Friday, 15 June 2012
PERANAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DALAM KONTEKS NEGARA BANGSA-Norlia bt Kiflie [diselenggarakan oleh Rozali Rajab]
Abstrak
Seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahasa telah dimartabatkan sebagai Bahasa Kebangsaan dan asas pembinaan negara. Sesungguhnya Perkara 152 ini telah mengiktiraf dan mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara. Semestinya sebagai warga Malaysia yang merdeka kita harus bangga kerana memiliki bahasa kita sendiri sebagai identiti jati diri yang unggul sejajar dengan tuntutan Wawasan 2020. Kertas kerja ini dihasilkan melalui pembacaan buku-buku ilmiah, artikel, memetik pandangan para tokoh, rujukan perpustakaan dan sumber Internet. Hasil kajian ini juga menjelaskan dan membincangkan bahasa Melayu bukan sahaja berperanan sebagai bahasa kebangsaan malahan menjadi wadah warga Malaysia dari semua aspek dalam menjalankan ranah dan agenda negara dalam konteks Negara Bangsa. Oleh yang demikian, peranan bahasa Melayu tidak boleh dipandang ringan oleh warga Malaysia jika mahu melihat negara kita maju seiring dengan negara lain khususnya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di persada antarabangsa.
PENDAHULUAN
Status atau kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pembentukan tamadun bangsa kini makin tercabar di negara kita kerana sikap sesetengah pihak yang memandang remeh terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sekali gus meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Malah kedudukan bahasa kini mula mengalami perubahan ketara apabila bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengajaran dalam mata pelajaran Sains dan Matematik telah menafikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Pelbagai usaha telah, sedang, dan akan dijalankan bagi mempertahan dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu agar tidak lenyap di telan zaman. Seperti kata Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Datuk Dr. Hassan Ahmad ketika membentangkan kertas kerja ‘Masalah Bahasa Atau Masalah Pengguna Bahasa? Membetulkan Sikap dan Persepsi Manusia Terhadap Bahasa Melayu’, di DBP di Kuala Lumpur.
“Kita tidak mahu negara ini menjadi negara maju dalam tahun
2020 tetapi bangsa Melayu hilang martabat dan kuasa sebagai
bangsa yang cemerlang dan maju disebabkan bahasanya tidak
dijadikan alat utama dalam proses itu. Ini kerana penggunaan
bahasa Melayu dalam sektor pentadbiran kerajaan tidak dianggap sebagai agenda penting dalam perancangan bahasa Melayu
di negara ini,’’
Pada beliau, jika dilihat dari segi fungsinya bahasa Melayu sudah maju sebagai bahasa pembentuk tamadun tinggi di rantau ini yang dapat merentas sempadan geografi dan etnik bahasa. Namun beliau tidak mahu bahasa yang sudah maju itu dimusnahkan oleh persepsi, sikap dan kejahilan rakyat Malaysia terhadap keupayaan bahasa tersebut untuk mencapai kemajuan negara dalam era globalisasi ini.
Ketika membentang kertas kerja ‘Bahasa Melayu Setengah Abad Lalu dan Setengah Abad Mendatang: Upaya Pemerkasaannya’, Prof. Dr. Awang Sariyan menyatakan :
“Secara jelas bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa
Pengucapan intelektual akan terhakis sehingga tidak mustahil
bahasa Melayu hanya dikenali sebagai bahasa komunikasi sehari-hari’’
Situasi itu berlaku kerana kurangnya pengertian terhadap peranan bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sudah pun dinobatkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Titik tolak daripada pandangan dua tokoh bahasa di atas, kita perlu mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi agenda penting dalam membentuk dan membina negara bangsa. Seperti yang kita maklum, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik, jati diri bangsa dan perpaduan negara.
Oleh yang demikian, kita sewajarnya akur dan bangga kerana dengan adanya kekuatan bahasa Melayu maka terbentuklah kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai pandangan sarwa dalam kalangan warga Malaysia. Justeru, berbanggalah menjadi warga negara Malaysia karena memiliki bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu mampu mendukung budaya bangsa, berkembang seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan.
Objektif kajian kertas kerja ini adalah untuk membincangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Ia merangkumi pelbagai peranan atau fungsi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang tanpa meminggirkan bahasa lain sebagai wadah alternatif untuk memajukan warga Malaysia di persada dunia.
Skop kertas kerja ini memfokuskan konsep bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, negara bangsa dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Kertas kerja ini juga akan menjelaskan peranan bahasa dalam pelbagai agenda negara dalam usaha memperkasa dan memartabatkan bahasa. Kertas kerja ini akan memperlihatkan peranan bahasa
sebagai asas pembinaan negara dan kebudayaan masyarakat, lambang jati diri, bahasa perpaduan, bahasa pengantar ilmu pengetahuan, menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia, menampilkan penggunaannya dalam pelbagai perisian dan kesantunan berbahasa, dan wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsa.
PERANAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DALAM KONTEKS NEGARA BANGSA
Asas Pembinaan Negara Dan Kebudayaan Masyarakat
Ranah pembinaan suatu bangsa Malaysia merupakan persoalan paling penting dan menjadi agenda utama negara dalam pelaksanaan sistem pentadbiran di negara ini. Usaha membina negara dan kebudayaan masyarakat juga merupakan strategi bagi memupuk jati diri dan perasaan muhibah serta persefahaman dalam kalangan rakyat. Ia juga lanjutan dari pelbagai masalah yang melanda rakyat di negara kita yang dikatakan kurangnya integrasi antara kaum dan tumbuhnya perasaan curiga dan wujudnya bibit-bibit perpecahan kaum.
Oleh yang demikian, menjadi satu kepentingan bahawa negara Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai alat perpaduan. Bahasa Melayu harus difahami oleh setiap kaum. Hal ini sejajar dengan penduduk asal di Malaysia iaitu orang Melayu yang memonopoli lebih daripada 50 peratus penduduknya. Justeru, dengan termaktubnya Perkara 152 mendapati negara mempunyai asas yang kukuh untuk membina sebuah negara. (Awang Sariyan, 2006)
Pembentukan sebuah kebudayaan sepunya yang diasaskan pada nilai-nilai akhlak yang murni dan ketamadunan manusiawi yang sejagat adalah keperluan supaya selaras dengan tujuan membina sebuah negara bangsa yang beradab dan maju. Kemajmukan rakyat di Malaysia menjadikan pembentukan kebudayaan kebangsaan ini satu persoalan yang rumit. Persoalan rumit atau tidak, pembentukan dan pengembangan falsafah sepunya, sebuah kebudayaan sepunya yang kita namakan kebudayaan kebangsaan yang bercirikan Malaysia dan berdiri atas prinsip-prinsip budi, akhlak dan etika hendaklah dilakukan secepat mungkin serta dengan perancangan yang tersusun (Ahmat Adam, 1997).
Justeru, berbanggalah karena tidak semua bangsa di dunia ini mempunyai bahasa kebangsaan yang dipakai secara luas dan dijunjung tinggi. Adanya bahasa kebangsaan yang dapat menyatukan perbagai suku bangsa yang berbeza merupakan suatu kebanggaan bagi bangsa Malaysia. Ini menunjukkan bahawa bangsa Malaysia sanggup mengatasi perbezaan yang ada. Selain itu, kepercayaan diri yang kuat dapat dibangunkan dan identiti sebuah bangsa boleh diwujudkan melalui bahasanya.
Bahasa Sebagai Lambang Jati Diri Negara Bangsa Malaysia
Bahasa Melayu adalah lambang bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu negara Malaysia. Hasrat ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia.
Hal ini sangat diperlukan kerana setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Contohnya negara Jepun dengan bahasa Jepunnya, negara Jerman dengan bahasa Jermannya dan negara Perancis dengan bahasa Perancisnya. Oleh hal demikian, Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia. Sekali gus, bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.
Bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah wahana utama dan medium satu-satunya yang perlu digunakan oleh warga Malaysia untuk menerus dan mengekalkan peradaban nasional dalam pelbagai bidang, menyampai dan menyebarkan peradaban nasional kepada generasi mendatang seperti yang diamalkan oleh mereka semenjak turun-temurun. Dalam hal ini, bahasa Melayu memang berkeupayaan dalam memajukan warganya sekali gus negara Malaysia berteraskan kapasitinya sebagai bahasa rasmi yang merangkumi fungsi selaku bahasa ilmu. Selain itu keupayaan bahasa Melayu yang terpenting ialah ia memiliki modal linguistik yang cukup agam, selain mampu berkembang ke tahap status sebagai bahasa moden.
Jelas sekali bahawa peranan bahasa Melayu dalam mencorakkan jati diri warga Malaysia begitu besar cabarannya. Justeru, aspirasi dan misi nasional dalam membentuk negara bangsa Malaysia yakni menyatupadukan warganya dan membentuk jati diri sepunya dalam kalangan warganya tidak akan tercapai jika warganya tidak menampilkan semangat waja untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara kita. Tuntasnya, negara bangsa dan jati diri boleh dibentuk melalui pelbagai cara, dan antaranya ialah bahasa, khususnya melalui promosi bahasa kebangsaan.
Bahasa Sebagai Wadah Perpaduan Rakyat Negara Malaysia
Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan adalah tunggak penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar kacir dan musnahlah sebuah negara berdaulat. Di Malaysia, terdapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini.
Oleh sebab itulah bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai wadah atau alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara penduduk yang berbilang kaum. Selaras dengan itu, mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu daripada pelbagai keturunan, agama, kebudayaan dan wilayah dengan satu bahasa kebangsaan amatlah diperlukan.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah satu pilihan bijak dan mampu serta terbukti menjadi wadah perpaduan. Oleh itu jelaslah bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa sepunya ini merupakan satu unsur utama dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Penggunaan dan penguasaan bahasa Malaysia secara meluas akan berperanan sebagai wahana pembentukan identiti kebangsaan. Peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan ini tidak harus sekadar bersifat simbolis dalam pentadbiran tetapi seharusnya berperanan sebagai bahasa perantaraan dalam segala aspek dan peringkat kehidupan sosial dan kehidupan berbangsa di negara ini (Rustam Sani, 1993).
Tuntasnya, bahasa Melayu menjadi titik penentu untuk berkongsi identiti nasional yang tersendiri. Kesediaan dan penerimaan warga Malaysia untuk menggunakan bahasa kebangsaan ini juga mampu menjadi penghubung yang berkesan dan wadah membentuk perpaduan antara kaum yang lebih utuh.
Bahasa Sebagai Pengantar Ilmu Pengetahuan Dan Budaya Ilmu
Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Laporan Razak pada tahun 1957 dan Laporan Rahman Talib tahun 1961 setelah melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat.
Berdasarkan peruntukan tersebut, bahasa Melayu memiliki hak dan martabatnya dalam perlembagaan sementara bahasa-bahasa bagi kaum lain juga dipelihara dan tidak dinafikan haknya. Bahasa Melayu kemudiannya memikul tugas sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta menjadi bahasa ilmiah (Nik Safiah Karim 1986: 1).
Abdullah Hassan (1987: 25) dalam “Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia” beliau menyatakan:
“selepas 1969 kerajaan dengan lebih tegas menjadikan pembelajaran bahasa Malaysia lebih teratur. Langkah tersebut ialah dengan
melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah-
sekolah secara berperingkat-peringkat”
Dalam mengejar arus globalisasi masa kini, elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara bangsa ini ialah sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantarnya (Abu Hassan Othman, 1997). Oleh itu, penubuhan sekolah wawasan atau apa sahaja penubuhan sekolah yang dapat menyatukan tiga kaum utama ini adalah menjadi isu penting dalam pendidikan yang dapat mempercepatkan proses pembinaan negara bangsa Malaysia jika masalah perpaduan dapat ditangani dengan baik dan berhemah.
Dalam usaha memperkasakan Bahasa Kebangsaan, peranan guru amat mustahak kerana melalui pendidikan murid-murid perlu disedarkan mengenai kepentingan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi di Malaysia. Selain itu, tanggungjawab pemimpin institusi pendidikan, pensyarah dan guru adalah untuk menyemai semangat cintakan bahasa Malaysia kepada generasi muda Malaysia supaya mereka fasih berbahasa Melayu, menghormati dan berbangga dengan bahasa Melayu sebagai identiti rakyat Malaysia.
Menjadi Bahasa Yang Cemerlang Dalam Pembinaan Negara Bangsa Malaysia
Bahasa Melayu berperanan untuk menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Bahkan semua bahasa di dunia ini mempunyai hak tersebut. Pengguna bahasa yang mahu melihat bahasa kebangsaan mereka berfungsi dengan cemerlang selaras dengan perkembangan bangsanya mestilah berusaha menjadikan bahasanya lebih baik dan dihormati daripada bahasa yang “dipinjam” semata-mata untuk menunjukkan status penutur, dan bukannya untuk menyerlahkan kegemilangan bangsa penutur itu sendiri. Oleh hal demikian, penduduk di negara Malaysia ini perlulah dengan penuh keyakinan apabila menggunakan bahasa Melayu untuk memartabatkan bahasa ini di persada antarabangsa.
Dalam konteks negara bangsa, keseluruhan rakyatnya sudah menerima satu ‘pandangan dunia’ (Weltanschauung) politik yang sama. Manakala institusi perlembagaan, ideologi negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain pula merupakan simbol-simbol yang dapat digunakan bagi membentuk kesepaduan dan jati diri dalam kalangan rakyat di dalam negara-bangsa itu.
Jelaslah bahawa pembinaan negara bangsa sangatlah kompleks untuk dilaksanakan tetapi tidaklah mustahil untuk dilaksanakan di Malaysia. Penghayatan, pemahaman dan kepekaan dalam bahasa Melayu harus diperjuangkan sebagai bahasa kebangsaan yang moden dan bahasa ilmu dalam usaha pembinaan negara bangsa menjadi arus yang selaras dengan arus globalisasi itu sendiri. Kerjasama seluruh lapisan masyarakat amat diperlukan bagi menjaya dan mewujudkan negara bangsa yang unggul ini.
Bahasa Menampakkan Penggunaannya Dalam Pelbagai Perisian Dan Kesantunan Berbahasa
Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa kebangsaan yang mencerminkan penggunaannya dalam pelbagai perisiannya dan kesantunannya. Tingkat ilmu dan tingkat keperisian itu dapat diukur melalui laras bahasanya manakala nilai estetika keluwesan bahasa ini menjadi pengukur kesantunannya. Bahasa Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain terkenal dengan ciri-ciri ketimuran, seperti lemah lembut, beradab, dan berbudi bahasa. Oleh sebab itu, bangsa Malaysia harus menggunakan bahasa Melayu yang baku dan yang mempunyai nilai estetika dan nilai kesantunan.
Bahasa yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan tidak perlu rasa terpinggir dalam perkembangan dari segi penggunaan teknologi maklumat. Perkembangan kurikulum di Malaysia ke arah melahirkan warganegara global, selaras dengan perkembangan jaringan informasi. Sementara, dalam budaya Melayu kesantunan berbahasa menunjukkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi. Menguasai sesuatu bahasa juga bererti menguasai segala santun dan peraturan yang dipersetujui dalam menggunakan bahasa tersebut. Umpamanya dalam kata alu-aluan, kata silaan, ketika berundur diri dan sebagainya seharusnya menggunakan bahasa beradab dan berperaturan yang tetap, tidak boleh diubah sesuka hati. Kemahiran dalam peringkat tertinggi seperti begini boleh menghasilkan “pertukangan yang bermutu” boleh mencapai tahap “seni” , “budi” yang diidamkan. Oleh itu budi bahasa pun adalah suatu seni.
Dalam memperkukuh peradaban Melayu dan supaya peradaban Melayu berkuasa di dunia kini, berbagai macam ‘senjata moden’ perlu dibuat dan dicipta. Untuk mencapai tahap ketinggian, keindahan bahasa sebagai lambang estetika dalam berbahasa memerlukan pengorbanan dan pengabdian terhadap seni bahasa itu atau perasaan cinta terhadap seni bahasa tersebut. Sejajar dengan wawasan ini, kita harus bersedia menguasai bahasa Melayu dan senjata bahasa-bahasa lain dalam menjenterai ekonomi dan politik dunia hari ini.
Wahana Politik Dalam Menentukan Kualiti Penggunaan Bahasa Negara Bangsanya
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berperanan sebagai wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsanya. Bahasa yang dapat membina negara bangsanya seharusnya dapat juga melahirkan pengguna
bahasa yang berkualiti, berkuasa dan berketerampilan. Maka, lebih banyak kumpulan penutur yang berkuasa dalam penggunaan bahasa Melayu perlu dipupuk. Mereka ialah yang terdiri daripada ahli politik, ahli korporat, golongan profesional, mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar sekolah, dan ahli masyarakat. Kehadiran kumpulan ini dapat mengembangkan bahasa itu dengan terancang, meliputi pelbagai bidang. Contohnya, jika ahli politik dan ahli profesional mempunyai daya ungkapan yang tinggi dan bermutu melalui bahasa Melayu, bahasa itu akan dilihat sebagai berkuasa dalam arenanya.
Ditinjau sejarah lampau, sejak merdeka penggunaan Bahasa Melayu dikembangluaskan dengan kemunculan beberapa institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya. Sehingga kini, Bahasa Melayu sudah diguna pakai di dalam pelbagai sektor awam dan swasta. Sekian banyak wang, usaha dan tenaga pemikiran dicurah dan digemblengkan untuk memartabatkan Bahasa Melayu di dalam sebuah negara yang merdeka ini.
Malanglah sekiranya setelah hampir setengah abad kita membina cita-cita memartabatkan bahasa sendiri, kini kita mulai merungkai kembali binaan ini. Justeru, sesebuah bangsa harus dimajukan dengan meningkatkan tahap pemikiran bangsa tersebut. Sesebuah bangsa itu berfikir menerusi bahasa ibundanya kerana bahasa adalah saluran atau wahana pemikiran.
Sesebuah bangsa berbicara dan menanggapi sesuatu pemikiran dengan bahasa mereka sendiri. Oleh yang demikian, untuk memajukan sesebuah bangsa, ia mesti dilakukan menerusi bahasa bangsa tersebut. Maknanya, memajukan bangsa Melayu mesti dilakukan dengan membangunkan pemikiran Melayu menerusi bahasa Melayu. Dengan ini, bahasa Melayu perlu terus diperkaya. Ia mesti terus diguna pakai di segenap sektor ekonomi dan sistem pentadbiran tanpa ada rasa prejudis dalam kalangan para elit, intelektual dan pemimpin terhadap penggunaan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu telah dimartabatkan penggunaannya dalam tamadun Melayu yang kemudiannya telah memajukan pemikiran bangsa Melayu dari kelesuan masyarakat feudal yang tahunya menyerah tanpa soal. Natijahnya, bahasa Melayu menjadi bahasa yang dinamik dan dapat diterima oleh warga Malaysia masa kini. Bangsa Jepun sendiri dimajukan dengan mengembalikan bangsanya kepada akar budaya bangsa tersebut. Oleh yang demikian, kita berpandangan bahawa tidak mungkin sesebuah bangsa dapat dimajukan dengan meminjam bahasa yang bukan bahasa ibunda bangsa tersebut. Kerana mereka tidak berfikir menerusi bahasa bangsa lain.
Wadah politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsa memerlukan pemimpin yang benar-benar menegakkan bahasa kerana agenda politik dan bahasa itu adalah sinonim adanya. Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai tunjang negara bangsa dapat diperlihatkan dalam
agenda politik melalui teras pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu meletakkan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai strategi utama.
Dalam mengorak langkah ke alaf 21, bahasa Melayu kini perlu diperkasa. Ini kerana cabaran pada alaf ini begitu hebat. Masyarakat Malaysia perlu berjiwa besar untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Kita sebagai warga Malaysia perlu optimis bahawa sekiranya usaha yang kuat dan seluruh tenaga digembleng maka tidak mustahil bahasa Melayu boleh menjadi bahasa dunia. Masyarakat luar akan berlumba-lumba untuk belajar bahasa Melayu. Pada waktu itu, tidakkah kita berasa bangga dengan bahasa kita? Ini kerana bahasa Melayu kaya dengan nilai sosio budaya yang secocok dengan budaya rakyat Malaysia.
Justeru, generasi muda hari ini perlu berperanan dalam mempertahankan bahasa Melayu. Golongan muda khususnya mahasiswa perlu menjadi tulang belakang dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Untuk menggalas tanggungjawab seberat ini, semua pihak perlu bekerjasama dengan dukungan kuat daripada para pemimpin negara.
PENUTUP
Berdasarkan keterangan di atas, jelas menggambarkan peri penting peranan bahasa dalam membina tradisi keilmuan, maka Bahasa Melayu harus diperjuangkan dan diletakkan sebagai bahasa saintifik serta diguna pakai dalam sistem pendidikan, pentadbiran malahan dalam semua agenda negara. Kita juga harus ingat bahawa bahasa Melayu ini bukan sahaja berperanan sebagai bahasa saintifik malah sebagai satu wahana buat masyarakat Malaysia menyatupadukan pelbagai kaum dalam usaha mencapai perpaduan nasional seperti yang diharapkan semenjak negara ini mencapai kemerdekaan kira-kira 53 tahun yang lalu.
Ini kerana peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah jelas termaktub dalam perlembagaan negara Malaysia dan telah disepakati bersama oleh para ilmuwan sewaktu berlangsungnya Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Resolusi daripada kongres tersebut telah digubal menjadi Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 dan ini telah mengukuhkan lagi peranan Bahasa Melayu dalam masyarakat kita.
Sebagai rumusannya, bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaannya, mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaiannya dan bukan berasa sangsi atau jijik hingga sanggup menganaktirikan bahasa sendiri. Ini telah terbukti yang mana Korea, dan Jepun disertai oleh China yang sangat mendaulatkan bahasanya mampu menjadi gergasi ekonomi dunia. Jelas sekali bahawa sesuatu bahasa tidak pernah menjadi penghalang kemajuan. Oleh yang demikian bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu.
BIBLOGRAFI
Abdullah Hassan. (1987). Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abu Hassan Othman. (1997). “Tranformasi Masyarakat dalam Konteks Pembinaan Negara bangsa Malaysia”. Dalam M. Yaakob Johari. (ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).
Ahmat Adam. (1997). “Budaya Popular dan Sepunya Dalam
Konteks Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan”. Dalam
M. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).
Awang Sariyan. (1984). Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti
Faizal Othman. (1993). “Pendekatan Bina Bangsa dalam Pengukuhan Tenaga Manusia bagi Wawasan 2020”. Dalam Kamaruddin Jaafar & Hazami Habib.(ed). Wawasan 2020. Kuala Lumpur:
Institut Kajian Dasar. Institut Tadbiran Awam (INTAN). (1980). Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan. Kuala Lumpur: INTAN.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2006). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010,
http://www.moe.gov
Kerajaan Malaysia. (1999). Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000. Kuala Lumpur : Percetakan Nasional Malaysia Berhad
Nik Safiah Karim. (1986). Bahasa Melayu Persoalan & Pergolakan. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House Sdn Bhd.
Rustam A. Sani. (1993). Melayu Baru dan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Disributors Sdn.Bhd.
Sumber Internet : http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/11/peranan- bahasa-malaysia-sebagai-bahasa.html v.my/tayang.php?laman=lihat_
info&info=pengumuman&id=292&bhs=my. Diakses pada 30 Januari 2010
(http://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Melayu#Sejarah_Bahasa_Melayu). Diakses pada 30 Januari 2010
PEMANDANGAN DI BUKIT BRONGA,SEMENYIH.
406 (http://ms.wikipedia.org/wiki/Dewan_Bahasa_dan_Pustaka) Diakses pada 30 Januari 2010
Terima kasih atas bahan yang dapat membantu saya menyiapkan tugasan.
ReplyDeleteTERIMA KASIH DENGAN BAHAN YANG DIBERIKAN
ReplyDeleteterima kasih..byk membantu saya
ReplyDeleteJutaan terima kasih kepada cikgu Rozali. Walaupun saya belum menjadi "follower"blog cikgu, tetapi saya memang suka akan informasi dan ilmu yang terdapat dalam blog cikgu. Hari ini pun dapat mencari maklumat yang dapat membantu saya.
ReplyDeleteSaya juga suka Lagu Warisan ini....... tq very much!
as salam cgu....
ReplyDeletekenapa ambil tugasan saya tanpa minta kebenaran drp saya?
tq.
Pn Norlia Kiflie
terima kasih di atas segala maklumat yg dikongsi bersama....
ReplyDeleteterima kasih dengan apa yang diberikan
ReplyDeleteassalamualaikum
ReplyDeleteassalamualaikum
ReplyDeleteTerima Kasih untuk ilmu ini izinkan saya guna sebagai bahan rujukan ya
ReplyDeleteASALAMUALAIKUM TUAN TERIMA KASIH DI ATAS PENGKONGSIAN ILMU INI
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian tuan.
ReplyDelete[`<>']
ReplyDelete[>©>]
/. \