BAB I
PENDAHULUAN
Latar Belakang Kajian
Dalam kehidupan sehari-hari, manusia berkomunikasi dengan menggunakan bahasa. Bahasa merupakan wadah untuk manusia berkongsi maklumat, menyampaikan maksud dan apa-apa juga justifikasi yang mewajarkan berlakunya tindak balas. Dalam hal ini, setiap individu lazimnya akan merancang bentuk pernyataan mereka agar tidak menimbulkan sebarang implikasi kepada pihak lain. Oleh itu, bahasa merupakan alat komunikasi yang penting dalam masyarakat. Bahasa digunakan oleh masyarakat untuk memperkatakan pelbagai perkara, aspek, bidang dan peristiwa. Bahasa digunakan untuk menyatakan buah fikiran, pendapat, perasaan, hasrat dan sebagainya. Bahasa juga digunakan untuk menerangkan perkara-perkara berkaitan dengan sastera, perubatan, perundangan dan bidang-bidang lain.
Dalam konteks karya sastera , bahasa turut memainkan peranan penting. Hal ini demikian kerana peranan atau fungsi bahasa dalam kesusasteraan merupakan tulang belakang kepada penghasilan sesebuah hasil kesusasteraan. Bahasa menjadi wahana kepada pengarang untuk mencurahkan pemikiran, perasaan dan juga falsafah yang diperjuangkan oleh pengarang. Di samping itu, bahasa jugalah yang merupakan medium ekspresi, komunikasi dan juga medan pernyataan manifestasi jiwa seseorang pengarang. Jadi, bahasa merupakan wahana atau alat berkomunikasi, alat berfikir dan alat untuk mengembangkan ilmu pengetahuan (Arba’ie Sujud 2010 : 131 )
Selain itu , dalam buku tulisan John Lynons mendefinisikan bahasa adalah semata-mata suatu kaedah yang bukan naluri untuk manusia menyampaikan idea , emosi dan keinginan melalui ciptaan simbol-simbol yang lahir secara sedar ( Terjemahan Ramli Salleh dan Toh Kim Hoi 1992 : 4). Sementara itu, Hall dalam buku Essay of Language ( 1968: 158) menyatakan bahawa bahasa ialah institusi untuk manusia berkomunikasi dan berinteraksi melalui simbol-simbol lisan-pendengaran yang arbitrari mengikut tabiat. Jadi, bahasa sebagai suatu institusi manusia. Menyedari hakikat inilah seseorang pengarang yang kreatif dan imaginatif akan berupaya memasukkan apa-apa unsur bahasa seperti ragam bahasa, bahasa kiasan, gaya bahasa dan sebagainya dalam bahasa yang digunakannya untuk menyampaikan hasrat dan amanatnya dengan jelas dan berbentuk islamiah sebagai sebuah hasil karya sastera khususnya novel.
Hakikatnya, penggunaan bahasa dalam sesebuah karya kreatif tidak hanya menjadi alat untuk menyampaikan pemikiran dan idea pengarang semata-mata. Hal ini jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh Graham Hough yang dipetik oleh Hashim Awang mengatakan , “bahasa adalah pakaian pemikiran”( Hashim Awang, 1995; 295] berdasarkan kepada pendapat ini jelas kepada kita bahawa bahasa yang digunakan dalam sesebuah karya mampu meletakkan cerita, idea dan pemikiran agar dapat difahami oleh pembaca. Hal ini bermakna penyusunan atau cara penggunaan bahasa memang ada kaitannya dengan ragam bahasa. Ragam bahasa pula merujuk kepada cara seseorang melakukan sesuatu termasuk juga melalui penggunaan bahasa dalam usaha menghasilkan karya.
Ragam bahasa merupakan bidang yang melengkapi tatabahasa. Oleh itu, ragam bahasa tidak mungkin dapat berdiri dengan sendirinya. Sebagai susulannya, pengguna mesti mematuhi peraturan dan hukum-hakam tatabahasa yang ditetapkan apabila berkarya. Walaupun dalam penulisan wacana kreatif terdapat banyak sifat yang abstrak, iaitu unsur yang menimbulkan kecantikan bahasa, keindahan dan kemerduan. Namun, dalam masa yang sama, penulisan yang baik mestilah mampu memanipulasikan ragam bahasa untuk melahirkan kelainan yang berkesan dan indah.
Oleh itu, kebijaksanaan pengarang memperkayakan unsur keindahan dan ragam bahasa dalam penulisan kreatif berupaya menimbulkan keragaman dan kompleksiti, interaksi antara sesama unsur tersebut sama ada unsur yang terdapat dalam novel atau unsura realiti yang berada di luar novel. Kesatuan dan keragaman ragam bahasa ini merupakan komponen penting dalam pembentukannya.
Ragam bahasa yang terdapat dalam karya novel harus hidup. Oleh itu, pengarang harus memainkan peranan dan tanggungjawab untuk membuat pemilihan bukan sahaja isi dan jalan cerita tetapi kata-kata serta jenis-jenis ragam bahasa untuk mencipta karya. Hal ini bertujuan agar wujud keaslian karya penulisan dan pengarang tidak melakukan perkara sewenang-wenangnya, iaitu penulisan tidak boleh melencong dari bentuk dan pola bahasa yang diterima umum.
Apabila berhadapan dengan karya cereka, menelaah dan menghayati sesebuah novel akan wujud beberapa perkara yang dapat menarik perhatian kita sebagai penilai utama kepada keberkesanan novel tersebut, antaranya pemaparan ragam bahasa yang menarik . Gambaran ragam bahasa yang pelbagai akan mewujudkan ketegasan dan meyakinkan kita untuk memahami hakikat kreatifnya sesebuah karya. Justeru, sebagai seorang pengarang yang kreatif dan kritis, faktor kebolehan untuk mengeksploitasi bahasa dengan baik dapat menjadikan novel itu begitu unggul. Susunan bahasa yang mudah dan pemilihan diski sesuai untuk memukau dan menarik perhatian, perasaan dan minat pembaca dan mendorong pengkaji untuk terus mengikut perkembangan cerita.
Pentingnya ragam bahasa dalam kesusasteraan merupakan satu komponen yang tidak dapat dipisahkan daripada gaya sastera. Jika hendak dibahaskan sesuatu karya dalam segala bidangnya, hasil perubahan ragam bahasa seseorang pengarang atau sekelompok pengarang akan membantu pembaca meneliti karya mereka, di samping memberi ilham atau idea baru kepada pengarang lain. Perbahasan tersebut penting juga kerana ragam bahasa seseorang pengarang akan mempengaruhi perkembangan bahasa. Oleh itu, ragam bahasa setiap pengarang berbeza kerana setiap pengarang mempunyai bermacam-macam metodnya.
Terdapat pelbagai tujuan penggunaan ragam bahasa dalam sesebuah novel iaitu beliau berharap supaya para pembaca dapat mengenali tulisannya dan membaca karya mereka tanpa mengetahui tajuk dan nama pengarang terlebih dahulu. Justeru, melalui penggunaan ragam bahasa, pemilihan diski, penyusunan kata dan sebagainya, maka karya seseorang pengarang dapat diterima umum sebagai sesuatu karya yang unggul bersesuaian dengan keprihatinan pembaca.
Seterusnya, tujuan pengarang menggunakan ragam bahasa adalah untuk lebih mendatangkan minat para pembaca terhadap karya sastera terutamanya karya ciptaannya. Oleh itu, ragam bahasa berkaitan mempunyai kehalusan dari segi keindahan laras bahasanya serta makna bahasa yang tepat dan berkesan. Ironisnya, kebolehan seseorang pengarang dalam karyanya bergantung pada kebijaksanaannya memanipulasikan bahasa untuk menghasilkan satu penulisan kreatif yang menampilkan kemampuan penggunaan ragam bahasa. Jelaslah bahawa ragam bahasa menjadi hak pengarang dan tentu mempunyai kelainan dalam hasil karyanya.
Penilaian ragam bahasa seseorang pengarang dalam penciptaan karya khususnya novel bergantung pada identiti seseorang serta mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang kepada pembaca. Selaku penulis sasterawan muda, Nisah Haron terkenal dengan ragam bahasanya yang menarik dan mempunyai nilai tersendiri. Berdasarkan novelnya yang bertajuk Lentera Mustika (LM), beliau berjaya memperlihatkan bagaimana keindahan ragam bahasa yang pelbagai digunakan, terutamanya jenis ragam bahasa sindiran, bahasa menggiat, bahasa mengejek dan sebagainya. Ragam bahasa yang digunakan dapat membawa keindahan, kelainan dan kehalusan makna.
Kesimpulannya, jelas menunjukkan bahasa memainkan peranan penting dan tanggungjawab yang sama untuk memudahkan manusia berkomunikasi, menyampaikan maklumat dan menyatakan sesuatu. Justeru, pengkajian sesuatu bahasa tidak terbatas terhadap sesuatu aspek sahaja. Sebaliknya kajian sesuatu bahasa bermakna mengkaji keseluruhan aspek yang ada di dalam bahasa tersebut. Jadi, apabila kita mengkaji segala aspek dalam sesuatu bahasa, jelaslah kepada kita bahawa fungsi bahasa itu tidak terbatas untuk sesuatu tujuan sahaja.
Pernyataan Masalah
Pada dasarnya, bahasa adalah medium utama karya sastera. Bahasa dalan karya sastera berperanan untuk mengetengahkan mesej-mesej penulis atau pengarang. Hal ini demikian kerana bahasa sastera yang digunakan dalam sesuatu teks sastera memiliki keluasan makna. Justeru, fungsi dan kedudukan bahasa dalam karya sastera sangat penting kerana tanpa bahasa, tidak terlahir makna yang ingin disampaikan oleh penulis atau pengarang dalam ujana kreatifnya.
Justeru, untuk mengkaji sesebuak teks penulisan kreatif atau karya sastera, pengkaji telah mengenal pasti dan penggunaan ragam bahasa yang terdapat atau terkandung di dalam novel Lentera Mustika (LM), karya Nisah Haron yang perlu diketengahkan. Jadi, penggunaan bahasa dalam karya sastera memainkan peranan penting dalam novel tersebut. Diski, frasa dan ayat yang digunakan oleh penulis merupakan faktor yang perlu ditafsirkan oleh pengkaji agar dapat difahami. Kefahaman itu perlu dikaji dan dilihat dari sudut penggunaan ragam bahasa. Dalam konteks ini, terdapat perbezaan dan keluasan makna hasil daripada penggunaan bahasa dalam ragam bahasa.
Kajian terhadap ragam bahasa dilakukan bertujuan untuk mengenali dan menghuraikan ragam bahasa yang mempunyai pelbagai tafsiran dan ungkapan. Justeru, penggunaan ragam bahasa dala novel ini merupakan sesuatu Kekuatan dan menghidupkan jalan penceritaanya. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa yang dilambangkan melalui diski, frasa dan ayat dalam wacana sastera mempunyai tafsiran yang pelbagai. Mengenal pasti ragam bahasa dalam novel Nisah Haron amat penting agar pengkaji dapat mengetengahkan penggunaan bahasa dalam ragam bahasa.
Melalui penulisan ilmiah ini, setelah dikenal pasti penggunaan ragam bahasa pengkaji mencuba menganalisis dan membincangkan aspek ragam bahasa supaya pengkaji dapat melihat penggunaan ragam bahasa dalam novel tersebut yang merupakan elemen penting dalam dialog-dialog yang diutarakan oleh watak-watak yang menjadikan jalan ceritanya begitu menarik dan tidak membosankan. Hal ini disebabkan dalam ragam bahasa terdapat diski atau kata,sintaksis dan morfologi yang mempunyai keluasan makna. Oleh itu, penggunaan jenis ragam bahasa yang berbagai-bagai menjadikan sesuatu perkara itu perlu dihuraikan agar fungsi bahasa dalam sastera dapat ditafsirkan lebih mendalam dari sudut linguistik.
Pengkaji berkeyakinan kajian aspek ragam bahasa merupakan satu kajian yang dapat menyumbangkan ke arah perkembangan bahasa lebih positif. Semoga dengan kajian ini, jika diterbitkan atau disebarkan yang ingin mengatahui aspek-aspek ragam bahasa yang mempunyai rumus tatabahasa dapat melihat dengan jelas aspek-aspek tersebut. Untuk menjadikan kajian ini lebih sempurna, pengkaji berasakan persoalan berkenaan aspek-aspek ragam bahasa yang mempunyai keluasan makna dalam bahasa dan penghuraian perlu dijawab dalam kajian ini.
PENULIS BERSAMA DENGAN PN NISAH HARON[KARYA NOVEL LENTERA MUSTIKA]
IKUTILAH BAHAGIAN III.
IKUTILAH BAHAGIAN III.
No comments:
Post a Comment