Friday, 25 January 2013

Nur Kamaliah Bt Latif-Karangan faedah mengikuti program motivasi PMR

Peperiksaan Menengah Rendah merupakan salah satu peperiksaan penting yang perlu dihadapi oleh semua pelajar di peringkat sekolah menengah. Tidak kira latar belakang kita, semua pelajar ingin mendapat keputusan yang cemerlang bagi peperiksaan ini. Kebanyakan pelajar akan berasa tertekan apabila memikirkan peperiksaan seperti ini. Kita perlu ada strategi yang tepat bagi menyediakan diri kita untuk menghadapi peperiksaan ini. Salah satunya adalah dengan mengikuti program motivasi PMR.
Program motivasi PMR selalunya dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada pihak sekolah atau pihak swasta. Program ini dikendalikan oleh pakar-pakar motivasi yang berpengalaman luas. Matlamat program ini adalah untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar dan juga melahirkan pelajar-pelajar yang bersemangat tinggi untuk belajar.          
Program-program seperti ini banyak memberi faedah kepada pelajar. Antaranya, pelajar akan diajar cara mengurus masa dengan sistematik. Pengurusan masa yang sistematik adalah penting kerana masa itu emas. Masa yang telah digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan apa-apa faedah  tidak mungkin dapat dikembalikan.
Selain itu, pelajar juga akan diajar teknik belajar yang efektif. Hal ini akan memudahkan pelajar memahami sesuatu topik yang telah dipelajari dan juga membantu pelajar mendapat keputusan yang cemerlang. Pelajar yang menggunakan teknik pembelajaran yang salah hanya akan membazir masa dan tenaga.
Di samping itu, program ini akan melahirkan pelajar-pelajar yang bersemangat tinggi untuk belajar. Pelajar yang mempunyai semangat tinggi untuk belajar akan lebih berjaya daripada pelajar lain. Sifat ini bukan sahaja berguna semasa alam persekolahan malah berguna juga apabila pelajar-pelajar telah meninggalkan bangku persekolahan dan memasuki alam pekerjaan.  
Akhir sekali, faedah yang dapat diperoleh ialah pelajar dapat meluangkan masa lapang mereka dengan melakukan sesuatu aktiviti yang bermanfaat. Ramai pelajar yang hanya mementingkan hiburan dan akan memenuhkan masa lapang mereka berhibur sahaja seperti melepak di kompleks beli-belah.
Konklusinya, banyak faedah yang dapat kita perolehi jika mengikuti program motivasi PMR. Ibu bapa dan guru-guru haruslah memberi galakkan kepada para pelajar supaya menyertai program-program seperti ini. Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar sendiri haruslah merebut peluang untuk menyertainya supaya mereka dapat menjadi pelajar yang berkualiti dan mendapat keputusan yang cemerlang bukan sahaja bagi PMR malah untuk peperiksaan-periksaan lain yang akan dihadapi. 

1 comment: