Monday, 14 January 2013

BAHAS ALAPARLIMEN [ PERKONGSIAN ILMU]

DEFINISI KONSEP;[ Posted by Harmi Mohammad Jamil ]

Bahagian ini sebenarnya amat penting bagi pembinaan kes sesebuah pasukan. Kerajaan diberi hak untuk memberikan definisi konsep yang wajar dan boleh didebatkan oleh kedua-dua belah pihak. Namun begitu, Pembangkang pula turut diberikan hak secara pilihan, iaitu samada untuk;

i) bersetuju dan menerima definisi konsep Kerajaan (berlawan secara bersemuka), atau
ii) tidak bersetuju dan menolak secara keseluruhan definisi konsep Kerajaan serta mengemukakan definisi konsep yang baru, atau
iii) menerima definisi konsep Kerajaan dengan sedikit pindaan terhadap frasa-frasa tertentu.

Saya akan menjelaskan kelebihan dan kekurangan setiap pilihan yang diberikan kepada pihak Pembangkang ini nanti.

Kerajaan menerusi Perdana Menteri perlu memberikan definisi konsep yang menepati kehendak usul, atau sekurang-kurangnya memenuhi kepentingan mereka sebagai Kerajaan tanpa memberikan tanggapan kepada jemaah hakim bahawa definisi konsep tersebut bersifat berat sebelah. Sukar bukan? Bagaimana untuk anda mendapatkan definisi konsep yang lengkap dan komprehensif, menepati kehendak anda selaku pihak Kerajaan tanpa menyebabkan jemaah hakim berfikir bahawa anda berat sebelah? Sebenarnya mudah sahaja.

Dalam istilah debat, kita akan menonjolkan atau memberatkan frasa-frasa tertentu yang menyokong peranan kita sebagai pihak Kerajaan dan menggelapkan atau meringankan frasa-frasa tertentu yang dianggap kurang membantu peranan kita sebagai Kerajaan. Secara ironinya pula, pihak Pembangkang akan cuba menggelapkan atau meringankan frasa-frasa yang menyokong peranan Kerajaan dan akan menonjolkan atau memberatkan frasa-frasa yang kurang membantu Kerajaan. Ini kerana kedua-dua belah pihak perlu merebut kelebihan ini untuk membina kes sokongan atau bangkangan yang lebih kukuh sewaktu penghujahan nanti. Segala penghujahan dan pembuktian perlu berdasarkan kepada definisi konsep yang jelas memihak kepada pasukan masing-masing.

Maka, bagi mengelakkan wujudnya pertikaian atau memberi peluang kepada pihak lawan untuk meminda definisi kita, maka amat penting bagi setiap ahli pasukan berbincang (bukan Perdana Menteri semata-mata) dalam menentukan definisi konsep yang terkuat dan tidak mampu diganggu-gugat oleh pihak lawan. Kebanyakan pembahas melihat bahawa tugas untuk memberikan definisi konsep hanyalah tanggungjawab Perdana Menteri. Sedangkan Menteri Kedua dan Menteri Ketiga perlu mempertahankan definisi konsep tersebut. Secara peribadi dan menerusi pengalaman lepas, saya melihat kekuatan sesebuah pasukan banyak terletak kepada kemantapan dan keutuhan definisi konsep mereka.

Dalam Bahas Ala Parlimen, kebanyakan usul yang dicadangkan adalah jelas dan tiada unsur-unsur tersirat. Ini amat berbeza dengan usul-usul untuk Pertandingan Debat Antara Sekolah anjuran universiti-universiti tertentu atau Pertandingan Debat peringkat universiti sendiri. Sebenarnya, setiap penganjur ada matlamat dan objektif masing-masing yang ingin dicapai dalam mengelolakan pertandingan-pertandingan tersebut.

Usul-usul Bahas Ala Parlimen peringkat sekolah adalah lebih panjang tetapi lebih berfokus. Ada isu-isu penting yang perlu dikupas dan usul ‘mengikat’ (binding) kedua-dua pihak untuk berbicara tentang isu-isu tersebut sahaja. Sedangkan usul-usul Debat peringkat universiti adalah lebih fleksibel, ringkas dan luas skopnya. Ini sesuai untuk tahap pemikiran pelajar-pelajar universiti yang mampu berfikir secara meluas tentang isu-isu yang perlu diketengahkan dalam usul-usul di atas. Selaku pihak pembangkang pula, pendebat-pendebat universiti juga dilihat lebih matang dalam menangani kes pihak Kerajaan sekaligus mampu tampil dengan kes bangkangan yang menyakinkan.

Tahap kematangan berhujah sebegini masih lagi belum dikuasai sepenuhnya oleh pelajar-pelajar sekolah menengah (apatah lagi di kalangan pelajar-pelajar menengah rendah). Mungkin ada seorang dua yang mampu berfikir sehingga ke tahap begitu, namun rata-ratanya pelajar-pelajar sekolah menengah masih lagi memerlukan perdebatan yang berfokus dan isu-isunya telah ditetapkan agar tidak lari dari landasan perbahasan yang sebenarnya.

Justeru tindakan penganjur Bahas Ala Parlimen memfokuskan usul-usul perbahasan kepada isu-isu utama dalam negara memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak melontarkan hujah-hujah bernas dan fakta-fakta yang sahih dengan gaya penyampaian yang berkesan dalam sesebuah pertandingan bahas yang berfokus. Ini matlamat utama penganjuran Bahas Ala Parlimen. Bagi Debat peringkat universiti pula, keutamaan diberikan kepada daya pemikiran yang kritis dan analitis (analytical and critical thinking).

Ini termasuklah keupayaan untuk berfikir dalam jangkamasa yang pendek, kemampuan untuk memberikan hujahan yang kukuh di samping menyakinkan jemaah hakim atau juri dengan persembahan yang mantap. Satu lagi perbezaan ketara adalah usul-usul bagi Bahas Ala Parlimen akan diberikan dalam jangkamasa dua bulan hingga dua minggu sebelum tarikh pertandingan. Manakala, usul-usul bagi Debat peringkat universiti pula hanya akan diketahui oleh para pendebat dalam tempoh masa satu jam hingga tiga puluh minit sebelum bermulanya pertandingan. Maka, segala kesalahfahaman antara kedua-dua format ini perlulah diperbetulkan segera bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Seterusnya, kita akan membantu Perdana Menteri untuk memberikan takrifan usul yang komprehensif, mudah dan relevan dengan usul.

Contoh : Khimat Sistem Pesanan Ringkas Meningkatkan Kualiti Hidup Manusia.

Apakah yang dikatakan sebagai definisi konsep yang komprehensif?
1. Takrifan berdasarkan sumber autoritatif (sumber rujukan sebenar);
1.1 Akta-Akta atau Undang-Undang (Perlembagaan Persekutuan)
1.2 Dasar-Dasar atau Program-Program Kerajaan
1.3 Jawatankuasa-Jawatankuasa Kabinet
1.4 Menteri-Menteri atau Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan
1.5 Laporan-Laporan Rasmi Kerajaan
1.6 Individu-Individu yang dikenali dalam bidang yang berkaitan
(cuba elakkan daripada memetik berita dari akhbar atau majalah untuk tujuan definisi konsep kerana petikan-petikan berkenaan lebih sesuai untuk diselitkan dalam hujah-hujah nanti.)

2. Takrifan yang menceritakan sedikit sebanyak latar belakang yang berkaitan dengan frasa yang ingin didefinisikan.

3. Takrifan yang lengkap dengan perkataan-perkataan yang ‘boleh menyekat’ serangan/pindaan definisi oleh pihak Pembangkang.

4. Tidak meninggalkan walaupun satu frasa penting dalam usul.

5. Bukan takrifan langsung dari mana-mana kamus.

Apakah pula yang dimaksudkan dengan definisi konsep yang mudah?
1. Takrifan berdasarkan jawapan kepada mana-mana 6 soalan biasa.
1.1 Who – Siapa? Siapa yang terlibat dalam bidang yang dibincangkan menerusi usul?
Contoh : Khidmat Sistem Pesanan Ringkas – pihak yang terlibat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, syarikat-syarikat telekomunikasi (Celcom, Digi, Maxis), pengguna.
1.2 What – Apa? Apakah yang dimaksudkan dengan frasa-frasa di dalam usul?
Contoh : Meningkatkan – meninggikan atau menjadikan lebih bertambah.
1.3 Where* – Di mana? Di manakah lokasi perkara tersebut?
Contoh : Negara Malaysia.
1.4 When* – Bila? Sejak bila dilaksanakan perkara tersebut?
Contoh : Sejak pengenalan Akta Komunikasi dan Multimedia 2002.
1.5 Why – Mengapa? Mengapa perkara tersebut boleh berlaku?
1.6 How – Bagaimana? Bagaimana perkara tersebut dilaksanakan?
(*: opsyenal, tidak semestinya ditanya, perlu melihat kepada kesesuaian)

2. Takrifan yang tidak terlalu panjang atau tidak terlalu pendek. Seelok-eloknya definisi konsep ini disampaikan dalam jangkamasa 2 hingga 3 minit.

3. Gunakan perkataan-perkataan yang mudah difahami dan ringkas tetapi tepat dengan maksud yang ingin disampaikan.

4.Gunakan sistem nombor jika terdapat beberapa ciri yang perlu dijelaskan untuk menerangkan frasa-frasa tertentu.

5. Gunakan analogi untuk memudahkan penjelasan anda agar jemaah hakim dan penonton dapat memahami dengan lebih baik.

Dan bagaimana pula dengan definisi konsep yang relevan dengan usul?
1. Fahami tuntutan usul samada bersifat cadangan, kenyataan atau isu semasa yang perlu ditangani.
2. Setiap frasa di dalam usul perlu didefinisikan dengan tepat dan lengkap.
3. Perkaitan yang jelas mesti ditunjukkan antara definisi setiap frasa dengan usul.



Berikut merupakan contoh definisi konsep yang komprehensif, mudah dan relevan;
Usul : Khidmat Sistem Pesanan Ringkas Meningkatkan Kualiti Hidup Manusia.


‘Khidmat Sistem Pesanan Ringkas’
- ditakrifkan menurut Akta _________________________ sebagai teknologi penyampaian maklumat teks secara mudah, cepat dan ringkas menerusi penggunaan telefon bimbit; turut dikenali sebagai SMS, khidmat ini hanya melibatkan penghantaran teks yang menggunakan huruf, angka dan simbol sahaja dan bukannya fail-fail gambar atau bunyi.


‘Meningkatkan Kualiti Hidup Manusia’
- menurut Prof. Datuk Dr. ___________________, wujud tiga keadaan untuk menggambarkan senario ‘meningkatkan kualiti hidup manusia’.
Pertama, apabila hubungan sesama manusia dapat dieratkan;
Kedua, tidak membebankan pengguna dari segi kos sara hidup;
Dan ketiga, tahap keselamatan serta kesihatan dapat ditingkatkan.

Cuba perhatikan bahawa kesemua elemen penting dalam membentuk definisi konsep yang komprehensif, mudah dan relevan telah digunakan. Inilah yang dikatakan sebagai rencah-rencah yang ‘menyedapkan’ definisi konsep kita. Selain penggunaan sumber autoritatif yang menyakinkan dan berkaitan, penggunaan perkataan-perkataan yang mudah untuk menjelaskan frasa-frasa penting tersebut turut diaplikasikan. Dalam setiap frasa, sekurang-kurangnya dua soalan berkaitan ditanya, iaitu ‘Apa’ dan ‘Bagaimana’.

Frasa ‘Khidmat Sistem Pesanan Ringkas’
1. Apakah itu ‘Khidmat Sistem Pesanan Ringkas’?
2. Bagaimanakah ianya berfungsi?
3. Bagaimanakah kita ingin membezakan antara ‘SMS’ dengan khidmat-khidmat yang lain (VMS, MMS, XMS dan sebagainya)?

Frasa ‘Meningkatkan Kualiti Hidup Manusia’
1. Apakah yang menjadi elemen-elemen penting dalam hidup manusia?
(hubungan sesama manusia, kos sara hidup, kesihatan dan keselamatan)
2. Bagaimanakah khidmat SMS ini dapat meningkatkan kualiti hidup manusia?
(semuanya ada dicatatkan dalam definisi konsep di atas).

Ada juga penggunaan sistem nombor bagi memudahkan penyampaian beberapa perkara, ciri-ciri atau keadaan-keadaan tertentu. Ini bukan sahaja menjadikan penyampaian anda lebih menarik bahkan lebih sistematik, berstruktur dan teratur. Definisi konsep di atas juga bersifat ringkas, mudah tetapi lengkap dengan mentakrifkan setiap frasa penting yang ada. Dalam aspek masa pula, definisi konsep di atas boleh disampaikan dalam jangkamasa dua hingga tiga minit. Ini menepati kehendak format Bahas Ala Parlimen yang sebenar. Berikut merupakan contoh ayat yang boleh digunakan oleh Perdana Menteri untuk mengutarakan definisi konsep beliau;

Sebelum diteruskan kepada arena penghujahan, elok kiranya saya memberikan pendefinisian secara konsep berkenaan usul kita pada hari ini.
Tuan Yang DiPertua, kita mulakan dengan frasa .....
Selesai pendefinisian konsep, kita beralih pula kepada pendirian kami di pihak Kerajaan.

Pada awal bab ini tadi, kita turut mengenalpasti 3 hak secara pilihan yang diberikan kepada Ketua Pembangkang dalam membincangkan definisi konsep Kerajaan. Ini termasuklah samada untuk;
i) bersetuju dan menerima secara keseluruhan definisi konsep Kerajaan (berlawan secara bersemuka), atau
ii) tidak bersetuju dan menolak secara keseluruhan definisi konsep Kerajaan serta mengemukakan definisi konsep yang baru, atau
iii) menerima definisi konsep Kerajaan dengan sedikit pindaan terhadap frasa-frasa tertentu.

i) Bersetuju dan menerima secara keseluruhan definisi konsep Kerajaan.
Dalam situasi ini, ada beberapa faktor yang mempengaruhi. Pertamanya, berkemungkinan besar Perdana Menteri telah memberikan definisi konsep yang lengkap, jelas dan tepat dengan maksud usul. Maka Ketua Pembangkang boleh bersetuju dan menerima secara keseluruhan definisi konsep tersebut, dengan syarat definisi konsep itu tidak bercanggah dengan hujah-hujah Pembangkang nanti.

Contoh : Kestabilan Politik Menjamin Kemajuan Negara.

Definisi konsep ‘Kemajuan Negara’
- ditakrifkan menurut Dasar Wawasan Negara yang menjelaskan bahawa pembangunan negara kini sebenarnya memacu Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 kelak.
Senarionya, Ketua Pembangkang bersetuju dan menerima secara keseluruhannya definisi konsep Kerajaan. Namun dalam Hujah Pertama Ketua Pembangkang, beliau memberikan contoh-contoh seperti
i) ketidakstabilan politik di Myanmar mengekang hak asasi manusia.
ii) ketidakstabilan politik di Iraq mengancam nyawa manusia.
iii) ketidakstabilan politik di Zimbabwe mencetuskan perang saudara.

Kesemua contoh yang beliau berikan bercanggah dengan definisi konsep ‘kemajuan negara’ Kerajaan yang hanya membincangkan tentang negara Malaysia dan bukannya negara-negara luar yang lain. Maka, amat penting untuk meneliti terlebih dahulu definisi konsep yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan samada wujud percanggahan ataupun tidak dengan hujah-hujah kita. Kepekaan setiap pendebat dalam mengesan perkara ini amatlah dituntut sewaktu pertandingan.

Faktor kedua, mungkin pindaan definisi yang ingin dilakukan oleh Ketua Pembangkang bersifat redundant atau ‘sama sahaja’ dengan definisi asal yang diberikan oleh pihak Kerajaan. Maka, tidak perlulah membuang masa untuk ‘mengulang kembali’ definisi konsep Kerajaan walaupun hanya dengan mengubahsuai sedikit penggunaan perkataan.

Ketiganya, wujud juga keadaan pihak Pembangkang tidak menyangka bahawa pihak Kerajaan akan mentakrifkan usul sedemikian rupa. Maka, ini menyebabkan pihak Pembangkang menerima sahaja takrifan usul sebegitu untuk mewujudkan keadaan ‘berlawan secara bersemuka’. Ini bukan sahaja suatu tindakan yang amat berani bahkan jika kena pada caranya, akan mendapat perhatian (dan markah) yang tinggi daripada jemaah hakim.


Contoh : Rakyat Yang Berminda Kelas Pertama Tunjang Kegemilangan Negara.

Definisi Konsep ‘Rakyat Yang Berminda Kelas Pertama’
- merupakan golongan rakyat yang memiliki 8 ciri utama, iaitu
i) berintegriti
ii) berbudaya kerja cemerlang
iii) berdaya saing tinggi
iv) bersemangat patriotik
v) berbudi bahasa
vi) berdikari (tanpa harapkan bantuan)
vii) sentiasa mengejar kecemerlangan
viii) mementingkan nilai-nilai agama dan budaya.

Senarionya, Ketua Pembangkang menerima secara keseluruhan definisi konsep Kerajaan. Dalam hujah-hujah Pembangkang, akan ditunjukkan penafian terhadap kesemua ciri tersebut.
Hujah 1 : Rakyat Yang Tidak Berintegriti dan Berbudaya Kerja Tidak Cemerlang Menjejaskan Kestabilan Politik Negara.
Hujah 2 : Rakyat Yang Tidak Berdaya Saing serta Tidak Mampu Berdikari Menjejaskan Keutuhan Ekonomi Negara.
Hujah 3 : Rakyat Yang Tidak Patriotik dan Mengabaikan Nilai-Nilai Agama serta Budaya Menjejaskan Kesejahteraan Sosial Masyarakat.

Sekurang-kurangnya 6 daripada 8 ciri yang diutarakan oleh pihak Kerajaan telah berjaya dijawab dan dibuktikan sebaliknya oleh pihak Pembangkang. Ini menjadi kelebihan untuk pihak Pembangkang.

ii) Tidak bersetuju dan menolak secara keseluruhan definisi konsep Kerajaan.
Ketua Pembangkang juga boleh untuk tidak bersetuju dan menolak secara keseluruhan definisi konsep Kerajaan jika;
a)Definisi pihak kerajaan tidak mempunyai kaitan yang kuat dengan maksud sebenar usul.

Contoh : Pengguna Mampu Membendung Kenaikan Harga Barang.

Definisi Konsep ‘Pengguna’
- individu yang menggunakan sesuatu untuk memenuhi keperluannya.
- (definisi yang cukup longgar diberikan kerana tidak memberikan gambaran jelas siapakah itu pengguna)

Definisi Konsep ‘Mampu Membendung’
- keadaan dapat mengawal
- (perlu lebih jelas dan jika perlu, nyatakan ciri-ciri bagaimana yang dikatakan mampu membendung)

Definisi Konsep ‘Kenaikan Harga Barang’
- peningkatan kos untuk membeli sesuatu barang
- (definisi yang dibuat sambil lewa, tidak mempunyai maksud yang jelas berkaitan dengan usul, perlu tunjukkan keadaan-keadaan bagaimana dikatakan sebagai kenaikan harga barang).

Dalam konteks ini, definisi kerajaan wajar ditolak kerana tidak mempunyai perkaitan yang jelas dengan usul.

b) Definisi kerajaan adalah ‘truistik’ ; iaitu tidak boleh dibangkang dengan hujah rasional dan akal yang waras.

Contoh : Pengguna Mampu Membendung Kenaikan Harga Barang.

Definisi Konsep ‘Pengguna’
- ditakrifkan sebagai sesiapa sahaja di dunia ini yang menggunakan sesuatu untuk kepentingannya; kerajaan sesebuah negara juga boleh dianggap sebagai pengguna.
- (Ini tidak rasional kerana wujud perbezaan yang jelas antara entiti kerajaan dan pengguna. Jika kerajaan adalah pengguna, maka bukankah itu bermaksud bahawa kerajaan juga menganggotai persatuan-persatuan pengguna? Sedangkan kerajaan adalah entiti pentadbiran yang dipisahkan menerusi doktrin pengasingan kuasa sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan).

Definisi Konsep ‘Mampu Membendung’
- keupayaan untuk mengawal, menentukan dan menangani sesuatu keadaan
- (Jika sekalipun definisi ‘keupayaan untuk mengawal dan menangani sesuatu keadaan’ boleh diterima pakai, namun takrifan ‘menentukan’ itu amatlah tidak logik. Dalam konteks kenaikan harga barang, bukan pengguna yang ‘menentukan’ turun naik harga sesuatu barangan tetapi pihak-pihak lain seperti pengeluar, peniaga dan kerajaan).

Definisi Konsep ‘Kenaikan Harga Barang’
- peningkatan kos untuk membeli barangan keperluan harian melebihi tahap kemampuan pengguna
- (Definisi seperti di atas mengelirukan atau tidak memberikan gambaran yang sebenar. Adakah benar-benar kenaikan harga barang begitu melonjak naik sehingga pengguna kita tidak mampu membeli barangan berkenaan?)

Maka, dalam konteks di atas, definisi kerajaan wajar ditolak kerana tidak rasional, tidak logik serta tidak memberikan gambaran sebenar. Semua ini menepati ciri-ciri ‘truistik’ (tidak boleh dibangkang dengan hujahan rasional dan akal yang waras). Namun begitu, di peringkat universiti, hukum ‘truistik’ hanya digunakan dalam menyatakan bahawa sesuatu itu memang mustahil untuk dibangkang.

Contoh :
Setiap manusia pasti akan mati.
Matahari terbit dari timur.

Jika sekiranya Ketua Pembangkang memilih untuk tidak bersetuju dan menolak secara keseluruhannya definisi konsep Kerajaan, maka sudah tentulah menjadi tanggungjawab utama Ketua Pembangkang untuk memberikan definisi konsep atau takrifan yang baru terhadap usul. Perlu diperingatkan bahawa, definisi konsep atau takrifan yang baru ini perlu berbeza dengan definisi konsep Kerajaan yang telah ditolak untuk mengelakkan keadaan redundant atau berulang dan sama.

iii) Menerima definisi konsep Kerajaan dengan sedikit pindaan.
Dalam keadaan sebegini, Ketua Pembangkang akan menerima sebahagian daripada definisi konsep yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dan menolak sebahagian yang lain. Namun begitu, penolakan sebahagian definisi ini adalah berbeza dengan opsyen kedua kerana Ketua Pembangkang hanya perlu meminda sebahagian definisi tersebut.
Contoh : Pengguna Mampu Membendung Kenaikan Harga Barang.

Ketua Pembangkang menerima definisi konsep ‘pengguna’ dan ‘kenaikan harga barang’ tetapi ingin meminda terhadap frasa ‘mampu membendung’. Ini kerana pihak Pembangkang perlu menonjolkan atau memberatkan frasa ‘mampu membendung’ sehingga sukar untuk dibuktikan oleh pihak Kerajaan.

Definisi Konsep ‘Mampu Membendung’
- keadaan dapat mengawal
Pindaan Definisi Konsep ‘Mampu Membendung’
- bukan sekadar wujud keadaan dapat mengawal, bahkan keupayaan untuk menentukan dan kemampuan untuk menangani kesan negatif yang mungkin timbul.
(Perkara seperti ‘mengawal’ akan dapat dibuktikan dengan mudah oleh pihak Kerajaan tetapi ‘keupayaan untuk menentukan’ dan ‘kemampuan untuk menangani kesan negatif’ mungkin sukar untuk dijelaskan.)

Apa yang menarik tentang opsyen atau pilihan ketiga ini adalah akan wujud tanggapan dalam kalangan jemaah hakim dan penonton bahawa Ketua Pembangkang akan kelihatan rasional dan bijak. Rasional kerana tidak menerima/menolak kesemua definisi konsep Kerajaan (walaupun berkapasiti selaku Pembangkang). Bijak kerana dilihat mampu mengesan dan memperbetulkan kesilapan dalam definisi konsep Kerajaan. Atas dasar inilah, secara peribadinya, saya sendiri lebih gemar untuk menggunakan opsyen atau pilihan ketiga ini, iaitu menerima definisi konsep dengan sedikit pindaan.

Justeru, apakah contoh-contoh ayat yang boleh diutarakan oleh Ketua Pembangkang dalam ketiga-tiga keadaan di atas? Pertimbangkan contoh-contoh ayat berikut (sebagai asas);

Namun sebelum diteruskan kepada penghujahan bangkangan, elok kiranya saya membidas terlebih dahulu definisi konsep dan hujah yang telah dikemukakan oleh Y.A.B Perdana Menteri sebentar tadi.

Tuan Yang DiPertua, kita mulakan dengan definisi konsep pihak Kerajaan.

Situasi 1 – Terima sepenuhnya
Kami bersetuju dan menerima sepenuhnya definisi konsep yang telah dikemukakan oleh Y.A.B Perdana Menteri. Maka, kami akan berhujah secara bersemuka berdasarkan definisi konsep tersebut.

Situasi 2 – Tolak sepenuhnya
Kami tidak bersetuju dan menolak sepenuhnya definisi konsep yang telah dikemukakan oleh Y.A.B Perdana Menteri kerana tidak bertepatan dengan usul yang digagaskan. Maka, kami tampil dengan definisi konsep yang baru.
Tuan Yang DiPertua .....

Situasi 3 – Terima dengan sedikit pindaan
Kami menerima definisi konsep yang telah dikemukakan oleh Y.A.B Perdana Menteri dengan sedikit pindaan terhadap frasa .....
Tuan Yang DiPertua, sebenarnya .....

Gunakanlah segala peluang yang ada. Terpulang kepada kebijaksanaan anda untuk mengaplikasikan pilihan yang terbaik dan bersesuaian dengan situasi pertandingan. Jika tersilap pilih, bukan sahaja akan menjejaskan penyampaian anda tetapi turut mendatangkan impak negatif kepada pasukan anda.

Dalam sesebuah pertandingan bahas atau debat, asas kepada pembinaan kes sokongan atau bangkangan oleh kedua-dua pihak perlu bersandarkan kepada definisi konsep yang kukuh. Definisi konsep ini merupakan takrifan dan tafsiran menurut perspektif kita selaku pembahas, tetapi tidak lari jauh dari pandangan masyarakat umum (jemaah hakim dan penonton). Keutamaan dalam menghasilkan definisi konsep yang kuat adalah perkaitannya (connectivity) dengan khalayak umum, biar kita takrifkan sesuatu yang dekat di hati mereka. Dengan cara ini, pemahaman jemaah hakim dan penonton akan menjadi lebih jelas bahkan emosi mereka juga mungkin terpancing.

Selain itu, cuba berfikir di luar kotak pemikiran biasa tetapi masih lagi mengekalkan logik sesebuah idea. Latihan berfikir juga penting untuk mencambahkan perspektif kita dalam melihat sesuatu perkara. Jika orang lain melihat sesuatu perkara itu hanya dari hadapan, mengapa tidak kita melihatnya dari belakang, atas, bawah, kiri dan kanan (perspektif berbeza)?

No comments:

Post a Comment