Monday, 9 May 2011

CONTOH KARANGAN -PMR[BANJIR KILAT DAN TANAH RUNTUH]

Bencana alam seperti kejadian banjir kilat dan tanah runtuh sering berlaku. Bincangkan punca-punca berlakunya bencana tersebut.
[Kehendak soalan; Punca-punca berlakunya bencana alam, banjir kilat dan tanah runtuh]
Jadi,
Jika calon membincangkan peristiwa bencana tanpa menyatakan punca-puncanya- maksimum markah untuk baik-contoh kesan-kesan.
Jika calon hanya membincangkan punca-punca berlakunya bencana yang bukan bencana alam, contohnya kemalangan, kebakaran – maksimum markah peringkat baik.

CONTOH KARANGAN;

Saban hari, berita dan laporan tentang bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh telah menghiasi dada akhbar. Laporan yang berkenaan dengan bencana alam ini, tidak pernah berhenti dipaparkan di akhbar sejak kebelakangan ini. Apakah punca-punca berlakunya banjir kilat dan tanah runtuh?
Seperti yang kita maklumi, banjir kilat berlaku disebabkan oleh sistem perparitan dan sistem pembuangan sampah yang tidak cekap. Malah, tanah runtuh diakibatkan oleh pembalakan yang tidak terkawal. Tanah runtuh berlaku sebaik sahaja tiada cengkaman daripada akar-akar pokok dan menjurus kepada masalah banjir kilat kerana pemendapan di sungai atau parit telah meningkat.

Kalau kita tinjau dari sudut yang lain, kedua-dua bencana alam tersebut disebabkan oleh sikap manusia yang tamak dan bertuhankan kekayaan. Pelabur asing telah membuka kilang di merata-rata tempat untuk menjana ekonomi di negara asal mereka. Kilang-kilang tersebut yang berkaitan dengan penggunaan bahan mentah seperti kayu dan sumber hutan yang lain telah menyebabkan hutan-hutan yang malar hijau terpaksa digondolkan. Penggondolan hutan tersebut secara tidak diketahui telah menjurus kepada bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir kilat.
Percambahan sektor perindustrian yang pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan telah menggalakkan kawasan yang baru di buka di kawasan tanah tinggi. Hal ini akan menyebabkan kawasan tadahan air dimusnahkan dan membawa kepada masalah banjir kilat. Oleh itu, negara yang terlalu berorientasikan perindustrian seperti negara jiran kita Bangkok, Thailand dan Jepun sering dilanda banjir kilat.
Pembalakan haram juga merupakan faktor berlakunya tanah runtuh. Walaupun hutan negara atau taman negara telah banyak diwartakan sebagai kawasan larangan dalam apa-apa aktiviti pembangunan, namun pembalakan haram secara besar-besaran telah berlaku di kawasan tanah tinggi di negara kita. Penggubalan undang-undang tanpa penguatkuasaan boleh diibaratkan sebagai singa yang hilang taringnya. Oleh itu, kerajaan seharusnya menukarkan ungkapan-ungkapan menarik kepada tindakan konkrit untuk membanteras masalah pembalakan haram di negara kita untuk membendung bencana alam daripada berlaku sebelum nasi menjadi bubur atau kudis menjadi tokah.
Ibu bapa juga mendukung peranan dalam menyalurkan pendidikan kepada anak-anak mereka. Sebagai agen pembentukan sahsiah anak-anak, ibu bapa sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada anak mereka. Ibu bapa harus membajai anak-anak mereka tentang cara pembuangan sampah yang betul. Selain itu, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak mereka untuk menghargai alam sekeliling ciptaan Tuhan ini.
Masalah bencana alam hanya dapat ditangkis dan dibendung melalui rancangan kerajaan yang ampuh bersama-sama dengan kerjasama daripada semua pihak baik golongan ibu bapa mahupun golongan remaja. Strategi pembangunan negara yang dirangka oleh kerajaan haruslah menjaga kepentingan alam sekitar. Hanya dengan strategi yang tersusun dan terancang, masalah bencana alam, banjir kilat dan tanah runtuh dapat ditangani secara bersepadu.

CONTOH KARANGAN BAHAGIAN C PMR 2009;
Selain keluarga, rakan merupakan orang yang penting dalam kehidupan kita. Jelaskan faedah-faedah yang diperoleh apabila kita mempunyai ramai rakan.
[Kehendak soalan ; Jelaskan faedah-faedah mempunyai ramai kawan. Jadi, diharapkan calon dapat menjelaskan faedah-faedah mempunyai ramai kawan.]
Contoh Karangan;
Marcapada, kawan merupakan salah satu insan yang paling penting dalam kehidupan seharian kita. Perkara yang dilakukan dalam kehidupan kita banyak melibatkan kawan kita. Kawan boleh didefinisikan sebagai seorang yang sentiasa menemani kita dalam kehidupan kita. Dengan adanya kawan , banyak manfaat yang boleh kita peroleh.
Dengan adanya ramai kawan di sekeliling, kita tidak akan berasa bosan lagi. Hal ini demikian kerana kawan merupakan orang yang kita boleh berkomunikasi serta berinteraksi dengannya. Sebagai contoh, kita boleh berkongsi suka dan duka serta perkara yang sedih bersama-sama dengan kawan kita. Selain itu, perkara yang susah ataupun senang juga boleh dirasai serta dialami secara bersama-sama. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
Jika ditinjau dari segi aspek yang lain, kawan di sekeliling kita seperti jiran kita juga dapat membantu kita semasa menghadapi kesukaran atau kesusahan.Thamsilnya, dengan adanya jiran sebagai kawan kita yang dapat menghulurkan bantuan, sesuatu perkara seperti aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan lebih menyenangkan. Bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dalam pada itu, amalan menghulurkan bantuan juga boleh mengikis pandangan negatif kawan kita terhadap kita serta dapat memupuk baik sangka antara satu sama lain.
Sehubungan itu , kawan yang baik di sekeliling kita juga dapat menjadi contoh serta teladan yang baik kepada kita. Kita boleh mengikut sikap baik serta jejak langkah seseorang kawan yang baik. Sebagai contoh, kita yang ibarat sebagai setahun jagung dan berdarah setampuk pinang mudah dipengaruhi oleh pelbagai perkara yang negatif seperti gejala sosial dan lain-lain lagi. Dengan adanya ramai kawan yang mempunyai peribadi serta sikap yang dipuji, kita dapat belajar daripada mereka supaya menjadi seseorang yang mempunyai sikap yang baik serta lebih dihargai.

Tambahan lagi, dengan adanya ramai kawan, perpaduan negara serta intergrasi penduduk di sesebuah negara dapat dipupuk dengan lebih cepat serta berkesan. Hal ini demikian kerana dengan mengenali ramai kawan yang baru, kita dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain seperti peribahasa bagai isi dengan kuku dengan lebih cepat. Jika seseorang mempunyai ramai kawan serta mempunyai hubungan yang mesra dengan mereka, nescaya perpaduan dan keamanan sesebuah kawasan terjamin dan terpelihara.
Sebagai intihanya, terdapat pelbagai kebaikan apabila kita mempunyai ramai kawan. Oleh itu, ibu bapa perlulah mendedahkan anak-anak mereka kepada masyarakat di luar supaya anak-anak mereka dapat mengenali serta mempunyai ramai kawan sejak kecil, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak- anak merupakan aset yang penting bagi sesebuah negara dan perlulah digalakkan supaya mempunyai lebih ramai kawan bagi mengekalkan perpaduan serta memajukan negara pada masa hadapan, bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

12 comments:

  1. Hello thr. This is useful

    ReplyDelete
  2. is this from the real skema jawapan?

    ReplyDelete
  3. assalamualaiukum..ckgu, sye mintak copy ye..terima kasih..

    ReplyDelete
  4. Terima kasih cikgu...blog cikgu ini membantu saya utk menulis karangan sendiri...

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum cikgu, minta kebenaran untuk salin karangan ini.

    ReplyDelete
  6. Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  7. macam mane nak jwb soalan ringkasan?adakah hanya mengambil yg penting sahaja!

    ReplyDelete