanya dasar bahasa yang menentukan pemilihan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, barulah dilakukan tahap-tahap seterusnya dalam perancangan taraf bahasa. Perancangan bahasa meliputi tahap-tahap tertentu termasuklah pembakuan bahasa. Oleh itu, pembakuan bahasa meliputi seluruh sistem bahasa termasuklah sistem ejaan, peristilahan, kosa kata, tatabahasa, dan laras bahasa. Namun begitu, terdapat kerancuan bahasa dan kesan terhadap proses pembakuan bahasa Melayu akibat daripada kekeliruan oleh pengguna bahasa di Malaysia.
Definisi dan Konsep
Awang Sariyan (1996: 3) mendefinisikan konsep pembakuan bahasa sebagai satu usaha atau proses mengetengahkan bentuk bahasa yang benar dan yang dapat menjadi dasar ukuran. Pembakuan bahasa juga ialah satu aspek yang perlu diberikan tumpuan dalam perancangan sesuatu bahasa. Ini disebabkan hubungan pembakuan bahasa dengan perancangan bahasa dapat diteliti melalui konsep perancangan bahasa itu sendiri yang dijelaskan sebagai usaha, tindakan dan proses merancang sesuatu bahasa tertentu secara sedar untuk memungkinkannya memenuhi dan melaksanakan fungsi tertentu. Justeru, pembakuan bahasa meliputi seluruh sistem bahasa, antaranya sistem ejaan, peristilahan, tatabahasa, kosa kata dan sebutan. Bahasa baku atau bahasa standard ialah satu variasi pertuturan yang membayangkan keseragaman dari segi bentuk dan fungsi (Haugen, 1972). Menurut Fergusan (1960: 8), salah satu ciri bahasa standard ialah bahasa yang telah mengalami standardisasi, iaitu proses pemilihan satu variasi daripada satu bahasa yang diterima secara meluas. Menurut Harvanek (1964: 3-6), bahasa standard digunakan dalam hal-hal yang bersifat akademik, falsafah dan profesional. Nik Safiah Karim (1986), menyatakan bahawa pencemaran bahasa ialah penggunaan bahasa yang melanggar peraturan-peraturan bahasa yang telah dipersetujui, sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat. Kerancuan bahasa Melayu amat ketara dalam pertuturan harian, iklan dan SMS. Rancu bermaksud tidak teratur, campur aduk dan kacau. Ini bermakna bahasa Melayu digunakan secara tidak teratur dan bercampur aduk dengan bahasa asing. Aspek yang dikesan ialah dari segi tatabahasa, ejaan dan diksi. Keadaan ini akan menyebabkan pembakuan bahasa Melayu mengalami cabaran kerana pengguna tidak menggunakan bahasa baku atau bahasa standard yang telah diterima pakai dalam konteks akademik dan profesional. Objektif kajian ini ialah menjelaskan mengenai aspek-aspek pembakuan bahasa Melayu dalam perkembangan perancangan korpus bahasa Melayu di Malaysia di samping menghuraikan perkaitan antara pembakuan bahasa dan bahasa Melayu Tinggi serta membincangkan kesan kerancuan bahasa Melayu terhadap pembakuan bahasa. Batasan kajian ini adalah berdasarkan kepada aspek-aspek pembakuan bahasa Melayu seperti ejaan, tatabahasa, peristilahan, perkamusan dan sebutan baku dalam perkembangan perancangan korpus bahasa, perkaitan antara bahasa baku dan bahasa Melayu tinggi serta kesan-kesan kerancuan bahasa Melayu terhadap pembakuan bahasa di Malaysia.
Perancangan Korpus Bahasa Melayu
Menurut Awang Sariyan (1996:79), strategi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa moden dilaksanakan melalui perancangan bahasa, iaitu usaha secara sedar dan terencana untuk meningkatkan taraf sesuatu bahasa dan membinanya bagi tujuan mengisi taraf tersebut. Terdapat dua jenis perancangan bahasa, iaitu perancangan taraf bahasa dan perancangan korpus bahasa. Perancangan taraf bahasa memberikan taraf tertentu kepada sesuatu bahasa, sementara perancangan korpus bahasa membina bahan atau korpus bahasa tersebut menjadi bahasa yang kemas sistemnya supaya dapat memenuhi taraf yang diberikan kepadanya. Perancangan taraf bahasa Melayu melibatkan pemberian tiga taraf penting kepada bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar pendidikan. Profesor St. Takdir Alisjahbana mentakrifkan perancangan korpus bahasa merupakan usaha, tindakan, atau proses merancang sesuatu bahasa yang tertentu secara sedar untuk memungkinkan bahasa itu mampu memenuhi fungsi-fungsi tertentu. (Awang Sariyan, 1996: 6). Justeru itu, terdapat empat proses perancangan bahasa iaitu:
i. Pemilihan bahasa kebangsaan iaitu proses memilih dan menentukan bahasa atau variasi bahasa untuk dijadikan norma penggunaan bahasa khususnya dalam memilih bahasa untuk dijadikan bahasa kebangsaan atau bahasa baku (standard). Oleh itu, pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahawa “bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen”
ii. Pengekodan bahasa yang menentukan norma dalam kod bahasa, seperti tulisan, ejaan, pengucapan, tatabahasa, dan kosa kata sejajar dengan konsep pembakuan bahasa. Menurut Nik Safiah Karim (1986:14), bahasa dalam konteks perancangan dan pembakuan bahasa, variasi yang menjadi norma atau ukuran penggunaan bahasa yang baku ialah bahasa terbina. Bahasa terbina ialah variasi bahasa yang bersifat kompleks, mempunyai susunan yang teratur, rapi dan dihuraikan dengan terperinci.
iii. Peluasan fungsi merupakan satu usaha untuk menjadikan bahasa atau variasi yang dipilih mampu untuk memenuhi keperluan negara dalam segala bidang, di samping bahasa itu perlulah digunakan secara efisien. Ini dapat dilakukan melalui pengayaan dan perluasan kosa kata dengan memasukkan kata-kata baru dan membuat perubahan pada struktur leksikon. Dalam konteks bahasa Melayu di Malaysia, fungsi utama yang ditekankan ialah fungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu berdasarkan kepada perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/ 1967, serta Akta Pendidikan 1961.
iv. Tahap penerimaan merupakan proses atau usaha untuk menjadikan bahasa atau variasi bahasa yang terpilih itu diterima oleh masyarakat penggunanya. Keberkesanan penggunaan dan pemantapan bahasa baku juga bergantung kepada penerima khalayaknya. Dengan kata lain, bahasa yang dibakukan perlulah dapat diterima pakai dan memenuhi keperluan sesuatu masyarakat pengguna bahasa. Dapatlah disimpulkan bahawa pembakuan bahasa merupakan unsur dan proses yang penting dalam perancangan bahasa. Oleh itu, pembakuan bahasa mempunyai peranan yang penting dalam pembinaan negara.
Pembakuan Bahasa
Pembakuan bahasa merupakan usaha, tindakan, dan proses mengetengahkan bentuk bahasa yang benar, dan yang menjadi dasar ukuran. Dalam konteks perancangan bahasa, bahasa baku adalah bahasa yang menunjukkan norma baku dalam satu kawasan akibat perbezaan sosial dan daerah yang wujud. Bahasa ini juga dikenali sebagai bahasa yang berprestij dan perlu dikuasai untuk mencapai status sosial dan ekonomi bagi sesebuah negara. Oleh itu, pembakuan bahasa lebih tertumpu kepada bahasa Melayu baku. Bahasa Melayu baku didefinisikan sebagai bahasa yang seragam variasi bahasa yang menjadi norma penggunaan bahasa Melayu dalam situasi rasmi (Nik Safiah Karim, 1998: 1). Awang Sariyan (1989: 38) pula memberi pengertian bahasa baku sebagai satu ragam bahasa yang digunakan untuk suasana dan keperluan rasmi dan formal. Dalam bentuk lisan, suasana dan keperluan rasmi atau formal itu berlaku dalam ucapan, syarahan, pengajaran, mesyuarat, dan taklimat. Dalam bentuk tulisan, bahasa baku digunakan dalam surat rasmi, arahan, pekeliling, laporan, iklan pekerjaan, tender, minit mesyuarat dan lain-lain. Pembakuan bahasa meliputi seluruh sistem dan tidak terhad pada aspek tertentu seperti sebutan semata-mata sebagaimana yang difahami oleh sesetengah orang. Dalam konteks pendidikan bahasa, pemilihan bentuk penggunaan bahasa perlu dilakukan untuk menentukan variasi bahasa yang perlu dibakukan. Sesuatu bahasa itu dianggap bahasa baku (standard) jika mempunyai ciri yang seperti bersifat terbuka, bersifat stabil, bersifat cendekiawan (intelektual), bersifat pemersatu, bersifat pemisah, berprestij, bersifat rangka rujukan, dan kekerapan penggunaan. Justeru, aspek-aspek yang perlu dibakukan ialah sistem ejaan, peristilahan, kosa kata, tatabahasa, sebutan, dan laras bahasa (Awang Sariyan, 1996:10). Aspek-Aspek Penting dalam Pembakuan Bahasa
i. Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu Sistem ejaan bahasa Melayu telah mengalami pembakuan sejak beratus-ratus tahun bermula semenjak kedatangan Islam ke Nusantara. Penggunaan tulisan Jawi dijadikan tulisan tradisi bahasa Melayu. Tulisan Jawi dijadikan kayu ukur pembakuan sistem ejaan kerana bahasa Melayu berkembang menjadi bahasa persatuan (franca lingua) di seluruh Alam Melayu menggunakan tulisan Jawi. Malahan tulisan Jawi telah mencetuskan tradisi persuratan dalam bahasa Melayu. Ejaan Rumi di Tanah Melayu bermula apabila R.J. Wilkinson (1904) telah berjaya menyusun asas sistem ejaan Rumi bahasa Melayu, diikuti oleh Za’ba memperkemaskannya sehingga menjadi satu sistem ejaan yang digunakan di sekolah selama lebih 30 tahun. Pada tahun 1972, satu sistem ejaan terhasil melalui kerjasama Malaysia dengan Indonesia. Di Malaysia, sistem ejaan dikenali sebagai Sistem Ejaan Rumi Baru. Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu dibahagikan kepada dua sistem iaitu Sistem Keselarasan Huruf Vokal dan Sistem Kekecualian Keselarasan Huruf Vokal. Sistem Keselarasan Huruf Vokal digunakan pengejaan kata bahasa Melayu jati manakala Sistem Kekecualian Keselarasan Huruf Vokal. Sistem digunakan dalam pengejaan kata pinjaman.
ii. Peristilahan
Pembakuan dalam bidang peristilahan berkait rapat dengan pemodenan bahasa dan kemajuan masyarakat. Ini disebabkan istilah perlu dihasilkan apabila sesuatu bidang ilmu itu diwujudkan. Dalam konteks pembentukan budaya ilmu, penggubalan istilah dalam pelbagai bidang ilmu juga menjadi penanda berlakunya proses intelektualisasi dalam bahasa Melayu (Awang Sariyan, 1996: 12). Dalam konteks Malaysia, pembakuan istilah telah bermula pada tahun 1957 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pembakuan kosa kata mempunyai hubungan dengan pembakuan peristilahan, kerana istilah sendiri sebenarnya adalah sebahagian daripada kosa kata. Pembakuan kosa kata merangkum dua hal pokok iaitu bentuk dan maknanya. Oleh sebab bahasa baku mempunyai hubungan yang erat dengan ilmu dan pemikiran, maka kesempurnaan bentuk dan makna kata yang menjadi teras perlu diberi perhatian. Maka, terhasillah kamus yang dapat memuatkan mengenai bentuk dan makna sesuatu kata. Dalam buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah (1992: 4-6), istilah dalam bahasa Melayu diperoleh daripada tiga sumber iaitu Perbendaharaan Kata Umum Bahasa Melayu, Perbendaharaan Kata Umum Bahasa Serumpun dan Perbendaharaan Kata Bahasa Asing. Mengikut Asmah Hj. Omar (1981: 39), sesuatu istilah yang dicipta itu mestilah mempunyai ciri-ciri seperti keringkasan bentuk, ketepatan makna, keserasian konsep, kemungkinan ditakrifkan dengan mudah, kesesuaiannya dengan fonologi, morfofonemik dan tatabahasa yang berkesan. Mengikut Awang Sariyan (1996: 33), usaha menggubal istilah dalam bahasa Melayu di Malaysia sudah bermula sejak tahun 1956 lagi. Hingga sekarang telah ada lebih 400 000 istilah untuk 300 bidang ilmu dan ikhtisas. Walaupun kerja pembentukan istilah masih tetap berterusan, sesuai dengan perkembangan bahasa Melayu, bolehlah dikatakan bahawa kita sudah mempunyai kaedah baku tentang cara pembentukan istilah. Abdullah Hassan (1997:38) pula menyatakan bahawa sebanyak 477,300 istilah telah dicipta oleh Dewan Bahasa dan Pustaka setakat ini untuk semua bidang (Berita Peristilahan, Mei 1986).
iii. Perkamusan
Menurut Harimurti Kridalaksana (1982: 73), kamus dimaksudkan sebagai buku rujukan yang memuatkan daftar kata atau gabungan kata dengan keterangan pelbagai makna dan penggunaan dalam bahasa, biasanya mengikut abjad. Abdullah Hassan (1992: 114) pula mendefinisikan kamus sebagai satu dokumen penting berkenaan sesuatu bahasa. Istilah kamus dipinjam daripada bahasa Arab. Pada mulanya, kamus membawa makna senarai kata yang disusun mengikut abjad dan bagi setiap kata diberikan maknanya. Terdapat tiga konsep penting dalam penciptaan kamus iaitu tipologi, leksikologi dan leksikografi. Tipologi dari sudut bahasa bermaksud pengelompokan bahasa berdasarkan ciri-ciri fonologi, nahuan atau leksikal untuk menentukan jenisnya yang lepas daripada perkembangan bahasa (Hartmann, 1972: 243). Leksikologi ialah ilmu untuk mempelajari dan menganalisis kosa kata melalui perkembangan bentuk dan erti (makna) dengan bantuan bidang etimologi (asal usul kata) manakala leksikografi merupakan bidang linguistik terapan yang garapannya mencakup teknik dan metodologi penyusunan. Leksikografi juga adalah cabang leksikologi yang mengkaji dasar dan kaedah penyusunan kamus, iaitu dari segi pengumpulan data, pemilihan data dan pengabjadan, di samping penyusunan definisi dan pemberian makna. Abdullah Hassan turut menyatakan bahawa dari segi sejarah perkamusan, terdapat tiga jenis kamus, iaitu kamus yang dikarang dalam bentuk senarai kata dan istilah tertentu, kamus yang disusun bersama deskripsi bahasa, dan kamus kini yang tidak disertakan dengan deskripsi tatabahasa. Oleh itu, terdapat beberapa jenis kamus berdasarkan kepada bahasa, struktur kandungan, fungsi dan pengguna. Oleh yang demikian, jenis-jenis bahan yang dikategorikan sebagai kamus ialah daftar kata, glosari, indeks, kamus sebutan, kamus istilah, kamus idiom, daftar istilah, tesaurus, kamus seerti, ensiklopedia, kamus pelancong dan kamus umum.
iv. Sebutan Baku
Perancangan pembakuan sebutan bagi bahasa Melayu adalah menjadi salah satu objektif Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Objektif yang dicatatkan sebagai Tujuan-tujuan Lembaga Pengelola DBP tentang perkara ini [Seksyen 5 (1)] ialah: iv. untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan. Matlamat pembakuan sebutan bahasa Melayu adalah untuk menyeragamkan sebutan dalam bahasa Melayu. Secara khusus, pembakuan sebutan bertujuan untuk mewujudkan satu variasi sebutan baku dalam bahasa Melayu yang dapat digunakan dalam situasi formal atau rasmi. Di samping itu juga, ia bertujuan untuk meningkatkan kecekapan berbahasa Melayu baku di kalangan semua pengguna bahasa Melayu, memantapkan sistem dan struktur dalaman bahasa Melayu, iaitu supaya sistem sebutan menjadi mantap dan baku sejajar dengan pemantapan dan pembakuan tatabahasa, kosa kata (perbendaharaan kata umum dan istilah), sistem ejaan, dan laras bahasa serta secara khusus, untuk menyeragamkan cara berbahasa dan bertutur dan mengurangkan penggunaan pelbagai variasi dan gaya sebutan serta menghindarkan penggunaan dialek setempat dalam pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah (Ismail Dahaman, 1996 : 44). Dasar sebutan baku bahasa Melayu menggunakan prinsip sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan. K.L. Pike dalam, bukunya Phonemics menyatakan bahasa kata-kata yang dieja sebagaimana yang diucapkan dan diucapkan sebagaimana yang dieja, dan tidak ada huruf yang senyap. Oleh itu, Dasar Sebutan Baku dapat dihuraikan dengan meninjau bunyi-bunyi vokal, konsonan dan diftong dalam bahasa Melayu. Justeru itu, sebutan baku bahasa Melayu baku melibatkan penyebutan bunyi vokal, konsonan, diftong, penyengauan, dan akronim. Malahan, turut melibatkan cara penyebutan kata dasar, kata terbitan, kata serapan daripada bahasa Inggeris, kata serapan daripada bahasa Arab, dan sebutan kata nama khas.
v. Tatabahasa
Pembakuan tatabahasa bahasa Melayu berlaku serentak dengan berkembangnya tradisi bahasa persuratan. Pemantapan bahasa persuratan atau ragam bahasa tulisan dengan sendirinya memantapkan tatabahasa. Abdullah Hassan (1993: 1) mendefinisikan tatabahasa sebagai satu kumpulan petua bagi membentuk perkataan, frasa, klausa, dan ayat. Arbak Othman (1981: 1) pula menyatakan ciri-ciri bahasa Melayu yang teratur dan kemas dipanggil oleh ahli-ahli bahasa sebagai sistem yang berperaturan. Oleh itu tatabahasa merupakan satu aspek penting yang perlu dikuasai dan dipelajari kerana ia adalah peraturan dan cara penggunaan sesuatu bahasa berdasarkan prinsip atau rumus tertentu. Dalam kajian tatabahasa, aspek yang perlu diberi penekanan ialah fonologi, morfologi dan sintaksis manakala untuk menganalisis tatabahasa pula, terdapat empat unit yang perlu diberikan tumpuan iaitu perkataan, frasa, klausa, dan ayat. Oleh yang demikian, tatabahasa bahasa Melayu yang diterima sebagai tatabahasa pegangan kini adalah berdasarkan buku tatabahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993). Tatabahasa Dewan ini telah menggabungkan Tatabahasa Dewan Jilid 1: Ayat [1986, 1987], dan Tatabahasa Dewan Jilid 2: Perkataan [1989, 1992]. Aspek-aspek tatabahasa yang lain yang dijelaskan dan diterbitkan oleh pihak DBP dari semasa ke semasa adalah dianggap pedoman rasmi yang memperlengkap buku tatabahasa tersebut.
Pembakuan Bahasa dan Bahasa Melayu Tinggi
Masyarakat Malaysia turut terlibat dalam arus kemajuan ilmu yang semakin pesat. Dunia sains dan teknologi sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Kebudayaan tradisional mula mengalami perubahan dengan penerapan unsur-unsur luar. Begitu juga dengan gejala perubahan bahasa. Unsur-unsur baru datang dalam bentuk ilmu dan pengetahuan baru, yang dipelajari secara formal dan diaplikasikan dalam berbagai-bagai aspek kehidupan. Maka wujudlah dalam konteks bahasa ialah sejumlah laras baru yang memperkatakan hal-hal baru seperti laras bahasa dalam bidang ekonomi, laras kejuruteraan, dan sebagainya. Ternyata kemajuan sesuatu bahasa amat bergantung kepada pemupukan ciri-cirinya oleh para penggunanya. Maju-mundur sesuatu bahasa ditentukan oleh cara penuturnya mengolah dan mengungkapkan buah fikiran melalui struktur-strukturnya. Di sini letaknya kepentingan pembakuan bahasa dalam menghasilkan bahasa Melayu supaya menjadi bahasa ilmu moden, bahasa yang menyalurkan ilmu dan buah fikiran moden. Bahasa Melayu telah direncanakan menjadi bahasa yang ekspresif dalam pelbagai bidang ilmu, termasuklah sains dan teknologi. Dengan demikian bahasa Melayu dapat mencapai taraf kecendekiaan dan bahasa saintifik. Bahasa Melayu tidak lagi berada pada tahap yang rendah, sebaliknya diiktiraf sebagai bahasa elit dan bahasa cerdik pandai yang bertanggungjawab membentuk pemikiran masyarakat dan pembangunan negara. Bahasa ini dikenali sebagai bahasa Melayu tinggi. Bahasa Melayu tinggi ialah bahasa yang digunakan untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran yang teknikal dan maju, dan yang berfungsi sebagai sarana budaya tinggi (Nik Safiah Karim, 1986: 6-7). Awang Sariyan (1996: 117), menyatakan bahawa bahasa Melayu tinggi ialah ragam bahasa Melayu yang digunakan untuk pembinaan dan pengembangan ilmu, pemikiran dan teknologi. Bahasa ilmu adalah bahasa yang digunakan untuk mengungkapkan ilmu dan memiliki ciri-ciri tersendiri. Mengikut Nik Safiah Karim (1986:14) yang memetik pendapat Bernstein (1968), yang membahagikan bahasa kepada dua variasi iaitu bahasa terhad dan bahasa terbina. Untuk maksud penulisan ilmu, variasi bahasa terbina menjadi asas utama kerana tidak mungkin bahasa basahan atau bahasa tidak formal digunakan dalam sesuatu bahasa. Untuk menguasai bahasa terbina yang menjadi asas bahasa ilmu, pengguna bahasa Melayu perlu menguasai ragam bahasa dan juga laras bahasa. Mengikut Asraf (1986: 67-73), ciri bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu mestilah bukan loghat, bukan bahasa pasar, bukan bahasa orang yang baru belajar bahasa Melayu, bukan bahasa budak dan bukan bahasa orang yang mengalami gangguan jiwa. Abdullah Hassan (1986: 95) pula menyatakan bahawa bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu dianggap sebagai superlek yang harus mempunyai ciri gramatis (betul dari segi nahu), halus, jitu, intelektual, dan elitis. Justeru itu, Awang Sariyan (1996: 259-261), telah menggariskan sepuluh ciri berdasarkan lima belas ciri yang dikemukakan oleh Johannes (Kongres, 1978). Ciri khusus bahawa ilmiah adalah seperti berikut:
a. Tingkat bahasa rasmi iaitu bahasa yang mematuhi rumus-rumus bahasa. Oleh itu, bahasa tulisan ilmiah mestilah bahasa baku, tidak terdapat kesalahan tatabahasa dan tidak menggunakan bahasa basahan.
b. Nada formal dan objektif iaitu setiap bahasa ilmiah mestilah bersifat formal. Setiap fakta atau hujah dikemukakan dengan sempurna, iaitu menggunakan bahasa teratur dan jelas. Tulisan juga mestilah objektif, iaitu berdasarkan fakta dan hasil kajian.
c. Sudut pandangan orang ketiga digunakan untuk mewujudkan keobjektifan penulisan.
d. Menggunakan ragam pasif terutama ragam pasif neutral untuk mengelakkan penglibatan diri penulis.
e. Laras bahasa ilmiah ditandai oleh istilah dan lambang khusus mengikut bidang tertentu.
f. Dalam penulisan ilmiah, jenis wacana utama yang digunakan ialah jenis wacana pemaparan
g. Dalam tulisan ilmiah, perlu dihindari ungkapan yang keterlaluan, berlebihan dan emosional sesuai dengan wacana pemaparan, tugas seorang penulis karya ilmiah ialah memaparkan hasil kajian bukannya memaparkan sentimen.
h. Dalam tulisan ilmiah, kata yang digunakan mestilah tepat dan sesuai. Oleh itu kata membazir tidak diperlukan.
i. Tulisan ilmiah sering kali ditandai oleh penggunaan ayat majmuk sama ada ayat majmuk gabungan atau ayat majmuk pancangan.
j. Tulisan ilmiah sering kali dimuatkan dengan jadual, rajah, gambar, peta, dan sebagainya.
Di samping itu, terdapat dua ciri asasi yang menandai ragam bahasa tinggi, iaitu bahasa baku dan laras bahasa. Dengan demikian, bahasa Melayu tinggi pada dasarnya adalah bahasa Melayu baku. Bahasa Melayu tinggi tidak dapat dijelmakan melalui bahasa Melayu basahan. Bahasa Melayu baku sering kali dipertalikan dengan bahasa persuratan dan dengan demikian dapat juga dikatakan bahawa bahasa Melayu tinggi bukan bahasa Melayu pertuturan. Konsep bahasa Melayu tinggi yang berlandaskan bahasa persuratan dimulakan dalam tradisi hikayat kerana tatabahasa bahasa Melayu memang pada dasarnya disusun berdasarkan bahasa hikayat (Umar Junus: 1981). Nik Safiah Karim (1982: 629) menyatakan laras bahasa bermaksud gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Bahasa Melayu tinggi ditandai dengan laras, iaitu corak bahasa yang khusus bagi sesuatu bidang tertentu. Laras bahasa bererti satu kelainan dalam bahasa yang digunakan untuk tujuan tertentu sebagai lawan kepada dialek daerah atau dialek sosial. Laras bahasa lebih tertumpu kepada bahan-bahan subjek tertentu seperti bidang sains dan teknologi (medan wacana), ke media tertentu seperti pesanan dalam rakaman pita (mod wacana), atau ke peringkat keformalan (gaya wacana) dengan bahasa yang khas (Hartmannn dan Stork, 1976). Abdullah Hassan (1997: 248) telah membahagikan laras kepada beberapa jenis, iaitu laras umum, laras teknikal, laras undang-undang, laras iklan, laras agama, laras bahasa kanak-kanak, laras kreatif, laras himbauan dan laras klasik. Dalam proses pemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, penggunaan bahasa Melayu mestilah betul, cekap, berkesan, dan indah. Dalam hal ini, dua aspek mesti dipentingkan, iaitu keintelektualan dan kesempurnaan. Keintelektualan bahasa bermaksud keupayaan sesuatu bahasa itu menyampaikan buah fikiran dan hujah dengan tepat dan berkesan. Kemuncak pencapaian taraf keintelektualan bahasa ialah penggunaan aras saintifik dan ilmiah yang bertujuan menghasilkan bentuk bahasa yang tepat, yang mencerminkan konsep serta pemikiran yang lojik. Keintelektualan bahasa dicapai terutamanya melalui perkembangan perbendaharaan kata, dengan menambahkan istilah-istilah baru. Cara kedua ialah melalui struktur tatabahasa, iaitu melalui penukaran bentuk dan corak perbendaharaan kata dengan memberi pengertian-pengertian tertentu atau khusus bagi bidang-bidang tertentu kepada perkataan-perkataan biasa dalam bahasa itu, yang berbeza daripada penggunaan biasa. Perkataan-perkataan yang baru bersifat tepat, spesifik dan abstrak. Bahasa Melayu tinggi juga mengandungi ciri kesempurnaan bahasa iaitu menjadikan bahasa itu tepat, berkesan, dan sesuai dengan tugas dan situasi penggunaannya. Ciri-ciri kesempurnaan bahasa termasuklah ciri-ciri kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan kecantikan bahasa. Kestabilan bermaksud kewujudan peraturan-peraturan yang menjadi dasar sesuatu bahasa dan yang menandakan pembinaan dan pengembangannya. Sesuatu bahasa memerlukan peraturan, yang dipatuhi oleh penggunanya. Ia penting dari segi menghasilkan unsur-unsur ketertiban dalam bahasa Oleh itu, kesempurnaan bahasa terhasil apabila semua peraturan difahami dan dipatuhi pemakainya. Contoh kestabilan ialah dari segi tatabahasa. Ciri kedua ialah kelenturan bahasa, yakni peraturan-peraturan yang wujud itu hendaklah dapat disesuaikan dengan alam sekitar dan pembaharuan-pembaharuan yang berlaku dalam masyarakat bahasa tanpa mengorbankan ciri-ciri aslinya. Contohnya, aspek-aspek bunyi-bunyi pinjaman. Akibat daripada pertembungan dengan dunia luar, berlaku peminjaman unsur-unsur kebudayaan yang nama-namanya juga turut dipinjam, yang mengandungi unsur-unsur bunyi yang tidak wujud dalam bahasa Melayu. Justeru itu, kebolehan bahasa Melayu menerima unsur-unsur baru dari segi bunyi ini dikatakan bersifat lentur. Ciri ketiga ialah ciri kepelbagaian yang mengaitkan dengan cara penyajian fakta atau fikiran, iaitu bersifat beraneka dan tidak terikat kepada sesuatu cara sahaja. Ia dapat dilihat melalui gaya pengucapan seseorang untuk menghasilkan kesan yang berlainan. Ciri keberkesanan bermaksud penggunaan bahasa yang menepati tujuan manakala ciri kecantikan menjurus kepada penggunaan ciri-ciri bahasa yang berkaitan dengan manipulasi unsur-unsur bahasa secara kreatif sama ada dari segi unsur bunyi, pilihan perkataan atau susunan frasa dan ayat yang menyentuh perasaan secara halus. Ciri kecantikan banyak terdapat dalam hasilan karya-karya sastera. Oleh itu, kepentingan keintelektualan dan kesempurnaan bahasa amat penting bagi merealisasikan bahasa Melayu tinggi sebagai bahasa ilmu. Oleh yang demikian, penguasaan bahasa baku (standard) dan penggunaan laras bahasa hendaklah tepat, betul dan memenuhi ciri-ciri gramatis (betul dari segi nahu), halus, jitu, intelektual, dan elitis.
Kerancuan Bahasa Melayu dan Kesan terhadap Pembakuan Bahasa
Menurut Awang Sariyan (1994), salah satu punca utama terjadinya kerancuan bahasa ialah wujudnya manusia yang bukan ahli tempat yang menentukan nasib bahasa Melayu itu sendiri. Kerancuan terhadap bahasa Melayu banyak memberi kesan yang negatif kepada pembakuan bahasa yang telah diterapkan oleh kerajaan sejak sekian lama. Faktor utama dalam kerancuan bahasa ialah penggunaan bahasa ibunda, bahasa dialek atau bahasa daerah, serta bahasa lisan atau bahasa pasar. Penggunaan bahasa tersebut sedikit sebanyak mengganggu usaha pembakuan bahasa Melayu kerana dengan penggunaan bahasa-bahasa tersebut di dalam kehidupan seharian, pengguna bahasa Melayu sukar untuk menggunakan dan membandingkan bahasa baku yang betul atau sebaliknya. Kesalahan umum penutur bukan Melayu ialah kegagalan mereka mengenali perbezaan antara bunyi e dan e (schwa) semasa membaca dan menulis (Abdullah Hassan, 1980: 28). Perbezaan antara sepak dan sepak adalah jauh berbeza. Kebanyakan penutur Cina tidak dapat menyebut bunyi sengau lelangit ng dengan tepat. Oleh sebab, ejaan setiap bunyi itu mempunyai dua lambang maka ia sering disebut sebagai dua bunyi. Penutur Melayu juga sering kali melakukan kesalahan yang sama. Contohnya, kesalahan dalam membunyikan huruf-huruf yang gabung ny diucapkan sebagai dua bunyi iaitu n dan y/i, seperti ni-a-muk atau n-ya-muk sepatutnya dibunyikan nya-muk. Bahasa pasar atau basahan adalah bahasa yang digunakan dalam percakapan seharian. Justeru itu, orang Melayu sering menggunakan bahasa pasar atau basahan semasa berkomunikasi dengan kaum lain. Contohnya, ketika berkomunikasi di pasar. Orang Melayu lebih suka menuturkan bahasa Melayu yang bertaraf rendah atau dikenali sebagai bahasa pasar atau bahasa rojak. Tindakan ini menyebabkan kaum lain meniru percakapan yang diucapkan oleh orang Melayu yang menjadi model kepada bahasa Melayu. Ini menyebabkan penggunaan bahasa baku yang betul dan tepat sukar dilaksanakan. Di samping itu, pengaruh bahasa asing merupakan penyebab penutur bahasa Melayu melakukan kesilapan semasa bertutur. Kesilapan ini berlaku kerana penggunaan istilah yang tidak tepat digunakan. Dalam masyarakat Malaysia kini, amalan bahasa rojak iaitu mencampuradukkan bahasa asing terutama bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu menjadi satu kebiasaan. Namun, penggunaan bahasa rojak itu telah mendatangkan pelbagai kesan negatif apabila penggunaan perkataan bahasa Inggeris yang tidak diterjemahkan atau disesuaikan ketika menggunakan bahasa Melayu merupakan satu tamparan yang hebat kepada pembinaan identiti dan kewibawaan bahasa Melayu. Kerancuan bahasa ini dapat diperhatikan di dalam rancangan-rancangan televisyen yang sering menggunakan bahasa Melayu yang telah dicampuradukkan dengan penggunaan kata-kata pinjaman dari bahasa lain. Bahasa yang digunakan oleh radio, televisyen, akhbar ataupun majalah sering menjadi ikutan pengguna bahasa. Contohnya, penggunaan istilah infotainmen yang telah diperkenalkan oleh RTM. Penggunaan istilah ini masih terus digunakan walaupun mendapat kritikan daripada tokoh-tokoh bahasa. Oleh itu, pengaruh media massa merupakan faktor terpenting yang menyebabkan kerancuan bahasa terjadi. Ini menyebabkan penggunaan bahasa rojak sebagai bahasa perbualan seharian semakin menular dan tersebar ke segenap masyarakat. Kesan yang ketara ialah masyarakat Melayu kini lebih cenderung dan mengagumkan bahasa asing dan berasa malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Kekeliruan pengguna bahasa dalam tatabahasa merupakan salah satu sebab pelaksanaan pembakuan bahasa agak sukar dilaksanakan. Tidak dinafikan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi, maka telah digunakan dengan meluas dalam semua urusan sama ada urusan rasmi atau pun urusan tidak rasmi, khususnya dalam sektor perkhidmatan awam. Hal ini terbukti daripada dokumen, peraturan, surat pekeliling dan sebagainya yang dikeluarkan dan diedarkan oleh kementerian atau jabatan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Namun demikian, kualiti bahasa yang digunakan masih bercelaru dan tidak mantap dari segi struktur bahasa terutama dalam tatabahasa. Awang Sariyan (1996: 162), telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Penilaian Penggunaan Bahasa dalam Pentadbiran dan Pengurusan” pada 27 September 1980, menyenaraikan contoh-contoh kesalahan bahasa yang terdapat dalam sektor pentadbiran seperti kesalahan ejaan iaitu tangga gaji, masaalah, lapuran, yunit dan sebagainya. Contoh-contoh kesalahan ejaan itu jelas menunjukkan bahawa sistem ejaan Rumi bahasa Melayu belum benar-benar meresap di kalangan pentadbir. Di samping itu, banyak kesilapan dalam tatabahasa termasuk kesilapan penggunaan kata pemeri adalah dan ialah, kata sendi nama di, ke, daripada, kepada, untuk, antara dan lain-lain. Kesilapan tatabahasa ini boleh merobah makna dalam sesuatu ayat jika tidak dititikberatkan dan diambil perhatian yang khusus. Maka sudah tentu mutu bahasa Melayu baku lisan dan tulisan akan merosot. Seterusnya memperlihatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan akan tergugat. Penggunaan bahasa Melayu yang salah dalam media massa sering berlaku. Media elektronik seperti radio dan televisyen sepatutnya memainkan peranan yang penting dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu baku. Namun, kerap kali juruhebah menyebut sesuatu perkataan atau ayat yang salah dan tidak tepat maknanya sehinggakan maknanya berubah maksud. Contohnya ialah; tempoh disebut tempuh, lewat disebut liwat, golongan disebut gulungan dan lain-lain. Selain itu, terdapat juga kesilapan mengulangi kata jamak ‘mereka’ sebagai ‘mereka-mereka’ atau ‘para guru’ sebagai ‘para-para guru’. Bahasa merupakan alat untuk menyampaikan mesej dalam apa jua bentuk komunikasi. Mesej dan bahasa yang jelas akan memudahkan seseorang memahami isi penyampaiannya. Namun begitu, kesan daripada kerancuan bahasa tersebut boleh menyebabkan kemerosotan mutu bahasa Melayu baku dalam tulisan dan pengucapan (lisan). Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa berkaitan dengan kurang kepekaan sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Oleh itu, semua pengguna bahasa Melayu perlu mempamerkan keterampilan berbahasa demi komunikasi yang berkesan iaitu mampu menggunakan bahasa yang mematuhi semua aspek tatabahasa dan sebutan, hingga difahami dengan jelas oleh orang yang mendengar dan membacanya, selaras dengan konsep bahasa Melayu tinggi. Percampuran ragam bahasa basahan dengan bahasa baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.
PENUTUP
Perancangan bahasa di Malaysia telah melalui proses-proses perkembangan bahasa Melayu dengan pesat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu. Aspek-aspek pembakuan bahasa seperti ejaan, tatabahasa, peristilahan, perkamusan dan sebutan baku amat penting untuk menjadikan bahasa Melayu tinggi. Bahasa Melayu tinggi merupakan saluran ilmu dan buah fikiran moden yang digunakan dalam situasi rasmi, bahasa Melayu baku atau standard yang mementingkan keintelektualan dan kesempurnaan bahasa. Dari segi penggunaan bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian, bahasa pentadbiran negara dan bahasa perhubungan. Ia turut menjadi lambang perpaduan dan kedaulatan negara Malaysia. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang mencintai bahasa Melayu hendaklah menggunakan bahasa Melayu baku dengan betul dari segi nahu, cekap dan berkesan, dan berintelek tual bagi mengelakkan kerancuan bahasa di kalangan masyarakat.
BIBLIOGRAFI
Abdullah Hassan.(1986). Bahasa Melayu Tinggi Ditinjau dari Sudut Morfologi” dalam Nik Safiah Karim. Bahasa Melayu Tinggi: Teori dan Penerapan. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Abdullah Hassan. (1992). Bahasa Melayu STPM Kertas 1 dan 2. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Abdullah Hassan.(1997). Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan Esei-esei Lain. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Arbak Othman. (1981). Tatabahasa Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise.
Asraf. (1996). Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. (1994). Ceritera Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. (1996). Warna dan Suasana - Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. (2002). Prosiding Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu IV. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. (2004). Sumbangsih: Kumpulan Esei Mengenai Jasa Asraf. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
James T. Collins. (1999). Wibawa Bahasa Kepiawaian dan Kepelbagaian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. (1998). Bahasa Kebangsaan (A). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
Nik Safiah Karim. (1986). Bahasa Melayu Tinggi : Teori dan Penerapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim. (1989). Laras Bahasa. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
S. Nathesan. (1995). Laras Bahasa Ilmiah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Umar Junus. (1981). Strategi untuk Suatu Penyelidikan Stilistika. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

1 comment:

  1. Salam cikgu, mohon 'copy' ye..saya akan edit sikit2..tak ambil seratus peratus tapi saya akan kreditkan kepada blog cikgu ini..terima kasih..

    Yang Ikhlas,
    Noridah binti Md Yasin

    ReplyDelete