5. Bahasa Ilmu Sains dan Teknologi: Bahasa dikatakan dapat berfungsi sebagai Bahasa untuk mempelajari, mencipta dan mengembangkan ilmu sains dan teknologi bagi keperluan pembangunan Malaysia menjadi negara maju. 6. Fungsi-fungsi Bahasa yang lain: Bahasa Melayu sudah dan akan terus berfungsi dan berkembang dalam bidang-bidang kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama, falsafah, perundangan dan kehakiman, perdagangan dan perniagaan, dan lain-lain di Malaysia. Senario Pencapaian Pelaksanaan Dasar Negara Pencapaian Umum: Pada umumnya, bahasa Melayu telah berkembang pesat, dan Meningkat kualitinya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar bagi sistem pendidikan, serta beberapa fungsi khusus yang lain, semenjak kemerdekaan negara ini pada tahun 1957. Sungguhpun begitu, Menurut Ismail Dahaman (2007) kajian yang dibuat menunjukkan bahasa kebangsaan belum dapat digunakan dengan atau tidak memainkan peranan yang utama sebagai bahasa komunikasi bagi urusan komersial dan perdagangan dalam negeri, industri, sains dan teknologi, dan urusan-urusan dalam negeri yang lain. Tempat bahasa Melayu ini diambil oleh bahasa-bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris. Malah kualiti, bahasa Melayu didapati merosot, terutama sekali apabila bahasa Melayu digunakan secara bercampur aduk dengan bahasa Inggeris. Pencapaian menurut Bidang Penggunaan: Secara ringkas, dapat disebutkan pencapaian pelaksanaan dasar bahasa negara menurut fungsi bahasa Melayu seperti bidang yang berikut: 1. Belum tercapai sepenuhnya fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. 2. Belum tercapai sepenuhnya fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang berkualiti tinggi dan bercitra Malaysia. 3. Belum tercapai sepenuhnya fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan kerana ada masalah di sektor institusi pendidikan swasta. 4. Belum luas penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan kewangan. 5. Sangat rendah prestasi bahasa Melayu sebagai bahasa penyelidikan, penciptaan dan pembangunan sains dan teknologi. 6. Rendah penggunaan bahasa Melayu dalam amalan industri (tinggi dan IKS) dan Bidang profesional (perubatan, kejuruteraan, kepeguaman, kewangan, dan seumpamanya) Permasalahan Utama Pelaksanaan Dasar Bahasa yang Memerlukan Penyelesaian Menyeluruh Menurut Ismail Dahaman (2007) perkara-perkara tersebut di bawah ini perlu mendapat perhatian pihak-pihak berwajib untuk diselesaikan andai ingin melihat bahasa Melayu diperkasa. Antaranya: 1. Masalah Dasar Bahasa, Fungsi Bahasa dan Pelaksanaan Bahasa Rasmi. 2. Punca masalah dasar bahasa rasmi. 3. Masalah Pelaksanaan dasar bahasa rasmi. 4. Punca masalah yang melibatkan kelemahan warga perkhidmatan awam sendiri. 5. Masalah Dasar Bahasa, Fungsi Bahasa dan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan. 6. Punca masalah dasar bahasa kebangsaan. 7. Masalah pelaksanaan bahasa kebangsaan dalam sektor e konomi dan perdagangan. 8. Punca masalah dalam kalangan warga sektor swasta, korporat dan orang ramai. 9. Masalah Dasar Bahasa, Fungsi Bahasa dan Pelaksanaan Bahasa Pendidikan. 10. Masalah Dasar Bahasa, Fungsi Bahasa dan Pelaksanaan Bahasa Sains dan Teknologi 11. Masalah Agensi Rasmi Perancangan Bahasa dan Bidang Kuasanya: DBP 12. Masalah Undang-undang, iaitu Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. 13. Masalah pelaksanaan tugas dan tanggungjawab. 14. Masalah Pelaksanaan di Peringkat Pihak-pihak Berkuasa Kerajaan. 15. Masalah undang-undang dan peraturan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa kerajaan. 16. Masalah infrastruktur dan kepakaran. 17. Masalah perancangan strategik yang bersepadu. 18. Masalah kawalan pelaksanaan. 19. Masalah Pembinaan Bahasa: Pedoman Bahasa Melayu Standard Mutakhir. 20. Masalah sistem ejaan dan sebutan. 21. Masalah kosa kata umum dan istilah. 22. Masalah tatabahasa bahasa Melayu. 23. Masalah laras dan gaya bahasa. Peranan Agensi Perancangan Bahasa: Dewan Bahasa dan Pustaka Kuasa Dewan Bahasa dan Pustaka: Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Peluasan) 1995 memberikan kuasa kepada DBP “untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi” dan “untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul”. “Untuk menggalakkan” termasuklah “memberikan arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan”. Tugas dan Tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka: DBP bertanggungjawab merealisasikan matlamat “pengembangan bahasa Melayu” dalam sektor awam dan dalam sektor swasta serta dalam kalangan orang awam di Malaysia. Untuk maksud ini, istilah “pengembangan” bermaksud peluasan, peningkatan, pemantapan dan penyebaran maklumat bahasa kebangsaan kepada pengguna. Strategi dan pendekatan Dewan Bahasa dan Pustaka 1. Pendekatan penyelesaian masalah berdasarkan sektor pengguna bahasa secara membina (constructive) 2. Pendekatan “pengembangan” yang bermaksud “peluasan” secara berwawasan (futuristic) 3. Pendekatan bekerjasama (collaborative) dan bestari dengan pihak berkuasa Kerajaan yang berkenaan. 4. Pendekatan perancangan strategik yang bersepadu bagi pengembangan bahasa Melayu DBP. Peranan Agensi Pengembangan Bahasa: Pihak-pihak Berkuasa Kerajaan Melaksanakan apa-apa peruntukan undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan dan penggunaan bahasa yang terletak di bawah bidang kuasa masing-masing, jika ada. Menyediakan dan melaksanakan peraturan atau garis panduan (prosedur) pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam jabatan dan untuk berkomunikasi dengan pelanggan dalam negeri sekiranya tidak ada peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang. Menyediakan perancangan strategik pengembangan bahasa kebangsaan di sektor swasta yang terletak di bawah bidang kuasa dan pengawasan masing-masing. Memastikan supaya pihak swasta dan NGO yang berkenaan menerima dan mematuhi syarat-syarat penggunaan bahasa kebangsaan menurut rancangan yang ditetapkan oleh kerajaan. Pembangunan Bahasa Melayu untuk Alaf Depan Wawasan dan matlamat Bahasa Melayu Alaf Depan: Untuk memperkasakan bahasa Melayu, wawasan bahasa Melayu yang dirumuskan oleh DBP dalam rangka pengisian Wawasan 2020 adalah seperti berikut: 1. Bahasa Melayu menjadi asas bagi pembentukan tamadun negara bangsa Malaysia moden dan digunakan dengan meluas dalam setiap bidang kehidupan di Malaysia, serta menjadi salah satu bahasa antarabangsa, pada tahun 2020. 2. Matlamat Strategik dan Fungsi Utama Bahasa Melayu bagi Maksud di dalam Negeri. 3. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang perlu dimantap dan dipertingkatkan kualitinya dan peluasannya supaya dapat digunakan sepenuhnya sebelum tahun 2000. 4. Bahasa Melayu dimantapkan sebagai bahasa pendidikan pada semua jenis dan peringkat pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan tinggi, formal dan tidak formal sebelum tahun 2000. 5. Bahasa Melayu diperkukuh sebagai bahasa perpaduan rakyat dan sebagai bahasa komunikasi rakyat umum sebelum tahun 2000. 6. Bahasa Melayu diperluas dan dipertingkatkan sebagai bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan kewangan dalam negeri sebelum tahun 2000. 7. Bahasa Melayu diperluas dan dipertingkatkan sebagai bahasa kebangsaan di sektor swasta dan korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum tahun 2000. 8. Bahasa Melayu diperluas dan dipertingkatkan sebagai bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi, komunikasi canggih, bahasa media elektronik, serta penggunaannya dalam pelbagai bidang industri dan teknologi maklumat sebelum tahun 2005. 9. Bahasa Melayu terus diperkembang sebagai bahasa kebudayaan, kesenian, kesusasteraan,agama dan falsafah. 10. Matlamat Strategik dan Fungsi Utama Bahasa Melayu bagi Maksud Luar Negara. 11. Bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa komunikasi rasmi antara negara-negara ASEAN sebelum tahun 2005. 12. Bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa perdagangan antara negara negara ASEAN sebelum tahun 2005. 13. Bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa perdagangan antara negara-negara Asia Timur sebelum tahun 2010. 14. Bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu sebelum tahun 2015. 15. Bahasa Melayu terus diperkembang sebagai bahasa pengajian Melayu di institusi-institusi pendidikan tinggi luar negara. Perancangan Strategik dan Penyelesaian Masalah untuk Pembangunan Bahasa Melayu Menuju Tahun 2020 Fokus cadangan Perancangan Strategik: Pemerkasaan Bahasa Melayu memerlukan tumpuan kepada enam fungsi utama pembangunan bahasa Melayu yang menjadi asas bagi pencapaian objektif Pembangunan negara bangsa Malaysia; iaitu asas bagi pembinaan tamadun; bahasa rasmi; bahasa kebangsaan; bahasa pendidikan; bahasa sains dan teknologi dan industri; dan bahasa perdagangan dan perkhidmatan kewangan. 1. Alternatif Cadangan Penegasan Semula Pelaksanaan Dasar Bahasa. 2. Menegaskan Dasar Bahasa negara, iaitu pengungkapan semula dasar bahasa dan dasar pelaksanaan bahasa. 3. Mewujudkan Dasar pelaksanaan (dan penguatkuasaan) Bahasa, iaitu konsep dan proses yang melibatkan pindaan, pemantapan dan penyelarasan pelbagai undang-undang dan peraturan tentang penggunaan bahasa kebangsaan. 4. Mewujudkan Peraturan dan Kaedah pelaksanaan (dan Penguatkuasaan) Dasar Bahasa, iaitu peraturan dan kaedah tentang penggunaan atau penguatkuasaan bahasa yang terletak di bawah bidang kuasa semua pihak berkuasa awam tanpa membuat pindaan kepada undang-undang tentang bahasa yang sedang berkuat kuasa. PENUTUP Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang gilang gemilang. Berkali-kali bahasa Melayu telah membuktikan keupayaannya sebagai bahasa yang mampu menampung segala keperluan masyarakat penuturnya. Kini, dalam zaman cabarannya yang terbesar, iaitu cabaran yang dibawa oleh penutur aslinya sendiri, sekali lagi bahasa Melayu perlu diberi unsur pemerkasaannya. Dengan program pemerkasaan bahasa Melayu yang terancang dan direalisasikan dengan penuh kesedaran penghayatan dan bersepadu oleh semua pihak di sektor awam, swasta dan masyarakat umum, maka tidak syak lagi bahasa Melayu akan menjadi asas bagi pembentukan tamadun negara bangsa Malaysia moden dan digunakan dengan meluas dalam setiap bidang kehidupan di Malaysia, serta menjadi satu bahasa antarabangsa, pada tahun 2020. Surah Ibrahim ayat 4 menjelaskan, maksudnya, “Kami tidak mengutus seseorang rasul, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat member penjelasan dengan terang kepada mereka.”Berdasarkan terjemahan dalam surah Ibrahim di atas jelas kepada kita bahawa sesuatu bangsa atau kaum itu akan berjaya dan bertamadun apabila ianya menggunakan bahasanya sendiri. Marilah kita sebagai pencinta bangsa dan bahasa meneliti ungkapan pahlawan Melayu terbilang iaitu Hang Tuah yang mengajak bangsanya menjaga maruah dan bangsa melalui ungkapan keramatnya “Takkan Melayu Hilang di Dunia”. Bersama-samalah kita mengotakan kata-katanya. BIBLIOGRAFI Abdullah Hassan.(2007). Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I-VI (1952- 2002). Persatuan Penterjemah Malaysia, Kuala Lumpur. Abdul Ghani Othman.(2003). Jati Diri dan Kemandirian Bangsa. Dewan Bahasa. 3(3):24-25 Awang Sariyan.(2002). Ceritera tentang Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia.Dewan Bahasa. 2(10):26-23) Akta Bahasa Kebangsaan1963/67(Disemak1971). Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Peluasan). (1995). Akta Pendidikan 1996 Bengkel Khas Penegasan Semula Dasar Bahasa, (Dokumen terhad), D.B.P, 11 Mac 1997. Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta 1996-2000, (Dokumen terhad), Mesyuarat JKKPPBKSS 1/1998 pada 19 Februari 1998, Dewan Bahasa dan Pustaka. Ishak Haron.(2001). Analisis Penggunaan bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia. Kertas Kerja Konvensyen Bahasa Kebangsaan 2001, anjuran D.B.P, pada 2-4 Mei 2001. Ismail bin Dahaman, (1996). Laporan Status Senario Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Kebangsaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ismail bin Dahaman, (2007). Bahasa Melayu dan Pemerkasaannya: Dasar Bahasa dan Strategi Pelaksanaannya. Kertas Kerja dibentangkan di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu V, Dewan Tun Syed Nasir, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 2-3 Mei 1998. Kamus Dewan Edisi Keempat.(2005) Kalthum Ibrahim.(2001). Analisis Penggunaan bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia. Kertas Kerja Konvensyen Bahasa Kebangsaan 2001, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 2-4 Mei 2001. Laporan Penilaian Keberkesanan Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta Tahun 1996-1998 bagi Tempoh Enam Bulan (19 Ogos 1996 – 18 Februari 1997), (Dokumen terhad), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1 Mac 1997. Muhd. Amin Arshad. (2004). Pemerkasaan Bahasa Melayu: Senario Pasang Surutnya. Buku Monograf Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu. Bil. 9 Julai 2004. Universiti Putra Malaysia. Nik Safiah Karim, (2002). Bahasa Melayu Selepas SPM. Pelita Bahasa. 14(4):8-9 Nik Safiah Karim, (2002). MUET-Implikasi terhadap Bahasa Melayu. Pelita Bahasa. 14(3):8-9 Nik Safiah Karim, (2007). Bahasa Melayu dan Pemerkasaannya. Kertas Kerja dibentangkan di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu V, Dewan Tun Syed Nasir, anjuran Dewan Bahawa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 2-3 Mei 1998. Malaysia. Kementerian Pendidikan.(1982). Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Sasaran Kerja Utama Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996-2000 (Dokumen terhad) Al-Quran dan Terjemahannya: Surah Ibrahim: ayat 4: Pustaka Antara:1979.
Saturday, 26 May 2012
BAHASA MELAYU DAN PEMERKASAANNYA-Armalik b Mohd Ali [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]
Abstrak
Bahasa Melayu yang sekian lama telah memperoleh kedudukan dan peranan yang mantap kini kian tercabar. Usaha-usaha yang dilakukan untuk memartabatkan dan menjadikannya perkasa juga turut menghadapi kendala, dan mengalami situasi pasang-surutnya. Walaupun kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Tanah Melayu yang kemudiannya, Malaysia tetapi hal ini belum menjamin peluasan fungsinya dapat terus direalisasikan. Oleh itu, kertas kerja ini akan menjelaskan hakikat sebenar tentang keadaan dan kedudukan bahasa Melayu, menjelaskan cabaran-cabaran kini yang dihadapi oleh bahasa Melayu dan membincangkan cadangan-cadangan untuk perbincangan dan tindakan oleh semua rakyat Malaysia yang cinta akan bahasa kebangsaannya. Di samping itu juga, kertas kerja ini akan turut memperjelaskan keperluan kepada penegasan semula dasar bahasa.
PENGENALAN
Realiti sejarah membuktikan bahawa sesuatu bangsa maju apabila bangsa itu menggunakan bahasa sendiri sebagai alat untuk mencapai kemajuan dan membina tamadunnya. Sudah tentu bahasa Melayu juga mampu mencapai kemajuan. Yang penting, bangsa Melayu perlu menunjukkan semangat “Malaysia Boleh” dalam penggunaan bahasa Melayu. Semua pihak perlu mempunyai keyakinan tinggi bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang mampu digunakan dalam semua bidang pada semua peringkat. Bahasa Melayu perlu diberikan peranan yang sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Dewasa ini banyak isu-isu berkaitan bahasa Melayu diperkatakan. Perkara ini ada hubung kaitnya dengan perubahan dasar bahasa atau senario perubahan politik yang berlaku. Misalnya, isu kewajaran rakyat mengambil peperiksaan MUET (Malaysian University English Test) sebagai prasyarat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain itu, isu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang suatu ketika dijalankan dalam bahasa Inggeris kini berubah kembali kepada bahasa Melayu menjelang 2012. Apabila senario politik negara berubah, maka dasar pengajaran Sains dan Matematik ini juga turut berubah.
Dalam membincangkan tajuk kertas kerja ini mari kita fahami apakah yang dimaksudkan dengan frasa pemerkasaan. Kamus Dewan (2005:1190) mendefinisikan pemerkasaan sebagai perihal (perbuatan, usaha atau tindakan) memperkasakan. Namun begitu, dalam menghuraikan persoalan apakah yang dimaksudkan dengan Pemerkasaan Bahasa Melayu, Ismail Dahaman (2007) dalam kertas kerjanya bertajuk “Bahasa dan Pemerkasaannya: Dasar Bahasa dan Strategi Pelaksanaannya” mengutarakan Pemerkasaan Bahasa Melayu seharusnya membawa maksud yang berikut:
Peningkatan usaha bagi pemahaman dan penghayatan masyarakat terhadap Dasar Bahasa Negara dan Pelaksanaan Dasar Bahasa Tersebut.
Peningkatan usaha pembinaan aspek-aspek bahasa yang memperteguh sistem dalaman bahasa Melayu yang memungkinkannya digunakan dan dikembangkan dalam pelbagai bidang kehidupan moden kini dan alaf baru.
Pengukuhan usaha pembangunan infrastruktur bahasa Melayu dengan menekankan pelan induk pengembangan dan pelaksanaan penggunaannya dalam pelbagai bidang kehidupan moden kini dan alaf depan.
Justeru, tajuk kertas kerja ‘Bahasa Melayu dan Pemerkasaannya’ ini dipilih adalah untuk membincangkan persoalan tentang mengapa bahasa Melayu harus diperkasa dan dijaga martabatnya, memperjelaskan tentang keadaan dan kedudukan bahasa Melayu, membincangkan cabaran-cabaran kini yang dihadapi oleh bahasa Melayu, meneliti cadangan bagaimana memperkasakan bahasa Melayu dan akhirnya memperjelaskan keperluan kepada Penegasan Semula Dasar Bahasa.
Dalam hal ini, skop mauduk bicara kertas kerja ini akan menjurus menjawab kepada persoalan mengapakah bahasa harus diperkasa berdasarkan hakikat sebenar tentang keadaan dan kedudukan bahasa Melayu, cabaran-cabaran kini yang dihadapi oleh bahasa Melayu, cadangan untuk perbincangan dan tindakan oleh semua yang cinta akan bahasa kebangsaannya dan keperluan kepada penegasan semula dasar bahasa dalam konteks negara bangsa.
KEADAAN DAN KEDUDUKAN BAHASA MELAYU
Pada zaman silam
Sewaktu pejuang-pejuang kemerdekaan kita memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tindakan tersebut dibuat atas dasar sejarah dan kewajaran. Dari segi sejarah, bahasa Melayu telah terbukti berjaya sebagai “lingua franca” sejak zaman-berzaman. Bahasa Melayu menjadi bahasa perdagangan dalam kalangan penduduk wilayah ini, dan antara pedagang dari luar. Sewaktu orang Barat datang ke wilayah ini, mula-mula untuk berniaga tetapi kemudiannya untuk tujuan-tujuan lain, bahasa perhubungan dengan penduduk tempatan ialah bahasa Melayu.
Kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka disertai kegemilangan bahasa Melayu yang bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perniagaan, bahasa undang-undang dan bahasa perhubungan antara rakyat jelata. Apabila agama Islam dibawa ke wilayah ini, bahasa Melayu sekali lagi menjadi bahasa penting iaitu sebagai bahasa yang menyalurkan ajaran agama baharu itu.Bukti dari segi bentuk dan penggunaan bahasa Melayu terdapat dengan banyaknya.
Batu-batu bersurat yang ditemui di Pulau Jawa dan Sumatera menjadi bukti awal tentang kewujudan dan beberapa cirinya, diikuti dengan batu bersurat yang dijumpai di Terengganu, yang dengan jelas memperlihatkan bentuknya serta tulisannya, iaitu tulisan Jawi. Surat-surat kepada dan daripada beberapa raja Melayu, misalnya surat Sultan Ternate kepada Raja Portugal (abad ke-15) dan surat Sultan Aceh kepada King James I dari England (abad ke-17) memberi bukti yang amat nyata tentang peranan dan keupayaan bahasa Melayu. Demikian juga, kita melihat ratusan manuskrip yang ditulis dalam bahasa Melayu meliputi pelbagai bidang di samping kesusasteraan, antaranya agama, undang-undang dan budaya. Sesungguhnya, pada zaman silam, bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaan yang amat tinggi, digunakan dalam pelbagai domain penggunaan. Hanya mereka yang jahil tentang sejarah silam bahasa Melayu masih berasa sangsi tentang keupayaan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu pada zaman sekarang
Demikian juga kedudukan bahasa Melayu pada pertengahan abad ini (abad ke-21), iaitu antara tahun 70-an hingga awal tahun 90-an. Akibat perjuangan yang gigih, keyakinan yang amat tinggi tentang keupayaan bahasa Melayu, serta perancangan yang rapi, bahasa Melayu berkembang menjadi bahasa utama sebuah negara berdaulat, dihormati dan disanjung tinggi. Melalui Dasar Pendidikan Negara, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dan saluran bagi mengungkapkan ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
Melalui dasar bahasa yang mendasari falsafah pembinaan negara, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi serta bahasa perpaduan, digunakan dalam hampir semua situasi rasmi. Surat-menyurat kepada agensi kerajaan hanya dilayan jika ditulis dalam bahasa Melayu. Ucapan dan syarahan formal dikendalikan dalam bahasa Melayu, tidak kira latar belakang etnik pengguna bahasa itu. Lulusan sekolah dan universiti tempatan pandai berbicara dalam bahasa Melayu, bahkan terdapat pelajar-pelajar bukan Melayu yang penguasaan bahasa Melayu mereka lebih baik daripada penutur asli. Pada suatu ketika, jika kita tidak dapat meneka keturunannya, kerana bahasa Melayu yang digunakan itu tidak berbeza daripada bentuk yang digunakan oleh penutur asli.
Namun, kini awan mendung telah menyelimuti kesentosaan suasana bahasa Melayu. Atas alasan kita hendak maju, hendak menjadi sebuah negara industri yang berteraskan kemajuan sains dan teknologi, kerana kita ingin menjadi pusat kecemerlangan pada tahap antarabangsa, maka pucuk pimpinan kita telah menukar corak dan hala tuju pelayaran bahtera negara peraturan-peraturan baharu dan pindaan akta-akta yang berkenaan, sehingga kita mundur ke belakang, kepada keadaan seperti mula-mula memperoleh kemerdekaan dahulu, iaitu dalam tahun-tahun 50-an.
Bahasa Melayu menjadi terpinggir, disingkir oleh orang Melayu sendiri, melalui bahasa Inggeris.Pengajaran ilmu pengetahuan kini mula dikendalikan balik dalam bahasa Inggeris.Surat-menyurat kepada kerajaan boleh ditulis dalam apa jua bahasa tanpa menunjukkan tanda hormat kepada bahasa kebangsaan negara. Rakyat jelata mengambil contoh daripada para pemimpin dari segi amalan berbahasa; mereka turut menghasilkan bahasa rojak yang memalukan bukan sahaja pencinta bahasa Melayu tetapi juga pencinta bahasa Inggeris kerana taraf pencapaian yang amat rendah. Sekolah yang mula menjadikan bahasa Inggeris bahasa pengantar makin bertambah, dan lulusan aliran bahasa Melayu menjadi anak tiri di negara mereka sendiri.
CABARAN-CABARAN KINI YANG DIHADAPI OLEH BAHASA MELAYU
Dengan ringkasnya, menurut Nik Safiah Karim (2007), cabaran dihadapi oleh bahasa Melayu dapat dikategorikan kepada DUA, iaitu:
a. Dari segi bahasa Melayu itu sendiri, dan
b. Dari segi luaran, khususnya sikap pihak-pihak tertentu terhadap bahasa Inggeris vis-à-vis bahasa Melayu.
Dari sudut (a), antara aspek-aspek yang perlu disedari ialah:
i. Perlunya diusahakan supaya bahasa Melayu kekal sebagai bahasa yang dihormati oleh warganegara Malaysia dan digunakan pada situasi-situasi yang relevan.
ii. Menentukan bentuk bahasa Melayu segar dan bertenaga untuk memikul tugas dan cabaran abad ke-21.
Dari sudut (b) pula, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian:
i. Pihak yang memperjuangkan bahasa Inggeris perlu disedarkan bahawa keghairahan mereka akan menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
ii. Tidak ada warganegara yang menolak kepentingan bahasa Inggeris kerana bahasa tersebut penting sebagai bahasa perhubungan di dunia antarabangsa dan bahasa untuk menimba ilmu pengetahuan. Yang perlu disedari ialah bahawa kaitan emosi berbeza. Hubungan dengan bahasa Inggeris hendaklah dilihat sebagai hubungan yang berasaskan unsur utiliti, kerana statusnya sebagai bahasa Melayu adalah sebagai bahasa kebangsaan yang berkait rapat dengan jati diri dan maruah bangsa. Di sinilah unsur emosi memainkan peranan penting.
CADANGAN MEMPERKASA BAHASA MELAYU
Menurut Nik Safiah Karim (2007), dalam memperkasa bahasa Melayu hendaklah dilihat dari TIGA perspektif, iaitu dari perspektif penggunaan bahasa, dari perspektif bahasa Melayu itu sendiri dan dari sudut globalisasi
Dari perspektif penggunaan bahasa
Sesuatu bahasa itu akan dihormati oleh semua pihak jika penutur aslinya menghormati bahasa mereka sendiri. Selagi kita tidak menunjukkan tanda-tanda yang jelas bahawa kita mempunyai rasa kasih sayang serta menyanjung bahasa kita sendiri, maka demikianlah juga sikap orang lain terhadap bahasa kita. Oleh itu, yang paling pokok dalam soal memperjuangkan bahasa kita ialah sikap positif kita terhadap bahasa Melayu, yang antara lain dimanifestasikan melalui:
a) Menggunakannya dengan baik, betul dan indah.
b) Menggunakannya pada setiap waktu yang relevan, seperti dalam situasi rasmi, dan tidak menggantikannya dengan bahasa lain apabila ada sahaja orang lain yang dikhuatiri tidak akan memahami bahasa kita (walau seorang sahaja dalam khalayak ratusan orang yang memahaminya).
c) Mengadakan usaha-usaha konkrit bagi menentukan semua orang (Melayu dan bukan Melayu) menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul melalui langkah-langkah seperti kursus, bengkel, dan seminar.
d) Membetulkan segala kesalahan bahasa yang digunakan, terutama pada situasi rasmi dan dilihat oleh khalayak ramai, misalnya papan tanda dan arahan serta surat-menyurat.Sikap tidak sanggup menerima bentuk bahasa Melayu yang tidak baik dan betul harus dipegang. Kita mesti mengikis sikap tolak ansur yang merugikan, iaitu menerima sahaja apa bentuk sedemikian memberi gambaran bahawa kita
tidak begitu memberatkan soal bahasa kita.
e) Memupuk suasana menghayati pengungkapan yang indah dalam bahasa Melayu, iaitu menyemai suasana menghayati pengucapan bahasa Melayu dalam karya kreatif. Sudah tiba masanya kita memberi perhatian serius kepada penghasilan yang bermutu dalam bidang seni selain bersajak, misalnya drama, filem, dan karya- karya kreatif lain yang pada masa ini kurang mendapat perhatian. Naungan daripada orang Melayu perlu bagi bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa pengucapan pada tahap yang lebih tinggi.
Dari perspektif bahasa Melayu itu sendiri
Proses pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu perlu diteruskan dan ditingkatkan supaya penentangnya tidak dapat menggunakan alasan bahawa bahasa Melayu tidak sesuai sebagai bahasa sains dan teknologi dan bahasa abad ke-21.Kerap kali kita mendengar alasan tidak cukup istilah dikemukakan apabila mereka mencadangkan menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bidang sains dan teknologi. Kekurangan buku dalam bahasa Melayu juga selalu dikemukakan untuk mengatakan bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi. Oleh itu, antara langkah-langkah yang perlu diberi perhatian ialah:
a) Kegiatan-kegiatan pengembangan dan pembinaan bahasa hendaklah diteruskan, bukan sahaja oleh badan perancangan bahasa kita (Dewan Bahasa dan Pustaka) tetapi juga oleh pihak-pihak lain seperti universiti dan institusi pendidikan. Satu bidang yang harus diberi perhatian khusus ialah peristilahan, terutama dalam bidang-bidang baharu.
b) Usaha penterjemahan hendaklah ditingkatkan. Peranan Institut Terjemahan Negara perlu disemak untuk menentukan bahawa salah satu daripada kegiatannya meliputi terjemahan bahan-bahan yang perlu dalam kegiatannya meliputi terjemahan bahan-bahan yang perlu dalam proses pembinaan bahasa Melayu.
c) Kegiatan penghasilan buku-buku pengajian tinggi hendaklah diusahakan oleh universiti-universiti tempatan dan badan-badan lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Hanya dengan membuktikan keupayaan bahasa Melayu mengungkapkan pelbagai ilmu pengetahuan sahaja dapat kita yakinkan penentang bahasa Melayu akan kebolehannya. Dalam konteks ini peranan kerajaan juga perlu, iaitu dari segi penyediaan subsidi dan galakan-galakan lain.
d) Elakkan kegiatan membesar-besarkan perbezaan kecil tentang bahasa Melayu kerana ini memberi gambaran bahawa bahasa kita masih belum mantap. Sebagai contoh ialah usaha menukarkan “balai berlepas” kepada “balai pelepasan” dan perbincangan yang berpanjangan dalam media massa. Ini memberi peluang kepada penentang bahasa Melayu mengatakan bahawa kita belum layak menjadi bahasa ilmu kerana persoalan-persoalan kecil seperti ini pun masih belum dapat diselesaikan.
e) Usaha juga hendaklah dibuat supaya ditingkatkan aspek-aspek estetik bahasa Melayu, baik dari segi sebutan, ejaan, bentuk ayat mahupun cara pengungkapannya. Hanya dengan memperlihatkan taraf estetika bahasa Melayu yang tinggi dapat kita tunjukkan keupayaan bahasa kita dan potensi yang ada padanya.
Dari sudut globalisasi
Dalam konteks dunia yang semakin kecil dan semangat globalisasi yang makin merancak, bahasa Melayu juga harus memperlihatkan aspek-aspek globalisasinya. Oleh itu, kita sebagai pejuang dan pemupuk taraf dan kedudukan bahasa Melayu hendaklah berfikir dan menyusun strategi ke arah ini. Antaranya:
a) Berfikir dalam konteks menyediakan bahasa Melayu menjadi bahasa ASEAN. Perkara ini tidak mustahil, tetapi memerlukan langkah diplomasi di samping persiapan-persiapan infrastruktur untuk merealisasikan impian ini. MABBIM (Majlis Bahasa Brunei Darussalam,Indonesia dan Malaysia) telah mula memikirkan hal ini. Mungkin pihak-pihak lain boleh bergabung tenaga untuk menyusun strategi bersama ke arah matlamat ini.
b) Soal pengantarabangsaan bahasa Melayu juga perlu diberi perhatian. Dewan Bahasa dan Pustaka telah memulakan beberapa langkah konkrit. Walaupun keadaan kegawatan ekonomi tidak mengizinkan perancangan yang besar, tahap perbincangan dan penyusunan strategi boleh dimulakan.
Dalam kertas kerja yang dibentangkan di Persidangan Melayu Sedunia ke-V, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Nik Safiah Karim melihat aspek mengantarabangsakan bahasa Melayu daripada dua sudut iaitu :
i. Membawa bahasa Melayu ke dunia antarabangsa, seperti yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan pihak-pihak lain, dan
ii. Menjadikan bahasa Melayu bahasa yang wajib bagi pelajar-pelajar asing yang datang ke negara ini untuk belajar (tidak kira dalam institusi awam atau swasta). Dengan demikian, semua warganegara asing terdedah kepada bahasa Melayu.
c) Dunia kini ialah dunia Teknologi Maklumat (TM) Malaysia juga turut dalam arus ini. Sehingga kini, seolah-olah bahasa Inggeris sahaja menjadi bahasa Teknologi Maklumat. Oleh itu, amat penting kita menunjukkan bahawa bahasa Melayu juga Mampu menjadi bahasa saluran TM. Agar ini dapat dicapai, maka pelbagai usaha perlu diadakan untuk menentukan bahasa Melayu tidak tertinggal dalam arus perkembangan ini.
KEPERLUAN KEPADA PENEGASAN SEMULA DASAR SEMULA DASAR BAHASA
Penegasan Semula dasar Bahasa
Konsep: Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia telah bersetuju supaya Dewan Bahasa Pustaka menyebarkan maklumat tentang perlunya “Penegasan Semula Dasar Bahasa” kepada semua jabatan sektor awam, sektor swasta dan masyarakat umum.
Matlamat: Matlamat penegasan semula pelaksanaan dasar bahasa adalah “untuk memperjelas dan memperkukuh kedudukan dan pembangunan fungsi bahasa Melayu supaya dapat menjadi asas bagi pembinaan tamadun negara bangsa Malaysia dalam abad ke-21”.
Tujuan: Tujuan penyebaran maklumat tentang perkara ini kepada sektor awam, sektor swasta dan masyarakat umum adalah untuk mencapai maksud-maksud yang berikut:
i. Membina sikap dan iltizam baru di kalangan semua pihak supaya dapat menghayati dan melaksanakan kehendak dasar bahasa negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Disemak 1971) supaya kedudukan dan peranan bahasa Melayu diutamakan dan disesuaikan dengan keperluan alaf depan dan matlamat Wawasan 2020.
ii. Meminta pihak-pihak berkuasa kerajaan menyusun rancangan strategik untuk meningkatkan pelupusan dan kualiti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di jabatan masing-masing; dan
iii. Memastikan pihak-pihak berkuasa kerajaan mengadakan rancangan strategik bersepadu yang membolehkan mereka mengembangkan penggunaan bahasa kebangsaan di sektor swasta yang terletak di bawah pengawasan dan bidang kuasa masing-masing.
Tumpuan Penegasan Semula: Perkara-perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam penegasan semula pelaksanaan dasar bahasa :
1. Keperluan bagi penegasan semula pelaksanaan dasar bahasa negara.
2. Dasar bahasa negara dan fungsi bahasa negara.
3. Senario pencapaian pelaksanaan dasar bahasa negara.
4. Permasalahan utama pelaksanaan yang memerlukan penyelesaian menyeluruh.
5. Peranan agensi perancangan bahasa: Dewan Bahasa dan Pustaka
6. Peranan agensi pengembangan bahasa: pihak-pihak berkuasa kerajaan
7. Perancangan strategik bagi penyelesaian masalah untuk pembangunan bahasa Melayu menuju tahun 2020.
Dasar Bahasa dan Fungsi Bahasa Melayu–Dasar Bahasa Negara
Fungsi bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain disebut dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67(Disemak1971). Daripada kedua-dua undang-undang induk tersebut telah diperluas tafsiran terhadap kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam beberapa undang-undang yang lain, serta di dalam peraturan-peraturan jabatan. Dengan demikian, dapatlah dikatakan negara kita mempunyai “Dasar Bahasa Negara”. Secara ringkas, undang-undang Malaysia menetapkan perkara-perkara yang berikut:
1. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia.
2. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.
3. Rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan,belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain.
Fungsi Bahasa Melayu untuk keperluan dalam negara. Fungsi yang ditafsirkan daripada kehendak undang-undang adalah seperti yang berikut:
1. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan.
2. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi.
3. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar pendidikan.
4. Bahasa Melayu menjadi bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama, dan falsafah.
5. Bahasa Melayu menjadi bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri.
6. Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi.
Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi: Bahasa rasmi ialah bahasa komunikasi lisan dan tulisan yang digunakan bagi semua maksud rasmi
kerajaan, iaitu bagi maksud fungsi komunikatif perkhidmatan yang berikut:
1. Komunikasi dalam jabatan dan antara sesama jabatan sektor awam.
2. Komunikasi antara jabatan sektor awam dengan pihak sektor swasta (dan korporat), dan sebaliknya.
3. Komunikasi antara jabatan sektor awam dengan orang ramai (orang awam) dan sebaliknya.
Fungsi Utama dan Fungsi Komunikatif Bahasa Kebangsaan: Sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa Melayu ditakrifkan mempunyai fungsi utama, antara lain, yang berikut:
1. Menjadi lambang identiti atau citra negara Malaysia yang dibuktikan dengan penggunaan nama-nama khas dan penggunaan
bahasa kebangsaan di tempat awam dan melalui media massa serta penggunaannya yang berstatus negara.
2. Menjadi wahana pemersatuan warganegara dan penduduk Malaysia dengan konsep “satu bahasa kebangsaan bagi seluruh bangsa Malaysia”.
Menjadi wahana komunikasi umum (lisan dan tulisan) antara kelompok masyarakat penutur bahasa dan kegunaan umum di Malaysia yang berikut :
1. Komunikasi antara dua individu atau lebih yang berlainan etnik, bahasa dan budaya yang menjadi warganegara Malaysia.
2. Komunikasi antara pihak kerajaan (sektor awam) dengan orang ramai, dan sebaliknya.
3. Komunikasi antara pihak kerajaan (sektor awam) dengan pihak sektor swastakan korporat, dan sebaliknya.
4. Komunikasi antara pihak sektor swasta dan korporat dengan pelanggan dalam negeri, dan sebaliknya.
5. Komunikasi dalam bentuk iklan, nama khas, pengumuman, arahan dan seumpamanya, yang dipamerkan di tempat awam atau di khalayak ramai atau disiarkan melalui media massa.
6. Siaran melalui media massa.
Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar bagi Sistem Pendidikan Kebangsaan:
Fungsi bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan diringkaskan daripada Akta Pendidikan 1996 seperti berikut :
1. Bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran (bukan bahasa) di peringkat Pendidikan prasekolah, rendah dan menengah kerajaan.
2. Bahasa pengantar bagi semua subjek yang diajarkan di institusi pendidikan tinggi awam Malaysia.
3. Mata pelajaran wajib yang dijalankan di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
4. Subjek wajib yang diajarkan di semua jenis dan peringkat institusi pendidikan swasta.
No comments:
Post a Comment