Saturday, 9 June 2012

BAHASA MELAYU ASAS PEMBINAAN TAMADUN MELAYU- Su bin Awang Teh[ diselenggarakan oleh Rozali Rajab]

Abstrak
Bahasa merupakan satu unsur yang membentuk akal budi setiap individu dalam suatu kelompok masyarakat. Bahasa merupakan pencatat, perakam. penyebar dan pewaris khazanah ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan sesuatu bangsa dan tamadun. Bahasa memerlukan budaya bagi mengeratkan hubungan jiwa dan emosi pembentukan masyarakat. Gabungan unsur ini mampu membentuk jati diri yang kukuh, padu dan utuh bagi sesuatu kelompok manusia sebagai asas pembinaan tamadun. Kertas kerja ini akan membincangkan bahasa Melayu berbagai-bagai asas pembinaan tamadun Melayu. Ia meliputi tiga unsur iaitu persepsi sejarah kebudayaan, persepsi perbandingan bahasa dan budaya, dan bahasa Melayu dalam politik kebangsaan. Bahasa adalah jiwa kepada bangsa Melayu yang kini berkembang menjadi kekuatan kesatuan bangsa dalam pembinaan negara-bangsa di Malaysia.
PENDAHULUAN
Bahasa dan budaya adalah bidang utama kekuatan bangsa dan ianya saling melengkapi dalam pembangunan dan pembinaan negara bangsa. Bahasa yang mampu berkembang menangani perubahan keperluan dan tuntutan baru peradaban manusia akan mampu membina tamadun umatnya. Keterikatan dan kesetiaan pada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa negara boleh menyemaikan semangat kekitaan dan kesetiakawanan. Bahasa Melayu, baik sebagai bahasa komunikasi mahupun bahasa ilmu, dapat berperanan lebih utuh dalam program kebahasaan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang saling tunjang-menunjangi dan saling melengkapi. Bahasa merupakan wahana pengucapan kebudayaan tinggi sesebuah peradaban bangsa. Dengan kata lain, bahasa adalah tonggak ampuh yang dapat mendukung jati diri sesuatu bangsa. Sejarah perjuangan bangsa mulai awal abad ke-20 menunjukkan cita-cita mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan, bahasa pengantar dan bahasa utama dalam sistem pendidikan negara. Sejarah perjuangan bangsa mulai awal abad ke-20 menunjukkan cita-cita mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi Negara, bahasa perpaduan, bahasa pengantar ilmu pengetahuan dan bahasa utama dalam pendidikan Negara. Gerakan menjadi salah satu gerakan politik yang sesungguhnya ingin pengisian kemerdekaan Negara ditunjukkan oleh sebuah pembinaan Negara-bangsa. Bahasa adalah bidang utama kekuatan bangsa dan pengucapan kebudayaan Bahasa yang mampu berkembang menangani perubahan keperluan dan tuntutan baru peradaban manusia akan mampu membina tamadun umatnya. Terdapat tiga persepsi tentang bahasa dan budaya dalam tamadun Melayu. Pertama, persepsi sejarah kebudayaan kerana selama ini, sejak dua ribu tahun yang lalu, bahasa Melayu terbukti wujud, kekal hidup, berkembang dan sentiasa terbuka untuk berubah mengikut arus perubahan kebudayaan rantau ini. Kedua, persepsi perbandingan bahasa dan pembinaan tamadun manusia oleh pelbagai bahasa dan bangsa dunia. Ketiga, isu dan masalah bahasa dan budaya dalam sejarah perjuangan politik kebangsaan dan serantau di Nusantara yang menjadi sebahagian daripada cita-cita gerakan dan perjuangan kebangsaan terutama di Indonesia dan Malaysia. Persepsi barunya ialah keperluan pengembangan bahasa Melayu dan kebudayaan kebangsaan dalam pembinaan tamadun baru bangsa Malaysia. Kajian ini bertujuan untuk membincangkan persepsi sejarah kebudayaan dalam asas pembentukan tamadun dan pembinaan negara-bangsa di Malaysia. Selain itu kajian ini turut menghuraikan persepsi perbandingan bahasa dan budaya dalam asas pembentukan tamadun dan pembinaan negara-bangsa di Malaysia serta menjelaskan bahasa dalam politik kebangsaan sebagai asas pembinaan tamadun dan pembinaan negara-bangsa di Malaysia. Tumpuan kajian ini dibuat hanya adalah meliputi bahasa sebagai asas pembinaan tamadun yang merangkumi persepsi sejarah kebudayaan. persepsi perbandingan bahasa dan pembinaan tamadun manusia oleh pelbagai bahasa dan isu dan masalah bahasa dan budaya dalam sejarah perjuangan politik kebangsaan
Persepsi Sejarah Kebudayaan
Persepsi sejarah peradaban manusia memperlihatkan kekuatan sesebuah tamadun dan hidup matinya tamadun itu terikat pada keupayaan bahasanya. Kekuatan yang sama terpancar dalam sejarah kebudayaan dan perkembangan bahasa Melayu. Kekuatan sedemikian patut terus terpancar dalam sinar kekuatan bangsa dan program pembangunan bahasa kini. Kekuatan sejarah sentiasa dirujuk kepada kekuatan serumpun yang memiliki segala kekayaan. Sejarah ketamadunan wilayahnya menyaksikan kronologi peradaban yang bermula dari prasejarah, menempuhi ujian dengan kedatangan pengaruh peradaban Hindu-Buddha, kemunculan Melaka sebagai sebuah Empayar serta pusat tamadun dalam segenap bidang, terbinanya keperibadian baru dengan kedatangan Islam dan menghadapi konflik nilai sosial pada zaman kolonial. A. Aziz Deraman ( 2000) menyatakan Valentyn , seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda dalam penulisan enam jilidnya mengenai segala catatan sejarah di pelabuhan kepulauan Melayu katanya :
Bahasa mereka, iaitu Bahasa Melayu…… bukan sahaja digunakan di pantai Tanah Melayu bahkan juga di seluruh India dan negeri-negeri sebelah Timur. bahasa ini adakah sebagai bahasa Perancis atau Latin di Eropah ataupun macam bahasa perantaraan di negeri Itali atau Lavwnt. Oleh sebab banyaknya bahasa ini digunakan maka seseorang yang bertutur dalam bahasa Melayu akan dapat difahami orang baik pun dalam bahasa Parsi (Persia) ataupun Filifina.
Petikan di sebelah adalah salah satu catatan tentang kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu pada zaman lampau yang dengan sendirinya menggambarkan kemajuan tamadun Melayu sezaman. Catatan sebelum Valentyn juga menunjukkan kepentingan bahasa Melayu dalam sejarah perhubungan Timur-Barat. Antonio Pigafeta menyusun daftar kata Melayu-Itali pada tahun 1522 yang diperoleh melalui pelayarannya selama tiga tahun di Kepulauan Melayu. Beliau belayar bersama-sama dengan Ferdinand Magellan ke Kepulauan Filifina dan Maluku pada tahun 1519. Daftar kata Melayu sebanyak 400 perkataan itu merupakan kamus pertama Melayu-Itali yang diberi nama pada mulanya Vokabel De Quedti Populi Mori. Catatan Jan Huyghen Van Linechotten, orang Belanda yang pernah tinggal di Indonesia sebagai bahasa antara tahun 1586 hingga 1592 menyatakan bahasa Melayu bukan sahaja amat harum namanya pada masa itu, bahkan dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati di sebelah Timur. Orang yang tidak tahu bahasa Melayu pada masa itu dibandingkan dengan orang tidak tahu bahasa Perancis di Belanda pada zaman tersebut. Bahasa Melayu dikenali di kalangan orang Cina Kun Lun dan di kalangan orang Hindu disebut sebagai bahasa Dwipantara sejak abad abad pertama Masihi. Bahasa Melayu telah digunakan pada abad keempat Masihi sebagai bahasa catatan sejarah seperti yang tertera di batu bersurat di Campa. Bangsa Melayu Campa menggunakan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi bagi mencatat ajaran ajaran moral dan agama yang ada pada waktu itu seperti yang dapat disaksikan pada batu bersurat Dong Yen Chau di Teluk Tourane, Vietnam selatan. Batu bersurat lain bertarikh abad ke sembilan, yang terdapat di Phu-thuan-Mison Chempe mencatatkan Raka Indrawarman raja Negara Campa pada zamannya telah melepaskan sebuah biara daripada cukai tanah dan menyeru rakyat supaya mengabadikan ajaran agama. Sementara itu prasasti yang lain menyeru rakyat supaya jangan memberontak terhadap kedaulatan Seriwijaya kerana dengan berbuat demikian mereka akan dimakan oleh sumpah sendiri. Suatu hal yang menarik lagi ialah bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa kuliah agama Buddha di sebuah pusat pengajian di Seriwija pada abad ketujuh. Pendeta Cina I Tsing mempelajari bahasa Melayu pada tahun 673 Masihi di Seriwijaya untuk mempelajari falsafah agama Buddha. Manakala mengikut Abu Bakar Ibrahim al-Hamdani yang terkenal dengan nama Ibnu al-Fakih dalam kitabnya al-Buldan, “orang di Seriwjaya selain menggunakan bahasa Melayu sudah dapat bercakap dengan menggunakan bahasa Arab dengan fasih, begitu juga bahasa Farsi, Greek dan Hindu. Setelah kedatangan Islam, penyebatian unsur peradabannya memberi kesan untuk menghasilkan sifat asasi dan keperibadian kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu berkembang dan muncul ahli fakir Melayu dan alim ulama besar. Kedudukan bahasa Melayu amat penting kerana kini bahasa Melayu mendapat taraf nilai bahasa tinggi dan menjadi lingua franca bagi seluruh daerah alam Melayu, terutama zaman kegemilangannya. Bahasa Melayu mula menjadi bahasa yang penting kepada kerajaan yang besar seperti Aceh dan Melaka. Peranan bahasa dan kesusasteraan Melayu kian penting. Islam menjadikannya sebagai bahasa umum yang diolah dan diperkenalkan penyatuannya melalui tulisan jawi yang merupakan tulisan antarabangsa yang amat praktik dan senang dipelajari. Ribuan manuskrip dan hasil persuratan Melayu sejak awal kedatangan Islam. Tamadun Melayu Islam lahir dengan pesat dan melahirkan ahli falsafah, ahli fakir, ulama, penulis dan penyair tempatan kerana didorong oleh kreativiti semula jadi bangsa Melayu. Kita dapat membicarakan tokoh seperti Syeikh Abdul Rauf singkel, Syeikh Nuruddin ar- Raniri, Muhamad Zain bin al-Faqih Jalaluddin dari Acheh, Syeikh Muhammad Arshad Banjar, Syeikh Muhammad Khatib dari Minangkabau, Syeikh Muhammad bin Ismail dari Patani, Syeikh Abdul Malik bin Abdullah, Mohd Yusoff Kenali dan Syeikh Ali Kutan dari Kelantan. Kita dapat mengkaji pemikiran dan kebudayaan Melayu melalui karangan mereka. Bahasa Melayu kemudian diperkaya bukan sahaja dengan kitab atau hasil bersifat agama tetapi kemudiannya roman, hikayat, ilmu falsafah, sejarah dan lain-lain. Apabila Inggeris memperkenalkan sistem pendidikan dan pelajaran baru, lahirlah golongan terpelajar anak negeri yang terdidik secara barat. Kemerdekaan pula membuka peluang yang seluas-luasnya bagi seluruh rakyat memperoleh pendidikan dan terlibat dalam persoalan politik, ekonomi, kesenian, kesusasteraan dan falsafah. Selepas itu berlaku perkembangan bidang kesusasteraan seperti penulisan novel, drama, sajak, esei dan kritikan sastera. Perubahan mungkin berlaku kerana perubahan sejarah dan politik, seperti geopolitik selepas zaman kolonial dan kemerdekaan, mencorakkan munculnya negara baru, tetapi sebenarnya tidak memisahkan asas kebudayaannya. Rantau geografi yang luas ditandai pula keluarga bahasa Melayu-Austronesia atau ikatan rumpun Melayo-Polinesia yang berkembang melalui asas perjalanan budaya yang hamper-hampir sama yang memukau perhatian. Pengaruh budaya asing disesuaikan tanpa melenyapkan asas keserumpunan atau memusnahkan bahasanya yang menjadi penerus tamadun.
Persepsi Perbandingan bahasa dan Budaya
Pembinaan tamadun manusia oleh pelbagai bahasa bangsa dunia cukup terbukti. Kekuatan tamadun Greek-Roman lumpuh kerana kemalapan bahasanya. Walaupun pada suatu masa berkembang luas membangunkan peradaban empayarnya. Bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol dan bahasa Peranchis tersebar luas kerana pengaruh kolonialisme mereka hampir sama di semua benua. Bahasa itu terus bertahan di Amerika Latin, Afrika dan Asia. Penerokaan dan penjajahan tidak kurang juga menyebabkan perpindahan bangsa Eropah dan kewujudan negara baru yang dibina dan dikuasai oleh mereka, seperti Amerika Utara, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan sehingga kehadiran mereka hamper-hampir meranapkan pembinaan kebudayaan tempatan. Bahasa juga menjadi asas pembinaan dan pengembangan tamadun cina. Warisan kebudayaan tinggi dan ilmunya masih boleh dirujuk hatta kepada peninggalan ribuan tahun yang lalu. Warisan itu masih boleh dikaji dan penciptaan baru terus dilakukan melalui tradisi Mandarinnya. Penyatuan lisan dan pengucapan bahasa yang berlaku sejak Sebelum Masihi menjadikan cina kekal sebagai sebuah tamadun besar dunia. Bahasa sukuan yang melebihi 50 dialek kelompok kecil menjadikan tidak begitu penting dalam proses pembinaan tamadun yang berterusan kerana sumbangan masing-masing tetap ada. Sungguhpun Cina tertutup melebihi setengah abad setelah beralih kepada komunisme, kehidupan budaya dan tamadunnya melalui bahasa yang sama masih terpelihara. Ilmu yang penting kekal tersimpan, tertulis dan dikaji. Kajian dan pentafsiran baru telah dilakukan. Bahasa Arab juga tidak terkecuali Sejarah kegemilangan tamadun Islam dari abad ke tujuh hingga tiga-belas bukan sahaja ditandai oleh wilayah demografi bahasa Arab yang meliputi Asia Barat hingga ke Afrika Utara. Tamadun Islam tersebar kerana pengaruh bahasa Arab tersebut melampaui Eropah Selatan dan berpengaruh hingga Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara. Di Asia Tenggara bahasa Arab menjadi pelengkap kepada bahasa Melayu dan menyebabkan bahasa Melayu mampu menjadi salah satu bahasa pengucapan Islam bermula dengan Melaka, diikuti oleh Jawa. Senario baru perkembangan bahasa Inggeris disebabkan oleh kemaman kemajuan sains dan teknologi, turut di alami, turut di dalami oleh bahasa Jepun, bahasa Korea dan bahasa Mandarin. Pada masa depan bahasa Melayu dijangka mempunyai peluang yang sama. Bahasa Melayu akan ikut mampu menjadi salah satu bahasa antarabangsa abad ke 21. Sekiranya secara sedar kelahiran Malaysia sebagai sebuah negara maju berjaya diterjemahkan ke dalam acuan sendiri dan didukung bersama oleh negara berbahasa Melayu yang lain. Keperluan masa kini mungkin tidak dapat disamakan dengan apa-apa yang terjadi ratusan tahun yang lalu. Sejarah tamadun Melayu memperlihatkan keperluan berbahasa adalah mengikut keperluan semasa. Tidak ada bahasa yang lain boleh mengasaskan pembinaan tamadun yang berlainan kecuali penyataan jiwa jauh berbeza. Mengambil iktibar daripada bahasa Greek-Roman, tidak mungkin bahasa Melayu akan mengalami nasib sedemikian rupa sekiranya perancangan usaha dan cita-cita pembangunnya sentiasa dimajukan.
Bahasa dan Dalam Politik Kebangsaan
Sejarah perjuangan politik kebangsaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional atas sifat kebangsaan dan kenegaraan. Perjuangan bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan politik kemerdekaan tanah air. Peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu 1957 dan apabila bahasa Melayu dikanunkan dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan Malaysia 1971, sekali gus meletakkan kepentingan bahasa Melayu sebagai teras pembinaan negara bangsa berlandaskan rasional dan prinsip sebagai bahasa ikatan kebahasaan dan keserumpunan rakyat asal rantau ini. Selangkah demi selangkah bahasa Melayu mengambil tempat dalam pembinaan bangsa baru Malaysia dan menjadi bahasa penting di Asia Tenggara. Ada kebimbangan di kalangan pencinta bahasa Melayu terhadap ketidakmantapan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa intelektual. Penguasaan dalam bidang persuratan dan lisan oleh beberapa golongan tertentu yang sepatutnya lebih baik, dikatakan kian menurun dan tidak membanggakan. Peranan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu teras perjuangan nasionalisme dan simbol keperibadian kebangsaan tidak memperlihatkan kedudukan rasminya yang sebenar dalam kehidupan sosial dan politik kehidupan. Usaha untuk memodenkan dan memantapkannya sebagai alat pengucapan ilmu moden dan kejayaan ahli bahasa mendokumenkan pertumbuhannya dirasai di Malaysia. Namun kadangkala bahasa Melayu dipolitikkan untuk mencapai tujuan tertentu. Dalam aspek sejarah bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa kosmologi, baik dalam hubungan dengan alam fizik dan metafizik, agama dan teknologi semasa, mahupun dalam pelajaran, perdagangan, pertanian dan pembinaan. Bukti ini menunjukkan betapa bahasa Melayu mampu mendukung asas dan pembinaan tamadun Melayu. Kepesatan pembangunan ekonomi Malaysia di dalam negeri dan perkembangan ekonomi Malaysia di arena antarabangsa haruslah berserta dengan tanggungjawab pengembangan dan penggunaan bahasa Melayu. Tambahan pula dalam perkembangan pendidikan Malaysia telah menjadi tumpuan pelajar luar negara di pusat pengajian atau universiti awam mahupun swasta. Sokongan moral dan kebendaan yang lebih hendaklah datang dari semua sektor awam atau swasta. Sekiranya tidak wujud keinsafan di kalangan komuniti perdagangan, perindustrian, pengeluaran dan korporat maka ia tidak akan menembusi pasaran pengguna yang lebih luas apatah lagi ke pasaran antarabangsa. Demikian juga perubahan sikap dan nilai bangsa, apabila beralih kepada nilai budaya ekonomi melalui kegiatan perusahaan, perdagangan dan pertanian moden mestilah diimbangi dengan nilai budaya positif yang dikongsi bersama dalam pembinaan bangsa. Bahasa Melayu berhadapan dengan tuntutan zaman yang begitu cepat dalam pembangunan industri dan teknologi, kemajuan perdagangan dan kegiatan ekonomi serta perhubungan antarabangsa yang didukung oleh bahasa asing, terutama bahasa Inggeris. Terdapat juga keperluan penggunaan bahasa Inggeris dalam sektor industri canggih. Namun, bahasa Melayu tetap mampu mendukung kemajuan sains dan teknologi
PENUTUP
Kekuatan rohaniah dan jasmaniah sesuatu bangsa dan sesebuah negara banyak bergantung kepada bahasa. Bahasa adalah jiwa kepada bangsa Melayu yang kini berkembang menjadi kekuatan kesatuan bangsa Malaysia. Dalam kesibukan dan kegigihan kita membina negara menuju ke arah negara maju dan negara industri, salah satu aspek yang bersifat dalaman tidak boleh diabaikan. Andai kata bahagian ini terabai, kita akan kehilangan jati diri yang menjadikan sesuatu bangsa itu unik, bermaruah dan berdaulat. Bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak tamadun atau jati diri bangsa tidak boleh tersisih bahkan mesti diperkukuh dan diperluaskan peranannya dan ia mesti benar-benar berfungsi dalam era negara maju menjelang tahun 2020. Pembangunan dan kemajuan yang seimbang dan bersepadu tidak akan tercapai tanpa bahasa dan budaya. Pembangunan bangsa abad ke-21 akan menjadi tempang sekiranya anutan kita berat sebelah kepada bahasa semata mata dengan mengetepikan budaya dan juga sebaliknya. Konsep tamadun tidak hanya merujuk kepada kemajuan ekonomi, industri dan teknologi kerana manusia tetap memerlukan bahasa, kebudayaan, kesusasteraan dan kesenian dalam kehidupan. Cuma kadangkala persepsi politik tidak dengan jelas dan nyata mendukung penegasan bahawa bahasa Melayu adalah tonggak pembinaan tamadun negara kita dan pendekatan kita terhadap bahasa asing. Negara bangsa asasnya negara cendekia akan terus berdiri dengan kukuh dengan tamadun yang cemerlang berasaskan peranan yang dimainkan oleh bahasa.
BIBLIOGRAFI
A. Aziz Deraman.(1975). Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia. Kuala Lumpur : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
A. Aziz Deraman.(1985). Perancangan dan Pentadbiran Kebudayaan di Malaysia. Kuala Lumpur : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
A. Aziz Deraman. (1994). “Bahasa Asas Pembinaan Tamadun Bangsa” Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Siri Bicara, Anjuran Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Amat Juhari Moain. (1994). Sejarah Keagungan Bahasa Melayu. Syarahan Inaugural yang disampaikan di Universiti Pertanian Malaysia, 6 Ogos 1994. Dewan Bahasa dan Pustaka. (1974). Pelajaran di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Hussin.(1966). Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. (1989). Laporan Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu kedua. Jilid 1 dan 11. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Trudgill, Peter. (1983). Sociolinguistics : An introduction to Language and society.
Sidi Gazalba.(1983). Islam dan Perubahan Sosiobudaya. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

No comments:

Post a Comment