Tuesday, 5 June 2012

PERANAN BAHASA MELAYU DALAM PEMBENTUKAN PERPADUAN NEGARA BANGSA-Rohana bt Dolhan [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Bahasa merupakan teras atau kunci dalam membentuk perpaduan bangsa. Perkembangan bahasa bermula sejak awal zaman sebelum negara kita merdeka lagi. Dengan kelebihan sebagai bahasa penghubung antara negara dengan masyarakat luar sejak zaman kesultanan Melayu Melaka iaitu bahasa lingua franca dan dengan majoriti penduduk pada masa itu maka bahasa Melayu diambil menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia. Sebelum kemerdekaan awal kemerdekaan telah diwujudkan beberapa Laporan bagi mencari jalan bagaimana perpaduan dapat dilaksanakan tanpa menafikan hak semua kaum. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang sesuai bagi pembentukan perpaduan bangsa sejajar dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. Melalui Perkara 152 (1) Perlembagaan memberi pengiktirafan dan mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. Dengan berdasarkan jumlah 50% penduduk Melayu serta bahasa yang mudah difahami maka bahasa tersebut menjadi bahasa perpaduan negara bangsa. Kajian yang dibuat ini merangkumi peranan bahasa Melayu dalam membentuk perpaduan antara kaum di Malaysia. Hasil kajian ini juga dapat membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu membentuk perpaduan kaum dalam negara bangsa.
PENGENALAN
Bahasa Melayu juga merupakan bahasa Austonesia dan mempunyai kaitan rapat dengan bahasa-bahasa etnik yang dituturkan di Nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei , Singapura, bahagian Selatan Thai dan Filipina sehinggalah ke Pulau Christmas di Australia. Bagi negara Malaysia yang berbilang bangsa, satu bahasa perlu untuk menyatukan ke semua bangsa tersebut. Perpaduan dalam pengertiannya ialah penggabungan, perihal berpadu (bergabung menjadi satu, sepakat dll.). Perpaduan dalam erti kata lain, membawa makna hubungan erat yang bersifat kerjasama dan mempunyai satu matlamat yang sama iaitu kemakmuran dan keharmonian. Ia juga merupakan satu proses menyatupadukan seluruh masyarakat bagi membentuk satu identiti dan memupuk perasaan kasih dan sayangkan negara bangsa. Perpaduan juga menjadi teras bangsa Malaysia. Dalam Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara (1992) telah mendefinisikan perpaduan negara sebagai satu keadaan yang mana rakyat daripada pelbagai golongan etnik,agama dan wilayah hidup dengan aman sebagai satu bangsa bersatu dengan memberi komitmen penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Budaya akan wujud dengan adanya kelompok bahasa atau kaum. Kebudayaan tercetus apabila budaya sesuatu bangsa itu mempunyai nilai peradaban yang tinggi dalam sesuatu tamadun. Dalam kebudayaan terdapat empat komponen iaitu fikiran atau idea (contohnya falsafah, mitos, legenda, sastera, kepercayaan, bahasa dan lain-lain), kebendaan (contohnya seni bina,perkakasan,teknologi,perubatan dan lain-lain), kesenian (contohnya seni lakon,nyanyian,seni visual,lukisan dan lain-lain) serta nilai dan norma (contohnya undang-undang,adat resam,perlakuan, kesopanan dan kesantunan, nilai-nilai keagamaan, pantang larang dan lain-lain) Konteks negara pula membawa pengertian kepada negara yang mempunyai pelbagai kaum etnik atau masyarakat dan mengamalkan agama dan budaya hidup sendiri. Di Malaysia konsep ‘bangsa Malaysia’ juga didefinisikan dalam Perlembagaan Negara 1957 yang menekankan sekurang-kurangnya tiga elemen utama yang dapat menerangkan sifat dan ciri ‘bangsa Malaysia’ iaitu berkaitan dengan kewarganegaraan,taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara. Objektif kajian saya membincangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa yang boleh menyatukan pelbagai kaum dan dapat membuktikan bahasa itu mampu membentuk perpaduan. Batasan kajian saya mencakupi peranan dan bukti bahasa Melayu mampu menyatupadukan kaum di Malaysia.
PERANAN BAHASA MELAYU DALAM PEMBENTUKAN PERPADUAN
Bahasa Melayu melambangkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia yang sejati sejak. Peranan bahasa Melayu jelas apabila bahasa Melayu mampu melahirkan semangat perpaduan, kekitaan dan kebangsaan. Bahasa Melayu juga digunakan dalam komunikasi, acara rasmi, segala surat-menyurat rasmi pentadbiran, minit mesyuarat dan sebagainya. Bahasa Melayu berperanan mengukuhkan perpaduan antara kaum dan keturunan serta perpaduan politik. Bahasa Melayu juga amat penting dalam bidang ilmu, sains, teknologi, sains komputer selain dijadikan bahasa ilmiah. Peranan Bahasa Melayu dalam membentuk perpaduan dapat dibincangkan dalam empat cara iaitu melalui pendidikan, masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka dan media massa.
PERANAN BAHASA MELAYU MELALUI PENDIDIKAN
Sebagai negara bangsa, peranan bahasa Melayu dalam pendidikan amat penting dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi awam. Kepentingan bahasa Melayu dapat dilihat dalam Akta Pendidikan 1996, Perkara 17 yang menyatakan:
“Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini”.
Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan terus diberi penekanan dalam Pelan Induk Pendidikan 2006-2010 yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi membantu memantapkan lagi perpaduan negara bangsa. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ini mengandungi 6 teras iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan peraturan secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai,budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme,lingua franca,integrasi, kewarganegaraan dan demokrasi. Fokus utama dalam membina negara bangsa mencakupi usaha-usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai asas perpaduan,integrasi nasional dan bahasa ilmu. Antara strategi untuk membina negara bangsa ialah menggerakkan gelombang baru iaitu gerakan memperkasakan bahasa kebangsaan, memantapkan perlaksanaan Dasar Buku Negara, menyelaras peranan semua pihak terlibat untuk menggiatkan aktiviti kebahasaan,kesusasteraan,pengkaryaan,penterjemahan serta mewujudkan bahan bahasa dan sastera negara dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Di sekolah huraian sukatan bahasa Melayu mengandungi objektif dan nilai-nilai yang dirancang dan disampaikan kepada pelajar-pelajar dengan harapan agar pelajar-pelajar akan terdidik berbahasa dan berbudaya tinggi. Sekiranya pelajar-pelajar mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik secara tidak langsung mereka mudah berkomunikasi dengan rakan-rakan yang berbagai kaum. Mereka juga akan memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain dan memahami budaya kaum lain. Begitu juga hubungan guru dengan ibu bapa pelajar tersebut. Mereka mudah berkomunikasi dan dapat mengeratkan lagi silaturahim antara pihak sekolah dan ibu bapa pelajar. Kesemua ini dapat memupuk semangat perpaduan pada peringkat awal lagi iaitu semasa mereka berada di bangku sekolah dan akan diamalkan sehinggalah ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya menjadi masyarakat yang sentiasa mengekalkan perpaduan.
PERANAN BAHASA MELAYU MELALUI MASYARAKAT ATAU SOSIAL
Bahasa menjadi lambang jati diri sebagai penduduk tetap Malaysia. Setiap negeri di dunia ini mempunyai bahasa kebangsaan sendiri bagi menunjukkan jati diri masing-masing. Bahasa Melayu merupakan salah satu jati diri etnik dan memberi takrifan sebagai komuniti bahasa. Komunikasi bahasa diertikan sebagai satu kumpulan manusia yang menuturkan bahasa yang sama. Dalam erti kata lain, sekumpulan manusia diterima sebagai komuniti bahasa jika ahli kumpulan itu menggunakan satu bahasa yang sama di dalam hubungan komunikasi mereka. Komuniti am pula ialah sekumpulan masyarakat yang berketurunan sama yang berkongsi nilai-nilai yang sama manakala komunikasi bahasa pula merupakan sekumpulan manusia yang berkongsi bahasa yang sama. Komuniti Melayu adalah golongan yang berketurunan Melayu yang memiliki jati diri Melayu, bahasa agama, budaya dan adat istiadat Melayu tetapi komuniti bahasa Melayu pula ialah golongan manusia yang tidak semestinya berketurunan sama tetapi menuturkan bahasa Melayu dalam pertuturan seharian mereka. Dasar bahasa di Malaysia, kalangan penutur bahasa Melayu terdiri daripada orang Melayu,India,Cina,etnik bumiputera dari negeri Sabah dan Sarawak dan kumpulan etnik minoriti yang lain. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Muhamad dalam ucapan beliau pada majlis Perasmian Gerakan Cintailah Bahasa Kita pada 11 Disember 1987 di Kuala Lumpur menyatakan bahawa kecintaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan salah satu asas kecintaan terhadap negara yang perlu dipupuk dan diperkembangkan dengan dijadikan ‘amalan’. Dengan amalan itulah yang akan menjadi ‘bukti’ bagi menyuburkan dan memekarkan peranan cinta serta member keyakinan untuk terus mencintai bahasa kebangsaan tersebut. Tambahnya, tanpa mengamalkannya iaitu bahasa Melayu sukar untuk meyakinkan diri kita dan orang lain bahawa kita mencintai bahasa kebangsaan kita, dan inilah unsur rohaniah yang perlu disemadikan dalam sanubari rakyat Malaysia, khususnya. Bahasa Melayu turut melambangkan kesantunannya. Peningkatan ilmu dan kepenggunaannya boleh dijadikan kayu ukur kepada kesantunan bahasa Melayu tersebut. Bahasa Melayu mencakupi ciri-ciri dan nilai-nilai ketimuran berbahasa seperti bersifat budi bahasa,beradab dan memiliki nilai-nilai itulah yang telah dicuba untuk diterapkan dalam kehidupan rakyat yang berbilang bangsa iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu dan sekali gus mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat jelas semasa musim perayaan. Tradisi kunjung-mengunjung antara jiran yang berbilang kaum dengan berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Begitu juga amalan bergotong-royong , menghadiri majlis perkahwinan dalam budaya pelbagai kaum serta sambutan rumah terbuka yang diadakan di tempat masing-masing. Amalan bergotong-royong dalam masyarakat menunjukkan sikap bermasyarakat yang baik. Mereka berkomunikasi dalam bahasa Melayu iaitu bahasa yang mudah difahami. Bahasa Melayu turut dijadikan sebagai bahasa perhubungan antara kaum yang berbilang bangsa. Dengan menguasai komunikasi berbahasa ini, hubungan yang baik akan mudah terjalin. Amalan hormat-menghormati dan sikap toleransi antara kaum perlu diamalkan sekiranya kita ingin melihat perpaduan terlaksana.
PERANAN BAHASA MELAYU MELALUI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka turut membantu dalam usaha membentuk perpaduan ini. Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditubuhkan pada 22 Jun 1956. Dewan Bahasa dan Pustaka telah diarahkan untuk mencipta ejaan, istilah,kamus dan tatabahasa bagi menyatukan bahasa Melayu serantau dan mengembangkan sastera Melayu. Pada tahun 1959, Dewan Bahasa dan Pustaka telah dinaiktarafkan menjadi sebuah badan berkanun. Maka dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka dalam kandungan Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka telah diberi kuasa untuk menggubal dasarnya yang khusus, menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera serta menjelaskan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku-buku yang sama dengan sekolah swasta. Penggunaan buku-buku teks dalam bahasa Melayu bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sastera ,Sejarah dan sebagainya merupakan salah satu usaha Dewan Bahasa dan Pustaka dalam bidang pendidikan. Dalam menghasilkan karya bahasa Melayu seperti puisi, pantun dan sebagainya. Ahli bahasa di Malaysia tidak kurang hebatnya. Dewan Bahasa dan Pustaka banyak menerbitkan buku yang berunsurkan bahasa Melayu dan sastera untuk kegunaan golongan masyarakat. Perkataan-perkataan baru yang digunakan dalam kamus diberi pengertian yang sejelasnya bagi memudahkan pemahaman orang ramai. Kempen Bulan Bahasa turut dirancang dan diadakan bagi menyemai dan mengukuhkan peranan bahasa Melayu dalam kehidupan masyarakat majmuk. Berbagai-bagai jenis aktiviti yang diadakan seperti Pertandingan Mendeklamasikan Sajak,pidato dan sebagainya. Kesemua aktiviti yang dijalankan bermatlamat supaya bahasa Melayu menjadi keutamaan dalam penyatuan kaum di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka juga berperanan menerbitkan majalah bahasa seperti majalah Dewan Bahasa, Dewan Siswa dan Dewan Pelajar, dan Jurnal Bahasa. Begitu juga buku sastera, ilmiah, fiksyen ditulis dan diterbitkan dalam bahasa Melayu. Sasaran utama ialah pelajar dan golongan pembaca buku. Dewasa kini, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka semakin mencabar iaitu bagaimana hendak meluaskan lagi penggunaan serta memperkukuhkan bahasa Melayu daripada rakyat Malaysia. Para pelajar dan golongan pendidik akan menjadi Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai tempat rujukan bila mempelajari bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat hanya dapat dirujuk daripada Dewan Bahasa dan Pustaka. Kita boleh melayari Internet dengan membuka laman webnya. Dewan Bahasa dan Pustaka turut memperkenalkan perkataan-perkataan baru bersertakan pengertiannya. Dengan menjadikan media massa sebagai medan menyalurkan maklumat kepada umum iaitu masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
PERANAN BAHASA MELAYU MELALUI MEDIA
Di kalangan pengamal media pula, kerajaan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam alat komunikasi seperti radio,televisyen,surat khabar, majalah dan lain-lain alat sebaran am. Terdapat dua bentuk media utama di Malaysia iaitu media cetak dan media elektronik. Media cetak terdiri daripada akhbar, majalah,buletin,jurnal dan sebagainya. Media elektronik pula seperti televisyen,radio dan komputer dengan mel elektronik dan laman webnya. Televisyen banyak mempengaruhi masyarakat Malaysia yang mempunyai satu bahasa kebangsaan sebagai alat perpaduan iaitu bahasa Melayu. Paparan dan isi kandungan rancangan mencakupi berita dan maklumat, temu bual, soal jawab yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya. Kesemua rancangan ini mampu membantu penonton memahami dan menerima maklumat melalui penggunaan bahasa Melayu yang betul dan sebagai bahasa penyebar maklumat. Contoh rancangan yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya ialah rancangan Soal Jawab (TV3) , Bual Bicara (TV1) dan Di Luar Lingkungan (TV1). Perantara dan tetamu forum menggunakan bahasa Melayu untuk berbicara. Dengan menonton rancangan ini, para penonton akan mendengar penggunaan bahasa yang baik dan teratur selain daripada mendapat maklumat. Manakala tayangan drama dan filem Melayu yang ditayangkan melalui televisyen mampu melaksanakan tanggungjawab sosial sebagai penyebar maklumat yang tepat,benar, mempunyai matlamat atau objektif serta seimbang malah mempamerkan bentuk penggunaan bahasa yang tepat dan betul. Penggunaan kata atau bahasa turut mempengaruhi penonton. Misalnya drama Melayu yang menggunakan ayat yang menarik ataupun perkataan akan menjadi ikutan kanak-kanak dan remaja Bagi iklan pula, turut menyokong peranan bahasa Melayu. Iklan menggunakan laras bahasa, perkataan dan sebutan dalam bahasa Melayu. Iklan mempunyai pengaruh yang besar di kalangan kita. Sasaran utama bagi golongan kanak-kanak. Kanak-kanak cepat memahami bahasa dalam iklan sekiranya menonton setiap hari. Contohnya iklan ‘potong’. Saya melihat bagaimana kanak-kanak yang terdiri daripada kanak-kanak yang terdiri daripada anak murid saya sering menyanyikan lagu ‘potong’. Dalam istilah bahasa perkataan ‘potong’ mempunyai banyak maksud. Dan bagi yang tidak memahami maksud ‘potong’ yang disebut dalam iklan itu, maka terjadilah banyak makna yang ditafsirkan. Sedangkan maksud iklan tadi ialah ‘potong’ atau jangan guna talian Internet selain daripada produk syarikat telekomunikasi tadi. Satu lagi contoh iklan yang tidak kurang menariknya. Iklan makanan ringan ‘Oreo’. Arahan yang disebut oleh kanak-kanak dalam iklan tadi ialah ‘putar’ , ‘jilat’ dan ‘makan’. Kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun akan mempelajari perkataan baharu sambil mengetahui pergerakan yang dilakukan. Secara tidak langsung,iklan tadi membantu mereka menguasai dan mempelajari bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga digunakan sebagai bahasa berita dan maklumat di televisyen. Kita sering menonton berita di televisyen. Berita Utama, Berita Perdana dan Berita Terkini disiarkan dengan menggunakan bahasa Melayu dengan sepenuhnya. Segala berita dan maklumat bagi menyampaikan maksud digunakan oleh penyampai berita, temu bual wartawan dengan masyarakat, wawancara dengan menteri, pegawai kerajaan, tokoh korporat dan sebagai dengan menggunakan bahasa Melayu sahaja. Sekiranya berita dan wawancara menggunakan bahasa asing, maka dipamerkan terjemahan dalam bahasa Melayu serentak dengan siarannya. Rancangan kanak-kanak dalam bahasa Melayu turut menjadi agenda utama televisyen dalam usaha mempengaruhi kanak-kanak berbahasa Melayu atau menguasai bahasa Melayu. Antara kartun yang dapat ditonton seperti Upin dan Ipin, Budak Kampung, Anak-anak Sidek dan sebagainya. Kanak-kanak akan lebih mudah belajar bahasa Melayu sekiranya mereka tertarik dengan cerita kanak-kanak yang disiarkan di televisyen atau dalam komik bergambar. Satu lagi dengan adanya rancangan tv pendidikan dan rancangan dokumentari yang diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Penerangan. Kedua-dua kementerian tadi akan bekerjasama merancang, menyusun serta menyiarkan rancangan berunsurkan pendidikan dalam bahasa Melayu. Kementerian Penerangan melalui perancangan tahunan akan mencipta iklan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama penyebaran segala maklumat kepada masyarakat khasnya rakyatnya Malaysia. Dengan adanya kempen-kempen bahasa yang dilancarkan dan turut diberi penerangan kebaikan dan kepenggunaan berbahasa Melayu dengan betul maka tidak menjadi satu masalah sekiranya kita semua sanggup menghayati peranan bahasa Melayu. BUKTI PERANAN BAHASA MELAYU MAMPU MEMBENTUK PERPADUAN KAUM Ternyata dengan peranan bahasa Melayu melalui empat cara tadi telah menjadi bukti kemampuan peranan bahasa Melayu dalam pembentukan perpaduan negara bangsa. Peranan bahasa Melayu melalui pendidikan dalam pembentukan perpaduan telah terbukti apabila bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan, Pelajar-pelajar boleh berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain tanpa mengira kaum. Pelajar-pelajar dapat memahami bahasa Melayu dengan mudah sekiranya menguasai bahasa Melayu. Kementerian Pendidikan sentiasa mengadakan program yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Begitu juga peranan bahasa Melayu melalui masyarakat turut dibuktikan dengan adanya program 1 Malaysia. Usaha Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak membentuk 1 Gagasan dengan menjadi satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai penyatuan satu bangsa di Malaysia. Hanya dengan satu bahasa sahaja mampu membantu kerajaan membentuk perpaduan. Slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan lagunya sering berkumandang di radio dan televisyen. Pengertian dan maksud lagu dapat dilihat menerusi bait-bait lagu tersebut.
BAHASA JIWA BANGSA
Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah amalkan ramai-ramai
Bahasalah menyatukan kita semua
Yakinlah bahasa jiwa bangsa
Marilah mari rakyat semua
Buktikan taat setia dengan satu bahasa
Maju bangsa dan maju negara
Megahkan bahasa kita
Bahasa jiwa bangsa
Menerusi pengertian maksud lagu tadi, ternyata jelas negara kita mementingkan perpaduan kaum untuk membentuk sebuah negara yang aman dengan menyatakan bahasa sebagai asas penggerak bagi mencapai perpaduan nasional. Peranan bahasa Melayu melalui Dewan Bahasa dan Pustaka telah dibuktikan dengan penglibatan sepenuhnya aktiviti bulan bahasa di peringkat sekolah dan jabatan-jabatan kerajaan. Pernyataan peserta daripada berbilang kaum dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka seperti Sayembara Puisi. Begitu juga dengan buku-buku yang ditulis oleh pakar-pakar bahasa dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Dewan Bahasa dan Pustaka juga menambah jumlah kosa kata dan perkataan baru yang diambil daripada bahasa-bahasa lain dan diberi pengertiannya dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh perkataan ‘merarau’ yang diambil daripada bahasa Iban dari Sarawak dan diertikan sebagai ‘makan tengah hari’ . Perkataan merarau telah diterima dan diguna dalam Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Peranan bahasa Melayu melalui media turut dibuktikan oleh media massa di Malaysia. Media massa banyak mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu kepada masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Penerimaan seratus peratus maklumat rakyat Malaysia diterima melalui media massa yang menggunakan bahasa Melayu. Tidak dapat dinafikan bahasa Melayu mempunyai peranan yang besar dalam membentuk jalinan antara pelbagai kaum di Malaysia. Dengan satu bahasa sahaja kita dapat menikmati keamanan negara. Apa yang penting dan pokok utamanya sikap bangsa itu sendiri yang mesti menguasai sepenuhnya bahasa Melayu dengan sepenuh hatinya sebagai rakyat Malaysia.
KESIMPULAN
Bahasa Melayu yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan telah berperanan mewujudkan suasana harmoni dalam negara yang berbilang kaum dan bangsa. Perpaduan dapat dicapai dengan mudahnya. Melalui satu bahasa yang difahami dan mampu dikuasai oleh semua kaum. Kita boleh berkomunikasi dengan baik. Amalan sikap saling bekerjasama, bertolak ansur dan saling menghormati sesama kaum dapat diwujudkan. Peranan kerajaan amat penting dalam merealisasikan matlamat pembentukan perpaduan bangsa tercapai dengan berdasarkan bahasa Melayu. Peranan media massa juga tidak dinafikan sama penting dalam menyebarkan maklumat dan penggunaan bahasa seperti kempen berbahasa melalui televisyen dan radio ,iklan dan sebagainya. Lagu patriotik ‘Bangsa Jiwa Bangsa’ sering kali berkumandang di radio dan televisyen sebagai agen menaikkan semangat cintakan bahasa dan menyatakan bagaimana bahasa itu amat penting dalam perpaduan bangsa di negara yang kita cintai ini, Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka juga menganjurkan pelbagai aktiviti. Setiap bulan Oktober dijadikan bulan bahasa kebangsaan. Pelbagai program dilancarkan yang melibatkan pelbagai kaum turut serta. Program 1 Malaysia yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyeru kita supaya berkongsi sebuah negara dan satu bahasa supaya pembentukan perpaduan bangsa Malaysia akan tercapai. 1 Malaysia berperanan menyemarakkan dan meningkatkan lagi semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia tanpa meminggirkan kaum yang lain.
BIBLIOGRAFI
Asmah Hj. Omar, (1978). Perancangan Bahasa Dengan Rujukan Kepada Perancangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Asmah Hj.Omar, (1988). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim. (2004). Bahasa Melayu Sedekad Lalu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Bahasa. (2008). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Hussein. (1966). Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rujukan lain:
http.//semanggol.com.
http.//www.tranungkite.net
http.//gurubashid.com
http.//www.prihatin.net
Wikipedia Bahasa Melayu,ensiklopedia bebas

3 comments:

  1. assalam cikgu . saya ingin memohon kebenaran untuk ambil sedikit isi daripada entry cikgu untuk karangan saya . tq

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum cikgu.. ingin memohon kebenaran drp cikgu utk petik sedik isi drp entry cikgu.. tq..

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum,cikgu.saya ingin memohon kebenaran untuk mengambil sedikit isi utk rujukan tugasan saya.terima kasih...

    ReplyDelete