Saturday, 2 June 2012

“NILAI DALAM BUDAYA MASYARAKAT MELAYU”- Muada bin Ojihi [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Bahasa dan budaya Melayu sebagai asas kepada pembentukan tamadun Malaysia. Oleh itu kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti nilai-nilai budaya masyarakat Melayu yang berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam. Aspek nilai-nilai yang dikaji boleh dilihat dalam kehidupan masyarakat Melayu. Kajian ini memilih nilai budaya masyarakat Melayu dalam asas pembentukan negara bangsa kerana terdapat unsur-unsur nilai yang penting. Walaupun negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan, namun kajian ini menitikberatkan nilai budaya masyarakat Melayu. Dalam dunia sekarang, nilai-nilai ini seakan-akan tercabar dengan kehadiran pelbagai pengaruh dari luar. Perubahan demi perubahan memberi kesan yang amat mendalam dalam nilai-nilai budaya masyarakat Melayu. Hasil kajian ini didapati daripada pelbagai bahan ilmiah dan rujukan yang berkaitan dengan nilai budaya masyarakat Melayu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa asas kepada pembentukan negara bangsa Malaysia adalah pengaruh agama Islam. Kedatangan agama Islam ke Alam Melayu menjadikan bahasa dan budaya Melayu menjadi semakin penting. Secara khusus, Islam dan adat Melayu menjadi salah satu struktur terpenting kemelayuan dalam tamadun Malaysia. Nilai bahasa dan budaya masyarakat Melayu perlu dipelihara dan dikembangkan untuk membentuk dan meneruskan masyarakat Malaysia yang harmoni dan sejahtera.
PENGENALAN
Pada saat perhatian hampir semua orang tertumpu pada globalisasi, dunia tanpa sempadan, dasar langit terbuka, ledakan maklumat, pencapaian taraf negara maju sepenuhnya menjelang 2020 dan segala agenda besar lain yang merangsang cita manusia, terasa ironis juganya bangsa apabila kita masih perlu berbicara tentang nasib dan martabat bahasa dan budaya Melayu. Dasar-dasar kenegaraan, termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan, seharusnya tidak menjadi ‘barang tawar-menawar’ lagi, sesudah puluhan tahun dasar itu membuktikan hasilnya, baik dalam pemenuhan fungsi perlambangannya sebagai tanda kewujudan bangsa dan negara yang berdaulat, sebagai bahasa perpaduan, sebagai bahasa pendidikan. Namun, justeru kerana soal martabat bahasa dan budaya Melayu sebagai salah satu tonggak tamadun bangsa dan negara masih terus-menerus menjadi atau dijadikan isu, maka ada kewajarannya kita terus membicarakannya. Bahasa mencakup banyak perkara, antaranya sistem komunikasi, alat berfikir, dan pemangkin untuk pembinaan ummah. Bahasa juga merujuk kepada pengetahuan yang dimiliki oleh penutur bahasa ibunda, yang membolehkan mereka berkomunikasi, mengungkapkan rasa, cita dan makna, serta dapat melaksanakan fungsi bahasa yang lain. Ini menunjukkan bahawa bahasa amat penting bagi kehidupan di alam ini. Nilai budaya merupakan nilai- nilai yang disepakati dan tertanam dalam suatu masyarakat, lingkup organisasi, lingkungan masyarakat, yang mengakar pada suatu kebiasaan, kepercayaan (believe), simbol-simbol, dengan karakteristik tertentu yang dapat dibedakan satu dan lainnya sebagai acuan prilaku dan tanggapan atas apa yang akan terjadi atau sedang terjadi. Nilai budaya akan tampak pada simbol-simbol, slogan, moto, visi misi, atau sesuatu yang nampak sebagai acuan pokok moto suatu lingkungan atau organisasi. Ada tiga hal yang terkait dengan nilai-nilai budaya ini iaitu :
1. Simbol-simbol, slogan atau yang lainnya yang kelihatan kasat mata (jelas)
2. Sikap, tindak laku, gerak gerik yang muncul akibat slogan, moto tersebut
3. Kepercayaan yang tertanam (believe system) yang mengakar dan menjadi kerangka acuan dalam bertindak dan berperilaku (tidak terlihat). Nilai budaya mencakup tradisi lisan, bahasa, festival budaya, ritus dan kepercayaan, muzik dan lagu-lagu, seni pertunjukan, pengubatan tradisional, literatur, makanan tradisional serta olah raga dan permainan tradisional. Budaya sesuatu masyarakat akan membezakan dengan masyarakat yang lain. Setiap masyarakat mempunyai nilai budaya yang tersendiri. Namun, terdapat banyak persamaan dari segi tujuan atau motif utamanya. Oleh itu, budaya masyarakat Melayu yang penuh dengan nilai-nilai yang tinggi dan tertib telah menjadi tonggak utama pembangunan negara Malaysia sebagai negara Islam dan demokrasi berparlimen. Justeru, menerusi kajian ini akan menjelaskan nilai peradaban masyarakat Melayu berteraskan nilai-nilai agama Islam dalam pembinaan negara bangsa. Kajian ini juga akan menghuraikan asas-asas nilai-nilai budaya masyarakat Melayu yang kini berhadapan dengan pengaruh luar dalam era globalisasi serta permasalahan yang dihadapi oleh bangsa Melayu dalam konteks negara bangsa. Kajian ini akan menumpukan kepada nilai-nilai murni yang terdapat dalam budaya masyarakat Melayu. Nilai murni masyarakat Melayu perlu ditittikberatkan kerana asas kepada perkembangan kebudayaan masyarakat Melayu di negara ini. Asas kepada nilai-nilai budaya masyarakat Melayu dikaitkan dengan kedatangan Islam ke Alam Melayu yang telah membentuk budaya Melayu.
Sejarah Ringkas Masyarakat Melayu
Konsep Melayu yang digunakan dalam konteks yang lebih luas sebagai penduduk asal di alam Melayu ini adalah berasaskan kepada idea yang dapat dikesan kepada sejarah peradaban Melayu itu sendiri. Dengan kepelbagaian kelompok sosial dan sub budaya yang membina masyarakat dan budaya Melayu yang lebih luas itu telah memberikan kekuatan yang menyatakan kekayaan khazanah budaya Melayu. Istilah Melayu merujuk kepada tiga pengertian atau dimensi yang berbeza, iaitu ras (genetik atau biologi), kebudayaan dan bahasa. Ras Melayu merujuk kepada sekumpulan manusia yang memiliki ciri-ciri genetik yang sama dan yang berasal dari alam Melayu. Kebudayaan Melayu merujuk kepada pegangan dan amalan yang didasarkan kepada agama Islam dan adat resam masyarakat Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa yang dituturkan di seluruh Kepulauan Melayu. Ia merangkumi subkeluarga seperti bahasa Jawa, Sunda, Madura, Acheh, Minangkabau, Sasak, Melanau, Iban, Bajau, Murut, Bugis dan Sulu. Selepas kedatangan Islam bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa terpenting di dunia (Osman Bakar, Azizan Baharudin, dan Zaid Ahmad, 2009: 63-64). Masyarakat Melayu sudah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 5,000 tahun dahulu. Amalan bermesyuarah dalam masyarakat Melayu diamalkan bersesuaian dengan cara kehidupan masyarakat yang menekankan nilai kesaksamaan antara ahli-ahlinya. Amalan ini lazimnya diamalkan dalam kalangan masyarakat desa manakala masyarakat bangsawan dan istana, raja atau sultan berkuasa mutlak. Selain daripada kemunculan nilai-nilai yang dibentuk sendiri dalam budaya Melayu, nilai-nilai baru juga diterima daripada interaksi dengan masyarakat luar. Perkembangan masyarakat Melayu selalu dikaitkan dengan kerajaan-kerajaan awal Melayu seperti Kerajaan Lembah Bujang (Kedah Tua), Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Majapahit, Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Kesultanan Johor dan seterusnya. Nilai-nilai masyarakat Melayu tergambar dalam setiap perkembangan kerajaan-kerajaan Melayu. Kedatangan agama Hindu, Buddha dan Islam telah memantapkan lagi nilai-nilai yang sedia ada.
Pandangan Semesta Alam Masyarakat Melayu
Bagi mengkaji nilai dalam budaya masyarakat Melayu, adalah penting untuk melihat secara ringkas pengaruh-pengaruh yang membentuk budaya masyarakat Melayu. Sebelum kedatangan Islam, agama Hindu atau Buddha telah bertapak di dalam kehidupan masyarakat di Kepulauan Melayu. Pengaruh agama Hindu atau Buddha telah memberi kesan yang amat dalam dan kuat terutama sekali dalam sistem politik, sosial, ekonomi dan pemikiran masyarakat Melayu. Kedatangan Islam dikatakan telah memantapkan keseluruhan Pandangan Semesta Melayu. Pandangan dunia Melayu (Malay World view) dilihat dari pelbagai aspek iaitu merangkumi pandangan terhadap: (Nadiah Abdul Rahman dan Priscilla Law Nguik Hung, Tamadun Islam dan Asia, 2008: 57)
a) Alam nyata yang meliputi pandangan dan cerapan (persepsi) terhadap objek alam seperti laut, sungai, hutan dan gunung.
b) Alam ghaib yang meliputi makhluk ghaib, alam selepas mati dan konsepsi kuasa atau tenaga dalam alam seperti semangat, nyawa dan roh.
c) Sesama manusia yang meliputi pandangan terhadap orang lain dalam rangka hubungan kita-mereka (we-they)
Dalam budaya masyarakat Melayu, pelbagai upacara agama dilakukan yang menggambarkan interaksi manusia dengan kuasa ghaib. Penggunaan pelbagai lambang seperti bulan bintang juga melambangkan hubungan manusia dengan agama Islam. Cerita penglipur lara juga tidak hilang dalam budaya masyarakat Melayu. Amalan berpantun, pepatah, perbilangan dan sebagainya menggambarkan kebudayaan Melayu yang tinggi nilainya. Sebelum kedatangan agama Islam, masyarakat Melayu mengamalkan kepercayaan animisme dan dinamisme. Animisme adalah percaya kepada setiap benda ada jiwa, roh dan semangat. Dinamisme pula, kepercayaan kepada tenaga yang ada dalam roh, jiwa dan semangat dalam diri manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan atau benda-benda yang boleh mendatangkan kesan baik dan buruk. Kedatangan Hindu atau Buddha telah menjadikan upacara keagamaan masyarakat Melayu lebih rapi dan formal. Kesan yang jelas sekali ialah pemisahan golongan raja, para bangsawan, golongan agama dan rakyat jelata. Dan ini telah menular dalam budaya masyarakat Melayu. Kedatangan agama Islam telah memberi jawapan terhadap kejadian alam, memantapkan keseluruhan pandangan semesta Melayu dan tertumpu kepada Tuhan (God-Centered) (Nadiah Abdul Rahman dan Priscilla Law Nguik Hung, Tamadun Islam dan Asia, 2008: 60) Budaya masyarakat Melayu terbina dengan semulajadi sejak awal lagi. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh agama Hindu atau Buddha dan agama Islam telah mengukuhkan lagi sistem kepercayaan, kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu. 314 Pengaruh Agama Islam Dalam Masyarakat Melayu Kedatangan Islam telah banyak mencorakkan suasana masyarakat Melayu. Kesan dan pengaruh kedatangan Islam dalam kebudayaan Melayu dapat dilihat dalam pelbagai aspek seperti, akidah, politik, sosial, undang-undang, ekonomi, kesenian, bahasa dan sastera serta pendidikan. Nilai-nilai keislaman dalam budaya Melayu amat jelas sekali. Agama Islam telah mengubah bentuk kepercayaan, corak hidup dan pandangan semesta masyarakat Melayu. Kepercayaan kepada dewa dan animisme bertukar keada kepercayaan kepada Allah S.W.T dan rasul-Nya. Walaupun Islam telah bertapak kuat alam kehidupan masyarakat Melayu, ini tidak bermakna kepercayaan animisme dan Hindu-Buddha berjaya dikikis sepenuhnya daripada kehidupan masyarakat Melayu. Masih terdapat banyak petunjuk yang menggambarkan masyarakat Melayu terpengaruh dengan unsur-unsur sebelum kedatangan Islam.
Proses Sosialisasi dan Pembudayaan dalam masyarakat Melayu
Sosialisasi merujuk kepada proses mempelajari aspek-aspek kemasyarakatan atau perkara-perkara yang diamalkan dalam masyarakat supaya seseorang itu dapat berfungsi dalam masyarakatnya. Pembudayaan (enculturation) merujuk kepada proses penerapan unsur-unsur budaya supaya seseorang bertindak dalam lingkungan peraturan, norma dan nilai masyarakatnya. (Nadiah bt Abdul Rahman dan Priscilla law Nguik Hung, 2008:70). Kedua-duanya bertujuan mengekalkan kesinambungan budaya Melayu. Keutamaan orang Melayu dalam proses sosialisasi dan pembudayaan ialah pembentukan jati-diri serta peribadi Melayu yang baik, berakhlak dan berbudi. Proses ini telah menanam nilai budaya yang kuat dalam masyarakat Melayu. Antara agen yang penting dalam proses ini ialah keluarga, kelompok, sekolah sekular dan agama, maktab-maktab dan universiti-universiti. Pembentukan budaya masyarakat Melayu mempunyai asas yang kukuh. Asas utama ialah agama Islam. Masyarakat Melayu akan mengazankan (membacakan kalimah azan) kepada bayi lelaki dan mengqamatkan bayi perempuan (membacakan kalimah qamat). Budaya ini telah dilakukan sejak kedatangan Islam ke Alam Melayu sejak dahulu lagi. Tujuannya ialah untuk memperdengarkan seruan azan, kalimah syahadah dan untuk meniupkan roh dan semangat Islam kepada bayi. Asas kedua pula ialah mengamalkan dan mengekalkan adat turun menurun. Ini adalah amalan yang dilakukan sekian lama atas pengaruh Islam dan Arab. Konsep adat memancarkan hubungan mendalam serta bermakna antara manusia dengan alam sekitarnya, termasuk alam tabii, alam sosial dan alam ghaib. Gabungan Islam dan adat terdapat dalam semua upacara kitaran hidup masyarakat Melayu seperti mencukur rambut, turun tanah atau mencecah tanah, membela mulut serta berkhatan. Antara unsur-unsur Islam yang diterapkan secara berterusan ialah kanak-kanak diajar konsep dosa, pahala, haram dan halal. Begitu juga dengan kanak-kanak diajar sembahyang, berpuasa dan mengaji al-Quran. Kesemua ini telah membentuk nilai budaya masyarakat Melayu yang tinggi sehingga kini. Terdapat beberapa daya kreativiti budaya masyarakat Melayu yang dapat dilihat melalui penggubalan peribahasa dan kata perbilangan yang bertujuan sebagai panduan, teladan dan sempadan dalam proses sosialisasi. Contohnya:
i. Seperti ayam mematuk anaknya
ii. Tatkala rebung hendak dilentur jangan dinantikan menjadi aur
iii. Bapa borek anak rintik
iv. Seperti ketam mengajar anak berjalan lurus
v. Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari
Pemikiran Masyarakat Melayu
Pemikiran adalah perilaku penyelesaian masalah. Manusia mula berfikir sebagai daya usaha untuk penyesuaian diri dengan alam sekeliling. Kenyataan ini amat relevan dalam konteks pemikiran Melayu tradisional. (Che Ibrahim Salleh, Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu, 2008: 35). Masyarakat Melayu mengalami perubahan alam pemikiran secara evolusi bermula dengan pegangan kepada konsep kepercayaan Paganisme, Animisme, Hindu, Buddha, Islam, dan sekularisme. Dalam hal ini, pegangan masyarakat Melayu turut dipengaruhi oleh konsep-konsep kepercayaan tersebut. Perubahan ini menunjukkan alam pemikiran Melayu terbuka. Seandainya proses penyesuaian tidak dilakukan, mungkin berlaku pertentangan dan konflik budaya akan menyebabkan berlakunya permusuhan dan penolakan terhadap konsep yang cuba diterapkan. Kedatangan Islam ke alam Melayu telah membawa unsur rasionalisme dan intelektualisme ke dalam penghidupan masyarakat Melayu. Perubahan yang jelas sekali ialah mengubah kepercayaan masyarakat Melayu dari kepercayaan yang mempersekutukan Allah kepada agama mentauhidkan Allah. Islam sebagai agama sejagat yang merangkumi keseluruhan cara hidup, sudah tentu membawa perubahan keseluruhan pemikiran masyarakat Melayu. Demikianlah hubungan Islam dengan masyarakat Melayu ketika awal kedatangannya sehingga meninggalkan kesan dalam jiwa bangsa Melayu. Kini Islam dan Melayu sudah menjadi suatu sinonim yang tidak dapat dipisahkan. Masyarakat Melayu dalam ilmu pengetahuan tidak lagi terkongkong di istana dan kalangan golongan bangsawan, seperti zaman Hindu-Buddha, tetapi disebarkan juga dalam kalangan rakyat jelata melalui pendidikan dan pengajaran di masjid, surau, madrasah dan pesantren. Penumpuan ilmu pengetahuan dan persuratan bukan lagi menekankan aspek estetik, romantik, ketakjuban, daya khayalan dan imaginasi, tetapi kepada yang lebih rasional, akali dan intelektual, cetusan dan dorongan secara langsung daripada al-Quran dan hadis yang menekankan kewarasan, kerasionalan berasaskan akal budi dan ilmu yang sahih dan nyata. Proses ini telah membentuk alam pemikiran masyarakat Melayu termasuk budayanya.
Asas Nilai Pembentukan Kebudayaan Melayu
Memandangkan kebudayaan mencakupi segala bidang kehidupan manusia, adalah penting untuk membincangkan secara ringkas aspek sosial, politik, adat dan istiadat, serta ekonomi. Aspek ini hampir menerangkan kebudayaan masyarkat Melayu sehingga kini. Aspek sosial meliputi kepercayaan dan agama sejak pra-sejarah hingga kedatangan Islam, struktur masyarakat, perhubungan dan kedudukan wanita dalam masyarakat. Aspek budaya politik termasuklah konsep raja dan kerajaan yang melibatkan asal keturunan raja, kebesaran, taat setia rakyat dan penubuhan sesebuah kerajaan atau negeri serta sistem pemerintahan. Aspek kebudayaan juga menyentuh adat istiadat yang merupakan undang-undang dan peraturan seperti pertabalan, perkahwinan dan kematian. Disini bentuk serta perlaksanaan adat istiadat akan dititikberatkan. Aspek ekonomi merujuk kepada ekonomi tradisional yang sering dikaitkan dengan orang Melayu seperti ekonomi sara diri (secukup hidup). Pendedahan dan penyesuaian masyarakat Melayu dengan budaya baru dari luar telah mengubah nilai budaya mereka. Namun bukan semua yang mengalami perubahan. Aspek kepercayaan animisme masih lagi dikekalkan. Pembentukan jati diri dan peribadi Melayu yang baik, beragama, berakhlak dan berbudi menjadi keutamaan dalam proses sosialisasi dan pembudayaan.
Akidah Islam
Nilai-nilai yang menjadi asas kepada tamadun Melayu berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam. Kesemua nilai tersebut berkait rapat dengan konsep iman yang terdapat dalam agama Islam. Nilai asas ini boleh dilihat dalam ungkapan-ungkapan Melayu seperti peribahasa, perumpamaan dan pepatah-pepatih. Terdapat pelbagai perkara yang boleh dibuat untuk menunjukkan nilai-nilai budaya masyarakat Melayu. Pengaruh kedatangan Islam ke dalam masyarakat Melayu banyak mengubah budaya Melayu. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T merupakan perkara yang paling penting dalam agama Islam. Ia melibatkan asas pegangan hidup, pemikiran atau falsafah kepada kehidupan manusia di dunia ini. Mentaati segala yang dituntut dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah S.W.T. adalah sebahagian daripada cara bagaimana orang Melayu mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan. Dalam hal ini, pandangan semesta masyarakat Melayu berunsurkan tradisional disesuaikan dengan dasar-dasar akidah Islam.
Ketaatan kepada Sultan dan Menghormati Pemimpin
Sejarah masyarakat Melayu berkait rapat dengan kesultanan Melayu. Masyarakat Melayu taat setia kepada Sultan atau Raja sejak turun-menurun yang diikuti dan diajar oleh orang Melayu sehingga ke hari ini. Ini membuktikkan bahawa budaya masyarakat Melayu amat menghormati pemimpin. Nilai ketaatan dan kesetiaan kepada Sultan atau Raja telah menjadi sebahagian budaya orang Melayu. Nilai inilah yang membentuk budaya masyarakat Melayu menjadi orang yang berdisiplin. Dalam agama Islam pemimpin adalah khalifah Allah S.W.T. di muka bumi. Dalam pepatah Melayu:
Ada raja adat berdiri, Tiada raja adat mati
Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah
Biar mati anak, jangan mati adat dan, raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.
Berpegang Teguh kepada Adat Resam
Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuk pantang-larang dan adat isitadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-menurun. Antara adat istiadat yang masih diamalkan seperti adat istiadat menyambut kelahiran, perkahwinan dan kematian. Orang Melayu memahami kedaulatan hukum-hukum adat sejak dahulu lagi dan mematuhinya. Dalam pepatah Melayu ada menegaskan, adat dikelek dan hukum dijunjung. Terdapat beberapa upacara “rites de passage” gabungan unsur Islam dan adat diadakan pada hampir setiap tahap kitaran hidup. Contohnya, sebelum seseorang itu dilahirkan lagi, berbagai-bagai pantang larang diikuti. Ibu yang mengandung dilarang melakukan perbuatan yang buruk atau keji. Dengan berbuat demikian, dipercayai anak yang bakal dilahirkan sedikit sebanyak mewarisi perangai kedua-dua ibu bapaya (yang dilakukan semasa ibu mengandungkannya).
Memuliakan yang Tua
Dalam masyarakat Melayu, menghormati dan memuliakan orang yang tua adalah satu nilai yang jelaskan sekali berlaku. Nilai ini berkaitan dengan pemahaman masyarakat Melayu bahawa orang yang lebih berusia mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding orang-orang muda. Pengalaman adalah sesuatu yang sentiasa dipandang penting dalam masyarakat Melayu. Golongan muda digalakkan merantau untuk mencari pengalaman lain. Dalam konteks Islam, Baginda S.A.W. tidak mengiktiraf umat yang tidak menghormati orang yang tua dan menyayangi orang yang orang muda. Menghormati dan mendengar nasihat orang tua, orang muda tidak akan melakukan kesilapan dan kesalahan dalam hidup mereka. Apa yang penting ialah kerjasama antara orang muda dengan orang tua harus dipupuk untuk menjamin keharmonian masyarakat sekeliling.
Saling Menghormati
Salah satu nilai budaya orang Melayu tidak memandang rendah kepada orang lain. Orang Melayu saling menghormati orang lain dan bersikap rendah diri. Orang Melayu digalakkan memberi penghormatan terlebih dahulu kepada orang lain. Orang yang tidak membalas penghormatan yang diberi akan dipandang rendah.
Meraikan Tetamu
Meraikan tetamu merupakan satu nilai yang penting dalam masyarakat Melyu. Mengikut ajaran agama Islam, tetamu hendaklah dilindungi, dimuliakan dan dilayan dengan sebaik mungkin, malah tuan rumah disunatkan berkorban dan tidak mementingkan diri sendiri demi menjaga dan menghormati tetamu. Oleh yang demikian, tetamu sentiasa dipandang baik oleh orang Melayu dan diraikan dengan sebaik-baiknya.
Bertimbang Rasa
Orang Melayu sentiasa mengutamakan perasaan orang lain dalam pelbagai keadaan. Sikap bertimbang rasa menjadikan masyarakat Melayu tidak mementingkan perasaannya semata-mata. Pemikiran ini memerlukan kita tidak mengikut perasaan sahaja, ia memerlukan pertimbangan perasaan orang lain. Nilai bertimbang rasa ini adalah salah sifat terpuji dalam Islam. Dalam masyarakat Melayu kini, orang muda haruslah meminta kepada orang tua sesuatu yang termampu dan tidak melampau. Begitu juga, dengan permintaan terhadap rakan-rakan, seharusnya rasional dan wajar. Setiap permintaan dan kelakuan harus ada timbang rasa. Budaya inilah yang akan menaikkan masyarakat Melayu.
Bersopan Santun atau Berbudi Pekerti
Nilai ini membentuk masyarakat Melayu yang penyabar dan penyayang, bersopan santun dan berbudi pekerti adalah sebahagian daripada nilai-nilai tamadun Melayu yang berkaitan dengan beradab (atau civilized). Masyarakat Melayu menganggap bahawa orang yang beradab sebagai halus (atau refined) budi pekertinya, manakala yang tidak beradab dianggap kasar. Sesuai dengan penegasan Nabi S.A.W. bahawa: Baginda diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Islam menganjurkan pengikutnya sentiasa bercakap benar dan melarang pembohongan. Begitu juga di bidang penulisan, terutama dalam konteks laporan berita, isi karya yang dihasilkan mestilah benar dan tidak mengandungi penyelewengan. Ia harus membantu dalam meninggikan pemikiran masyarakat. Dalam berpakaian, selain bersih, Islam juga menekankan pentingnya menutup aurat. Namun, sesetengah orang Melayu/Islam ‘moden’ gemar mengamalkan budaya dedah. Pendidikan moral memang sesuai untuk membentuk masyarakat lain yang sopan. Tetapi, masyarakat Melayu dan Islam amnya amat perlukan pendidikan Islam. Untuk membina masyarakat sopan, kita harus mulakan dari institusi keluarga. Ibubapa memainkan peranan penting kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik anak-anak bangsa menjadi orang berguna. Tugas utama mereka ialah memastikan keharmonian keluarga dan tidak bercerai-berai. Sekitaran yang harmoni dapat merangsang perkembangan mental dan rohani anak-anak mereka. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Misalnya, mereka tidak harus bertengkar di hadapan anak-anak kerana ini akan menjejas jiwa anak-anak mereka. Banyak masalah sosial yang melanda masyarakat berpunca daripada kelalaian ibu bapa mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Oleh itu, ibubapa Melayu/Islam perlu menilai kembali pegangan hidup mereka demi mengekalkan citra sopan Melayu.
Bekerja bersungguh-sungguh
Masyarakat Melayu mementingkan nilai bekerja bersungguh-sungguh. Nilai ini juga sebahagian daripada ajaran agama Islam yang menuntut pekerjaan halal dan kesungguhan bekerja. Mengikut pemikiran ini, hasil pekerjaan kita akan menjadi sebahagian daripada darah daging kita dan juga ahli keluarga kita. Apabila kita melakukan perkerjaan yang haram atau tidak melakukan pekerjaan kita dengan sempurna, perkara yang tidak elok akan menjadi sebahagian daripada diri kita sendiri dan ahli keluarga. Ia mampu untuk membuatkan kita menjadi orang yang tidak elok. Rasulullah S.A.W. menegaskan bahawa Allah S.W.T. amat menyukai mukmin yang tekun dan teliti apabila menunaikan satu-satu pekerjaan yang diamanahkan. Terdapat pemimpin Negara kita yang mengutamakan nilai bekerja bersungguh-sungguh. Antaranya, Perdana Menteri Malaysia Kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau sentiasa mengingatkan masyarakat agar menerapkan nilai ini dalam kerjaya.
Bergotong-royong
Salah satu nilai budaya masyarakat orang Melayu ialah melakukan sesuatu perkerjaan dengan bergotong-royong kehidupan secara berkumpalan. Gotong-royong diamalkan dalam aktiviti seperti kenduri-kendara, menanam dan menuai padi, membersihkan rumah ibadat dan tanah perkuburan. Masyarakat Melayu kini, masih lagi giat bergotong-royong dalam melaksanakan apa sahaja untuk kepentingan masyarakat sekeliling. Antara sifat masyarakat Melayu ialah dalam membersihkan masjid, surau dan sebagainya. Dalam membersihkan masjid, amalan ini dilakukan sejak awal kedatangan Islam di Alam Melayu. Sifat ini menggambarkan budaya Melayu sentiasa bersatu padu dalam apa jua cabaran dan halangan.
Bermesyuarah dan Bermuafakat
Nilai masyarakat Melayu iaitu bermesyuarah ataupun bermuafakat adalah cara bagaimana masyarakat Melayu cuba mencapai persetujuan ramai. Orang Melayu selalu menyebut “Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat”. Orang ramai diberi peluang untuk menyuarakan pendapat mereka dan persetujuan dicapai dengan mengambil kira semua pendapat. Sesuai dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran :
“Supaya sentiasa bermesyuarat dalam semua urusan hidup mereka” (surah al-Syura, ayat 38)
Mengutamakan Ikatan Kekeluargaan dan Hubungan Silaturahim
Dalam budaya masyarakat Melayu adalah satu perkara penting yang harus diketahui oleh masyarakat kini iaitu mengutamakan ikatan kekeluargaan dan hubungan silaturahim. Ini dapat dilihat daripada amalan gelaran dalam keluarga seperti, datuk, nenek, along, angah, pak cik dan mak cik. Apa yang paling jelas sekali ialah cara bagaimana mengikat hubungan silaturahim orang Melayu. Orang Melayu bersifat bekerjasama dalam mengadakan kenduri kendara dan saling ziarah menziarahi. Amalan ini amat berkesan dalam memupuk ikatan kekeluargaan malah dalam persahabatan.
KESIMPULAN
Nilai bahasa dan budaya adalah amat penting dalam pembentukan negara bangsa. Adalah penting untuk mempertahankan nilai-nilai yang dimiliki oleh masyarakat setempat. Sebagai sebuah negara bangsa yang masyarakatnya berbilang kaum dan agama seharusnya memiliki pelbagai nilai dan norma. Hal ini dapat diperhatikan dalam perlakuan-perlakuan harian masyarakat setempat. Bahasa dan budaya Melayu merupakan asas bagi pembentukan tamadun Malaysia hingga kini. Masyarakat Melayu amat menitikberatkan perlakuan seseorang dalam meletakkan kedudukannya dalam masyarakat. Seperti yang telah dibincangkan dalam kajian ini, pengaruh agama Islam terhadap masyarakat Melayu amat mendalam sekali. Sehingga membentuk sebuah masyarakat yang memiliki nilai-nilai yang jelas dalam kehidupan harian. Kedatangan agama Islam ke Alam Melayu telah menaikkan martabat bahasa dan budaya masyarakat Melayu sehingga kini. Nilai utama Islam yang berasaskan akidah telah membentuk nilai ketaatan dan keimanan kepada Allah S.W.T. sehingga membentuk nilai-nilai baru dalam budaya Melayu. Dalam membina peradaban bangsa Malaysia menjelang 2020, apa yang pasti ialah budaya dan nilai luhur yang wujud dalam agama Islam dan budaya orang Melayu perlu diperkasakan dan dijadikan sebagai teras kepada pembentukan dan pembinaan bangsa Malaysia dan Negara Malaysia. Ini kerana Melayu pernah membuktikan kepada dunia bahawa mereka pernah mengecapi zaman kegemilangan lantaran berpegang teguh dan menghayati sepenuhnya agama Islam. Dalam konteks negara bangsa, adalah amat penting bagi masyarakat kini menilai dan menghayati kembali nilai-nilai dalam budaya Melayu yang telah menjadi asas dalam pembentukan tamadun Malaysia. Sebagai sebuah negara yang majmuk, seharusnya kerjasama dan toleransi amat penting untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian. Penerapan nilai bahasa dan budaya Melayu perlu dilaksanakan oleh semua pihak dan pelbagai bidang. Walaupun amat dititikberatkan dalam pendidikan Islam dan Moral dalam pembelajaran, namun institusi lain juga harus menerapkan nilai-nilai tersebut. Semua pihak haruslah berganding bahu bagi mengekalkan nilai-nilai budaya yang selama ini menjadi asas bagi keharmonian dan ketamadunan negara Malaysia. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang Keenam haruslah diiringi dengan penerapaan nilai-nilai budaya Melayu. Begitu juga dengan nilai-nilai budaya masyarakat yang lain. Saling menghormati dan terbuka akan meningkatkan lagi keharmonian masyarakat Malaysia. Oleh yang demikian, adalah satu kepentingan untuk memupuk nilai- nilai budaya masyarakat Melayu kepada masyarakat zaman sekarang supaya dapat mengekalkan kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia. Untuk mengulangi zaman kegemilangan Melayu ketika dahulu, generasi hari ini perlu kembali memahami dan menghayati agama Islam dalam erti kata yang sebenar kerana Islam adalah dinamik dan progresif.
BIBLIOGRAFI
A.Aziz Deraman. (2005). Asas Pemikiran Kebudayaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Rahman Al-Ahmadi. (2003). Tamadun Rumpun Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, kesenian dan Warisan Malaysia.
Ahmad Zaki Abd. Latif et al. (2009). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Shah Alam: Oxford Fajar.
Anwar Ridhwan. (2005). Minda Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azhar Hj. Mad. Aros. (2004). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Shah Alam: Kertas 1 dan 2. Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Che Ibrahim Salleh. (2008). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Universiti Putra Malaysia. Serdang.
Dr. Zaid Ahmad et al. (2006). Hubungan Etnik Di Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar.
Haron Daud. (1989). Sejarah Melayu, Satu Kajian Daripada Aspek Persejarahan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ishak Bin Saat. (2006). Sejarah Sosiobudaya Melayu. Karisma Publications Sdn. Bhd. Shah Alam.
Mohd Aris Haji Othman. (1985). Identiti Etnik Melayu, Siri Kemasyarakatan Fajar Bakti. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Petaling Jaya.
Mohd Taib Othman. (2004). Budaya dan Bahasa Melayu, Masalah dan Harapan. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Mohd Taib Osman dan Wan Kadir Yusoff. (1983). Kajian Budaya dan Masyarakat di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nadiah Abdul Rahman dan Priscilla Law Nguik Hung. (2008). Tamadun Islam dan Asia. Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Mc Graw Hill Education.
Osman Bakar et al. (2009). Modul Pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Robiah Sidin dan Juriah Long. (1998). Nilai Budaya Masyarakat Desa, Kajian Etnografi di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Pahang. Jilid 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shamsul Amri baharuddin. (2007). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi MARA.
Wan Hashim Wan Teh dan Ismail Hamid. (1998). Nilai Budaya Masyarakat Desa, Kajian Etnografi di Wang Kelian, Perlis. Jilid 1.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Abdul Kadir. (2010). Pembangunan Industri Budaya dan Identiti Melayu (Malaysia-Indonesia). ccm.um.edu.my(02/02/2010)
Worawit Baru @ Haji Ahmad Idris. (2004). Pemikiran Melayu: Tradisi dan Kesinambungan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment