Thursday, 31 May 2012

BAHASA MELAYU DALAM ERA TEKNOLOGI MAKLUMAT DAPAT MEREALISASIKAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA MALAYSIA-Mahani Hj Matzin[diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Sekitar tahun 1980-an dan 1990-an ialah tahun yang dikuasai oleh perkembangan pesat teknologi maklumat (TM) dan sehingga ke hari ini TM begitu pesat berkembang dan teknologinya semakin canggih. Kepantasan perkembangan teknologi maklumat kini menawarkan kecekapan khidmat bahasa daripada segala aspek pembinaan dan penyelidikan kepada pengembangan dan peluasan. Justeru, tidak hairanlah usaha pemanfaatan infrateknologi tersebut telah dijelajah oleh setiap negara di dunia untuk meningkatkan martabat bahasa masing-masing di samping melestarikan kewibawaan bahasa mereka ke pelosok dunia dan juga sebagai satu usaha ke arah pembentukan sebuah negara bangsa berdaulat, aman dan harmoni. Sehubungan itu, kertas kerja ini adalah untuk menjelaskan makna era teknologi maklumat dan negara bangsa serta menerangkan implikasi terhadap budaya manusia dan negara bangsa. Selain daripada itu, beberapa langkah dan cadangan diberikan iaitu cara bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dapat merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa. Antaranya dengan cara menyelesaikan dasar negara terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi maklumat, peranan dan sumbangan serta tindakan perancang bahasa, para sarjana,ilmuan dan pemikir bahasa Melayu dalam menghadapi cabaran pada zaman teknologi maklumat ini. Dalam usaha merealisasikan impian agar bahasa Melayu mencapai taraf sebagai bahasa maju dan mantap pada persada antarabangsa serta dalam era globalisasi, maka semua pihak sebagai penutur jati bahasa Melayu seharusnya bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia setanding dengan bahasa Inggeris. Selain daripada itu, kita juga seharusnya memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat untuk menyemarakkan usaha ke arah pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia yang berdaulat dan harmoni menerusi penggunaan sepenuhnya bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat.
PENGENALAN
Proses pembentukan sebuah negara bangsa sering mengambil kira bahasa sebagai faktor utama dalam perpaduan masyarakat majmuk. Justeru, bahasa memainkan banyak peranan penting dalam memastikan keharmonian dan kemajuan sesebuah negara. Di Malaysia, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa perpaduan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bahasa Melayu menduduki tempat keempat sebagai bahasa dunia yang terpenting. Tempat pertama bahasa Inggeris, kedua Sepanyol, tempat ketiga bahasa Mandarin. Sebagai bahasa keempat di dunia yang mencapai angka lebih 250 juta penutur, semestinya bahasa ini wajar dimartabatkan sebagai bahasa yang penting. Justeru, di Malaysia, semenjak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pelbagai usaha telah dilakukan terutamanya oleh golongan pencinta bahasa dan budaya Melayu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan berdaulat. Namun begitu, usaha-usaha tersebut telah banyak mendapat cabaran ekoran daripada arus modenisasi dan globalisasi yang memanggil masyarakat bersaing dalam rantau sejagat. Menurut Ahmad Adam (1996), walaupun sistem pendidikan dan pentadbiran negara kebanyakannya mengutamakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan bahasa rasmi, pandangan umum cendekiawan khasnya berpendapat bahawa bahasa Melayu tidak digunakan secara meluas sebagaimana yang diharapkan dalam pembentukan negara bangsa. Ekoran itu, pelbagai usaha telah dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pejuang-pejuang bahasa Melayu di negara ini dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat bagi memperkasa bahasa Melayu dalam merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia yang berdaulat. Justeru, kertas kerja ini akan membincangkan kedudukan bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembentukan negara bangsa Malaysia. Dalam hal ini, perbincangan akan menjurus kepada langkah-langkah atau cadangan bagaimana bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dapat merealisasikan pembentukan negara bangsa Malaysia. Dalam kajian ini, beberapa pembatasan dibuat bagi menentukan ianya menepati apa yang dikehendaki. Fokus utama kajian ini ialah menjelaskan makna era teknologi maklumat dan konsep negara bangsa. Di samping itu, kajian ini turut menjelaskan implikasi teknologi maklumat terhadap budaya manusia dan pembentukan negara bangsa. Seterusnya, kajian ini menyatakan langkah atau cadangan bagaimana bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat dapat merealisasikan pembentukan negara bangsa Malaysia. Definisi Era Teknologi Maklumat dan Negara Bangsa Pada tahun 1960-an Marshall McLuban telah meramalkan bahawa dunia akan menjadi ‘kampung sejagat’ atau global village. Proses ‘pengampungan dunia’ ini kini lebih dikenali dan popular diistilahkan sebagai ‘pengglobalan’ atau ‘globalisasi’. Banyak kuasa atau faktor yang bertanggungjawab menggerakkan proses ini. McLuhan memikirkan faktor komunikasi dapat merentas sempadan dunia dengan kelajuan yang semakin pantas. Kini, kuasa atau faktor yang sama sudah mencapai tahap perkembangan yang lebih canggih lagi iaitu dalam bentuk yang disebut sebagai teknologi maklumat (TM). Justeru, dewasa ini seluruh dunia telah dikatakan sudah dirempuh, ditembusi, diasak dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai jenis maklumat yang disebarkan secara elektronik melalui ruang siber. Sehubungan itu, setiap negara di dunia telah memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat sebagai satu usaha untuk memartabatkan bahasa masing-masing di samping melestarikan kewibawaan bahasa mereka agar dikenali dan diketahui oleh masyarakat dunia. Fenomena ini tidak terkecuali berlaku di negara kita Malaysia. Peluang ini telah dimanfaatkan dan diusahakan oleh pengkaji-pengkaji bahasa, para sarjana, ilmuan dan cerdik pandai teknologi maklumat di negara kita. Bagi merealisasikan hasrat untuk membentuk sebuah negara bangsa yang maju dan berdaulat, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ialah satu-satunya bahasa yang berkeupayaan untuk menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa dunia menerusi kecanggihan teknologi maklumat. Menurut Kamus Dewan (1994: 924), negara bangsa didefinisikan sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembinaan negara bangsa pula merupakan satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’ dalam kalangan penduduk sesebuah negara (INTAN, 1980). Dengan kata lain bererti mewujudkan sentimen satu bangsa dan satu negara serta melahirkan keperibadian bangsa (Faizal Othman, 1993). Rustam Sani (1993) pula menyatakan negara bangsa ialah sebuah komuniti politik yang bersifat simbolik. Penduduknya terangkum di dalam sebuah wilayah yang mempunyai simbol-simbol kewibawaannya yang simbolik. Simbol-simbol tersebut telah dijadikan asas untuk memupuk nilai-nilai patriotisme, kebanggaan dan jati diri negara bangsa dalam kalangan warganya. Antara simbol tersebut ialah institusi perlembagaan, ideologi negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain yang dapat membentuk kesepaduan dalam kalangan warganya. Emerson pula menafsirkan negara bangsa sebagai rasa diri sebagai satu bangsa menghasilkan penciptaan satu deria matlamat yang sama dan jati diri yang sama. Faktor mempercepat jati diri yang sama ialah wilayah, bahasa, tradisi sejarah yang sama dan saling hubungan negara dan bangsa. Tidak dinafikan, terdapat banyak tafsiran tentang makna negara bangsa. Namun, menurut Abdul Rahman Embong (2001:12), persoalan negara bangsa secara konseptual menjadi permasalahan penting disebabkan terdapat beberapa kekeliruan tentangnya. Ini kerana ada pihak yang menganilisis perkara tersebut secara legalitis dengan menghubungkannya dengan konsep ‘warganegara’ dan ada pula yang melihatnya berdasarkan konsep ras yang dihujahkan sebagai sukar untuk terbentuk. Ringkasnya, negara bangsa merupakan satu keadaan iaitu keseluruhan rakyatnya sudah menerima satu ‘pandangan dunia’ (weltanschauung) politik yang sama. Institusi perlembagaan, ideologi negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain pula merupakan simbol-simbol yang dapat digunakan bagi membentuk kesepaduan dan jati diri dalam kalangan rakyat di dalam negara bangsa itu. Jelaslah bahawa pembinaan negara bangsa sangatlah kompleks untuk dilaksanakan tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan di Malaysia. Penghayatan, pemahaman dan kepekaan daripada masyarakat secara keseluruhan adalah amat diperlukan bagi menjaya dan mewujudkan negara bangsa yang unggul ini.
Pembentukan Negara Bangsa
Dalam usaha menuju ke arah membentuk sebuah negara bangsa Malaysia, terdapat tiga faktor yang mendominasi perbincangan iaitu faktor politik, ekonomi, dan sosial. Mengikut Ranjit (1996), faktor politik dilihat dari sudut penggabungan parti politik pelbagai kaum melalui Parti Perikatan dan Barisan Nasional (BN). Kerjasama dan pakatan politik pelbagai kaum dalam BN telah menghasilkan kestabilan politik dan keamanan di dalam negeri. Faktor politik juga merupakan ciri asas ke arah mempercepat agenda pembinaan negara bangsa ini. Kestabilan politik menjadi prasyarat kepada pembangunan dan kepesatan ekonomi sesebuah negara. Secara umumnya, terdapat perbezaan persepsi antara individu dalam melihat faktor ini. Perbezaan persepsi ini berlaku kerana dalam masyarakat majmuk yang dicirikan oleh kewujudan berbagai-bagai unsur perbezaan menghasilkan kehendak yang berbeza dalam melihat sesuatu isu. Seterusnya, keadaan ini menghasilkan perbezaan falsafah dalam rupa pembinaan negara bangsa dan cara-cara mencapainya. Melalui kajian dan penulisan, didapati perbezaan persepsi tentang negara bangsa melalui faktor politik wujud berdasarkan kaum dan wilayah. Dari segi faktor ekonomi, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan perkara yang sering dikaitkan dengan pembinaan negara bangsa Malaysia. Selepas merdeka, keadaan ekonomi rakyat Malaysia pada masa itu ialah diidentifikasikan dengan sesuatu kumpulan etnik. Secara umumnya, jika terdapat kumpulan etnik yang diidentitikan sebagai menguasai sesuatu bidang, ianya pasti menimbulkan perasaan cemburu dan syak wasangka dan ini pastinya mencacatkan proses pembinaan negara bangsa. Pudarnya pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi secara tidak langsung menguatkan lagi hubungan perpaduan antara kaum di Malaysia. Faktor sosial yang mempengaruhi pembinaan negara bangsa Malaysia pula merangkumi peranan-peranan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan. Melalui perkara-perkara ini banyak perbincangan yang dapat dibuat bagi menghasilkan satu identiti nasional negara bangsa Malaysia yang dibentuk. Pembinaan negara bangsa merupakan suatu proses mewujudkan semangat kenegaraan atau perasaan kekitaan. Melalui takrifan ini, faktor sosial merupakan faktor penting untuk mewujudkannya. Kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia menyukarkan pembentukan satu identiti nasional, namun titik pertemuan antara kepelbagaian kaum ini masih tidak mustahil dapat dilaksanakan. Oleh itu, persepsi-persepsi yang lahir daripada masyarakat mampu membantu mencari titik persamaan dan pertemuan dalam melahirkan negara bangsa yang stabil. Agenda pembinaan negara bangsa menjadi lebih penting kepada negara ini kerana mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Di Malaysia, setiap kaum mempunyai persepsi atau tanggapan tersendiri terhadap kaum lain dan ianya masih lagi dipisahkan dengan panggilan bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India dan bangsa bangsa lain. Walaupun hubungan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia bertambah baik, namun pemisahan sosial masih wujud. Ini pastinya akan memperkukuh sentimen perkauman. Pendekatan yang dapat merapatkan jurang akan meningkatkan sikap penerimaan yang lebih terbuka dan saling mempercayai antara kaum. Sekiranya setiap generasi muda dan golongan cerdik pandai di negara ini bersefahaman dan dapat melepaskan diri daripada kongkongan prasangka dan perasaan perkauman, barulah mereka dapat dipertanggungjawabkan untuk membentuk dan menggalakkan orang lain berbuat demikian. Ini sekali gus dapat memberi kesan kepada pembinaan negara bangsa Malaysia. Antara isu dan cabaran yang paling sukar ditangani dalam proses pembinaan satu negara bangsa Malaysia ialah bagaimana menyatukan masyarakat dari segi wilayah-wilayah yang terpisah oleh faktor-faktor geografi. Proses mengintegrasi Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia dengan mewujudkan kerjasama dan keharmonian hidup akan mempercepat pembentukan negara bangsa. Secara umumnya, wilayah-wilayah ini mempunyai persepsi dan cadangan masing-masing terhadap identiti negara bangsa Malaysia yang akan dibentuk. Persefahaman, kerjasama dan toleransi antara wilayah adalah penting bagi mewujudkan identiti negara bangsa Malaysia ini. Peranan Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat dan Cabarannya Teknologi dan bahasa wajar digerakkan seiring untuk mempercepat layaran bahasa, memperhebat seruan kepentingan khazanah linguistik kita untuk menyahut laungan keperluan zaman yang kian meningkat serta tuntutan realiti antarabangsa yang dikelilingi oleh era maya. Sudah tentu kita tidak dibelakangkan oleh keengganan mengejar teknologi dan kejakunan multimedia serta ilmu ini tepat disalurkan dalam bahasa Melayu untuk membentuk hasil saluran bahasa yang lebih cekap, pantas, dan saujana. Sehubungan itu, ini bermakna tanpa bahasa, komputer hanya alat iaitu gabungan televisyen dan mesin taip sahaja, tidak lebih daripada itu. Dengan adanya bahasa dalam konteks ini, bahasa komputer, bahasa mampu melakukan perkara yang menakjubkan yang tidak pernah terfikirkan oleh kita. Justeru, bahasa memainkan peranan yang penting dalam penghasilan perisian, pengoperasian komputer supaya ianya dapat berfungsi sebelum kita dapat menggunakan perkakasan komputer sebagai pengguna teknologi maklumat ini. Menurut Chin Lee Yim (2004), beliau menyatakan menakluki bidang pengkomputeran bahasa merupakan langkah yang rasional bijak untuk menghasilkan aplikasi dan produk inti yang dapat meninggikan sumbangan penyelidikan dan kajian bahasa, di samping meningkatkan penyebaran dan mengangkat martabat bahasa Melayu dalam ruangan maya dengan menggabungkan khasiat teknologi ke dalam niat perjuangan bahasa Melayu. Implikasi Teknologi Maklumat (TM) terhadap Budaya Manusia dan Negara Bangsa Jika kita fikirkan secara teliti, terdapat beberapa implikasi teknologi maklumat terhadap budaya manusia dan negara bangsa sama ada implikasi positif atau negatif. Seluruh dunia dikatakan sedang dirempuh, ditembusi, diasak dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai jenis maklumat yang disebarkan secara elektronik melalui ruang siber. Terdapat tiga implikasi teknologi maklumat terhadap budaya manusia dan negara bangsa. Antaranya ialah dunia kini sudah tidak ada sempadan, proses penyeragaman dan proses penjajahan baharu berlaku. Implikasi pertama dan utama daripada TM yang lebih bersifat globalisasi ialah dunia dikatakan tidak ada bersempadan lagi. Memandangkan maklumat disebarkan melalui ruang siber, tidak melalui ruang bumi atau ruang geografi atau melalui media cetak semata-mata, maka orang mula mempercayai bahawa sempadan negara bangsa yang selama ini dikawal oleh dasar politik, dasar budaya dan dasar maklumat masing-masing, sukar dikawal lagi. Maklumat yang disebarkan di Internet yang kini merupakan sistem atau cabang lebuh raya elektronik yang terbesar dikatakan sukar ditapis atau dikawal oleh kerajaan. Manusia di mana-mana sahaja berpeluang menggunakan dan menyebarkan sebarang maklumat untuk kepentingan mereka, sama ada dengan tujuan yang baik mahu pun yang tidak baik, tanpa kawalan daripada mana-mana pihak, terutama pihak berkuasa kerajaan yang mengamalkan dasar kawalan maklumat yang konservatif. Kesan kedua ialah berlakunya proses ‘homogenisation’ atau proses ‘penyeragaman’ budaya kepenggunaan dan nilai manusia. Kini dipercayai bahawa minda dan kelakuan manusia di seluruh dunia sedang dibentuk menurut peraturan dan sistem nilai yang sama, yang disebut ‘peraturan dan sistem nilai sistem global’. Sebagai contoh mudah ialah manusia kini di mana-mana sahaja akan menggunakan teknologi dan bahan maklumat yang sama, menyerap nilai-nilai atau acuan demokrasi dan peraturan ekonomi yang sama, menonton serta menghayati hiburan yang sama, mendengar atau membaca berita dunia yang sama, menggunakan bahasa global yang sama, iaitu bahasa Inggeris yang pengaruhnya sebagai bahasa penyebar utama teknologi maklumat global semakin merebak dan sukar dikawal. Kesan ketiga ialah berlakunya proses penjajahan baharu yang dipercayai digerakkan secara sedar atau tidak oleh kuasa-kuasa ekonomi dunia seperti Kumpulan Negara G7, Tabung Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia serta saudagar-saudagar gergasi TM. Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah menganggap proses globalisasi itu sebagai proses penjajahan baharu. Negara bangsa terutama yang sedang membangun selalu dipaksa oleh kuasa-kuasa global yang monolitik supaya mematuhi nilai, sistem dan peraturan yang sama menurut kehendak atau acuan, kepentingan dan agenda mereka. Menurut Aziz Deraman (2001:13), negara Barat kini telah menggunakan TM untuk menjajah negara kita. Globalisasi dianggap sebagai proses penjajahan baharu dan TM menjadi alat penjajahan yang paling berkesan. Pada tahun 1997 dan 1998, dunia mengalami kemerosotan ekonomi termasuklah beberapa buah negara Asia Timur dan beberapa buah negara ASEAN termasuklah negara kita sendiri terkena tempiasnya. Permasalahan ini cuba diaturkan semula oleh IMF menurut kehendak, peraturan dan fatwa pertubuhan itu sehingga negara yang mengalami krisis itu tidak dibenarkan memikirkan cara-cara yang lain, cara sendiri untuk membetulkan kelemahan dan memulihkan keadaan ekonomi sesuai dengan kepentingan bangsa dan negara sendiri. Namun, negara kita selamat daripada taktik ini kerana pemimpin ekonomi negara kita bijak menyelesaikan masalah kemelesetan ekonomi pada masa itu dan kita tidak terlibat sebagai pemiutang kepada IMF. Menurut Hassan Ahmad (1998:691), dalam sistem global kemajuan manusia atau bangsa dalam bidang apa pun sangat bergantung kepada dua faktor; pertama tahap kemajuan ilmu yang ada pada bangsa itu dan kedua disiplin atau nilai budaya bangsa itu. Negara atau bangsa yang tidak maju atau tidak kuat dari segi dua faktor ini akan mudah menjadi mangsa kepada kuasa-kuasa global. Walaupun kita menyangka bahawa bangsa-bangsa di dunia ini dapat hidup dan maju melalui cara yang disebut sebagai penggabungan strategik dengan negara yang maju, namun sebenarnya proses ini tidak berlaku. Malah negara yang ilmu pengetahuannya tidak maju dan tidak kuat budayanya akan terus menjadi mangsa monopoli dan kuasa negara pengembang ilmu dan pengeluar TM. Berdasarkan kenyataan itu, perkara yang dapat dihayati dan diambil ikhtibar daripada senario ini, iaitu kita sebagai penduduk dan pemimpin-pemimpin negara dari negara membangun harus berhati-hati dalam mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah sosial, politik dan ekonomi negara agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa dunia yang sentiasa menindas negara-negara kecil dan membangun ini. Jika kita lemah dalam penerokaan ilmu dan kurang disiplin atau nilai budaya bangsa, maka dengan mudah kita menjadi mangsa kejahatan kuasa-kuasa besar itu. Menurut Hassan Ahmad lagi (1998: 691), Keadaan dan kelemahan inilah yang digunakan oleh negara perusahaan TM untuk terus mewujudkan budaya konsumerisme di seluruh dunia dengan menggunakan dan menjual teknologi dan maklumat sebagai produk perdagangan kepada sebanyak mungkin negara pengguna tanpa memikirkan faedahnya dari segi kemajuan tamadun manusia sejagat, misalnya alat memupuk kerjasama dan persefahaman tamadun atau budaya dan agama. Yang terjadi kini, kemajuan dan kecanggihan teknologi telah disalahgunakan ke arah negatif dan bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan. Sebagai contoh, teknologi satelit yang digunakan untuk membolehkan pengguna televisyen di seluruh dunia misalnya untuk menonton rancangan yang berfaedah telah dipaparkan tayangan filem hiburan yang berbentuk keganasan, seks, peperangan, pembunuhan dan sebagainya yang dihasilkan di luar negara selain daripada berita CNN. Saluran televisyen 24 jam semakin banyak. Orang di mana-mana sahaja termasuk di negara miskin dan yang menghadapi krisis ekonomi, krisis sosial dan krisis budaya terus digalakkan malah diasak oleh saudagar TM dan televisyen kabel supaya membeli dan menggunakan produk mereka. Penggunaan internet kini semakin popular dalam kalangan masyarakat di negara kita khususnya. Begitu juga di seluruh pelosok dunia. Walaupun perkhidmatan Internet banyak faedahnya, namun keburukannya juga semakin banyak. Internet sudah menjadi ‘tong sampah’ dan ‘tong najis’ global, tempat orang menjual dan menyebarkan maklumat bermutu rendah, maklumat yang salah, maklumat yang karut. Perbuatan ‘spam’ iaitu perbuatan menghubungi e-mel orang lain dengan tujuan untuk mengutuk, memaki, mencarut dan menyebabkan maklumat palsu semakin menjadi-jadi. Terkini, penggunaan facebook juga telah menjadi semakin popular dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat di negara kita. Terdapat sesetengah pengguna yang menyalahgunakan facebook untuk memasukkan maklumat palsu dan berunsur fitnah. Sebagai contohnya, seorang siswa dituduh mengugut menggunakan bom petrol dalam facebook. Menurut Bernama (15 Januari 2010), tulisan ungkapan siswa itu “Ke nak aku baling bom petrol di sana plak?... harga boleh runding...” telah menyebabkan pelajar berkenaan ditahan dan kesnya akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Isu ini lanjutan daripada kes pembakaran gereja di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati pada pukul 12.30 tengah malam pada 8 Januari 2010 yang lepas. Tulisan dalam facebook itu telah mengheret seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana dituduh menggunakan aplikasi dalam Internet untuk membuat komen yang boleh mengancam keselamatan orang lain. Ternyata kecanggihan TM telah disalahgunakan untuk perkara yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara serta membantutkan usaha kearah pembentukan negara bangsa.
Langkah dan Cadangan Cara Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Maklumat Dapat Merealisasikan Pembentukan Negara Bangsa
Sejak tahun 1990an, bahasa Melayu mengalami pelbagai cabaran. Ketika bahasa menikmati zaman pertumbuhan dan perkembangan yang pesat ekoran daripada pelbagai langkah pragmatik sebelumnya, termasuklah menjadikannya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, kini bahasa itu berdepan dengan cabaran dari luar dan dalam. Fungsinya sebagai bahasa perpaduan juga turut terjejas apabila sebilangan generasi muda kini lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia berbanding bahasa Melayu semasa berkomunikasi dalam lingkungan masyarakat. Jika ini berlarutan tanpa ada usaha untuk mencantas kelemahan dan cabaran ini, maka usaha ke arah pembentukan negara bangsa Malaysia akan terbantut. Jika kita dapat mengatasi cabaran ini maka tidak mustahil hasrat untuk membentuk sebuah negarabangsa Malaysia yang teguh dan kukuh dapat direalisasikan. Pelbagai usaha dan cara untuk mencapai hasrat untuk pembentukan negara bangsa Malaysia. Dalam usaha ini, bahasa memainkan peranan yang penting khususnya sebagai alat perpaduan kaum di negara kita. Justeru, menerusi era TM, banyak cendekiawan ICT (Information, Communication and Technology) dan badan-badan berkanun khususnya DBP telah berusaha memartabatkan bahasa Melayu menerusi ICT sebagai alat untuk merealisasikan hasrat ke arah pembentukan negara bangsa. Menerusi laman-laman web, isu-isu perpaduan dan keharmonian negara telah cuba diserapkan agar generasi sekarang tidak kira golongan dewasa dan kanak-kanak dapat menerima hasrat kerajaan untuk mencapai pembentukan negara bangsa Malaysia yang berdaulat dan harmoni. Merealisasikan hasrat ke arah pembentukan negara bangsa Malaysia bukanlah semudah mengungkapkannya. Hasrat tersebut mestilah diusahakan oleh masyarakat dari peringkat atasan hinggalah peringkat bawah. Justeru, pelbagai langkah dan cadangan perlu diutarakan untuk merealisasikan hasrat tersebut.
i) Menyelesaikan Dasar Negara terhadap Bahasa Melayu sebagai Bahasa Teknologi Maklumat Walau bagaimanapun cabaran yang datang, kita perlu kuat mengatasinya terutamanya dalam menyelesaikan dasar-dasar negara terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa TM. Justeru, dalam mengahadapi cabaran TM global yang semakin bercorak komersial dan propaganda itu dan mungkin boleh memusnahkan budaya dan sistem nilai bangsa kita. Oleh itu, kita memerlukan suatu dasar TM negara yang dapat mengimbangi maklumat global itu. Dasar yang dapat memperkenalkan tamadun Malaysia ke seluruh dunia melalui lebuh raya maklumat global, dasar yang dapat melibatkan rakyat Malaysia dalam proses kemajuan TM di negara ini. Bekas mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim, yang pernah menjadi Pengerusi Majlis Teknologi Maklumat Negara, dalam ucapannya merasmikan Persidangan Teknologi Maklumat Kebangsaan atau INFOTECH 98 Malaysia, anjuran persatuan Industri Komputer Malaysia (PIKOM) di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 21 April 1998 berkata bahawa “teknologi maklumat perlu didedahkan kepada masyarakat secara meluas untuk mengurangkan jurang perbezaan antara masyarakat bandar dengan masyarakat desa”. Beliau seterusnya berkata bahawa melalui agenda IT (TM), Malaysia menggunakan pendekatan dan kaedah yang membolehkan teknologi itu difahami oleh masyarakat. TM mesti menjadi suatu budaya masyarakat. Ini ialah dasar TM yang baik bagi kita. Kita tidak mahu TM menjadi hak milik golongan elitis sahaja atau dikembangkan semata-mata sebagai produk ekonomi dan perdagangan dan melupakan peranan TM sebagai alat pembina budaya, pembina negara bangsa atau tamadun tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Persoalan yang timbul di sini dan perlu diselesaikan ialah bagaimanakah dasar TM negara yang hendak memupuk budaya TM di negara ini dapat difahami dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara keseluruhan sekiranya bahasa Melayu yang difahami oleh majoriti rakyat negara ini tidak digunakan sebagai bahasa utama TM? Bahasa Inggeris hari ini dilihat lebih utama daripada bahasa Melayu. Hampir semua perisian (software) komputer yang kita gunakan adalah dalam bahasa Inggeris. Ini kerana perisian komputer tersebut dibuat di luar negara terutama di Barat. Namun demikian, ini tidak bererti bahawa maklumat yang disampaikan melalui program elektronik itu tidak boleh dibuat dalam bahasa Melayu. Di negara lain, misalnya di Jepun atau di Perancis, walaupun perisian komputer misalnya ‘operating system’ ataupun ‘word-processor’ dibuat di negara berbahasa Inggeris, namun pengguna komputer di Jepun atau di Perancis menggunakan perisian yang sama dalam versi bahasa kebangsaan masing-masing. Justeru, usaha ini seharusnya dijadikan contoh yang baik untuk diikuti. Apatah lagi dalam usaha ke arah pembentukan negara bangsa kerana negara Jepun ialah sebuah negara yang telah berjaya membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan sentiasa maju ke hadapan. Sehubungan itu, untuk tujuan dasar atau agenda TM negara seperti yang dijelaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu, maka bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan yang difahami dan digunakan oleh majoriti penduduk Malaysia, hendaklah dijadikan bahasa TM yang utama di Malaysia. Kerajaan hendaklah mengarahkan pihak-pihak pembekal perkhidmatan Internet seperti Syarikat Telekom Malaysia, CELCOM, DIGI dan badan-badan kerajaan yang membuka laman jaringan atau laman web dalam Internet supaya menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan maklumat masing-masing. Kita boleh mengimport perkakasan komputer dan program Internet yang dibuat dalam bahasa Inggeris tetapi mengapakah maklumat yang merupakan bahan yang kita ciptakan sendiri mesti disebarkan di dalam negara ini melalui komputer dan Internet dalam bahasa Inggeris? Jikalau kita menganggap bahawa maklumat itu penting dan perlu disebarkan ke seluruh dunia melalui Internet maka terjemahan dalam bahasa Inggeris dapat dilakukan. Sehubungan itu, kerajaan hendaklah memainkan peranan dengan membudayakan projek Koridor Raya Multimedia (KRM) berdasarkan kepentingan dan acuan Malaysia. Antara lain, ini bererti KRM itu hendaklah memasukkan komponen bahasa Melayu ke dalam sistem itu, sekurang-kurangnya dalam pengurusannya dan dalam maklumat Malaysia yang disediakan. Walaupun bangsa Malaysia patut berfikir global tetapi kita mesti bertindak berdasarkan kepentingan ruang kebangsaan sendiri. Kita tidak mahu kawasan kebangsaan kita ‘dijual’ kepada kuasa-kuasa TM dan ekonomi global. Budaya dan bahasa kebangsaan negara memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempertahankan sempadan kebangsaan kita dan keharmonian negara bangsa kita.
ii) Peranan, Sumbangan dan Tindakan Pejuang dan Perancang Bahasa dalam Menghadapi Cabaran Zaman Teknologi Maklumat
Meraih kejayaan bukanlah semudah mengungkapkannya tanpa melalui rintangan dan cabaran. Oleh itu, dalam usaha merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan maju, maka semua peringkat masyarakat harus memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing. Dalam era TM kini, cabaran yang kita hadapi semakin besar apabila bahasa Inggeris telah mendominasi bahasa dalam TM. Justeru, untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia, rakyat di negara ini seharusnya memainkan peranan masing-masing, terutamanya menggunakan bahasa Melayu dengan betul tanpa mencelarukan bahasa tersebut. Dalam menghadapi cabaran baharu era TM dan seterusnya, bahasa Melayu perlu dikembangkan menjadi bahasa sumber ilmu, bahasa sumber pemodenan, bahasa sumber maklumat, bahasa sumber pengetahuan, bahasa sumber sains dan teknologi, bahasa sumber kewangan dan yang lebih penting lagi bahasa sumber perpaduan dan keharmonian. Bagi mencapai hasrat tersebut, lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam TM perlu dihasilkan. Impian itu hanya boleh tercapai dengan adanya lebih banyak pengarang, penyelidik, guru, penerbit dan institusi penyelidikan. Selain itu, sebahagian bahan itu mestilah berbentuk digital untuk memenuhi keperluan semasa pengguna terutama generasi muda yang membesar di depan komputer, Internet, pangkalan data dan portal. Tanggungjawab memperkembang, mempertahankan dan memodenkan bahasa kebangsaan yang berat ini tidak dapat dipikul oleh DBP, Kementerian Pelajaran atau Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja. Pendek kata, semua pencinta dan pejuang bahasa kebangsaan mesti melibatkan diri secara aktif. Setelah sekian lama kita leka dan lena dibuai mimpi buruk, seharusnya kini kita sedar dan bangun mengambil peluang dengan kecanggihan TM untuk dimanfaatkan khasnya dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang bertamadun dan berdaulat. Jika kita tidak menggunakan peluang yang ada ini maka kita akan karam dalam arus globalisasi yang juga digelorakan oleh bahasa Inggeris, selain kuasa ICT (Information, Communication and Technology). Memandangkan semakin banyak rakyat Malaysia kini sudah berpendidikan tinggi, maka seharusnya golongan ini tahu melakukan kerja dengan lebih bijak, kreatif, inovatif dan produktif dan seharusnya mereka ini dapat mencontohi jejak langkah sarjana dan institusi di England, Amerika Syarikat dan Australia, misalnya dalam memperkembang bahasa Inggeris. Usaha ini sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan dengan bantuan TM. Daripada projek penyelidikan bahasa Inggeris seperti Technology Enhanced Language Learning (TELL) dan Computer Assisted Language Learning (CALL) yang dilakukan di England, Amerika Syarikat dan Australia, kini sudah ada mesin data bahasa terbaca yang boleh diperoleh dalam CD-ROM, Internet dan pakej elektronik yang lain tentang bahasa Inggeris. Sebenarnya peluang untuk melakukannya kini terbuka luas apatah lagi semakin banyak alat bantuan tersedia di hadapan kita. Kecenderungan dan minat kita terhadap bahasa Melayu sudah meningkat ekoran peningkatan penekanan negara asing terhadap pasaran ekonomi di Alam Melayu. Menurut Ding Choo Ming (2006), cabaran kepada bahasa Melayu pada masa depan terletak kepada kita sama ada boleh mengembangkannya menjadi bahasa sumber ilmu, bahasa sumber ekonomi, bahasa sumber teknologi dan bahasa sumber pemodenan yang boleh diharapkan untuk membuka pintu gerbang ilmu, mencari mutiara maklumat dan menaiki mahligai pendidikan yang lebih tinggi untuk dapat menikmati rasa pemodenan, sekali gus peningkatan taraf hidup. Menurut beliau lagi, perjalanan itu bukan sahaja panjang, tetapi juga berliku-liku dan penuh ranjau. Segala-galanya menuntut peningkatan intelektual rakyat Malaysia dan pengintelektualan bahasa Melayu. Untuk melaksanakannya, lebih banyak buku dan pengarang diperlukan untuk menghasilkan lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam bidang IT. Sehubungan itu, portal www.malaycivilization.com yang dibina khas di ATMA (Institut Tamadun dan Alam Melayu) itu cumalah satu tapak kecil dalam langkah besar kita untuk menyebarkan bahan berbahasa Melayu di ruang siber. Berdasarkan kenyataan tersebut, ini merupakan satu petanda bahawa pintu untuk memperkembang bahasa Melayu sudah bertambah baik dan semakin menjadi lebih menarik. Usaha ATMA memperkasa bahasa Melayu, maju dan terus maju apabila berjaya menghasilkan Kamus Peribahasa Melayu Digital dan telah dimasukkan ke dalam Internet. Menurut Ding Choo Ming dan Arba’eyah Abdul Rahman (2002:48), ATMA sudah memasukkan Kamus Peribahasa Melayu, Digital dalam internet http://www.atma.ukm.my pada pertengahan Mac 2002. Kamus ini merupakan kamus digital peribahasa Melayu yang pertama dalam erti kata yang sebenarnya kerana membolehkan pencarian peribahasa Melayu mengikut makna dan kategori, sedangkan kamus peribahasa Melayu yang lain cuma menyenaraikan peribahasa Melayu dengan maknanya. Ini merupakan perkembangan baharu dan sangat berfaedah kepada pelajar-pelajar untuk merujuk tentang peribahasa Melayu secara mudah secara online. Selain daripada usaha ATMA, DBP juga banyak memainkan peranan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat, antaranya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa siber. Menurut Zamri Mohamod (2001:9), usaha ke arah mensiberkan istilah bahasa Melayu dalam teknologi maklumat sedang dan terus dilakukan oleh pihak yang terlibat, seperti DBP, Perbadanan Multimedia Super Koridor (MSC), Kementerian Pendidikan, Institusi Pendidikan Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta(IPTS), ahli akademik, pencinta bahasa, dan orang perseorangan. Menurut Chin Lee Yim pula (2004:20), DBP juga telah menyertai Persatuan Perangkaian Bahasa Sejagat (Universal Networking Language) dengan hasrat untuk memperkasa usaha penyediaan prasarana bahasa yang lebih mantap. Di samping itu, penghasilan produk teknologi bahasa turut diperkasa melalui pelbagai program dan fungsi. Gerbang KaryaNet http://www.karyanet.com.my/ merupakan medan penerbitan elektronik yang luas dimanfaatkan. Ini bermakna ianya boleh dimanfaatkan oleh pengguna untuk memperoleh maklumat bahan penerbitan dan pelbagai rujukan serta khidmat bahasa.Selain itu, Microsoft yang gagah dengan perisian Microsoft Office kini turut mengusahakan Pengguna Perisian Antara Muka Microsoft dalam bahasa Melayu dengan usaha sama DBP. Namun begitu, menurut Marlyna Maros (2001:49), kemajuan dan pencapaian negara bangsa yang bersatu padu dan berteknologi tinggi perlulah diiringi dengan pencapaian dalam mengekalkan dan memajukan bahasa Melayu kerana bahasa inilah yang diyakini sepenuhnya oleh masyarakat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan negara ini, maka kita perlu bertanggungjawab untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul terutama semasa melayari Internet dan menulis komen dalam blog dan laman web. Ini penting kerana kita sebagai rakyat Malaysia apatah lagi sebagai penutur jati bahasa Melayu mestilah menjadi contoh kepada generasi muda sebagai pengguna bahasa yang baik dan mempunyai jatidiri.
KESIMPULAN
Dalam mencapai hasrat dan cita-cita serta merealisasikan pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan harmoni bukanlah suatu yang mudah digapai jika tidak ada gandingan bahu daripada semua lapisan masyarakat Malaysia. Bahasa Melayu merupakan salah satu agen bagi merealisasikan hasrat ke arah pembentukan negara bangsa. Menerusi TM yang serba canggih menerusi ruang siber, Internet, globalisasi dan liberalisasi, kita boleh menggunakan bahasa Melayu untuk memupuk nilai-nilai murni dan semangat kekitaan rakyat Malaysia ke arah sebuah negara bangsa yang disanjung tinggi. Dengan paparan dan tersebarnya identiti negara Malaysia yang berimej bersih, aman dan harmoni di dalam negara dan luar negara maka kita akan mudah menyatukan hati rakyat Malaysia dalam membentuk negara bangsa seperti negara Jepun, Portugal dan Iceland yang sudah diiktiraf dunia sebagai negara yang boleh dikelaskan sebagai negarabangsa tanpa dipertikaikan. Selain daripada itu, hasrat kerajaan dalam pembentukan sebuah negara bangsa berdaulat haruslah didukung oleh semua lapisan masyarakat. Sudah tentu dengan pemanfaatan kaedah dan kemajuan teknologi yang bestari, tidak mustahil bahasa kita mampu menjadi bahasa antarabangsa dan bahasa teknologi serta menjadi bahasa perpaduan yang mendukung ke arah pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan harmoni.
BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Embong. (2001). Negara bangsa: Proses dan perbahasan. Bangi: Penebit UKM.
Abdullah Yusoff. (2002). Pemerkasaan bahasa melalui data korpus berkomputer. Dewan Bahasa, Jun (hlm. 24-30).
Ahmad Adam. (1996). Isu bahasa dan pembentukan bangsa dalam manifesto budaya. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Aziz Deraman (2001). Bahasa Melayu dalam endidikan teknologi maklumat. Dewan Bahasa, April (hlm. 12-17).
Chin Lee Yim. (2004). Kesejagatan bahasa Melayu melalui teknologi. Dewan Bahasa, Mac 2004 (hlm 18-20).
Ding Choo Ming & Arba’eyah Abdul Rahman. (2002). Daripada Kamus Peribahasa Melayu Digital ATMA kepada Perkamusan Bahasa Berkomputer. Dewan Bahasa, Julai (hlm.48-54).
Faizal Othman. (1993). Pendekatan bina bangsa dalam pengukuhan tenaga manusia bagi Wawasan 2020. Dlm. Kamaruddin Jaafar & Hazami Habib.(ed.), Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar. 309
Hassan Ahmad (1998). Bahasa Melayu dalam era teknologi maklumat. Kertas kerja yang dibentangkan semasa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-5.
Institut Tadbiran Awam (INTAN). (1980). Negara kita: Sejarah, pentadbiran dan dasar-dasar pembangunan. Kuala Lumpur: INTAN.
Jeniri Amir. (2009). Bahasa negara dan bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Marlyna Maros. (2001). Bahasa Melayu dalam pembentukan negara bangsa: Antara hasrat dengan hakikat. Dewan Bahasa, Julai (hlm 43-49).
Nor Adnan. (2001). Bahasa Melayu dalam pembangunan perisian. Dewan Bahasa, (hlm. 9-15).
Ranjit Singh. (1996). Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur: Federal Publications.
Rustam A. Sani. (1993). Melayu baru danb Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Zamri Mohamod. (2001). Bahasa Melayu sebagai bahasa siber.Dewan Bahasa, Jun (hlm 9-13).

No comments:

Post a Comment