Friday, 20 July 2012

RAGAM BAHASA DALAM NOVEL LENTERA MUSTIKA,KARYA NISAH HARON [disediakan oleh Rozali Rajab]

BAHAGIAN 7; RAGAM BAHASA DALAM NOVEL LENTERA MUSTIKA,KARYA NISAH HARON
        i.       Bahasa Mengejek

          Bahasa yang mengatakan seseorang atau sesuatu kumpulan dengan perkataan yang tepat tetapi dengan gaya yang mengajukkan keburukannya serta mempermain-mainkannya supaya nampak bodoh dan sia-sia atau supaya orang yang mendengar mentertawakannya. Kata-kata itu akan menimbulkan rasa marah orang ditujukan itu. Ia kadang-kadang dikatakan dengan sindiran atau giatan ( Raminah Hj Sabran dan Rahim Syam 1985;  305). Secara keseluruhannya bahasa yang digunakan untuk mengata atau mengejek seseorang atau kumpulan dengan penggunaan kata yang memperlihatkan keburukan. Kata tersebut boleh menerbitkan rasa marah kepada mereka yang berkenaan. Contoh ungkapan ragam bahasa ini ialah;
a)      “Hai, inikah rupanya yang dikatakan kawan baik baik!”
b)      Setengah-setengah orang yang pergi ke Eropah bukan dengan tujuan  yang ikhlas, hendak belajar bersungguh-sungguh---hanya hendak mencri mem dan tuan saja! Panjang sejekal jangan nak duga lautan dalam.
c)      Cerminlah betul-betul muka tu dulu. Ukur baju di badan sendiri. Kalau kail panjang sejengkal jangan nak duga lautan dalam.
                                                  
      ii.       Bahasa Terbalik

          Perkatan-perkataan yang mempunyai maksud yang berlawanan daripada apa yang dikatakan tetapi orang masih dapat memahaminya (Raminah Hj Sabran dan Rahim Syam 1985;305). Selain itu, bahasa terbalik juga boleh membawa maksud iaitu diski yang digunakan mempunyai maksud yang berlainan. Misalnya, ungkapan di bawah; 
a)      Ha, lain  kali buatlah bising lagi!
b)      Wah, paginya awak sampai! [sebenarnya sudah lewat]
c)      Hai, awal bangun,ayam pun tak masuk reban lagi.
d)     Makanlah jangan malu-malu. Kat dalam tu ada banyak lagi!


    iii.       Bahasa Merajuk
          Seakan-akan sama dengan bahasa terbalik tetapi maksudnya tidaklah terbalik,     hanya     menunjukkan      perasaan     menarik     diri      atau      kecil     hati. Oleh sebab  sesuatu perbuatan yang dirasakan menhina dan tidak patut dilakukan. Hal ini dapat dilihat dalam contoh berikut ;
a)      Hai, kita ni melukut di tepi gantang,masuk tak menambah,keluar tak meluak.
b)      Apalah ada pada saya,rupa buruk harta pun tiada.
c)      “Macam muka aku ni siapa yang hendak,Din…”
“Muka macam buah kelapa tua,”
                                        
    iv.       Bahasa Tempelak
          Raminah Hj Sabran dan Rahim Syam (1985;306) menjelaskan bahasa tempelak ialah perkataan-perkataan yang tepat menunjukkan kesalahan seseorang setelah ia melakukannya, supaya ia sedar akan tafsirannya yang salah pada masa akan datang. Contoh ungkapan yang tergolong dalam konteks ini seperti dalam contoh;
a)      Kau kata dulu kau boleh buat! Sekarang apa dah jadi?
b)      Inikah budaknya yang kau katakana rajin, pandai, elok dulu? 
c)      “You pula sengaja ambil kesempatan berhubungan dengan I. Tak begitu?”
d)     “Jika kumpulan teater itu buruk, nyatakan apa yang baik kumpulan anak-anak muda itu lakukan ha? Berapa banyak mereka sumbangkan wang untuk mangsa-mangsa banjir dapat membantu pelarian Palestin itu. Katakan?”

      v.       Bahasa Herdik

          Pada asasnya bahasa herdik seakan-akan sama dengan bahasa tempelak tetapi tujuan untuk menunjukkan kesalahan pada masa itu juga bukannya pada masa yang telah lalu. Kelazimannya, perkataan-perkataan yang digunakan adalah kasar dan mengandungi ejekan. Ringkasnya bahasa ini bunyinya seakan-akan bahasa tempelak tetapi nadanya agak lebih keras. Misalnya, dalam ungkapan di   bawah;
a)      Kalau tak mahu tolong buat kerja,jangan tinggal di sini!
b)      Macam muka kau ni nak jadi ketua? Sudahlah!
c)      “Habis! Muka kita ni nak disorok di mana ha?!”

    vi.       Bahasa Melampau

          Bahasa melampau atau bahasa besar mempunyai pengertian dan maksudnya yang sama iaitu bahasa yang mengatakan sesuatu perkara itu secara berlebih-lebihan, melebihi apa yang sepatutnya hingga kadang-kadang sukar diterima akal (Raminah Hj Sabran dan Rahim Syam 1985; 307). Ungkapan yang boleh dijadikan contoh iaitu;
a)      Ratap tangisnya meruntuhkan dunia.
b)      Manis tak terkira seperti lautan air madu.
c)      Cantiknya dia tu, tak ada tandingnya di dalam dunia ini.
d)     “Mereka berpegangan sambil melihat anak-anak kecik berkejar-kejaran  di dalam air. Ah! Begitu mesra, bagai merpati sepasangan. Kebahagiaan membalut   jiwa Syaharuddin. Saat-saat begitu terasa bagaikan di syurga.”

  vii.       Bahasa Merendah

          Bahasa kecil mempunyai pengertian yang sama dengan bahasa merendah   iaitu yang mensifatkan sesuatu perkara itu kecil dengan tujuan umtuk merendahkan diri walaupun memang sebenarnya perkara itu kecil atau besar. Contoh ungkapan bahasa merendah iaitu;
a)      Inilah sedikit hadiah yang tidak sepertinya.
b)      Silakan ke teratak buruk hamba.
c)      Makanlah seadanya,inilah yang mampu dihidangkan.
d)     “Macam muka aku aku ini siapa yang hendak, Did….,”selar Rahmat. “Muka macam buah kelapa tua,”

viii.       Bahasa Naik

          Ragam bahasa yang menguatkan tujuan kata dengan membawakan ke hadapan hati pembaca,akan gambaran fikiran yang beransur-ansur naik dari dataran yang kendur kepada dataran yang semakin terik atau tegang, membawa pembaca atau pendengar selangkah demi selangkah sehingga sampai ke kemuncak, iaitu kepada apa yang hendak disebutkannya.(Raminah Hj Sabran dan Rahim Syam 1985; 307). Ringkasnya,diski yang mengungkapkan emotif dari kendur ke emotif tegang untuk menuju puncak makna  seperti dikesan dalam karya Rejab F.I iaitu:
a)      ‘Tanpa persoalan panjang, tanpa persediaan hebat dan tanpa kenduri yang meriah, tiga bulan kemudian perkahwunan mereka dilangsungkan.’
b)      Sudahlah sekolah kerajaan didirikan, gaji guru-guru kerajaan bayar,          buku-buku diberikan percuma,padang bola dan bola itu pun disediakan oleh kerajaan juga!
c)      Sesuatu bangsa yang maju tidak cukup hanya dengan pemimpin yang bijak dan bercita-cita tetapi memerlukan angkatan muda yang bukan saja cergas,tetapi juga bercita-cita.

    ix.       Bahasa Seruan atau Mengeluh

          Bahasa yang digunakan ini juga untuk menyatakan kekecewaan yang dialami atau dirasai. Namun begitu, bahasa seruan atau mengeluh tidak dapat diluahkan kesemua perasaan tersebut. Walau bagaimanapun orang yang mendengarnya memahami dan mengerti betapa berat kekecewaan dan penderitaan yang ditanggung seseorang. Secara analoginya, suatu cara untuk melahirkan suatu perasaan yang keras dengan cara mengeluh dan tidak menyebutkannya cukup-cukup dan penutur mengharapkan ucapannya itu difahami oleh pendengar atau pembaca. Contoh ungkapan yang menggambarkan bahasa seruan aatu mengeluh iaitu;
a.       “Ah! Sudahlah bang. Anak kita ni dah terlanjur. Kalau dibunuh matipun perkara tu tak boleh diubat,”
b.      Hai!Kalaulah ayahku masih hidup!
c.       Ah! Tak boleh kukenangkan masa yang lampau!
      x.       Bahasa Berulang
          Maksudnya bentuk bahasa yang mengulang sesuatu perkataan,ayat atau  rangkai kata dua, tiga kali untuk menguatkan maksud sesuatu yang hendak     ditekankan. Jadi, bahasa yang digunakan atau perkataan yang diulang-ulang. Hal ini demikian untuk menguatkan atau mengukuhkan maksud atau tujuan sesuatu kata itu. Contoh ungkapan yang terkandung dalam konteks ini seperti dalam contoh;
a.  Wang,wang,ya wang yang saya perlukan sekarang.
b. Bangkitlah , bangkitlah, singsinglah lengan,mulalah bekerja sekarang juga. Sekarang juga.
c.  “ Aku malu, Syahar! Aku malu! Mengapa kau bawa perempuan itu ke kampung kita ini ha? Kau tau apa orang-orang kampung mengata-ngata kita ha?

    xi.       Bahasa Bertimbal

          Menurut Raminah Hj Sabran dan Rahim Syam, ragaman bahasa yang menghadapkan     dua     fikiran     yang     pendek,      dekat-dekat     seolah-olah bertentangan, baik berlawanan dari segi isi sahaja atau betul-betul bertentangan. Biasa dipakai dalam segala jenis peribahasa. Contoh yang menggambarkan ungkapab tersebut ialah ;
a.  Alah membeli menang memakai.
b. Kendur berdenting-denting,tegang berjela-jela.
c.  Makin murah makin menawar.
d. Dekat tak tercapai, jauh tak berantara.
                                                  
  xii.       Bahasa Bukan  
          Bagi ragaman bahasa ini yang memakai kata “bukan” dahulu daripada sesuatu perkataan yang lain tetapi tujuannya adalah untuk menyatakan “ya”. Contoh yang melahirkan ungkapan ini iaitu;
a.       Bukan aku bodoh.
b.      Bukan main lagi.
c.       Bukan dia tidak tahu.
d.      “ Bukan begitu,Ham,”  

xiii.       Bahasa  Jenaka
           
         Bahasa jenaka merupakan satu jenis bahasa yang memakai satu perkataan dengan dua erti atau makna untuk tujuan berjenaka atau bergurau     (tetapi kadang-kadang ada juga yang bermaksud sungguh-sungguh). Jadi, ungkapan berjenaka ini menjadikan suasana atau persekitaran berasa seronok atau gembira apabila mendengar. Lihat contoh ungkapan di bawah iaitu;
a.       Babi mati,engkau makan tak?
b.      Setinggi-tinggi manusia berapa kaki?
c.       “ Muka macam buah kelapa tua,”
d.      “Macam mana Cikgu?Jambatan tu dah emak cikgu hulurkan. Hm! Apa nak ditunggu lagi, lalui sajalah cikgu!


                   Oleh yang demikian bahasa sastera bersifat seni dan memiliki nilai tertentu. Dalam konteks ini, penggunaan bahasa yang dilambangkan melalui diksi frasa dan ayat dalam wacana sastera mempunyai tafsiran yang pelbagai. Hal ini demikian kerana dalam karya sastera tidak hanya mengungkapkan sebagaimana yang diujarkan tetapi di dalamnya terdapat ‘lautan makna’ yang menggambarkan kekayaan dalam sesebuah karya kreatif imaginatif.

          Hal ini demikian kerana bahasa sastera yang digunakan dalam sesuatu teks sastera yang digunakan dalam sesuatu teks sastera memiliki keluasan makna, kepelbagaian tafsiran dan mengungkapkan pemerian makna selapis dan berlapis. Justeru, fungsi dan kedudukan bahasa dalam karya sastera sangat penting kerana tanpa bahasa, tidak terlahir makna yang ingin disampaikan oleh penulis. Justeru, fungsi bahasa amat penting dalam sastera bagi menghidupkan penceritaan. Sebab itulah apabila terdapatnya pelbagai ragam bahasa dalam sesuatu novel, menjadikan novel lebih bertenaga dan berimaginatif. 

[SAMBUNGAN BAHAGIAN 8;
                                                        BAB IV

                  ANALISIS   KAJIAN   RAGAM   BAHASA   DALAM    
                  NOVEL LENTERA MUSTIKA (LM)

.........................................................................................

No comments:

Post a Comment