Thursday, 3 May 2012

BAHASA DAN BUDAYA MELAYU SEBAGAI PEMANGKIN KEJAYAAN PEMBANGUNAN NEGARA oleh Saridah Abdullah[ diselenggarakan oleh Rozali Rajab,GC BM]

Abstrak Kemajuan dan kecanggihan era globalisasi menyebabkan manusia sukar untuk mengelak perubahan-perubahan dan pergeseran nilai-nilai budaya. Tanpa manusia yang mempunyai nilai bahasa dan budaya yang tinggi sudah pasti kecanggihan dan era globalisasi ini akan melenyapkan identiti dan jati diri seseorang. Oleh yang demikian kertas kerja ini akan menghurai dan menjelaskan betapa pentingnya bahasa dan budaya Melayu itu terus dipelihara kerana ianya berkait rapat dalam pembinaan kejayaan pembangunan sesebuah negara. Di samping kita mengecapi kemodenan dan era globalisasi , bahasa dan budaya Melayu tidak seharusnya dipinggirkan kerana ianya merupakan nilai jati diri yang kita warisi dari turun temurun. Kertas kerja ini akan menumpukan bahasa dan budaya Melayu dan kaitannya dalam melahirkan manusia yang berkualiti dalam usaha pembinaan kejayaan pembangunan sesebuah negara. Melalui kajian ini, kita mendapati bahawa bahasa dan budaya Melayu perlu menjadi tunjang yang kukuh untuk melahirkan manusia yang berkualiti bagi kelangsungan kejayaan pembangunan sebuah negara yang maju dan moden di samping mendominasi kelangsungan bahasa dan budaya Melayu yang menjadi lambang jati diri. PENDAHULUAN Bahasa mewujudkan pemahaman akan alam nyata. Bahasa merupakan pengungkap kebudayaan. Pemahaman, pemikiran dan kebudayaan sesuatu masyarakat terungkap dalam bahasa masyarakat itu sendiri. Bahasa merupakan alat komunikasi utama bagi manusia untuk berinteraksi antara satu anggota masyarakat dengan anggota yang lain. Bahasa juga digunakan untuk menyatakan perasaan, apresiasi, media dan buah fikiran bagi menyampaikan pelbagai hal dan yang berkaitan dengan norma kehidupan sesuatu masyarakat itu. Asnah Hj.Omar (1988.5; 1992.122) menyatakan bahawa, “Bahasa adalah hasil proses pemikiran dan juga perkaitan antara peribadi sebagai proses pemikiran bahasa merupakan saksi pengekodan atau perjalanan sesuatu buah fikiran”. Di samping itu, bahasa juga mempunyai fungsi tertentu. Salah satu daripada fungsi bahasa ialah sebagai alat perpaduan yang boleh menyatupadukan sesuatu masyarakat, misalnya untuk menjana dan mengekalkan hubungan silaturahim di kalangan anggota dalam sesuatu masyarakat itu. Selain itu, bahasa juga menonjolkan sesuatu bangsa ataupun sesuatu kelompok masyarakat kepada orang lain. Oleh yang demikian, bahasa juga mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia yang berperanan sebagai alat komunikasi yang penting di samping sebagai wahana perpaduan sesuatu masyarakat dan penyerlah identiti sesuatu bangsa. Berdasarkan kepada fungsi yang telah dihuraikan, kertas kerja ini akan mengaitkan bahasa dan budaya Melayu sebagai pemangkin kemajuan pembangunan negara. Penulis akan memberi fokus kepada bahasa dan budaya Melayu yang menjadi pola penting dalam merealisasikan kejayaan pembangunan negara. Bahasa dan budaya adalah antara tunggak dan kekuatan dalam pembentukan kejayaan membangunkan sesebuah negara . Menurut kamus dewan, bahasa adalah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya. Dengan lain perkataan bahasa adalah lambang untuk manusia berhubung dan berkomunikasi. Manakala budaya pula adalah tamadun, peradaban, kemajuan fikiran akal budi. Atau dengan lain perkataan budaya adalah cara manusia menjalankan kehidupan. Tidak hanya kegiatan seharian, tapi juga melaksanakan hal tersebut dalam kerangka yang memuatkan makna, seperti adat, pola komunikasi, cara bertemu dengan orang sesuai dengan emosi yang diharapkan. Budaya juga boleh mengungkapkan diri dalam bentuk seni. Maka dalam erti ini, sebetulnya tidak ada kelompok orang yang tidak mempunyai budaya. Bahasa dan budaya adalah dua unsur yang perlu seiringan dalam menjana pembangunan negara bangsa. Saya ingin memberi contoh yang lebih jelas tentang betapa eratnya hubungan bahasa dan budaya ini. Contohnya sudah menjadi budaya kita akan membawa buah tangan apabila menziarahi seseorang yang sakit, sudah pasti orang yang kita ziarahi itu akan mengucapkan bahasa “terima kasih” atas buah tangan yang dibawa. Berdasarkan contoh tersebut, bahasa dan budaya adalah saling berkait. Begitu juga halnya dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam pembangunan negara. Bahasa dan budaya Melayu mempunyai peranannya yang tersendiri. Pada akhir kajian ini, penulis berpendapat bahawa bahasa dan budaya Melayu itu perlu sentiasa di pelihara dan dimartabatkan di samping kita mengecapi nikmat kemodenan dan era globalisasi kerana bahasa dan budaya Melayu adalah antara penyumbang kepada kejayaan pembangunan negara. KAITAN BAHASA MELAYU DALAM PEMBANGUNAN NEGARA Apabila negara kita mencapai kemerdekaan, kita merancang semua aspek kehidupan kita untuk membina negara yang berdaulat. Dalam bidang pendidikan, perancangan yang dilakukan dikenali sebagai Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam bidang ekonomi, kita mempunyai Rancangan Malaysia Lima Tahun, Dasar Ekonomi Baru dan kemudian Dasar Pembangunan Nasional. Dalam hal kebudayaan, kita mempunyai Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Bahasa sebagai salah satu tonggak pembinaan negara tidak terabai. Kita mengadakan Dasar Bahasa Kebangsaan. Apakah Dasar Bahasa Kebangsaan? Dasar Bahasa Kebangsaan itu ialah berkaitan dengan penentuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu. Tiga dasar itulah yang menjadi asas perancangan bahasa kita. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang satu bahasa dan satu negara. Bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan umum bagi semua kaum. Pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bererti bahawa bahasa itu digunakan dalam semua urusan penting seperti pentadbiran, undang-undang dan kehakiman, perdagangan dan sebagainya. Sebagai bahasa ilmu pula, bahasa Melayu bukan semata-mata menjadi bahasa pengantar tetapi patut menjadi bahasa yang mampu menghasilkan wacana ilmiah dalam pelbagai bidang. Dalam konteks, memenuhi erti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu itulah kita memerlukan ragam bahasa yang mampu menangani hal-hal yang maju, kompleks, dan ilmiah. Bahasa perhubungan biasa yang kita kenal sebagai bahasa basahan dan juga dialek tidak mampu menjadi wahana bidang ilmu dan pentadbiran negara. Dalam hubungan inilah kita memerlukan bahasa baku yang dikenali juga sebagai bahasa formal, bahasa Melayu tinggi, dan bahasa Melayu yang terbina. Menurut Ismail Hussein (1981;5-6), bahasa Melayu pada mulanya hanya satu daripada 200 bahasa dalam rumpun bahasa kepulauan Melayu dan bukan bahasa yang penting. Namun dalam perkembangan selanjutnya bahasa Melayu telah menjadi bahasa yang jauh lebih maju dan penting daripada mana-mana bahasa kepulauan Melayu yang lain. Dengan peranannya sebagai bahasa pemerintahan, bahasa kebudayaan, bahasa kesusasteraan, bahasa undang-undang dan bahasa perdagangan sejak berbelas-belas abad yang silam itu, bahasa Melayu telah membina tradisi dan keperibadiannya yang mantap, sebagaimana yang tergambar dan dilanjutkan dalam bahasa Melayu moden sekarang ini. Dengan huraian ringkas tentang latar belakang perkembangan bahasa Melayu itu, dapat kita lihat arah perkembangan bahasa tersebut dalam pembinaan negara ini. Bahasa Melayu menjadi salah satu unsur terpenting, khususnya sebagai faktor penyatuan bangsa dan budaya masyarakat berbilang keturunan (Asmah H.Omar 1979). Dengan yang demikian bahasa Melayu berperanan membentuk suatu sikap baharu yang berteraskan persefahaman dan persaudaraan senegara sehingga wujudnya suatu bangsa Malaysia, iaitu suatu ciri terpenting yang menandai wujudnya sebuah negara. Demikianlah ertinya pembinaan negara daripada satu sudut. Daripada sudut yang lain, pembinaan negara dapat juga bererti pembinaan pemikiran, kebudayaan, dan teknologi moden,dengan bahasa bertindak selaku sarana yang penting. Dalam hubungan inilah bahasa Melayu turut berperanan membina negara dengan kemampuan mendukung dan mengungkapkan konsep-konsep dan pemikiran baharu untuk memenuhi keperluan pemodenan masyarakat. Besarnya peranan bahasa Melayu dalam pembinaan negara ini tergambar pada kata-kata Datuk Musa Hitam (1981:8). “Perancangan dan pelaksanaan dasar Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan sama pentingnya dengan perancangan dan pelaksanaan dasar ekonomi, dasar pendidikan, dasar pertahanan, dan dasar keselamatan.” Sehubungan dengan itulah perancangan bahasa Melayu dilaksanakan, berdasarkan dua strategi, iaitu perancangan taraf bahasa dan perancangan korpus bahasa. Perancangan taraf bahasa Melayu dapat dilihat dengan adanya ketentuan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar pendidikan (lihat Asmah Hj.Omar 1979:13). Ketentuan tersebut dikuatkuasakan melalui perhubungan, Akta Bahasa Kebangsaan 1967, Akta Pelajaran 1961, dan beberapa undang-undang lain. Daripada sudut strategi perancangan bahasa, perancangan taraf bahasa merupakan tahap yang mendahului perancangan korpus bahasa. Dengan kata lain, diletakkan lebih dahulu taraf bahasa Melayu untuk maksud penerimaan umum, dan kemudian pengisian taraf bahasa itu dilaksanakan melalui perancangan korpus bahasa. BAHASA DALAM KONTEKS PEMBINAAN TAMADUN Dalam proses pembinaan semua tamadun manusia sejagat, aspek bahasa menjadi salah satu tonggaknya. Oleh sebab itulah para pujangga lama kita mencipta ungkapan bernas seperti “Bahasa Jiwa Bangsa”, “Hilang Bahasa Lenyaplah Bangsa”, dan “Bahasa Tidak Dijual Beli”. Demikianlah , tamadun Yunani dan Greek ditandai oleh kekuatan ahli-ahli falsafah seperti Socrates, Plato, dan Aristotle dalam pemerhatian mereka terhadap hubungan bahasa dengan pemikiran, masyarakat, budaya, estetik, dan bidang-bidang kehidupan yang lain. Tamadun Melayu pun ternyata tidak terkecuali daripada pola sedemikian. Bahasa Melayu, yang menurut Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas baru betul-betul tampak jelas bentuknya apabila menjadi bahasa Islam, merupakan batu tanda munculnya satu tamadun Melayu. Peristiwa ini berlaku pada kira-kira abad ke-12 atau ke-13. Ciri terpenting yang mendasari konsep tamadun Melayu ini ialah wujudnya faham intelektualisme dan rasionalisme yang membebaskan pandangan hidup umat Melayu daripada dongeng dan khayalan kepada hakikat diri dan penciptaNya. Kedua-dua faham 30 yang dirumuskan oleh Profesor Naquib itu tercerna pada bahasa Melayu yang disaluti oleh konsep-konsep Islam yang memang intelektual dan rasional. Memahami hakikat bahawa tamadun Melayu tumbuh dan berkembang seiring dengan pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu, maka fahamlah kita bahawa pemodenan umat dan negara tidak mungkin sempurna tanpa pemodenan bahasa. Satu perkara lagi yang tidak patut kita lupakan ialah hakikat bahawa bahasa Melayu telah mencapai taraf bahasa ilmiah, bahasa teknikal, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan diplomatik, bahasa sastera yang bertaraf epik dalam zaman gemilang tamadun Melayu sejak abad ke-12 hingga abad ke-19. dengan asas yang kukuh inilah, kita optimis akan keupayaan bahasa Melayu menjadi bahasa moden yang mampu menghadapi ujian zaman serta mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa-bahasa moden yang lain. Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat besar ertinya, terutama sebagai lambang dan unsur penyatuan bangsa Malaysia. Tentu sukar diterima akal bahasa yang dinobatkan sebagai bahasa bagi 18 juta orang (dalam konteks Malaysia sahaja) tidak dapat menjadi wahana pemikiran moden, sedangkan transformasi budaya terus-menerus berlangsung. Oleh itu, taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus mengukuhkan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa yang dapat berinteraksi dengan isu-isu dunia moden. Taraf bahasa rasmi yang ditetapkan bagi bahasa Melayu pula menyediakan ruang yang cukup luas bagi bahasa Melayu berkembang dalam bidang-bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi, dan sebagainya. Hal ini demikian kerana menurut tafsiran Perlembagaan, istilah rasmi merujuk kepada segala urusan, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Perbadanan Awam. Dengan tafsiran itu dan dengan andaian bahawa tafsiran itu berlaku sepenuhnya, maka tidak diragui bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa moden, iaitu bahasa yang dapat mengungkapkan konsep-konsep kehidupan moden. Dapat dikatakan bahawa seluruh konsep yang berkaitan dengan urusan rasmi kenegaraan mewakili kehidupan dunia moden. Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan atau bahasa ilmu menyediakan ruang yang cukup luas untuk kita memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa moden. Hal ini demikian kerana asas kehidupan moden yang terpenting ialah ilmu. Bahasa yang mampu mengungkapkan hal ehwal ilmu dengan sendirinya adalah bahasa moden. Dengan potensinya yang telah terbukti pada zaman gemilang tamadun Melayu-Islam sebagai bahasa ilmu, dan dengan dibantu oleh adanya Dasar Bahasa Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa Melayu bukan sahaja dapat menjadi wahana penyebaran ilmu peringkat persekolahan dan dalam bidang sosial, malah terbukti mampu menjangkau ke peringkat universiti dan masuk ke medan ilmu-ilmu sains tabii dan bidang teknikal. Ringkasnya, bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa perantaraan untuk komunikasi ilmu sejagat. Sehingga kini, proses pembinaan bahasa Melayu dalam semua aspek dapat dikatakan berlangsung dengan lancar sehingga dalam tempoh tidak sampai setengah abad sesudah kemerdekaan tercapai, bahasa yang diberi taraf bahasa vernakular oleh penjajah itu kini memperlihatkan sistem yang kemas dan mampu menghadapi cabaran dunia moden. Tidak ada kesangsian bahawa bahasa Melayu telah mampu mengangkat negara di persada dunia moden. KAITAN BUDAYA MELAYU DALAM PEMBINAAN NEGARA Menurut kamus dewan, budaya adalah tamadun, peradaban,kemajuan fikiran, akal budi, bersifat budaya. Menyedari pentingnya budaya dalam pembangunan sesebuah masyarakat, Dasar Kebudayaan Negara yang mengandungi tiga prinsip telah diperkenalkan. Antara prinsip ialah yang pertama budaya itu berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini yang merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan kebudayaan Melayu sejak zaman-berzaman. Kedua, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima kebudayaan (Negara) sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan dan yang ketiga Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Budaya Melayu telah menjadi simbol pembangunan negara bangsa dengan penekanan bahawa pada alaf global ini kekuatan tidak semata-mata dibangunkan lagi oleh kesamaan politik dan ekonomi sahaja. Tetapi telah terbukti pula bahawa visi peradaban dan budaya yang sama telah melahirkan sebuah kekuatan baharu menandingi kekuatan Barat (Huntington, 2000). Dalam alaf global ini, budaya Melayu tidak seharusnya dipisah-pisahkan. Budaya Melayu dapat dimaknakan dalam konteks kemajuan dan kedinamikan yang menghala negara yang dibangunkan oleh budaya Melayu ini ke arah kemajuan sehingga dapat memainkan peranan penting di pentas dunia. Pada alaf global ini perlu kita persoalkan apakah budaya Melayu akan dapat dibangunkan menjadi satu perspektif baharu untuk kepentingan kemajuan negara ini? Mungkin hal ini dapat dijawab dengan pendekatan teori budaya. Teori budaya terdapat orientasi nilai yang menstrukturkan visi kemajuan. Hal ini dapat dilihat dalam teori budaya Kluchohn (Koentraningrat 2000) yang sangat optimis bahawa budaya itu dapat menstrukturkan kemajuan. Budaya Melayu tidak hanya sebagai simbol tetapi juga sebagai penghala kemajuan dalam konteks negara. Apatah lagi dengan adanya kebangkitan kemelayuan dengan sokongan Islam Hadhari. 32 Dengan wujudnya kekuatan budaya sebagai penghala kemajuan ini, maka ada satu prediksi bahawa budaya Melayu ke hadapan dapat membangunkan dunia serantau. Dalam konteks ini, budaya Melayu dapat dianggap sebagai monitor sosial sehingga mampu memberi kekuatan dan kemajuan yang dapat memainkan peranan dalam pembangunan negara. KEKUATAN BUDAYA MELAYU DALAM KONTEKS NEGARA Budaya melambangkan kekuatan dan identiti negara di mata dunia. Menyedari tentang hakikat tersebut, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menonjolkan budaya serta mengangkat budaya sebagai satu lambang identiti dan kekuatan negara. Dalam era kepimpinan Tun Mahathir telah menampakkan kesungguhan beliau mengenai modenisasi budaya. Modenisasi budaya tidak lagi berkiblatkan pada budaya siapa sahaja tetapi dilihat dalam konteks negara itu sendiri, iaitu mengikut acuan budaya negara sendiri. Dapat dipastikan bahawa wawasan 2020 negara merupakan arah baru pemodenan negara berteraskan budaya Melayu. Kesedaran ini diteruskan pula oleh Tun Abdullah Badawi dengan lahirnya Islam Hadhari sebagai asas pembangunan negara. Asas kepada pembangunan budaya Melayu ke dalam praktik kehidupan berbangsa dan bernegara. Agama Islam sebagai roh tamadun Melayu dipertegaskan sebagai asas bagi masyarakat negara ini untuk menghadapi cabaran global ini. Budaya Melayu sudah menjadi ikon dan simbol identiti negara ini. Walaupun telah memasuki dunia global, kekuatan budaya Melayu masih tetap menjadi penjana pembangunan sosiobudaya negara ini. Dalam konteks ini budaya Melayu dapat difahami sebagai sarana dalam mewujudkan kemajuan dan pembangunan negara untuk menghadapi masa hadapan. RUMUSAN Negara kita perlu meningkatkan ketahanan nasional dalam menghadapi cabaran globalisasi khususnya pengaruh negatif yang boleh menjejas kepentingan negara dan bangsa. Nilai-nilai hidup berasaskan kepada budaya, aspek kenegaraan, semangat patriotisme dan perjuangan membina satu bangsa, satu bahasa yang mempunyai identiti, daya saing dan jati diri akan membolehkan masyarakat kita berupaya mempertahankan diri serta mampu berhadapan dengan cabaran globalisasi yang membawa pelbagai fahaman dan ideologi barat yang sesetengahnya tidak sesuai diikuti dan boleh menimbulkan kepincangan dalam masyarakat kita. Bertitik-tolak daripada kesedaran pengaruh globalisasi dalam dunia Melayu maka kita perlu mempunyai identiti sendiri yang tidak mampu diganggu gugat oleh pengaruh luar, dalam konteks ini bahasa dan budaya dilihat perlu memainkan peranan dalam pembangunan negara. Para pengkaji bahasa dan budaya bersependapat dalam menyatakan bahasa dan budaya itu tidak boleh dipisahkan. Bahasa itu merupakan lambang-lambang dalam budaya, dan pembinaan bahasa itu sangat dipengaruhi oleh budaya. Dengan perkataan lain bahasa itu menyatakan budaya bagi sesuatu masyarakat. Dan seterusnya bahasa itu juga yang menjadi lambang jati diri bagi sesuatu masyarakat atau bangsa itu. Memang tepatlah ungkapan “ Budi Bahasa Budaya Kita” dalam konteks pembangunan negara. Oleh sebab itu perlunya kita sentiasa menyemai, menyubur, menyebar dan mempertahankan bahasa dan budaya Melayu demi kelangsungan pembangunan negara bangsa yang sentiasa dipelihara dan dihormati. BIBLIOGRAFI Abd.Rahman Embong. (2000). Negara Pasaran dan Pemodenan Malaysia. Bangi UKM. Awang Sariyan. (1996). Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Awang Sariyan. (1999). Membina Tasawur Islam Melalui Pendidikan Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd.Ali Rustam. (2007). Wawasan Kenegaraan ke arah Pembinaan Negara Bangsa. Percetakan Surya Sdn. Bhd.Bukit Katil: Melaka. Ensiklopedia, “Sejarah dan Kebudayaan Melayu” (1988). Jld.3(M – Q) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. “http//ms.wikipedia.org/wiki/Gotong-royong di Malaysia” Mahathir Mohamad. (1997). Wawasan 2020 “Tinjauan Enam Tahun Kemudian “ Pemikir, Utusan Princorp. Sdn.Bhd. Kuala Lumpur. Silfia Hanani. (2007). “Rekonstruksi dan Upaya Penyelamatan Budaya Lokal Postsentralisme di Indonesia”. SKIMX UKM-UNPAD. UKM.Bangi.

No comments:

Post a Comment