Wednesday, 9 May 2012

CABARAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU DALAM KONTEKS NEGARA BANGSA - Norhasnita Jusoh [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak- ; Bahasa Melayu diisytiharkan sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Artikel 152. Sejak tarikh kemerdekaan 31 Ogos 1957 hingga kini bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan terus menerus digunakan dan berkembang maju serta meluas di negara kita terutamanya di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan namun banyak cabaran yang perlu dilalui bahasa Melayu dalam merealisasikan peranannya sebagai bahasa ilmu. Perbincangan ini menyingkap mengenai cabaran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks negara bangsa dan kajian ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu bahagian pertama membincangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahagian kedua menjelaskan ciri-ciri bahasa ilmu, keintelektualan bahasa dan kesempurnaan bahasa manakala bahagian akhir iaitu bahagian ketiga menghuraikan cabaran yang perlu dihadapi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks negara bangsa serta beberapa cadangan penyelesaiannya. PENDAHULUAN-; Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bermaksud peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat menyampaikan ilmu pengetahuan moden iaitu ilmu sains, teknologi, ekonomi, kedoktoran, undang-undang, sastera dan agama. Dengan perkataan lain, bahasa Melayu boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baharu dalam aneka bidang ilmu moden. Misalnya dalam bidang kejuruteraan, bahasa Melayu harus mempunyai laras bahasa yang khusus untuk menerangkan hal tentang kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan mekanikal, dan kejuruteraan kimia. Begitu juga dalam bidang kedoktoran bahasa Melayu perlu mempunyai laras bahasa untuk memperkatakan hal dengan tepat tentang bidang anatomi, biokimia, farmakologi, fisiologi, mikrobiologi perubatan, obstetrik dan ginekologi, oftalmologi, otorinolaringologi, parasitologi, patologi, pediatrik, perubatan psikologi, perubatan kemasyarakatan dan surgeri. Laras saintifik ini berbeza pula daripada laras sains sosial dan kemanusiaan seperti laras kesusasteraan, laras sejarah, laras seni ukir, laras sains rumah tangga, dan sebagainya. Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu harus mempunyai perbendaharaan kata, istilah, dan laras bahasa yang cukup dan sesuai untuk menyatakan konsep dan pemikiran tentang hal perdagangan antarabangsa, perindustrian ringan dan berat, perniagaan saham, pengurusan perakaunan, dan perangkaan. Maksudnya, kekuatan bahasa Melayu seharusnya setanding dengan kekuatan bahasa Inggeris dalam memperkatakan konsep dan pemikiran ilmu moden. Bahasa Melayu perlu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa antarabangsa yang lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jerman, dan bahasa Jepun yang sudah lama berperanan sebagai bahasa ilmu moden. Ciri-ciri Bahasa Ilmu dan Keintelektualan bahasa-; Bahasa yang mencapai taraf sebagai bahasa ilmu perlu mempunyai dua ciri penting iaitu keintelektualan bahasa dan kesempurnaan bahasa. Keintelektualan yang dimaksudkan ialah bahasa itu harus mempunyai keupayaan menyampaikan buah fikiran dan hujah dengan tepat dan berkesan iaitu mengungkap kesinambungan dan kerumitan fikiran. Mengikut Havranek, kemuncak pencapaian taraf keintelektualan bahasa ialah penggunaan laras saintifik yang berusaha menghasilkan bentuk bahasa yang tepat dan mencerminkan kejelasan pemikiran yang logik. Keintelektualan bahasa boleh dicapai terutamanya melalui perbendaharaan kata dan sebagainya melalui sistem tatabahasa. Keintelektualan perbendaharaan kata dicapai melalui dua cara utama iaitu: a. Melalui pengembangan perbendaharaan kata (lexical development) iaitu dengan menambah istilah baru. Istilah baru ini bersifat khusus dan mungkin sukar difahami oleh penutur biasa. b. Melalui penukaran bentuk dan corak perbendaharaan kata iaitu dengan memberi pengertian khusus atau tertentu kepada perkataan tertentu bagi satu-satu bidang tertentu yang berbeza daripada penggunaan biasa. Perkataan yang baru itu hendaklah bersifat tepat, khusus, dan abstrak. Kesempurnaan Bahasa-; Bahasa ilmu juga perlu mempunyai ciri kesempurnaan iaitu sifat yang menjadikan bahasa itu sesuai, tepat, tegas, dan berkesan dalam situasi atau konteks penggunaannya. Bahasa yang sempurna adalah bahasa yang memperlihatkan sifat kestabilan, keberkesanan, dan keindahan. Apakah yang dimaksudkan dengan sifat kestabilan? Sifat kestabilan ialah bahasa ilmu harus mempunyai peraturan atau sistem misalnya peraturan sebutan, peraturan pemakaian imbuhan ( awalan, akhiran, sisipan, dan awalan bersama-sama akhiran ), peraturan atau sistem struktur ayat dan frasanya. Peraturan dan cara penggunaan aspek kebahasaan ini penting kerana tanpa peraturan ini, kestabilan bahasa tidak mungkin dicapai. Bahasa yang stabil perlu mempunyai peraturan penggunaan perkataan dan istilah yang jelas supaya pengguna bahasa senang memahaminya. Bahasa yang mempunyai peraturan yang tegas dan teratur ini dikatakan bahasa yang sudah dikodifikasikan atau berkodikasi. Selain mempunyai sifat kestabilan, bahasa itu harus mempunyai ciri kelenturan. Maksudnya bahasa itu harus lentur (flexible) iaitu menyesuaikan dan disesuaikan dengan alam sekitar dan pembaharuan yang berlaku dalam masyarakat bahasa. Ertinya untuk menjadi yang sempurna bahasa itu harus berupaya dan boleh menyesuaikan diri dengan perubahan masa dan penuturnya tanpa mengorbankan sifat aslinya. Cabaran yang dihadapi bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu dan cadangan penyelesaiannya Cabaran pertama dan paling hangat dibincangkan timbul daripada cadangan kerajaan hendak melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan teknologi di peringkat pengajian tinggi. Perdana Menteri sebagaimana yang dilaporkan oleh media elektronik pada malam 2 Disember 1994 dan media cetak pada 3 Disember 1994 telah memberi bayangan yang jelas tentang hal itu. Malahan beliau memberi pilihan kepada rakyat sama ada ingin maju dengan merujuk kepada pentingnya bahasa Inggeris atau terus mempertahankan warisan bangsa iaitu bahasa Melayu. ( Utusan Malaysia, 1994 ). Pada tanggal 6 Mei 1995 Perdana Menteri pada masa itu mengulang lagi kenyataan dengan mengatakan: Kerajaan hari ini mengambil keputusan membenarkan penggunaan bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi bagi tujuan mempertingkat ilmu dalam bidang sains dan teknologi. Langkah ini perlu bagi memastikan pencapaian dan penyertaan rakyat dalam pelbagai bidang dalam proses menjayakan negara. Penyataan yang lebih bersifat amaran itu diikuti pula oleh penyataan Menteri Pendidikan pada masa itu, Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akan dipinda untuk memungkinkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di peringkat pengajian tinggi. Sumber berlakunya salah faham ini timbul daripada kenyataan bahawa penguasaan bahasa Inggeris pelajar amat rendah. Hal ini amat mengecewakan kerana dalam usaha kita untuk maju dalam bidang sains dan teknologi kita perlu menimba ilmu pengetahuan dari luar dan kita perlu berhubung dengan dunia luar. Untuk tujuan ini, salah satu bahasa yang penting dipelajari adalah bahasa Inggeris. Kenyataan ini memang benar. Penggunaan bahasa Inggeris pelajar kita kurang memuaskan dan ianya perlu dipertingkatkan. Peranan bahasa Inggeris penting terutama sebagai bahasa untuk mencari ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Hal ini diakui oleh semua pihak termasuk golongan yang memperjuangkan bahasa Melayu. Mereka sedar bahawa kita tidak boleh hidup terpisah daripada masyarakat lain tetapi sebaliknya perlu berhubung dengan dunia luar. Oleh itu, adalah wajar negara kita mengetahui lebih daripada bahasa kebangsaan dan bahasa tempatan yang lain. Pemilihan bahasa Inggeris sebagai bahasa asing untuk dipelajari tidak perlu dipersoalkan. Berdasarkan faktor sejarah dan kedudukan bahasa itu sendiri yang menjadi bahasa dunia, pemilihan ini amat wajar. Hal ini menjadi lebih wajar apabila disedari bahawa bahasa Inggeris diperlukan untuk menimba ilmu pengetahuan terutama dalam bidang sains dan teknologi. Tetapi yang menjadi masalah ialah tindakan yang diambil setelah menyedari bahawa mutu bahasa Inggeris pelajar kita amat rendah. Langkah yang dicadangkan dan ada kalanya bukan sahaja menuju ke arah mengukuhkan kedudukan bahasa Inggeris tetapi juga bersifat mencabar dan melemahkan kedudukan bahasa Melayu. Semua ini timbul sejak pucuk pimpinan melafazkan dan menekankan kepentingan bahasa Inggeris. Banyak pihak termasuk pegawai dan orang perseorangan mengambil sikap bahawa kini bahasa Inggeris perlu diketengahkan dan secara tidak langsung mengetepikan bahasa Melayu. Kesan daripada tindakan tersebut timbul anggapan bahawa bahasa Melayu tidak mampu dan tiada tempat dalam negara yang sedang membangun menuju ke Wawasan 2020. Dalam konteks negara Malaysia, proses pembinaan negara bangsa dan menuju Wawasan 2020, ‘ acuan sendiri ‘ dan ‘ acuan negara ‘ perlu diberi perhatian yang sewajarnya . Bahasa negara iaitu bahasa Melayu termasuklah dalam acuan sendiri dan tidak seharusnya dipinggirkan. Apa yang menghairankan kita ialah sikap sangsi terhadap bahasa Melayu pada saat bahasa Melayu telah mencapai kejayaan yang meluas. Di sekolah, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar. Di institusi pengajian tinggi, bahasa Melayu digunakan secara meluas walaupun bahasa Inggeris tetap digunakan dalam kelas yang dikendalikan pensyarah luar. Jikalau dilihat lulusan sekolah kita tidak kira kaum, mereka fasih berbahasa Melayu. Mengapa pada saat bahasa Melayu telah berjaya maka kita mula sangsi? Jangan melalui tindakan yang tergesa-gesa menghancurkan apa-apa yang telah dibina sejak tiga abad yang lalu. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menyatakan bahawa kecintaan pada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah salah satu asas kecintaan pada negara yang perlu dipupuk dan dikembangkan dengan amalan. Menurutnya lagi, amalanlah yang akan menjadi bukti bagi menyuburkan dan memekarkan perasaan cinta serta memberikan keyakinan untuk terus mencintai bahasa kebangsaan itu. Tambahnya, tanpa mengamalkan bahasa Melayu sukar bagi kita hendak meyakinkan diri kita dan orang lain bahawa kita mencintai bahasa kebangsaan kita. Inilah unsur rohaniah yang perlu disemadikan dalam setiap sanubari rakyat Malaysia khususnya ( Ucapan Perasmian Gerakan Cintailah Bahasa Kita, kuala Lumpur, 11 Disember 1987 ). Percayalah bahawa bahasa yang tidak digunakan sebagai bahasa ilmu dan cuma digunakan sebagai bahasa pasar, pertuturan tahap rendah, bahasa basahan, sekadar untuk bersembang-sembang kosong di kedai kopi akhirnya akan kehilangan maruahnya. Nilainya akan menjunam lalu hilang ditelan zaman sebagaimana bahasa Anglo-Saxon (bahasa Inggeris tua). Selepas ini ilmuwan dan cendekiawan manakah yang akan menulis artikel , jurnal, kajian, tesis sarjana, disertasi PhD, dan buku tentang sains, teknologi dan matematik dalam bahasa Melayu selepas usaha itu tidak bernilai lagi? Siapakah yang akan membacanya dalam bahasa Melayu jika sudah tidak ada orang yang faham kata dan istilah yang digunakan? Perkukuhkanlah penguasaan bahasa Melayu tetapi janganlah dengan cara mengorbankan hak dan peranan bahasa Melayu baik di Malaysia mahupun di dunia ini. Cabaran kedua ialah tanggapan bahawa kemajuan bangsa hanya dicapai melalui bahasa Inggeris. Dengan perkataan lain, andaian yang dibuat ialah bahawa jika negara kita ingin maju selaras dengan kemajuan yang dicapai oleh negara lain di dunia ini hanya dapat dicapai melalui bahasa Inggeris. Hanya dengan bahasa Inggeris sahaja dapat menjadikan sesebuah negara itu maju. Dari segi implikasi kenyataan ini, bahasa Melayu tidak mampu menjadi alat atau media untuk kemajuan bangsa dan negara. Bahasa Melayu juga dikatakan tidak mampu membawa kemajuan ilmu pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi. Sepatutnya jangan ditanya adakah bahasa Melayu mampu memperkatakan ilmu dalam bidang sains dan teknologi. Apa yang patut ditanya ialah orang yang terlibat dalam bidang itu sama ada mampukah mereka memperkatakan bidang itu dalam bahasa Melayu atau tidak. Walaupun sebahagian ilmu pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi ditulis dalam bahasa Inggeris tetapi sistem pendidikan kita mengandaikan bahawa lulusannya terutama yang lulus pada peringkat ijazah menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik. Oleh itu, mereka sepatutnya menimba ilmu melalui bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dan kemudian menyalurkan ilmu sains dan teknologi kepada rakyat dalam bahasa Melayu demi kemajuan bangsa kerana kebanyakan rakyat biasa yang tinggal di pelosok rantau dan desa hanya memahami dan bertutur bahasa Melayu. Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah anggapan yang mengatakan bahawa negara kita akan maju jika mengamalkan dasar bahasa Inggeris adalah anggapan yang kurang tepat. Sebenarnya faktor yang membawa kemajuan bukanlah bahasa tetapi ilmu pengetahuan itu sendiri. Pada masa ini kemajuan diukur dari segi kebendaan khususnya kemajuan yang berkenaan dengan sains dan teknologi sebagai salah satu aspek kemajuan ekonomi terutama dalam bidang industri. Sebagai contoh kejayaan negara maju iaitu negara di Eropah, Amerika Syarikat, dan beberapa buah negara di kawasan timur seperti Jepun dan Korea adalah berdasarkan kemajuan ilmu pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi. Agak keterlaluan jika dikatakan kejayaan negara ini dan beberapa buah negara lain juga terletak semata-mata pada hakikat bahawa mereka menggunakan bahasa Inggeris. Empat puluh buah negara bukan barat di Afrika, Asia, dan Amerika Selatan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi tunggal atau salah satu bahasa rasmi masing-masing dan kebanyakan daripada negara ini terutama yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi tunggalnya didapati tidak maju malah kebanyakannya cukup miskin contohnya di Afrika, Gambia, Ghana, Nigeria, Uganda, Zambia dan Zimbabwe. Ingatlah bahawa Malaysia boleh maju tanpa terlupa diri dan asal-usul. Nabi dan Rasul sendiri menyampaikan wahyu Allah dan segala pengajaran melalui bahasa yang sama dengan umatnya. Contohnya peringatan dan pengajaran tentang bahasa untuk penyampaian ilmu ( Surah Ibrahim: ayat 4 ). Justeru, ilmu akan lebih ‘ mujarab ‘ diungkapkan dan dipelajari melalui bahasa penutur aslinya. Bukti tentang hal ini dapat dilihat misalnya banyak negara yang ‘ mengagungkan ‘ bahasa Inggeris, tetapi tidak sampai ke mana. Contohilah negara-negara lain yang masih teguh menjunjung dan menggunakan bahasa ibunda sekalipun mempelajari bahasa lain tetapi terus maju seperti Jepun, Korea, Jerman, Perancis, Belgium, Itali, Scandinavia dan banyak lagi. Jika bangsa lain boleh maju dengan bahasa ibundanya sendiri mengapa pula Malaysia tidak boleh maju dengan bahasa ibundanya? Di Malaysia, tidak harus timbul soal mampu atau tidak mampu bahasa Melayu memperkatakan segala ilmu pengetahuan. Sesiapa sahaja yang telah mendalami ilmu sains bahasa atau linguistik akan sedar bahawa sesuatu bahasa memang mampu memperkatakan apa-apa sahaja benda dan buah fikiran yang wujud dalam masyarakatnya baik yang muncul dari dalam atau yang dibawa dari luar. Yang mungkin kurang berupaya bukanlah bahasa itu tetapi manusia yang menggunakan bahasa itu. Cabaran ketiga berlaku dalam penggunaan bahasa Melayu di sektor korporat dan swasta. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Melayu yang bersifat ilmiah di sektor korporat dan swasta di bawah paras bahaya dan amat membimbangkan. Penggunaannya amat rendah dan sangat lemah serta belum meluas. Kita boleh melihat syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur ( BSKL ) misalnya daripada 29 buah syarikat hanya 20 peratus yang mengeluarkan laporan tahunan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Lebih kurang enam peratus menterjemah kenyataan pengerusi dalam bahasa Melayu. Selebihnya iaitu lebih kurang 74 peratus membuat laporan dalam bahasa Inggeris. Begitu juga bahan hebahan yang dikeluarkan syarikat juga dalam bahasa Inggeris. Cabaran terhadap bahasa Melayu turut berlaku dalam bahasa iklan. Sektor pengiklanan seharusnya turut menggunakan bahasa Melayu yang ilmiah dan bermutu tetapi amat mengecewakan kerana amalan ini tidak berlaku. Daripada kajian dapat dirumuskan seperti berikut: a. Minda rakyat masih terjajah. b. Kemampuan bahasa Melayu masih belum diyakini. 84 c. Bahasa Inggeris lebih standard dan mempunyai kumpulan sasaran yang lebih banyak. d. Iklan barangan mewah di televisyen memaparkan pelakon bukan Melayu. e. Iklan bagi program berbahasa Melayu tertumpu pada barangan asas. f. Pertumbuhan ekonomi tidak sejajar dengan perkembangan bahasa Melayu dari segi pengiklanan. g. Peratusan iklan bahasa Melayu perlu ditetapkan bagi perkembangan bahasa Melayu. h. Pengarah urusan dan pengarah kreatif syarikat iklan kebanyakannya rakyat asing atau orang tempatan yang terdidik di Hong Kong atau di New York. i. Banyak iklan yang dibuat dengan cara tergesa-gesa. j. Dasar bahasa perlu disemak semula dan dimantapkan dan Kementerian yang berkenaan perlu bertegas dalam pelaksanaannya. k. Penggunaan bahasa Inggeris dalam iklan seolah-olah mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kesalahan bahasa pada papan tanda dan iklan juga kerap kelihatan di kampus pusat pengajian tinggi setempat. Sepatutnya kesalahan bahasa seperti ini tidak berlaku di menara gading. Cabaran terhadap bahasa Melayu juga berlaku dalam urusan surat menyurat yang ditulis dalam bahasa Inggeris daripada pihak swasta dan korporat kepada pihak kerajaan seperti yang dilakukan oleh pihak perbankan, kewangan, perindustrian dan perekonomian. Perkara ini terjadi kerana pihak swasta dan korporat yang berkenaan lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam surat dan dokumen mereka yang dihantar kepada kerajaan dan juga kepada institusi pengajian tinggi setempat dan juga kepada orang awam di desa. (Ismail Dahaman, 1994:68). Iklan masih di peringkat memujuk masyarakat untuk membeli sesuatu barangan dan mengabaikan aspek bahasa yang betul dan bermutu, moral dan budaya setempat. Menjadi harapan kita supaya bidang iklan, papan tanda, dan surat menyurat turut menggunakan bahasa Melayu yang canggih, bermutu dan sesuai sebagai bahasa ilmu yang tinggi dan bahasa yang bermaruah. Cabaran keempat merupakan cabaran kekurangan buku ilmiah dalam bahasa Melayu. Menurut Ismail Dahaman, selama ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya berupaya menerbitkan judul buku dalam jumlah yang sangat kecil berbanding dengan keperluan masa kini. Ilmuwan kita pula tidak berusaha secara serius untuk membuat penterjemahan karya besar dan karya agung dalam pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu bahkan mereka lebih banyak menulis laporan ilmiah dan hasil kajian ilmiah mereka dalam bahasa asing sehingga bahasa Melayu mengalami kemuflisan buku ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang bermutu. Sepatutnya masalah kekurangan buku ilmiah dalam bahasa Melayu tidak berlaku sekiranya setiap pensyarah bidang menerbitkan buku ilmu masing-masing yang dikuliahkan. Andainya setiap pensyarah menghasilkan sebuah buku pada setiap tahun, sekiranya terdapat 8000 orang pegawai akademik di semua institusi pengajian tinggi setempat, sudah pasti akan terhasil sebanyak 8000 buku ilmiah bahasa Melayu dalam setahun. Kalau mereka menghasilkan lima buah buku ilmiah seorang ( untuk cepat dilantik ke jawatan Profesor Madya atau Profesor ), maka jumlahnya akan menjadi 40 000 yang bererti di pusat pengajian tinggi negara kita akan melimpah ruah dengan buku ilmu. Walau bagaimanapun terdapat juga pegawai akademik yang menerbitkan lebih daripada 10 buah buku ilmiah dan tidak kurang pula dengan tenaga pengajar yang belum menulis sebuah buku akademik pun. Jika amalan ini menjadi kenyataan dan memang pun boleh, maka bahasa Melayu sesungguhnya akan menjadi bahasa ilmu yang mantap dan mengagumkan. Cabaran yang kelima ialah cabaran dalam pembentukan dan penggunaan nama singkatan dan akronim. Sepatutnya bidang ini turut menggunakan bahasa Melayu ilmiah tetapi sayangnya bidang ini masih menggunakan bentuk singkatan dan akronim dalam bahasa Inggeris. Menurut Ismail Dahaman, singkatan dan akronim yang digunakan hari ini ternyata dipengaruhi oleh tabiat lama yang diwarisi dari zaman sebelum merdeka yang menghasilkan nama seperti CUEPACS (Congress of Union of Employees and Civil Services), MTUC (Malaysian Trades Union Congress), CID (Criminal Investigation Department), UMNO, MCA, dan MIC. Nama lain termasuklah FELDA, FELCRA, FAMA, FIDA, RISDA, KADA, PORLA, RRI, SIRIM, SOCSO dan banyak lagi. Di samping itu terdapat juga pembentukan dan penggunaan nama singkatan yang memberi saingan nama dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu misalnya EPF dengan KWSP, ETV dengan TVP, EPRD dengan JPPP, dan seumpamanya. Penggunaan bahasa Inggeris dalam pembentukan nama jabatan, agensi dan agensi kerajaan seperti ini meninggalkan kesan yang mengusutkan keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa rasmi di sektor awam. Pusat pengajian tinggi setempat turut menggunakan nama singkatan dan akronim seperti R & D (Research and Development) yang sepatutnya ditulis P & P (Penyelidikan dan (Pembangunan) IRPA (Intensification of Research in Priority Areas) yang sepatutnya Pendalaman Penyelidikan dalam Bidang Keutamaan), R.A (Research Assistant) yang sepatutnya P.P (Pembantu Penyelidik), begitu juga dengan V.C (Vice-Chancellor) yang sepatutnya N.C (Naib Canselor ) dan banyak lagi. Perkara yang sama juga berlaku dalam proses penamaan skim perkhidmatan, jawatan, pangkat, dan gelaran dalam perkhidmatan awam yang memperlihatkan nama-nama singkatan atau akronim dalam bahasa Inggeris terus digunakan walaupun berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Contoh yang berikut memadai sebagai bukti perkara yang dimaksudkan iaitu DO (District Officer) yang seharusnya Pegawai Daerah (PD), ADO (Assistant District Officer) yang seharusnya Penolong Pegawai Daerah (PPD), OCPD (Officer-in-Charge of a Police District) yang seharusnya ditulis Ketua Polis Daerah (KPD), MP (Member of Parliament) yang seharusnya Ahli Parlimen (AP), CC (Chief Clark) yang seharusnya Kerani Besar (KB), COD (Cash on Delivery) yang seharusnya Bayar Waktu Terima (BWT), dan SS (State Secretary) yang seharusnya ditulis Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Di universiti tempatan tidak sunyi pula dengan gelaran AP (Associate Professor ) yang sepatutnya PM ( Profesor Madya ). Oleh sebab penggunaan singkatan atau akronim daripada kata bahasa Inggeris boleh mengharu-birukan pembentukan dan penggunaan singkatan dan akronim bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, maka langkah yang serius dan terancang perlu diambil untuk memantapkan bahasa Melayu dan menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris dalam lapangan nama singkatan dan akronim bahasa Melayu. Terasa bahawa minda kita masih dijajah walaupun kita sudah lebih 53 tahun merdeka. Pertama, semua nama khas di jabatan kerajaan dan perkhidmatan awam yang dicipta dalam bahasa Melayu termasuk bentuk singkatan dan akronim hendaklah terus digunakan sebagai nama khas rasmi dalam komunikasi bahasa Melayu misalnya ASB, ASN, JPA, JPM, JPN, PTD, JPJ, BSN, HBKL, IPTAR, JAIS, KBSR, KBSM, LKIM, LKTP, LUTH, MBKM, PNB, SRJK, PMR, SPM, STPM, TLDM,TUDM,YaPEIM, PDRM, ATM, KTM, dan sebagainya. Kedua, semua pihak hendaklah menghindarkan penggunaan singkatan atau akronim nama khas rasmi dalam bahasa Inggeris apabila berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Tidak wajar sama sekali kita menggunakan nama akronim dalam bahasa Inggeris sedangkan namanya ada dalam bahasa Melayu kerana amalan ini akan menjejaskan usaha memberikan imej baharu kepada bahasa Melayu yang sedang berkembang maju sebagai bahasa ilmu yang dihormati. Ketiga, mana-mana nama khas baharu yang hendak dicipta dan diperkenalkan hendaklah terus dicipta dalam bahasa Melayu misalnya IJN (Institut Jantung Negara), IKIM (Institut Kemahiran Islam Malaysia), ITNM (Institut Terjemahan Negara Malaysia), TNB (Tenaga Nasional Berhad), PLUS (Projek Lebuh Raya Utara Selatan), TM (Telekom Malaysia) dan sebagainya. Begitu juga dengan nama LRT seharusnya dipopularkan penggunaan bentuk singkatannya dalam bahasa Melayu iaitu TLR (Transit Laju Ringan). Begitu juga dengan singkatan LPG (Liquified Petroleum Gas) harus dipopularkan dengan nama Melayu iaitu GPC ( Gas Petroleum Cecair ). Keempat, nama yang terbentuk dalam bahasa Melayu baku hendaklah disebut dengan menggunakan bahasa Melayu baku yang betul. Perkara ini penting dititik beratkan untuk menghindarkan kesilapan penyebutan perkataan Melayu menurut gaya sebutan bahasa Inggeris. Contoh yang amat ketara ialah perkataan IKIM yang seharusnya disebut [ i.kim ], dan bukan [ ai.kim ], perkataan GIRO diucap [ gi.ro ] dan bukan [ jai.ro ] atau [ gai.ro ]. Begitu juga dengan perkataan PLUS yang sepatutnya dilafazkan [ plus ] dan bukan [plas]. Amalan sebutan bahasa Melayu baku seperti ini juga tidak meluas di pusat pengajian tinggi setempat dan ini adalah satu cabaran. Selain itu, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ) perlu lebih memainkan peranannya dalam menyediakan buku dan risalah panduan tentang sistem penamaan bangunan, syarikat, taman perumahan dan sebagainya di samping mengadakan seminar, bengkel, dan khidmat nasihat dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Siaran Radio Citra Dewan Bahasa dan Pustaka kelolaan Unit Radio DBP juga diyakini dapat memperkukuh fungsi serta memantapkan imej DBP dalam memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan. Pendengar Radio Citra DBP berpeluang mendengar siaran itu di Radio 1, Radio dan Televisyen Malaysia ( RTM ) yang ke udara dari jam 9.30 hingga 10 pagi setiap hari Isnin hingga Sabtu dengan empat segmen khusus iaitu Citra Bahasa ke udara setiap hari Isnin dan Jumaat, Citra Sastera pada hari Selasa dan Sabtu, Citra Karya pada hari Rabu, dan Citra Budaya setiap hari Khamis. Melalui segmen Citra Bahasa pendengar berpeluang mendengar pembicaraan mengenai sejarah bahasa, Citra Sastera berkisar kepada berita dan isu semasa dunia sastera, Citra Karya mengemukakan tokoh bahasa manakala Citra Budaya mengupas peristilahan baru dan lama yang dibahagikan kepada ruangan Sepatah Kata Seungkai Bicara, Rentak Buana (kegiatan harian), Anjung Kreatif (bacaan sajak, puisi, pantun) manakala Ujana Petua mencakupi petua kehidupan. Strategi lain juga dilihat mampu mengukuhkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan ialah dengan ‘meletakkan‘ pelajar asing di sesuatu institusi yang dikhaskan misalnya di Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM) selama tiga bulan bagi mempelajari bahasa Melayu secara intensif. Mungkin ini melibatkan sedikit pertambahan kos bagi pelajar asing tersebut tetapi dengan kos pengajian keseluruhan yang masih murah di negara ini jika dibandingkan dengan kos pengajian di negara lain khususnya di Eropah dan Amerika. Walau bagaimanapun akhirnya terserah kepada kita juga sama ada mahu ‘memasarkan‘ bahasa Melayu tersebut ataupun tidak. Ini adalah salah satu peluang terbaik bagi menjual bahasa kita kepada dunia melalui pelajar mereka di sini. Inilah juga strategi yang digunakan oleh negara Jepun bagi memasarkan bahasanya. Jika peluang sebegini baik tidak mahu digunakan usahlah dihairankan mengapa selepas bertahun-tahun pelajar asing tersebut berada di negara kita mereka hanya sekadar tahu mengucapkan “ terima kasih “ dan “ selamat pagi “ sahaja dalam bahasa Melayu. Contoh lain juga dapat dilihat daripada negara jiran kita Indonesia yang memasarkan bahasanya dengan begitu aktif sehingga ke universiti luar negara termasuk negara Jepun. Di Osaka Foreign Studies University misalnya terdapat jurusan pengajian bahasa Indonesia. Dengan usaha tersebutlah bahasa Melayu versi Indonesia lebih terkenal di seluruh dunia berbanding bahasa Melayu versi Malaysia. Malah setiap warga asing, para diplomat yang pernah bertugas di negara kita sehingga ada yang langsung tidak tahu berbahasa Melayu. Di manakah silapnya? Siapakah yang bertanggungjawab tentang perkara ini dan adakah perkara ini perlu dibiarkan secara berterusan? KESIMPULAN-; Bahasa Melayu memang mampu berperanan sebagai bahasa ilmu malah lebih tepat jika dikatakan sudah mampu meneruskan peranannya sebagai bahasa ilmu yang sudah pun bermula sejak abad ke-17 lagi dengan syarat mendapat kerjasama, sokongan, dan penglibatan daripada semua pihak, semua golongan, dan semua peringkat. Kesemuanya akan menggunakan bahasa Melayu yang baik, betul, canggih, dan bermutu. Mereka perlu menyokong penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi sepenuhnya. Bahasa Melayu akan lebih berjaya menjadi bahasa ilmu apabila mendapat sokongan penuh daripada pucuk pimpinan Perdana Menteri Malaysia. Pihak kerajaan perlu melancarkan “Wawasan Bahasa” terhadap pelaksanaan bahasa Melayu sepenuhnya di pusat pengajian tinggi sama seperti pelancaran “Wawasan 2020“. Sesungguhnya bahasa Melayu sudah lama boleh berfungsi sebagai bahasa ilmu. Kita tidak perlu meragui kemampuan bahasa Melayu. Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa lingua franca sejak zaman kerajaan Palembang, Majapahit, Melaka, Pasai, dan Acheh. Bahasa ini telah menjadi alat perhubungan pemerintahan dan diplomatik, bahasa perdagangan di seluruh Asia dan Eropah seperti Itali, Perancis, Portugis, Belanda, dan Inggeris. Jika pada zaman yang belum dikatakan moden dan maju itu, bahasa Melayu sudah mampu maka mustahil pada zaman moden dan maju ini kemajuannya, kesanggupannya, dan kewibawaannya diragui. Orang luar sendiri termasuk ahli akademik mengakui bahawa bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang maju dan besar pengaruhnya. Anehnya, kita sendiri tidak mahu mengakuinya, Di manakah maruah kita sebagai bangsa dan negara yang merdeka yang masih tidak mahu mengakui bahasa kita sendiri dan terus menerus mempersoalkan kewibawaannya? Sepatutnya kita berasa bangga atas kebolehan, kemajuan, dan kepesatan bahasa kita memikul tugas dan tanggungjawab dalam hampir semua bidang kehidupan. Ada orang berpendapat bahawa bahasa kita masih belum cukup maju dan mampu terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Tidak ada buku dalam bahasa kita tentang kedua-dua ilmu itu. Sebenarnya semua bahasa dalam dunia ini masih belum lengkap sepenuhnya dan masih ada kekurangannya di sana sini. Bidang sains dan teknologi sebenarnya masih baru dalam budaya masyarakat Malaysia terutamanya bangsa Melayu. Sudah tentu ilmu tentang bidang sains dan teknologi masih kurang. Namun, sejak ilmu itu sudah menembusi bidang pendidikan negara kita, usaha membahasa Melayukan kedua-dua ilmu itu sudah berjalan lancar dengan menggunakan lebih daripada 600 000 istilah dalam 500 bidang dan subbidang ilmu di samping menggunakan istilah asing. Begitu juga dengan menggunakan bahasa Melayu dalam bidang undang-undang di mahkamah yang selama ini tidak dapat ditembusi. Pendek kata, fungsi bahasa Melayu sejak merdeka semakin luas dan maju sehingga dapat mengisi semua keperluan. Sikap meragui dan mempersoalkan kedaulatan bahasa Melayu sudah lama berlalu dan tidak seharusnya diperkatakan. Kini masanya untuk kita terus berusaha memajukan dan menambahkan istilah dan penggunaannya, mendaulatkannya sehingga benar-benar menjadi bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, dan bahasa rakyat dalam erti kata sebenarnya. Namun yang dikesalkan sejak akhir-akhir ini kedaulatan bahasa Melayu mula dilemahkan. Kebanyakan tokoh kita lebih banyak bertutur dalam bahasa Inggeris dalam majlis rasmi atau tidak rasmi. Begitu juga dengan rakyat Malaysia yang tidak mahu berbahasa Melayu dalam kehidupan sehari-hari terutamanya dari segi perhubungan. Sudah 53 tahun kita merdeka dan selama itu usaha mengajar dan mendidik bahasa Melayu/bahasa kebangsaan kepada rakyat masih belum berhasil. Terlalu banyak yang masih bercakap pelat dan tidak lancar sebutan bahasa dan tatabahasa mereka. Tetapi yang paling sedih ialah banyak pihak sengaja tidak mahu menggunakannya. Alasannya, bahasa Melayu belum lengkap. Sebenarnya bukan bahasa Melayu belum lengkap tetapi orang yang hendak menggunakan bahasa itu belum lengkap bahasanya. Mereka perlu melengkapkan keupayaan bahasa Melayu dan apa yang paling penting jika kita mahu berjaya dalam perjuangan ini kita perlu mengubah sikap dan keyakinan kepada bahasa kita sendiri dan perlu bersikap positif terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu mampu membicarakan pelbagai bidang ilmu termasuklah dalam bidang sains dan teknologi. Oleh yang demikian dalam konteks negara Malaysia, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dikukuhkan bagi menyingkap pemikiran dan kebudayaan Malaysia baru yang menjadi penyalur penting ilmu pengetahuan moden termasuk sains dan teknologi dan apa yang lebih penting bahasa Melayu perlu diterima secara jujur oleh kaum bukan peribumi sebagai alat pemersatuan dan penyatuan bangsa Malaysia. Apabila sikap kita positif dan kita yakin, maka perjuangan menegakkan bahasa Melayu tetap berjaya. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan tetap mantap dan kukuh. Bahasa Jiwa Bangsa. Maju Bangsa Maju Negara. BIBLIOGRAFI-; A.Aziz Deraman ( penyelenggara ). ( 2004 ). Tamadun Melayu Jilid Enam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdul Hamid Mahmood. (1993). Guru dan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Media Printext (M) Sdn Bhd. Asraf, ed. (1996). Manifesto Budaya Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia. Darwis Harahap & Abdul Jalil Hj Anuar ( penyelenggara ). ( 2000 ). Kolokium Bahasa dan Pemikiran Melayu / Indonesia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ismail Dahaman.(1994). Agenda Bahasa Melayu dalam Wawasan 2020: Pemantapan Bahasa Rasmi, dlm Jurnal Dewan Bahasa, Oktober 1994. Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi?. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Mahathir Mohamad. (1987). Teks Ucapan Perasmian Gerakan Cintailah Bahasa Kita. Kuala Lumpur 11 Disember 1987. Mohd Salleh Majid. (1992). Bahasa Melayu Menjelang Tahun 2020. dlm Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia, 1991/1992. Nik Safiah Karim & Nuwairi Khaza’ai (1997). Bahasa Melayu dalam cabaran. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia. http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles& ArticleID=550

1 comment:

  1. terima kasih cikgu atas maklumat yang diberikan tentang bahasa melayu ..

    ReplyDelete