Wednesday, 2 May 2012

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU , oleh Masni Bujang [ diselenggarakan oleh Rozali Rajab, GC BM]

Abstrak Bahasa Melayu telah melalui zaman selama dua alaf, khususnya pertembungan dengan beberapa tradisi besar dunia. Oleh sebab itu, kemampuan dan kemantapannya sebagai tonggak tamadun negara kita pada zaman ini tidak perlu dipertikaikan. Oleh yang demikian perjuangan memartabatkan dan memperkasakan Bahasa Melayu perlu digerakkan secara berterusan . Kelalaian dan kealpaan akan menyebabkan pelbagai gejala menyerap masuk ke dalam bahasa dan kemungkinan dapat melumpuhkan momentum perkembangannya. Justeru itu, kajian mengenai Memartabatkan Bahasa Melayu ini bertujuan untuk mengupas lebih lanjut mengenai cabaran bahasa serta isu-isu dalam Bahasa Melayu. Selain itu juga, kajian ini membincangkan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memartabatkan dan memperkasakan Bahasa Melayu. Dapatan daripada kajian ini mendapati usaha-usaha yang dilakukan untuk memartabatkan Bahasa melayu belum mampu untuk mengangkat Martabat bahasa Melayu itu sebagai bahasa yang unggul. PENGENALAN Sejak awal kurun Masihi Bahasa Melayu telah memiliki martabat sebagai bahasa besar yang berwibawa . Bahasa Melayu diterima umum di Kepulauan Melayu lalu di angkat menjadi Lingua Franca antara pelbagai bangsa termasuk yang datang dari rantau lain seperti India, China , Asia Barat dan Eropah. Bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu pada zaman kesultanan melayu dari sekitar abad ke 13 hingga abad ke 19. Bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi. Bahasa Melayu merupakan satu rumpun bahasa yang digunakan oleh lebih daripada dua ratus juta penduduk dunia, bahasa Melayu berkembang pesat dan mendapat pengiktirafan yang meluas. Selaras dengan itu, Bahasa Melayu dimartabatkan menjadi bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan di Malaysia Perkara 152 Perlembagaan Malaysia memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi Negara. Dalam perkembangan terkini, bahasa Melayu tidak dinafikan menghadapi pelbagai isu-isu bahasa dan berdepan dengan cabaran-cabaran dalam era globalisasi. Perkembangan teknologi dan ilmu yang pantas berjaya menghakis serba sedikit kemurnian bahasa dalam kalangan pengguna. Oleh yang demikian tanggungjawab memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sudah semestinya terpikul di bahu kita semua selaku pewaris dan empunya bahasa itu. Justeru , kajian ini dikupas dengan melihat cabaran dan isu-isu bahasa Melayu dalam memartabatkan bahasa Melayu. Selain itu juga, kajian ini menjelaskan faktor-faktor kelunturan martabat bahasa Melayu dan membincangkan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu. Objektif kajian ini adalah untuk membincangkan cabaran dan isu bahasa Melayu masa kini. Kajian ini juga menjelaskan faktor-faktor kelunturan martabat bahasa Melayu. Selain itu juga kajian ini membincangkan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu. Kajian yang dijalankan ini merangkumi beberapa cabaran dan isu-isu tentang bahasa Melayu, dan faktor-faktor kelunturan martabat bahasa Melayu. Selain itu, kajian ini turut membincangkan beberapa usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam memartabatkan bahasa Melayu. CABARAN DAN ISU-ISU DALAM BAHASA MELAYU Menurut Adenan Ayob (hlm: 10-11, 2009) dalam era globalisasi kini, bahasa Melayu menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran yang dialami oleh bahasa Melayu bersifat dalaman dan luaran. Cabaran dalaman membawa maksud cabaran tanggapan dari segi kuantiti dan kualiti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, termasuk cara penggunaan bahasa itu sendiri. Cabaran luaran pula bermaksud kedwibahasaan dan hambatan pelaksanaan dasar bahasa dalam era globalisasi. Pembangunan yang pesat di Malaysia telah memberikan kesan terhadap kedudukan dan peranan bahasa Melayu pada masa kini. Projek pemodenan dengan pembinaan bangunan pencakar langit yang semakin hari semakin bertambah menyebabkan nilai kesantunan dan kehalusan berbahasa semakin dipinggirkan. Bahasa Melayu terpaksa bersaing dengan bahasa Inggeris yang diuar-uarkan sebagai bahasa dunia , bahasa sains dan teknologi di mana kedua-dua bidang tersebut tidak mengendahkan kesantunan dan kehalusan budi pekerti penuturnya. Cabaran bahasa Melayu juga amat berkait rapat dengan peranan bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik seperti mempersendakan peranan bahasa Melayu. Walaupun bahasa Inggeris perlu dikuasai, tetapi sebagai bangsa Malaysia,harus mendaulatkan bahasa sendiri demi mendaulatkan bangsa.Berlaku ketidakseragaman terhadap penguasaan bahasa Melayu kerana masih terdapat segelintir rakyat yang tidak mampu menguasainya dengan baik. Bagi golongan pendidikan Barat , mereka amat dipengaruhi oleh bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa mereka menjadi bahasa Melayu-Inggeris. Dalam berbahasa, mereka sering mengalihkan kod ke bahasa Inggeris atau sentiasa menukar kod dan menjadikan bahasa pertuturan bersifat ‘rojak’. Beberapa isu bahasa juga turut diketengahkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan melalui artikel ilmiahnya dalam Jurnal Akademik November 2009. Pendapat beliau pada amnya terdapat beberapa isu yang berkaitan dengan bahasa Melayu antaranya ialah: a. Masalah bahasa rojak. Bahasa rojak ialah suatu jenis percakapan di Malaysia yang mentakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan yang serupa dengan pijin, Manglish dan Singlish. Walau bagaimanapun, bahasa dasarnya merupakan Bahasa Melayu. Paling mudah didengar melalui radio atau TV sekarang ungkapan-ungkapan seperti “e-mail”, “sms”, “Internet”, software, “hardware”, “html”, “computer”, “website “ dan sebagainya. Sekarang pun kita sering mendengar dialog seperti berikut: “Hei, hari ini birthday I lah”. “Dalam hal ini you yang paling best”. Ungkapan-ungkapan dalam dialog ini dipetik dari siaran radio dan TV. Jelas tiada pengawasan oleh pihak-pihak tertentu sehingga wujudnya bahasa rojak dalam kehidupan kita seharian. b. Unsur-unsur dan amalan yang merosakkan bahasa Melayu Bahasa Melayu yang dituturkan pada hari ini, selain melalui ucapan, bahasa yang ditulis dan dijadikan sebagai wahana komunikasi surat-menyurat. Sementara keadaan bahasa Melayu lisan boleh dikatakan dalam keadaan kurang memuaskan berbanding bahasa Melayu tulisan atas beberapa sebab dapat diperhatikan kurang latihan pertuturan yang baik melibatkan murid sekolah, mahasiswa dan petugas awam. Kurangnya asuhan melibatkan bahasa indah, cara berfikir objektif dalam perbahasan dan pertuturan serta menggunakan bahasa yang baik. Selain itu kurangnya latihan atau mata pelajaran berkaitan karya-karya besar sastera bangsa sendiri. Malahan kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa atau pembahasaan sebagai satu bidang kajian atau mata pelajaran. Sementara itu amalan-amalan di peringkat pimpinan. Kepegawaian dan urusan-urusan rasmi juga dilihat sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi dan merumitkan penggunaan bahasa Melayu yang baik. Manakala akhbar Utusan Melayu berkeadaan tidak berfungsi. Menurut pihak berkuasa di Syarikat Utusan, akhbar yang pada satu masa dulu berfungsi sebagai pencetus nasionalisme Melayu kini sudah menjadi edisi sekali seminggu itu pun dengan jualan yang kurang dari 7,000 naskhah seminggu. Berdasarkan beberapa isu bahasa yang diketengahkan oleh Adenan Ayob dan Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim sememangnya isu-isu tersebut akan berterusan. Tanpa tindakan yang dilakukan ia akan menjadi penghalang serta menambahkan lagi permasalahan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. FAKTOR-FAKTOR KELUNTURAN MARTABAT BAHASA MELAYU Sejak kebelakangan ini, jelas menunjukkan bahawa keyakinan terhadap peranan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini serta kedudukannya sebagai bahasa ilmu-ilmu moden sudah mula menurun di kalangan pejuang bahasa sendiri. Setelah negara ini mencapai kemerdekaan yang ke 52 tahun, masih terasa keresahan dan kebimbangan yang berleluasa terhadap masa depan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Menurut kertas ulasan Kongres Pendidikan Melayu Ke -2 Awang Sariyan (Mac 2005) terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kelunturan martabat bahasa Melayu. Peminggiran bahasa Melayu dalam arus pemodenan seperti hari ini berpunca daripada sistem kolonial penjajah Inggeris selama pemerintahan mereka di Tanah Melayu. Penaklukan tersebut telah menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa penghubungan luas menjadi bahasa setempat atau bahasa vernakular yang disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa perhubungan seharian dan selebihnya untuk lingkungan masyarakat Melayu sahaja. Dalam bidang bahasa dan pendidikan, jelas bahawa bahasa Melayu hanya menjadi bahasa pengantar sekolah Melayu malah amat terbatas jangkauannya hanya kepada bidang ilmu dan kemahirannya sahaja. Hal ini direncanakan dengan cukup kemas oleh penjajah Inggeris, antaranya Pendidikan Melayu yang asalnya untuk tempoh enam tahun dikurangkan menjadi empat tahun sahaja pada tahun 1885( Awang Had Salleh, 1980 ) ini adalah semata-mata untuk menutup kemungkinan anak watan dapat muncul sebagai bangsa berwibawa dan dengan demikian berupaya membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Jika dilihat realiti hari ini, bahasa Melayu dari hari ke hari semakin terhakis penggunaan dan fungsinya disebabkan tiada keyakinan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa wahana bidang utama tamadun bangsa dan negara. Peranan bahasa sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan tanpa halangan faktor taraf sosioekonomi dan perbezaan etnik serta keeksklusifan bahasa pengantar ilmu yang dahulunya di dominasi bahasa Inggeris. Jutaan lepasan sekolah aliran kebangsaan telah terhasil dan merekalah yang menjadi tonggak pembangunan dalam pelbagai bidang. Namun , apabila tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana bidang-bidang utama kenegaraan itu,khususnya melalui bidang pendidikan, maka martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak pembinaan Negara. Walau bagaimanapun dengan adanya tentangan semasa , bahasa Melayu mengalami kemerosotan dalam dua aspek, iaitu aspek taraf dan mutunya. Kemerosotan dalam aspek taraf bermaksud penyempitan penggunaan bahasa penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan. Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam. Bahasa Melayu rasmi , khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran , penyiaran dan pendidikan akhir-akhir ini terbukti bukan semakin meluas malahan semakin mengecil, salah satunya apabila keputusan mengajar subjek-subjek yang berteraskan sains dan matematik ke dalam bahasa Inggeris (sehingga unjuran menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Inggeris melebihi 80% daripada bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara). Ini menunjukkan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan tidak tercapai. Semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara semakin luntur apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing misalnya Parcel, Parkson, Rubber Road, Electra House dan Boulevard. Awang Sariyan turut menyatakan senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu kian kurang terbudayanya dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario itu tergambar pada beberapa perkara berikut: 1. Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi seperti majlis rasmi, mesyuarat dan pekeliling tidak mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam perlembagaan. 2. Kurang penegasan dan penyelarasan dalam menguatkuasakan penggunaan bahasa dalam sektor tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan penyiaran. 3. Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan seperti pengajaran subjek-subjek berasaskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah, peningkatan dan peluasan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kursus di IPTA dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib . 4. Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris sehingga timbul keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat ( pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu. 5. Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. 6. Terutamanya dalam hal peluang pekerjaan, mereka menganggap bahasa Inggeris menjadi kayu pengukur taraf sosial dan pendidikan serta menjanjikan pulangan ekonomi yang berbaloi. 7. Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh , dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ( menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004) membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan. USAHA-USAHA DALAM MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU Peningkatan martabat bahasa memerlukan perencanaan semula dalam pelbagai aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya sebagai langkah membina ketahanan jati diri dan maruah bangsa dan negara. Proses penambahbaikan terhadap bahasa Melayu dijalankan sepanjang masa oleh badan yang bertanggungjawab untuk meningkatkan martabat bahasa Melayu yang lebih efisien dan berdaya maju setaraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Dalam bidang bahasa, antara usaha yang perlu dimartabatkan ialah: Penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar secara bersepadu Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklahditegaskan semula supaya urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas, telus dan jujur oleh semua lapisan masyarakat daripada pemimpin negara hingga penjawat awam, masyarakat umum peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi. Perancangan Bahasa Melayu Perancangan bahasa merupakan usaha-usaha yang dijalankan untuk memupuk bahasa ke arah taraf yang lebih maju yang dijalankan secara sistematik. Perancangan bahasa juga usaha meningkatkan komunikasi dengan cara mengkaji hubungan antara pengguna bahasa atau mencipta situasi bahasa. Perancangan taraf atau status melibatkan perubahan-perubahan fungsi sesuatu bahasa atau kelainan bahasa dan hak-hak mereka yang menggunakan. Peringkat ini merupakan peringkat pertama perancangan bahasa. Bahasa Melayu dipilih sebagai kodnya kerana Perkara 152 Perlembagaan Tanah Melayu (1957) telah menetapkan bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan. Perancangan taraf juga merupakan peringkat penilaian melibatkan penggunaan bahasa . Penilaian ini secara formal oleh ahli akademik, kritikan melalui akhbar atau penutur. Di samping membaiki kelemahan yang ada umpamanya mengalami proses ini apabila dibuat pindaan dan tokok tambah terhadap edisi-edisi Tatabahasa Dewan Sebelumnya. Perancangan korpus pula merujuk kepada perubahan dalam bahasa itu sendiri yang melibatkan hal-hal seperti pembinaan ortografi (pembakuan atau penstandardan termasuklah sistem ejaan dan tulisan sesuatu bahasa. Pengekodan bererti penyeragaman iaitu proses menghasilkan bahasa standard yang sempurna dan seragam serta usaha-usaha pembakuan bahasa. Dalam bahasa melalui pengekodan melibatkan korpus-korpus ejaan, tatabahasa, perkamusan, sebutan dan istilah. Pemupukan juga termasuk dalam perancangan korpus iaitu usaha-usaha mengembangkan bahasa seperti ilmu pengetahuan dan kemahiran teknikal terdapat dalam bahasa-bahasa asing diterjemahkan dan disesuaikan ke dalam bahasa Melayu. Pindaan dan Peluasan Peruntukan Akta Yang Berkaitan. Pindaan Akta Bahasa kebangsaan yang memberi cakupan lebih luas penggunaan bahasa Melayu, pindaan akta-akta yang sudah tidak kemas kini atau tidak jelas tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta Jalan, Parit dan bangunan. Akta Pertubuhan, Akta Pertubuhan, Akta pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu tindakan yang segera. Selain itu, akta yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran serta Undang-undang kecil Pengiklan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas. Contohnya Pihak Berkuasa Tempatan DBKL telah menguatkuasakan yang ketat dan disusuli dengan tindakan tegas penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda jalan dan iklan yang tidak berlesen serta mencemarkan bahasa Melayu. Pengayaan Khazanah Ilmu Dan Persuratan Dalam Bahasa Melayu. Usaha ini perlu dilakukan supaya nilai bahasa Melayu menjadi lebih tinggi sebagai bahasa budaya tinggi melalui penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat dan dalam pelbagai media (bercetak dan elektronik). Usaha ini perlu dilaksanakan oleh semua pihak Contohnya mengujudkan kreativiti berbahasa dalam media massa seperti penulisan kreatif, non –kreatif, komik, mengadakan pertandingan pidato , bercerita, mendeklamasikan sajak dan perbahasan dari peringkat sekolah, IPTA, Kampung, Pihak Berkuasa Tempatan , Daerah, Negeri dan Negara umumnya. Agenda pengayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu memerlukan dana serta mesti dimasukkan dalam agenda pembangunan negara melalui belanjawan negara. Pembudayaan Bahasa Melayu Melalui Sistem Pendidikan. Usaha ini perlu dimantapkan semula dari peringkat prasekolah hingga peringkat tinggi. Kerajaan perlu memberikan penegasan yang lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa Melayu dalam memartabatkan bahasa Melayu. Terdapat dua aspek penting. Pertama ialah pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuhkan oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Aspek yang kedua ialah pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan pengajaran dan pemelajaran, sukatan pelajaran, buku teks dan bacaan tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Komponen Bahasa Dan Persuratan Dalam Pelbagai Program Negara. Semua program negara yang bersifat pembinaan sahsiah di pelbagai peringkatmesti memasukkan program bahasa dan persuratan misalnya dalam Program Khidmat Negara, Kursus Biro Tatanegara dan sebagainya. Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan profesional perlu dimasukkan modul bahasa dan persuratan. Modul Bahasa Dan Persuratan Dalam Program Latihan Jabatan. Setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan dalam program semasa “Kursus Dalam Perkhidmatan”masing-masing. Selain itu juga kursus penataran Bahasa Melayu perlu diadakan terutama aspek bahasa seperti ejaan, sebutan ,kosa kata, tatabahasa dan laras bahasa. Contohnya Kursus Penataran Bahasa Melayu Untuk Guru Sekolah Persendirian Cina di Negeri Johor dan Melaka yang dianjurkan oleh Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 16-17 November 2009 bertempat di Balai Seminar DBP Wilayah Selatan. Tindakan susulan amat perlu dilakukan oleh ketua jabatan dan agensi sama ada swasta mahupun pihak kerajaan dengan melantik pakar bahasa dalam membuat analisis dokumen seperti minit mesyuarat, kertas kerja dan surat pekeliling. Dengan ini proses memartabatkan bahasa Melayu mendapat sokongan secara berterusan daripada semua pihak. Pemantauan Berterusan Terhadap Bidang Penyiaran Dan Media Massa. Usaha ini perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai agen pemantapan bahasa yang baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan. Tindakan perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga tindakan undang-undang contohnya Akta Komunikasi dan Penyiaran perlu juga melakukan tindakan tegas dengan serta merta terhadap pembaca berita dan pengacara sesuatu program televisyen jika didapati tidak menggunakan bahasa Melayu. Pemilihan pengacara sesuatu program realiti anjuran TV 3 telah menetapkan syarat kepada para peserta mesti fasih berbahasa Melayu. Langkah ini amat digalakkan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Program Pemasyarakatan Bahasa Kebangsaan Bertaraf Kebangsaan. Pihak kerajaan , semua kementerian, jabatan dan agensi serta perbadanan dan pihak swasta hendaklah terlibat secara aktif menyertai setiap program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya Bulan Bahasa Dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Selain itu , setiap jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diminta merancang dan menganjurkan kegiatan yang dapat menyemarakkan pembudayaan bahasa Melayu dari masa ke semasa dalam perancangan tahunan supaya bahasa dan persuratan Melayu tidak terpinggir dalam sektor di luar lingkungan orang atau institusi khusus dalam bidang bahasa dan sastera. Usaha - usaha Pelonjakan Bahasa Melayu. Dalam usaha pelonjakan bahasa Melayu perlunya program galakan pengembangan dan penggunaan bahasa seperti anugerah, hadiah. Sumbangan geran dan sebagainya untuk dijadikan penggalak kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu. Anugerah mahupun hadiah atau sumbangan tersebut hendaklah dilaksanakan dari peringkat sekolah rendah dan menengah, Institusi Pendidikan Tinggi, Pihak Berkuasa Tempatan, peringkat negeri, Negara dan peringkat Antarabangsa. Dengan adanya usaha pelonjakan bahasa Melayu ini dapat melahirkan ramai pencinta bahasa dan pejuang bahasa selaras dengan usaha dalam memartabatkan bahasa Melayu. Peranan Dewan Bahasa Dan Pustaka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru Johor sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran. Penubuhan DBP adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Negara. Berbekalkan Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1956, yang memberi kuasa autonomi untuk melaksanakan tugas membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan di Malaysia. Malahan DBP menyatakan wawasan dan misinya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia menjelang tahun 2020. Perancangan strategik Dewan Bahasa dan Pustaka merangkumi pemodenan Korpus Bahasa Melayu iaitu bergerak melalui beberapa program seperti Bank Istilah Berkomputer dalam Talian , Kerjasama Kebahasaan Peringkat Serantau Pembinaan dan Pemantapan Korpus Bahasa Melayu, Sebutan Baku Bahasa Melayu, Penyusunan dan Penulisan Sejarah Bahasa Melayu, Kodifikasi Bahasa melalui Perkamusan dan Pengkomputeran Bahasa Melayu. Beberapa aktiviti Kempen kesedaran Bahasa seperti Minggu Bahasa Kebangsaan, Bulan Bahasa Kebangsaan , Gerakan Cintailah Bahasa Kita dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu telah dijalankan bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat, Penerbitan bahan bercetak amat dititikberatkan melalui penerbitan Ensiklopedia, majalah dan jurnal yang diselenggarakan oleh pihak swasta atas nama DBP, buku sekolah, buku umum, dan penerbitan elektronik (bahan rujukan seperti Kamus , ensiklopedia, istilah, biografi dan bahan pemelajaran untuk kanak-kanak dan remaja ). Manakala Pemerkasaan Bahasa Melayu lebih kepada bidang teknologi meliputi pembinaan kosa kata, penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul, pembinaan laras dan bahan bahasa. Melalui usaha pihak DBP serta sumbangan daripada ahli-ahli bahasa, pakar-pakar bidang dan anggota masyarakat, bahasa Melayu berkembang dengan pesatnya selaras dengan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. KESIMPULAN Berdasarkan perbincangan kerja kursus di atas dapatlah dirumuskan bahawa terdapat beberapa isu dan cabaran dalam proses memartabatkan bahasa Melayu. Namun begitu, beberapa usaha yang berterusan telah dilakukan dalam memartabatkan bahasa Melayu ke satu tahap yang lebih tinggi. Walaupun pada asasnya kita berpuas hati akan kejayaan bahasa Melayu dalam mendepani cabaran dunia moden,namun demikian dapatan kajian masih menunjukkan perlunya usaha yang jitu harus kita lakukan dalam memartabatkan bahasa Melayu. Selain itu, kita janganlah leka dan alpa kerana masih banyak yang perlu kita usahakan untuk memastikan kelangsungan dan martabat bahasa Melayu itu sendiri, sama ada di peringkat negara mahupun di peringkat antarabangsa. Oleh itu, kerjasama kementerian, para ilmuwan, jabatan kerajaan, agensi , pertubuhan, sektor swasta, institusi-institusi pendidikan, media cetak dan elektronik serta orang perseorangan amat penting dan perlu digemblengkan secara bersepadu oleh pemerintah dalam bentuk rangkaian yang berkesan untuk memastikan pencapaian yang seimbang. Kerjasama daripada semua pihak amat perlu dalam memartabatkan bahasa Melayu agar lebih mantap dan perkasa ke arah merealisasikan kedaulatan bahasa Melayu di peringkat serantau mahupun antarabangsa. BIBLIOGRAFI Abdullah Hassan . (1987). Isu-isu Perancangan Bahasa Pengintelektual Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Adenan Ayob. (2009). Bahasa Kebangsaan. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn.Bhd. Asmah Haji Omar. (1978). Perancangan Bahasa Dengan Rujukan Khusus Kepada Perancangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Asraf (peny.) (1996). Manifesto Budaya, Pupuslah Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur:Persatuan Linguistik Malaysia. Awang Had Salleh. (1980). Pelajaran dan Perguruan Melayu di Malaya Zaman British. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Awang Sariyan. (1996). Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Awang Sariyan. (2005).” Memartabatkan Bahasa Melayu Dalam Konteks Peneguhan Tamadun Bangsa Dan Negara”. Kertas ulasan Kongres Pendidikan Melayu Ke -2, anjuran Persekutuan Badan Pembangunan dan Pendidikan Melayu (26-27 Mac 2005,) Kuala Lumpur. Nik Safiah Karim. (1993). Pengajian Melayu menjelang abad ke 21. Syarahan Perdana.Universiti Malaya. Rais Yatim. (2009). Bahasa Melayu dalam Era Globalisasi. Jurnal Akademik. November, 2009. Kamus Dewan Edisi Ketiga. (1998). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
HARAP MAAF, SEKIRANYA ADA YANG KEKURANGAN DALAM ARTIKEL INI. UNTUK KAWAN-KAWAN,ARTIKEL ANDA AKAN MUNCUL KEMUDIAN.SAYA CUMA MENYELENGGARA SAHAJA.

1 comment: