Sunday, 13 January 2013

PENGALAMAN KEBAKARAN-Amirah Wahidah Mohd Rusli

Tulis pegalaman anda sewaktu cuba menyelamatkan seorang budak lelaki yang terperangkap dalam rumah yang sedang terbakar.
 Amirah Wahidah Mohd Rusli
3 Sapphire

     Pada suatu malam yang sunyi, aku seorang diri berada di rumah. Ibu bapaku meninggalkanku tanpa memberitahu aku. Sewaktu membaca nota yang ditinggalkan oleh mereka, aku berasa sedih dan sedikit kecewa kerana mereka sengaja tidak mengajak diriku sekali pergi ke pusat beli-belah, Alamanda. Sejujurnya, aku sudah lama menanti saat ini untuk membeli sebuah buku yang aku idam-idamkan selama ini. Namun,  aku redha dengan nasib burukku kerana mereka telah menyediakan makan malam yang enak sekali khas untuk diriku. Terbuka hatiku untuk memaafkan mereka.

    Sedang aku asyik menikmati makanan yang lazat sambil menemani bunyi televisyen yang sengaja aku kuatkan, aku terdengar suatu suara yang lebih kuat daripada televisyenku. Hampir aku memarahi suara itu kerana mengganggu kenteramanku. Namun, setelah seketika, aku tidak senang duduk seperti cacing kepanasan, lalu aku menutup televisyen supaya dapat aku dengar suara itu dengan lebih jelas. “Tolong! Tolong! Tolong!” suara itu bersahut-sahutan. Aku panik. Aku mendekati jendelaku dengan harapan bahawa suara itu hanya gurauan semata-mata. Alangkah terkejutnya diriku tatkala melihat api yang menyala dengan marak menjulang rumah jiran di hadapanku. Mataku terbeliak dan nafasku terhenti. Tanpa membuang masa, aku bergegas keluar dari rumah. Aku terus berlari tanpa mengetahui perkara yang akan aku hadapi selepas ini.

     Faris, nama jiranku yang berada dalam jeritan pasangan suami isteri yang dalam keadaan cemas dan tidak tentu hala. Tidak syak lagi bahawa mereka ialah ibu bapa kepada seorang budak lelaki yang baru berusia sembilan tahun itu. Terdetik rasa kasihan dalam jiwaku melihat keluarga tersebut. Kelihatan orang ramai berpusu-pusu sambil membawa sebaldi air untuk disimbah di rumah terbakar itu. Panggilan telefon ke talian bomba telah dilakukan oleh seorang jiran prihatin bagi membantu pasangan suami isteri itu. Aku tidak mahu seorang budak lelaki yang sering ditinggalkan keseorangan di rumah disebabkan kesibukan ibu bapanya, disakiti api. Aku juga tidak mahu seorang budak lelaki yang sering memaparkan senyuman ceria walau apa pun berlaku, terkorban. Saat ini aku nekad untuk menolong Faris dengan segala daya dan keberanian yang masih berbekal dalam diriku.

     Aku berdoa meminta pertolongan dan kekuatan kepada Ilahi supaya memudahkan misi menyelamat ini, di dalam hati. Aku membuka langkah menuju ke rumah yang kini sedang dijilat api dan ketika itu, hatiku sebak dan semakin bersemangat apabila mendengar rintihan seorang ibu mengatakan, “Faris, Ibu dan ayah berjanji akan meluangkan lebih masa bersama Faris! Jangan tinggalkan kami!” Tibalah aku di pintu utama rumah tersebut. Aku tidak akan menafikan ketakutan yang menyerang diriku. Dengan menarik nafas dan bacaan bismillah, aku sepantas kilat  meredah rumah yang hampir rebah menyembah bumi menuju ke arah bilik belakang yang didapati Faris berada.

     Aku berasakan perjalanan ke bilik itu dipermudah oleh Tuhan walaupun keadaan panas dan dikelilingi dengan api.Pada saat tibanya aku di bilik tersebut, aku melihat sinar harapan terpancar di mata Faris. “Kak Id?” Aku tersenyum, lalu aku mengarahkannya untuk berjalan ke arahku dengan berhati-hati. Kami bergerak pantas dan mengelak segala halangan dan kini, pintu utama berada di hadapan kami. Hatiku lega dan syukur kepada Tuhan, kami selamat keluar dari rumah terbakar itu. Ibu bapa Faris pantas mendapatkannya dan memeluk serta membelai satu-satunya anak mereka yang baru sahaja ditimpa bahaya. Air mata berlinangan serta ucapan syukur kedengaran. Baru sahaja ingin aku membuka mulut tetapi aku diserang kegelapan dan itu merupakan perkara terakhir yang aku lihat.

     Cahaya merupakan perkara pertama yang aku lihat. Perlahan-lahan aku memerhati sekeliling. Hospital, otakku memproses. Sekali lagi aku memerhati, kelihatan ibu bapaku berada di sisiku dengan senyuman menghiasi wajah mereka. Setelah badanku rehat seketika selepas sedar, bapaku menceritakan bahawa aku telah pengsan sebaik sahaja menyelamatkan Faris. Terlalu banyak asap berbahaya yang aku hidu dan sudah dua hari tidak sedarkan diri. Aku bernasib baik kerana terdapat seorang jiran menolong dan menghantarku ke hospital dengan segera. Kemungkinan kesan akan lebih teruk jika terlewat. Ibu bapa Faris menziarahiku dan mengucapkan terima kasih dan rasa syukur kerana Faris diselamatkan disebabkan keberanianku. Ibu bapaku menyatakan bahawa mereka bangga dengan sikapku ini.

     Bebarapa hari telah berlalu, pengalaman itu masih tersemat di dalam ingatanku. Tragedi itu telah mengubah keluarga Faris 360 darjah. Kini ibu bapanya lebih kerap meluangkan masa bersamanya. Ternyata kejadian itu membuka mata mereka bahawa mereka tidak sanggup kehilangan anak kecil yang mereka sayangi sepenuh jiwa. Keluarga mereka semakin bahagia syukur kepada Tuhan. Banyak perkara telah berubah tetapi hanya satu sahaja yang kekal, ibu bapaku masih meninggalkanku seorang di rumah ditemani makanan dengan sengaja tanpa memberitahuku jika hendak ke mana-mana.

No comments:

Post a Comment