Monday, 11 June 2012

BAHASA DAN BUDAYA MELAYU DALAM KONTEKS NEGARA BANGSA-Ahmad Ezaimin b Abd Hamid Shokery Mohd [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Tidak pernah ada bangsa yang membina negaranya tanpa bahasa sendiri. Tidak pernah juga ada bangsa yang membina negaranya dalam bahasa orang lain. Setiap bangsa, walaupun kecil membina negara bangsanya dalam bahasanya sendiri. Negara kecil yang maju seperti Belanda, Finland, Sweden, Norway, Denmark, Belgium, Luxemberg, Switzerland dan Austria mempunyai masing-masing dalam bahasa sendiri. Dalam sejarah pembinaan negara bangsa manusia, ada banyak peristiwa seperti ini. Cerita Jepun dan Korea membina negara bangsanya melalui bahasanya sendiri sudah lumrah. Pemimpin dan sarjana Islam bagaimana mereka membina dalam bahasa Arab untuk membangunkan negara Islam. Daripada peristiwa-peristiwa ini penulis melihat apakah kaedah yang dapat dicontohi iaitu, menyampaikan ilmu dan membina ilmu dalam bahasa sendiri hendaklah dilakukan serentak. Bahasa Melayu bukan setakat digunakan sebagai tali perhubungan dalam komunikasi seharian, tetapi ia juga menggambarkan akar umbi masyarakat Melayu daripada segi adat-istiadat, dan sosio serta budaya kehidupan mereka. Justeru, bahasa ibunda amat penting bagi meneruskan kelangsungan bangsa Melayu seperti juga ketamadunan bangsa-bangsa lain di dunia yang turut mempunyai bahasa peninggalan warisan nenek moyang masing-masing. Bangsa Melayu akan pupus jika tiada usaha dilakukan bagi mempertahankan bahasa itu yang kini semakin dipinggirkan dalam banyak aspek. Bangsa Melayu mungkin akan pupus suatu masa nanti. Tragedi itu akan berlaku apabila pada ketika itu, kita sudah tidak menghiraukan lagi tentang bahasa Melayu. Kalau pupus bahasa Melayu, maka akan pupuslah juga bangsa Melayu. Pada ketika itu juga, maka akan terjadilah suatu malapetaka yang dahsyat ke atas orang Melayu.
PENGENALAN
Tidak pernah berlaku ada bangsa yang membina negaranya tanpa bahasa sendiri. Tidak pernah juga ada bangsa yang membina negaranya dalam bahasa orang lain. Setiap bangsa, walaupun kecil membina negara bangsanya dalam bahasanya sendiri. Negara kecil yang maju seperti Belanda, Finland, Sweden, Norway, Denmark, Belgium, Luxemberg, Switzerland dan Austria mempunyai bahasa ibunda masing-masing. Dalam sejarah pembinaan negara bangsa manusia, ada banyak peristiwa seperti ini. Cerita Jepun dan Korea membina negara bangsanya melalui bahasanya sendiri sudah lumrah. Oleh itu marilah kita memandang ke Eropah dan melihat bagaimana negara-negara Eropah membangun. Kita jadikan Eropah itu model. Pertama, kita akan melihat bagaimana seorang ahli matematik dan falsafah Jerman membangunkan negara bahasa Jerman demi membina negara bangsanya. Kedua, kita akan belajar daripada pemimpin dan sarjana Islam bagaimana mereka membina dalam bahasa Arab untuk membangunkan negara Islam. Daripada peristiwa-peristiwa ini kita melihat apakah kaedah yang dapat kita contohi iaitu menyampaikan ilmu dan membina ilmu dalam bahasa sendiri hendaklah dilakukan serentak. Justeru menerusi kajian ini akan menghuraikan bahasa ibunda amat penting bagi meneruskan kelangsungan bangsa Melayu seperti juga ketamadunan bangsa lain di dunia dalam konteks negara bangsa. Kajian ini cuba menjelaskan bahasa Melayu bukan setakat digunakan sebagai perhubungan dan komunikasi harian, malah ia juga menggambarkan akar umbi masyarakat Melayu yang menghubungkan bahasa Melayu dengan adat-istiadat, dan kesenian mereka. Di samping itu, kajian ini menjelaskan kesan-kesan jika sesuatu bangsa dan negara itu mengagungkan bahasa penjajah sehingga mengikis peradaban Melayu seperti yang berlaku dalam kalangan golongan elit di bandar. Jelasnya, pengabaian pelaksanaan dan pemartabatan bahasa Melayu menyebabkan bahasa itu akan lenyap sekali gus orang Melayu akan kehilangan warisan berharga yang telah dibina oleh nenek moyang mereka sejak berabad-abad lamanya. Kajian ini akan membatasi penjelasan bagaimana penjajah menggunakan bahasa ibunda penduduk tempatan sesebuah negara sehingga berjaya menguasai sesebuah kawasan atau wilayah termasuk perdagangan dan kebudayaan. Kajian ini juga akan menjuruskan bagaimana kejayaan bangsa Jerman menyatukan penduduknya dalam konteks negara bangsa menurut acuan mereka.
Andaian Tanpa Bukti
Ada andaian yang mengatakan,oleh sebab bahasa bekas penjajah Inggeris itu maju, maka bahawa boleh turut maju dengan meminjam bahasa bekas penjajah tersebut. Bukti sejarah membuktikan sebaliknya. India telah menggunakan bahasa Inggeris selama 300 tahun, dan Filipina selama 60 tahun. Begitu jugalah beberapa negara Afrika seperti Nigeria, Ghana, Kenya, Uganda. Bahasa Portugis dan Sepanyol pula dipinjam oleh negara-negara Amerika. Negara-negara ini masih terus menguji. Tidak usahkan maju, ada sesetengahnya yang melepasi paras kemiskinan pun belum mampu. Bahasa penjajah ini tidak dapat dipelajari oleh semua rakyat, oleh itu ia akan mengepung ilmu sebagaimana bahasa Latin mengepung ilmu. Ilmu yang terkepung tidak memajukan rakyat. Hanya negara-negara yang menggunakan bahasa sendiri dapat meruntuhkan kepungan ini dan mencetuskan wabak ilmu. Rakyat yang berilmu itu kemudiannya mengembangkan bahasa ekonomi negaranya. Di samping ilmu, ada satu lagi unsur penting dalam membangunkan ekonomi, Seterusnya negara sesuatu bangsa, iaitu kreativiti. Ada kaitan rapat kreativiti dengan bahasa yang digunakan menyampaikan ilmu itu. Ringkasnya, apabila bahasa pengantar yang di gunakan ialah bahasa sendiri, benak kelompok masyarakat akan bebas berfikir dan mencetuskan idea kreatif. Tetapi, apabila menggunakan bahasa pinjaman, benak atau fikiran kelompok masyarakat akan tertawan dalam budaya bahasa tersebut, dan akibatnya kelompok masyarakat sesebuah negara akan menjadi pengguna kepada produk-produk budaya tersebut. Malah Ibn Khaldun pernah berkata “ Bangsa yang dikalahkan lazimnya akan meniru pakaian, simbol-simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang mengalahkan mereka “. Tingkah laku ini disebabkan sifat manusia yang lazimnya menyangka bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah bangsa yang sempurna. Tingkah laku itu mungkin berpunca daripada rasa kagum terhadap bangsa yang menakluki mereka, sehingga mereka menganggap bangsa penakluk itu adalah bangsa yang sempurna ataupun disebabkan bangsa yang kalah itu tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor biasa sahaja. Akibatnya mereka percaya mereka kalah akibat keagungan bangsa yang menakluki mereka. Apabila sangkaan ini berpanjangan, maka sangkaan itu bertukar menjadi keyakinan sehingga akibatnya keyakinan itu mendorong mereka mengubah semua ciri-ciri jati diri kelompok masyarakat tersebut. Bangsa yang kalah mungkin meniru-niru secara tidak disedari, ataupun mereka menyangka mereka kalah disebabkan kelemahan-kelemahan budaya dan kepercayaan mereka sendiri, padahal tidak. Sebenarnya bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah lebih kuat dan lebih bersatu padu. Akibatnya, timbullah keyakinan lain bahawa dengan meniru-niru bangsa penakluk itu, maka akan terhapuslah punca-punca kekalahan mereka.
Bahasa Jerman Membina Negara Bangsa Sendiri
Pada abad ke-17 negara-negara Perancis, Itali dan Inggeris telah mula menjadi negara maju apabila industrinya berkembang. Tetapi negara Jerman masih membina bahasa dan pembinaan negara tamadun bangsa mereka. Pemimpin-pemimpin Jerman hairan kenapa ini boleh berlaku. Pada hal ilmuwan Jerman ramai. Orang-orang Jerman rajin bekerja. Di samping itu pula, negara Jerman mempunyai lebih banyak sumber alam berbanding dengan negara-negara lain. Malah, Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin sebagai bahasa pengantar sekolah dan universiti. Bahasa Perancis dan Latin adalah bahasa ilmu ketika itu. Bahasa Perancis juga menjadi bahasa perdagangan dan komunikasi antarabangsa. Oleh sebab itu apakah yang tidak kena pada negara Jerman. Gottfried Wilhelm Leibniz ( 1646-1716 ), seorang sarjana Matematik dan falsafah Jerman mencuba mencari jawapannya. Bahkan dia sendiri terdidik dalam bahasa Latin dan Perancis. Tetapi, dia sendiri tidak berupaya memandaikan bangsanya yang berbahasa Jerman. Leibniz menyedari bahawa ini timbul daripada amalan Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin mengajarkan ilmu pengetahuan di sekolah dan universiti, dan bahasa Perancis dalam komunikasi perdagangan dan di kalangan atasan. Bahasa Jerman dianggap rendah dan tidak mampu mengungkapkan ilmu dan tidak layak digunakan sebagai bahasa perdagangan. Ini menyebabkan wujud situasi di mana golongan atasan dan intelektual berbahasa Perancis dan Latin, manakala rakyatnya berbahasa Jerman. Leibniz menyedari bahawa bahasa Perancis dan Latin yang digunakan menjadi tembok pemisah antara dua golongan rakyat Jerman. Golongan atasan dan intelektual menggunakan bahasa Perancis dan Latin, dan ilmu pengetahuan dalam segala bidang ditulis dan disebarkan melalui bahasa Perancis dan Latin saja. Rakyat biasa yang hanya memahami bahasa Jerman tidak memahami bahasa Perancis dan Latin. Antara ilmu dan rakyat wujud tembok bahasa. Leibniz juga menyedari bahawa, apabila bahasa sendiri diketepikan bahasa asing diagungkan dan didewakan, rakyat akan kehilangan kepercayaan kepada diri sendiri dan pemikirannya pun terjejas. Bangsa dan kelompok masyarakat tidak mempercayai kepada diri sendiri bangsa tersebut tidak akan maju. Leibniz mengatakan bangsa Jerman hilang kepercayaan kepada bahasa Jerman. Mereka sibuk mengatakan hanya bahasa Perancis itulah yang mengandungi ilmu, bahasa antarabangsa, bahasa yang boleh membawa kemajuan. Akibatnya mereka mengabaikan bahasanya sendiri. Dalam pada itupun, Leibniz melihat bahawa orang Perancis sendiri tidak menerima mereka sebagai nukleus kepada masyarakat Perancis itu.
Negara Eropah Bergelap Kemuncak Negara Islam Bergemerlapan
Abad kelapan hingga ke-13 dikenali sebagai kemuncak kesarjanaan Islam dalam bahasa Arab. Kehidupan masyarakat Islam merupakan suatu bangsa yang bertamadun tinggi. Dalam abad ke-12 dan ke-13, Baghdad sudah berkembang sebagai bandar raya yang mempunyai sekolah, kolej, universiti, masjid dan hospital. Lampu menerangi lorong dan jalan pada waktu malam. Malah orang-orang Kristian yang mengunjungi Kordova di Sepanyol terhairan-hairan melihat bandar raya yang besar dianggarkan mengandungi lebih 200,000 bangunan perumahan. Jalan-jalannya dibuat daripada batu. Air disalurkan ke rumah-rumah. Lampu mencerahkan jalan pada waktu malam. Dan istana khalifahnya tersergam indah. Dalam suasana kehidupan yang secanggih itu, terdapat aktiviti intelektual yang tinggi. Setiap bandar raya utama dalam pemerintahan Islam, menjadi pusat pengajaran dan pembelajaran ilmu, syurga bagi penggemar buku dan ilmu dan terdapat pasaran-pasaran besar buku-buku ilmu. Bagaimanakah pemimpin Islam berhasil menegakkan kemajuan ini?. Tentu sekali bukan ada satu faktor saja yang bertanggungjawab. Sistem pemerintahan yang efisien, kekuatan tentera, Kestabilan kuasa politik, eksploitasi sumber ekonomi yang bijak, dan penggunaan bahasanya sendiri banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada pencapaian taraf kehidupan yang tinggi dan sempurna ini. Di samping semua faktor ini, terdapat faktor ilmu. Pemimpin Islam sangat memuliakan ilmu. Mereka membina bahasa Arab. Sarjana Islam sangat kreatif dan inovatif dalam membawa perkembangan kepada ilmu. Pendidikan menjadi keutamaan dalam pemerintahan mereka. Bahasa Arab menjadi yang terulung dalam tempoh hampir 500 tahun, dari abad ke-8 hina ke abad ke-13. Kita dapat melihat bagaimana tradisi intelektual ini berkembang subur dalam pemerintahan pemimpin Islam. Budaya memuliakan ilmu ini dapat kita lihat dalam dua bidang. Pertama bagaimana masyarakat Islam, terutamanya pemimpin Islam memperlakukan dan memuliakan ilmu. Kedua bagaimana mereka memperlakukan bahasa dalam bidang ilmuwan. Orang-orang Islam adalah bangsa pertama yang mencipta konsep pendidikan universal. Sekolah-sekolah dibina dalam satu kawasan dengan masjid. Setiap sekolah diajar dengan bahasa sendiri. Seluruh masyarakat Islam, kaya miskin, raja atau rakyat, sangat memuliakan bahasa. Bahkan mereka lebih memuliakan hasil kesarjanaan mereka dalam bentuk buku ilmu dan karya sastera bahasa sendiri. Pada zaman buku ditulis dengan tangan, buku sangat bernilai. Para ilmuwan dimuliakan dan pendapat mereka diminta dan dihormati. Oleh sebab sikap mereka yang sangat memuliakan ilmu itulah maka lahir bijak pandai. Lazimnya bahasa itulah yang menyebabkan berkembang menjadi pusat pengajian atau kolej dan universiti. Akademi Baitul Hikmah di Baghdad itu berasal daripada sebuah bernama Khazanah al-Hikmah. Bahasa Arab dalam zaman Abasiah, menjadi penting dalam zaman itu terdapat di Shiraz, Kordova dan Kaherah itu mengandungi galeri besar yang dipenuhi dengan rak-rak buku, dan disediakan bilik bacaan untuk pengunjung. Di Shiraz pula buku-buku disimpan di bilik-bilik sepanjang dinding dikatalogkan menurut bidang dan bahasa sendiri.
Skriptorium Dan Industri Pembukuan Bahasa Sendiri
Pada zaman kegemilangan intelektual Islam, terdapat banyak institusi yang terlibat dengan penerbitan buku-buku ilmu. Di Baghdad saja, ada lebih daripada 100 orang terlibat dalam industri penerbitan, iaitu menterjemah, menulis, menyalin, menjilid, menjual, dan membeli buku. Kordova, menjadi pasaran terbesar buku ilmu di bahagian Barat empayar Islam. Industri perbukuan berjalan dengan aktif menyokong aktiviti intelektual. Pemimpin Islam membina skriptorium atau bengkel penulisan di setiap daerah. Mereka menggaji sarjana untuk menulis dan menyalin buku. Mereka diberi gaji lumayan, pakaian, dan tempat tinggal yang selesa. Mereka diberi kemudahan kertas, dakwat, botol dakwat, dan pena dengan percuma. Pada zaman kertas diimport dari Cina dengan harga yang tinggi, ia merupakan kemudahan yang besar, mungkin lebih mahal nilainya apabila dibandingkan dengan harga sebuah komputer pada hari ini. Tetapi, pemimpin Islam mengeluarkan belanja yang besar, sama ada dari perbendaharaan pemerintah atau kekayaan peribadi, untuk membina dan mengembangkan ilmu menggunakan bahasa sendiri. Skriptorium ini menjadi sebahagian daripada setiap kelompok masyarakat. Bengkel pembukuan untuk menterjemah, menyalin dan menjilid buku orang yang ditugaskan khas untuk menyalin dan menjilid buku-buku. Begitulah juga dengan daerah Kordova, Toledo, Kaherah, Basrah, Damsyik dan lain-lain. Usaha yang dijalankan di dalam skriptorium inilah yang menjadi nadi penggerak industri penerbitan buku. Walaupun tidak ada satu badan khas yang diberi tugas menjaga dan menentukan aliran perkembangan industri penerbitan buku, buku ilmu diterbitkan dengan banyaknya menggunakan bahasa sendiri. Pada masa itu buku mahal harganya. Ia memerlukan penaung dan pembiaya yang kaya. Sekiranya tidak, ilmu tidak akan dapat dibukukan. Fungsi itu dipegang oleh raja, khalifah, hartawan, dan ilmuwan. Mereka membina skriptorium. Skriptorium itu menjadi syarikat penerbit. Ia menerbitkan manuskrip bertulis tangan. Amalan ini dapat menjadi pengajaran dan pemelajaran yang dapat kita tiru dalam usaha kita membina negara bangsa dalam bahasa Melayu. Cuma bentuk skriptorium yang diperlukan akan berlainan bentuk dan prosesnya, tetapi fungsinya sama, iaitu menggalakkan penggunaan bahasa sendiri iaitu bahasa Malaysia atau bahasa kebangsaan. Ia boleh mengambil bentuk lembaga atau badan yang ditugaskan untuk menjalankan fungsi ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Produknya juga boleh berbentuk buku biasa atau dalam media lain seperti dalam bentuk elektronik.
Status Bahasa Ilmuwan
Pada zaman kegemilangan Islam, para ilmuwan sangat dimuliakan. Mereka bukan sekadar diberi kebebasan dalam bidang penulisan, tetapi keperluan mereka sentiasa dijaga. Dalam sesetengah hal, makan minum, peralatan menulis, wang perbelanjaan dan penginapan disediakan untuk mereka yang datang dari jauh untuk mencari ilmu dan mengembangkan ilmu. Ibnu Abbad di Farsi, bukan sekadar membenarkan para ilmuwan yang termasyhur itu digunakan dengan bebas, tetapi setiap ilmuwan diberi 1,000 dirham dan pakaian lengkap untuk menggalakkan mereka mempelajari bahasa. Sarjana yang membaca dan menyalin buku diberi biasiswa dan menyediakan tempat tinggal kepada pelajar dari luar negara serta memberi biasiswa kepada mereka. Di Akademi al-Hakim, pelajar miskin diberi kertas, dakwat, botol dakwat, pena, dan biasiswa. Peruntukan juga disediakan untuk membaik pulih buku-buku lusuh. Al-Maqrizi juga membuat catatan dalam riwayatnya bahawa wanita juga diberi peluang belajar bertujuan memperoleh ilmu dan mengembangkan bahasa. Khalifah al-Hakim II, pula menubuhkan pusat pengembangan bahasa di Kordova, dan dia membekalkan semua buku yang boleh dibeli dari seluruh dunia. Semua orang yang ingin belajar diterima menggunakan bahasa sendiri. Pelajar miskin diberi biasiswa. Bahkan Khalifah al-Hakim sendiri adalah seorang sarjana, yang minat membaca. Demikianlah mulianya para ilmuwan di mata pemimpin Islam. Setiap sarjana diberi ganjaran lumayan. Dia tidak perlu terkial-kial mencari sara hidup untuk belajar atau mengusahakan penyalinan dan penulisan buku-buku ilmiah menggunakan bahasa sendiri. Ini adalah suatu kemudahan besar pada masa itu. Perlakuan yang sangat mulia terhadap para ilmuwan itu telah membantu menyuburkan perkembangan ilmu melalui bahasa. Sikap dan tindakan yang menyokong ini telah membantu menyuburkan pembinaan bidang kebahasaan dalam bahasa Arab. Amalan begini memuliakan ilmu, Ada amalan dalam tradisi negara Islam yang tidak kita amalkan sekarang. Kita boleh belajar dari amalan itu. Penulis buku ilmu harus dapat hidup dengan usaha yang dijalankannya. Sekiranya ini tidak berlaku, pihak berwajib harus menampung segala kekurangan itu bagi menjamin usaha itu dijalankan. Kita dapat melihat dua fasa penting dalam membina negara bangsa menjana ilmu dalam bahasa secara kreatif yang berlaku dalam empayar Islam. Pertama, ilmu diterjemahkan dan diserap ke dalam bahasa Arab. Kedua, apabila mereka sudah menyerap ilmu daripada Yunani dan Latin, maka timbullah fasa kreativiti mereka. Wujudlah ilmuwan Islam yang membina ilmu dalam bahasa Arab untuk orang Islam dan masyarakat dunia.
Penterjemah Mengimport Bahasa Luar ke Dalam Bahasa Sendiri
Pada peringkat awal pemerintahan Islam, perhatian terhadap ilmu tidak begitu rapi. Ada kenyataan yang dibuat oleh sarjana Eropah bahawa panglima tentera Islam seperti Amru Ibnu As dan Ibnu Waqqas memusnahkan buku-buku yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi, apabila khalifah Abasiah menggantikan Umaiyah, pemerintahan Islam berubah kepada pemimpin bukan Arab dan pusat pentadbiran berpindah ke Baghdad. Di bawah khalifah Abasiah, dengan tradisi ilmunya, perkembangan ilmu menjadi lebih pesat. Zaman kegemilangan ilmu sains dalam Islam berlaku antara 750 M hingga 1350 M. Pada masa itu negara Eropah masih berada dalam zaman kegelapan, dan negara Eropah hanya bangun dan memulakan zaman pembaharuan antara 1400 hingga 1600 M. Sarjana-sarjana Islam mengizinkan ilmuwan Kristian Siria, Koptik, Nestorian, Yahudi, dan Majusi di Farsi, yang sedia wujud di daerah yang baru ditaklukinya meneruskan aktiviti intelektualnya. Sarjana-sarjana ini memang telah banyak menerima ilmu dari Yunani. Peranan pemimpin Islam pada masa itu ialah menggalakkan lagi aktiviti intelektual ini. Mereka turut menggiatkan aktiviti mengimport ilmu-ilmu terkini yang diciptakan oleh bangsa-bangsa lain sebelum mereka. Mereka lakukan melalui aktiviti terjemahan, kemudian mereka mengembangkan lagi ilmu-ilmu itu ke dalam bahasa sendiri. Pada akhir pemerintahan khalifah Umaiyah, bahasa Arab telah mengandungi banyak ilmu yang mereka terjemahkan. Ini termasuklah falsafah, perubatan, matematik dan teknologi dari tradisi Yunani matematik, perubatan dan kesusasteraan dari India dan sains, kesusasteraan dan agama dari Farsi. Sarjana Islam juga memperkembangkan ilmu yang mereka import itu dengan membuat ulasan-ulasan terhadap sains dan falsafah Yunani oleh sarjana-sarjana Siria. Ada beberapa orang khalifah Abasiah di Baghdad yang terlibat secara langsung di dalam memajukan usaha menterjemah buku ilmu dan sastera dari bahasa Yunani, Farsi dan India. Mereka berusaha supaya bahasa ilmu yang diperlukan untuk penyelidikan falsafah dan sains terdapat dalam bahasa Arab untuk ilmuwan berbahasa Arab. Usaha menterjemah ini berjalan dalam dua tahap. Pada tahap pertama, usaha menterjemah hanya dijalankan secara bebas oleh sarjana Kristian, Yahudi, dan mereka yang baru memeluk Islam. Pada tahap kedua, usaha ini dijalankan secara formal dan teratur. Khalifah Jaafar al-Mansur ( 754-775 M ), memulakan usaha ini dengan menjemput George Bakh Tishu, seorang tabib Kristian Nestorian, dari Jundi Shahpur di Farsi untuk datang ke Baghdad menjadi tabibnya. Ini diikuti oleh tabib-tabib lain. Malah anaknya juga kemudian menjadi tabib khalifah Harun al Rashid ( 786-809 M ). Usaha menterjemah di bawah al-Mansur dan Harun al-Rashid, menjadi berlipat ganda di bawah khalifah al-Makmun ( 813-833 M ). Di Jundi Shahpur, tradisi perubatannya adalah gabungan antara perubatan bahasa Yunani dan bahasa India. Inilah yang menjadi asas kepada pembinaan ilmu bahasa perubatan Arab Islam. Setelah adanya asas ilmu bahasa perubatan ini barulah timbul sarjana perubatan Islam. Yang pertama ialah al-Razi ( 923 M ). Kemudian, timbul pula Ibnu Sina yang menghasilkan penyelidikan mengenai cacar dan taun. Ibnu al-Baitar membina kepakaran dalam farmasi, dan Ibu Haitham dalam kaji optik. Di bawah pemerintahan khalifah al-Makmun dan kalifah-kalifah selepasnya, usaha terjemahan dijalankan melalui sebuah akademi yang ditubuhkan di Baghdad, iaitu Baitul Hikmah. Selepas itu, aktiviti menterjemah ilmu ini berjalan lancar untuk membolehkan ilmu itu sampai kepada ilmuwan Islam berbahasa Arab. Dalam perkembangan ilmu ini kita dapat melihat sumbangan signifikan terjemahan sebagai asas pembinaan bahasa sendiri. Setelah asas ilmu diterjemahkan ke dalam bahasa sendiri, maka barulah tradisi ilmu itu berkembang dalam bahasa Arab dan menghasilkan bahan bahasa sendiri. Mula-mula mereka meniru dan menyerap ilmu dari luar, setelah itu mereka menjana bahasa sendiri secara kreatif. Proses menjana bahasa berkembang daripada budaya ilmu yang diimport.
Menjana Bahasa Secara Kreatif
Para ilmuwan Islam menggunakan bahasa yang diterjemahkan dari Yunani, Farsi dan India untuk tujuan-tujuan praktikal. Amalan ini dengan sendirinya memerlukan mereka menjadi kreatif dan inovatif untuk menerap bahasa tersebut bagi menyelesaikan masalah-masalah praktikal dalam kehidupan mereka. Usaha itu menyebabkan mereka mencipta kaedah-kaedah penyelidikan yang bersifat empirikal dan eksperimental. Sebelumnya, sarjana-sarjana lain berusaha mengembangkan bahasa semata-mata untuk mengembangkan lagi bahasa sebagai ilmu pengetahuan. Ilmuwan Islamlah yang mula-mula menjadikan manusia sebagai matlamat bahasa dan ilmu pengetahuan. Dengan demikian, ilmuwan Islam perlu menggabungkan tradisi ilmu dan bahasa Yunani yang bersifat spekulatif itu dengan aktiviti eksperimental dan empirikal yang mereka cipta. Dalam menjalankan eksperimen, para ilmuwan Islam membebaskan diri daripada kongkongan dan kepercayaan. Ini berlainan dengan apa yang diamalkan di Eropah di mana intelektualnya berfikir untuk membuktikan ajaran-ajaran waktu itu adalah benar. Para ilmuwan Islam juga memasuki setiap bidang ilmu untuk mencari pengetahuan. Mereka mengembangkan bahasa yang ada dan mencipta cabang-cabang ilmu dan bahasa baru yang belum ada sebelumnya. Mereka bergiat dalam bidang-bidang filologi, sejarah, historiografi, undang-undang, sosiologi, kesusasteraan, etika, falsafah, teologi, perubatan, matematik, logik, seni, astronomi, botani, fizik, seni bina, seramik dan macam-macam lagi. Tradisi membuat penyelidikan yang penuh kesabaran adalah ciptaan ahli-ahli sains Islam. Mereka mencipta teknik-teknik penyelidikan secara teliti. Mereka merakamkan hasil-hasil pemerhatian daripada uji kaji yang mereka lakukan. Mereka mengembara untuk mengumpulkan data yang besar supaya dapat dilakukan kerja-kerja klasifikasi dan kategori. Ahli-ahli sains Islam adalah pencipta kaedah penyelidikan sains dengan menggunakan pengamatan dan uji kaji, suatu kaedah yang tidak pernah diketahui sebelumnya. Mereka mencipta kaedah eksperimen objektif kerana mahu memperbaiki teknik-teknik spekulatif Yunani yang tidak tepat. Di bawah pemerintahan al-Makmun dan al-Mansur, pusat ilmu berpindah dari Bizantin ke Baghdad. Ilmuwan berkembang di Baghdad, ramai ahli matematik dan astronomi menjalankan kajian. Pusat pemerhatian astronomi dibina di Baghdad dan Jundi Shahpur. Kajian astronomi menggalakkan perkembangan ilmu aritmetik dan algebra. Dari golongan inilah munculnya Naubakht ( astronomi ), Hussain al-Sufi ( menghasilkan kajian agung astronomi), Omar Khayyam ( sains Islam, matematik ), Habash al-hasib ( jam suria ), al-Farghani ( mengira diameter bumi, dan jarak serta saiz bintang-bintang ), al-Din al-Tusi ( menyusun jadual Zij, kalendar ), al-Muzaffar al-Tusi ( inventorastrolabe - penggukur altitud ), al-Din Shirazi ( geometri optik ), Banu Musa ( matematik ), Ibnu Mashar ( mathematik ), al-Biruni ( mengukur latitud dan longitud ), Abu al-Wafa ( matematik-astronomi ), Fakhrudin al-Razi (ensiklopedia sains ), al-Khazim (graviti, berat aloi dan densiti air), Kamal al-Din ( mengkaji lintasan cahaya melalui gelas ), dan al-Khwaizmi ( matematik ). Dalam bidang perubatan pula, kita melihat asas ilmu yang dibina atas gabungan bahasa dari Yunani, India dan Farsi menimbulkan suasana yang mencetuskan idea-idea baru. Pakar perubatan yang banyak menulis ialah al-Razi keturunan Farsi dan tinggal di Baghdad. Dia mempelajari ketiga-tiga sumber bahasa perubatan itu dari Ibnu Ishaq dan menghasilkan lebih 200 karya. Hampir separuh daripadanya mengenai perubatan. Karyanya mengenai perubatan meliputi bidang sistem saraf yang diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Dia juga menulis mengenai falsafah, teologi, matematik, astronomi, dan sains. Tradisi perubatan al-Razi disambung oleh seorang tabib lain keturunan Farsi, Ibnu Sina, yang juga seorang ahli falsafah. Ibnu Sina menyambung usaha Hippocrates dan Galen, dua orang pakar perubatan Yunani. Karya Kanun Perubatan merupakan sebuah ensiklopedia ilmu perubatan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah. Di samping itu dia menghasilkan lebih 100 risalah falsafah dan matematik. Haly Abas ( 995M ) mengarang buku seni perubatan lengkap yang merupakan sebuah ensiklopedia perubatan. Muwaffa Ibnu Mansur ( 975M ) pula menulis Asas dan Sifat Sebenar Penawar mengandungi huraian 585 jenis dadah. Pemerintahan Islam yang luas menemukan mereka dengan beberapa daerah baru. Ini memerlukan huraian geografi, iklim, ekonomi, sejarah, dan sosiologi. Asas ilmu bahasa geografi dari Ptolemi diperkembangkan, dengan pengumpulan data baru. Bahasa Farsi banyak menguasai bidang itu. Al-Balkhi ( 934M ) menulis banyak buku, termasuk geografi yang menjadi asas pengajian geografi selepasnya. Al-Hamdani menghuraikan geografi semenanjung Arab, al-Biruni menghuraikan geografi India, Nasiri dari Khurasan menulis tentang pengamatannya semasa mengembara ke Mesir dan Makkah, dan Yaqut dan Qazwini menyusun kamus mengenai nama-nama geografi dan biografi menggunakan bahasa sendiri. Semasa ilmuwan Islam mengkaji sains, ilmu dan bahasa sering turut berkembangan. Sumbangan Ibnu Khaldun, al-Qadir Jilani, al-Ghazali, al-Batalyusi adalah banyak dalam ilmuan Islam dalam bahasa Arab. O’Leary ( 1966 ) dan Nakosteen ( 1964 ) menyenaraikan sumbangan penterjemah dalam segala bidang bahasa. Senarainya panjang dan mengagumkan. Ia juga membolehkan kita memahami bagaimana sarjana Islam menjadi begitu maju setelah banyak ilmu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Ia menjadi asas pembinaan ilmu sarjana Islam itu sendiri. Beberapa ciri penting dalam perkembangan ilmu Islam ini dapat kita lihat. Pertama, ia berkembang daripada asas ilmu yang dibawa masuk melalui terjemahan. Daripada meniru ilmuwan Islam belajar mencipta. Ini adalah satu tahap penting dalam pembinaan ilmu bangsa juga perlu diisi dulu dengan ilmu yang diimport dari bahasa lain. Sebarang tindakan yang menghalang pengimportan ilmu ini akan juga membantutkan perkembangan ilmu dalam bahasa. Kedua, ahli ilmuwan itu sangat luas cakupan bidang keahliannya. Mereka tidak menjurus kepada satu bidang saja. Ibnu Sina juga adalah seorang falsafah dan ahli matematik. Bahkan, Ibnu Sina juga seorang pemuzik dan menulis risalah tentang muzik. Ilmu yang dibina oleh sarjana Islam itu heterogeus atau pelbagai sifatnya bukan homogenus atau semacam saja. Ketiga, mereka mempunyai obsesi mencari ilmu. Obsesi ini penting, tanpa obsesi sesuatu usaha tidak akan tamat. Keempat, mereka Menuliskan ilmu mereka menggunakan bahasa sendiri. Tanpa ilmu yang tertulis, tidak ada negara bangsa yang maju. Inilah ciri-ciri yang akan kita terap ke dalam usaha kita membina negara bangsa dalam bahasa Melayu, demi menyerlahkan lagi bangsa dan bahasa Melayu. Pada akhir kurun ke-13 keagungan ilmu Islam ini berakhir. Ia tidak melahirkan negara bangsa yang lebih tinggi. Ada beberapa sebabnya. Ini perlu kita pelajari supaya negara bangsa yang kita bina dalam bangsa Melayu ini dapat mengelakkan kesilapan yang sama. Tentera Tartar di bawah pimpinan Hulaqu Khan, cucu Ghengis Khan, menakluki kota Baghdad pada 1258. Bangsa Tartar yang belum mengenal hakikat tamadun tinggi itu tidak tahu memuliakan ilmu dan bahasa. Mereka membakar beratus-ratus buku-buku di Baghdad, termasuk Baitul-Hikmah. Nasib yang serupa dialami oleh semua buku-buku di seluruh dunia Islam, dari Samarkand, ke Bukhara, dari Baghdad ke Kordova makalah-makalah Islam dibakar jadi abu ( Raja-raja Kristian menakluki dan memusnahkan Kordova pada tahun 1492 ). Ironisnya, ahli sains Islam berjaya mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir untuk menemui pelbagai ilmu pengetahuan sains, tetapi mereka tidak mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir untuk memanipulasi pengetahuan dan maklumat sains menjadi teknologi. Teknologi ialah alat-alat dan teknik-teknik yang berfungsi untuk mengembangkan keupayaan manusia. Mereka tidak menggunakan ilmu mereka misalnya untuk mencipta alat dan teknik perang baru. Tentera Islam terus menggunakan senjata tradisional, pedang dan anak panah. Dalam peperangan yang menggunakan teknologi lama, mereka tidak sehandal tentera Tartar dan Kristian.
Pelajaran Dari Bangsa Eropah Dan Negara Islam
Ada dua perkara yang dapat kita pelajari daripada kasus pembinaan bangsa Jerman menjadi negara industri moden, dan juga zaman kegemilangan negara Islam : Dalam membina bahasa sendiri adalah asasnya. Ahli-ahli sejarah Barat pernah mengatakan zaman kegemilangan sains orang Islam tidak akan timbul semula. Sebabnya ialah setelah ilmu-ilmu dan buku-buku Islam musnah, orang-orang Islam tidak membina semula negara bangsa mereka sendiri. Mereka lupa asas pembinaan mana-mana negara bangsa tanpa bahasa milik sendiri, tidak ada bangsa yang dapat mendirikan negaranya sendiri. Belajar dalam bahasa sendiri itu dapat mengekalkan kreativiti peribumi kita sebagai kaum peribumi. Inilah yang membezakan bangsa Jerman selepas dan zaman sebelumnya. Sebelum membuat resolusi, ada lima kesan yang ketara dapat kita lihat berlaku apabila bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar pendidikan. Mengajar ilmu melalui bahasa ibunda lebih berkesan. Dari tahun merdeka hingga sekarang kita mencapai kejayaan besar apabila kita menyampaikan pendidikan dalam bahasa Melayu. Apabila bahasa Melayu ditukar dengan bahasa Inggeris, maka pendidikan akan sukar dicapai orang-orang Melayu luar bandar dan mereka yang menguasai bahasa Inggeris di bandar. Ini berlawanan dengan fitrah manusia bahawa belajar melalui bahasa sendiri itu lebih berkesan. Dapatan-dapatan kajian itu membuktikan bahawa belajar melalui bahasa ibunda adalah lebih cepat dan berkesan. Kajian dilakukan di Ireland terhadap penggunaan bahasa Gaelik iaitu bahasa ibunda mereka untuk mengajarkan matematik kepada kanak- kanak sekolah rendah. Dapatan kajian tersebut membuktikan bahawa kanak-kanak yang diajarkan matematik melalui bahasa Gaelik itu dapat memahami pelajarannya dengan cepat dan berkesan. Pada masa yang sama, kanak-kanak yang diajarkan pelajaran yang sama melalui bahasa Inggeris menunjukkan kefahaman yang rendah. Terbukti bahawa mengajarkan Matematik dengan menggunakan bahasa ibunda itu adalah lebih berkesan daripada menggunakan bahasa pinjaman. Di samping penduduk Ireland, penduduk Wales dan Scotland juga mempunyai penduduk yang berlainan asal daripada England. Mereka berasal daripada bangsa Celtic yang menuturkan bahasa Gaelik. Mereka bukan orang Inggeris, tetapi sudah lama ditakluki oleh bangsa, bahasa dan budaya Inggeris. Tetapi ramai di antara mereka menyedari bahawa mereka itu bukan Inggeris. Lalu timbullah kebangkitan yang di kalangan penduduk negeri tersebut untuk mewujudkan kembali identiti mereka sebagai orang Celtic, suatu bangsa lain daripada Inggeris. Bagi mereka yang pernah melawat negara Britain, dan pernah pula melawat negeri Wales, akan tentu teringat papan tanda yang terpampang di tepi lebuh raya waktu memasuki negeri Wales. Mereka akan disambut dengan “Gome Imru”. Selamat Datang ke Wales. Sekiranya datang dari England, lebuh raya akan membawa kita ke “ Caberfied ” bukan Cardiff. Dari masa itu timbullah pergerakan untuk menghidupkan semula bahasa Gaelik ( Welsh ) di kalangan penduduk Wales. Tokoh yang paling terkenal di Wales menghidupkan semula bahasa Gaelik ini ialah Lilian Jones. Lilian Jones adalah seorang pegawai pendidikan. Beliau dan sekumpulan ahli masyarakat terdidik di negeri Wales merasakan mereka telah hilang identiti sebagai orang Wales setelah berlaku proses penginggerisan mereka melalui pendidikan dalam bahasa Inggeris. Walaupun mereka menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris itu memberi mereka potensi ekonomi yang baik, tetapi hati kecil mereka masih mengatakan identiti mereka sebagai orang Wales perlu ditegakkan. Pengalaman di negara Brunei Darussalam juga memberi bukti yang sama. Brunei mengamalkan dasar dwibahasa, dan mengubah bahasa pengantar pendidikannya daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris pada tahun empat pendidikan rendah. Setelah mendapat pendidikan asas melalui bahasa Melayu, mata-mata pelajaran sains dan Matematik diajarkan melalui bahasa Inggeris. Perubahan bahasa pengantar ini telah menimbulkan beberapa kesan. Kanak-kanak menghadapi kesukaran apabila bahasa pengantar ditukar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris itu telah mengganggu proses pemahaman Matematik. Prestasi mereka dalam peperiksaan juga menurun. Penguasaan bahasa Melayu juga mula merosot. Seorang ahli akademik di Universiti Brunei Darussalam meminta supaya dasar itu dikaji semula. Dia juga mengajukan supaya pengajaran Matematik dan Sains dijalankan di dalam bahasa Melayu semula. Sebuah penyelidikan dijalankan di sebuah Universiti tempatan mengenai kemampuan pelajarnya mengungkapkan sebuah konsep sains dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Didapati mereka lebih mampu mengungkapkan konsep sains itu dalam bahasa Melayu. Apabila mereka menggunakan bahasa Inggeris ulasan mereka cetek, dangkal dan kabur. Apabila mereka menggunakan bahasa Melayu ayat mereka menjadi lebih panjang dan idea yang diungkapkan menjadi lebih canggih dan jelas hal ini disokong dengan pengamatan yang dilakukan terhadap kemampuan pelajar sebuah universiti yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Kemahiran pelajar menulis tugasan dalam bahasa Inggeris sering terganggu oleh kelemahan mereka dalam menguasai nahu dan kosa kata. Ini menyebabkan mereka menyatakan idea dalam frasa-frasa pendek dan ayat-ayat yang tidak lengkap. Ini menyebabkan idea yang diungkapkan menjadi kabur. Luputnya himpunan memori Melayu daripada benak Melayu bahasa Melayu yang digunakan seharian, dan sebagai bahasa pendidikan, akan membina “ himpunan memori “ penulis sebagai orang Melayu, mahupun Malaysia. Himpunan memori inilah yang akan membentuk nilai jati diri kita, kepercayaan, budaya dan lain-lain. sebagai orang Melayu apabila kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan, maka himpunan memori penulis juga akan berubah. Penulis tidak lagi akan menjadi orang Melayu atau orang Malaysia. Tempat bahasa Melayu sepatutnya ialah di benak Melayu. Apabila elit Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda bagi anak-anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Inggeris, maka bahasa Inggerislah yang duduk di benak anak-anak Melayu itu. Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa benak mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi. Berdasarkan hipotesis Malik Bennabi, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Inggeris, bukan idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Melayu lagi. Oleh kerana bahasa Melayu telah menyerap idea-idea induk Islam, dan oleh kerana bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang “ menjawab ” ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif. Konsep-konsep seperti “ derhaka ” dan “ syurga itu di bawah tapak kaki ibu ” hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti dalam cerita-cerita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga tidak ada kesempatan untuk masuk ke benak mereka. Tempatnya akan diganti oleh cerita-cerita seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-lain. Hero mereka bukan Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur And The Knights Of The Round Table. Kita dapat melihat apa yang dialami oleh sebuah negara yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikannya. Dalam “ The Role of Language Planning in Education in Singapore “Anne Pakir ( 1994 ) menyatakan apabila, ibu bapa diberi pilihan untuk menghantar anak mereka belajar di sekolah Inggeris, Mandarin, Melayu, atau Tamil. Aliran Melayu dan Tamil akhirnya “ dried up” atau tandus. Dua puluh lima tahun kemudian barulah kelihatan apa kesannya bahasa Inggeris itu terhadap identiti belia Singapura, khususnya kaum Cina. Pada 27 Julai 1997, Goh Chok Tong berucap di televisyen Singapura dalam rancangan “ Addressing the nation ”. Ucapan itu sangat menarik. Beliau menyatakan kebimbangan terhadap masyarakat belia Singapura pada masa itu. Beliau mengatakan, setelah 25 tahun diberi pendidikan bahasa Inggeris, maka mereka sudah mula melihat beberapa perubahan yang sedikit membimbangkan. Beliau berkata, lebih kurang bermaksud “Belia kita sekarang tidak tebal lagi Cinanya”. Hanya dari segi biologi mereka Cina. Dari segi budaya mereka sudah menjadi Barat. Mereka mudah sekali menyesuaikan diri dengan Barat apabila dihantar belajar ke negeri Britain dan Amerika. Ada yang terus memilih untuk tinggal di sana, dan kalau pulang pun membawa teman hidup dari sana. Perkara ini bertambah ketara apabila Dr. Chang Han Yin dari Jabatan Sosiologi Universiti Nasional Singapura membuat suatu kajian di kalangan pelajar universitinya, Bagi meninjau perubahan nilai dan identitinya. Ringkasnya, 8 daripada 10 pemudanya mengharapkan mereka itu dilahirkan sebagai Caufusius, bukan sebagai orang Asia. Minda yang membentuk tamadun nukleus dan pinggiran di Jepun pula, penyampaian bahasa melalui bahasa Jepun mencetuskan wabak ilmu dan bahasa yang bertamadun. Rakyat Jepun yang berilmu itulah yang mengembangkan bahasa ekonomi Jepun. Sebelum itu bahasa ilmu terkepung di kalangan elit. Negara bangsa pada waktu itu berguna hanya kepada peribadi saja. Penggunaan bahasa Jepun menukarkan sifat bahasa Jepun itu dengan cepatnya menjadi manfaat masyarakat di Jepun. Ilmu dan bahasa mula membolehkan orang-orang Jepun mencipta alat-alat baru, proses-proses baru, bahan-bahan baru, hasil-hasil tanaman baru, teknik-teknik baru, dan apa-apa saja yang sekarang kita kenali sebagai teknologi Jepun. Minda Jepun mencipta bangsa dan bahasa bertamadun nukleus, bukan pinggiran atau bahasa ongkang. Apabila penulis menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan ilmu pendidikan, penulis tidak dapat mengisi minda, penulis dengan ilmu yang bebas daripada budaya minda bahasa pinjaman tersebut. Bahasa pinjaman akan membina minda menurut kerangka bahasa pinjaman itu. Keaslian minda penulis pun hilang. Sepandai-pandai orang yang belajar melalui bahasa pinjaman itu tidak akan mampu membina minda seasli penutur asli bahasa pinjaman itu. Minda masyarakat yang dididik melalui bahasa pinjaman akan menjadi minda pinggiran kepada minda masyarakat bahasa pinjaman. Minda pinggiran ini juga menjadi pinggiran kepada minda bangsanya sendiri. Minda pinggiran itu akan sentiasa memandang rendah kepada minda bangsanya, tetapi ia tidak pula tergolong kepada minda pusat bahasa pinjaman itu. Dia akan hanya menjadi minda yang tercabut daripada minda bangsanya, tetapi tidak pula diterima sepenuhnya ke dalam minda bahasa pinjaman. Ekologi bahasa apakah yang penulis maksudkan dengan ekologi bahasa? Penulis hanya memerlukan analogi atau kiasan. Lihat sebuah contoh, katakan ekologi ikan. Ikan ada ekologi kitaran hayatnya, sekitaran tempat ia hidup, makanan, binatang lain yang menjadi sokongan dan pemangsanya, dan udara. Apabila kita rosakkan ekologi, dan mencemari air yang didiami, ikan itu akan mati. Bahasa juga mempunyai ekologi. Ia ada penutur dan pendengar, ia ada fungsi, ia ada sekitaran hidupnya, ia ada maruah, ia ada martabat. Apabila kita menggugat mana-mana unsur ekologinya, ia juga menggugat kedinamikan bahasa itu. Membuang fungsi menyampaikan sains dan teknologi daripada bahasa kebangsaan kita adalah undi tidak percaya kepada bahasa Melayu. Inilah satu-satunya fungsi yang memberi maruah kepada bangsa Melayu. Apabila fungsi itu ditiadakan, maruah bahasa Melayu juga jatuh. Hal ini juga melibatkan maruah jati diri orang Melayu. Apabila ia sudah mampu mengungkapkan ilmu dan teknologi tinggi, mampu menggerakkan pentadbiran negara, menguruskan perdagangan, dan menjadi wahana diplomasi, maka dewasalah bahasa itu. Sekiranya mana-mana fungsi ini ditiadakan, bahasa Melayu tidak akan dewasa. Apabila ekologinya tergugat, bahasa itu tidak akan menjadi dewasa. Bahasa yang baru saja memegang fungsi menyampaikan ilmu itu terpaksa mengimport ilmu daripada bahasa lain. Strategi yang berkesan ialah terjemahan. Itulah yang berlaku apabila Farsi mengimport ilmu dari India, Arab Islam dari Farsi dan Yunani, Eropah dari Arab, dan Jepun dari Barat. Tetapi, proses membina ilmu bahas melalui terjemahan ini tidaklah natural. Selepas bangsa itu maju,ia perlu menjana ilmunya sendiri, dan mengungkapkannya dalam bahasanya sendiri. Inilah yang berlaku kepada Jepun dan Eropah yang membolehkan mereka mengekalkan kemajuannya. Proses meningkatkan martabat bahasa itu berlaku serentak dengan pembangunan bangsa. Sejarah membuktikan bangsa dan bahasa membangun serentak, dan bukannya satu mendahului yang lain. Majukan bangsa dulu dan kemudian bahasanya juga turut maju, tidak berlaku dalam sejarah pembangunan tamadun manusia. Apabila maruahnya kita jatuhkan, bahasa itu tidak akan perkasa lagi. kita sering membuat kenyataan bahawa bahasa Melayu sudah mantap. Oleh itu ia tidak perlu digunakan dalam pendidikan, dan ia tidak diketepikan. Kita tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kepada bahasa Melayu akibat tindakan ini. Penulis mengambil satu contoh saja, iaitu, bagaimana bahasa Hawaii pupus, dan sekali gus bagaimana bangsa Hawaii luput dan kehilangan maruah. Pada tahun 1820 Ratu Kamehameha I menerima guru Inggeris masuk ke pulaunya. Dia didesak oleh peniaga-peniaga asing berbahasa Inggeris supaya mendirikan Ratu Kamehameha III memutuskan supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar pendidikan. Golongan bawahan Rakyat yang menjadi majoriti mahu mempertahankan bahasa Hawaii. Tetapi mereka kalah kepada golongan elit yang terdiri daripada orang Hawaii berbahasa Inggeris dan kaum haole kacukan. Alasan mereka ialah Supaya bahasa Inggeris diajar kepada seluruh rakyat, dan ini sekali gus Membuka sumber ilmu yang luas kepada mereka Bingham, ( 1848 : 44 ). Seorang ahli sejarah, Reinicke ( 1969 : 70-71 ) melaporkan, pada tahun 1848 ada 624 sekolah berbahasa Hawaii dengan murid seramai 19,644 orang. Pada masa itu hanya ada 7 sekolah Inggeris swasta dengan murid seramai 200 orang. Pada tahun 1893 semasa Ratu Liliuo kalani digulingkan oleh peniaga dan pengusaha ladang Amerika yang berbahasa Inggeris, hanya tinggal 28 sekolah Hawaii dengan 552 murid. Sekolah Inggeris Kerajaan meningkat menjadi 140 buah dengan murid seramai 10,160 orang. Pada 1902 semua sekolah berbahasa Hawaii pupus. Hilanglah bahasa Hawaii dari buminya sendiri. Apabila bahasa pupus, bangsanya juga pupus maka hilanglah juga maruah diri. Bangsa Hawaii tidak wujud lagi. Mereka hanya menjadi bangsa serpihan kepada bangsa Amerika. Setiap bahasa mempunyai ekologi sendiri. Ikan mempunyai ekologi, persekitaran, air, makanan, binatang lain yang hidup bersamanya.
KESIMPULAN
Memandangkan perbincangan di atas, maka penulis melihat korelasi di antara penutur dan pendengar bahasa pengantar pendidikan, bahasa pentadbiran, pembinaan ilmu, kreativiti bangsa, dengan pembangunan negara bangsa. Bahasa bukan setakat digunakan sebagai tali perhubungan dalam komunikasi seharian, tetapi ia juga menggambarkan akar umbi masyarakat sesebuah negara daripada segi adat-istiadat, dan sosio serta budaya kehidupan mereka. Justeru, bahasa ibunda amat penting bagi meneruskan kelangsungan bangsa seperti juga ketamadunan bangsa-bangsa lain di dunia yang turut mempunyai bahasa peninggalan warisan nenek moyang masing-masing. Bangsa akan pupus jika tiada usaha dilakukan bagi mempertahankan bahasa yang kini semakin dipinggirkan dalam banyak aspek. Bangsa mungkin akan pupus suatu masa nanti. Tragedi itu akan berlaku apabila pada ketika itu, kita sudah tidak menghiraukan lagi tentang bahasa sendiri. Pupus bahasa maka akan pupuslah juga bangsa. Pada ketika itu juga, akan terjadilah suatu malapetaka yang dahsyat ke atas bangsa. Jelasnya, pengabaian terhadap pemartabatan bahasa akan menyebabkan bangsa ini kehilangan arah hidup yang berasaskan ilmu, ketamadunan dan kesopanan yang telah dibina oleh nenek moyang mereka sejak sekian lama. Mungkin petikan kata-kata orang tua-tua dahulu seperti berikut mampu untuk menggambarkan tentang simptom yang akan dilalui oleh bangsa sesebuah negara sebelum mereka merasai tragedi tersebut yang bakal menimpa pada masa depan :
Tanda orang lupakan diri, tidak ingat lagi bahasa sendiri Tanda orang bodoh dan bebal, bahasa sendiri dia tidak kenal
Tanda orang bebal dan dungu, berbahasa sendiri ia malu
Apa tanda orang yang dungu, bahasa sendiri dia tidak tahu
Apa tanda orang yang malang, bahasa sendiri ia buang
Pihak kerajaan patut memandang serius pencemaran bahasa yang semakin banyak berlaku dalam bidang penulisan, filem, bahasa rojak, SMS dan sebagainya yang harus ditangani. Oleh itu penulis mengusulkan supaya bahasa Malaysia dikekalkan sebagai bahasa pengantar ilmu pada semua peringkat pendidikan dan dijadikan bahasa kebangsaan dalam urusan pentadbiran rasmi negara.Kerajaan patut mengambil langkah drastik supaya bahasa dijadikan sebagai bahasa pentadbiran di peringkat nasional dalam membina negara bangsa
BIBLIOGRAFI
Abdullah Hassan. (1997). Perancangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..
Arbak Othman. (2008). Modul BBM 520. Pembangunan Bahasa Melayu. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Asraf. (1996). Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Lohprint Sdn. Bhd.
Asraf. (1988). Sebutan Baku Bahasa Melayu Berdasarkan Prinsip Fonemik. Petaling Jaya. Sasbadi Sdn. Bhd. .
Awang Sariyan. (1984). Isu-isu Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Awang Sariyan. (1995). Sebutan Baku dan Ejaan Rumi. Selangor: Synergymate Sdn. Bhd..
Bahasa Othman. (2004). Tanda baca & Kata Sendi Nama. Selangor: Aneka Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Bahasa Othman. (2004). Rujukan Pantas. Selangor: Aneka Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Dewan Bahasa dan Pustaka - Jilid 4 Bil. 4 Disember 2004 - Halaman 705- 723 - Jurnal Bahasa. Diambil daripada “http://ms.wikipedia.org/wiki/ Bahasa Melayu”.
Farid M. On., & Ajid Che Kob. (1981). Pengaruh Bahasa Daerah Dalam Proses Pembelajaran Bahasa Malaysia Di Kalangan Pelajar – Pelajar Melayu.
Hashim Musa. (2009). Modul BBM 5203. Sosiolinguistik Lanjutan. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Kamus Dewan: edisi keempat..
Laman web “http:// Kadayan WikiApakianBahasa Melayu”.
Laman web Penerbit USM: Bahasa Melayu
Nik Safiah Karim. (1986). Bahasa Melayu Persoalan dan Pergolakan, Kuala Lumpur: Gateway Publishing House Sdn Bhd.
Nik Safiah Karim, dan dll. (2008). Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 152 .
Pungutan kertas kerja “Kongress Bahasa Melayu Sedunia” (1995

No comments:

Post a Comment