“Anis, cepat sikit, mama dah lambat ni.” Laung Puan Maimun dari tingkat bawah rumahnya kepada anak tunggalnya itu.
“Baik mama, Anis nak turun lah ni”Anis membalas panggilan dari mamanya itu. Pada hari ini, Anis akan memulakan hari barunya sebagai murid tingkatan 3 di Sekolah Asrama Seri Sentosa. Dia bakal berpisah dengan ibu bapanya dan akan menimba pengalaman baru di Sekolah Berasrama itu. Pada mulanya memang Anis tidak mahu tinggal di sekolah asrama itu tapi apabila dia memikirkan kembali kata-kata mamanya dulu, dia mula mengubah fikiran. Menurut kata mamanya, Anis akan kerap ditinggalkan sendirian di rumah itu kerana mama dan papanya akan kerap ke luar Negara atas urusan kerja mereka.
“Selamat pagi,mama dan papa” ucap Anis ceria kepada ibu bapanya itu.
“Pagi kamu cakap? Sekarang ni dah hampir pukul 7:30 pagi kamu tahu? Mama dan papa dah lambat untuk pergi ke kerja ni tambahan pula nak daftar kamu di sekolah baru kamu tu.” Jelas mama kepada Anis.
“Maaflah mama. Anis bukan sengaja nak lambat macam ni. Perut Anis meragam pula pagi tadi. Sebab tu Anis lambat .” Jawab Anis bertujuan untuk meraih simpati mamanya itu. Sebenarnya dia lambat turun tadi kerana terlambat bangun tidur pagi tadi. Ini semua gara-gara dia tidur lewat malam tadi memikirkan tentang dirinya nanti di sekolah barunya itu. Bolehkah dia diterima oleh murid-murid di sekolah itu nanti? Bolehkah dia menyesuaikan diri disana? Bagaimanakah agaknya penerimaan guru-guru di sekolah itu nanti terhadap dirinya?. Itulah persoalan-persoalan yang bermain di fikirannya sejak semalam sehingga dia tidak mampu melelapkan matanya seperti biasa. Sedar-sedar sahaja, jam sudah menunjukkan pukul 6:50 pagi. Apalagi, bergegaslah dia mandi dan menyiapkan diri untuk ke sekolah.
“Ada-ada saja kamu ni. Lain kali, kalau dah tahu perut tu meragam, bangunlah awal sikit. Taklah mama dan papa lambat macam hari ini. Kamu …”
“Baik mama. Tadi mama cakap mama dah lewat kan? Baik kita pergi sekarang sebelum bertambah lambat. Betul tak papa?” belum sempat Puan Maimun menghabiskan kata-katanya, Anis sudah terlebih dahulu memotong percakapan mamanya itu. Jika dibiarkan, mungkin akan makin panjanglah bebelan mamanya itu.
“Betul cakap Anis itu. Lebih baik kita bertolak sekarang”. Arah Encik Ismail kepada Anis dan isterinya itu. Di dalam kereta pula, Puan Maimun tidak henti-henti menasihati Anis agar pandai menjaga diri di asrama. Puan Maimun dan Encik Ismail bertolak ke tempat kerja mereka selepas menyelesaikan segala urusan pendaftaran Anis di sekolah barunya itu.
Setelah seminggu bersekolah disitu, Anis mula menyesuaikan diri dengan keadaan asrama barunya itu. Guru-guru di sekolahnya itu pun senang akan dirinya. Anis juga rajin bertanya jika dia tidak memahami sesuatu tajuk semasa proses pembelajaran dijalankan. Anis juga mempunyai seorang kawan rapat disana. Mereka tinggal didalam satu bilik yang sama di asrama Seri sentosa itu. Nama kawannya itu ialah Amira.
“Anis, cepat bersiap. Azan maghrib dah nak berkumandang dah ni. Semua orang dah bersedia untuk solat maghrib berjemaah di surau Aisyah Humaira, tinggal awak je yang masih belum mandi lagi. Ni mesti tak lain tak bukan, awak teringatkan pakwe awak kan?.” Serkap Amira kepada Anis sambil tersenyum nakal.
“Eh, mana ada!. Siapa lah yang nak kat saya ni. Lain lah orang tu yang ada ramai peminat. Dia je yang jual mahal. Tak begitu, Amira?” Anis mengenakan Amira kembali lalu berlari menuju ke bilik air kerana khuatir Amira akan mengejarnya.
“Anis!. Berani awak lari dari saya ye. Siaplah awak kalau saya dapat tangkap awak.” Meluru Amira mengejar Anis yang sedang berlari ke bilik air itu. Maka, riuhlah suasana didalam bilik air itu yang dipenuhi dengan adegan simbah menyimbah air sesama mereka.
Sepanjang persahabatan mereka, Amira banyak mengajar Anis pelajaran yang Anis kurang faham.
“Amira, awak makan ubat apa tu?” soal Anis kepada Amira pada suatu petang semasa dia baru masuk ke biliknya. Anis sering melihat Amira makan pelbagai jenis ubat tetapi sering terlupa untuk bertanya kepada Amira akan hal itu. Baru hari ini dia berpeluang untuk bertanya sementalah sudah berada di depan matanya.
“Err…ni ubat untuk …untuk sakit kepala je..”Amira cuba menyembunyikan hal yang sebenar daripada Anis.
“sakit kepala? Macam panadol ke?” Anis bertanya kembali.
“err…betullah tu. Macam panadol.” Laju sahaja Amira menjawab.
“kalau macam tu, takpelah. Saya ingatkan awak makan ubat apa tadi. Oh ye, tadi cikgu salbiah panggil awak kat bilik guru. Pergilah sekarang, kesian jika dia menunggu lama.” Anis memberitahu Amira pesanan yang dia terima dari cikgu Salbiah sebelum dia naik ke biliknya tadi.
“baik…baiklah…saya turun dulu ya.” Amira segera keluar dari bilik itu selepas dia menyimpan ubatnya di dalam almari kembali.
‘Amira, saya bukan budak darjah dua yang awak boleh tipu. Saya tahu mesti awak ada sembunyikan sesuatu daripada saya. Kalau tak, kenapa awak tersekat-sekat menjawab soalan saya tadi. Saya tahu, ubat yang awak makan tadi bukannya ubat sembarangan. Jika awak masih mahu berahsia daripada saya, saya tidak kisah tetapi saya tetap kan mencari jawapan untuk segala teka-teki ini.’tekad Anis dalam hati. Seraya, Anis mengambil sebiji tablet ubat dari bekas ubat Amira. Dia sempat meneliti bekas itu tetapi tiada maklumat tentang ubat itu yang boleh diperolehinya.
Keesokan harinya, Anis telah pergi ke sebuah hospital yang berdekatan dengan sekolahnya untuk memeriksa tentang ubat Amira itu.
“Maafkan saya,kakak. Boleh saya nak tanya sesuatu?” soal Anis kepada salah seorang pengawai farmasi di hospital yang dia pergi itu.
“Boleh, adik nak tanya apa?” pengawai farmasi yang memakai tanda nama Liyana itu tersenyum mesra kepada Anis.
“Boleh tak saya mahu mengetahui tentang ubat ini?” Anis menghulurkan ubat Amira itu kepada pengawai farmasi itu.
“kejap ye, adik. Biar kakak periksa ubat ini kat dalam dulu ye” balas pengawai farmasi itu lalu berlalu ke tempat pemeriksaan pelbagai jenis ubat di biliknya. Pengawai farmasi itu hanya keluar selepas beberapa minit sambil membawa keputusan ubat itu.
“Adik, boleh kakak tahu ini ubat siapa?” pengawai farmasi itu pula yang menyoal Anis.
“err…ini ubat kawan saya,kakak. Kenapa?” Anis berasa gementar kerana muka kakak itu kelihatan lebih serius berbanding tadi.
“Selepas kakak periksa ubat ini, ubat ini ialah ubat untuk pesakit barah otak tahap ketiga. Kawan adik tak beritahu adik ke tentang ubat ini…?”
Belum sempat pengawai farmasi itu meneruskan kata-katanya, Anis telah terlebih dahulu berlari sepantas kilat menuju ke sekolahnya semula. Anis tidak percaya akan apa yang dia baru dengari itu. Tidak mungkin Amira menghidap barah otak. Amira terlalu muda untuk menanggung penyakit itu. Dia perlu mendengar jawapan dari mulut Amira sendiri tentang perkara ini.
“Amira, mana awak. Saya ada perkara nak cakap dengan awak ni. Amira, awak kat mana? Amira…!” apa yang mengejutkan Anis ialah pabila melihat Amira telah terbaring kaku diatas lantai bilik asrama mereka itu.
“Amira! Macam mana awak boleh terbaring disini? Amira! Jangan takutkan saya. Saya tak nak awak mati dulu. Amira!” Anis mengongoi disebelah Amira sambil menangis. Anis yang masih terkejut itu bergegas menuju ke bilik gurunya untuk memaklumkan tentang Amira. Cikgu Salbiah yang kebetulan berada di situ segera membawa Amira ke hospital yang berdekatan untuk mendapat rawatan yang lebih lanjut.
Setiba sahaja mereka di hospital, mereka segera memanggil pengawai hospital yang berada di hospital itu untuk membawa Amira untuk diperiksa oleh doktor. Mereka menunggu diluar bilik pemeriksaan itu untuk mengetahui keadaan Amira. Anis dan cikgu Salbiah juga tidak henti-henti berdoa untuk kesejahteraan Amira. Selepas beberapa jam, barulah doktor yang merawat Amira keluar. Doktor itu memaklumkan Amira tidak mampu untuk diselamatkan lagi melainkan dengan kekuasaan ALLAH S.W.T. Doktor itu menyarankan agar cikgu Salbiah memberitahu kepada keluarga Amira mengenai perkara ini kerana khuatir Amira tidak dapat berjumpa meraka lagi selepas ini. Anis merasakan berita itu umpama batu besar menghempap keatasnya. Doktor itu juga memberitahu kepadanya bahawa Amira mahu berjumpa dengannya. Anis segera menuju ke bilik yang menempatkan Amira.
“Amira… sampai hati awak tak bagitahu saya tentang penyakit awak ini. Tidak layakkah saya tahu yang awak ada penyakit barah….” Anis tidak mampu meneruskan ayatnya kerana terlalu sedih. Anis memegang erat tangan Amira yang berselirat dengan wayar itu.
“Maaf…maafkan sa..saya Anis. Bukan saya tidak..tidak mahu memberitahu awak tapi…” belumpun sempat Amira meneruskan ayatnya yang tersekat-sekat itu, dia telah tidak sedarkan diri. Anis yang terkejut akan keadaan itu bertindak menjerit memanggil doktor yang merawat Amira. Doktor dan kakitangan hospital itu bertungkus lumus cuba menyelamatkan Amira. Anis pula menangis tersedu sedan di sudut tepi hospital itu. Dia masih merasa kesejukan tangan Amira yang dipegangnya tadi. Dia takut dia akan kehilangan sahabatnya itu. Doktor itu tadi memberitahu cikgu Salbiah yang dia memerlukan tandatangan ahli keluarga Amira untuk melakukan pemmbedahan secepat mungkin terhadap Amira. Cikgu Salbiah yang ketika itu masih dalam keadaan terkejut memberitahu doktor itu bahawa Amira tidak mempunyai keluarga. Dia anak yatim piatu. Doktor itu memberitahu cikgu Salbiah yang Amira perlu dibedah dengan kadar segera, jadi cikgu Salbiah perlu menandatangani surat pembedahan itu. Cikgu Salbiah bersetuju menandatangani surat itu. Kini, Anis dan cikgu Salbiah sedang menanti diluar bilik pembedahan sambil berdoa akan keselamatan Amira dan kejayaan pembedahan itu.
Selepas beberapa jam, doktor keluar dari bilik pembedahan itu dengan baju pembedahannya itu.
“Bagaimana keadaan kawan saya, doktor?” Anis dan cikgu Salbiah segera menerpa kearah doktor yang membedah Amira itu.
“Saya harap cikgu dan adik bersabar. Kami sudah mencuba sedaya-upaya kami untuk menyelamatkan Amira tetapi ALLAH lebih menyayanginya. Amira telah meninggal dunia.” Doktor itu memberitahu hal sebenar kepada Anis dan cikgu Salbiah. Serentak dengan itu, Anis terjelupuk di lantai hospital itu sambil meraung-raung memanggil nama Amira. Anis tidak dapat menerima hakikat bahawa Amira telah meninggalkannya untuk selamanya. Cikgu Salbiah cuba menenangkan Anis yang seperti orang yang mengalami histeri itu.
Keesokan harinya, cikgu Salbiah menguruskan segala urusan pengebumian Amira dengan dibantu oleh cikgu-cikgu lain sementalah Amira tiada ahli keluarga yang lain. Anis pula masih dalam keadaan sedih akan kematian sahabatnya itu.
“Anis, ini amanat terakhir arwah untuk Anis.” Cikgu Salbiah menghulurkan sepucuk surat kepada Anis selepas selesai segala urusan pengebumian Amira. Surat itu telah diberi oleh salah seorang doktor yang merawat Amira kepada cikgu Salbiah selepas pembedahan Amira selesai.
“Terima…terima kasih, cikgu. Nanti saya baca apabila sampai di bilik nanti.” Anis terharu akan kehadiran surat itu untuk dirinya. Sekurang-kurangnya, ada juga pengubat rindunya ketika dia rindukan sahabatnya itu.
Sesampai sahaja di bilik asramanya itu, Anis memandang setiap sudut yang terdapat di dalam bilik itu. Dulu, bilik itu sentiasa ceria dengan gurau-senda Amira dan Anis. Mereka selalu berkejaran dibilik itu. Bilik itu juga menjadi bukti permulaan persahabatan mereka. Kini, tiada lagi gelak ketawa Amira. Tiada lagi gurau senda yang selalu menceriakan hidup Anis. Tiada lagi sahabat yang akan mengajar Anis tentang pelajaran yang dia tidak fahami dan tiada lagi sahabat yang sentiasa menasihatinya yang selalu malas untuk belajar. Sungguh besar impak kehilangan Amira bagi Anis. Anis beralih pula ke loker Amira. Sebaik membuka loker itu, terus terkeluar anak patung beruang yang selalu dipeluk oleh Amira apabila dia mahu tidur. Anis masih teringat akan kejadian dia mengusik Amira yang tidak boleh berenggang dengan anak patung beruangnya itu.
‘Amira, awak ni macam budak-budaklah. Asyik berkepit dengan anak patung beruang awak tu saja. Bagilah saya pegang patung beruang tu pula.’ Anis mengacah-acah Amira untuk mengambil anak patung beruang itu dari Amira.
‘Anis!. Janganlah kacau saya. Ni kan anak patung beruang saya. Nanti bila saya dah tiada di dunia ini, awak ambillah patung beruang ni. Saya tidak kisah janji awak jaga anak patung beruang ni betul-betul. Anak patung beruang nilah satu-satunya hadiah peninggalan ibu bapa saya untuk saya.’ Pada ketika itu, Anis tidak mempedulikan kata-kata Amira itu kerana dia fikir Amira hanya bergurau. Kini, semuanya menjadi kenyataan. Tiada lagi Amira yang akan memeluk anak patung beruangnya itu apabila tiba waktu untuk tidur.
Anis menuju kearah katilnya. Dia mahu membaca surat daripada arwah Amira yang dia terima dari cikgu Salbiah tadi. Sebaik membuka sampul surat itu, Anis mengeluarkan surat yang berwarna merah jambu itu dan memulakan bacaannya.
Kehadapan Anis,
Pertama sekali, saya mahu meminta maaf karana tidak memaklumkan kepada awak terlebih dahulu mengenai penyakit saya ini. Saya telah disahkan menghidap penyakit barah otak ini semasa saya berumur 10 tahun. Kebetulan pada masa itu, ibu bapa saya telah terlibat dalam kemalangan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pada ketika itu, saya merasakan dunia saya seperti tiada gunanya lagi. Saya tidak mempunyai ahli keluarga lain selain ibu bapa saya. Saya telah hilang semangat untuk hidup . Oleh kerana itu jugalah, saya tidak mahu menjalani sebarang pembedahan membuang ketumbuhan di otak saya . Saya merasakan hidup saya ni hanya sia-sia sahaja. Tiada gunanya saya hidup jika hanya menyusahkan orang disekeliling saya. Segala yuran persekolahan saya juga ditanggung oleh pihak sekolah.
Tapi semua itu berubah apabila awak hadir dalam hidup saya. Saya mula sedar akan kemanisan hidup ini. Saya mula memasang impian untuk terus hidup dimuka bumi ini bersama-sama awak. Bagi saya, awaklah sahabat saya yang paling saya sayangi. Awak banyak mengajar saya tentang kehidupan dunia ini. Sifat awak yang selalu ceria itulah yang banyak memberi kegembiraan kepada saya. Walaupun awak selalu mengusik saya, saya tidak kisah kerana bagi saya sikap awak itulah yang banyak memberi warna-warni dalam kehidupan saya berbanding sebelum ini yang hanya dipenuhi dengan warna-warna kelam. Saya masih ingat lagi, semasa melihat keindahan malam di bilik kita, kita telah berjanji untuk bersahabat sampai bila-bila walau apa pun yang menimpa kita. Bermula saat itulah saya mula pergi temu janji di hospital kembali untuk menyembuhkan penyakit saya ini. Saya juga mula memakan ubat-ubatan yang selama ini telah lama saya tinggalkan.
Sehinggalah pada suatu hari, doktor yang merawat saya berkata kepada saya yang penyakit saya telah berada di tahap kritikal. Saya perlu dibedah dengan segera jika mahu nyawa saya selamat. Doktor itu memberi masa selama seminggu kepada saya untuk memikirkan hal ini. Doktor itu turut menambah bahawa pembedahan itu ada risikonya juga. Sebanyak 1/10 pembedahan gagal dan yang selainnya berjaya. Jika awak masih ingat, pada hari yang awak nampak saya makan ubat tulah merupakan hari terakhir saya diberikan masa untuk memberikan jawapan. Pada ketika itu, saya terpaksa berbohong kepada awak dengan mengatakan ubat yang saya makan itu hanyalah ubat sakit kepala. Saya tidak mahu awak risau. Tambahan pula, kita bakal menghadapi peperiksaan PMR tidak lama lagi. Saya tidak mahu tumpuan awak terganggu.
Anis,
Jika awak menerima surat ini, bermakna saya tiada lagi di dunia ini. Saya harap awak berjaya dalam PMR nanti. Kini, tiada lagi saya yang akan mengejutkan awak bangun pada awal pagi untuk belajar bersama-sama, tiada lagi saya yang akan mengejutkan awak jika awak tertidur di kelas sewaktu proses pembelajaran berlangsung dan tiada lagi saya yang akan memeluk anak patung beruang saya itu. Saya harap awak akan selalu mendoakan ketenangan saya di sisi-NYA nanti. Saya juga mahu menghadiahkan anak patung beruang saya itu kepada awak sebagai pengganti diri saya. Saya akhiri surat saya ini dengan wassalam….
Sahabatmu,
Amira
Anis melipat kembali surat itu. ‘ semoga awak bersemadi dengan aman di sana,sahabatku’ ucap Anis di dalam hati. Anis menangis tersedu sedan disitu kerana tidak mampu mengawal kesedihannya. Dia tidak tahu sampai bila dia akan bersedih seperti ini kerana arwah Amira sangat bermakna buatnya dan kehilangan sahabatnya itu merupakan satu kehilangan yang besar baginya.
“Doktor Anis, tadi doktor Luqman cari doktor. Ada hal nak dibincangkan dengan doktor Anis katanya”. Tersedar Anis dari lamunan panjangnya itu setelah ditegur oleh salah seorang doktor di tempat kerjanya itu.
Kini, setelah 9 tahun berlalu, Anis telah menjadi seorang doktor pakar barah yang berjaya. Memang sengaja Anis memilih profesian doktor sebagai kerjayanya untuk mengingati sahabatnya itu. Dia tidak mahu ramai lagi yang terkorban angkara barah. Anis juga tidak pernah lupa untuk melawat kubur arwah Amira,sahabatnya itu setiap hujung minggu. Disitulah tempatnya meluahkan segala masalah, cerita dan luahan perasaannya. Bagi Anis, arwah Amira tetap menjadi sahabatnya walaupun telah meninggal dunia. Anak patung beruang peninggalan arwah Amira juga masih elok tersimpan di rumahnya. Anis akan memeluk anak patung itu setiap kali mahu tidur. Dia akan membayangkan seperti anak patung beruang itu ialah arwah Amira.
Cikgu Salbiah pula telah Anis jadikan sebagai mak angkatnya. Jasa cikgu Salbiah tidak akan mampu dibalasnya. Cikgu Salbiah lah yang banyak membantu dia dalam pelajaran selepas ketiadaan Amira. Cikgu Salbiah juga yang banyak membantu dia mengawal perasaan sedihnya atas kehilangan Amira. Tanpa cikgu Salbiah, mungkin Anis tidak akan mampu mencapai cita-citanya untuk menjadi doktor pakar barah ini.
Amira, tanpa awak, mungkin saya tidak mampu menjadi seperti sekarang. Awak merupakan anugerah ALLAH yang besar kepada saya. Walaupun awak sudah tiada di dunia ini lagi, kenangan awak ketika bersama-sama saya akan tetap saya ingati hingga ke akhir nyawa saya.
No comments:
Post a Comment