Thursday, 3 May 2012

MALAYSIA: CABARANNYA KEPADA BAHASA DAN BUDAYA MELAYU, OLEH RASHIDAH HJ ABDUL [diselenggarakan oleh Rozali Rajab, GC BM]

Abstrak Gagasan 1 Malaysia yang diketengahkan oleh YAB Dato` Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 sememangnya satu gagasan yang sangat bermakna dalam usaha mengekalkan perpaduan di negara ini. Konsepnya yang masih belum difahami sepenuhnya oleh rakyat telah mengundang beberapa persoalan yang berkaitan dengan orang Melayu. Penekanan lapan nilai prinsip 1 Malaysia iaitu Budaya Kecemerlangan, Ketabahan, Rendah hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan dan Integriti dengan slogan : Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan sebenarnya menjadi cabaran kepada orang Melayu lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini. Oleh yang demikian, melalui kertas kerja ini yang bertajuk 1 Malaysia : Cabarannya Kepada Bahasa dan Budaya Melayu, kita akan mengenal pasti cabaran- cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu dalam konteks 1 Malaysia dengan memfokuskan cabaran dari segi bahasa dan budaya Melayu. Perbincangan dari segi bahasa lebih menjurus kepada cabaran memperkasa fungsi bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan peranannya sebagai bahasa ilmu dan wahana perpaduan kaum di negara ini. Kertas kerja ini juga membicarakan cabaran pelaksanaan 1 Malaysia dalam konteks budaya dan mengaitkannya dengan kesediaan orang Melayu untuk berkongsi kesamarataan hak dan penyatuan dengan kaum lain, di samping membincangkan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh orang Melayu untuk memastikan mereka berdaya saing sekali gus memperoleh kecemerlangan di peringkat nasional dan antarabangsa. Selain itu, kertas kerja ini akan membincangkan keperluan orang Melayu membuat anjakan paradigma secara menyeluruh yakni berubah daripada masyarakat berminda kelas ketiga menjadi masyarakat berminda kelas pertama. Dalam konteks 1 Malaysia, orang Melayu perlu menjadi modal insan glokal yang berani menyahut cabaran dan sanggup menanggung risiko bagi menjamin masa depan agar tidak terpinggir di bumi sendiri. PENGENALAN 1 Malaysia : Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, merupakan gagasan baharu yang diketengahkan oleh YAB Dato` Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak setelah menerajui kepimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi. 14 Melalui konsep ini, Perdana Menteri telah menggariskan lapan nilai sebagai teras bagi mendukung matlamat gagasan 1 Malaysia iaitu yang berkaitan dengan budaya, kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, integriti dan pendidikan. Sejak konsep ini diuar-uarkan, pelbagai pendapat telah disuarakan oleh pelbagai lapisan masyarakat baik daripada golongan pemimpin (kerajaan dan pembangkang), tokoh-tokoh ilmuwan, Penganalisis politik, budayawan,Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya. Rata-rata pendapat tersebut berkisar tentang kebaikan merealisasikan hasrat Perdana Menteri itu malahan tidak kurang pula mempertikaikan manfaat atau untung rugi masyarakat Melayu apabila gagasan itu benar-benar menjadi realiti. Oleh itu, dalam kertas kerja yang bertajuk : 1 Malaysia ; Cabarannya Kepada Bahasa dan Budaya Melayu ini akan memfokuskan kepada cabaran yang perlu dihadapi oleh orang Melayu dari segi bahasa dan budaya. Cabaran yang dimaksudkan dalam perbincangan ini ialah sesuatu perkara atau halangan-halangan yang menguji kemampuan dan ketabahan orang Melayu dalam konteks bahasa dan budaya dan perlu didepani dengan usaha-usaha yang relevan serta berkesan tanpa sebarang alasan. Objektif utama kertas kerja ini ialah mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu dari segi bahasa dan budaya yang berkaitan dengan konsep 1 Malaysia. Objektif kedua kertas kerja ini pula menghuraikan cabaran-cabaran yang perlu didepani oleh orang Melayu dalam konteks fungsi bahasa Melayu seperti yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta wahana perpaduan kaum di negara ini. Objektif terakhir kertas kerja ini ialah menghuraikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu dalam konteks budaya khususnya dari segi budaya kerja (ekonomi), politik dan budaya ilmu serta mengaitkannya dengan keperluan pembudayaan kecemerlangan untuk menjadi modal insan glokal yang berminda kelas pertama sekali gus mempercepat pembinaan Negara bangsa. Bahagian pertama kertas kerja ini akan menumpukan kepada definisi dan kepentingan gagasan 1 Malaysia dan cabarannya terhadap bahasa dan budaya Melayu secara umum sejajar dengan usaha mengekalkan dan memperkukuh perpaduan kaum di negara ini. Bahagian kedua kertas kerja ini memberi penekanan kepada pengenalpastian cabaran-cabaran yang perlu diharungi oleh orang Melayu dari segi fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta peranannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan kaum di negara ini. Dalam bahagian ketiga kertas kerja ini pula menghuraikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu daripada sudut budaya yang merangkumi ekonomi, politik dan budaya ilmu yang memerlukan mereka mengamalkan budaya cemerlang dan membuat anjakan paradigma dengan merubah minda kelas ketiga menjadi masyarakat Melayu berminda kelas pertama sekali gus menjadi modal insan glokal yang mampu memenuhi hasrat serta menempuh cabaran era globalisasi. Bahagian akhir kertas kerja ini pula mengemukakan kebaikan dan cabaran pelaksanaan konsep 1 Malaysia khususnya kepada orang Melayu. Penegasan ditumpukan kepada kepentingan menangani cabaran dari segi bahasa dan budaya, pembasmian kemiskinan dan penyatuan kaum dalam usaha membina negara bangsa tanpa menyentuh isu-isu sensitif khususnya isu hak orang Melayu. Selain itu, diselitkan juga tentang harapan dan keyakinan terhadap kemampuan orang Melayu bersaing dengan kaum lain sejajar dengan konsep 1 Malaysia. KONSEP 1 MALAYSIA DAN CABARANNYA Gagasan 1 Malaysia dianggap sebagai satu gagasan yang dapat menyatupadukan semua lapisan masyarakat. Persoalannya adakah 1 Malaysia ini sama dengan konsep `Malaysian Malaysia` yang pernah diutarakan oleh parti pembangkang sebelum ini? Ternyata gagasan 1 Malaysia ini berbeza dengan konsep `Malaysian Malaysia` kerana 1 Malaysia merupakan satu usaha kerajaan untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan membolehkan mereka menikmati kemajuan dan kemakmuran secara adil dan saksama. Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin, Konsep 1 Malaysia ini bertujuan untuk mewujudkan sebuah negara bersepadu dan kepemimpinan yang bersikap lebih terbuka. Beliau juga tidak menafikan bahawa masyarakat Melayu dipisahkan oleh perbezaan politik manakala pada masa yang sama orang bukan Melayu menjadi penentu yang merubah landskap politik negara dan jika keadaan ini berterusan, pasti akan menguntungkan orang Melayu. Satu persoalan yang singgah di benak kita ialah sejauh manakah orang Melayu menerima konsep 1 Malaysia? Jika mereka benar-benar menerima konsep ini, bererti orang Melayu perlu menghapuskan segala sikap prejudis terhadap mana-mana kaum dan sebaliknya merapatkan hubungan setia kawan, bertolak ansur, beretika dan sanggup bekerjasama tanpa mengira warna kulit dan fahaman agama. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, telah menjelaskan bahawa orang Melayu mempunyai hak-hak keistimewaannya tersendiri, hak raja-raja Melayu , manakala dalam Perkara 152 pula menjelaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi . Kesemua perkara tersebut menjadi lambang kekuatan orang Melayu apatah lagi kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara yang merdeka, tidak boleh dipertikaikan atau diganggu gugat oleh sesiapa sahaja di negara ini. Berbalik kepada konsep 1 Malaysia yang menuntut semua kaum berkompromi atau bertoleransi, kita optimis orang Melayu mampu berbuat demikian kerana semangat 1 Malaysia ini telah wujud dalam budaya masyarakat ini sejak merdeka dan sebenarnya sikap tersebut terhad dalam perkara-perkara yang membabitkan kepentingan bersama demi negara asalkan hak dan keistimewaan orang Melayu terus terpelihara. CABARAN TERHADAP BAHASA MELAYU Konsep 1 Malaysia yang menjadi gagasan Perdana Menteri kita, sebenarnya menuntut kita menangani cabaran terhadap fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan diperkukuh lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Apabila kita memperkatakan tentang bahasa Melayu, pasti akan tergambar dalam fikiran kita tentang identiti kaum Melayu. Sememangnya definisi orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 160 ialah orang yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan lahir di Persekutuan atau Singapura pada atau sebelum hari merdeka. Persoalannya, sehingga kini, pengiktirafan dan fungsi yang diberikan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu ini belum terlaksana sepenuhnya. Belakangan ini sudah begitu banyak pihak memperkatakan tentang fungsi bahasa Melayu. Rata-ratanya membuat rungutan atau dengusan negatif tentang keadaan terumbang-ambing beberapa aspek yang terdapat dalam bahasa Melayu. Kini, di mana-mana tempat kita mendengar Bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu dan separuh Inggeris. Keadaan ini lebih menyedihkan dalam sektor swasta, kerana dalam sektor ini lebih kurang 70 % bahasa yang dituturkan ialah dalam bahasa Inggeris dan hanya 30 % dalam bahasa Melayu yang tidak standard (bahasa rojak) seolah-olah sekerat ular sekerat belut. Keadaan ini sebenarnya menjadi cabaran kepada usaha memartabatkan bahasa dan bangsa Melayu dalam konteks 1 Malaysia. Dominasi bahasa Inggeris dalam dunia globalisasi pada masa ini, seakan-akan menenggelamkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kemajuan dan bahasa ilmu. Banyak pihak yang memandang sepi kemampuan bahasa Melayu sebagai wahana kemajuan negara. Bukan setakat kaum lain yang menganggap bahawa bahasa Inggeris satu-satunya bahasa yang dapat mengangkat martabat dan memajukan negara malahan dalam kalangan orang Melayu sendiri pun ramai yang beranggapan sedemikian. Keadaan ini bertambah rumit apabila kini anak-anak Melayu berlumba-lumba untuk menguasai bahasa Inggeris kerana mereka takut akan tercicir dalam usaha menimba ilmu pengetahuan. Maka tidak hairanlah dunia pendidikan negara ini mula disalut dengan kaedah-kaedah baharu dengan perantaraan bahasa Inggeris. Pemansuhan PPSMI yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini satu kejayaan besar kepada pejuang-pejuang bahasa yang tidak putus asa berusaha memperkasa bahasa dan identiti bangsa Melayu. Berdasarkan keadaan semasa, nisbah perkataan baharu yang dicedok dari bahasa Inggeris dan kemudiannya dimelayukan semakin bertambah. Segelintir daripada masyarakat Melayu dan kebanyakan anak-anak orang Melayu kini lebih berbangga bertutur dengan menggunakan bahasa rojak dan mengamalkan budaya `keinggerisan` yang kononnya dengan cara tersebut mereka dianggap lebih hebat dan berprestij. Sepatutnya kita mencontohi sikap orang Jepun , Korea , Perancis yang sangat berbangga menggunakan bahasa masing-masing untuk menjana kemajuan malah mampu menghasilkan jenama terkenal di peringkat antarabangsa berasaskan sains dan teknologi seperti kenderaan, alat-alat komunikasi, satelit, senjata dan sebagainya. Lantaran keinginan memajukan dan memodenkan diri, bangsa dan negara, kita seolah-olah dikaburi dengan tanggapan bahawa bahasa Inggeris perlu diutamakan dan digunakan dalam pelbagai urusan apatah lagi jika perlu berkomunikasi dengan kaum lain. Secara tidak disedari, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan turut tergugat dan memberi ruang kepada bahasa Inggeris bertapak kukuh dan dijiwai oleh masyarakat di negara ini. Jika hal ini dibiarkan, pasti suatu hari nanti bahasa Melayu hanya menjadi bahasa kedua dan bahasa picisan bagi kebanyakan kaum di negara ini. Sebenarnya, kita tidak boleh menjadikan Gagasan 1 Malaysia yang ingin kita realisasikan ini sebagai satu alasan untuk menindakkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan wahana perpaduan di negara ini. Usaha-usaha memperkasa bahasa Melayu sewajarnya ditingkatkan dengan melaksanakan pelbagai kaedah yang lebih terancang dan bersepadu. Hal ini sejajar dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, perancangan bahasa yang dilaksanakan secara sistematik pasti akan dapat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dinamik dan berprestij setanding dengan bahasa-bahasa moden yang lain. Pihak kerajaan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta kesedaran orang Melayu sendiri perlu digembleng agar bahasa Melayu terus dinamik dan berfungsi seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Usaha memperkasa bahasa Melayu seperti. Penghasilan bahan-bahan terbitan bermutu dalam bahasa Melayu , mencetak dan menerbitkan buku-buku untuk sekolah-sekolah seperti buku teks dan buku rujukan ilmiah, Pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu(bercetak dan elektronik), memperlengkap korpus Bahasa Kebangsaan dan sebagainya, sebenarnya bukan bermakna kita menolak keperluan dan kepentingan bahasa lain tetapi kita tidak mahu kaum Melayu hanyut dibuai pembaharuan dan pemodenan dengan mengorbankan bahasa dan identiti Melayu serta ketamadunan bangsa. Sesungguhnya nasib bahasa Melayu itu terletak dalam tangan orang Melayu sendiri! Cabaran dalam aspek budaya (politik, ekonomi dan pendidikan) dan pembudayaan kecemerlangan Pihak kerajaan perlu merealisasikan Konsep 1 Malaysia ini dengan bijaksana agar jangan sampai yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Dalam arena politik kini, para pemimpin Melayu perlu berwaspada semasa berkompromi dengan kaum lain agar orang Melayu tidak mengalami sebarang kerugian atau menjadi korban kegopohan mereka dalam merancang atau melaksana agenda masing-masing. Masyarakat Melayu memang dikenali dengan keunikannya kerana dalam marah mereka masih ada ruang untuk memaafkan kesalahan orang lain, kata-kata lantang dan berani masih disulami kesantunan dan membuat keputusan dengan kebijaksanaan serta kesabaran disandarkan kepada keimanan, prinsip dan hukum. Itulah kehebatan budaya orang Melayu!. Konsep 1 Malaysia ini perlulah dilaksanakan dengan bijak kerana jika para pemimpin UMNO gagal berbuat demikian pasti akan menjerat diri umpama keris makan tuan seperti mana yang disuarakan oleh Dato Ibrahim Ali, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA). Pengisian 1 Malaysia yang menitikberatkan kesamarataan dan kesaksamaan untuk semua kaum, mungkin menyebabkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO yang selama ini berjuang membela nasib orang Melayu akan terjejas dalam jangka panjang. Hal ini disebabkan orang Melayu malahan hampir semua masyarakat di negara ini belum bersedia untuk mewujudkan sistem satu parti. Oleh itu, orang Melayu perlu yakin dengan keputusan sendiri, bijak memilih dan menilai perkara yang baik dan buruk agar nasib orang Melayu terus terbela dan maju ke hadapan. Banyak perkara perlu diteliti dan dipertimbangkan dalam pelaksanaan konsep 1 Malaysia terutamanya apabila menyentuh tentang hak keistimewaan orang-orang Melayu. Tegasnya, pelaksanaan konsep 1 Malaysia ini perlu diperjelas kepada orang Melayu secara terperinci agar mereka tidak berasa tercabar dan memahaminya dengan lebih mendalam serta tidak menimbulkan pelbagai polemik yang sia-sia. Ungkapan Hang Tuah `Takkan Melayu Hilang di Dunia` memang telah terbukti kebenarannya, namun kita dapat melihat mutakhir ini, segelintir masyarakat Melayu mula lupa diri, bercakaran sesama sendiri dan menjadi bahan ketawa kaum lain serta memberi ruang dan peluang kepada pihak-pihak tertentu menangguk di air yang keruh. Fenomena ini jelas dalam arena politik Melayu yang banyak dipengaruhi oleh sikap mementingkan diri, prejudis, yang mungkin mahu memperjuangkan dan melaksanakan `revolusi mental` yang lebih bermakna atau menuntut keadilan hakiki untuk kebaikan, kemajuan dan pembaharuan diri dan negara. Senario ini nampaknya mendatangkan impak kepada masyarakat Melayu malah tempiasnya turut mengena kepada kaum-kaum lain termasuklah masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak. Tidak salah jika kita mahu merubah daripada kebiasaan, kerana perubahan sebegini akan membawa kebaikan dalam jangka pendek dan mampu membuka mata golongan pemerintah untuk bermuhasabah diri tentang keberkesanan tanggungjawab dan perubahan yang dijanjikan sebelum pilihan raya. Sikap ekstrem sesetengah kelompok hanacaraka perlu dipandang serius kerana tindakan mereka kadang-kala menggugat keamanan, kesejahteraan dan keharmonian kaum yang dinikmati selama 52 tahun kita merdeka. Rentetan daripada usaha merealisasikan 1 Malaysia , semangat kekitaan dan perpaduan antara kaum khususnya dalam kalangan orang Melayu sendiri perlu diteruskan dan diperkukuh agar keamanan dan kemajuan negara dapat dinikmati bersama-sama dan dapat dikekalkan hingga ke akhirnya. Bersesuaian dengan konsep 1 Malaysia yang mengutamakan pencapaian, sudah tentu orang Melayu perlu berusaha dan bekerja keras bukan setakat 100 peratus malah berlipat kali ganda untuk memperoleh kejayaan sekali gus mengangkat martabat kaum Melayu itu sendiri. Dalam bidang pendidikan contohnya, Sistem Meritokrasi yakni sistem berasaskan merit yang diperkenalkan dan dilaksanakan pada tahun 2002 semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan sistem kuota bagi kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) juga merupakan cabaran kepada usaha pemerkasaan ilmu dalam kalangan orang Melayu. Walaupun pada mulanya, sistem ini sangat menggusarkan para pelajar Melayu dengan anggapan bahawa mereka tidak mampu bersaing dengan pelajar kaum lain nampaknya telah membuahkan sedikit hasil. Melalui sistem tersebut , mereka terpaksa melipatgandakan usaha, lebih tekun, bersemangat dan berdaya saing bagi merebut tempat di mana-mana IPTA sekali gus mengubah sikap sambil lewa dan budaya cukup makan (asal lulus) . Dalam konsep 1 Malaysia pula, nilai meritokrasi ini diperluas kepada kesemua 28 buah kementerian yang mendukung fungsi kerajaan nampaknya menimbulkan kesangsian kepada kita tentang kewajaran dan keberkesanan pelaksanaannya. Hal ini demikian kerana belum tiba masanya sistem meritokrasi ini dilaksanakan sepenuhnya dan rasanya lebih sesuai dilaksanakan di Kementerian Pendidikan Tinggi dan mungkin dapat dilaksanakan di sekolah-sekolah bandar sahaja. Kita tidak menafikan bahawa masyarakat bumiputera masih dahagakan sokongan dan bantuan daripada kerajaan khususnya dalam sektor ekonomi dan pendidikan. Persaingan sengit antara kaum yang mungkin niat asalnya sangat baik iaitu mendapatkan keadilan dan kesamarataan hak akan menjejaskan orang Melayu termasuklah kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. Puncanya sangat jelas iaitu faktor kemiskinan!. Kita sedia maklum bahawa sebahagian besar orang Melayu dan kaum bumiputera di kedua-dua negeri di kepulauan Borneo ini khususnya mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman serta di pulau-pulau masih di bawah garis kemiskinan malah dikategorikan sebagai miskin tegar sehingga ada dalam kalangan anak-anak mereka tercicir dalam pelajaran . Kebarangkalian untuk anak-anak mereka memperoleh kejayaan atau keputusan cemerlang setanding dengan pelajar bandar masih jauh di belakang . Contohnya, walaupun terdapat peningkatan keputusan pelajar luar bandar dan pedalaman dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun jumlah pelajar cemerlang yang berjaya memperoleh 5A dalam (UPSR) dan 8A dalam (PMR dan SPM) jumlahnya dapat dibilang dengan jari, bayangkanlah! Oleh yang demikian, pelaksanaan sistem meritokrasi ini perlu dikaji semula atau setidak-tidaknya pihak kerajaan lebih memberi kelonggaran dan keistimewaan kepada pelajar miskin dalam pemberian biasiswa atau geran pendidikan kepada mereka sekali gus memastikan Perkara 153 tidak terjejas. Kita terpaksa mengakui bahawa pencapaian orang Melayu dalam bidang ekonomi dan pendidikan masih jauh di belakang berbanding dengan pencapaian kaum lain khususnya kaum Cina dan India. Lantaran itu, orang Melayu perlu merubah minda, daripada minda kelas ketiga menjadi masyarakat berminda kelas pertama. Budaya kecemerlangan yang menjadi teras utama pembentukan 1 Malaysia nampaknya memerlukan kita mengutamakan bidang ilmu pengetahuan sebagai senjata utama bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa. Orang Melayu perlu merebut peluang keemasan yang disediakan oleh kerajaan dalam bidang pendidikan. Orang Melayu perlu menjadi modal insan yang berilmu, berkualiti, berdaya saing, mempunyai jati diri dan daya tahan yang tinggi, berakhlak, berkemahiran dan memiliki nilai murni, mementingkan kesopanan dan kesusilaan. Impian Malaysia untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Ilmu yang terkemuka di rantau ini tidak akan bererti jika kita gagal bersaing dengan kaum dan bangsa lain, tidak memainkan peranan serta gagal memaksimumkan manfaatnya. Kita yakin dan percaya bahawa dengan ilmulah sesuatu bangsa dapat merubah nasib dan memperbaiki diri malah mampu mengubah landskap dunia. Perkara itulah yang kita harapkan daripada orang Melayu. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, termasuklah dalam bidang ICT dan perubatan, kini memberi ruang dan peluang kepada orang Melayu terutamanya para pelajar, ilmuwan, cendekiawan , karyawan, saintis Melayu dan sebagainya menjadi peneroka dan pencipta sesuatu yang baharu (inovasi) dengan jenama Malaysia dan seterusnya dapat dimanfaatkan oleh manusia di seluruh dunia. Kemajuan tersebut hanya akan tercapai jika orang Melayu bersedia mengamalkan budaya cemerlang dalam kehidupan mereka. Antara cabaran utama kita untuk membudayakan kecemerlangan ialah melahirkan masyarakat Melayu Glokal yang hebat di dalam negara malah berperanan di arena antarabangsa atau dalam kata lain orang Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional . Istilah Melayu Glokal telah dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Dato` Seri Najib Tun Abdul Razak dalam ucapannya di Dewan Merdeka PWTC yang bertajuk: Menjana Melayu Glokal pada majlis perasmian serentak Perwakilan Wanita dan Pemuda dan Puteri UMNO pada 18 Julai 2005. Konsep ini sebenarnya lahir daripada kesedaran dan keinginan untuk memperkasa orang Melayu agar lebih berdaya saing, berilmu, mempunyai jati diri yang tinggi, maju, kreatif dan inovatif, dan matang dalam pemikiran serta tindakan. Pendek kata, kita mahu mewujudkan orang Melayu yang hebat dan mampu menjadi peneraju kemajuan negara dan dapat dijadikan contoh oleh kaum lain malah jika boleh menjadi rujukan pemantapan bangsa di peringkat dunia. Pembentukan Melayu Glokal ini satu realiti atau fantasi semata-mata? Persoalan ini sebenarnya menjadi tajuk bual bicara pelbagai golongan baik para cendekiawan, ilmuwan, ahli-ahli politik, pelajar Institusi Pengajian Tinggi, pelajar-pelajar sekolah, malah semua lapisan masyarakat. Perbincangan yang diketengahkan lebih menjurus kepada kemampuan negara melahirkan masyarakat Melayu yang benar-benar glokal dalam pelbagai aspek dan mempersoalkan sama ada impian tersebut realiti atau fantasi semata-mata. Ketidakyakinan sesetengah anggota masyarakat tentang kejayaan misi melahirkan masyarakat Melayu glokal ini memang berasas apatah lagi jika kita melihat peningkatan gejala sosial dan kualiti orang Melayu dalam pelbagai bidang berdasarkan situasi semasa. Isu gejala sosial contohnya, kini kian melanda dalam kalangan remaja Melayu. Gejala tersebut menuntut jalan penyelesaian dan pencegahan dengan segera. Anak-anak muda Melayu kini, ramai yang leka dibuai keseronokan dunia, mudah terpengaruh dengan segala kemajuan dan pembaharuan dari Barat, meniru segala perlakuan dan budaya yang kononnya dianggap maju secara membabi buta, banyak terlibat dalam kegiatan yang tidak berfaedah seperti menagih dan pengedar dadah, penjenayah, menjadi mat- mat rempit, menjadi `call girls` kelas atasan, terlibat dalam sumbang mahram dan akhir-akhir ini ramai remaja perempuan Melayu yang menjadi pembunuh bayi luar nikah! Situasi ini amat menjijikkan kita, apatahlah lagi status negara kita sebagai negara contoh kepada Negara-negara Islam yang lain. Sungguh menyedihkan!. Sesungguhnya kitalah yang bertanggungjawab mengatasi segala permasalahan tersebut kerana jika masalah itu dibiarkan pasti menjejaskan imej orang Melayu sekali gus menggagalkan pembentukan modal insan. Generasi muda Melayu akan kehilangan peluang untuk bersaing dan terus ketinggalan di belakang dan tidak mustahil nanti mereka merempat di bumi sendiri. Oleh yang demikian, semua pihak khususnya para ibu bapa dan guru-guru, NGO perlu lebih bertanggungjawab dan prihatin serta memainkan peranan membantu pihak kerajaan membanteras gejala yang tidak bermoral ini. Selain itu, penerapan , penghayatan, dan pelaksanaan ajaran agama Islam dalam semua aspek kehidupan perlu digandakan agar golongan yang tersasar dari landasan yang benar boleh ditangani dan kembali ke pangkal jalan. Di samping itu, kita sering mendengar tentang isu masyarakat Melayu yang dikatakan sebagai masyarakat subsidi, masyarakat yang selalu mengharapkan bantuan daripada kerajaan, tidak berdaya saing dan mudah berpuas hati. Sikap seperti ini sebenarnya menjadi hambatan kepada pembentukan Melayu Glokal. Pada tahun 1923 Pendeta Za`ba pernah memperkatakan isu kemiskinan orang Melayu yang menurutnya orang Melayu bukan hanya miskin wang ringgit dan harta benda tetapi lebih dahsyat dari itu; miskin pada hemah dan cita-cita, miskin pada pelajaran, miskin pada alat-alat kelengkapan otak, miskin perangai yang tinggi dan miskin syarat-syarat untuk menjadi maju. Apabila kita merenung kembali kata-kata pendeta tersebut, jelas kepada kita bahawa orang Melayu sebenarnya telah ketinggalan masa dan peluang sejak zaman penjajahan lagi. Faktor kemiskinan ini telah dijadikan alasan orang Melayu kurang maju dan tidak mahu bersaing dengan bangsa lain. Orang Melayu juga sinonim dengan sikap suka makan gaji, cepat berpuas hati, mudah berputus asa, dengki dengan kejayaan orang lain, sangat bersederhana dan seadanya, berserah kepada ketentuan Tuhan dan sebagainya. Sebenarnya sikap seperti itulah menjadi penyebab orang Melayu ketinggalan dalam gagasan 1 Malaysia yang mengutamakan pencapaian cemerlang dalam semua bidang. Oleh itu, seiring dengan perkembangan sains dan teknologi ini, kaum Melayu yang selama ini berada dalam` zon selesa` perlu bangkit dan sedar dari lena yang panjang untuk membuat anjakan paradigma contohnya melibatkan diri dalam dunia perniagaan , meningkatkan ilmu dan kemahiran jika mahu menjadi pesaing yang terhebat dan menjadi bangsa yang gemilang dan terbilang selaras dengan pelaksanaan konsep 1 Malaysia. Dimensi baharu kini menuntut kita melonjak ke hadapan dengan memperkukuhkan daya saing bangsa dan berlumba menjadi antara yang terbaik di peringkat antarabangsa. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya kita berubah menjadi Melayu Glokal yang memiliki ciri-ciri dan keistimewaan yang tersendiri. Masyarakat Melayu seharusnya sentiasa berfikiran positif dan berusaha untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, kepercayaan dan cara lama khususnya menunggu dan mengharapkan bantuan atau subsidi kerajaan yang boleh menghambat serta menjadi kekangan kemajuan. Golongan petani dan nelayan Melayu yang selama ini dilabelkan sebagai masyarakat miskin, perlulah mempunyai kesedaran yang tinggi dan bertindak secara bijaksana serta membuat anjakan paradigma secara berterusan dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang ekonomi dan ilmu pengetahuan. Golongan ini perlu melipatgandakan usaha dengan menjadi petani dan nelayan moden yang berilmu dan berkemahiran. Dengan cara tersebut, mereka pasti dapat bersaing dan berani menghadapi pelbagai cabaran . Kejayaan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapa meneroka angkasa lepas dan membuat beberapa kajian sains pada 10 Oktober 2007, merupakan satu kejayaan besar kepada orang Melayu dan agama Islam. Kejayaan ini telah membuka mata masyarakat dunia khususnya dalam kalangan negara Islam tentang keupayaan orang Melayu mencipta sejarahnya sendiri dengan meneroka dan mengkaji ciptaan Allah SAW di angkasa lepas.Teknologinya yang selama ini dikuasai oleh negara Rusia, Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun , kini bukan lagi sesuatu yang mustahil bagi kita. Semangat, ketabahan dan keberanian sebeginilah yang perlu ada dalam masyarakat Melayu dan perlu dipupuk serta disemai sejak kecil lagi agar hasilnya nanti dapat kita tuai dengan penuh maruah sekali gus menjadikan mereka penerus kepimpinan Melayu dan memajukan negara ini setanding dengan negara-negara hebat di dunia ini. Pembentukan Melayu Glokal ini mengehendaki orang Melayu terus berjuang mengapai beribu-ribu kejayaan di peringkat nasional malah di peringkat antarabangsa. Kita mahu orang Melayu menjadi jenama antarabangsa yang tersohor, mampu berdikari, berswadaya, menjadi pencipta dan bukan menjadi pengguna selama-lamanya. Orang Melayu perlu berfikir 10 tahun, mungkin 20 tahun ke hadapan, melihat dan merebut semua peluang yang ada baik dari segi ekonomi, sosial dan politik untuk meneruskan kelangsungan penguasaan dan pengaruh demi kemajuan negara yang tercinta ini. Orang Melayu perlu berubah, jika selama ini penguasaan ekonomi dimonopoli oleh kaum lain khususnya kaum Cina, kini sudah tiba masanya orang Melayu bangkit dan bersaing menjadi usahawan glokal yang berjaya, pakar-pakar perubatan, ahli-ahli politik yang berwibawa , guru-guru, tokoh agama dan ilmuwan yang tersohor, saintis yang hebat, anggota keselamatan sejati dan menjadi warganegara terbilang. Nampaknya orang Melayu tidak ada pilihan dan perlu menyahut cabaran serta menjadi golongan yang terbaik dengan pencapaian yang tertinggi jika Konsep 1 Malaysia ini direalisasikan. Jika orang Melayu masih berada di takuk lama, pasti akan ketinggalan jauh dan dipandang rendah seperti melukut di tepi gantang!. Oleh yang demikian, generasi muda Melayu yang bakal mewarisi kemerdekaan, kekuasaan, dan peneraju kemajuan perlu menguasai ilmu pengetahuan, bercita-cita tinggi, sanggup berkorban, berdaya saing dan menjadikan agama Islam sebagai teras dan panduan memacu pemodenan negara. Selain itu, kita perlu bersiap siaga dengan kepelbagaian strategi dalam bidang sosial, ekonomi dan politik , mengekalkan perpaduan, memiliki dan tahu menggunakan senjata keintelektualan, berani dan bijaksana dalam menangani segala cabaran globalisasi pada abad ke- 21 ini. KESIMPULAN Berdasarkan perbincangan yang diutarakan, jelas kepada kita bahawa gagasan 1 Malaysia ini perlu difahami dan dihayati. Gagasan ini perlu dilaksanakan dengan lebih terancang dan bersepadu oleh pihak kerajaan untuk mengelakkan tanggapan negatif masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu. Kita tidak dapat menafikan gagasan ini memang membawa kebaikan kepada orang Melayu dalam hal pembudayaan kecemerlangan khususnya dalam pendidikan dan ekonomi. Nilai prinsip 1 Malaysia yang digarap oleh Perdana Menteri perlu diteliti dan dihayati agar nilai tersebut menjadi cabaran sekali gus dapat membantu melonjakkan kecemerlangan orang Melayu dalam negara dan di pentas antarabangsa. Kita tidak mahu pelaksanaan gagasan ini merugikan orang Melayu tetapi sebaliknya diharap dapat memberi banyak kemaslahatan dalam jangka masa panjang. Isu-isu yang menyentuh tentang hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu perlulah dipertahankan dan isu kemiskinan pula harus diselesaikan dengan penuh bijaksana , jujur dan berhemah berlandaskan kepentingan negara bangsa. Sesuatu masalah yang berkaitan dengan kepentingan kaum perlu ditangani dengan berhati-hati umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Sesungguhnya, orang Melayu bukanlah dilahirkan lemah dan menyerah kepada takdir. Oleh itu, pemerkasaan orang Melayu dalam semua aspek khususnya bidang ekonomi dan pendidikan perlu diutamakan dan dipercepat agar kita mampu menjadi jenama yang tersohor di peringkat negara dan antarabangsa. Konsep 1 Malaysia yang sedang dilaksanakan ini diharap dapat membawa aspirasi baharu untuk memperkukuh hubungan antara kaum sekali gus memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan dan mengekalkan perpaduan dengan lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Pembinaan negara bangsa dalam masyarakat majmuk di negara ini sangat penting terutamanya dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas semua maklumat, modal, manusia, sistem nilai, budaya dan kepercayaan daripada pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa yang bersandarkan konsep 1 Malaysia bergantung kepada perkongsian nilai integriti , kebolehan, dedikasi yang disulami dengan ketabahan, rendah hati dan kesetiaan sepenuhnya kepada negara tanpa melupakan tuntutan agama. Kejayaan pembinaan negara bangsa ini pasti akan menguntungkan semua kaum khususnya orang Melayu sekali gus kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan maju mengikut acuan kita sendiri. BIBLIOGRAFI Abdullah b Mohamed (Nakula). (1984). Falsafah dan Pemikiran Orang-Orang Melayu. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Adnan Hj Nawang. (1998). Za’ba dan Melayu. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn Bhd Aziz Deraman. (2000). Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Abu Bakar Nordin (ed.) (1994). Reformasi Pendidikan dalam Menghadapi Cabaran 2020. KualaLumpur: Nurin Enterprise Abu Bakar Nordin (ed.) (1994). Reformasi Pendidikan dalam Menghadapi Cabaran 2020. Kuala Lumpur:Nurin Enterprise Asmah Hj. Omar. (1993). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. K. Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Aziz Deraman. (2000). Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Hassan Ahmad. (2006). Melayu Glokal. Kuala Lumpur: Alaf 21 Sdn Bhd Hashim Hj Musa. (ed). (2005). Bahasa dan Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya Mohamad Anwar Omar Din (ed). (2004). Dinamika Bangsa Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia Mohd Taib Osman. (2005). Budaya dan Bahasa Melayu Masalah dan Harapan. Kuala Lumpur : Universiti Malaya Mohd Yusof Hasan. (1991). Dunia Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Mohd Yusof Othman. (1998). Isu-Isu dalam Ilmu dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Aras Mega (M) Sdn. Bhd Nariati A. Rashid. (2005). Kesantunan Orang Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris Nik Safiah Hj Abd Karim, (1996). Tatabahasa Dewan.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Majalah Dewan Budaya, (Jun 2009). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment