Wednesday, 23 May 2012
KONSEP BUDI DALAM BUDAYA MELAYU DAN KAITANNYA DENGAN NEGARA BANGSA-Syazlina bt Hj Abd Aziz [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]
Abstrak
Kertas kerja ini memfokuskan bahasa dan budaya dalam pantun Melayu lama yang berkonsepkan budi. Kajian ini menggunakan buku ‘Kurik Kundi Merah Saga’ yang mengandungi pelbagai jenis tema pantun dan salah satunya adalah bertemakan pantun budi. Sebanyak 184 rangkap pantun budi telah dikaji dalam kajian ini. Kajian ini membincangkan dan mengenal pasti nilai budi yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu berdasarkan bahasa dalam pantun Melayu lama dan mengenal pasti sejauh mana penciptaan pantun dapat menggambarkan konsep budi dalam masyarakat dan budaya orang Melayu. Kajian terhadap koleksi pantun lisan bahasa Melayu ini bertemakan budi ini telah didapati bahawa konsep budi dalam masyarakat Melayu dikategorikan kepada budaya hidup berbudi dan budaya hidup berbudi bahasa/berbudi pekerti. Pantun Melayu lama yang bertemakan budi merupakan pancaran bahasa dan budaya Melayu. Hasil kajian ini juga memperlihatkan bahawa karya puisi Melayu lama yang mengandungi nilai budi ini menunjukkan kaitan antara budaya dan bahasa yang mampu meningkatkan martabat atau kualiti bukan sahaja masyarakat Melayu malah juga negara bangsa kita ini.
PENGENALAN
Kertas kerja ini membincangkan tajuk ” Konsep Budi Dalam Budaya Melayu dan Kaitannya dengan Negara Bangsa “ yang merujuk kepada konsep pantun bertemakan budi yang terdapat dalam buku ‘Kurik Kundi Merah Saga - Koleksi Pantun Lisan Melayu’. Hal ini demikian kerana pantun merupakan salah satu budaya bangsa Melayu yang asli. Masyarakat Melayu tradisional amat menyanjung tinggi budi. Hal ini dapat dilihat melalui bahasa yang diungkapkan dan makna yang diterjemahkan melalui pantun bertemakan budi.
Menurut Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dalam syarahan yang disampaikan oleh beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 4 Disember 2009 menerusi tajuk “Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu “ menyatakan bahawa orang Melayu mempunyai kebijaksanaan dalam memanipulasikan setiap kata dan gaya hidup mereka dalam pantun. Masyarakat Melayu pula merupakan masyarakat yang mempunyai daya fikir yang amat tinggi. Mereka mencipta serta mendedahkan rasa melalui pantun yang diciptanya.
Haron Mat Piah (1989:206) menyatakan dari segi tema dan isi, pantun dapat membawa pelbagai tema yang menerangkan dan amalan hidup bermasyarakat antaranya ialah pengajaran, nasihat, agama dan adat. Manakala Pendeta Za’ba dalam bukunya Pelita Bahasa Melayu Penggal 1-111(2000) mengatakan bahawa pantun inilah cara karangan berangkap yang betul-betul menjadi hak milik bangsa Melayu dan benar-benar mempunyai semangat Melayu.
Masyarakat Melayu menggunakan pantun bagi menyampaikan maksud dengan menggunakan patah–patah perkataan yang baik dan mempunyai makna yang tersirat untuk menegur, menasihati, dengan menggunakan perkataan–perkataan yang tidak menyinggung perasaan orang yang mendengar pantun tersebut.
Objektif kertas kerja ini ialah untuk mengenal pasti nilai budi yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu berdasarkan bahasa dalam pantun Melayu lama serta mengenal pasti sejauh mana penciptaan pantun dapat menggambarkan konsep budi dalam masyarakat dan budaya orang Melayu yang secara tidak langsung mampu meningkatkan martabat bangsa Melayu.
Batasan kajian mengenai “Konsep Budi Dalam Pantun Melayu Lama” ini menjurus kepada koleksi pantun yang bertemakan budi dengan merujuk buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang diberi judul “ Kurik Kundi Merah Saga- Kumpulan Pantun Lisan Melayu “. Kajian mengenai pantun ini berdasarkan sebanyak 184 rangkap pantun berkenaan budi daripada muka surat 593 sehingga 616 dalam buku “Kurik Kundi Merah Saga Kumpulan Pantun Lisan Melayu”.
Konsep budi dalam bahasa Sanskrit bererti asas hikmah. Menurut Wilkinson dan Winstedt(1961:3) untuk mengenali budi orang Melayu adalah dengan memahami pantun Melayu. Menerusi pantun Melayu kita dapat mengenal betapa masyarakat Melayu sangat menyanjung perilaku berbudi. Malah kehalusan budaya dan bahasa dalam masyarakat Melayu menyebabkan orang Melayu banyak meneliti, memikir, menaakul sesuatu perkara. Namun bentuk pernyataan yang ingin diutarakan dalam pertuturannya diungkap menerusi pantun. Mereka lebih suka berkias ibarat untuk menyampaikan sesuatu menerusi berpantun.
Konsep pantun budi ini berdasarkan kepada budi yang diberi dengan hati yang ikhlas dan tidak mengharap apa–apa balasan daripada orang yang menerima budi. Konsep budi juga menekankan sejauh mana lahirnya hati budi seseorang terhadap apa-apa yang diberi seperti membantu seseorang yang memerlukan pertolongan. Kebiasaannya budi seseorang itu akan tetap menjadi kenangan walaupun jasad telah hancur dimamah bumi.
Awang Had Salleh (1985:5) menjelaskan bahawa masyarakat Melayu amat menyanjung nilai budi sehingga budi itu diibaratkan sebagai sendi bangsa kerana bagi beliau jika runtuh budi maka akan runtuhlah sesuatu bangsa itu. Masyarakat Melayu beranggapan bahasa budi itu sama dengan hati budi seseorang dan budi itu merupakan hati bagi sesuatu tamadun bangsa dan tanpa budi, budaya bangsa tidak dapat ditegakkan. Malah pengaruh luar yang mula menyerapi nilai-nilai budi yang ada dalam masyarakat kita akan mula menimbulkan krisis yang boleh menjejaskan ketamadunan sesuatu bangsa.
Malah menurut sabda Nabi Muhammad “Aku diutus tidak lain hanyalah untuk menyempurnakan budi pekerti mulia” , sabda junjungan kita Pesuruh Tuhan, Nabi Muhammad(s.a.w) menyatakan maksud kedatangannya ke alam ini yang ingin menyempurnakan budi pekerti yang mulia dalam kalangan manusia. Kata-kata Nabi Muhammad ini jelas menunjukkan agama amat mengutamakan budi pekerti dalam kehidupan manusia
Jika dilihat dalam aspek pantun Melayu lama, pantun ini yang merupakan genre puisi yang digemari . Nilai budi yang ada dalam pantun diserapkan dalam masyarakat sebenarnya mampu mengangkat martabat sesuatu bangsa. Ketinggian martabat sesuatu bangsa bertunjangkan budi yang ada dalam kelompok masyarakatnya. Malah menerusi pantun Melayu lama mencerminkan sifat dan sikap orang Melayu yang nyata amat mementingkan budi kerana budi itu mampu menjadi tonggak utama pembentukan sesuatu bangsa yang bermartabat di persada antarabangsa.
Nilai Budi Dalam Masyarakat Melayu
Berdasarkan kajian menerusi buku Kurik Kundi Merah Saga iaitu Kumpulan Pantun Melayu Lisan, telah didapati dalam kesemua 184 rangkap pantun yang terdapat dalam koleksi pantun bertemakan budi boleh dibahagikan kepada hidup berbudi dan hidup berbudi bahasa. Sebanyak 134 pantun tersebut memberi maksud hidup berbudi kepada seseorang iaitu dalam kehidupan kita ini kita perlu bantu membantu antara satu sama lain. Bantu membantu itulah yang dimaksudkan berbudi. Manakala sebanyak 50 rangkap pantun daripada 184 rangkap pantun budi ini memberi erti berbudi bahasa dari segi tingkah laku dan sikap seseorang terhadap seseorang yang lain. Nilai budi dalam masyarakat Melayu terdiri daripada berikut iaitu:
Mengenang Budi
Setelah menyelidiki kesemua 184 rangkap pantun bertemakan budi dalam buku ‘Kurik Kendi Merah Saga’ ini didapati maksud pantun berkenaan mengenang budi mendominasi kebanyakan pantun dalam buku ini. Antara pantun–pantun tersebut adalah seperti berikut:
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik Bercabang Tiga;
Hancurlah badan dikandung tanah,
Budilah baik dikenang juga.
Pulau Daik banyak kelapa,
Pulau Karimon banyak pegaga;
Budi baik payah dilupa,
Beribu tahun dikenang juga
Pantun–pantun di atas mengemukakan tema mengenai kedudukan budi di dalam hubungan individu dengan masyarakat. Setiap budi baik yang diterima tidak akan mudah untuk dilupakan . Segala kebaikan budi itu akan sentiasa terpahat dalam kenangan. Orang yang suka mengenang budi baik orang lain terhadapnya adalah seseorang yang mempunyai sifat-sifat yang baik dan merupakan lambang kepada keperibadian atau identiti seseorang.
Tidak Mengenang Budi
Dalam koleksi pantun budi ini juga diselitkan beberapa pantun yang membawa maksud tidak mengenang budi antaranya ialah:
Encik Elok minum di kendi,
Kendi berisi minyak lenga;
Apa dipujuk abang berbudi,
Dalam berbudi banyak terkena.
Pucuk belinjau si daun seranti,
Sayang kembang pasang pagi;
Hati risau tidak terperi,
Kekasih tidak mengenang budi.
Beberapa rangkap pantun di atas pula menunjukkan makna yang tersirat tentang sikap tidak mengenang budi. Biasanya orang Melayu yang telah menerima budi akan mengenang budi orang yang berbudi kepadanya. Namun jika dilihat kepada rangkap-rangkap pantun di atas menunjukkan hal sebaliknya. Aspek ini bertentangan dengan sikap orang Melayu yang merupakan bangsa yang cermat dan cukup teliti dalam soal budi. Malah, kita sememangnya dituntut agar tidak mudah lupa dan sentiasa mengenang serta menghormati orang yang berbudi kepada kita.
Tidak Hendak Berbudi
Berikut pula merupakan beberapa rangkap pantun yang membawa pengertian tidak mahu menjadi seseorang yang berbudi iaitu:
Burung pipit burung kedidi,
Hinggap di pokok di tepi sawah;
Jika hidup tidak berbudi,
Ibarat pokok tidak berbuah.
Hari redup menyemai padi,
Wak Dolah menanam jagung;
Kalau hidup tidak berbudi,
Duduk salah berdiri canggung.
Ambil kain buangkan baju,
Kerana baju tidak bertepi;
Ambil lain buangkan aku,
Kerana aku tidak berbudi.
Dalam konteks tidak berbudi ini, didapati menerusi koleksi pantun budi dalam buku Kurik Kendi Merah Saga amatlah sedikit. Hanya tiga rangkap pantun sahaja yang menceritakan tentang hal tidak berbudi. Rangkap pertama pantun budi di atas dalam baris pantun “Jika hidup tidak berbudi ibarat pokok tidak berbuah” membawa maksud dalam kehidupan seseorang individu itu perlu berbuat bakti atau berbudi kepada orang lain. Orang yang tidak berbudi ini disamakan dengan pokok yang tidak berbuah iaitu pokok yang ada pada bentuk fizikalnya tetapi tidak memberikan apa–apa pulangan atau hasil adalah dianggap tidak mendatangkan keuntungan kepada orang yang menanamnya.
Dalam baris pantun ‘jika hidup tidak berbudi ibarat pokok tidak berbuah’ membawa maksud bahawa seseorang individu yang tidak tahu atau tidak mahu berbudi juga dianggap tidak menguntungkan sedangkan dalam Islam menggalakkan kita agar sentiasa bantu-membantu yang boleh mendatangkan pahala kepada kita. Apabila kita membantu seseorang bermakna kita berbudi kepadanya.
Suka Berbudi
Pantun-pantun yang mempunyai maksud tersirat berkenaan suka berbudi juga terdapat dalam buku Kurik Kundi Merah Saga, antaranya adalah seperti berikut:
Kalau tuan bawa perahu,
Muatan isi buah berangan;
Hendak berbudi biar selalu,
Supaya boleh buat kenangan.
182 Mari kita menanam padi,
Padi ditanam di dalam bendang;
Marilah kita menabur budi,
Supaya kita dikenang orang.
Dua rangkap pantun di atas pula menunjukkan ajakan agar suka berbudi kepada orang lain. Malah memang sudah memang menjadi budaya orang Melayu berbuat kebaikan antara satu sama lain. Pantun-pantun di atas menyarankan agar kita agar selalu berbudi kepada orang agar kita akan terus dikenang sehingga ke akhir hayat. Bahkan sebagai kaum muslimin kita perlu bangkit menegakkan nilai budi dalam masyarakat kita sebagaimana Nabi Muhamad yang mengambil tauhid iaitu Ketuhanan Yang Maha Esa menjadi dasar budi.
Tidak Meminta Budi Dibalas
Sudah menjadi budaya orang Melayu tidak mahu budi baiknya diberi balasan terutama bagi mereka yang ikhlas untuk berbudi. Dalam koleksi pantun budi dalam buku Kurik Kundi Merah Saga terdapat dua rangkap pantun yang membawa maksud tidak mahu budi mereka dibalas, pantun – pantun tersebut adalah seperti berikut:
Pucuk palas si daun palas,
Tetak mari beranti-ranti;
Bukan berbudi minta balas,
Asal ingat dalam hati.
Orang hulu menebang jati,
Orang darat menetak palas;
Kalau nak tahu budi sejati,
Tidak berhajat minta dibalas.
Pantun di atas pula mempunyai maksud berkenaan kepentingan budi yang tidak mahu dibalas. Dua baris maksud kedua-dua pantun di atas menjelaskan bahawa seseorang yang telah berbudi kepada seseorang yang lain tidak mengharapkan agar budi yang dicurahkan selama ini dibalas oleh individu yang menerima budi yang diberikan kepadanya sebelum itu. Maksud pantun di atas ialah orang yang berbudi hanya meminta agar budi yang telah dicurahkan diingati tanpa perlu memberikan balasan.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa dalam masyarakat Melayu sudah memang telah menjadi kelaziman dalam budaya Melayu seseorang yang berbudi tidak mengharapkan agar budi baik yang dicurahkannya dibalas sewajarnya tetapi cukuplah sekadar dengan mengingati budinya itu. Sudah sememangnya masyarakat Melayu tinggi dengan nilai budi dalam kehidupan mereka.
Meminta agar budi dibalas
Orang menggali ubi,
Ubi digali lagi muda;
Penat saya menabur budi,
Belum juga mendapat jasa.
Penat sudah saya kemudi,
Tidak sampai ke Gunung Daik;
Penat sudah saya berbudi,
Tidak juga mendapat baik.
Secara tersirat pantun di atas adalah tentang kemahuan individu yang mahu mendapat ganjaran dan balasan atas budi yang telah dicurahkannya. Dalam konteks ini tidak nampak keikhlasan orang yang berbudi kerana berdasarkan pantun sudah jelas menunjukkan bahawa orang yang memberikan budi itu mempunyai niat tertentu atau mahukan agar budinya dibalas. Ini bertentangan dengan budaya masyarakat Melayu iaitu apabila seseorang itu menabur budi dia perlu mempunyai keikhlasan semasa berbudi dan tidak mahu kebaikannya itu diketahui oleh orang lain ataupun mengharapkan budi yang diberikannya itu diberi balasan yang sewajarnya.
Berbudi Bahasa
Dalam koleksi pantun bertemakan budi ini menunjukkan beberapa rangkap pantun yang membawa maksud ada budi bahasa atau budi pekerti. Antaranya seperti pantun berikut:
Anak itik pandai menari,
Anak angsa terlompat-lompat;
Rupa cantik dapat dicari,
Budi bahasa mana nak dapat.
Kain batik sama sujinya,
Dalam sumbu tali belati;
Orang baik budi bahasanya,
Diingat juga sampai mati.
Nanas dijual di pasar niaga,
Ramai orang datang membeli;
Emas perak hiasan dunia,
Budi bahasa perhiasan diri.
Berdasarkan beberapa rangkap pantun dalam buku Kurik Kundi Merah Saga ini telah didapati makna pantun–pantun tersebut menjurus kepada pengklasifikasian budi ini kepada budi bahasa atau budi pekerti. Menurut sabda Nabi Muhammad “Aku diutus tidak lain hanyalah untuk menyempurnakan budi pekerti mulia”, sabda junjungan kita Pesuruh Tuhan ,Nabi Muhammad(s.a.w) menyatakan maksud kedatangannya ke alam ini yang ingin menyempurnakan budi pekerti yang mulia dalam kalangan manusia.
Tidak Berbudi Bahasa
Koleksi Pantun Lisan Melayu ini juga mengumpulkan pantun–pantun lama yang membawa maksud seseorang yang tidak berbudi bahasa. Berikut adalah pantun–pantun yang terdapat dalam koleksi pantun bertemakan budi tersebut.
Anak teruna menanam betik,
Buah cempedak dalam raga;
Apalah guna berwajah cantik,
Kalau kurang budi bahasa.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak berbaju kasa;
Apa guna memandang cantik,
Kalau tidak berbudi bahasa.
Dalam baris ketiga dan keempat iaitu ‘apalah guna berwajah cantik kalau kurang budi bahasa’ menerangkan bahawa sering kali kecantikan menguasai semua ruang kehidupan dan mendapat keutamaan dalam segala hal. Namun dalam masyarakat Melayu, kecantikan tidak menjadi aset utama seseorang itu disanjung berbanding dengan budi bahasa.
Nilai Budi dalam Budaya Melayu dalam Konteks Negara Bangsa
Sekiranya kita melihat kepada pengklasifikasian pantun budi, kita akan dapati koleksi pantun-pantun bertemakan budi ini terbahagi kepada budaya hidup berbudi dan budaya berbudi bahasa atau berpekerti mulia.
Budaya Hidup Berbudi
Berdasarkan kedominanan pantun bermaksud mengenang budi dalam koleksi pantun ini besarlah erti budi dalam budaya masyarakat Melayu yang amat menitikberatkan budi yang telah dicurahkan kepada seseorang dari seseorang. Dalam budaya masyarakat Melayu ,seseorang yang telah berbudi kepada seseorang yang lain akan tetap menjadi sebutan dan kenangan dalam ingatan orang yang menerima budi walaupun jasad orang yang berbudi tersebut telah hancur dikandung dek tanah bertahun-tahun yang lalu.
Justeru, berbudi kepada seseorang dan mengenang budi orang adalah sangat penting dalam budaya masyarakat Melayu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dalam budaya masyarakat Melayu nilai mengenang budi adalah sangat diutamakan dalam minda pemikiran bangsa Melayu. Pada zaman dahulu, dalam pemikiran masyarakat Melayu tradisional, mereka sangat mengenang dan menghargai orang yang banyak berbudi kepada mereka di mana individu yang berbudi ini sangat dihormati dan dipandang tinggi dalam masyarakat Melayu lama. Dalam koleksi pantun ini didapati juga kurangnya pantun yang membawa maksud tidak mahu berbudi. Ini pula menunjukkan bahawa dalam budaya masyarakat Melayu tradisional amnya sikap berbudi menjadi sikap yang mendominasi budaya masyarakat Melayu berbanding dengan sikap tidak berbudi.
Malah kita sememangnya dituntut agar sentiasa mengenang budi yang baik yang telah dicurahkan seseorang kepada kita. Sikap mengenang budi adalah sifat yang sangat terpuji dan dipandang mulia oleh Tuhan. Kebaikan yang kita berikan itu kadang-kadang tidak dapat dibalas secara nyata kerana mungkin kurang berkemampuan tetapi di dalam hati masing – masing budi baik itu akan tetap dikenang sepanjang hayat dikandung badan. Menerusi sikap mengenang budi ini dalam pantun budi, kita boleh memupuknya dalam kalangan masyarakat agar meletakkan bangsa Melayu satu bangsa yang memartabatkan bangsanya melalui khazanah lama puisi secara tidak langsung meninggikan martabat negara bangsa kita ini.
Sebahagian koleksi pantun ini juga menunjukkan bahawa dalam budaya masyarakat Melayu tetap ada individu yang tidak mengenang budi yang telah dicurahkan oleh seseorang kepadanya. Meskipun kebiasaannya budi akan dikenang namun ada ketikanya juga seseorang itu tidak mengenang budi yang telah diberikan orang kepadanya. Sekiranya sikap tidak mengenang budi ini mendominasi akhlak masyarakat Melayu kita maka akan buruklah nama bangsa Melayu dan kita juga mahukan agar sikap mengenang jasa ini menjadi amalan kita kerana akan menjadi lambang kepada keperibadian dan identiti sesuatu bangsa dan negara.
Menurut Prof. Dr. Hamka, manusia mempunyai perbezaan dan kelebihan yang berlainan dengan makhluk yang lain kerana segala perilaku manusia lahir dari hatinya,dari satu maksud dan satu perasaan yang paling tinggi berbanding dengan gerak geri haiwan yang tunduk kepada ghazirah (instinct) semata-mata, tidak disertai oleh pertimbangan. Segala perbuatan manusia timbul daripada pertimbangan akal fikirannya yang bersesuaian antara tujuan (ghayah) dan jalan mencapai tujuan (wasilah) serta difikirkannya akibat yang diterima apabila sesuatu perbuatan itu dilakukan. Pergaulan manusia mengizinkan dan menyuruh berani berjuang ke medan perang ialah untuk kemuliaan masyarakat bangsa dan tanah air. Orang yang tidak berani menempuh mati yang demikian itu dipandang sebagai seseorang yang rendah budi dan rendah kemanusiaannya.
Berdasarkan pernyataan Prof. Dr. Hamka itu, orang yang rendah budi ialah orang yang tidak mahu berkorban demi untuk keutuhan bangsanya sama dengan perilaku orang yang enggan berbudi. Budaya bangsa Melayu bertentangan dengan pernyataan tersebut kerana berbudi kepada orang sememangnya merupakan budaya dalam kalangan bangsa Melayu. Sekiranya kita ingin memartabatkan negara maka seharusnya kita cambahkan nilai budi dalam diri anak watan negara kita agar negara ini tetap utuh di persada dunia .
Budaya berbudi dalam kehidupan bangsa Melayu dalam konteks negara bangsa mampu menjelmakan sebuah negara yang teguh dan tidak mampu diganggu gugat oleh mana-mana anasir asing yang cuba untuk meruntuhkan pertahanan negara bangsa kita ini. Negara kita yang sememangnya disegani dan dihormati di peringkat antarabangsa kerana ketinggian budinya terutama dalam menyelesaikan ketegangan-ketegangan yang tercetus sesama negara jiran. Meskipun dilontarkan dengan kata-kata nista mengenai negara kita di dada akhbar negara asing namun sebagai sebuah negara yang terkenal dengan ketinggian budinya, negara kita tidak langsung mengendahkan semua tuduhan-tuduhan negatif. Inilah yang menambahkan rasa hormat negara-negara asing terhadap negara kita dan secara tidak langsung meninggikan lagi martabat negara di persada antarabangsa sebagai sebuah negara yang benar-benar berdaulat.
Budaya Hidup Berbudi Pekerti
Dalam budaya masyarakat Melayu amatlah mementingkan dan menyanjung tinggi akan budi bahasa atau budi pekerti yang baik bagi seseorang individu itu. Selain itu, menurut kajian yang dijalankan oleh Ungku Aziz (2009), pantun lama ini jelas menggambarkan kebijaksanaan dan kesopanan akal budi masyarakat Melayu, sebagai sebuah masyarakat yang berbudi bahasa.
Tenas Effendy dalam makalah “ Kearifan Orang Melayu Berbahasa” (Syarahan Raja Ali Haji (2008) menyatakan setiap percakapan hendaklah dilakukan dengan penuh adab dan sopan santun. Menurut beliau melalui percakapan, orang akan melihat perangai dan kelakuan seseorang.
Masyarakat Melayu terutama masyarakat Melayu tradisional sememangnya menggunakan pantun untuk menyampaikan perasaan manusia, masalah manusia dan bangsa, dilema menghadapi alam atau manusia lainnya serta mencari jalan untuk menjadi manusia yang baik.
Berdasarkan beberapa rangkap pantun bertemakan budi bahasa dalam koleksi pantun budi buku Kurik Kundi Merah Saga kita akan dapat mendefinisikan makna pantun-pantun tersebut menjurus kepada mengingati, mengenang orang yang mengamalkan budi bahasa dalam perilaku dan pertuturannya sehari – hari dan kemudian mengaplikasikan amalan kebudibahasaannya itu dalam kehidupannya. Masyarakat Melayu amat menyanjung individu yang mengaplikasikan budi bahasa dalam peri laku dan pertuturannya. Malah sememangnya dalam budaya masyarakat Melayu, budi bahasa menjadi lambang masyarakat Melayu yang dikenali sebagai bangsa yang penuh dengan budi bahasa. Melalui budi pekerti yang mulia ini juga mampu meletakkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dihormati dan bermartabat.
Sesetengah pantun budi bahasa dalam koleksi ini menunjukkan bahawa budi bahasa lebih menjadi keutamaan atau lebih dipandang orang jika hendak dibandingkan dengan rupa paras yang cantik. Masyarakat Melayu berpandangan bahawa seseorang yang cantik jelita jika tidak berbudi bahasa tidaklah dipandang orang. Jelaslah budi bahasa itu sendiri mampu menandingi kecantikan dalam erti kata memenangi hati seseorang. Dalam erti kata yang lain, budaya masyarakat Melayu lebih mengutamakan budi bahasa berbanding dengan kecantikan rupa paras.
Masyarakat Melayu tradisional ingin menyampaikan pesanan,sindiran dan teguran mereka menerusi pantun budi ini. Malah, budaya masyarakat Melayu sangat menyenangi orang yang pandai berbudi bahasa. Mungkin pantun di atas bertujuan untuk menyindir segelintir individu yang berwajah cantik dan menarik tetapi berkelakuan di luar batasan budaya Melayu yang penuh dengan budi bahasa.
Masyarakat Melayu juga bijak menggunakan pantun dengan tujuan ingin menujukan teguran kepada individu yang ingin mencari pasangan hidup. Terdapat juga beberapa rangkap pantun yang mengingatkan seseorang individu itu agar memilih teman hidup yang berbudi bahasa berbanding dengan wajah yang cantik untuk menjamin keharmonian rumah tangga kelak. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu sememangnya menyanjung budi bahasa dalam kehidupan bermasyarakatnya.
Sifat dan sikap tidak berbudi bahasa ini juga tidak boleh dibiarkan menjadi barah dalam masyarakat Melayu kita kerana telah termaktub dalam sejarah bahawa ada bangsa-bangsa yang telah hilang sama ada di barat atau di timur,sejak dari bangsa Yunani dan Romawi Tua, sampai kepada kaum Muslimin yang telah mencapai kemuncak kemuliaan kerana merosotnya nilai budi dalam bangsa mereka seperti dalam yang dinyatakan buku Prof. Dr. Hamka ‘Lembaga Budi’ . Antaranya adalah seperti jatuhnya Baghdad, lantaran serangan bangsa Mongol dan Tartar, sampai terusirnya kaum Muslimin dari Sepanyol diikuti oleh penjajahan yang berturut-turut dari bangsa barat sejak Portugis, Inggeris, Perancis dan Belanda.
Merosotnya budi bahasa dalam sesuatu bangsa sebenarnya mampu untuk melenyapkan keutuhan sesuatu bangsa itu. Oleh itu, budi bahasa begitu berkepentingan untuk menjadi sendi keutuhan sesuatu negara agar terus kukuh dan teguh walau apa sahaja serangan yang datang sama ada serangan mental
atau serangan secara fizikal terhadap negara kita yang tercinta ini.
KESIMPULAN
Kajian terhadap pantun yang dicipta oleh masyarakat Melayu tradisional secara tidak langsung menampilkan jati diri dan nilai akal budi masyarakat Melayu yang secara tidak langsung memainkan peranan yang agak penting untuk melahirkan sebuah negara yang utuh dan teguh dalam segala aspek. Faktor utama yang ingin dilihat berkisar kepada cara mereka membuat teguran, sindiran ,memberi pengajaran dan menyatakan keinginan atau hasrat hati dalam pantun yang mereka cipta. Dalam kajian ini, pelbagai makna tersirat dapat dikenal pasti dalam buku ‘Kurik Kendi Merah Saga -Koleksi Pantun Lisan Melayu berdasarkan kepada sebanyak 184 rangkap pantun Melayu yang bertemakan budi.
Masyarakat Melayu terkenal dengan ketinggian budinya. Kekuatan kita sebagai bangsa Melayu kerana hidup bertunjangkan budi dalam budaya bangsa kita. Ini yang meletakkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dihormati dan disegani kerana ketinggian budi yang diamalkan dalam masyarakat. Kajian ini membahagikan budi ini kepada budaya hidup berbudi dan budaya hidup berbudi bahasa. Kedua-dua aspek ini menunjukkan bahawa budi sangat dipentingkan dan ditekankan dalam budaya bangsa Melayu. Budaya masyarakat Melayu sangat mementingkan budi dalam kehidupan seharian. Melalui bahasa yang digunakan di dalam pantun, budaya berbudi diterapkan dan diamalkan oleh masyarakat Melayu. Budaya hidup berbudi dan budaya berbudi bahasa mampu menjadi sendi kekuatan negara untuk muncul sebagai sebuah negara yang dikagumi dan disegani di peringkat antarabangsa.
Berdasarkan kajian yang dijalankan, dapatlah disimpulkan bahawa pantun budi mempunyai kepentingan yang tersendiri untuk menjana suatu bangsa yang berwibawa dan secara tidak langsung mampu mengangkat martabat negara bangsa Malaysia ke arah negara yang lebih dihormati dan disegani oleh semua negara di dunia ini. Budi merupakan tunjang utama untuk melahirkan negara yang berdaulat dalam semua aspek.
Renungkanlah kata-kata Syauqi Bey yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu iaitu:
Tegak Rumah Kerana Sendi
Runtuh Sendi Rumah Binasa
Sendi Bangsa Ialah Budi
Runtuh Budi Runtuhlah Bangsa
Kata-kata Syauqi Bey di atas mempunyai pengertian yang amat mendalam berkenaan budi. Kekuatan sesuatu bangsa adalah dengan ketinggian budi yang ada dalam budaya masyarakat masing-masing yang secara tidak langsung meletakkan negara sebuah negara yang disegani dan dikagumi di peringkat global.
BIBLIOGRAFI
Awang Had Salleh.(1985). “Adat Sopan dan Budi Bahasa”. Bandar Darulaman UUM. Penerbitan Sesukala.
Mohd. Rosli Saludin.(2007). “Puisi Melayu Tradisional”.
Pulau Pinang:Goal Intelligent Publishing Sdn.Bhd.
Mohd. Rosli Saludin.(2007). “Seni Berpuisi”.Pulau Pinang:
Goal Intelligent Publishing Sdn.Bhd.
Dewan Bahasa dan Pustaka.(2005). Kurik Kundi Merah Saga-Kumpulan Pantun Lisan Melayu (Edisi Kedua ). Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka
Harun Mat Piah.(1989). “Puisi Melayu Tradisional”.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Norazlina Bt Hj.Mohd.Kiram. (2010). “ Kesantunan Berbahasa : Cerminan Peribadi Mulia”, dalam Dewan Bahasa, Februari hlm 59 – 61
Norhasmanalinda Mustapa. (2010).”Pantun Cerminan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu”, dlm Dewan Bahasa, Januari hlm 60 – 61.
Hamka.2003).”Lembaga Budi”.Selangor: Pustaka Dini Sdn. Bhd.
Wilkinson,R.J dan Winstedt,R.O.(1961).”Pantun Melayu”. Singapura:MPH.
Yunus Masri. (1984) Kamus Fajar. Petaling Jaya: Fajar Bakti
Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba). 2000). Pelita Bahasa Melayu Penggal I-III Edisi.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
nice,,
ReplyDeleteterima kasih..banyak info yang saya dapat :)
ReplyDeleteSaya sedang mengkoleksi sastra lisan melayu Memang banyak pengajaran yang saya dapat dari sastra lisan tersebut.
ReplyDeleteterima kasih cikgu Rozali..
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteTakpelah terima kasih
ReplyDelete