Saturday, 2 June 2012

PEMBUANGAN BAYI MENINGGALKAN KESAN YANG PARAH.

Penulis tertarik untuk memberi maklum balas terhadap rencana “Apabila Hilangnya Sifat Kemanusiaan …” oleh Aninah Janang dalam Dewan Masyarakat April 2010. Penulis bersetuju dengan Aninah yang menggambarkan masalah pembuangan bayi merupakan penyakit sosial segelintir masyarakat kita yang tandus nilai kemanusiaan. Masalah ini tidak sepatutnya berlaku di negara kita yang berpegang pada agama sebagai tunjangnya.
Kes pembuangan bayi diibaratkan sebagai penyakit sosial yang akan membelenggu negara kita daripada menjadi masyarakat yang bersifat penyayang yang merupakan salah satu daripada sembilan cabaran wawasan 2020. Pembangunan dari segi kerohanian pasti terbantut disebabkan nilai kemanusiaan diketepikan.
Penyakit sosial ini turut mencerminkan kerapuhan pegangan agama dan ketandusan nilai kemanusiaan segelintir anggota masyarakat sehingga keliru antara amalan yang mulia dan yang berdosa. Sebenarnya, setiap manusia yang hidup memang mendapat dorongan dan panduan daripada agama masing-masing. Nilai murni sentiasa diberikan penekanan. Malangnya nafsu dan perasaan negatif telah mengaburi jiwa dan minda manusia sehingga bertindak di luar batasan kemanusiaan.
Bayi merupakan golongan yang tidak berdosa. Bayi ibarat sehelai kain putih dan memerlukan kesabaran dan ketelitian orang dewasa untuk mencorakkannya. Mereka mestilah dijaga dengan penuh kasih sayang. Janganlah manusia bertindak mengikut perasaan dan berlaku zalim terhadap mereka. Perlu disedari bahawa mereka akan membesar dan menjadi dewasa, seterusnya menjadi peneraju yang membawa hala tuju negara. Lantaran itu, menjadi satu kerugian kepada negara apabila masalah pembuangan bayi semakin berleluasa.
Memandangkan masalah pembuangan bayi meninggalkan kesan buruk dalam masyarakat, pelbagai langkah dan inisiatif perlu diambil bagi membendung penyakit sosial ini. Ibu bapa mestilah memainkan peranan yang sewajarnya terhadap anak-anak dari sudut pergaulan sesama rakan agar tidak melampaui batas. Nilai murni dan kemanusiaan serta pegangan agama yang kukuh haruslah disalurkan dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil kerana melentur buluh biarlah ketika rebungnya. Insan yang berakhlak mulia sejak kecil pasti tidak sanggup bertindak di luar norma kehidupan untuk melakukan sesuatu perlakuan yang negatif. Selain itu, pendedahan kepada pendidikan moral dan agama merupakan langkah yang wajar kerana dapat menerapkan nilai-nilai mulia.
Undang-undang bagi kes pembuangan bayi mesti diperketat lagi. Hukuman juga mestilah setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Tindakan perundangan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada segelintir masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu dengan sesuka hati.
Kesimpulannya, negara kita yang sedang membangun pasti tidak dapat mencapai pembangunan yang sebenar jika gejala sosial tersebut terus berlaku. Pembangunan fizikal haruslah diseimbangkan dengan pembangunan nilai kemanusiaan sebagai tunjangnya demi membawa kesejahteraan dan keharmonian yang sebenar kepada masyarakat sejagat.
Loh Chun Chuan Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment