Monday, 7 May 2012
BAHASA MELAYU SEBAGAI PAKSI PEMBENTUKAN BANGSA MALAYSIA- Jumaide b Kandan [diselenggarakan oleh Rozali Rajab,GC BM]
ABSTRAK.-
Dalam situasi terkini, pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang kental dan yang berwajah serta berjiwa Malaysia masih belum jelas kelihatan. Walaupun pelbagai resipi atau ramuan dicari oleh para pemimpin negara mahupun para cendekiawan, namun impian yang diharapkan masih gagal dicapai. Kekalutan yang timbul adalah berpunca daripada sikap perkauman yang masih menebal dalam kalangan masyarakat Malaysia. Senario ini berbeza daripada situasi yang berlaku di negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Brunei Darussalam, walhal perjalanan sejarah negara kita juga seiring dengan tamadun bangsa dan budaya negara-negara tersebut. Kajian ini mengemukakan beberapa saranan yang boleh dijadikan pedoman untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai paksi penyatuan bangsa, di samping menyatakan kewajaran bahasa Melayu itu dijadikan paksi pembentukan bangsa Malaysia. Sewajarnya satu bahasa harus dipilih untuk memainkan peranan sebagai elemen penyatuan yang sekali gus akan mencitrakan pembentukan bangsa yang utuh demi melahirkan kesamaan yang serasi dalam kalangan komuniti senegara. Oleh yang demikian, tumpuan kertas kerja ini adalah membincangkan isu-isu yang berhubung kait dengan isu-isu bahasa Melayu di Malaysia dan peranan bahasa Melayu sebagai paksi pembentukan bangsa Malaysia. Hasil kajian akan dapat menentukan fungsi bahasa Melayu sebagai wadah perpaduan masyarakat Malaysia dan manfaat yang diperoleh melalui pembentukan bangsa yang bernama dan berjiwa bangsa Malaysia.
PENGENALAN
Menjelang tahun 31 Ogos 2010 maka genaplah 53 tahun usia kemerdekaan Malaysia. Namun, dalam seusia itu Malaysia masih belum dapat menyelesaikan persoalan kesatuan bangsa dan pembentukan identitinya yang benar-benar berjiwa Malaysia. Kegagalan mencapai usaha murni ini menjadi ancaman utama pada kestabilan masyarakat dan negara amnya. Meniti sorotan sejarah tanah air, konflik etnik yang serius telah beberapa kali berlaku dalam arus perdana. Kekal dalam ingatan ialah titik hitam Peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa yang diwarnai dengan rusuhan kaum antara Melayu-Cina telah meledak tatkala parti-parti pembangkang yang berasaskan kaum Cina telah memenangi kerusi Dewan Perundangan Negeri di dua buah negeri yang diterajui oleh Raja-raja Melayu.
Tercetusnya rusuhan itu adalah berpunca daripada penghinaan oleh para penyokong parti pembangkang yang berteraskan bangsa Cina terhadap orang-orang Melayu pada ketika itu. Para pengkaji mendapati, walaupun faktor ekonomi mempengaruhi sentimen itu, namun faktor kebudayaan yang merangkumi bahasa kebangsaan turut menjadi faktor penjana.
Hashim Musa (2007) menjelaskan bahawa, negara yang bersifat heterogen dengan jumlah penduduk yang jamak etnik, budaya, bahasa dan agama amat sukar untuk membentuk satu keadaan solidariti dalam masyarakat. Bahkan kepelbagaian etnik, budaya, bahasa dan agama mempunyai potensi untuk mencetuskan ketegangan dan konflik sosial. Walau bagaimanapun ketegangan itu mampu diatasi jika mengambil kira pendapat Hall dalam makalahnya yang berjudul Essay on Language (1968), mengatakan bahawa bahasa adalah institusi yang dengannya manusia berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain dengan mengutamakan lambang-lambang bunyi dengan sewenang-wenangnya yang biasa didengar. Tegasnya, melalui bahasa masyarakat boleh berinteraksi sesama mereka dan sudah pasti interaksi itu akan mewujudkan persefahaman yang erat.
Demikian juga adanya peristiwa berdarah di Taman Medan pada tahun 2001, perbalahan antara orang-orang Melayu dengan kaum India itu pada dasarnya akibat perselisihan faham kerana tidak wujud kesatuan dalam hidup bermasyarakat di kawasan setinggan itu. Ketegangan kaum itu sudah pasti dapat dielakkan sekiranya ada wadah yang dijadikan agen perpaduan. Wadah yang dimaksudkan ialah bahasa Melayu yang sejarah asalnya bermula di sini. Terbaharu ialah krisis politik di Negeri Perak yang melibatkan isu perlembagaan negeri dan hak kaum Melayu serta kemuliaan institusi beraja Melayu yang tercabul akibat perbalahan politik.
Oleh hal yang demikian, sehingga kini isu bahasa Melayu merupakan isu yang belum selesai dan akan mengundang konflik antara kaum yang berterusan. Perkara ini akan mencacatkan pembentukan suatu identiti kebangsaan dan menggagalkan pembentukan sebuah negara bangsa berwajah Malaysia yang sekian lama kita cita-citakan. Apatah lagi mutakhir ini, dicanangkan gagasan 1Malaysia, namun konsep penyatuan masih belum menemui titik pertemuan. Hal ini terbukti kerana dalam gagasan 1Malaysia yang kian meluas diperkatakan itu tidak pula meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa tunggal dalam konsep 1Bahasa.
Justeru, perbincangan dalam kertas kerja ini amat relevan dengan perkembangan semasa yang mana isu bahasa ini masih tetap menjadi polemik. Kajian ini membatasi tentang sejauh mana keberkesanan bahasa Melayu menjadi wahana dalam pembentukan sesuatu bangsa Malaysia yang berlatar belakangkan kepelbagaian kaum, bangsa dan agama. Sorotan isu-isu bahasa sengaja di ketengahkan bukan untuk mengungkap sejarah hitam kisah lalu, tetapi untuk mengenal pasti apakah penawar yang sesuai untuk menyelesaikan permasalahan yang menimpa? Kisah silam yang duka bukan untuk diratapi
66 tetapi menjadi penyuluh kepada pedoman hidup.
Objektif kertas kerja ini adalah membincangkan isu-isu berkaitan bahasa Melayu yang berlaku di Malaysia dan kewajaran bahasa Melayu sebagai paksi pembentukan bangsa Malaysia. Selain itu kertas kerja ini menggariskan langkah-langkah perlu dalam merealisasikan bahasa Melayu sebagai paksi pembentukan bangsa. Seterusnya tujuan kertas kerja ini adalah untuk membincangkan manfaat yang diperoleh hasil daripada pembentukan bangsa Malaysia.
Kajian ini meliputi definisi konsep, kemudian menghuraikan beberapa isu yang timbul akibat fenomena bahasa dalam masyarakat Malaysia dan langkah-langkah yang perlu ditangani dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai paksi dalam pembentukan bangsa Malaysia. Melalui tugasan ini diterangkan fenomena isu-isu bahasa yang timbul daripada isu yang telah menjadi lembaran sejarah sehinggalah isu terkini yang tetap sensasi. Di samping itu, diterangkan juga langkah-langkah dalam menongkah arus membina tamadun bangsa Melayu berpaksikan bahasa Melayu demi melahirkan negara bangsa tercinta bernama dan berjiwa Malaysia.
DEFINISI KONSEP.
Bahasa adalah alat interaksi sosial dalam masyarakat manusia. Kebanyakan atau sebahagian besar kegiatan manusia dalam hubungannya dengan anggota-anggota masyarakat menggunakan bahasa sebagai wadah perhubungan. Dalam konteks ini bahasa Melayu adalah bahasa yang digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia digunakan sepenuhnya untuk berhubung dan bekerjasama bagi mengikat, mengatur dan melestarikan kewujudan komuniti bangsa Malaysia.
F. de Saussure pula menekankan pandan bahawa bahasa sebagai pola-pola umum dan peraturan sesuatu komuniti dan sebagai kegiatan bercakap seseorang individu dalam situasi tertentu.
Kamus Linguistik (1990) menyatakan bahawa ‘paksi’ membawa maksud ‘membawa ke arah’, pusat , tunjang atau teras.
Takrif pembentukan bangsa Malaysia ialah masyarakat yang mempunyai kebudayaan yang sepunya atau hampir sama, tinggal di Malaysia dan mempunyai perasaan kesatuan dan menganggap diri mereka sebagai identiti yang nyata. Identiti ini meliputi bahasa, norma, nilai, dan ideologi. Justeru, dalam konteks ini bahasa Melayu adalah elemen yang mampu membawa solidariti dalam kalangan masyarakat untuk membentuk bangsa Malaysia
ISU-ISU BAHASA
Usaha untuk pembentukan suatu bangsa yang bercirikan semangat bangsa Malaysia yang tulen berasaskan satu bahasa dan satu tanah air jelas masih belum tercapai. Sebenarnya banyak persoalan dan isu telah timbul yang telah meluaskan konflik dan menggagalkan pembentukan satu identiti kebangsaan dan seterusnya pewujudan sebuah bangsa yang berwajah Malaysia. Berikut dipaparkan beberapa peristiwa penting yang semuanya mempunyai hubung kait dengan perkembangan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu bahasa yang terpinggir
Walaupun telah dilaksanakan Akta Pendidikan dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah hinggalah ke universiti, namun isu bahasa ini belum lagi selesai. Kendatipun bahasa Melayu telah termaktub sebagai bahasa kebangsaan, namun realitinya martabat bahasa itu masih rendah. Bahasa Melayu kalah dengan bahasa Inggeris, bahkan pada keadaan tertentu kalah dengan bahasa Mandarin. Ironinya seorang siswazah universiti belum tentu diterima bekerja di firma-firma swasta jika tidak penguasaan yang luas dalam bahasa Inggeris. Begitu juga orang peribumi tidak mungkin diterima bekerja di firma-firma yang dimiliki kaum Cina kerana lazimnya mereka mengambil daripada etniknya sendiri yang sudah pasti penguasaan Mandarinnya tidak terbatas.
DASAR POLARISASI KAUM.
Di Malaysia ketegangan perkauman dan agama masih terasa walaupun ada ketikanya pendam seketika. Selama hampir 40 tahun iaitu peristiwa 13 Mei 1969, telah terpendam dilindungi oleh pelbagai usaha kerajaan dan badan-badan sukarela yang cuba memupuk perpaduan dan integrasi antara kaum untuk membendung ketegangan. Namun, masih ada perkara yang mengukuhkan polarisasi kaum diamalkan misalnya parti politik berasaskan kaum (UMNO, MCA dan MIC), sekolah kebangsaan (Melayu), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, dan akhbar Melayu, Tamil dan Cina. Perkara yang sedemikian itu meneruskan amalan perbezaan kaum dan budaya, maka jurang pemisahan kaum terus berlaku.
Melalui sorotan ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia masih lagi dalam proses membentuk imej tersendiri sebagai sebuah bangsa. Masyarakat Malaysia adalah suatu masyarakat yang masih lagi terpisah sama ada mengikut kaum ataupun anutan politik. Hakikat ini terbukti wujudnya parti-parti politik yang muncul atas dasar etnik misalnya UMNO, MCA untuk kaum Cina dan MIC untuk orang India dan tidak terkecuali di Sabah dan Sarawak terdapat parti-parti yang memperjuangkan kaum peribumi di negeri-negeri tersebut. Walaupun wujud parti yang bersifat multinasional seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Gerakan tetapi masih didokongi kaum tertentu menyebabkan parti tersebut gagal merakyatkan perjuangannya. Ada kalanya untuk meraih sokongan pengikutnya pihak parti tertentu bertindak sanggup membelakangi kepentingan nasional. Kerajaan Negeri Pulau Pinang misalnya mengubahsuai tanda jalan di pulau mutiara itu dengan memasukkan tulisan Cina sebagai tambahan pada tulisan Melayu. Walaupun alasannya adalah untuk maklumat para pelancong namun tindakan itu sudah jelas membelakangi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
CABARAN DALAM MASYARAKAT MAJMUK.
Penduduk Malaysia terkini hampir mencecah 27 juta orang di mana purata pertambahan penduduk ternyata tinggi iaitu kira-kira 2.8 peratus setiap tahun. Masyarakat Malaysia bukan sahaja berbilang bangsa tetapi berbilang budaya, berbilang bahasa, dan berbilang agama. Penduduk peribuminya (Melayu, orang asli (Semang, Senoi, Jakun dan lain-lain), dan kaum-kaum peribumi di Sabah dan Sarawak merangkumi 61 peratus daripada jumlah penduduk, 30 peratus kaum Cina dan 9 peratus kaum India.
Kepelbagaian masyarakat di Malaysia menyebabkan usaha-usaha ke arah pembentukan suatu identiti nasional iaitu ‘bangsa Malaysia’ (Malaysian nation) menghadapi kesukaran. (Amat Adam,1994:126). Integrasi nasional yang dibawa sejak pemerintahan mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamed masih sukar direalisasikan. Tidak seperti di Indonesia integrasi nasionalnya amat ketara malah orang-orang Cina hampir hilang identiti ‘kecinaannya’ bagi mewujudkan satu bangsa iaitu bangsa Indonesia. Semuanya berlandaskan satu budaya yang merangkumi bahasa Indonesia dibawa Panca Sila. Berbeza dengan Malaysia yang masih lagi dihantui dengan etnisisme dalam semua lapangan hidup. Semua keputusan dari sektor pengurusan, pentadbiran dan politik masih terikat dengan pertimbangan mengikut faktor perkauman.
Semangat Kebangsaan yang longgar
Masalah pembentukan suatu bangsa Malaysia berpunca daripada hakikat bahawa sejarah gerakan kebangsaan yang tulen bersifat nasional amat pendek. Di saat kemerdekaan diserahkan kepada Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957, kelompok yang mewakili etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India merupakan komuniti terpisah yang hidup dalam masyarakat majmuk. Hal ini kerana setiap kaum mempunyai bayangan bangsanya sendiri. Masyarakat yang mereka bayangkan sebagai bangsa itu berbeza-beza mengikut persepsi mereka masing-masing. Tambahan pula sejarah kedatangan mereka juga masih tidak jauh terpisah dengan negara asal mereka bagi masyarakat pendatang. Sering kali juga perjuangan mereka masih dibayangi Tembok Besar Negeri Cina atau kehebatan Mahatma Ghandi.
Justeru, apa yang wujud menjelang kemerdekaan itu hanyalah suatu kesepakatan pada pemimpin Melayu, Cina dan India untuk mendapat kemerdekaan tanpa benar-benar bersedia tentang penyatuan kebangsaan yang teguh berdasarkan satu cita-cita kemerdekaan, falsafah dan ideologi nasional yang sama sebagai satu bangsa yakni bangsa Malaysia.
Dasar yang diwarisi daripada pihak penjajah
Dasar yang dibawa oleh British memberi dorongan kepada gerakan yang bersifat multietnik. Oleh itu pemimpin Melayu pada ketika itu harus bekerjasama dengan parti Cina iaitu MCA jika mahu mencapai kemerdekaan. Keadaan ini telah membawa lahirnya parti “Alliance” atau Perikatan. Dasar ini telah menjadi pegangan hingga ke hari ini iaitu konsep yang sama dibawa oleh Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, yang mana jika diamati masih terbelenggu dengan tawar-menawar inter-etnik.
Dasar ini juga memberi andaian bahawa ketika parti Perikatan memperjuangkan kemerdekaan Malaya pada tahun 1950-an, dalam kalangan pemimpin UMNO dan MCA telah wujud semacam kontrak sosial yang tidak bertulis. Perjanjian lisan ini memperakui akan adanya semacam pembahagian kuasa. Kaum Cina harus diberi keutamaan dalam bidang perdagangan yang sememangnya mereka kuasai, manakala kaum Melayu pula harus diberi lebih kuasa dalam bidang pemerintahan. Bangsa Cina dikatakan akan melepaskan tuntutannya menjadikan multilingualisme sebagai dasar rasmi negara tetapi pemimpin-pemimpin UMNO mesti bertolak ansur dalam penggunaan bahasa Cina dan Tamil dalam keadaan tidak rasmi.
Kronologi daripada kontrak tersebut, isu tentang hak istimewa orang Melayu dan kedudukan bahasa Melayu selalu dipersoalkan, bahkan sering ditentang secara terbuka oleh bangsa Cina. Pada tahun 1964 parti PAP (People’s Action Party) mengajukan konsep ‘Malaysian Malaysia’ dan ini diteruskan oleh parti DAP (Democratic Action Party) yang membawa slogan yang sama. Mereka begitu kuat melakukan tentangan terhadap bahasa Melayu dan mereka meminta agar bahasa Cina dan Tamil turut dijadikan bahasa rasmi.
KETAKSUBAN BUDAYA.
Golongan bukan peribumi tidak pernah mengalah dalam hasrat mereka mahu mengekalkan penggunaan bahasa dan kebudayaan mereka di peringkat nasional. Pada tahun 1987, mahasiswa India dan Cina di Fakulti Sastera di
70 Universiti Malaya telah membantah ketetapan senat yang mahukan beberapa kursus elektif dalam jurusan pengajian Inggeris, India dan Cina diajar dalam bahasa Melayu. Bantahan mereka telah mendapat sokongan daripada segenap parti politik baik daripada pembangkang mahupun kerajaan. Alasannya bahawa perkara itu akan mengancam hak mahasiswa bukan Melayu untuk mempelajari kesusasteraan, kebudayaan dan bahasa mereka.
Pendewaan bahasa Inggeris
Mutakhir ini pendewaan terhadap bahasa Inggeris telah mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Selain penggunaannya yang begitu meluas, dalam kalangan elit Melayu sendiri amat berasa gusar dan prihatin sekiranya berlaku kemerosotan dalam bahasa Inggeris para pelajar. Sebaliknya, mereka bersikap tidak peduli terhadap bahasa Melayu yang dipermainkan seperti orang dagang di tempat sendiri. Isu pengajaran Matematik dan Sains (PPSMI) hanya membuka mata segelintir pejuang bahasa yang sanggup berhadapan dengan gas pemedih mata untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Lain halnya dengan orang politik dan pegawai yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Mereka lebih suka menggunakan bahasa Inggeris ketika diwawancara walaupun sumbang bunyinya, kerana pada mereka bunyi Inggeris itu ada ‘umpnya!’ Pada masa yang sama perasaan rendah diri dalam kalangan orang Melayu yang terpelajar menyebabkan timbul anggapan bahawa sesuatu idea yang canggih tidak dapat diungkapkan jika kita menggunakan bahasa Melayu. Padahal apabila mereka ini berbicara dalam bahasa Inggeris, tatabahasanya pun bersimpang-siur.
Multilingualisme di Malaysia.-
Perkembangan terkini menunjukkan bahawa kemajuan pesat ke arah gaya multilingualisme dalam kalangan generasi muda dan terpelajar. Situasi ini mengancam hasrat bagi mencapai pembentukan satu bangsa yang mapan. Dasar bahasa pengantar yang kini dilibralisasikan akan melahirkan rakyat Malaysia yang berpolarisasi. Keadaan ini sudah pasti akan mengundang perpecahan dan menjauhkan kita daripada pembentukan satu bangsa yang dihasratkan.
Pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550, Seksyen 17(1) dan Akta IPTS 1996
Apabila Parlimen meluluskan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550, Seksyen 17(1) dan Akta IPTS 1996 yang memberi kuasa kepada Menteri Pelajaran Malaysia untuk mengecualikan penggunaan bahasa sebagai bahasa pengantar pendidikan tunggal di Malaysia. Natijahnya, institusi pendidikan swasta (IPTS) mula ditubuhkan dan hingga kini beratus-ratus IPTS dengan ratusan ribu pelajar telah dibina yang memilih sepenuhnya bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Perkara ini telah menimbulkan gejala dualisme pendidikan yang genting di samping penafian bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.
Isu PPSMI.-
Isu penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran matematik dan sains di semua sekolah di Malaysia bermula pada tahun 2003. Mata pelajaran sains dan matematik merupakan asas bagi semua kursus dalam bidang sains dan teknologi. Implikasinya akan menyebabkan semua pengajian dalam sains dan teknologi di semua institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Sekali lagi integrasi dan masa hadapan bangsa Malaysia akan terjejas. Di sebalik isu ini telah timbul persoalan iaitu ketidakyakinan pemimpin negara akan keupayaan bahasa Melayu. Lebih malang lagi persoalan itu dicetuskan oleh pemimpin yang berbangsa Melayu.
BAHASA MELAYU SEBAGAI PAKSI PEMBENTUKAN BANGSA MALAYSIA.
Kajian ini mengemukakan beberapa saranan yang boleh dijadikan pedoman untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai paksi penyatuan bangsa, di samping menyatakan kewajaran bahasa Melayu itu dijadikan paksi penyatuan bangsa Malaysia. Sewajarnya satu bahasa harus dipilih untuk memainkan peranan sebagai elemen penyatuan yang sekali gus akan mencitrakan kesatuan bangsa yang utuh serta melahirkan kesamaan yang serasi dalam kalangan komuniti setempat. Dalam konteks ini disarankan bahasa Melayu dijadikan teras penyatuan bangsa Malaysia kerana mengandungi kriteria-kriteria seperti berikut:
Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.
Pemilihan bahasa Melayu adalah wajar berdasarkan sejarah dan perkembangannya, keluasan wilayah dan bilangan penuturnya. Di samping itu, ciri-ciri bahasa Melayu yang dinamik, fleksibel, dan ekonomik sama halnya dengan bahasa Inggeris, Perancis, dan Arab. Bahasa Melayu kini dituturkan oleh sekitar 250 juta umat yang menjadikannya bahasa yang kelima terbesar di dunia.
Bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa yang amat berpengaruh dan dituturkan oleh pelbagai komuniti di Asia Tenggara. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan di empat negara serantau, iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Singapura. Di Selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan dituturkan oleh kira-kira sejuta penduduknya dan kelompok minoriti diaspora Melayu di Sri Lanka, Afrika Selatan, Malagasi, Australia, Belanda, dan Burma. Malahan, bahasa Melayu masih menjadi bahasa pendidikan agama Islam di Kemboja dan Vietnam.
Di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara, serta di nagara-negara Asia seperti China, Jepun, Korea Selatan,Thailand, Uzbekistan, New Zealand, Australia, dan Filipina, bahasa Melayu mula mendapat tempat dari segi pengajaran dan pembelajaran. Kajian penyelidikan tentang tamadun Melayu turut berkembang di Rusia, Itali, Jerman, Perancis, India, Denmark, Ireland dan England. Maka kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan kebudayaan dan bahasa antarabangsa di rantau Asia Tenggara sama sekali tidak boleh dipandang kecil.
Dasar bahasa negara Malaysia
Selepas merdeka 1957 terdapat beberapa perubahan besar yang berlaku ke atas dasar bahasa negara Malaysia:
Bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan untuk seluruh rakyat Malaysia. Selain itu, bahasa Melayu menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang digunakan secara formal, seterusnya bahasa Melayu menggantikan sistem pendidikan acuan British dan bahasa Inggeris diajarkan di semua sekolah sebagai bahasa kedua yang wajib, yang dahulunya diajar di sekolah Inggeris sahaja. (Hashim Musa : 2007)
Dasar bahasa ini terkandung dalam dua dokumen undang-undang dasar yang penting itu Fasal 152 Perlembagaan Malaysia (1957) dan Akta Bahasa Kebangsaan (1963/1967), sebagaimana yang terdapat dalam Laporan Penyata Razak 1956 (iaitu menjadi asas Akta pelajaran Malaysia dan Laporan Rahman Talib 1960 (iaitu menjadi asas Akta Pelajaran 1961) .Melalui wahana ini sahajalah Malaysia dapat membentuk keperibadian nasionalnya. Kerajaan harus sedar bahawa nasionalisme Melayu yang lahir ialah nasionalisme budaya yang berkisar pada bahasa dan budaya Melayu. Dari sudut sejarah, budaya politik Malaysia yang dimulakan oleh para pemimpin Melayu terdahulu tidak akan terhenti begitu sahaja. Keadaan demografi Malaysia pada abad ke-21 seharusnya juga mencerminkan budaya politik Melayu yang sejagat.
Oleh yang demikian semua pihak tanpa mengira kaum mestilah mengukuhkan bahasa kebangsaan itu agar benar-benar menjadi bahasa yang mampu mengungkapkan pemikiran yang kreatif dan melahirkan kebudayaan Malaysia yang baharu serta menjadi saluran utama dalam penyampaian ilmu yang ilmiah dalam era teknologi moden. Namun yang paling utama ialah bahasa Melayu perlulah diterima secara jujur oleh semua rakyat Malaysia sebagai wadah kesatuan bangsa.
Jika persoalan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak lagi mantap dan tidak diberi perhatian serius oleh para pemimpin negara, golongan konglomerat, para cendekiawan dan para pendidik yang berjiwa kebangsaan, dikhuatiri cita-cita untuk melihat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia akan gagal terlaksana. Jelas bahawa satu-satunya bahasa yang mampu membina citra bangsa Malaysia hanyalah bahasa Melayu. Melalui bahasa itulah nanti segala corak dan warna kebudayaan yang dianggap menyeluruh dan canggih dapat dibentuk untuk mengambil rupa dan sifat ‘kemalaysiaan’ yang berlandaskan sejarah negara dan dunia rumpun Melayu. Harapan yang didambakan bukan sahaja melihat masyarakat yang makmur tetapi juga memiliki roh dan semangat kebangsaan yang menggunung tinggi.
Pemerkasaan Bahasa Melayu.
Kedudukan dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dan ilmu tinggi di Malaysia agak tercabar apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar mata pelajaran matematik dan sains di sekolah. Demikian juga bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar sepenuhnya di IPTA, apatah lagi di IPTS bahasa Inggeris kian membuak-buak permintaannya. Perancangan dan usaha yang gigih perlu dilakukan segera untuk membendung lonjakan pengaruh bahasa Inggeris yang begitu mendalam dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Keyakinan terhadap kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dan bahasa tinggi serta sains dan teknologi mesti dikembalikan ke tempat asalnya sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga telah berkembang pesat dan mantap serta mampu memainkan peranan dan fungsinya sebagai bahasa moden setaraf dengan bahasa dunia yang lain. Dalam aspek korpus bahasa, bahasa Melayu di Malaysia mahupun di Indonesia, Brunei dan Singapura, telah mencapai taraf kemodenan dan keseragaman dalam aspek fonologi, morfologi, dan sintaksis.
Dari segi perkembangan kosa kata dan istilah bahasa Melayu telah mampu mengungkapkan pelbagai ilmu dalam pelbagai bidang, dan usaha pembentukan dari pembinaan istilah dalam bahasa Melayu dalam apa jua bidang ilmu serta budaya tinggi merupakan agenda pembangunan bahasa yang berterusan.
Bahasa yang standard (baku dan seragam) merupakan salah satu faktor yang cukup penting untuk menjadikan sesuatu bahasa itu menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan sebagai bahasa penyatuan yang dapat memainkan pelbagai peranan dan fungsi.
Garvin dan Mathiot (1988) mengemukakan tiga fungsi simbolik sesuatu bahasa. Pertama fungsi penyatuan, iaitu bahasa berfungsi sebagai unsur yang menjalinkan para penutur yang menuturkan pelbagai dialek atau ragam bahasa yang sama. Tegasnya, satu bahasa yang seragam yang digunakan oleh pelbagai bangsa boleh menyatukan bangsa tersebut ke dalam satu masyarakat bahasa yang dapat menimbulkan semangat kesatuan, persamaan dan kekitaan dalam kalangan komuniti berkenaan.
Kedua fungsi pengasingan, iaitu bahasa standard diajukan sebagai variasi yang terasing daripada dialek-dialek lain daripada bahasa yang sama membolehkannya berfungsi sebagai lambang identiti kebangsaan. Di Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, bahasa Melayu telah menjadi lambang identiti kebangsaan.
Ketiga, fungsi prestij. Seperti juga bahasa lain bahasa Melayu juga memiliki prestij iaitu keupayaan bahasa Melayu (standard) menimbulkan perasaan atau semangat megah bagi sesuatu bangsa. (Nik Safia Karim :1981)
Tegasnya, dengan memiliki ketiga-tiga fungsi tersebut, maka wajarlah bahasa Melayu dijadikan paksi penyatuan bangsa dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia.
MANFAAT PENYATUAN BANGSA
Bangsa yang bersatu akan berusaha. mempertahan kesatuannya. Untuk memperkukuh dan mempertahan kesatuan inilah bangsa itu harus mencari pelbagai elemen yang boleh terus menyatukan bangsa tersebut. Ikatan kesatuan yang kukuh akan memberi impak yang cukup bermakna kepada ikatan perpaduan walaupun mempunyai latar belakang yang berbeza. Sudah pasti kesatuan ini mampu menghapuskan prasangka dan sentimen politik, ekonomi, dan kebudayaan. Kepelbagaian kaum telah membawa pertembungan pelbagai budaya yang membawa sentimen prasangka dan sentimen politik serta ideologi yang mengekang usaha mewujudkan penyatuan bangsa.
Etnisisme serta hambatan-hambatan politik dan seumpamanya yang lebih cenderung menghimpit bahasa Melayu untuk menjadi paksi penyatuan haruslah dipastikan tidak akan terhalang. Dalam konteks ini, perbezaan-perbezaan yang wujud tidak digembar-gemburkan serta dijadikan alasan untuk menolak hakikat bahawa bahasa Melayu sudah cukup signifikan sebagai elemen penyatuan bangsa Malaysia.
Di samping itu, bangsa Malaysia yang bersatu tentunya akan terus berusaha menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang meliputi pelbagai aspek kehidupan. Kerjasama bersepadu tentulah akan menjadikan bangsa Malaysia lebih berdaya saing dan berdaya maju serta mampu mencernakan penciptaan teknologi, nikmat kemajuan dan pembangunan.
KESIMPULAN
Menjelang abad ke-21 adalah suatu jangka masa yang amat mencabar bagi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Para pemimpin dilihat lebih fokus ke arah menjadikan Malaysia lebih megah dalam bidang ekonomi berbanding bahasa. Dalam mengejar status negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan dilihat harus mempunyai kesungguhan dalam gagasan pembentukan bangsa khususnya bangsa dan bahasa Melayu kerana golongan peribumi lebih banyak berkorban dan dikorbankan demi memenuhi tuntutan 1Malaysia misalnya yang menjadi igauan sebilangan pemimpin dan rakyat. Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan dibimbangi akan lebih banyak menggadaikan hak bangsa dan bahasa Melayu itu sendiri.
Perkembangan dan kredibiliti bahasa Melayu sememangnya sudah memenuhi syarat untuk dijadikan bahasa penyatuan bangsa Malaysia seluruhnya. Walau bagaimanapun bahasa itu harus dibebaskan daripada aneka bentuk kekangan dari segi mental, psikologis mahupun kekangan fizikal dan politik yang boleh menghambat bahasa Melayu daripada diangkat serta berkembang menjadi bahasa yang benar-benar dapat diterima sebagai bahasa penyatuan yang jitu.
Dari segi prinsipnya kita ingin melihat bahasa Melayu memainkan peranan yang lebih signifikan sebagai bahasa penyatuan dan bahasa pertuturan rasmi dalam kalangan warga Malaysia. Sedapat mungkin, bahasa Melayu diharapkan dapat dibina dan dikembangkan sehingga menjadikan bangsa Malaysia mampu mencipta pembangunan yang begitu besar dalam segenap bidang melalui bahasa yang satu.
Di samping itu, pelbagai ilmu boleh sahaja digali, dicari, dan diperoleh daripada bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan juga bahasa dunia yang lain termasuk bahasa Mandarin. Walau bagaimanapun adalah lebih afdal sekiranya segala pencarian ilmu itu diterjemahkan dan diungkapkan ke dalam bahasa Melayu untuk tatapan rakyat Malaysia.
Saranan dan hasrat ini akan dapat direalisasikan melalui pelbagai program serta usaha ke arah penyatuan bangsa Malaysia yang digerakkan oleh kerajaan melalui bahasa Melayu umpamanya mempergiat pelbagai kegiatan ilmu, mempererat kerjasama dalam bidang sastera dan budaya, menyusun program akademik dalam semua peringkat pengajian dan mengaplikasikannya dalam bidang pendidikan di semua institusi. Dalam masa yang sama usaha bersepadu daripada agensi lain seperti media massa, institusi bahasa, dan badan-badan sukarela untuk menghalang sebarang unsur yang merosakkan pembinaan dan perancangan bahasa. Isu-isu seperti pencemaran bahasa dan bahasa rojak atau kerancuan bahasa sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan.
Semua orang perlu sedar bahawa, fungsi bahasa bukan hanya sebagai alat komunikasi, tetapi juga bahasa juga amat besar peranannya dalam membentuk jati diri, memupuk semangat kekitaan, perpaduan dan menjadi maruah bangsa dan negara. Oleh itu, kita sebagai pendukung warisan bangsa mahupun rakyat Malaysia amnya, hendaklah membina satu asas yang kukuh bagi membentuk solidariti budaya yang kuat demi menjadi pemangkin kepada pembangunan negara sebagai negara maju menjelang tahun 2020.
Seharus kita membuang segala persepsi buruk dan yakinlah sebagaimana yang bahawasanya bahasa indigenus sendirilah yang merupakan pelapis dan penangkis yang kebal bagi melawan badai negatif globalisasi di samping menjadi paksi pembentukan bangsa Malaysia. Meskipun tercalar dengan isu PPSMI yang membadai dan isu sampingan bahasa yang lain, namun anggaplah itu sebagai satu iktibar yang menjadi momentum untuk kita terus melangkah jauh ke hadapan, kerana pepatah ada mengatakan; kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
BIBLIOGRAFI
A. Aziz Deraman (1994). Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia (edisi baru). Kuala Lumpur : Cahaya Pantai.
Abdullah Hassan (1989). Isu-isu Perancangan Bahasa:Pengintelektualan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Universiti Sains Malaysia.
Ahmad Juhari Moain (2007). Sosiolinguistik Lanjutan. UPM Serdang : Universiti Putra Malaysia.
_________________ (1997). Sejarah Rumpun Bahasa Melayu.UPM Serdang: Universiti Putra Malaysa.
Asmah Haji Omar (1993). Perancangan Bahasa Dengan Rujukan Khusus Kepada Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
________________ (1992). Kajian dan Perkembangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmat Adam (1994). Isu Bahasa dan Pembentukan Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan (1994). Ceritera Bahasa. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan et. all (2006). Ujana Minda Jilid 2. Kumpulan Esei Bahasa, Sastera dan Komunikasi. Petaling Jaya : Sasbadi Sdn. Bhd.
A. Chaedar Alwasilah. (2000). Politik Bahasa dan Pendidikan. Bandung: PT Remaja Rodakarya
Hashim Musa (2007). Sosiolinguistik Lanjutan. UPM Serdang: Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Uiversiti Putra Malaysia.
Nik Safiah Karim(1990). Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (2007). Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I-VI (1952 – 2002).
Kuala Lumpur : Persatuan Penterjemah Malaysia.
Rustam A. Sani (1993).Politik dan Polemik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Rubin, Joan dan Bjorn H. Jernudd (1970). Can Language be Planned? Hawaii: West Centre.
Sapir, E. (1966). Culture, Language and Personality. Berkely: University of California Press.
Wardhaugh, Ronald (1998). Introduction to Sosiolinguistics. Oxford: Blackwell
Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Linguistik (1990). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment