Monday, 9 July 2012

BAHASA MELAYU SEBAGAI WAHANA PEMBINAAN JATI DIRI DAN NEGARA BANGSA MALAYSIA-Sabariah Sulaiman[diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Slogan "Bahasa Jiwa Bangsa’ seakan sebati apabila perbincangan berkisar tentang isu-isu bahasa diketengahkan oleh pelbagai pihak. Pernyataan ini merujuk kepada identiti pengenalan sesuatu bangsa adalah dilihat menerusi bahasa yang dituturkannya. Namun persoalannya ialah adakah pernyataan ini masih relevan dalam masyarakat majmuk bangsa Malaysia kini? Setelah lebih 50 tahun kemerdekaan negara, usaha-usaha seharusnya berfokus kepada agenda pemantapan bahasa Melayu dalam semua aspek kehidupan bukan lagi sekadar berbangga dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi semata-mata. Justeru kertas kerja ini akan membincangkan tentang fungsi Bahasa Melayu dalam pembinaan jati diri dan negara bangsa Malaysia menerusi kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan negara. Aspek perbincangan adalah merangkumi konsep jati diri, pembinaan negara bangsa Malaysia dan fungsi bahasa Melayu sebagai asas pembinaan tamadun Malaysia. Fungsi bahasa Melayu dari aspek komunikasi yang disenaraikan dalam perbincangan ini ialah kedudukannya sebagai bahasa komunikasi ilmu pengetahuan dan bahasa komunikasi antara kaum. Tidak ketinggalan kertas kerja ini turut mengupas beberapa cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu dalam melestari fungsi tersebut serta beberapa cadangan penyelesaiannya. Di antara cabaran yang dikenal pasti ialah peminggiran bahasa Melayu dalam sektor korporat, swasta serta dalam bidang sains dan teknologi maklumat. Cabaran lain ialah pelabelan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan bukan bahasa kemajuan, masalah "Budaya Berbahasa Melayu" yang masih kurang dipraktikkan dan pengaruh bahasa Inggeris yang semakin berleluasa.
PENDAHULUAN
Bahasa adalah salah satu unsur yang memartabatkan manusia lebih tinggi daripada haiwan. Bahasa juga adalah pancaran akal atau fikiran. Oleh itu bahasa mempunyai pertalian yang erat dengan fikiran. Bahasalah yang memungkinkan sesuatu pencapaian dalam kebudayaan dapat diwariskan daripada satu generasi kepada satu generasi, baik melalui pendidikan atau persuratan. Sebagai alat perhubungan yang berkesan, bahasa sebenarnya adalah suatu sistem (Awang Sariyan 1984).
Bahasa dan budaya merupakan asas kekuatan rohaniah dan jasmaniah sesuatu bangsa dan sesebuah tamadun. Dalam konteks negara Malaysia, bahasa Melayu adalah jiwa kepada bangsa Melayu yang kini berkembang menjadi kekuatan dan kesatuan bangsa Malaysia. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa bagi bangsa Malaysia. Dengan lain perkataan bahasa Melayu adalah bahasa negara Malaysia. A. Aziz (2000) dalam membincangkan perkara ini menyatakan pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu bukan lagi setakat alat komunikasi semata-mata tetapi harus seiring dengan meluasnya penggunaan bahasa itu dalam pelbagai arena ilmu, baik yang berasaskan sains dan teknologi mahupun yang berteraskan manusia dan kemanusiaan. Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu pengetahuan, media, falsafah, kesusasteraan dan saluran fikiran bangsa sehingga menjadi sebahagian penting daripada bahasa dan persuratan dunia.
Kertas kerja ini akan membincangkan tentang fungsi Bahasa Melayu dalam konteks pembinaan jati diri dan negara bangsa Malaysia. Bahagian pertama kertas kerja ini menumpukan kepada konsep jati diri diikuti dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam bahagian kedua. Bahagian ketiga pula membincangkan tentang fungsi bahasa Melayu dalam membina jati diri dan negara bangsa Malaysia. Dalam bahagian akhir kertas kerja ini akan dikemukakan tentang cabaran yang dihadapi bahasa Melayu dalam merealisasikan fungsinya sebagai agen pembina jati diri dan negara bangsa Malaysia serta beberapa cadangan penyelesaiannya.
Konsep jati diri
Konsep jati diri merujuk kepada keperibadian, atau sahsiah atau pengenalan kepada diri. Justeru jati diri merujuk kepada inti pati diri seseorang yang berkait rapat dengan konsep-konsep penghayatan nilai, sudut pandangan dan pemikiran, sikap, gaya hidup dan pegangan prinsip (Hamidah 2001).
Menyentuh perkara yang sama, Muhamed Fauzi Othman dan Mohd. Azhar Abd. Hamid (2002) merumuskan bahawa jati diri merupakan asas dalam pembentukan sahsiah dan tingkah laku serta pembawaan diri seseorang yang berkait rapat dengan imej diri, harga diri, penghargaan diri dan identiti. Sehubungan itu maksud jati diri yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah merujuk kepada keperibadian, prinsip, penghayatan dan persepsi warga Malaysia dalam memartabatkan bahasa Melayu dan rasa bangga serta kebersamaan menerusi penggunaan bahasa Melayu walaupun berbeza bangsa, agama dan warna kulit.
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan
Penentuan satu bahasa kebangsaan bagi sesebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa amat penting diputuskan kerana ia berkait rapat dengan aspek nasionalisme, perpaduan bangsa, jati diri negara dan juga masalah pragmatisme iaitu masalah peranan bahasa itu sebagai alat pembangunan negara. Dalam konteks negara Malaysia, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa rasmi negara yang merdeka selepas tahun 1957 berdasarkan faktor sejarah dan politik negara. Usaha ini juga dibuat bagi memartabatkan bahasa kebangsaan yang diharap akan berfungsi sebagai bahasa komunikasi utama dalam masyarakat pelbagai kaum dan bahasa, di samping menjadi pengenalan sesuatu bangsa dan negara.
Dengan kepelbagaian bangsa di Malaysia, usaha-usaha untuk melahirkan satu kelompok masyarakat yang menjiwai semangat kemalaysiaan menjadi agenda utama sejak negara mencapai kemerdekaannya lagi. Kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia menjadikannya mempunyai fungsi yang unggul dan tersendiri dalam konteks pembinaan jati diri warga dan negara bangsa Malaysia. Merujuk kepada istilah bahasa kebangsaan, ia membawa maksud Bahasa Melayu hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen (Mohamad Idris Saleh, Che Su Mustaffa dan Fuziah Shaffie 1994). Namun demikian ia tertakluk kepada syarat bahawa:
1. Tiada sesiapa pun yang boleh dilarang daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud yang lain daripada maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain.
2. Hak Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk mengekalkan dan mengamalkan penggunaan dan pembelajaran bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan ini tidak disentuh.
Pada peringkat awal pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sesetengah golongan berasa khuatir dasar itu boleh memusnahkan bahasa, budaya dan kepentingan pendidikan kaum-kaum bukan Melayu dan boleh memundurkan negara ini. Namun setelah lebih 50 tahun kemerdekaan negara, ternyata bahasa-bahasa lain tidak termusnah kerana dasar bahasa itu membenarkan bahasa-bahasa lain digunakan dengan bebas dalam semua bidang kecuali untuk "maksud rasmi" kerajaan. Contohnya bahasa Inggeris lebih mendapat tempat dalam sektor korporat dan swasta berbanding dengan bahasa Melayu. Begitu juga keadaannya dengan penggunaan bahasa Inggeris di pusat pengajian tinggi swasta. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya di sekolah kebangsaan dan di institusi pengajian tinggi awam tidak menjejaskan nasib pendidikan kaum-kaum bukan Bumiputra malahan jauh sekali daripada membantutkan kemajuan negara.
Pembinaan Negara Bangsa Malaysia
Negara bangsa ialah satu konsep atau bentuk kenegaraan yang memperoleh pengesahan politiknya dengan menjadi sebuah entiti berdaulat bagi satu-satu bangsa sebagai sebuah (unit) wilayah yang berdaulat. "Negara" (negeri) ialah entiti politik dan geopolitik, manakala "bangsa" ialah entiti budaya dan/atau etnik. Istilah "negara bangsa" menandakan bahawa kedua-duanya (negara dan bangsa) sebagai sama, dan ini membezakannya dengan bentuk kenegaraan yang lain, yang telah wujud sebelumnya. Jika berjaya dilaksanakan, ia menandakan bahawa rakyatnya berkongsi satu bahasa, budaya dan nilai yang bukan merupakan ciri-ciri negara yang telah wujud sebelumnya. Sebuah dunia dengan negara-negara bangsa juga akan melaksanakan tuntutan terhadap penentuan nasib sendiri dan autonomi bagi setiap bangsa yang menjadi fokus utama fahaman nasionalisme (http://rmf7.wordpress.com/2010/01/06/pembinaan-negara-bangsa/).
Konsep negara bangsa ini hanya dapat dijayakan apabila pihak kerajaan mempunyai acuan sendiri sebagai petunjuk untuk dijadikan asas kepada pembinaan negara bangsa tersebut. Terdapat beberapa pihak yang merumuskan bahawa di antara aspek yang terpenting di dalam membina negara bangsa Malaysia ialah memperkasakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, memantapkan perpaduan dan integrasi nasional, memupuk rasa kecintaan terhadap sejarah negara, kesenian, warisan dan budaya bangsa serta membina jati diri, semangat nasionalisme di dalam diri setiap individu warganegara
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, sistem pendidikan di Malaysia juga perlu berperanan di dalam memberikan kefahaman tentang latar belakang, proses dan perkembangan negara supaya nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya dapat dihayati dengan sepenuhnya. Sehubungan itu satu kelompok masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai moral dan keperibadian yang tinggi serta berpegang teguh kepada nilai-nilai amalan agama yang dianuti tanpa mengira bangsa akan dapat dibentuk dengan lebih berkesan. Konsep negara bangsa ini juga akan membentuk masyarakat supaya mempunyai keyakinan yang teguh terhadap kemampuan dan kebolehan diri sendiri bagi menghadapi pelbagai masalah dan cabaran yang bakal ditempuhi.
Bagi membina negara bangsa ini, nilai-nilai kenegaraan yang tinggi perlu disemai di dalam setiap sanubari rakyat Malaysia tanpa mengira kaum bagi memperjuangkan keamanan dan mencapai matlamat Wawasan 2020 sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju. Oleh itu semua pihak seharusnya memainkan peranan secara konsisten bagi memastikan pembentukan negara bangsa tercapai dan menuju ke arah negara maju.
Fungsi Bahasa Melayu sebagai Asas Pembinaan Jati Diri dan Tamadun Bangsa Malaysia
Menurut A. Aziz (2000) bahasa merupakan wahana pengucapan kebudayaan tinggi sesebuah peradaban bangsa. Justeru bahasa merupakan tunjang utama yang dapat mendukung jati diri sesuatu bangsa. Dalam pembangunan dan pembinaan negara bangsa, bahasa memainkan peranan yang tersendiri melalui kebudayaan tinggi yang akhirnya menuju peradaban bangsa yang tertinggi. Oleh itu, apabila memperkatakan bahasa Melayu dalam konteks yang berkaitan dengan pembinaan negara bangsa, kita sebenarnya memperkatakan hubungan erat antara bahasa Melayu dengan peradaban atau tamadun baru Malaysia. Peradaban dalam konteks yang cukup luas tidak ditegakkan semata-mata atas pembangunan fizikal tetapi ia ditegakkan juga menerusi pembangunan dalaman diri manusia, minda dan spiritualisme manusia.
Dalam perkembangan dan keperluan baru untuk membina tamadun bangsa Malaysia, bahasa Melayu memiliki sekurang-kurangnya dua tugas penting iaitu (A. Aziz 2000):
i. Pengukuhannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi yang mempunyai nilai ekonomi dan bahasa perpaduan bangsa. Usaha menegakkan perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan seperti di Malaysia, sesuai dengan prinsip demokrasi dan peruntukan Perlembagaan namun tidaklah sampai menghalang penggunaan bahasa kaum atau dialek masing-masing.
ii. Tanggungjawab membina dan mengembangkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dengan mengatur langkah mula- mula di kawasan sendiri iaitu di Asia Tenggara.
Fungsi bahasa Melayu dalam pembinaan tamadun menerusi aspek komunikasi dapat direalisasikan menerusi pelaksanaannya dalam beberapa aspek berikut:
i. Bahasa komunikasi ilmu pengetahuan
Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa adalah alat komunikasi utama manusia yang menjadi asas pembinaan sesebuah tamadun. Tamadun menjadi kekal dan bertahan melalui tradisi ilmu.
Peradaban seharusnya ditegakkan atas gabungan pembangunan fizikal dan spiritualisme manusia. Ada berbagai-bagai peranan
yang dapat dimainkan oleh Bahasa Melayu tinggi dalam pembinaan negara bangsa. Antaranya, bahasa Melayu harus memainkan peranan sebagai bahasa komunikasi ilmu pengetahuan yang tinggi. Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu harus mengungkap tahap epistemologi ilmu pengetahuan yang sedang berkembang.
Pembinaan bahasa tentulah melalui amalan dan menumbuhkan rasa cinta, rasa bangga dan rasa megah bahasa yang sesungguhnya (A. Aziz 2000).
Sehubungan itu, bahasa Melayu perlu dimantapkan penggunaannya agar mencapai matlamat sebagai bahasa komunikasi dalam semua bidang ilmu pengetahuan. Justeru pemantapan dalam penggunaannya bahasa Melayu perlu diusahakan di dalam bidang pentadbiran, ekonomi, perubatan, perundangan, sains dan teknologi. Persepsi yang menyempitkan skop bahasa Melayu adalah lebih menjurus kepada hal ehwal budaya, bahasa dan sastera sahaja perlu dihakis dari pemikiran warga Malaysia.
ii. Bahasa komunikasi antara kaum
Pengukuhan budaya berbahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara harus
dipergiatkan dalam proses pembinaan bangsa dan negara bangsa Malaysia.
Bahasa Melayu harus berupaya menggambarkan fikiran, kreativiti dan aktiviti besar bangsa. Oleh itu bahasa Melayu hendaklah berupaya mengungkap keseluruhan peranannya dalam semua bidang dan cara hidup bangsanya yang meliputi akal fikiran dan daya ciptaan dalam tuntutan kemasyarakatan atau persekitaran dengan segala keperluan termasuk politik, ekonomi dan sosial. Bahasa Melayu sepatutnya menonjolkan fikiran bangsanya dalam bidang pencapaian ilmu pengetahuan tinggi, kesusasteraan, falsafah dan mampu menjadi perantara yang membina lambang atau imej yang menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan dan warisan tamadunnya termasuk aspek kebendaan tamadunnya. Menurut Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei, Dr. Mataim Bakar (2010):
"Bahasa Melayu juga berperanan sebagai alat pendidikan, pengajaran dan pemahaman mengandungi aspek kesedaran, keinsafan dan keprihatinan"(http://www.brunet.bn/news/pelita/06feb/berita26.htm).
Bahasa Melayu sebagaimana bahasa dunia lainnya memainkan peranan sebagai perantara komunikasi dan penyampaian maklumat. Malahan lebih daripada itu, peranannya amat ketara dalam membangunkan negara bangsa. Fungsinya sebagai bahasa rasmi dalam pembangunan tamadun bangsa amat jelas sekali sebagai wahana komunikasi kerana bahasa tidak sekadar membicarakan aspek linguistik membabitkan soal tatabahasa, nada sebutan, gaya bahasa dan ejaan, malah mengungkapkan mengenai pemikiran, idealisme, gagasan minda, nilai, budaya dan moral.
Cabaran yang dihadapi oleh Bahasa Melayu sebagai wahana pemangkin jati diri dan negara bangsa Malaysia
Umumnya ramai yang beranggapan isu bahasa adalah isu remeh dan tidak berfaedah untuk diperbahaskan terutama dalam zaman globalisasi ini. Namun terpulanglah kepada setiap individu untuk memberi tanggapan sejauh mana
Hassan Ahmad (1996) menggariskan empat cabaran dalam pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan ialah cabaran dari bahasa Inggeris, keadaan kepelbagaian dan keragaman bahasa di Malaysia yang semakin kompleks, budaya berbahasa Melayu di kalangan orang Melayu yang semakin berubah dan tidak ada golongan pengguna teladan dari kalangan orang yang ternama sebagai contoh ikutan. Abdul Ghani Othman (2000) pula membahagikan cabaran yang dihadapi oleh Bahasa Melayu kepada cabaran dalaman dan luaran. Cabaran dalaman bermaksud cabaran persepsi terhadap maksud kuantiti dan kualiti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Cabaran luaran pula merujuk kepada kedwibahasaan iaitu persaingan dengan bahasa Inggeris, hambatan pelaksanaan dasar bahasa dan globalisasi.
Dapat dirumuskan bahawa di antara cabaran yang mendepani kefungsian Bahasa Melayu ialah:
i. Peminggiran bahasa Melayu dalam sektor korporat dan swasta
Peminggiran bahasa Melayu dalam sektor korporat akan membawa masalah lebih besar iaitu peminggiran bahasa Melayu sebagai teras utama dalam pembudayaan kebangsaan secara tidak langsung. Kalangan pengurus syarikat atau pentadbir korporat harus memastikan penggunaan bahasa Melayu setanding dengan bahasa Inggeris. Tanpa perasaan bangga terhadap bahasa ibunda maka selagi itulah impian untuk melihat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan ekonomi tidak akan berjaya.
Sehubungan itu barisan kepimpinan korporat perlu memainkan peranan utama sebagai pencetus budaya dan keyakinan baru dalam membangun dan mengembangkan bahasa di negara ini dengan memainkan peranan yang lebih proaktif. Dalam memacu perkembangan ekonomi, adalah diakui bahawa peranan sektor swasta khususnya badan-badan korporat yang utuh dan berdaya saing sentiasa menjadi peneraju utama dalam mempelbagaikan ekonomi negara. Justeru sektor ini perlu juga memikirkan hal berkaitan jati diri dan pemartabatan bahasa di samping memastikan faktor pasaran dan keuntungan agar bahasa Melayu mendapat tempat yang sewajarnya dalam semua urusan yang dikendalikan terutama dalam kalangan sesama warga Malaysia.
Menurut Mohamad Daud Mohamad (2009), secara teoretikalnya bahasa Melayu telah mencapai sasarannya sebagai bahasa kebangsaan. Namun setelah sekian lama melewati kemerdekaan negara, perbincangan seharusnya berfokus kepada usaha-usaha memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama atau lebih tepat lagi sebagai bahasa kebangsaan negara ini. Dalam tempoh usia
ii. Peminggiran bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi maklumat
Bahasa Melayu mengalami kesukaran untuk bergerak seiring jalan dengan perkembangan sains dan teknologi masa kini kerana didominasi oleh bahasa Inggeris yang telah sebati dengan bidang tersebut. Mohamad Daud (2009) menyatakan:
"Dalam kita mengalami ledakan teknologi maklumat dan pasca modenisme yang melibatkan pengaliran sistem maklumat tanpa sempadan atau dengan kewujudan maya siber, kita seolah-olah lupa dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sewajarnya berfungsi sebagai bahasa pengantar dan bahasa komunikasi. Fungsi bahasa Melayu seakan-akan terabai apabila kita memperkatakan perihal Bandar siber yang menjadi impian kita (http://dinakan.tripod.com/karya/karya32.htm).
iii. Pelabelan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan bukan bahasa kemajuan
Terdapat kecenderungan sesetengah pihak yang memberikan peranan atau taraf yang berbeza kepada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam proses pembangunan negara. Bahasa Inggeris dianggap sebagai "bahasa kemajuan", yang meliputi bidang ekonomi, perusahaan dan teknologi, manakala peranan bahasa Melayu dianggap penting hanya sebagai "bahasa perpaduan" dan "bahasa rasmi" negara.
Dalam memperkatakan perkara ini, Rustam A. Sani (1993) menyatakan bahawa bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan negara adalah dipengaruhi oleh sejarah perjuangan kemerdekaan yang telah dipelopori oleh gerakan nasionalisme Melayu. Namun cabaran yang paling berat dan masih belum terlaksana sepenuhnya ialah tugas untuk memperkembangkan bahasa itu menjadi bahasa ilmu dan bahasa budaya yang moden dan saintifik. Justeru di bahu semua warga Malaysia untuk memperkembangkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan moden yang dapat mendukung pengucapan struktur pemikiran moden.
iv. Masalah "Budaya Berbahasa Melayu" yang masih kurang dipraktikkan dalam komunikasi antarabangsa
Ekoran daripada tahap penggunaan bahasa Melayu yang masih kurang, kerajaan telah melancarkan gerakan "Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita" dalam tahun 1987. Selain masalah terpinggirnya Bahasa Melayu dalam sektor swasta, masalah "pencemaran bahasa" atau salah guna bahasa dan penggunaan Bahasa
Jika ditinjau pada peringkat penggunaan sehari-hari dalam kegiatan para profesional dan golongan terpelajar masyarakat kita dalam ilmu-ilmu moden, ternyata bahawa bahasa kebangsaan masih belum mencapai kedudukan dan peranannya secara jitu (Rustam A. Sani. 1993).
Menurut Hassan Ahmad (1996) amalan bahasa campur baur yang semakin merebak ini berlaku kerana penutur dwibahasa Melayu-Inggeris tidak menguasai kedua-dua bahasa dengan baik. Justeru cara yang paling mudah ialah dengan menggunakan bahasa campur baur itu.
v. Pengaruh bahasa Inggeris yang kian meningkat
Kedudukan bahasa Inggeris sebagai alat pengantar pendidikan tinggi di dalam negeri ini semakin dipupuk dan semakin penting setelah bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar dalam "kursus-kursus sains dan teknologi tertentu" di Institusi Pengajian Tinggi Awam, dan juga setelah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Dasar ini sudah tentu akan menyaingi dan menggugat, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Persoalan yang timbul, apakah gunanya sistem pendidikan kebangsaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya jika dalam dunia pekerjaan, perusahaan dan kegiatan ekonomi di dalam negeri ini, bahasa ini tidak dihargai dan tidak digunakan dengan berkesan?
Dalam menggambarkan keadaan ini, Md. Salleh (2000) menyatakan penggunaan bahasa Inggeris yang begitu meluas dengan sendirinya meminggirkan dan mencabar kedudukan serta potensi bahasa kebangsaan. Penggunaan bahasa Inggeris yang meluas ini turut menyuburkan beberapa nilai asing kerana pengucapan bahasa Inggeris itu sendiri merupakan pengucapan budaya Inggeris atau Barat. Di Malaysia, bahasa Melayu seolah-olah terhimpit di negeri sendiri, hilang martabat dan wibawa, tidak bernilai dan tidak mempunyai peluang yang cukup untuk berkembang.
Pernyataan ini tidak bermakna bahasa Inggeris tidak perlu dipelajari tetapi ia lebih menjurus kepada maksud tidak sampai ke tahap mengagungkan bahasa Inggeris dan menganaktirikan bahasa Melayu. Kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu pengetahuan tidak dapat disangkal malahan menerusi penguasaannya pelbagai ilmu dapat dikutip menerusi buku-buku yang ditulis dalam bahasa tersebut.
Melestarikan fungsi bahasa Melayu sebagai pembina jati diri dan negara bangsa Malaysia
Peranan bahasa dalam pembinaan negara dengan pengertian bahasa sebagai alat pemersatu rakyat dan bahasa sebagai wahana komunikasi umum dan khusus
Pelbagai usaha perlu terus digiatkan ke arah memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dalam mendepani perubahan zaman yang semakin mencabar khususnya dari tahap penghayatan dan patriotisme penutur bahasa terhadap bahasa ibunda. Kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa pendidikan tinggi, bahasa kemajuan negara dan perpaduan boleh dikekalkan menerusi beberapa cadangan berikut:
i. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara hendaklah dilaksanakan dengan tegas dalam semua bidang.
ii. Menyemai pemikiran baru dengan melihat bahasa Melayu dari perspektif yang berbeza iaitu sebagai bahasa kemajuan negara dan bukan lagi sekadar bahasa perpaduan.
iii. Menerapkan kefahaman yang jelas tentang tujuan belajar Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Peranan dan kepentingan bahasa kedua tidak boleh disamakan dengan bahasa pertama sebagai alat pembangunan negara dan pembentuk jati diri bangsa.
iv. Usaha memupuk penggunaan bahasa Melayu di dalam sektor swasta dan korporat perlu diperluaskan dari semasa ke semasa.
v. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu lebih proaktif dan agresif dalam mengurus dan merancang serta menyedarkan masyarakat Malaysia tentang kepentingan menghargai bahasa Melayu sebagai lambing kedaulatan negara.
Menurut Awang Sariyan (1984), pembinaan atau perancangan perlu dilaksanakan bagi memungkinkan bahasa kebangsaan itu dapat berfungsi sebagai bahasa perantaraan bagi sektor pentadbiran, pengurusan, kehakiman, perdagangan dan sains. Untuk memenuhi fungsinya sebagai sarana pembinaan negara, bahasa Melayu memerlukan perancangan yang sistematis dan rasional, baik daripada sudut taraf mahupun korpusnya. Kebudayaan sebagai penjelmaan keseluruhan cara hidup anggota sesebuah masyarakat juga mempunyai hubungan yang rapat dengan bahasa. Malah kehidupan bermasyarakat yang melahirkan kebudayaan itu sendiri tidak akan mungkin wujud tanpa sebuah bahasa yang menjadi alat perhubungan simbolik antara para anggotanya.
PENUTUP
Usaha dalam bidang pendidikan sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun institusi pengajian tinggi harus diteruskan bagi melahirkan warganegara yang mempunyai tahap kesedaran diri yang tinggi untuk mendaulat dan memartabatkan bahasa Melayu dalam semua aspek kehidupan seharian.
bahasa kebangsaan memainkan peranan yang penting dalam membentuk jati diri warga Malaysia. Keyakinan dengan kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang berwibawa dalam semua bidang perlu disemai dalam diri setiap warga Malaysia. Bahasa Melayu telah membuktikan kehebatannya apabila pernah muncul sebagai lingua franca yang digunakan oleh pelbagai bangsa satu ketika dahulu terutama dalam urusan perdagangan. yang telah matang, bahasa Melayu sepatutnya mengalami zaman pengisiannya sebagai satu bahasa yang maju, yang mampu mengungkap pelbagai bidang ilmu, setanding dengan bahasa-bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Cina. Oleh itu soal-soal yang berkaitan dengan pembinaan bahasa Melayu sepatutnya telah lama selesai dan bukan lagi menjadi agenda pengembangan bahasa kebangsaan di negara ini. Melayu yang bercampur-baur dengan bahasa Inggeris berlaku secara berleluasa dalam masyarakat sama ada di dalam siaran televisyen, radio, dan di pelbagai tempat serta situasi. sentiasa relevan dan perlu terus diperjuangkan. Oleh itu perjuangan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan perlu diteruskan dengan strategi yang harus disesuaikan menurut keadaan dan keperluan semasa (Abdul Rahim 2000).
Memetik pandangan A. Aziz (2000) sistem pendidikan di Malaysia seharusnya benar-benar mampu dan pragmatik dalam melahirkan generasi yang memiliki nilai rohani dan moral yang positif di samping bertanggungjawab, berdaya cipta, mudah lentuk diri serta berupaya memberi sumbangan yang berkesan kepada pembangunan negara. Nilai keagamaan dan kebudayaan hendaklah diprogramkan serentak dengan kebijaksanaan menentukan corak dan kelompok khalayaknya.
Bahasa Melayu mempunyai peranan besar dalam membina jati diri dan negara bangsa Malaysia menerusi penggunaannya dengan iltizam yang tinggi dari semua warga Malaysia. Kesedaran ini perlu dihayati sepenuhnya oleh semua kaum di Malaysia ke arah usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Negara.
BIBLIOGRAFI
Aziz Deraman. (2000). Tamadun Melayu dan Pembinaan Negara Bangsa Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Ghani Othman. (2000). "Politik Bahasa atau Bahasa Politik" dlm. Jurnal Dewan Bahasa, 44: 6 hlm. 626-634.
Abdul Rahim Abu Bakar. (2000). Bangsa Jiwa Bahasa: Perspektif Politik dan Pejuang Bahasa" dlm. Jurnal Dewan Bahasa, 44: 6 hlm. 635-640.
Awang Sariyan. (1984). Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sd. Bhd.
Dato Paduka Awang Haji Alidin. (2010). Bahasa wahana komunikasi membangun negara bangsa. http://www.brunet.bn/news/pelita/06feb/ berita26.htm Diakses pada 15 Februari 2010.
Hamidah Abd. Rahman. (2001). Kajian Keberkesanan Mata Pelajaran Umum Universiti dari Aspek Jati Diri dan Kepekaan Globalisasi
di Kalangan Pelajar TM. Universiti Teknologi Malaysia Skudai: Jabatan Pembangunan Sumber Manusia.
Hassan Ahmad. (1996). "Taraf Bahasa Melayu selepas 40 tahun" dlm. Asraf (ed.) Manifesto Budaya Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Lingustik Malaysia.
http://rmf7.wordpress.com/2010/01/06/pembinaan-negara-bangsa/ Diakses pada 16 Februari 2010. Diakses pada 11 Februari 2010.
Md. Salleh Yapar. (2000). Pemikiran Bahasa dan Sosiobudaya Melayu: Pengukuhan Jati Diri dalam Era Globalisasi. dlm. Jurnal Dewan Bahasa, 44: 9 hlm. 914-917.
Mohamad Idris Saleh, Che Su Mustaffa dan Fuziah Shaffie. (1994). Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara. Kuala Lumpur: Utusan
Mohammad Redzuan Othman dll. (2006). Sejarah Pembinaan Negara Bangsa. Penerbit Universiti Malaya: Kuala Lumpur.
Mohamad Daud Mohamad. (2010). Memperteguh keyakinan terhadap bahasa kebangsaan. Dlm. Pelita Bahasa 2/99. http://dinakan.tripod.com/ karya/karya32.htm Diakses pada 12 Februari 2010.
Muhamed Fauzi Othman dan Mohd. Azhar Abd. Hamid (2002). Prosiding Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing ke-2. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rohani Ab. Ghani dan Zulhilmi Paidi (ed.) (2002). Kenegaraan Malaysia Isu-isu dan perkembangan. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributors Sd. Bhd.
Rustam A. Sani. (1993). Politik dan Polemik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Publications & Distributors Sd. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment