Sunday, 10 June 2012

KERANCUAN BAHASA MELAYU BAKU PELAJAR LUNDAYEH-S.M.D. Robert Y.W.P. Taringan [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Di sekolah, bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar dan dipelajari sama ada sebagai bahasa pertama ataupun bahasa kedua pelajar. Penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Lundayeh di SMK pengiran Omar, Sipitang agak lemah disebabkan pengaruh bahasa ibunda. Objektif kertas kerja ini adalah untuk mengenal pasti kerancuan sebutan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar-pelajar Lundayeh ketika mempelajari bahasa Melayu di sekolah. Selain itu, kertas kerja ini juga bertujuan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya masalah kerancuan tersebut serta kesannya terhadap pembakuan bahasa yang diperjuangkan oleh ahli-ahli bahasa hingga kini. Fenomena ini dikenali sebagai “pengaruh” yang boleh didefinisikan sebagai pemindahan unsur suatu bahasa kepada bahasa yang lain dalam pelbagai peringkat bahasa termasuk aspek fonologi. Berdasarkan telahan dan pemerhatian, kertas kerja ini cuba mendeskripsikan bentuk-bentuk perkataan bahasa Melayu yang dipengaruhi penggunaannya oleh penutur natif bahasa Lundayeh. Kertas kerja ini dijalankan dengan menggunakan kaedah kepustakaan kerana terdapat majalah, jurnal, tesis dan buku dijadikan bahan rujukan tambahan bagi menguatkan hujah yang ditulis dan fakta yang diperoleh. Selain itu, penulis juga menggunakan kaedah pemerhatian terhadap pelajar-pelajar berkenaan semasa proses pembelajaran di dalam mahupun di luar bilik darjah dengan mencatat dan merakamkan sebutan yang bercanggah dengan sistem sebutan baku. Kaedah temu bual juga digunakan iaitu menemu bual sendiri responden yang dipilih secara rawak. Soalan-soalan yang dikemukakan hanya berkaitan dengan kajian yang dijalankan. Dari segi batasan, skop kajian kertas kerja ini hanya memfokuskan kerancuan atau masalah penguasaan bahasa Melayu baku dari segi sebutan pelajar-pelajar Lundayeh di SMK Pengiran Omar, Sipitang, Sabah yang dipilih secara rawak. Aspek kerancuan yang ditumpukan hanyalah dari segi sebutan yang kemungkinannya mempengaruhi ejaan pelajar. Di samping itu, faktor-faktor yang menyebabkan kerancuan bahasa itu dibincangkan dan sekali gus menjelaskan kesannya terhadap proses pembakuan bahasa Melayu di negara ini. Kata kunci: Kerancuan bahasa, pengaruh, bahasa Lundayeh, pembakuan
PENDAHULUAN
Bahasa merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia, kerana dengan bahasa seseorang dapat menyampaikan mesej, kehendak, keinginan, buah fikiran, dan maksud tertentu kepada orang lain. Dengan bahasalah seseorang dapat berkomunikasi dan beradaptasi dengan orang lain. Mesej yang disampaikan dengan bahasa yang jelas memudahkan pemahaman seseorang untuk bertindak balas atau memberikan respons terhadap sesuatu komunikasi, kerana bahasalah yang memainkan peranan penting dalam membentuk komunikasi lisan dan tulisan yang baik dan indah atau sebaliknya. Raminah Sabran (1993:iii) mendefinisikan bahasa sebagai alat perhubungan yang penting dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa seseorang boleh berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, pengetahuan, mendapat maklumat, memahami orang lain dan sebagainya. Di Malaysia, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, Perkara 152. Bahasa Melayu digunakan dalam pertuturan dan juga dalam tulisan. Mengikut Dasar Pendidikan Negara, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa pengantar di sekolah kebangsaan dan menjadikannya sebagai mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah. Sejak tahun 2000, seseorang calon peperiksaan hanya layak mendapat sijil jika memperoleh gred lulus dalam mata pelajaran bahasa Melayu, yang kini disebut bahasa Malaysia. Di sekolah-sekolah, bahasa Melayu diajar dalam bentuk sebutan dan tulisan baku bagi membiasakan para pelajar menggunakan bahasa Malaysia yang betul. Namun, 50 tahun negara sudah merdeka, penggunaan bahasa Malaysia yang betul masih belum mencapai tahap yang membanggakan meskipun telah banyak usaha dilakukan bukan sahaja oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi juga agensi-agensi di sektor swasta. Kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang betul wujud di mana-mana sama ada dalam penggunaan lisan juga dalam bentuk tulisan. Ini disebabkan kurang keprihatinan pengguna bahasa itu sendiri untuk memperbaiki setiap kesalahan bahasa yang dilakukan atau membiasakan diri dengan bentuk-bentuk bahasa yang mematuhi peraturan sebutan dan tatabahasa. Kajian terhadap kesalahan penggunaan bahasa sudah banyak dijalankan sama ada di barat sejak tahun 1920-an, mahupun di Malaysia yang telah dijalankan sejak tahun 1970-an lagi. Misalnya kajian Koh Boh Boon pada tahun 1975 terhadap pelajar bukan Melayu yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan Malaysian Certerficate Education (MCE) yang didapati lemah dalam penggunaan imbuhan kata kerja dan kata nama (1975:31-33). Selepas itu, menyusul pula pengkaji-pengkaji yang lain. Kajian mereka lebih tertumpu kepada kesalahan morfologi, sintaksis, semantik, penanda wacana, dan tanda baca yang dilakukan bukan sahaja pelajar-pelajar sekolah, juga pelajar pra-siswazah dan guru-guru pelatih. Bagi mengatasi masalah ini, usaha pembakuan bahasa Melayu dilaksanakan dari segi sebutan, ejaan dan tatabahasa. Bahasa Melayu sebagai maruah bangsa dan negara terus berhadapan dengan cabaran berat sebagai tonggak ketamadunan bangsa. Usaha penyatuan masyarakat melalui pembakuan bahasa Melayu tidak mendapat sokongan yang memuaskan daripada semua lapisan masyarakat kerana keengganan individu belajar untuk menguasai bahasa Melayu baku yang dikatakan merumitkan penggunaannya. Ekoran dari itu, maka wujudlah istilah kerancuan bahasa Melayu, kecelaruan bahasa, pencemaran bahasa, kekacauan bahasa, kesalahan bahasa, kesilapan bahasa dan yang seumpamanya. Ini disebabkan keengganan dan kejahilan individu itu sendiri menggunakan bahasa Melayu yang betul sama ada dalam urusan formal mahupun informal dari segi sebutan, ejaan dan penggunaan tatabahasa yang tepat. Akhir daripada itu, muncullah penggunaan bahasa rojak dalam komunikasi yang menyalahi peraturan bahasa Melayu. Biasanya kesalahan bahasa yang berlaku ini adalah dalam kalangan penutur bukan Melayu atau penutur yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Bagi mereka yang menggunakannya sebagai bahasa kedua, mereka telah pun menggunakan bahasa pertama yang berbagai-bagai seperti bahasa Tamil, Mandarin, Brunei, Kadazan, Lundayeh, Murut, Kedayan, Bajau dan sebagainya. Oleh yang demikian, timbullah pelbagai masalah dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar bukan Melayu kerana gangguan bahasa ibunda mereka (Zamri, 2000). Menurut Corder (1981), kesalahan bahasa ini biasanya berpunca daripada penukaran, pengalihan, penghilangan sesuatu bahagian ujaran seperti bunyi, morfem, perkataan dan rangkai kata yang menyebabkan ayat yang dibentuk mengandungi kesalahan.
Kerancuan
Kerancuan didefinisikan sebagai keadaan rancu (tidak teratur dsb), kekacauan. Selain kerancuan atau kekacauan, kata yang sinonim dengan rancu ialah pencemaran bahasa, kesalahan atau kesilapan bahasa. Nik Safiah Karim (1986) mendefinisikan pencemaran bahasa sebagai penggunaan bahasa yang melanggar peraturan-peraturan bahasa yang telah dipersetujui, sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat. Kesilapan dalam penggunaan bahasa Melayu bukanlah perkara baharu. Za’ba menyebut kesilapan itu menyimpang daripada penggunaan umum yang biasa dipakai. Menurutnya lagi, kesilapan bahasa bukanlah satu pencemaran, tetapi sekadar menyimpang daripada peraturan-peraturan bahasa. Kerancuan, kecelaruan, kekacauan, pencemaran, kesalahan dan kesilapan yang mengacu kepada bahasa memberikan kita makna yang sama.
Bahasa Melayu Baku
Bahasa Melayu baku dapat didefinisikan dalam Kamus Dewan (2005:106) sebagai bahasa yang teratur dan mantap daripada pelbagai aspeknya seperti ejaan, bentuk kata, tatabahasa dan diterima oleh masyarakat sebagai norma penggunaan yang betul atau sahih, bahasa standard. Kata “baku” telah diperluas menjadi bahasa baku, pembakuan bahasa atau pembakuan yang membawa maksud yang hampir sama. Istilah pembakuan dimaksudkan sebagai satu usaha atau tindakan atau proses membakukan (menstandardkan). Manakala pembakuan bahasa didefinisikan oleh Awang Sariyan (1996:3) sebagai usaha, tindakan atau proses mengetengahkan bentuk bahasa yang benar dan yang dapat menjadi dasar ukuran.
Lundayeh
Lundayeh merupakan nama salah satu suku kaum peribumi minoriti di Sabah. Pada masa ini, suku kaum Lundayeh majoritinya menetap di daerah Sipitang, Tenom, Keningau, dan di daerah Beaufort. Sebahagian kecil pula berselerak di daerah-daerah lain seperti Kota Kinabalu, dan daerah Tawau (SMD Robert, 2008:109). Dari segi sejarah awal, kaum Lundayeh telah ada di Kepulauan Borneo sejak tahun 1,500 SM lagi yang telah berhijrah dari Selatan Negara China, dikenali sebagai Murut (Mat Zin Mat Kib, 2003:25). Semua dapatan kajian awal tentang asal-usul dan periode kedatangan orang Lundayeh ke Kepulauan Borneo adalah berkaitan secara langsung dengan suku kaum Murut meskipun dari segi bahasa kedua-dua suku kaum peribumi Sabah ini tidak ada persamaan leksikal. Suku kaum Lundayeh sebelum ini memilih kawasan pedalaman atau kawasan berbukit-bukau sebagai lokasi petempatan kerana budaya hidup mereka adalah mengusahakan pertanian bukit (huma) dan bergantung kepada hasil hutan untuk sara hidup mereka, sesuai dengan nama “Lun” yang bermaksud orang atau masyarakat, “dayeh” bermaksud lokasi petempatan di pedalaman, kawasan berbukit atau pergunungan dan di hulu sungai (SMD Robert, 2008:108). Di daerah Sipitang, terdapat beberapa buah perkampungan Lundayeh yang terletak jauh dari kawasan pekan seperti Kampung Long Pasia, Kampung Long Mio, Kampung Mendulong, Kampung Solob, Kampung Tunas Baru, Kampung Ulau, Kampung Samin dan Kampung Kaban. Biasanya, pelajar-pelajar Lundayeh yang berasal dari kampung ini akan ditempatkan di Asrama Sekolah atau Asrama Yayasan Sabah kerana jarak yang jauh tidak mengizinkan mereka ulang-alik ke sekolah. Dari segi bahasa, suku kaum Lundayeh ini menggunakan bahasa Lundayeh dalam perhubungan seharian. Namun dalam sesetengah keluarga, ada ibu bapa yang memilih menggunakan bahasa Melayu sebagai pertuturan harian di rumah yang mana bahasa Melayu telah dijadikan bahasa pertama sementara bahasa Lundayeh sebagai bahasa kedua. Dalam aktiviti-aktiviti keagamaan atau sosial, orang-orang Lundayeh sendiri menggunakan bahasa Melayu rojak dalam pertuturan.
KERANCUAN BAHASA MELAYU BAKU DISEBABKAN PENGARUH SEBUTAN BAHASA LUNDAYEH
Kerancuan bahasa berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya pengaruh daripada bahasa ibunda yang wujud di sekitarnya. Penggunaan bahasa ibunda yang bercampur aduk dengan bahasa Melayu menghalang usaha pembakuan bahasa Melayu seperti yang dikehendaki. Sebelum melihat lebih jauh bentuk kerancuan yang berlaku dalam sebutan dan ejaan perkataan pelajar-pelajar Lundayeh, elok juga kita perhatikan vokal dan konsonan yang terdapat dalam bahasa Lundayeh. Vokal dan Konsonan Bahasa Lundayeh Terdapat 6 vokal dalam bahasa Lundayeh iaitu tiga vokal depan, satu vokal tengah dan dua vokal belakang. Kajian Asmah (1985:45) juga mendapati 6 vokal dalam bahasa Lundayeh. Nampaknya vokal bahasa Lundayeh sama dengan vokal asli bahasa Melayu iaitu, vokal /a/, /i/, /o/, /u/, /e/ dan /ә/. Tetapi apa yang agak berbeza, semua vokal bahasa Lundayeh yang terletak di posisi akhir kata (kecuali vokal /ә/) boleh mengalami glotalisasi dengan ciri bunyi [?] sebagai unsur sekunder (SMD Robert, 2008:110).
Perhatikan carta vokal dalam bahasa Lundayeh (Jadual 1).
Kedudukan Lidah Depan Tengah Belakang
Sempit i u
Separuh Sempit e[é] o
Separuh Luas e[ә]
Luas a
Jadual 1
Konsonan asli bahasa Lundayeh pula berjumlah 19 konsonan yang terdiri daripada 7 konsonan letupan (plosif), 2 konsonan letusan (afrikat), 3 konsonan geseran (frikatif), 1 konsonan getaran, 1 konsonan sisian (lateral), 3 konsonan sengauan (nasal), dan 2 konsonan separuh vokal (semi-vowel). Konsonan Bahasa Lundayeh terdiri daripada /b,d,g,p,t,k,?,j,č,m,n,ŋ,f,s,h,r,l,w,y/ (SMD Robert, 2008: 113).
Perhatikan carta konsonan dalam Jadual 2 di bawah. .
Cara Penyebutan Daerah Penyebutan
Dua Gusi Lelangit Lelangit Lelangit
Bibir keras-gusi Keras lembut glotal
Letupan (Plosif)
Bersuara b d g
Letupan (Plosif) Tak
Bersuara p t k ?
Letusan (afrikat)
Bersuara j
Letusan (afrikat) Tak
Bersuara č
Sengauan (nasal) m n (ng)ŋ
Geseran (frikatif) f s h
Getaran r
Sisian (lateral) l
Separuh vokal w y
Jadual 2
Dapatan Tentang Masalah Sebutan Baku
Sebutan baku merupakan sebutan yang seragam, iaitu sesuatu yang diucapkan secara yang sama oleh semua masyarakat penutur sesuatu bahasa itu. Menurut Raminah Sabran (1993:40) pembakuan atau penyeragaman dari segi sebutan ini amat penting dalam konteks penggunaan bahasa Malaysia pada masa ini. Pengaruh sistem sebutan bahasa ibunda, dialek-dialek dan penggunaan bahasa asing merosakkan keseragaman itu, malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelajar yang belajar bahasa Melayu ini sebagai bahasa kedua. Pelajar-pelajar Lundayeh yang belajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua cenderung melakukan kesilapan dari segi sebutan dan ejaan kerana dipengaruhi oleh sistem sebutan bahasa ibunda. Antara kesilapan yang biasa berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar Lundayeh ialah pengaruh hentian glotis, kata-kata yang mengandungi vokal e – a; e – u; e – o: dan o – e dalam satu kata, pengguguran atau penghilangan bunyi konsonan /h/ pada akhir kata, penggantian frikatif dental /z/ dan frikatif palatal-dental /š/ serta penyebutan kata pinjaman mengikut keselesaan.
Hentian Glotis
Bahasa Lundayeh mempunyai beberapa ciri khas yang agak berbeza daripada ciri-ciri bahasa Melayu. Misalnya hentian glotis yang berlaku pada vokal yang berada di posisi akhir disebabkan oleh penyempitan pita suara. Glotalisasi ini boleh membezakan makna dua kata yang sama. Misalnya /ina/ yang bererti tadi dan /ina?/ yang bererti emak atau ibu dalam bahasa Lundayeh. Sebutan perkataan bahasa Melayu menjadi salah akibat kebiasaan sebutan hentian glotis ini. Misalnya:
dua disebut /dua?/
saya disebut /saya?/
bunyi disebut /bunyi?/
lori disebut /lori?/
baju disebut /baju?/
pandu disebut /pandu?/
Kehadiran vokal e – a; e – u; e – o: o – e dalam satu kata
Rangkaian kata yang mempunyai vokal e – a; e – u; e – o dan o – e selalunya disebut dengan sebutan yang salah. Misalnya perkataan-perkataan berikut:
kedai disebut /kadai/ dieja kadai
bedak disebut /bada?/ dieja badak
pekan disebut /pakan/ dieja pakan
belajar disebut /balajar/ dieja balajar
meja disebut /mija/ dieja mija
boleh disebut /bulih/ dieja bulih
sekolah disebut /səkula?/ dieja sekula /sikula?/
Pengguguran huruf konsonan /h/
Konsonan frikatif glotis /h/ hanya wujud pada posisi akhir dalam bahasa Lundayeh. Namun berdasarkan sebutan pelajar-pelajar Lundayeh, didapati berlakunya pengguguran bunyi /h/ dalam perkataan-perkataan seperti berikut:
Sabah disebut /saba?/
gajah disebut /gaja?/
masih disebut /masi?/
jatuh disebut /jatu?/
hutan disebut /utan/
mahu disebut /mau?/
tahun disebut /taun/
Penggantian Frikatif Dental /z/ dan Frikatif Palatal-Dental /š/
Frikatif dental atau geseran gusi /z/ dan frikatif palatal-dental tak bersuara /š/ tidak terdapat dalam carta konsonan asli bahasa Lundayeh. Kesukaran menyebut konsonan ini menyebabkannya diganti dengan Letusan gusi lelangit keras bersuara /j/ dan geseran gusi /s/. Contoh perkataan-perkataan tersebut: zaman disebut /jaman/
beza disebut /beja/
ijazah disebut /ijajah/
syukur disebut /sukur/
syabas disebut /sabas/
syair disebut /sair/
Penyebutan kata pinjaman mengikut keselesaan
Dalam situasi tertentu penutur bahasa Lundayeh menyebut kata-kata yang dipinjam sama ada menyamai sebutan asal atau menyebut mengikut keselesaan. Ejaan pelajar adalah mengikut bunyi sebutan. Contohnya:
kereta disebut /kerita/ atau /karita/
dalam disebut /daləm/
malam disebut /maləm/
kecewa disebut /kəciwa?/
kerja disebut /kəraja?/ atau /karaja?/
sekolah disebut /səkula?/ atau /sikula?/
FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN KERANCUAN DAN KESANNYA TERHADAP PEMBAKUAN BAHASA MELAYU
Kerancuan bahasa Melayu berlaku disebabkan banyak faktor. Faktor-faktor ini mendatangkan kesan negatif terhadap usaha pembakuan bahasa Melayu di Negara ini. Usaha membendung masalah ini perlu dilakukan segera agar hasrat untuk memartabatkan bahasa Melayu tercapai. Untuk itu, adalah lebih baik kita mengesan faktor-faktor penyebab dan kesannya terhadap pembakuan bahasa Melayu. Faktor-faktor yang mempengaruhi kerancuan bahasa Kerancuan bahasa atau pencemaran bahasa di negara ini agar serius. Pelaksanaan bahasa Melayu baku tidak menampakkan kejayaan yang ketara kerana salah guna bahasa sama ada secara lisan mahupun bertulis masih berlaku. Kesalahan berbahasa Melayu akhirnya mencipta bahasa rojak yang meluas penggunaannya dalam komunikasi termasuk komunikasi secara formal. Para pelajar tidak dapat menggunakan bahasa Melayu yang betul kerana acuannya sendiri. Kenyataan ini disokong sendiri oleh Awang Sariyan (1994). Menurutnya, salah satu punca utama terjadinya kerancuan bahasa kita ialah wujudnya manusia yang bukan ahli tempat yang menentukan nasib bahasa Melayu itu sendiri. Wajarkah kita menyalahkan para pelajar yang lemah dalam penguasaan bahasa jika bahasa yang diajarkan memang bahasa yang kacau dan dijalankan pula oleh manusia yang belum benar-benar mahir dalam selok-belok bahasa? Tidak hairanlah orang-orang dewasa yang sudah mempunyai kerjaya masih tidak mampu menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Selain disebabkan oleh guru-guru yang kurang mahir tetapi mengajar bahasa Melayu, pertembungan pelbagai bahasa dan budaya lain dalam komunikasi juga mengundang kerancuan bahasa berlaku. Misalnya pengaruh daripada bahasa ibunda sebagai bahasa pertama pelajar yang digunakan sebagai pertuturan di rumah atau masyarakat suku kaum tersebut. Ditambah lagi dengan kejahilan penutur bahasa Melayu menggunakan bahasa Melayu yang betul mengikut sistem bahasa Melayu termasuk dalam penulisan, membuat bahasa Melayu benar-benar tercabar kewibawaannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Ada pula penutur yang mencampuradukkannya dengan bahasa Inggeris dengan tujuan supaya dipandang lebih elit dan berpengetahuan dengan tidak peduli langsung sebutan atau struktur ayat yang tepat mengikut tatabahasa Melayu, kerana yang penting pendengar memahami apa yang diucapkan. Tidak dapat dinafikan juga bahawa pengaruh bahasa ibunda dan bahasa asing merupakan penyebab penutur bahasa Melayu melakukan kesalahan bahasa. Kesalahan ini berlaku kerana istilah yang digunakan tidak tepat. Ditambah dengan tiadanya teguran untuk memperbaiki kesalahan itu, maka penutur menjadi biasa dengan kesalahan tersebut. Pengaruh media massa juga merupakan antara faktor terpenting yang menyebabkan kerancuan bahasa berlaku. Bahasa yang digunakan oleh radio, televisyen, atau akhbar tempatan sering menjadi ikutan pengguna bahasa. Ada istilah-istilah baharu yang diperkenalkan oleh pihak-pihak tertentu dalam majlis-majlis besar yang belum pasti kesahihannya dan menyalahi Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia oleh DBP yang sudah digariskan.
Kesan Kerancuan kepada pembakuan Bahasa Melayu
Kerancuan bahasa ini tidak dapat dinafikan lagi. Kerancuan itu berlaku di bandar mahupun di pelosok pedalaman atau di kampung-kampung. Kegagalan usaha pembakuan bahasa amat terasa kerana kurang penguatkuasaan dan pemantauan pihak-pihak bertanggungjawab. Menurut Hashim Musa (2009:23), kerancuan dan pencemaran bahasa boleh merosakkan keteraturan, kehalusan dan keintelektualan bahasa Melayu kerana menjejas sistem dan peraturannya menyebabkan kecelaruan dan ketidaktekalannya. Tambah beliau lagi, ini akan merosakkan martabat dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu tinggi yang akhirnya akan menurunkan maruahnya dan disisihkan sedikit demi sedikit oleh pengguna bahasanya. Berdasarkan contoh-contoh kerancuan yang telah dikemukakan di atas, sudah pasti kerancuan ini memberi kesan terhadap proses pembakuan bahasa Melayu. Selain maruah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercabar, bahasa yang telah membentuk asas jati diri rakyat negara Malaysia sedikit demi sedikit akan kehilangan peranannya kerana status dan penghormatan rakyat terhadap bahasa Melayu akan semakin luntur dan seterusnya terkubur. Ini bererti generasi Melayu akan datang akan mengetepikan bahasa ini yang mempunyai keunikan dan keindahannya yang tidak ternilai. Jati diri bahasa Melayu akan hilang, malah masyarakat Melayu akan lebih mengagungkan bahasa asing dan berasa malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu.
KESIMPULAN
K
Kerancuan bahasa merupakan fenomena biasa dalam perkembangan sesuatu bahasa. Dalam kes yang melibatkan pelajar-pelajar Lundayeh ini, kecelaruan itu berlaku terhadap sebutan dan ejaan bahasa Melayu kerana pengaruh kebiasaan sebutan dalam bahasa Lundayeh itu sendiri terutamanya mereka yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Fenomena sementara ini kurang berlaku terhadap pelajar Lundayeh yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama. Selagi mereka mempunyai keinginan untuk belajar dan berusaha untuk memperbaiki kesilapan bahasa mereka, selagi itulah ada harapan yang cerah bagi mereka menjadi penutur bahasa Melayu yang mantap suatu masa nanti. Yang penting usaha memperbetul setiap kesalahan bahasa dilaksanakan berterusan oleh guru-guru bahasa di sekolah dengan menggunakan teknik pengajaran yang bersesuaian dengan kelemahan pelajar. Selain peranan guru, pelajar-pelajar juga perlu berusaha bersungguh-sungguh mengatasi kelemahan berbahasa mereka. Kelemahan yang tidak diperbaiki akan mengakibatkan mereka gagal dalam peperiksaan dan boleh menjejaskan masa depan mereka.
BIBLIOGRAFI
Asmah Hj. Omar (1985). Susur Galur Bahasa Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan (1996). Sebutan Baku dan Ejaan Rumi. Selangor: Synergymate Sdn Bhd.
Corder, S.P, (1981). Error analysis and interlanguage. Oxford: Oxford University Press.
Hashim Musa (2009). Modul Sosiolinguistik Lanjutan. Serdang: Universiti Putera Malaysia
Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mat Zin Mat Kib (2003). Kristian Di Sabah. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nik Safiah Karim (1986). Bahasa Melayu Persoalan dan Pergolakan. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House Sdn Bhd.
Raminah Hj Sabran (1993). Kecekapan Berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd
SMD Robert YWP Taringan (2008). Fonologi Bahasa Lundayeh di Sabah. Jurnal Bahasa, Jld 8 Bil.1 Jun 2008. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zamri Mahamod (2000). Pemindahan bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua. Jurnal Dewan Bahasa, 44(5).

7 comments:

  1. Selamat petang cikgu, boleh saya tanya tentang tahun hasil artikel ini dan penulis ini. Bukan cikgukah?Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. cikgu, bukan pelajar lundayeh saja yang ad masalah dengan bahasa melayu ini. semua pelajar sama saja bah.

    ReplyDelete
  3. sebagai contohnya ; ada yang eja perkataan 'Kau' = 'kaw'. 'saya'= 'saye'. 'kereta'='keta' and many more. so, please don't mention about 1 nation only. I really mean it.

    ReplyDelete
  4. "karita, kadai" pun murut, kadazan, dusun, kadayan semua bangsa pelajar sebut bah.

    ReplyDelete
  5. kalau nak ajar orang bahasa melayu, janganlah nak mention bangsa-bangsa orang yang lemah. bukan nak judge, tapi teach them how to speak, write in malay.

    ~Don't judge the book by its cover~

    ReplyDelete
  6. ya. betul kata mereka yang sudah comment diatas.apakah perasaan pelajar yang berbangsa lundayeh jika mereka terbaca blog ni? hal ni boleh menyebabkan perbalahan kaum. saya pasti kamu tidak mahu hal ini terjadi di sipitang. so, please. remove this from your blog for your own and your hometown good. :)

    ReplyDelete