Saturday 5 May 2012

BAHASA 1 MALAYSIA -oleh Mohd Yusuf b Hj Saud [diselenggarakan oleh Rozali Rajab ]

Abstrak. Dalam usaha Malaysia merealisasikan impian 1 Malaysia hasil gagasan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, seiring dengan kemajuan global yang diimpikan, Malaysia perlukan keseimbangan daripada kepelbagaian rakyatnya. Sebagai sebuah negara majmuk yang kaya identiti dalam acuan kaum seperti Melayu, Cina,India,Kadazan,Iban,Asli dan sebagainya yang penuh dengan adat resam, budaya, agama dan bahasa yang berbeza, konsep 1 Malaysia perlukan strategi, kaedah, pendekatan dan jambatan yang menyeluruh yang dapat menyatupadukan kesemua etnik ini. Justeru, kertas kerja ini akan membincangkan tentang konsep 1 Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita di samping menelusuri juga tentang konsep 1 bahasa dalam 1 Malaysia yang diyakini berupaya menjadi penghubung dan jambatan dalam perpaduan dan keharmonian negara bangsa. Dalam usaha ini juga, bahasa 1 Malaysia tersebut akan dijelaskan serba sedikit di samping beberapa cadangan yang mampu direalisasikan dalam menjadikan usaha 1 bahasa dalam 1 Malaysia ini menjadi kenyataan. Jelasnya, bahasa merupakan satu elemen utama yang dilihat dan diyakini mampu merealisasikan masyarakat majmuk Malaysia yang satu untuk menuju ke arah wawasan yang satu demi negara Malaysia yang berdaya saing seiring dengan negara-negara maju yang lain tanpa mencacat celakan keharmonian dan ukhuwah yang sedang,terus dan akan dibina dalam pelbagai kaum dalam 1 Malaysia. PENGENALAN. Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat, merdeka dan mempunyai penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Asli dan sebagainya. Kepelbagaian kaum ini mampu menjelmakan negara yang maju dan aman berdasarkan pelbagai elemen seperti perpaduan, kerjasama, toleransi, hormat-menghormati, sayang-menyayangi dan dalam kehidupan bersama yang muhibah. Justeru, pengekalan keharmonian dan pembangunan negara amat penting dalam memastikan usaha pembinaan negara bangsa Malaysia yang berterusan dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia. Justeru, bagaimana ini boleh dimantapkan ? Keupayaan membina negara bangsa amat penting dan banyak bergantung kepada perkongsian nilai, semangat patriotisme, kepercayaan dan sebagainya. Hal ini berpadanan dengan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu : “ …membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut .” ( Tun Dr Mahathir Mohamad Melangkah Ke Hadapan, 1991 ) Bahasa 1 Malaysia merupakan satu simbolik atau bermatlamatkan kepada pembinaan bangsa dan perpaduan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum di Malaysia. Selaras dengan seruan dan gagasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia , Dato Sri Mohd Najib Tun Razak , langkah ini bertepatan dengan suasana dan cita-cita dan cita rasa rakyat Malaysia. rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama di Malaysia perlu menganggap dan bertindak bahawa diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah satu matlamat yang sama. Sejajar dengan itu, perpaduan dan kerjasama yang sedia terjalin antara kaum dan agama di negara ini perlulah diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Objektif kajian ini antaranya ialah menjelaskan makna konsep 1 Malaysia serta menjelaskan tentang kepentingan bahasa 1 Malaysia dan mengemukakan beberapa cadangan tentang bagaimana bahasa dalam 1 Malaysia dapat direalisasikan. Kertas kerja ini tertumpu kepada penggunaan bahasa dalam gagasan atau konsep 1 Malaysia seperti yang diuar-uarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita iaitu Dato’ Sri Najib bin Tun Razak. Jelasnya analisa dan kajian media massa dan elektronik akan memainkan peranan di sini kerana konsep 1 Malaysia ini baharu sahaja diperkenalkan oleh Perdana Menteri. Konsep 1 Malaysia. Konsep 1 Malaysia telah diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Dato Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kita. Konsep 1 Malaysia merupakan satu wawasan untuk membawa dan membaiki hubungan pelbagai kaum dan agama di Malaysia ini agar lebih padu dan erat. Konsep 1 Malaysia juga berpaksikan kepada matlamat mewujudkan sebuah kerajaan yang berpaksi dan mengutamakan rakyat selaras dengan slogan Perdana menteri kita iaitu “ Rakyat Didahulukan, pencapaian Diutamakan ”. Perkara asas yang penting dalam 1 Malaysia ialah agar dapat mewujudkan semangat perpaduan, toleransi, saling sayang-menyayangi,kerjasama, keikhlasan , saling percaya mempercayai dan sebagainya yang berupaya memacu negara ke arah yang lebih positif. 1 Malaysia jelas memerlukan pemimpin dan rakyatnya yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, amanah, ikhlas, bertanggungjawab dan sebagainya penting untuk merealisasikan matlamat ini. 1 Malaysia jelas memerlukan pemimpin yang bijak, cemerlang dan berkebolehan dalam menjalankan, mentafsir dan memahami tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka. Pemimpin yang cemerlang mestilah mempunyai kebolehan dan kemahiran dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam merealisasikan perkhidmatan dan tanggungjawab beliau kepada masyarakat. Rakyat pula perlulah mengambil bahagian dengan sikap berdedikasi dan komited dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka kepada negara ini. Melaksanakan tugas dengan penuh iltizam, azam dan tekad yang bulat demi kepentingan dan kemajuan negara penting agar gandingan pemimpin dan rakyat sentiasa berada di landasan yang betul. Jelasnya, konsep 1 Malaysia memerlukan rakyat mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Malaysia adalah negara untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya dan fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana semua masyarakat dan kaum tidak akan dipinggirkan daripada menikmati pelbagai pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Namun, yang pentingnya, rakyat mestilah memahami bahawa konsep 1 Malaysia tidak mengusik akan segala yang termaktub dalam perlembagaan dan perundangan negara Malaysia. Segalanya masih kekal terpakai seperti sedia kala seperti hak keadilan,hak istimewa, status Raja berperlembagaan dan sebagainya. Segalanya mestilah ditafsirkan dalam konteks yang betul dengan fakta yang jelas iaitu merupakan satu institusi dan gagasan tindakan untuk pembangunan bangsa dan negara Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. “ Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. ‘One People’. Dan kita mengambil tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita .” ( Konsep Satu Malaysia : YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak , Perdana Menteri Malaysia ) Bahasa 1 Malaysia. Slogan ‘ Bahasa Jiwa Bangsa ’, Gunakan Bahasa Kebangsaan ’, ‘ Bahasa Kebangsaan Bahasa Perpaduan ’ di samping peribahasa ‘ Bahasa Menunjukkan Bangsa ’ jelas menunjukkan betapa peri pentingnya sesuatu bahasa itu. Bahasa di sini bukan sahaja sebagai lambang dan sistem bunyi sahaja tetapi lebih luas maknanya. Bahasa di sini menjelaskan tentang peranannya sebagai fungsi perhubungan dan perpaduan dalam masyarakat. pelbagai gerakan dan aktiviti telah dan sentiasa dirancang dan dijalankan oleh pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan dalam usaha menyedarkan masyarakat dalam kalangan pelbagai kaum , bangsa, agama, adat dan sebagainya tentang pentingnya sesuatu bahasa itu terutamanya bahasa kebangsaan sebagai wadah perpaduan berbilang kaum sebagai teras keharmonian dan kemakmuran sesebuah kaum yang akan menggerakkan kemajuan sesebuah negara itu akhirnya. Bahasa 1 Malaysia jelas menuntut agar semua kaum, agama dan pengamal budaya di Malaysia untuk menjadikan bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama dan harian mereka. Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini mesti menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang perlu berfikir dan bertindak untuk mencapai matlamat ini. Usaha ini juga merupakan peranan utama untuk mengukuhkan perpaduan yang telah sedia terjalin antara pelbagai kaum di negara ini dalam mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju , harmoni dan terus ke hadapan. Dalam usaha Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara yang masyarakatnya bersatu padu, mempunyai keyakinan yang tinggi, berpegang teguh kepada nilai agama, moral dan etika yang tinggi dan sebagainya, mempunyai satu bahasa sebagai pengikat kata dan bangsa amatlah penting. Sikap saling percaya-mempercayai dan kerjasama contohnya memerlukan individu dan masyarakat menggunakan satu bahasa yang saling difahami dan berupaya menghubungkan semua pihak. Dasar bahasa Kebangsaan pula menjelaskan bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang ideal dalam acuan 1 Malaysia dan dalam usaha perpaduan dan keharmonian kaum. Bahasa Melayu jelasnya memperlihatkan akan keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri berdasarkan susur galur sejarah bangsa dan Tanah Melayu awalnya. Bahasa Melayu seharusnya tidak dilihat berdasarkan pandangan negatif seperti penguasaan atau ketuanan tetapi hendaklah secara positif seperti keunikan bahasa itu dan nilai serta fungsi bahasa Melayu yang berupaya mempengaruhi dan menggabungjalinkan pelbagai aspek dalam pelbagai kaum di Malaysia. Syed Hussain Al-Attas : 1981 , menjelaskan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa dalam pendidikan di Malaysia. Bahasa ini telah dipilih dan dipersetujui secara bersama kerana jelas memiliki kekuatan dan keistimewaan sejarahnya yang tersendiri. Bahasa Malaysia. Bahasa menunjukkan bangsa. Bangsa yang dimaksudkan di sini ialah bahasa Malaysia yang di dukung oleh rakyat Malaysia. Bahasa Malaysia di sini pula jelasnya merujuk kepada bahasa Melayu yang merujuk kepada artikel 152 dalam perlembagaan Negara Malaysia. Artikel 152 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa kebangsaan merupakan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, perlembagaan menjamin kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa lain, kecuali di atas tujuan-tujuan rasmi. Tujuan-tujuan rasmi di sini bermakna apa-apa tujuan kerajaan, sama ada negara atau negeri, dan termasuklah apa-apa tujuan penguasaan awam. Untuk penguatkuasaan ini, semua prosiding mahkamah dan dokumen-dokumen parlimen dan mesyuarat-mesyuarat mesti dilakukan dalam bahasa Melayu. Tulisan rasmi bagi bahasa Melayu juga dinyatakan di dalam Artikel 152 sebagai rumi atau tulisan Latin. Walau bagaimanapun, penggunaan Jawi tidak dilarang. Jelasnya, walaupun bahasa Malaysia dan bahasa Melayu itu merujuk kepada maksud yang sama, namun terdapat beberapa penjelasan dan makluman berkenaannya. Bahasa Melayu di namakan sebagai bahasa Malaysia adalah bertujuan sebagai simbol bahawa bahasa ini merupakan satu bahasa untuk semua masyarakat Malaysia secara amnya tanpa mengira agama , kaum atau budaya. Hal ini adalah untuk menanamkan semangat perpaduan, saling percaya-mempercayai, wujudnya perasaan kasih sayang, keakraban dan sebagainya dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan berbilang bangsa ini. Cadangan Penggunaan Bahasa 1 Malaysia. 1 Malaysia pastinya lebih mudah dan jelas arah tuju dan matlamatnya andainya pelbagai aspek dan peranan dapat dimainkan bersama oleh rakyat Malaysia. Berikut merupakan beberapa cadangan dalam usaha merealisasikan dengan jelas hasrat bahasa1 Malaysia. i. Peranan oleh pihak media massa / elektronik. Tidak dapat dinafikan saluran yang paling cepat, mudah dan diakui keberkesanannya ialah melalui media massa. Pengaruh yang dimainkan oleh agen-agen seperti televisyen, radio, surat khabar, majalah, Internet dan sebagainya jelas kuat meliputi pelbagai lapisan masyarakat dan kaum tidak mengira peringkat umur. Media massa dan elektronik khasnya mampu menjalankan tugasannya dengan memartabatkan penggunaan bahasa Malaysia dalam kebanyakan aktivitinya. Bukannya menidakkan bahasa-bahasa lain, tetapi penggunaan sari kata, dwibahasa, terjemahan,alih bahasa dan sebagainya merupakan sebilangan kecil antara daya usaha ke arah bahasa1 Malaysia ini. ii. Peranan institusi pendidikan. Institusi pendidikan tidak kira peringkat rendah sehinggalah menengah mahupun di menara gading haruslah memupuk dan menyemai akan minat, semangat dan kemahuan dalam berbahasa Malaysia. Peringkat generasi pelapis inilah yang nyatanya merupakan impak sebenarnya akan keberkesanan matlamat 1 Malaysia seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita. Institusi pendidikan berupaya memainkan pelbagai peranan penting dalam usaha ini seperti mengadakan program-program dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan kurikulum dan juga kokurikulum. Semailah usaha dan hasrat ini dari peringkat awal lagi agar gagasan ini sentiasa berkembang dan mempunyai pelapisnya. iii. Penguatkuasaan undang-undang dan pemberian kuasa. Langkah biasa yang menyokong segala usaha pelbagai pihak ini tentulah penguatkuasaan undang-undang oleh pihak kerajaan. Pemantauan yang tegas dan berterusan amat penting agar penggunaan bahasa Malaysia dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, hiburan, pendidikan , pelancongan dan sebagainya menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa utamanya. Badan-badan yang berkaitan yang memartabatkan bahasa Malaysia seperti Dewan Bahasa an Pustaka seharusnya diberikan peruntukan dan kuasa yang secukup dan sejelasnya untuk bertindan, menangani dan menyelesaikan sebarang permasalahan berkaitan penggunaan bahasa Malaysia ini. iv. Mengubah persepsi rakyat Malaysia. Sebagai warganegara dan rakyat Malaysia, semua kaum,bangsa dan agama seharusnya disedarkan akan kepentingan perpaduan, keharmonian dan ikatan erat yang perlu terjalin dalam mengejar kemodenan dunia hari ini. Justeru, semuanya haruslah sedar dan berpandangan positif dalam mengakui bahawa 1 bahasa yang sama merupakan satu agen dan wadah terbaik dalam merealisasikan hasrat 1 Malaysia ini. Masyarakat haruslah melihat bahasa Malaysia sebagai bahasa untuk semua dan bukannya hanya untuk satu-satu kaum sahaja. Segala rintangan dan pandangan negatif haruslah diubah menjadi positif dan jelas secara bersama agar matlamat ini menjadi mudah dan difahami bersama. RUMUSAN. Jelasnya, sejarah telah banyak menasihati dan mengajar kita. Pelbagai peristiwa pahit telah kita alami dan dijadikan iktibar. Peristiwa 13 Mei contohnya memperlihatkan akan bagaimana rapuhnya tali ikatan dan perpaduan pelbagai kaum pada waktu itu. Kini, pelbagai usaha telah dirancang dan dijalankan oleh pelbagai pihak yang berkaitan seperti oleh pihak kerajaan, institut-institut, badan-badan NGO, pihak swasta dan sebagainya dalam usaha mengeratkan perpaduan dan hubungan antara kaum di negara ini. Jelaslah, penggunaan bahasa Malaysia sebagai satu bahasa utama merupakan satu jambatan yang bernas dalam usaha kini kerajaan mencapai objektif dan matlamat 1 Malaysia. Namun, konsep dan matlamat 1 bahasa dalam 1 Malaysia ini mestilah dipimpin dan digerakkan oleh gandingan semua pihak dan kaum tanpa ada sikap prejudis, berkepentingan, sambil lewa dan sebagainya. Pandanglah bahasa Malaysia dalam 1 Malaysia ini secara positif yang jelasnya dapat mengeratkan dan mengharmonikan hubungan pelbagai kaum, agama dan bangsa di negara kita yang tercinta ini. BIBLIOGRAFI. A.Aziz Deraman. (2001). Masyarakat dan kebudayaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hassan Ahmad. (2007). Bicara Karyawan. Bahasa Penjana Minda. 19 September. Berita Harian. Ishak Saat. ( 2009). Pendidikan Negara Bangsa Malaysia. Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain. (1982). Pembinaan Bahasa Melayu . Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia. 1 Malaysia. Disediakan oleh Bahagian Penerbitan Dasar Negara. (Internet).

No comments:

Post a Comment