Sunday, 13 May 2012
BAHASA MELAYU DAN PERPADUAN BANGSA-Zainurin Zaharin [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]
ABSTRAK
Perpaduan bangsa merupakan unsur yang penting dalam konteks pembinaan sesebuah negara. Kertas kerja ini membincangkan ciri-ciri yang ada pada bahasa Melayu atau bahasa Malaysia setelah dibuat penamaan semula, dan bagaimana ciri-ciri tersebut berfungsi dalam konteks perpaduan bangsa Malaysia. Bahasa Melayu telah dipilih oleh kerajaan sebagai alat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Bahasa Melayu yang tergolong dalam bahasa bumiputera iaitu bahasa penduduk asli Malaysia adalah merupakan bahasa yang mempunyai penuturnya yang paling ramai. Ini bermaksud kebanyakan rakyat Malaysia memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu. Sejak beratus-ratus tahun dahulu, bahasa Melayu sudah digunakan sebagai bahasa pengantar perdagangan atau bahasa lingua franca di kepulauan Nusantara. Pedagang-pedagang dari negara China, India dan Arab sejak abad ketujuh lagi sudah dapati bahawa mereka terpaksa menggunakan bahasa Melayu dalam menjalankan perdagangan mereka sehari-hari. Bahasa Melayu dapat dipertimbangkan untuk dijadikan bahasa kebangsaan yang mempunyai fungsi pemersatuan kerana bahasa ini adalah merupakan bahasa bersama. Bahasa ini tidak hanya merupakan alat komunikasi yang terbatas di lingkungan kaumnya sendiri tetapi juga merupakan alat komunikasi kepada semua kaum. Sebagai bahasa pengantar yang rasmi setelah dinaikkan tarafnya dengan tercapainya kemerdekaan pada tahun 1957, bahasa Melayu sudah banyak mengambil alih peranan yang dulu dimainkan oleh bahasa Inggeris. Syarat untuk memenuhi keperluan sebagai bahasa kebangsaan yang melambangkan kedaulatan dan perpaduan negara iaitu menjadi asas kebudayaan nasional dan menyatupadukan rakyat, telah sedia ada pada bahasa Melayu. Bahasa Melayu atau bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan adalah lambang persatuan dan kedaulatan negara, yang mempunyai fungsi pemersatuan bagi mewujudkan perpaduan bangsa Malaysia.
PENDAHULUAN
Sejumlah faktor yang dapat disebut untuk tujuan mencipta kewarganegaraan yang bersatu padu adalah agama, kebudayaan dan bahasa. Di antara ketiga-tiga faktor ini, bahasa sudah dibuktikan sebagai faktor penyatu yang dapat dipertanggungjawabkan. Hal ini disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh tiap-tiap satu dari tiga faktor yang disebutkan di atas dalam masyarakat. Agama dan kebudayaan adalah cara hidup, dan di dalam kedua-duanya termanifestasi hubungan antara makhluk dengan tuhan dan antara makhluk dengan makhluk. Sebaliknya bahasa, di samping mempunyai beberapa fungsi lain, adalah terutamanya alat, atau dengan ungkapan yang lebih khusus, alat asasi dalam komunikasi antara manusia.
Khoo Kay Kim (1980:15) menjelaskan, taraf bahasa Melayu yang sejak tahun 1970 dikenal sebagai bahasa Malaysia sudah jelas. Jawatankuasa Pelajaran Razak yang dibentuk oleh kerajaan untuk menggariskan Dasar Pendidikan Kebangsaan telah menyarankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Saranan ini telah termaktub dalam Ordinan Pelajaran 1957. Apabila Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib dibentuk pada tahun 1960, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah telah diperteguh. Akta Pelajaran 1961 telah menjadi infrastruktur yang terbaik untuk melaksanakan langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.
Sebagai satu langkah untuk memungkinkan terlaksananya cita-cita ini, pengajaran bahasa Melayu telah dilaksanakan secara lebih intensif. Tujuannya ialah agar pelajar-pelajar dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam institusi pendidikan, generasi muda daripada pelbagai kaum berpeluang menanamkan sikap saling memahami dan saling menghormati di antara satu dengan yang lain. Tujuan akhirnya ialah perpaduan masyarakat berbilang kaum yang sering dibicarakan dalam konteks pembinaan negara (Awang Sariyan, 1991:164). Dengan kata lain, bahasa kebangsaan adalah alat yang dimanfaatkan oleh kerajaan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Sebagai alat yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan, dengan sendirinya bahasa kebangsaan mempunyai kedaulatannya yang tersendiri. Dari sudut inilah kita seharusnya menentukan sikap mengapa kita mempelajari bahasa kebangsaan. Kegagalan menguasai bahasa kebangsaan bererti kegagalan melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan penyatupaduan bangsa.
Kajian dalam kertas kerja ini adalah untuk memahami tentang pengertian bahasa sebagai alat perpaduan bangsa serta konsepnya mengikut pendapat dan kajian ahli bahasa. Selain daripada itu, kajian ini juga untuk mengetahui apa ciri-ciri yang ada pada bahasa Melayu dan bagaimana ia berperanan dalam konteks mewujudkan perpaduan bangsa Malaysia.
Kertas kerja ini akan membicarakan tentang apakah yang dimaksudkan dengan bahasa Melayu sebagai alat untuk mewujudkan perpaduan bangsa Malaysia serta konsepnya berdasarkan pendapat-pendapat dan kajian yang telah dijalankan oleh ahli-ahli bahasa. Bagi membatasi pembicaraan dalam penulisan ilmiah ini, saya mengambil aspek ciri-ciri yang ada pada bahasa Melayu dan fungsinya bagi mewujudkan perpaduan bangsa Malaysia sebagai bahan perbincangan.
BAHASA BUMIPUTERA YANG PALING RAMAI PENUTUR
Malaysia tidak terkecuali dari pola kepelbagaian bahasa. Di Indonesia, keadaan kepelbagaian bahasanya wujud oleh bahasa-bahasa yang berasal dari satu rumpun yang sama. Berbeza dengan keadaannya di Malaysia, iaitu bahasa yang berbagai-bagai berasal dari rumpun yang berbeza-beza antara satu sama lain. Abdullah Hassan (1999:25) menjelaskan, bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa pengantar di rantau ini dan terdapat bahasa-bahasa yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bahasa Melayu seperti bahasa bumiputera di Sabah dan Sarawak, bahasa Jawa, Mandailing dan sebagainya yang dibawa masuk ke Malaysia Barat oleh orang-orang pendatang dari Indonesia. Bahasa-bahasa ini termasuk dalam rumpun Austronesia. Bahasa yang berasal dari rumpun Dravidia seperti bahasa Tamil. Bahasa yang tergolong dari rumpun Indo-Eropah seperti bahasa Inggeris. Bahasa dari rumpun Semitik seperti bahasa Arab. Terdapat juga bahasa Kreol iaitu bahasa Portugis yang digunakan oleh orang-orang berketurunan Portugis di Melaka. Berdasarkan sejarah bahasa-bahasa ini, dapatlah dinyatakan bahawa bahasa-bahasa yang terdapat di Malaysia terbahagi kepada bahasa bumiputera dan bahasa pendatang.
Bahasa Melayu, bahasa-bahasa orang asli dan bahasa-bahasa yang terdapat di Sabah dan Sarawak adalah tergolong dalam bahasa bumiputera. Bahasa-bahasa ini merupakan bahasa penduduk asli Malaysia dan bukan bahasa yang datang dari luar atau bahasa pendatang. Oleh itu, bahasa-bahasa ini disebut sebagai bahasa bumiputera. Menurut Asmah Omar (1985:30), di antara kumpulan bahasa bumiputera ini, bahasa Melayu mempunyai jumlah pemakai bahasa yang paling ramai. Berdasarkan kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia maka, bahasa Melayu telah menjadi milik semua rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, pengguna bahasa Melayu dianggarkan sama dengan jumlah penduduk Malaysia.
Jumlah pemakai bahasa bumiputera lainnya tidaklah begitu besar dibandingkan dengan jumlah pemakai bahasa Melayu. Di Sarawak, bahasa bumiputera yang paling besar dilihat dari sudut jumlah pemakainya adalah bahasa Iban, sedangkan di Sabah bahasa bumiputera yang mempunyai pemakai yang paling ramai ialah bahasa Kadazan.
BAHASA PENGANTAR SERANTAU
Setiap bahasa mempunyai dialek-dialek mengikut daerah-daerah tertentu. Bahasa Melayu sendiri mempunyai berbagai-bagai dialek. Dalam kebanyakan hal, batas antara dialek-dialek ini selaras dengan batas kesatuan-kesatuan politik, iaitu batas negeri. Dari itu, terdapat dialek Kedah, Perak, Johor, Sabah, Sarawak dan sebagainya. Dialek-dialek ini digunakan oleh orang-orang tertentu dalam percakapan mereka dengan keluarga mereka atau dengan orang yang
berasal dari satu daerah dengan mereka. Dalam percakapan orang-orang antara daerah atau dalam penggunaan bahasa secara tidak formal, maka bahasa Melayu yang digunakan adalah bahasa Melayu umum, iaitu bahasa Melayu yang baku, seperti yang digunakan di radio dan televisyen atau di sekolah-sekolah.
Dalam keadaan yang seperti ini, kita sudah dengan sewajarnya memilih bahasa Melayu, yang sekarang dikenal sebagai bahasa Malaysia, sebagai bahasa Kebangsaan, iaitu bahasa yang melambangkan kebangsaan kita dan kedaulatan negara kita. Menurut Abdullah Hassan (1999:28), terdapat faktor-faktor yang mendorong kita membuat pilihan ini. Antaranya ialah, bahasa Melayu sejak beratus-ratus tahun dahulu sudah digunakan sebagai bahasa pengantar perdagangan atau bahasa lingua franca di kepulauan Nusantara. Pedagang-pedagang dari negara China, India dan Arab sejak abad ketujuh lagi sudah dapati bahawa mereka terpaksa menggunakan bahasa Melayu dalam menjalankan perdagangan mereka sehari-hari.
Bahasa Melayu di Malaysia juga telah lama memperlihatkan fungsinya sebagai bahasa pengantar, sebelum dijadikan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu di Malaysia menjadi bahasa pengantar antara kaum yang berbeza-beza. Seperti yang dikatakan di atas tadi, Malaysia mempunyai berbagai-bagai kaum yang masing-masing mempunyai bahasa sendiri. Bahasa yang digunakan dalam hubungan antara kaum, terutama sekali antara orang-orang yang tidak mempunyai pendidikan sekolah Inggeris, adalah bahasa Melayu. Orang-orang yang berpendidikan Inggeris terdiri dari jumlah yang kecil dibandingkan dengan orang-orang yang tidak mempunyai pendidikan sekolah Inggeris. Antara orang-orang yang mengetahui bahasa Inggeris yang datangnya dari kaum yang berbeza-beza, alat komunikasi yang digunakannya adalah bahasa Inggeris, tetapi jika orang-orang ini mahu berhubung dengan orang-orang dari kaum lain yang tidak mempunyai pengetahuan bahasa Inggeris, maka bahasa yang menjadi alat perantara adalah bahasa Melayu. Jadi, antara orang-orang Cina, Melayu, India dan sebagainya, alat komunikasinya adalah bahasa Inggeris jika kesemua pihak mengetahui bahasa Inggeris, tetapi jika salah satu pihak atau kesemua pihak tidak mengetahui bahasa Inggeris, maka alat komunikasi antara kaum itu adalah bahasa Melayu. Dengan Dasar Pelajaran baru, di mana bahasa Malaysia diutamakan, maka keadaan seperti ini tentu sahaja akan berubah. Komunikasi yang menggunakan bahasa Inggeris semata-mata akan berkurang, dan tempat bahasa Inggeris itu akan diduduki oleh bahasa Malaysia.
BAHASA BERSAMA
Baik bahasa-bahasa pendatang mahupun bahasa-bahasa bumiputera yang bukan bahasa Melayu, masing-masing tidak dapat dipertimbangkan untuk dijadikan bahasa kebangsaan kerana bahasa-bahasa itu tidak pernah merupakan bahasa bersama. Tiap-tiap satu dari bahasa ini hanya merupakan alat komunikasi yang terbatas di lingkungan kaumnya sendiri, dan tidak pernah digunakan dalam hubungan antara kaum. Dalam sejuta jiwa, mungkin hanya ada dua tiga orang Melayu yang boleh bercakap dengan orang Cina dalam salah satu loghat Cina. Demikian juga dengan bahasa Tamil sungguhpun, baik bahasa Tamil mahupun bahasa Cina, kedua-duanya mempunyai tradisi bahasa tulisan yang lama yang boleh dibanggakan (Aishah Edris et. al. (1997:32).
Bahasa-bahasa pendatang lainnya seperti bahasa Telugu, bahasa Benggali, bahasa Jawa dan lain-lain, juga bahasa-bahasa bumiputera seperti yang terdapat di Sabah dan Sarawak memperlihatkan gejala yang sama dengan bahasa Cina dan Tamil. Bahasa Arab berlainan dengan bahasa-bahasa lain dalam erti kata bahasa ini tidak mempunyai masyarakat pemakainya sendiri. Fungsi bahasa Arab hanya terbatas di kalangan orang-orang yang berkecimpung dalam bidang keagamaan.
Di samping mempunyai lingkungan yang terbatas, sebahagian besar daripada bahasa-bahasa bumiputera seperti yang terdapat di Malaysia Timur tidak mempunyai tradisi bahasa tulisan atau kesusasteraan bertulis yang terdahulu untuk dijadikan bahasa kebangsaan yang harus digunakan dalam bidang pendidikan yang menyeluruh. Oleh kerana tidak adanya tradisi bahasa tulisan, bahasa-bahasa ini tidak pernah memegang peranan sebagai bahasa ilmu. Maka seandainya ada usaha untuk menjadikan salah satu dari bahasa-bahasa ini sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi, tujuan ini adalah sukar untuk dicapai.
MENGAMBIL ALIH PERANAN BAHASA INGGERIS
Sungguhpun bahasa Inggeris mempunyai sejarah gemilang yang berabad-abad lamanya dan sudah menjadi bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa, namun bahasa ini tidak dapat diambil sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Bahasa Inggeris digolongkan sebagai bahasa pendatang kerana bahasa ini bukanlah bahasa bumiputera. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris mempunyai taraf yang berlainan dengan bahasa-bahasa pendatang lainnya. Bahasa Inggeris adalah bahasa penjajah kerana orang-orang pendatang yang memasukkan bahasa Inggeris ke negara ini adalah penjajah. Oleh sebab itu, sebelum Malaysia mencapai kemerdekaannya dalam tahun 1957, bahasa Inggeris diberi keistimewaan yang tidak dapat ditandingi oleh bahasa-bahasa lain di negara ini. Bahasa Inggeris berkedudukan sebagai bahasa rasmi negara ini di samping merupakan bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi dan juga dalam bidang perdagangan, pentadbiran dan profesional. Bahasa Inggeris menjadi ukuran dalam pergaulan sehari-hari. Pengetahuan bahasa Inggeris bererti bahawa seseorang itu mempunyai pelajaran yang diperolehnya dari sekolah yang letaknya di bandar, dan kelulusan bahasa Inggeris bukan sahaja merupakan alat untuk seseorang itu mendapat pekerjaan dalam kerajaan yang memerintah tetapi juga merupakan alat yang dapat memindahkan golongan sosial seseorang itu dari golongan orang desa kepada golongan orang bandar, atau dari golongan bawah kepada golongan menengah atau atasan.
Keadaan seperti di atas telah berubah sedikit demi sedikit dengan tercapainya kemerdekaan dalam tahun 1957. Sejak dari tarikh itu, bahasa Melayu telah dinaikkan tarafnya menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia. Sebagai bahasa pengantar yang rasmi, bahasa Melayu sudah banyak mengambil alih peranan yang dulu dimainkan oleh bahasa Inggeris. Pengetahuan bahasa Melayu adalah wajib bagi tiap-tiap warganegara dan juga merupakan syarat yang wajib dalam pemilihan calon-calon untuk jawatan-jawatan di jabatan kerajaan.
Menurut Abdullah Hassan (1997:40), dalam bidang ilmu pengetahuan seperti di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi, bahasa Melayu sudah banyak digunakan sebagai bahasa pengantar. Sungguhpun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris masih memainkan peranan utama dalam bidang ilmu pengetahuan dan hubungan antarabangsa. Bahasa Inggeris adalah bahasa dunia dan tidaklah wajar kita membuangnya sama sekali. Pengetahuan bahasa Inggeris itu perlu untuk memperkayakan diri kita dengan ilmu pengetahuan dan untuk memperluaskan pandangan kita. Sikap kita terhadap bahasa Inggeris mestilah berubah. Bahasa Inggeris hendaklah dianggap semata-mata sebagai alat untuk meninggikan taraf kita dalam ilmu pengetahuan dan juga dalam hubungan kita dengan negara-negara lain. Bahasa Inggeris tidaklah boleh didewa-dewakan sebagaimana kita mendewa-dewakan penjajah dahulu.
Bahasa Inggeris tidak dapat menyatupadukan rakyat Malaysia kerana bahasa ini tidak pernah menjadi bahasa bersama untuk masyarakat Malaysia amnya. Sehingga sekarang, bahasa ini hanya dimengerti oleh satu lapisan masyarakat yang bernasib baik kerana dapat menduduki bangku sekolah Inggeris. Oleh itu, bahasa Inggeris tetap akan dirasakan sebagai bahasa yang asing bagi bangsa Malaysia. Bahasa Inggeris tidak dapat melambangkan keperibadian Malaysia, dalam erti kata bahasa ini tidak dapat dijadikan asas kebudayaan Malaysia.
MEMENUHI SYARAT SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN
Mohd. Shahir Abdullah (2005:38) menyatakan, bahasa Melayu mempunyai syarat-syarat untuk memenuhi keperluan menjadi bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan yang melambangkan kedaulatan dan perpaduan negara harus mempunyai dua ciri iaitu pertama, menjadi asas kebudayaan nasional dan kedua, menyatupadukan rakyat. Bahasa yang berbeza-beza menimbulkan kebudayaan yang berbeza-beza pula. Oleh itu, kepelbagaian bahasa di negara kita juga bererti kepelbagaian kebudayaan. Keadaan yang serupa ini tidak akan menimbulkan satu negara yang mempunyai perpaduan yang teguh. Perpaduan rakyat yang berbilang bangsa boleh dicapai dengan adanya satu kebudayaan nasional yang mempunyai bahasa kebangsaan sebagai lambang ekspresinya. Perbezaan yang penting antara manusia dengan binatang terletak pada cara mereka berkomunikasi. Manusia memiliki bahasa, dan bahasa adalah satu sistem lambang yang menghubungkan fikiran dengan bunyi. Binatang tidak mempunyai sistem lambang seperti ini, tetapi dapat berhubung antara satu sama lain dengan menggunakan gerak-geri dan bunyi-bunyi yang tidak merupakan sistem tertentu. Oleh kerana bahasa merupakan asas kebudayaan, maka binatang adalah berlainan dengan manusia kerana tidak mempunyai kebudayaan.
Dalam kehidupan seseorang individu, banyak bahasa yang dapat dipelajari dan dikuasainya, tetapi hanya ada satu bahasa sahaja yang mengikat dirinya dengan negaranya, dan bahasa ini adalah bahasa kebangsaannya. Bahasa-bahasa lain, baik yang merupakan bahasa ibundanya mahupun bahasa asing, tidak menimbulkan perasaan dalam dirinya bahawa ia adalah anggota dari masyarakat yang lebih luas daripada hanya masyarakat kedaerahannya sahaja. Bahasa-bahasa ini sebaliknya memisahkan ia dari masyarakat negaranya, dan kebudayaan yang didukung oleh setiap bahasa itu tentu sahaja berbeza dari kebudayaan nasional yang didukung oleh bahasa kebangsaan. Tanpa sesuatu bahasa kebangsaan, tidak akan timbul semangat kebangsaan dan semangat perpaduan, kerana bahasa kebangsaan itu bersifat menyatukan dan bukan memisahkan.
Sudah semestinya bahasa kebangsaan harus dijadikan bahasa ilmu, iaitu bahasa yang digunakan dalam pendidikan dan dalam bidang ilmiah dari tingkatan yang paling rendah sampai kepada tingkatan yang paling tinggi. Penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang pendidikan dengan sendirinya menghasilkan cirinya yang lain, iaitu sebagai bahasa rasmi yang digunakan dalam urusan negara. Harus diingat bahawa bahasa rasmi tidak sama dengan bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris pernah menduduki tempat bahasa rasmi di negara kita, tetapi tidak pernah bertakhta sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan dan masalah-masalah yang berhubung dengannya hanya muncul dalam negara yang sudah merdeka.
Kita sedar bahawa bahasa Melayu mempunyai dua ciri utama yang telah disebut di atas untuk menjadi bahasa kebangsaan. Sebagai bahasa pengantar dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan pada waktu sebelum kemerdekaan, tugas ini telah dipangku oleh bahasa Inggeris. Oleh kerana itu, sebelum tarikh kemerdekaan Malaysia, bahasa Melayu tidak pernah diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya terutama sekali sebagai bahasa ilmu, sehingga apabila dijadikan bahasa kebangsaan, timbul keraguan di kalangan golongan tertentu terhadap kemampuan bahasa ini.
Menurut Abdullah Hassan (1997:44), di antara bahasa-bahasa bumiputera, hanya bahasa Melayulah yang mempunyai tradisi bahasa tulisan yang dapat dikesan dari abad ketujuh Masihi, dengan terjumpanya batu bersurat Kotakapur (di Bangka) yang bertarikh 686 Masihi dan prasasti-prasasti lain di Sumatera Selatan, yang bahasanya adalah bahasa Melayu Kuno. Kebanyakan orang tidak mengetahui bahawa dalam zaman Sriwijaya dalam abad ketujuh Masihi itu, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa ilmu. Dalam zaman Sriwijaya, belum wujud ilmu pengetahuan seperti yang ada dalam zaman sekarang ini. Ilmu pengetahuan yang paling tinggi dalam zaman itu adalah ilmu keagamaan dan yang bersangkut paut dengannya. Prasasti-prasasti (batu bersurat) Melayu Kuno dan kesusasteraan Melayu klasik yang dinyatakan oleh hikayat-hikayat Melayu, memperlihatkan betapa lengkapnya peristilahan Melayu dalam bidang keagamaan dan rohaniah sesuai dengan kehendak masyarakat dalam zaman itu.
Gelombang penjajahan dari masa ke masa, lama-kelamaan telah menenggelamkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Walau bagaimanapun, dalam abad ini kita telah berusaha untuk mengembalikan bahasa Melayu ke taraf yang pernah dan seharusnya diduduki. Pengangkatan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam bidang pengajian tinggi dan juga dalam bidang-bidang pentadbiran dan profesional, memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dalam penciptaan istilah dan juga dalam penulisan dan penterjemahan buku-buku teks. Jika keadaan yang seperti ini mendatangkan kesukaran bagi orang-orang bukan Melayu kerana mereka mesti belajar bahasa Melayu, ini tidak bererti bahawa orang-orang Melayu boleh hidup dengan senang-lenang kerana tidak lagi perlu belajar bahasa yang baru.
Sebenarnya orang-orang Melayu seperti juga dengan orang-orang lain terpaksa bekerja keras untuk dapat menguasai bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya, kerana bahasa Melayu yang dipelajari di rumah itu bukanlah bahasa Melayu yang boleh digunakan sebagai bahasa pengantar untuk menyampaikan fikiran yang saintifik dan profesional atau juga untuk menyampaikan perasaan yang mengandungi falsafah. Bagi tujuan-tujuan yang bersifat intelektual seperti ini, memerlukan bahasa yang susunan ayatnya lebih teratur daripada bahasa yang digunakan dalam hubungan tidak formal, iaitu diperlukan juga perbendaharaan kata yang mampu untuk menyampaikan pengertian-pengertian teknik, baik yang konkrit mahupun yang abstrak dengan setepat-tepatnya. Sudah jelas bahawa bahasa yang digunakan oleh orang-orang Melayu dalam pemakaiannya sehari-hari tidak memenuhi syarat-syarat ini.
BAHASA PERSATUAN
Bahasa kebangsaan melambangkan identiti dan kedaulatan sesebuah negara. Fungsi utama bahasa ini untuk menyatukan rakyat. Sebagai lambang persatuan dan kedaulatan sesebuah negara, dapatlah dikatakan bahawa bahasa kebangsaan mempunyai fungsi pemersatuan dan juga fungsi pemisah. Kedua-dua fungsi ini mengaitkan sikap yang sejajar dengan konsep dalam kesetiaan bahasa (Ismail Jusoh, 2002:148). Fungsi pemersatuan menimbulkan sikap pemersatuan dalam kesetiaan bahasa manakala fungsi pemisah menimbulkan sikap pemisah. Fungsi pemisah atau sikap pemisah bermaksud fungsi atau sikap bahasa yang memisahkan masyarakat sesuatu bahasa daripada masyarakat bahasa yang lain. Contohnya, bahasa Melayu mempunyai fungsi pemersatuan dalam mempersatukan rakyat dari pelbagai kaum dan bahasa di samping itu, memberi identiti yang tersendiri kepada negara Malaysia yang berlainan daripada identiti negara lain, yang memisahkannya dengan negara-negara lain. Dengan demikian, bahasa kebangsaan adalah asas identifikasi bangsa yang ditandai oleh ciri-ciri linguistik dan kebudayaan yang khusus bagi bangsa itu sendiri, terpisah dari bangsa-bangsa lain.
Menurut Nik Safiah Karim (1986:33), di kalangan orang-orang bukan Melayu, baik bumiputera mahupun bukan bumiputera, timbul juga prasangka bahawa menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bererti memelayukan semua orang Malaysia. Anggapan seperti ini sama sekali tidak benar, kerana kita sendiri sudah menyaksikan bahawa bahasa Inggeris tidak menginggeriskan orang-orang bukan Inggeris, baik di Malaysia, India atau negara-negara yang bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantarnya. Orang Amerika yang kebanyakannya berasal dari benua Eropah tidak pernah merasakan bahawa mereka adalah orang Inggeris, sungguhpun mereka menggunakan bahasa Inggeris sehari-hari dan sebahagian besar dari mereka berketurunan Inggeris. Demikian juga halnya dengan orang-orang Indonesia yang seolah-olah lupa bahawa apa yang mereka sebut sebagai “bahasa Indonesia” itu sebenarnya adalah bahasa Melayu. Bagi mereka, bahasa Indonesia itu adalah bahasa persatuan yang melahirkan satu bentuk bangsa Indonesia.
Malaysia menginginkan keadaan yang sama seperti yang terdapat di Amerika dan Indonesia. Dari itu, tidak boleh dinafikan bahawa tindakan menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan ialah untuk menyatupadukan semua kaum di negara ini, supaya hasil daripada penyatupaduan ini adalah satu bentuk bangsa yang disebut bangsa Malaysia. Penyatupaduan rakyat di sesebuah negara tidak dapat dihasilkan melalui faktor-faktor lain seperti fahaman politik dan agama, kerana fahaman-fahaman seperti ini melibatkan keyakinan individu. Sebaliknya, bahasa hanyalah sebagai alat pengisi fikiran dan alat untuk melahirkan sesuatu fikiran dan dari itu, orang boleh dengan sendirinya memisahkan bahasa dari keyakinan akan hal-hal lain. Berdasarkan ini, bahasa adalah alat perpaduan yang sebaik-baiknya dan sudah pada tempatnya istilah “bahasa Melayu”, yang memberi gambaran bahawa bahasa ini adalah milik sesuatu kaum tertentu, digantikan dengan “bahasa Malaysia” yang melambangkan perpaduan rakyat Malaysia.
KESIMPULAN
Sebuah negara yang mempunyai pelbagai kumpulan etnik dan linguistik tidak akan dapat menjalankan tugasnya sehari-hari dengan baik, jika rakyatnya tidak berkemampuan untuk mengadakan pertalian hubungan yang menimbulkan keadaan saling memahami antara satu sama lain. Pertalian hubungan yang membayangkan wujudnya sistem komunikasi yang saling memahami itu memerlukan bahasa yang umum, yakni yang diketahui oleh semua rakyatnya. Bahasa adalah merupakan asas kebudayaan. Jika kebudayaan yang umum bagi semua rakyat dijadikan faktor pemersatuan untuk sesuatu negara, maka bahasa tidak boleh diketepikan. Kebudayaan umum yang hendak dijadikan kebudayaan kebangsaan mestilah mempunyai satu bahasa umum, iaitu bahasa kebangsaan sebagai asasnya. Di Malaysia, bahasa kebangsaannya adalah bahasa Melayu yang telah diberi penamaan semula sebagai bahasa Malaysia.
Oleh itu, adalah penting bagi rakyat sesebuah negara untuk berkongsi satu bahasa yang umum bagi semuanya dalam komunikasi, yang mendukung aspek-aspek emosi, buah fikiran, perasaan dan pengalaman hidup. Perkongsian kod bahasa memberi kepada rakyat sesebuah negara itu perasaan bahawa mereka adalah anggota dari satu bangsa yang sama. Bahasa umum, apabila diberi taraf bahasa kebangsaan, akan menjadi lambang kesatuan untuk sesebuah negara. Dalam fungsi simbolik ini, bahasa kebangsaan juga menjalankan fungsi yang lain, iaitu fungsi penyertaan. Dengan fungsi ini, bahasa kebangsaan memberi peluang yang sama kepada setiap warganegara dan juga yang bukan warganegara dalam sesebuah negara tertentu untuk mengambil bahagian yang maksimum dalam hal ehwal negara tersebut.
Dalam penamaan semula bahasa kebangsaan dari bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia pada tahun 1969, negara Malaysia menyokong kenyataan mengenai pentingnya identifikasi bahasa pilihan dengan rakyat seluruhnya. Kenyataan ini dapat dibuktikan lagi dengan mempertimbangkan keadaan sosiolinguistik, khususnya sikap orang-orang Malaysia pada umumnya terhadap bahasa kebangsaan, sebelum dan sesudah pertukaran nama bahasa kebangsaan ini. Sebelum pertukaran nama, penerimaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, tidak membayangkan penerimaannya oleh seluruh rakyat negara Malaysia.
Penentang-penentang bahasa kebangsaan mempunyai banyak hujah terhadap pilihan ini, tetapi ada satu sahaja hujah yang selalunya diperkatakan oleh mereka, yang berkaitan dengan asas perkara ini, dan hujah itu adalah bahawa bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu, bukanlah bahasa orang-orang Malaysia tetapi hanya merupakan bahasa orang-orang Melayu sahaja. Penyempitan identifikasi bahasa kebangsaan kepada satu kelompok tertentu, merupakan satu cara yang tidak dapat menimbulkan perpaduan yang ingin dipupuk. Pentingnya penyegeraan penamaan semula bahasa kebangsaan telah diinsafi oleh pemimpin-pemimpin Malaysia hanya sesudah terjadinya pertikaian kaum pada 13 Mei 1969. Sesungguhnya, nama baharu bahasa Malaysia, iaitu bahasa orang-orang Malaysia, kini tetap dengan taraf yang dikurniakan kepadanya, dengan tidak diganggu-gugat atau dipersoalkan lagi hingga sekarang sebagai bahasa yang menyatupadukan bangsa Malaysia.
BIBLIOGRAFI
Abdullah Hassan. 1997. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Shah Alam: Fajar Bakti.
Abdullah Hassan. 1999. Perancangan Bahasa di Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Aishah Edris et. al. (1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Asmah Omar. 1985. Perancangan Bahasa dengan Rujukan Khusus Kepada Perancangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Omar (1986). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. 1991. Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Ismail Jusoh. (2002). Matlamat Perancangan Bahasa. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Khoo Kay Kim (1980). Pendidikan di Malaysia Dahulu dan Sekarang. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors.
Mohd. Shahir Abdullah (2005). Malaysia Kita. Petaling Jaya: International Law Book Services.
Nik Safiah Karim. (1986). Bahasa Melayu Persoalan dan Pergolakan. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House.
Noresah Baharom, et. al. (2000). Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment